You are on page 1of 24

MAQASID AL-SYARIAH DALAM

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: SATU PERBAHASAN AWAL1

Shamrahayu A. Aziz2

Abstrak
Maqasid al-Syariah merujuk kepada tujuan luhur penyariatan Islam. Ia berasaskan kepada
prinsip-prinsip maslahat kepada umat manusia secara universal yang diperoleh melalui nas-
nas atau autoriti syariat Islam. Perlembagaan Persekutuan pula merupakan undang-undang
tertinggi negara yang mempunyai ideologi dan ciri-ciri tertentu. Perbahasan yang
menggabungkan kedua ini merupakan satu wacana baharu yang bertujuan mencungkil
elemen-elemen maqasid al-Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesahihan tentang
wujudnya maqasid al-Syariah dalam Perlembagaan adalah penting untuk menentukan
kebolehupayaan Perlembagaan Persekutuan menjadi sandaran kepada pelaksanaan prinsip-
prinsip universal yang terdapat dalam maqasid al-Syariah. Melalui kaedah perbandingan dan
pengharmonian, adalah didapati bahawa Perlembagaan Persekutuan mempunyai ciri-ciri
menjaga prinsip-prinsip maqasid al-Syariah. Ciri-ciri dan peruntukan Perlembagaan
Persekutuan telah memenuhi sebahagian besar daripada keperluan asasi manusia
sebagaimana terbina dalam maqasid al-Syariah, iaitu keperluan menjaga agama, nyawa, akal,
keturunan (kemuliaan/kehormatan) dan harta.

Pendahuluan

Wacana tentang Perlembagaan Persekutuan dan Maqasid al-Syariah adalah satu inovasi
perbahasan baharu. Walaupun perbahasan tentang Perlembagaan Persekutuan dan maqasid
al-Syariah masing-masing bukanlah perkara baharu dalam bidang perundangan Malaysia dan
perundangan Islam, tetapi gabungan keduanya menjadikannya satu ruang wacana baharu.
Undang-undang Perlembagaan adalah subjek dalam disiplin undang-undang yang begitu luas
dan penting dan maqasid al-syariah adalah subjek yang telah begitu lama bertapak dalam
ilmu Syariah. Keduanya adalah disiplin ilmu yang telah tersusun rapi dalam kerangka teori
epistimologi dan ontologi masing-masing. Tetapi, sebagaimana juga ilmu atau disiplin lain,
keduanya juga menempuh pelbagai dimensi perubahan, melalui inovasi dan kemahuan serta
keperluan semasa dalam disiplinnya.

Mengenai hubungan antara Perlembagaan Persekutuan dan maqasid al-syariah, adalah


dipercayai bahawa keduanya berkait rapat kerana Perlembagaan. Sebagai undang-undang
tertinggi negara, merupakan ibu atau rujukan kepada segala perundangan dan polisi yang
mengutamakan kesejahteraan rakyat, warganegara atau sesiapa sahaja dan juga kesejahteraan

1
Beberapa idea dalam makalah ini telah dibentangkan dalam Persidangan Meja Bulat (Perlembagaan
Persekutuan dan Maqasid al-Syariah) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 28 April 2016 di
Dewan Besar IKIM (Makalah ini telah diterima untuk terbitan Majalah KANUN, DBP keluaran Julai 2016)
2
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada
masa makalah ini ditulis, beliau bertugas (dalam skim pinjaman) di Institut Kefahaman Islam sebagai Felo
Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia

1
negara secara keseluruhannya Perlembagaan sudah tentu mempunyai hala tuju dan impian
bagi kesejahteraan negara.

Walaupun perbincangan tentang Islam dalam Perlembagaan sudah begitu banyak dan
penerbitan berkaitannya sudah memenuhi ruang perbincangan ilmiah, melalui kajian litetur,
penulis mendapati masih belum ada terbitan yang pernah dibuat berkaitan Persekutuan dan
maqasid al-Syariah. Oleh itu, penulis membuat kesimpulan bahawa perbincangan tentangnya
masih belum meluas. Semasa menulis makalah ini, penulis telah cuba mencari literatur yang
benar-benar bersangkutan, tetapi gagal menemuinya. Oleh yang demikian, penulis
beranggapan bahawa makalah ini adalah satu permulaan kepada cernaan ilmiah dalam
hubungkait antara Perlembagaan Persekutuan dan maqasid al-syariah.

Metodologi kajian yang digunakan dalam penulisan makalah ini bersifat perbandingan yang
disertai dengan pendekatan pengharmonian. Selain daripada analisis ke atas kerangka konsep
dan teori Faham Perlembagaan (Constitutionalism) secara umum, analisis juga telah dibuat ke
atas peruntukan Perlembagaan dan penulis telah menyenaraikan ciri-ciri Perlembagaan
Persekutuan. Ciri-ciri tersebut telah secara ringkas dikaitkan dengan prinsip maqasid al-
Syariah. Seterusnya, kerangka konsep serta teori maqasid al-Syariah telah diberi perhatian.
Akhir sekali, penulis telah menggabungkan kedua-dua kerangka konsep dan teori (faham
Perlembagaan dan maqasid al-Syariah) dan seterusnya menyenaraikan maqasid al-Syariah
(yang secara jelas atau perlukan tafsiran kepada peruntukan Perlembagaan), terutamanya
yang berkaitan dengan aspek dhoruriyyat.

Makalah ini memulakan perbincangan dengan melihat kepada makna dan ideologi
Perlembagaan secara umum. Kemudiannya fokus perbincangan dibawa kepada peruntukan
Perlembagaan Persekutuan dengan menjelaskan tentang ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan.
Setelah itu, perbincangan ditumpukan kepada maksud maqasid al-Syariah. Tujuannya ialah
bagi membolehkan konsep dan teori maqasid al-Syariah itu difahami dengan jelas sebelum ia
dapat dicungkil daripada peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan
Persekutuan.

Apakah Perlembagaan dan Apakah ideologi Faham Perlembagaan?

Perkataan "Perlembagaan" yang kata dasarnya ialah "lembaga" telah ditafsirkan oleh Kamus
Dewan sebagai "undang-undang atau peraturan negeri, dasar pemerintahan negeri".3 Dari segi
istilah pula, Perlembagaan adalah satu set peraturan yang menentukan struktur dan fungsi
organisasi. Pandangan KC Wheare, sentiasa menjadi rujukan dalam mentafsir Perlembagaan,
yang mana beliau menyatakan, ".. the word 'constitution' is commonly used in at least two
senses in any ordinary discussion of political affairs. First of all it is used to describe the
whole system of government of a country, the collection of rules which establish and regulate
or govern the government.. In almost every country in the world except Britain however, the
word 'constitution' is used.. to describe not the whole collection of rules, legal and non-legal,
but rather a selection of them which has usually been embodied in one document or in a few
closely related documents...."4 Seorang ahli sains politik lain menyatakan maksud yang lebih
kurang serupa, iaitu, "The constitution of a state, ... is that body of rules of laws, written of
unwritten, which determines the organisation of government, the distribution of powers to the
3
Kamus Dewan Edisi ke-4, ms. 916
4
KC. Wheare, Modern Constitutions, Oxford [Oxfordshire]: Oxford University Press: 1966

2
various organs of government, and the general principles on which these powers are to be
exrcised."5 Oleh itu, boleh dikatakan Perlembagaan merupakan seluruh sistem pentadbiran
negara, yang terdiri daripada koleksi peraturan yang telah diterima untuk menyelaras dan
mentadbir negara.

