You are on page 1of 14

SMKGC2

MODUL PDPR
OKTOBER 2021

Bahasa Melayu
Tingkatan 3

NAMA:___________________________________
TINGKATAN:_______________________________

NOTA : SIAPKAN LATIHAN MENGIKUT TARIKH YANG TELAH DITETAPKAN.

Tarikh : 6 Oktober 2021

1
Hari : Rabu

Masa : 8.00 – 10.00 pagi

Teknik Menjawab Soalan Rumusan PT3 Format Baharu

Teknik-Teknik

1. Panjang ringkasan tidak melebihi 100.

2. Digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.  

3. Ambil isi daripada petikan sahaja. 

4. Jangan salin bulat-bulat daripada petikan. 

5. Buangkan huraian, contoh, peribahasa d.l.l untuk menjadikan jawapan lebih pendek. 

6. Mesti ditulis dalam perenggan.

Markah

ISI BILANGAN ISI MARKAH

Idea utama 1 2 ( isi x 2 markah)

Idea sokongan 6 6 (6 isi x 1 markah)

kesimpulan 1 2 (1 isi x 2 markah)

Perbezaan Antara Ringkasan dan Rumusan

Rumusan Ringkasan

Cari sendiri berdasarkan Idea Utama Terdapat dalam soalan


petikan.

Diperlukan  Kesimpulan Tidak diperlukan

Persamaan Antara Ringkasan dan Rumusan

1. Tidak boleh melebihi 100 patah perkataan.

2. Menggunakan ayat sendiri. Dilarang salin terus daripada petikan.

3. Ditulis dalam bentuk perenggan.

Format

2
Petikan membincangkan ( idea utama ). Antaranya ialah / adalah ( idea sokongan 1 ). Selain
itu, ( idea sokongan 2 ). Seterusnya, ( idea sokongan 3 ). Tambahan pula, ( idea sokongan 4 ).
Selanjutnya, ( idea sokongan 5 ). Akhir sekali, ( idea sokongan 6 ).
Kesimpulannya, ( kesimpulan ) supaya / agar / untuk ( penjelasan ).  

Idea Utama = Baca petikan dan pahamkan apa yang ditulis.

Contoh ; Kesan-kesan / faedah-faedah / akibat /punca…

Idea sokongan = isi berkaitan idea utama yang ada dalam petikan ( 6 isi )

Teknik Nota Penulisan Rumusan

RUMUSAN BM PT3

 Panduan Menjawab Rumusan

1. Teliti kehendak soalan.Kemudian kenal pasti idea utama melalui kata kunci yang terdapat
dalam petikan.Kata kunci tidak diberi,jadi pelajar perlu membaca dan memahami petikan
untuk mengetahui kata kunci.Idea utama ini dianggap sebagai pendahuluan.

2. Idea utama mungkin ada 1 atau mungkin ada 2

3. Kemudian cari dan kenal pasti 6 idea sokongan(isi penting yang ada dalam  bahan petikan
setelah memperoleh idea utama.Jika pelajar salah mengemukakan idea utama maka idea
sokongannya juga akan salah.Kemungkinan dalam petikan memang cukup-cukup 6 sahaja
idea sokongan yang diberi.Sekiranya lebih isi diberi mungkin antara 6-8.(bergantung kepada
tahun semasa panjang pendek petikan dan skema jawapan)

4. Akhir sekali pelajar dikehendaki menulis kesimpulan iaitu idea calon sendiri.Tidak boleh
menulis kesimpulan yang diambil daripada bahan petikan.Pelajar kena buat sendiri.Harus
ada sekurang-kurangnya 2 elemen,iaitu harapan&cadangan serta kesan.

5. Dari segi binaan perenggan, murid dicadangkan menulis rumusan dalam satu perenggan
tetapi dalam perenggan rumusan itu pastikan mengandungi idea Utama(pendahuluan),idea
sokongan dan penutup/kesimpulan (kena fikir ...tidak boleh ambil dalam petikan).Namun
tidak menjadi kesalahan jika pelajar menulis rumusan dalam 3 perenggan.Rumusan pelajar
masih disemak seperti biasa.

6. Cara-cara hendak memulakan penulisan ayat bagi rumusan...

i) Jika ada 1 idea utama:-

3
Petikan membincang tentang punca-punca pencemaran alam sekitar.

ii)Jika ada 2 idea utama:-

Petikan membincangkan punca-punca pencemaran alam sekitar dan langkah-langkah mengatasinya.