Dengan kata lain, Perlembagaan merujuk kepada seluruh sistem pentadbiran sesebuah negara
yang mengandungi peraturan-peraturan yang menubuhkan, mengawal selia dan mentadbir
kerajaan. Peraturan-peraturan tersebut boleh dibuat secara perundangan (legal) atau amalan
(non-legal rules). Amalan atau non-legal rules itu dikenali sebagai konvensyen Perlembagaan
atau adat. Perlembagaan adalah undang-undang asas negara, iaitu "the law behind the law -
the legal source of legitimate authority"6 dan tiada undang-undang yang lebih tinggi
daripadanya.

Perlembagaan menentukan institusi utama sebuah negara, iaitu Badan Pelaksana (Executive),
Perundangan (Legislative) dan Kehakiman (Judiciary). Perlembagaan itu seterusnya
menetapkan kuasa dan pada masa sama menghadkan, atau meletakkan skop yang jelas
kepada kuasa yang telah ditetapkan kepada institusi-institusi tersebut. Ini mewujudkan
konsep semak dan imbang sebagaimana maksud Perlembagaan sekarang. Dalam konsep
Perlembagaan semasa, antara perkara yang dititik beratkan ialah pengasingan kuasa. Perkara
yang paling penting dalam konsep pengasingan kuasa ini ialah semak dan imbang, yang mana
kebebasan kehakiman adalah antara isu-isu utama. Walaupun begitu konsep pengasingan
kuasa tidak begitu ketat dalam sistem Westminster.

Di samping itu, perlembagaan biasanya akan menentukan hak-hak dan kebebasan rakyat,
hak-hak yang mana tiada mana-mana pihak, terutamanya pihak eksekutif, atau kerajaan tidak
boleh campur tangan, kecuali secara secara sah.

Perlembagaan mengandungi perkara-perkara asas sesebuah negara, seperti nama negara


tersebut, geografi atau persempadanan negara. Perlembagaan juga menjelaskan sistem
pentadbiran negara. Sebagai contoh, Perlembagaan moden menentukan sistem negara, sama
ada sistem demokrasi beraja atau demokrasi republik atau apa juga sistem yang dipilih oleh
sesebuah negara. Pendek kata, apabila kita mahu mengenali sesebuah negara, antara cara
mudah ialah dengan membaca Perlembagaan negara tersebut.

Dalam dunia demokrasi liberal yang diamalkan di kebanyakan bahagian dunia, Perlembagaan
bukan semata-mata menjelaskan sistem atau tatacara pentadbiran dan sifat negara, tetapi ia
juga boleh dianggap sebagai manifestasi kehendak rakyat sesebuah negara. Perlembagaan
Amerika Syarika sebagai contoh, menyatakan pada bahagian permulaan atau preamble
bahawa Perlembagaan itu adalah kehendak orang-orang Amerika apabila ia dimulakan
dengan “We the people of America…”. Apabila Perlembagaan itu merupakan manifestasi
kepada kehendak rakyat, maka Perlembagaan juga befungsi sebagai satu pemasyhuran
kepada persetujuan tentang tatacara politik dan sosial yang perlu dipatuhi oleh rakyat dan
kerajaan.7

Maksudnya di sini, Perlembagaan bukan sahaja menjelaskan tentang sistem pentadbiran


negara, tetapi Perlembagaan juga berfungsi sebagai mekanisme utama dalam menyelesaikan

5
R.N. Gilchrist, Principles of Political Science, (Bombay: Longman Greens and Co), 1921, ms. 244
6
Stanley de Smith & Rodney Brazier, Constitutional and Administrative Law, Edisi ke-8., 1998, ms. 5
7
Rujuk Stanley De Smith & Rodney Brazier, Constitutional and Administrative Law,

3
masalah sosial atau politik, perhubungan antara ahli masyarakat dalam sesebuah negara.
Perkara ini menjadi begitu penting terutamanya dalam sebuah negara yang mempunyai fabrik
sosial yang pelbagai, seperti kepelbagaian kaum dan agama atau sebuah negara majmuk
seperti Malaysia.8

Bagi sebuah negara yang pernah di bawah pemerintahan kuasa asing atau di bawah
penjajahan Perlembagaan merupakan simbol kemerdekaan. Ini kerana pada kebiasaan dan
amalan, penjajah mahukan sebuah sesebuah negara itu mempunyai sistem tertentu yang
dimasyhurkan menerusi sebuah Perlembagaan sebelum mereka mengisytihar atau mengiktiraf
kemerdekaan bagi negara tanah jajahannya atau negara di bawah pentadbirannya.

Bagi sebuah negara Persekutuan atau negara yang membentuk gabungan pula Perlembagaan
merupakan satu bentuk perjanjian. Negara Persekutuan atau negara gabungan merupakan
negara yang terdiri daripada beberapa buah negeri yang bersetuju untuk membentuk satu
persekutuan atau gabungan pentadbiran. Walaupun ada perbezaan dalam sistem pentadbiran
sebuah negara persekutuan dan negara gabungan tetapi fungsi perlembagaan dalam kedua-
dua jenis negara ini ialah membentuk perjanjian antara negeri-negeri yang membentuk sistem
itu.

Dalam negara Persekutuan atau negara gabungan itu Perlembagaan pada kebiasaannya
memperincikan sistem pentadbiran persekutuan. Perlembagaan itu juga memperincikan
tentang tahap kuasa atau hak autonomi negeri-negeri yang membentuk gabungan atau
persekutuan tersebut. Perkara inilah yang menjadikan Perlembagaan itu satu perjanjian, yang
mana Perlembagaan itu adalah persetujuan antara kedua peringkat pentabdiran. Dengan
adanya Perlembagaan sebagai sebuah perjanjian, maka Perlembagaan tersebut menjadi
rujukan dalam apa bentuk perselisihan antara negeri-negeri yang membentuk persekutuan
atau gabungan tersebut, atau juga sekiranya berlaku perselisihan antara kerajaan perekutuan
dan salah satu negeri atau negeri-negeri dalam persekutuan atau gabungan tersebut.
Perjanjian ini penting bagi mempastikan kedua peringkat kerajaan itu faham akan tahap kuasa
dan tanggungjawab masing-masing.

Perlembagaan juga boleh dianggap sebagai sebuah perjanjian antara kerajaan dan rakyat. Ini
dapat disaksikan dalam pengisian Perlembagaan yang kebiasaannya mengandungi peruntukan
berkenaan hak atau kebebasan rakyat. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab tertentu
ke atas rakyat dan juga kerajaan.

Ciri-Ciri Perlembagaan Persekutuan

Sebelum melihat kepada ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan, adalah penting untuk difaham
serba ringkas pembentukan Malaysia, dari segi geografi dan sedikit tentang sejarahnya.
Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang dibentuk oleh 13 buah negeri yang
merdeka. Negeri-negeri yang membentuk Malaysia terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan,
Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor
dan Terengganu. Malaysia juga mempunyai tiga Wilayah Persekutuan, iaitu (1) Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, yang asalnya sebahagian daripada negeri Selangor, (2) Labuan,
yang merupakan sebahagian daripada Sabah dan (3) Putrajaya, yang juga merupakan
sebahagian daripada Selangor.
8
Ibid.Lihat juga Rizal Yaakob & Shamrahayu A. Aziz, Kontrak Sosial, Perlembagaan Persekutuan Pengikat
Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka, Kuala Lumpur: ITBM, 2014

4
Setiap satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia mempunyai
Perlembagaannya yang tersendiri, dan dikuatkuasakan hanya dalam negeri masing-masing.
Kesemua negeri yang membentuk Malaysia mempunyai sejarah masing-masing. Sembilan
buah negeri Melayu mempunyai sejarah yang panjang, terutamanya tentang kedudukan dan
peranan yang dimainkan oleh agama Islam dalam bentuk perundangan, sosial budaya dan
juga politik.

Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana namanya merupakan sebuah Perlembagaan yang


digubal sebagai mercu kepada kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan seterusnya
pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan ia mempunyai ciri-ciri umum tertentu.

Perlembagaan Bertulis
Perlembagaan Persekutuan adalah Perlembagaan bertulis yang menjadikannya undang-
undang utama atau undang-undang paling tinggi dalam Persekutuan (Malaysia). Dengan
nyatanya kita boleh melihat Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk fizikalnya sebuah
dokumen. Ia telah dideraf oleh Suruhanjaya Perlembagaan, dikenali sebagai Suruhanjaya
Reid, dilantik dengan terma rujukan lantikan atau bidnag tugas yang ditetapkan oleh Raja-
Raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan telah diluluslan di Parlimen British dan
kemudiannya dibawa pulang ke Tanah Melayu dan dibahaskan serta diluukan oleh Badan
Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) sebelum ia diterima sebagai
Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya Perlembagaan itu diterima oleh setiap satu Badan
Perundangan di negeri-negeri untuk ia beroperasi di negeri-negeri yang membentuk
Persekutuan Tanah Melayu. Ketika membentuk Malaysia pada 1963, Perlembagaan yang
sama telah diterima, dipinda dan seterusnya beroperasi di negeri-negeriyang baharu
menyertai Persekutuan. Perlembagaan yang bertulis yang sama beroperasi selepas Singapura
bukan lagi sebahagian daripada Malaysia. Begitu juga dengan Perlembagaan.

Walaupun Perlembagaan itu bertulis, seperti yang jelas dalam maksud Perlembagaan yang
dipetik dan dihurai dalam perenggan sebelum ini, dalam undang-undang perlembagaan,
masih lagi terdapat peraturan-peraturan yang tidak bertulis. Peraturan yang tidak bertulis ini
dapat dilihat dalam amalan-amalan atau konvensyen Perlembagaan yang berasaskan kepada
sejarah, keadaan sosiologi, politik, juga termasuk budaya dan antropologi negara.

Sebagai dokumen bertulis, Perlembagaan Persekutuan juga memerlukan tafsiran. Ini adalah
lumrah kerana ada kalanya yang bertulis itu tidak dapat menggambarkan maksud sebenar
yang di mahukan. Adakalanya juga perkataan yang bertulis itu mempunyai maksud-maksud
tertentu dan berbeza. Apatah lagi dalam keadaan Perlembagaan adalah sebuah dokumen yang
seharusnya menjangkau masa - berfungsi sepanjang zaman dan digambarkan sebagai organic
law, kerana sifatnya yang 'hidup' yang seharusnya boleh disesuaikan dalam pelbagai keadaan.

Tafsiran Perlembagaan
Tafsiran Perlembagaan memainkan peranan yang amat penting bagi mempastikan
Perlembagaan itu sesuai dan boleh diterima sebagai dokumen yang relevan sepanjang masa.
Dalam mentafsir Perlembagaan, beberapa kaedah boleh diterima, seperti kaedah literal, iaitu
kaedah yang hanya melibatkan maksud kamus, atau maksud yang. Perlembagaan juga boleh
ditafsir denga menggunakan kaedah purposive, iaitu kaedah yang melihat kepada niat sesuatu
peruntukan, sama ada dengan melihat kepada sejarah atau perkara-perkara lain. Apa yang
penting ialah, tafsrian kepada Perlembagaan tidak boleh begitu ketat sehingga menjadikannya

5
rigid sehingga menyusahkan. Tafsiran sebegini akan membolehkan Perlembagaan sesuai
sepanjang masa. Tafsiran Perlembagaan juga hendaklah mengambil pendekatan holistic ,
iaitu pendekatan menyeluruh. Pendekatan menyeluruh ini bermaksud, Perlembagaan
hendaklah difahami dengan maksud kapada keseluruhan dokumen, dan bukan hanya
mengambil peruntukan yang disukai sahaja.9

Autoriti yang paling tinggi untuk mentafsir Perelembagaan Persekutuan ialah Mahkamah
yang paling tinggi. Dalam kes negara kita, Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah
yang berhak menentukan tafsiran kepada Perlembagaan. Bahkan sekiranya sesuatu kes itu
sedang didengar di mahkamah yang lebih rendah dan sekiranya timbul persoalan tafsrian
Perlembagaan, maka kes itu hendaklah dihentikan sementara. Persoalan tentang tafsiran
Perlembagaan perlu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan dan setelah persoalan tersebut
diselesaikan, baharulah mahkamah yang mula-mula tadi bole meneruskan prosiding atau
urusna berkaitan kes berkenaan.10

Perlembagaan Undang-Undang Tertinggi


Sebagai undang-undang tertinggi negara, apa juga undang-undang yang diluluskan selepas
hari merdeka adalah tidak sah sekiranya didapati tidak selaras dengan peruntukan
Perlembagaan.11 Manakala undang-undang yang telah sedia ada sebelum hari merdeka
hendaklah diubahsuai sehingga menjadi selaras dengan Perlembagaan.12

Sebagai undang-undang tertinggi negara juga Perlembagaan Persekutuan adalah penanda aras
kepada semua undang-undang dan juga polisi atau kaedah pentadbiran negara. Semua
undang-undang atau polisi tersebut hendaklah menepati segala peruntukan yang ada dalam
Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan juga menjadi undang-undang tertinggi kerana ia adalah punca kuasa kepada
penubuhan sesebuah kerajaan dan mencipta tiga organ kerajaan, iaitu eksekutif, perundangan
dan kehakiman, mentakrifkan kuasa dan menentukan skop kuasa organ-organ kerajaan itu.

Badan perundangan di peringkat persekutuan ialah Parlimen, yang terdiri daripada Yang di-
Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.13 Di peringkat negeri, semua negeri
mempunyai Badan Perundangan masing-masing, yang terdiri daripada Raja bagi Negeri dan
Dewan Undangan Negeri. Fungsi badan perundangan adalah untuk menggubal undang-
undang. Parlimen menggubal undang-undang mengenai perkara-perkara di bawah Senarai
Persekutuan dan Senarai Bersama.14 Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dikenali
sebagai Akta Parlimen. Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang mengenai
perkara-perkara di bawah Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Undang-undang ini dikenali
sebagai Enakmen dan bagi negeri Sarawak, undang-undangnya dipanggil Ordinan.

9
Untuk bacaan lanjut tentang tafsiran Perlembagaan, lihat, sebagai contoh, Ahmad Ibrahim, "Interpreting the
Constitution: Some General Principles" in Suffian, Lee & Trindade (Eds), The Constitution of Malaysia:Its
Development 1957-1977, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1978
10
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 128. Lihat juga Perkara 4(4)

11
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 4(1)
12
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 162(6)(7)
13
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 39
14
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74

6
Kepentingan Badan Perundnagan berkaitan maqasid Syariah ini ialah Badan-Badan ini
membuat undang-undang yang meenpati prinsip maqasid.

Pihak Pelaksana atau Eksekutif merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan
undang-undang dan polisi negara. Perlembagaan meletakkan peruntukan bahawa Kuasa
eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk
kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua,
bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi
kuasa oleh Jemaah Menteri. Di samping itu, Parlimen boleh, melalui undang-undang,
memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.15 Kabinet, yang terdiri daripada Menteri-
menteri, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatinya dalam menjalankan kuasa
bukan budi bicara baginda.16 Menteri Kabinet bertanggungjawab merangka dasar, pelan dan
menyelaras program pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini.