7.  Markah rumusan ialah 15 markah,iaitu 10 markah untuk isi dan 5 markah untuk bahasa.

isi Bilangan isi markah

Idea utama 1 2m

Idea 6 6m
sokongan(Is
i penting)

kesimpulan 1 2m

Jumlah 8 10
markah     

Item Contoh Bahagian C– Rumusan [ masa  dicadangkan:15 minit]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu    rumusan  yang
panjangnya hendaklah  tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan
ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara kita. Kadar kemalangan meningkat setiap kali musim
perayaan walaupun pelbagai kempen dan tindakan dijalankan oleh pihak berkuasa. Peningkatan
jumlah kematian merupakan suatu kerugian yang melibatkan nyawa, harta benda, wang, tenaga
manusia, dan masa. Memandangkan bilangan kematian terus meningkat, maka pelbagai usaha perlu
diambil untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Antara usahanya ialah pengeluaran lesen
memandu diperketat① demi membendung kejadian yang menyayat hati terutamanya pada musim
perayaan.

                                                              

            Para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu ②yang teliti
sebelum diberi lesen bagi memastikan mereka mengamalkan gaya pemanduan yang positif. Antara
penyebab peningkatan kadar kemalangan jalan raya termasuklah sikap pengguna yang cuai. Hal ini
dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan
bahawa 90 peratus daripada kes kemalangan jalan raya berlaku kerana kecuaian pemandu. Dalam
memastikan kemalangan sifar dicapai, hukuman yang lebih tegas sebagai pengajaran③ terhadap
pemandu perlu dikenakan. Pemandu-pemandu baharu yang melakukan kesalahan dalam

4
tempoh  dua tahun pertama perlu dikenakan tindakan perlanjutan tempoh percubaan④ sebelum
mendapat lesen sepenuhnya.

            Orang ramai masih belum belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, malah pengalaman
pihak lain juga dipandang rendah. Sejajar dengan itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengkaji
secara mendalam aspek-aspek yang sesuai dalam sistem pembelajaran dan pendidikan
pemanduan⑤ di negara kita. Sistem pemanduan yang dikendalikan oleh pihak JPJ umpama sistem
peperiksaan akademik yang diduduki oleh para pelajar. Sewajarnya, elemen sivik dipupuk pada jiwa
seseorang pelajar ⑥ sehingga amalan tersebut tersemai dengan mendalam dan menjadi amalan
apabila dewasa nanti.

            Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah, dan masyarakat menyemai nilai-
nilai murni⑦ dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang berhemah. Penguatkuasaan
undang-undang dan denda⑧ yang dikenakan perlu diketatkan supaya mereka yang bersalah
dihukum sewajarnya. Selain itu, penetapan had laju di lebuh raya dan di jalan-jalan biasa ⑨ perlu
dikekalkan kerana banyak kemalangan yang berlaku berpunca daripada kenderaan yang tidak dapat
dikawal sebagai akibat dipandu terlalu laju. Para pengguna perlu disedarkan bahawa jalan raya
bukanlah tempat untuk berlumba dan mereka perlulah memandu secara berhemah supaya tidak
mengakibatkan nahas yang membabitkan orang lain.

            Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun
negara pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak perlu
menggemblengkan tenaga secara lebih efektif untuk mengatasi kemelut ini, janganlah sudah
terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna
menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi bubur. Tragedi kemalangan boleh berlaku kepada
sesiapa sahaja dan bila-bila masa kerana malang tidak berbau.

         (Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Budayakan Hargai Nyawa” oleh G. Manimaran, Utusan
Malaysia, Disember 2003)

 Jawapan 1

Petikan membincangkan usaha-usaha mengatasi kemalangan jalan raya. Antaranya


ialah pengeluaran lesen memandu diketatkan. Selain itu, para pemandu perlu menjalani ujian
kecekapan atau latihan memandu sebelum diberi lesen. Tambahan pula, hukuman tegas sebagai
pengajaran terhadap pemandu perlu dikenakan. Selanjutnya, pemandu-pemandu baru yang
melakukan kesalahan dalam tempoh  dua tahun pertama dikenakan hukuman tempoh
percubaan. Seterusnya, sistem ujian pemanduan yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan
perlu dikaji semula. Akhir sekali, elemen sivik dipupuk dalam jiwa
pemandu. Kesimpulannya, kadar kemalangan yang tinggi di jalan raya perlu
dibendung supaya jalan raya menjadi tempat yang selamat untuk semua pengguna.