Sementara itu, perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada eksekutif. Perkhidmatan


awam bertanggungjawab untuk melaksanakan undang-undang dan dasar-dasar, ditakrifkan di
bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Perkhidmatan awam termasuklah, angkatan
tentera; perkhidmatan kehakiman dan undang-undang; perkhidmatan awam am Persekutuan;
pasukan polis; perkhidmatan awam bersama; perkhidmatan awam setiap Negeri; dan
perkhidmatan pendidikan.17

Pihak eksekutif berperanan dalam pelaksanaan undanng-undang, dasar atau polisi negara.
Oleh itu, Perlembagaan, yang menjadi punca kepada kuasa pihak eksekutif. aka pihak
eksekutif ini juga tetakluk dengan tanggungjawab melaksanakan maqasid syariah yang ada
dalam Perlembagaan Persekutuan.

Badan kehakiman adalah satu lagi organ kerajaan. Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan peruntukan mengenai Badan Kehakiman. Perlembagaan menyebut tentang
penubuhan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah
khas, iaitu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa mengenai perkara-perkara yang
melibatkan Raja-Raja, yang ditubuhkan di bawah Perkara 182 Perlembagaan.

Perkara penting melibatkan badan kehakiman dan maqasid al-Syariah ialah, Badan
Kehakiman, secara spesifiknya, Mahkamah Persekutuan, mempunyai kuasa dan bidang kuasa
untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan.18 Oleh itu, Badan Kehakiman memainkan
peranan yang amat penting dalam mencungkil prinsip-prinsip maqasid al-syariah dalam
Perlembagaan. Ini kerana, pada umumnya Perlembagaan mempunyai peruntukan yang luas
dan tafsriannya boleh dibuat menerusi pelbagai kaedah. Andainya Perlembagaan tidak
mempunyai peruntukan yang jelas atau harfiah mengenai sesuatu maqasid al-Syariah, maka,
Mahkamah, dalam melaksanakan peranannya mentafsir Perlembagaan, boleh, menerusi
metodologi atau kaedah yang betul, menerima pakai maqasid al-Syariah.

Sementara itu, Perlembagaan Persekutuan, juga membenarkan penubuhan mahkamah Syariah


di peringkat negeri.19 Peruntukan ini telah wujud dalam Perlembagaan Persekutuan sejak
mereka. Kemudiannya, menerusi pindaan pada tahun 1988, Perlembagaan Persekutuan telah
15
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 39
16
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 40
17
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 132
18
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 128
19
Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai Negeri, Butiran 1

7
memberikan status berkaitan bidang kuasa yang lebih jelas kepada mahkamah Syariah
apabila dinyatakan dalam Perkara 121(1A) bahawa Mahkamah-Mahkamah lain tidak
mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang ada di bawah bidang kuasa
mahkamah Syariah. Bidang kuasa mahkamah Syariah juga boleh dilihat dalam proviso
kepada Perkara 5(4) yang mana, mana-mana orang yang ditahan berkaitan kesalahan Syariah
hendaklah dibawa ke hadapan hakim mahkamah Syariah.

Dalam konteks perbincangan berkenaan maqasid al-Syariah, pengiktirafan kepada


mahkamah Syariah ini, selain daripada menunjukkan bahawa wujudnya maqasid Syariah
dalam Perlembagaan, ia juga telah menjadikannya sebagai satu mekanisme untuk
melaksanakan maqasid al-Syariah.

Sifat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi amat penting dalam


penentuan dan pelaksanaan maqasid al-Syariah. Sekiranya maqasid al-syarriah wujud atau
telah sedia ada di dalamnya, ini bermakna maqasid al-Syariah telah ada dalam Perlembagaan
dan membentuk undang-undang tertinggi negara.

Perlembagaan Monarki
Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf sistem monarki. Amat jelas, Perlembagaan Malaysia
mengekalkan takhta raja-raja Melayu dan seterusnya Perlembagaan menambahkan satu lagi
takhta raja di peringkat Persekutuan apabila menubuhkan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Seiringan juga Perlembagaan mengisytiharkan Institusi Majlis Raja-Raja yang dinyatakan
dengan beberapa tugasan dalam budi bicara dan bukan budibicara.20 Antara lain, tugasan dan
peranan Majlis Raja-Raja ialah dalam hal berkaitan agama Islam. Selain itu Majlis Raja-Raja
juga berperanan menjaga kedudukan takhta baginda, kedudukan Perlembagaan negeri,
beberapa elemen tradisi dalam Perlembagaan, seperti Bahasa dan keistimewaan Melayu.
Majlis Raja-Raja juga boleh menjadi mekansime semak dan imbang apabila diberikan
peranan budi bicara.21

Perlembagaan Persekutuan semasa dan perlembagaan negeri memperuntukkan sistem raja


berperlembagaan di peringkat Persekutuan dan Negeri masing-masing. Raja berperlembagaan
bermaksud raja, iaitu Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan Raja-Raja di
peringkat negeri, hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri (Kabinet) atau masing-
masing Majlis Eksekutif (EXCO). Ia disediakan dalam Perkara 40 Perlembagaan
Persekutuan.

Dalam konteks maqasid al-syariah, pengekalan kedudukan raja atau sistem monarki ini
adalah pentanda baik tentang kewujudan maqasid al-Syariah dalam Perlembagaan. Ini
berkait rapat dengan penjagaan agama, yang merupakan maqasid al-Syariah yang pertama.
Di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Utama Negara,22
manakala para raja atau sultan di peringkat negeri, merupakan Ketua Utama bagi negeri
baginda. Para raja disyaratkan menganut agama Islam dan baginda juga merupakan Ketua
20
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 38 dan Jadual Kelima
21
Lihat Shamrahayu A. Aziz, "Raja Berperlembagaan Kesinambungan Waad, Raja dan Rakyat" dalam Mohd.
Yusof Hitam, Ghazali Dato' Mohd Yusoff, Sofian Ahmad et all, Rakyat, Raja dan Kerajaan Ketatanegaraan
Peribumi Bangsa Rumpun Melayu, Kuala Lumpur: Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), 2016

22
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 32

8
Agama Islam dalam negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong merupakan
Ketua Agama Islam bagi negeri baginda dan negeri-negeri tanpa raja (Melaka, Pulau Pinang,
Sabah dan Sarawak).23 Secara maqasid syariah, tiada seinci pun tanah dalam Malaysia ini
yang tidak dinaungi oleh raja sebagai Ketua Agama Islam. Dan, agama Islam ini ditadbir
dengan budi bicara baginda, bukan atas nasihat mana-mana pihak. Selain itu, baginda semua
mengambil sumpah jawatan masing-masing untuk mentadbir berdasarkan Perlembagaan,
undang-undang dan keadilan, dan, pada masa sama memelihara agama Islam.24 Kesemua
prinsip ini amat jelas dan begitu rapat dengan prinsip maqasid al-syariah untuk menjaga
agama.

Perlembagaan Demokrasi
Perlembagaan Persekutuan mempunyai ciri-ciri demokrasi berparlimen. Maksudnya di sini,
melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi
beparlimen, yang mana dalamnya ada peruntukan berkaitan Pilihan Raya, terutamanya
dengan adanya peruntukan berkaitan pilihan raya dan penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya.25
Begitu juga dengan mewujudkan Parlimen.26 Walaupun begitu, tiada perkataan demkorasi
dijumpai dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara umumnya, terdapat dua corak pemerintahan demokrasi, sistem beraja dan Republik.
Tanah Melayu yang merdeka pada 1957, dan seterusnya Malaysia, memilih dan mengekalkan
sistem demokrasi Parlimen bersama-sama dengan raja berperlembagaan. Dalam sistem ini,
terdapat Parlimen, badan perundangan persekutuan, yang terdiri daripada Yang di-Pertuan
Agong dan dua Majlis iaitu Dewan Rakyat (Dewan Rakyat) dan Senat (Dewan Negara).

Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri
daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis (Parlimen) yang dikenali sebagai Dewan
Negara (Senat) dan Dewan Rakyat (Dewan Rakyat) .Di peringkat negeri, kuasa perundangan
negeri terletak hak pada Dewan Undangan Negeri.

Demokrasi Berparlimen bermakna orang yang terlibat dalam pentadbiran, di mana mereka
adalah berdaulat politik yang bebas untuk memilih wakil mereka melalui pilihan raya. Bagi
tujuan menjalankan pilihan raya, Perlembagaan menetapkan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya.
Pada tahun 2012, pindaan telah dibuat kepada Kanun Keseksaan untuk memperkenalkan
peruntukan mengenai kesalahan yang berhubungan dengan demokrasi berparlimen.

Dalam menerima dan mengamal sistem demokrasi, seperti yang dibincangkan di atas,
Perlembagaan Persekutuan membentangkan dengan jelas dan luas tentang kedudukan
monarki dan Islam. Dengan itu, Perlembagaan, seperti yang akan dibincangkan di bawah,
mempunyai peruntukan yang terperini tentang kedudukan Islam. Oleh itu, dalam konteks
maqasid al-Syariah, walaupun Perlembagaan mengesahkan sistem demokrasi melalui pilihan
raya dan perjalanan Parlimen, namun, dalam sistem tersebut, beberapa elemen lain perlu
diambil kira. Antaranya ialah sumpah raja-raja dalam mengambil tanggungjawab segabaik
Ketua Utama Negara dan juga di peringkat negeri, sebagai Ketua Utama Negeri, untuk
mentadbir negara berdasarkan Perlembagaan, Undang-Undang, keadilan dan memelihara
agama Islam. Di samping itu, di peringkat negeri (Negeri Melayu sahaja), kuasa raja-raja
berkaitan lantikan menteri besar begitu jelas.. Walaupun syarat yang dikenakan oleh
23
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 dan Jadual Kelima
24
Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keempat
25
Perlembagaan Persekutuan, Bahagian VIII
26
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 44

9
Perlembagaan negeri ialah, seseorang hanya boleh dilantik sebagai meneteri besar sekiranya
beliau memenangi pilihan raya (melalui proses demokrasi) tetapi, syarat lain yang dikenakan
oleh Perlembagaan Negeri tersebut ialah, beliau hendaklah juga beragama Islam dan
berbangsa Melayu. Walaupun syarat ini boleh dimansuhkan oleh Raja-Raja sendiri, tetapi ini
menunjukkan sistem demokrasi yang diamalkan di sini masih lagi bergantung kepada kuasa
raja yang dijelaskan dalam Perlembagaan sendiri. Tanggungjawab raja memelihara Islam
juga dapat dilihat sebagai peruntukan yang boleh meletakkan parameter tertentu kepada
demokrasi.

Kedua-dua perkara ini (kuasa budi bicara raja berkenaaan agama Islam dan kuasa raja
melantik hanya mereka yang beragama Islam dan berbangsa Melayu sebagai Menteri Besar)
adalah peruntukan yang bersifat 'semak dan imbang' ke atas wajah demokrasi kita. Ia boleh
dijadikan parameter untuk mempastikan demokrasi yang diterima dan diamalkan dalam
negara ini tidak bersifat demokrasi liberal yang semata-mata meletakkan rakyat sebagai
'political sovereign' dalam menentukan undang-undang dan polisi negara.

Dalam konteks maqasid al-syariah, walaupun kita menerima dan mengamal sistem
demokrasi, ia bukanlah demokrasi yang bebas menentukan undang-undang, dasar dan polisi
negara tanpa kawalan dan menjadi demokrasi liberal.

Perlembagaan Menjamin Kebebasan Asasi


Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan khusus dalam menjaga Kebebasan Asasi.
Ini adalah ciri penting Perlembagaan, yang mana, salasilah Perlembagaan ialah untuk
menjaga kepentingan masyarakat daripada dicerobohi oleh pihak berkuasa. Menurut laporan
Suruhanjaya Reid peruntukan mengenai kebebasan asasi telah dimasukkan untuk tujuan
membina cara hidup berdemokrasi. Peruntukan berkaitan kebebasan asasi dimuatkan dalam
Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Bahagian ini II mengandungi sembilan peruntukan,
iaitu Perkara 5 hingga 13. Apabila digabungkan kesemua peruntukan ini didapati tidak
kurang daripada 17 hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Hak-hak termasuk
termasuklah hak untuk hidup, hak untuk kebebasan peribadi (Perkara 5.); Hak untuk tidak
diperlakukan dalam perhambaan, hak tidak dijadikan buruh paksa (Perkara 6.); Hak untuk
tidak dikenakan undang-undang jenayah retrospektif (berkesan kebelakang)27, hak tidak
dibicarakanatas kesalahan sama (Perara 7.); hak untuk diberi layanan yang sama oleh
undang-undang, hak untuk dilindungi sama rata oleh undang-undang (Perkara 8.); hak untuk
bergerak bebas, hak tidak buang negeri (Perkara 9.); hak kebebasan bersuara, hak untuk
berhimpun, hak untuk menyertai persatuan (Perkara 10.); hak untuk menganut, mengamalkan
dan menyebarkan agama, hak untuk membentuk persatuan agama (Perkara 11.); hak
berkenaan dengan pendidikan, yang merangkumi hak untuk menubuhkan institusi pendidikan
agama (Perkara 12) dan hak untuk memiliki harta (Perkara 13).

Semua hak ini adalah tertakluk kepada had dan sekatan yang boleh dikenakan oleh Parlimen
pada pelbagai alasan. Alasan-alasan yang paling asas tentang batasan atau kawalan kepada
kebebasan asasi ini termasuk keselamatan negara, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Sementara itu, dalan Senarai Negeri, pada Jadual Kesembilan ada dinyatakan dinyatakan
bahawa Badan Perundangan Negeri boleh membuat kesalahan-kesalahan berkaitan perintah
agama Islam yang hanya boleh dikuat kuasakan ke atas mereka yang menganut agama Islam.
Dalam menjalankan kuasa dan bidangkuasa berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan
27
Lihat Shamrahayu A.Aziz, Nullum Crimen Nulla Poena Sine Lege: Non-retrospective Application of Law
under the Malaysian Federal Constitution [2008] 4 The Law Review 538 – 548

10
perintah agama Islam, pihak Badan Perundangan negeri dan pihak berkuasa agama Islam
(contohnya fatwa yang diwartakan) sering dianggap bersalahan dengan prinsip kebebasan
asasi. Sebagai contoh, dalam kes ZI Publications Sdn Bhd & Ezra28 pemohon mencadangkan
kepada mahkamah supaya membuat pengisytiharan bahawa seksyen 16 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1985 adalah tidak sah kerana ia membentuk sekatan ke atas kebebasan
bersuara. Mahkamah walau bagaimanapun memutuskan bahawa, antara lain, pertama,
kekebasan asasi hendaklah dibaca bersama Perkara 3, iaitu peruntukan yang mengisytiharkan
Islam sebagai agama bagi negara. Dan, keduanya, Mahkamah memutuskan bahawa Badan
Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat kesalahan itu berdasarkan punca
kuasa dalam Senarai Negeri, iaitu kesalahan-kesalahan berkaitan perintah agama Islam.
Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah dalam kes ini ialah mengharmonikan pemakaian
semua peruntukan Perlembagaan.