5
==================================================================================
======================

Tarikh : 6 Oktober 2021

Hari : Rabu

Masa : 8.00 – 10.00 pagi

Latihan

Jawab dalam buku Latihan Rumusan.

Latihan 1  :   Rumusan (Bahan Petikan)

[Masa dicadangkan: 15 Minit ]

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang
panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa
mengubah maksud asal petikan.

        Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka bahawa mereka
cergas. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang sakit dan tidak kerap
mendapatkan rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna keadaan fizikal mereka itu baik. Dari
segi kesihatan, strategi yang berkesan untuk seseorang berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat
adalah dengan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui
umum, namun aktiviti yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam
senarai keutamaan yang perlu dilakukan pada setiap minggu.

        “Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman menyumbang
kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang  akan melancarkan perjalanan darah ke
otak. Peningkatan tekanan darah akan menyalurkan  darah ke otak yang kurang mendapat darah,
seterusnya meningkatkan keperluan oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi
lebih segar dan tidak mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran
walaupun kepada golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan setelah
melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu, senaman juga mampu
menangani masalah kemurungan.

        Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenaline akan dibebaskan dan
menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan meningkat dan darah sampai
kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai kesannya, salur darah di otot pula dilebarkan untuk
memenuhi keperluan oksigen kepada bahagian otot berkenaan.  Senaman menjadikan jantung
berfungsi dengan lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang
bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan  tenang.

        Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal berat badan
yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit
jantung dan batu karang. Satu fakta menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang
dalam kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan
mereka yang tidak cergas. Hal ini terbukti melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian

6
kumpulan orang yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan mereka dalam
kumpulan sederhana cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai satu budaya hidup kita supaya
kita kekal sihat sepanjang masa.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Faedah-faedah Senaman’,

 oleh Ziauddin Sharuddin,

dalam Berita Minggu, 12 Mac 2010)

Tarikh : 10 Oktober 2021

Hari : Ahad

Masa : 12.00 – 2.00 petang

    

 Jawab dalam Buku Latihan Rumusan

         

Latihan 2  :   Rumusan (Bahan Petikan)

     Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu  rumusan yang
panjangnya  tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.       

             Industri inap desa  sememangnya mempunyai potensi yang tidak kurang pentingnya kepada
pembangunan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa potensi industri inap desa dan cabaran-
cabaran yang dihadapinya.

                Antara kepentingan industri inap desa adalah mampu membantu meningkatkan ekonomi
negara. Apabila inap desa ditubuhkan dengan giat, maka keuntungan yang diperoleh daripada sektor
ini akan menyumbang kepada pendapatan negara. Hal ini akan membantu negara memperoleh
keuntungan yang berlipat kali ganda serta dapat memajukan negara.

                Di samping itu, industri inap desa dapat memperkenalkan sektor pelancongan Malaysia di
mata dunia.Pelancong yang menginap di inap desa dapat melakukan pelbagai aktiviti terancang yang
disediakan oleh pihak inap desa.Hal ini dapat memperkenalkan pelbagai budaya Malaysia yang
terdapat di kawasan inap desa tersebut.Selain itu, industri inap desa juga mempunyai potensi dalam
memajukan sektor pelancongan negara.Penubuhan industri inap desa di kawasan luar bandar
mampu menarik minat ramai pelancong ke kawasan tersebut. Hal ini akan menyebabkan penduduk
setempat memperoleh pendapatan yang lumayan berikutan kehendak pelancong untuk menyewa
inap desa. Oleh itu, para pelancong yang ingin melawat ke kawasan pedalaman tidak perlu bimbang
tentang tempat penginapan kerana terdapat inap desa.

                Seterusnya, potensi inap desa juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan. Apabila
industri inap desa dibina di kawasan luar bandar maka terdapat banyak peluang  pekerjaan yang
tersedia. Hal ini akan membantu penduduk setempat untuk bekerja di inap desa.  Contohnya,
bekerja sebagai tukang cuci, tukang kebun, pengawal keselamatan dan sebagainya. Industri inap

7
desa ini walaupun tidak membuka peluang pekerjaan yang banyak namun  mampu membantu
golongan penganggur bagi mencari sumber rezeki.

                Antara cabaran yang dihadapi oleh industri inap desa ialah masalah kekurangan modal.
Pengusaha inap desa sering berhadapan dengan masalah mendapatkan modal untuk kos
pengurusan dan membayar gaji pekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri inap
desa sukar mendapatkan pinjaman daripada bank berikutan faktor ekonomi mereka yang kurang
kukuh. Situasi ini akan menyebabkan perkembangan inap desa agak perlahan dan terbatas. Selain
itu, kedudukan inap desa yang jauh dari bandar menyukarkan para pelancong untuk mendapatkan
kemudahan-kemudahan yang lain. Contohnya perkhidmatan bank, liputan talian dan pasar raya.
Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu dalam memajukan industri inap desa
agar  terus berkembang dan menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan
negara kita.

Tarikh : 13 Oktober 2021

Hari : Rabu

Masa : 8.00 – 10.00 pagi

TIP-TIP MENGHASILKAN RINGKASAN YANG BAIK

1. Ringkasan disoal dalam Bahagian C ( Kertas 1 Bahasa Melayu PT3 ) .

2. Apa itu meringkaskan karangan /petikan/ berita / rencana atau cerita ?

Bermaksud memendekkan sesuatu petikan dengan mengekalkan isi-isi penting berdasarkan kata
kunci yang diberi.

3.Baca soalan dan garis kata kunci yang diberi dan fahami maksud kata kunci tersebut. Contoh kata
kunci yang dikemukakan dalam soalan ringkasan ialah;

sebab-sebab/faktor-faktor/punca-punca

kesan-kesan/ implikasi/impak

kepentingan /kebaikan/faedah

kekangan/masalah/halangan

8
tugas/peranan/tanggungjawab/fungsi/sumbangan

langkah-langkah/usaha-usaha/cara-cara/kaedah/tindakan

4. 15 markah diperuntukkan untuk ringkasan :-

* 10 markah untuk isi, 5 isi ( min ).

* Setiap isi 2 markah.

* 5 markah untuk Bahasa

5. Senaraikan isi mengikut turutan ( langkah ini memudahkan tugasan pemeriksa untuk memeriksa
kertas anda )

6. Gunakan penanda wacanayang sesuai . Contohnya , ‘seterusnya’ , ‘selain itu’ , ‘di samping itu’ dan
sebagainya .

7. Gunakan sekurang-kurangnya dua penanda wacana.

8.Pelajar tidak perlu menulis isi tersirat.

9. Tulis ringkasan anda dalam satu perenggan sahaja dan panjangnya ringkasan anda hendaklah
antara 80-100 patah perkataan.

10. Dalam setiap petikan yang diberi terdapat lebih kurang 8 – 10 isi. Anda hanya perlu menulis 5 isi
tersurat ( min ) .

Tarikh : 13 Oktober 2021

Hari : Rabu

Masa : 8.00 – 10.00 pagi

Latihan Ringkasan 1.

Jawab dalam buku Latihan Ringkasa/Rumusan/Ulasan

Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah berpersatuan dalam
kalangan belia. Panjang ringkasan anda hendaklah antara 80 – 100 patah perkataan. Anda
digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pelbagai mekanisme boleh dilakukan dalam usaha mengisi erti kemerdekaan negara. Belia
memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan terpelihara dan pembangunan
negara menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Antara kaedah bagaimana belia dapat
memastikan kelangsungan pembangunan negara berjalan rancak dan meningkatkan makna
kemerdekaan ialah menerusi kegiatan berpersatuan. Berpersatuan dapat meningkatkan
pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.

9
Di samping itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras
dengan usaha mewujudkan masyarakat prihatin. Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan
memberitahu hanya 2.5 juta daripada belia negara ini yabg berdaftar sebagai ahli dalam pelbagai
persatuan belia. Jumlah itu menunjukkan belia di negara ini tidak gemar menyertai persatuan. Oleh
itu, Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa berusaha menggerakkan pelbagai program bagi
memupuk minat belia untuk berpersatuan.

Pihak kerajaan juga tidak pernah meminggirkan peranan yang dimainkan oleh pihak belia
dalam pembangunan negara, sebaliknya segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia
turut diberi perhatian. Dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan,
pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam
berpersatuan. Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai
sebahagian ibadat. Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang
harmoni.

Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan
apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan. Kesan daripada berpersatuan membawa
kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa. Malah berpersatuan dapat meluaskan
pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri. Namun, mahasiswa yang aktif dalam
persatuan mesti diiringi pencapaian akademik yang cemerlang. Seterusnya, peranan belia sentiasa
penting sama ada ketika menuntut kemerdekaan atau dalam pembangunan negara pada masa kini.
Sebenarnya, persatuan belia sejak dahulu memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin
masyarakat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Belia Tidak Aktif Rugikan Negara”,oleh Dr. Saipon, Berita
Harian,

30 April 2011)

Tarikh : 17 Oktober 2021

Hari : Ahad

Masa : 12.00- 2.00 petang

Latihan Ringkasan 2.