Dalam konteks perbincangan berkaitan maqasid Syariah, ciri Perlembagaan yang menjamin
kebebasan atau hak adalah begitu penting. Ini kerana maqasid syariah adalah terdiri daripada
prinsip-prinsip yang menjamin kebebasan. Namun, maqasid syariah meletakkan parameter
tertentu yang perlu dipatuhi. Selain itu, pendekatan atau kaedah tafsiran yang dibuat oleh
Mahkamah tentang hak asasi juga begitu penting. Ini kerana terdapat beberapa hak asasi yang
tidak secara harfiah menebut tentang maqasid syariah, seperti menjaga keturunan.

Perlembagaan Menjamin Agama Islam


Ciri agama dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dengan jelas dalam peruntukan
Perkara 3.29 Perkara 3(1) memperuntukkan bahawa "Islam adalah agama bagi Persekutuan;
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian
Persekutuan". Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini telah dikatakan sebagai elemen
tradisi,30 ciri asas (basic feature),31 struktur asas (basic structure),32 dan karekter unik (unique
character)33 kepada Perlembagaan Persekutuan. Pernah dicadangkan bahawa antara kesan
Perkara 3(1) ini ialah, Islam menjadi ideologi Negara.34

Maksud dan niat tentang pengiktirafan Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak
dijelaskan dengan penjelasan yang sempurna oleh Suruhanjaya Reid, kecuali kenyataan
dalam Laporannya bahawa, "it shall not impose any disability on non-Muslim nationals
professing and practising their own religions and shall not imply that the State is not a secular

28
ZI Publications Sdn Bhd (Company No. 398106-W) & Mohd Ezra Bin Mohd Zaid lwn Kerajaan Negeri
Selangor (Kerajaan Malaysia & Majlis Agama Islam Selangor sebagai Pencelah-Pencelah)
http://www.kehakiman.gov.my/directory/judgment/file/1-12-2012(B).pdf
29
Untuk bacaan lanjut lihat Shamrahayu A. Aziz, “Islam is the Religion of the Federation – its Meaning and
Implication” (2005) 14 IIUMLJ 33 – 49; Shamrahayu A. Aziz, “Some Thoughts on the Relationship between
Law and Religion in Malaysia” [2009] 1 CLJ xix; Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan, Kuala Lumpur:
Intel Multimedia, 2010
30
Mohamed Salleh bin Abas, Selected Articles and Speeches on Constitution, Law & Judiciary, (Malaysian
Law Publishers Sdn Bhd, 1984), ms. 42.
31
Mohamed Suffian, An Introduction to the Legal System of Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn
Bhd, 1989, ms. 10.
32
Hujah "struktur asas" (basic structure) telah dicadangkan oleh pegaum terpelajar dalam kes Phang Chin Hock
v. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 67, [1980] 1 MLJ 70. Walaupun hujah ini tidak diterima secara spesifik oleh
Mahkamah Persekutuan, tetapi mahkamah tidak pula menolaknya
33
Abdul Aziz Bari, Malaysian Constitution a Critical Introduction, Kuala Lumpur:The Other Press, 2003, ms.
46.
34
Ibid, Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan, Kuala Lumpur: Intel Multimedia, 2010

11
State.”35 Sementara itu, dalam pendapat berasingan, Hakim Abdul Hamid, sebagai salah
seorang ahli Suruhanjaya, menyatakan bahawa peruntukan mengenai Islam dalam
Perlembagaan adalah hasil daripada persetujuan semua pihak dan ia tidak menafikan hak
kebebasan beragama mereka yang tidak menganut agama Islam.

Walau bagaimanapun, peruntukan 3(1) ini menunjukkan kedudukan Islam yang jelas dan
Islam telah diberi pengiktirafan khas dalam undang-undang tertinggi. Banyak keputusan
mahkamah yang telah memperakui kedudukan Islam dalam Perlembagaan.36 Berkaitan,
Perkara 3(1) ini mengandungi dua aspek iaitu (i) Islam adalah agama bagi Persekutuan dan
(ii) amalan agama lain adalah dibenarkan dalam keadaan aman dan damai.

Di samping Perkara 3(1), Perlembagaan juga mempunyai beberapa peruntukan lain yang
memberikan kedudukan istimewa dan selesa kepada Islam. Peruntukan-peruntukan tersebut
termasuklah pengiktirafan Perlembagaan terhadap undang-undang yang mengawal dan
menyekat pengembangan agama atau doktrin dalam kalangan umat Islam.37 Perlembagaan
juga menyebut dengan jelas bahawa kerajaan boleh menubuh, menyenggara institusi agama
Islam dan juga menyalurkan bantuan kewangan bagi tujuan pendidikan agama Islam
sebagaimana dengan jelas diperuntukkan “adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri
menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau
menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam
mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana
yang perlu bagi maksud itu.”38

Selain daripada itu, kandungan Perlembagaan berkenaan sumpah jawatan Yang di-Pertuan
Agong sebagai Ketua Utama Negara mengukuhkan lagi kedudukan Islam. Sumpah jawatan
tersebut, sebagaimana nyatanya dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan,
meletakkan tanggungjawab Perlembagaan ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk sentiasa
memelihara kedudukan Islam. Secara harfiah lafaz sumpah tersebut berbunyi, “…Dan lagi
Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada
setiap masa Agama Islam… …”.

Perkara 150(6A) menjaga kedudukan undang-undang Islam semasa keadaan darurat, yang
mana, walaupun Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong boleh membuat undang-undang
berkaitan apa sahaja dan bertentangan dengan Perlembagaan, kedua-dua institusi itu tidak
boleh berbuat sesuatu yang memberi kesan negatif ke atas undang-undang Islam.39
35
Lihat para. 169, Laporan Suruhanjaya Perlembagaan, 1956 – 1957; boleh juga didapati dalam Kevin Y.L. Tan
& Thio Li-ann, Constitutional Law in Malaysia & Singapore, Edisi Ke-2, Singapura:Butterworths Asia, 1997,
ms. 930 – 985 (Appendix A).
36
Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor [2004] 6 CLJ 242 - Islam mempunyai tempat
yang dominan (Islam is at a dominant status); Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor
[2005] 4 CLJ 666; Meor Atiqulrahman bin Ishak & Yang Lain lwn. Fatimah bte Sihi & Yang Lain [2000] 1 CLJ
393, [2000] 5 MLJ 375; Fatimah bte Sihi & Ors v. Meor Atiqulrahman bin Ishak & Ors [2005] 2 CLJ 255,
[2005] 3 AMR 11; ZI Publications Sdn Bhd (Company No. 398106-W) & Mohd Ezra Bin Mohd Zaid lwn
Kerajaan Negeri Selangor (Kerajaan Malaysia & Majlis Agama Islam Selangor sebagai Pencelah-Pencelah)
http://www.kehakiman.gov.my/directory/judgment/file/1-12-2012(B).pdf;
37
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(4) dan Butiran 1 dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan
38
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 12(2)
39
Perkara 150 (5) Tertakluk kepada Fasal (6A), semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh,
walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara, jika
didapati oleh Parlimen bahawa undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat itu; dan Perkara 79 tidaklah
terpakai bagi suatu Rang Undang-Undang untuk sesuatu undang-undang yang sedemikian atau bagi sesuatu
pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian, dan juga tidaklah terpakai mana-mana

12
Oleh itu, sekiranya membincangkan tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan, kita tidak
boleh menghadkannya hanya kepada Perkara 3(1) sahaja. Kesemua peruntukan lain yang
disebut di atas juga berkaitan Islam dan mempunyai implikasi secara langsung atau tidak
langsung kepada amalan dan pentabiran Negara. Semuanya hendaklah dibaca beriringan.