Jawab dalam Buku Latihan Rumusan/ringkasan/ulasan.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang
peranan remaja dalam memupuk semangat kejiranan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah
maksud asal petikan.

10
Masyarakat bermula daripada jiran. Jiran pula terdiri daripada semua lapisan umur termasuk
remaja. Dalam hal ini, remaja ada peranannya yang tersendiri. Konsep kejiranan serta persaudaraan
cukup menarik dan mesti dikekalkan oleh masyarakat, khasnya golongan remaja.

Remaja boleh mengaktifkan diri melalui persatuan masyarakat seperti Rukun Tetangga (RT). Kini,
aktiviti RT semakin meluas fungsinya seperti aktiviti pendidikan, sukan, keagamaan, rekreasi, dan
kesihatan. Remaja boleh terlibat dengan aktif. Melalui persaudaraan dan semangat kejiranan dapat
mewujudkan rasa kasih sayang, bantu-membantu dan kekuatan dalam kalangan rakyat. Malah,
melalui suara kolektif remaja dapat saling membantu, mengingatkan dan menegur sesuatu yang
tidak kena dalam masyarakat. Semangat kejiranan dan persaudaraan yang akrab juga dapat
menghilangkan perasaan iri hati, dengki, bermusuh-musuhan dan sifat negatif lain yang membawa
perpecahan.

Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada
ancaman luar. Semuanya dapat dibendung jika jiran memainkan peranan masing-masing dan remaja
boleh mengambil inisiatif dengan melaporkannya kepada pihak berwajib setiap kali menyedari
berlakunya perkara yang meragukan. Sesungguhnya, remaja boleh bekerjasama dengan media
massa untuk menyemarakkan semangat kejiranan. Misalnya, dengan memaparkan rencana yang
menekankan peri pentingnya semangat kejiranan dan perpaduan. Selain itu, remaja boleh
berinteraksi dengan ibu bapa untuk memastikan kejiranan golongan remaja sentiasa kondusif dan
baik.

Mereka juga perlu berbincang dan bersepakat dalam melaksanakan program yang bersesuaian
agar matlamat yang satu dapat dicapai. Hal ini demikian kerana semangat kejiranan mampu
mengekalkan keamanan, keselamatan dan ketenteraman. Remaja mesti menjadikan agama sebagai
pegangan utama agar lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri, kejiranan dan negara.

Remaja perlu mempunyai daya tahan dari segi fizikal dan mental agar dapat membentuk
kejiranan yang kental dan utuh. Elemen jati diri dan kawalan diri yang kukuh dapat mengawal
perasaan dan emosi daripada terjerumus ke lembah yang hina. Segala usaha untuk memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Walau
bagaimanapun, sentiasalah beringat bahawa tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang
tidak dapat dituruni.

==================================================================================
======================

Tarikh : 24 Oktober 2021

Hari : Ahad

Masa : 12.00-2.00 petang

Karangan

Aktiviti 1. Berdasarkan Petikan di bawah.

1. Garisi idea / isi yang terdapat dalam setiap perenggan dan tandakan dengan perkataan ‘isi’

2. Garisi Huraian dan tulis ‘ huraian’

3. Garisi contoh dan tulis ‘contoh’

11
4. Garisi kesimpulan / ayat simpul dalam setiap perenggan dan tulis ‘kesimpulan’

# Buat disetiap perenggan kecuali perenggan pendahuluan dan perenggan penutup.

Tarikh : 27 Oktober 2021

Hari : Rabu

Masa : 8.00 – 10.00 pagi

Aktiviti 2.

1. Salin semula karangan ini dalam buku karangan.

Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan
menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat
membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia.
Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan
sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era moden
yang penuh kecanggihan ini.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan.
Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun
hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan
perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah
dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman
web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

12
Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi.
Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid
sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta
dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak
menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah
walaupun tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mendatangkan kemudaratan.


Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah
disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka,
sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak
mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan
lain yang mempunyai telefon bimbit. 

Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka
mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes
kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita
membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon
bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang
ditimbulkan oleh para pelajar.

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka
akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses
pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh
menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain.
Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. 

Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu
kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan
menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip

13
video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan.
Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat yang mungkin boleh merosakkan
masa depan mereka.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan
kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak
sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka.
Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat.
Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah
diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara
tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti
kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini
tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.

14

You might also like