Kaedah membaca Perlembagaan seperti itu akan memberikan kita pemahaman yang
menyeluruh mengenai Perlembagaan. Ia seterusnya dapat memberikan ruh kepada setiap
patah pengisian Perlembagaan. Pemahaman yang menyeluruh ini akan dapat membawa kita
kepada penghayatan sebenar seluruh isi kandungan Perlembagaan. Bagi tujuan perbincangan
di sini ia memberi pemahaman menyeluruh mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan
dan juga kesannya. Walaupun per. 3(4) menyatakan bahawa “Tiada apa-apa jua dalam ini
mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini”, ia tidak menyekat kita
untuk memberi erti atau membuat tafsiran berkaitan kedudukan Islam yang diperjelas oleh
peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan tanpa menyandarkannya semata-mata
kepada per.3(1).

Ini kerana Perlembagaan merupakan tulang belakang falsafah negara, sumber utama
pentadbiran dan asas perundangan Negara. Kita hendaklah faham tentang kaedah membaca
dan mentafsir Perlembagaan. Sebagai undang-undang tertinggi Negara, pemahaman yang
tepat ke atas setiap peruntukannya sangat penting. Atas sifat Perlembagaan sebagai undang-
undang tertinggi Negara juga, setiap patah dan fasal dalam Perlembagaan berkehendakkan
kepada perhatian sewajarnya. Dalam membaca Perlembagaan, kita tidak boleh, dalam
ungkapan Inggeris ‘cherry pick’, iaitu memilih peruntukan yang menyokong hujah kita sahaja
tetapi mengabaikan peruntukan lain yang tidak menepati kehendak kita.

Pembacaan dan pentafsirannya juga meletakkan prinsip konstruksi harmoni dan lengkap-
melengkapi antara satu sama lain. Peruntukan Perlembagaan hendaklah dianggap harmoni
antara satu sama lain. Prinsip ini bertujuan mempastikan kesemua peruntukan Perlembagaan
diberikan nadi dan saraf masing-masing mengikut keperluan dan niat ia dimuatkan dalam
Perlembagaan. Setiap satunya juga hendaklah diselaraskan antara satu sama lain sekiranya
peruntukan Perlembagaan itu kelihatan seolah-olah berbeza atau bercanggan antara satu sama
lain. Dengan cara ini setiap peruntukan diraikan peranan dan tujuan, bukan setakat yang jelas
lafziyyahnya tetapi juga ruh dan semangatnya yang tidak tertera dalam bentuk tulisan (the
unwritten rules), tanpa meremehkan peruntukan lain. Pendekatan tafsiran sebegini juga akan
menjadikan Perlembagaan relevan dan mudah untuk diterima pakai dalam apa juga keadaan
dan masa.

peruntukan Perlembagaan ini atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang menghendaki apa-apa
keizinan atau persetujuan bagi meluluskan sesuatu undang-undang atau apa-apa rundingan mengenainya atau
yang menyekat permulaan kuat kuasa sesuatu undang-undang selepas undang-undang itu diluluskan atau yang
menyekat Rang Undang-Undang daripada dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk
diperkenankan olehnya.
(6)Tertakluk kepada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Perkara ini,
dan tiada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan
yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh Parlimen undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat, boleh
menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini.
(6A) Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat
Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak;
dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan
Perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama,
kewarganegaraan atau bahasa.

13
Apabila dikaitkan dengan maqasid al-syariah, amat jelas sekali bahawa Perlembagaan
menjaga kedudukan agama dan juga kebebasan beragama.

Perlembagaan dan Keadilan Sosial


Keadilan sosial amat penting dalam mengekalkan kestabilan kaum dalam sebuah negara
seperti Malaysia yang terdiri daripada pelbagai fabrik agama, budaya dan bangsa.
Ketidakseimbangan sosial akan menyebabkan jurang yang tinggi dari pelbagai segi.
Pendidikan dan ekonomi adalah dua faktor utama yang amat perlu diberikan perhatian dalam
menyeimbangi hubungan antara kaum atau bangsa yang ada di negara ini. Oleh itu, dalam
proses menggubal Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan keadilan sosial ini diberikan
perhatian khusus dan melalui 'ranjau berduri', yang menyebabkan berlakunya perbincangan
yang panajng. Di samping itu, keadilan sosial di Malaysia dilihat dari segi faktor sejarah dan
sosiologi. dari segi sejarah dan sosiologi, bangsa Melayu yang dipimpin oleh Raja-Raja
Melayu mendahului kaum-kaum lain dari segi penempatan dan kuasa politik. Oleh itu,
Malaysia adalah sebuah Negara Tamu yang mengekalkan elemen-elemen tradisi Melayu atau
elemen-elemen warisan Melayu dan keistimewaan Melayu di samping menerima budaya
kaum-kaum lain.

Dengan berlatarbelakang faktor sejarah, sosiologi dan rundingan dalam proses kemerdekaan
penyediaan kuota-kuota kepada Melayu (Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan
kemerdekaan Tanah Melayu 1957) dan kepentingan sah kaum lain telah dimaktubkan dalam
Perlembagaan Persekutuan. Sementara itu, kuota-kuota untuk anak negeri Sabah dan Sarawak
telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan pembentukan Malaysia
1963. Keistimewaan Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah
kaum-kaum lain merupakan ciri penting dalam menjaga keadilan sosial.

Menurut Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong adalah bertanggungjawab untuk melindungi
keistimewaan dan kedudukan orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah serta
kepentingan sah kaum-kaum lain. Keistimewaan kepada Melayu dan anak negeri Sabah dan
Sarawak adalah berupa kuota-kuota dalam jawatan perkhidmatan awam, biasiswa,
pendidikan dan perniagaan lesen dan perdagangan. Perlembagaan juga memastikan Perkara
153 itu dilaksanakan dengan teliti yang tidak akan mengabaikan kaum-kaum lain kerana
peruntukan ini juga melindungi kepentingan sah mereka. Berkaitan, dalam Perkara 159(5),
Perkara 153 ini hanya boleh dipinda apabila mendapat sokongan majoriti 2/3 pada bacaan
kedua dan ketiga pada kedua-dua Dewan Parlimen serta mendapat perkenan Majlis Raja-
Raja.

Dalam Laporan Suruhanjaya Reid, keistimewaan kepada Melayu ini dibincangkan di bawah
tajuk Kebebasan Asasi, dan ia dianggap sebagai satu pengecualian kepada hak samarata.
Disebabkan keistimewaan Melayu merupakan salah satu terma rujukan lantikan Suruhanjaya
Reid, maka ahli Suruhanjaya telah mencadangkan supaya peruntukan dibuat dalam
Perlembagaan bagi menepati terma tersebut. Dalam meletakkan peruntukan berkaitan
keistimewaan Melayu, Suruhanjaya Reid juga menyatakan bahawa, menurut perjanjian-
perjanjian terdahulu, keisitmewaan Melayu sentiasa mendapat tempat, maka Suruhanjaya
juga perlu membuat perkara serupa.40

Keadilan sosial sudah tentu merupakan antara maqasid Syariah yang umum, yang mana,
dengan adanya keadilan, maka keadaan sosial akan terjamin.

40
Lihat Perenggan 163 - 164, Laporan Suruhanjaya Reid 1956 - 1957

14
Perlembagaan Mempunyai Peruntukan Khas berkaitan Subversif dan Darurat
Perlembagaan Persekutuan di bawah Bahagian XI memperuntukkan Part Xi - Kuasa Khas
Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, dan Perbuatan dan Jenayah yang
Memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat. Kuasa-kuasa khas ini adalah bertujuan
untuk mengekalkan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Peruntukan sebegini
penting bagi menjaga keselamatan negara.

Perkara 149, iaitu peruntukan pertama dalam Bahagian XI ini menjadi punca kuasa kepada
Parlimen untuk menggubal undang-undang pencegahan. Undnag-undang tersebut boleh
bertujuan menyekat (1) keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk
menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; (2) tindakan yang
boleh membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana
Kerajaan di dalam Persekutuan; (3) sesuatu yang menggalakkan perasaan niat jahat dan
permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang
mungkin menyebabkan keganasan; atau (4) sesuatu untuk mendapatkan perubahan, selain
dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undangundang; atau (5) perkara-
perkara yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau
perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau (6) perkara yang memudaratkan
ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang
memudaratkan keselamatannya,

Bahkan, Perkara 149 ini membenarkan Parlimen membuat undang-undang yang boleh
menafikan beberapa kekebasan asasi, termasuklah kebebasan diri, kebebasan bergerak,
kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan dan hak memiliki harta.

Sementara itu Perkara 151 membenarkan penahanan pencegahan, tetapi pada masa yang
sama memperuntukkan kawaln ke atas penahanan itu dengan cara memberikan ruang kepada
orang yang ditahan peluang untuk mempertahankan diri di hadapan Lembaga Penasihat.

Dari segi maqasid syariah, prosedur ini menjadikan hak kebebasan individu terjamin dan
keselamatan serta kesejahteraan negara juga dapat dilindungi. Walaupun, ia amatlah
bergantung kepada keberkesanan dan kejujuran pelaksanaan.

Perlembagaan menjamin Kewarganegaraan


Kewarganegaraan adalah hak yang paling penting dalam hidup bernegara.
Kewarganegaraanlah yang menentukan sama ada seseorang itu mendapat kebebasan atau
keistimewaan tertentu. Berkaitan kebebasan asasi contohnya, terdapat beberapa hak yang
hanya dijamin kepada warganegara sahaja, umpamanya kebebasan bergerak, kebebasan
bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan. Kewarganegaraan juga amat
penting dalam pelbagai aspek lain, seperti hak untuk mengundi41 dan kelayakan menjai ahli
Parlimen.42

Sejarah peruntukan berkaitan kewarganegaraan di Malaysia agak panjang. Namun, apa yang
penting ialah, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kewarganegaraan untuk
membolehkan individu dijamin haknya dalam Perlembagaan. Dengan jaminan
kewarganegaraan tersebut, setiap individu itu dijamin potensinya menurut maqasid syariah.

41
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119
42
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 47

15
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerakyatan yang sama untuk seluruh
Persekutuan. Ia juga memperuntukkan beberapa kaedah untuk memperoleh kewarganegaraan.
Pertama, melalui operasi undang-undang.43 Secara ringkas, bermaksud bahawa seseorang
boleh mendapatkan kewarganegaraan secara automatik, sebagai contoh, orang yang lahir
pada atau selepas Hari Malaysia. Kedua, seseorang boleh menjadi warganegara melalui
pendaftaran. Kaedah ini didapati di bawah Perkara-perkara 15, 16, 16A, 18. Perkara 15
memperuntukkan pendaftaran isteri dan anak warganegara. Perkara 16 adalah berkenaan
pendaftaran orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka. Perkara 16A
memperuntukkan pendaftaran orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada
Hari Malaysia.

Ketiga, seseorang boleh menjadi warganegara melalui penaturalisasian. Kaedah ini adalah
apabila seorang, atau yang berusia lebih daripada 21 tahun, yang bukan warganegara,
diberikan dengan suatu perakuan naturalisasi. sijil itu boleh diberikan, jika kerajaan berpuas
hati bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan
berniat, jika diberi perakuan itu, untuk berbuat demikian secara tetap; bahawa dia
berkelakuan baik; bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu
dan mengangkat sumpah yang dinyatakan di bawah Jadual Pertama kepada Perlembagaan.
Akhirnya, seseorang boleh mendapatkan kewarganegaraan melalui penggabungan wilayah.

Sementara itu, kekurangan atau penamatan Kewarganegaraan boleh berlaku melalui


penolakan, melalui tindakan sengaja dan sedar.44 Perkara 24 juga membolehkan kerajaan
melucutkan kewarganegaraan seseorang jika dia telah dengan sukarela memperoleh
kewarganegaraan negara lain. Malaysia tidak membenarkan seseorang memiliki dua
kewarganegaraan. Kerajaan juga mempunyai hak untuk melucutkan kewarganegaraan
seseorang jika dia telah secara sukarela menjalankan mana-mana hak, seperti mengundi pada
pilihan raya politik, di mana-mana temapt di luar Persekutuan.45

Sementara itu, pelucutan kewarganegaraan yang diperoleh melalui pendaftaran di bawah


Perkara 16A atau melalui penaturalisasian (di bawah Perkara 17) boleh dilakukan oleh
kerajaan jika orang itu telah menunjukkan bahawa dia tidak setia kepada Persekutuan, atau
membantu musuh semasa perang atau dalam tempoh lima tahun mulai dari tarikh pendaftaran
atau pemberian perakuan itu, dijatuhi hukuman di mana-mana negara dengan dipenjarakan
selama tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan atau denda tidak kurang daripada lima
ribu ringgit atau yang setara dengannya dalam mata wang negara itu, dan telah tidak
mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan yang kerananya dia telah
dihukum sedemikian.46

Kerajaan juga mempunyai hak untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang diperolehi


melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa kewarganegaraan telah
didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau
jika ia telah dibuat atau diberikan dengan tidak sengaja.47

Maqasid al-Syariah: Maksud dan Huraian Ringkas


43
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 14
44
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 23
45
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 24
46
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 25
47
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 26

16
Terdapat banyak penulisan mengenai maqasid al-Syariah kerana ia merupakan satu subjek
yang telah begitu lama berkembang. Apa yang disebut dalam perenggan-perenggan
perbincangan di sini hanyalah intipatinya sahaja dan bukanlah perbahasan yang menyeluruh.
Perbincangan dalam sub-tajuk ini hanya memberikan gambaran umum, dan ringkas, tentang
apa yang dimaksudkan dengan maqasid al-Syariah.

Kemunculan konsep maqasid al-syari'ah sebagai salah satu bahagian daripada ilmu Syariah
(terutamanya usul al-fiqh) sudah dimulakan oleh al-Juwayni dalam kitabnya al-Burhan, dan
al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasfa.48 Kemudiannya perbahasan maqasid al-syariah ini
telah dikembangkan oleh al-Shatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat dan dalam abad kedua
puluh muncul Ibn Asyur dengan wacana dalam kitabnya Maqasid al-Syari‘at al-Islamiyyahi.49

Maqasid al-Syariah sama istilahnya dengan maqasid Syar'i atau maqasid al-Syar'iyyah.
Ketiga-tiga istilah ini digunakan dengan makna dan maksud yang serupa. Sepertimana jelas,
ia terbina atas dua perkataan, iaitu 'maqasid' dan 'Syariah'. Maqasid secara literalnya
bermaksud objektif-objektif dan juga diertikan sebagai sasaran-sasaran, keadilan dan
kesederhanaan yang disandarkan kepada kata asal qasd.50 Manakala perkataan 'Syariah' pula
mempunyai kata asal, iaitu Syara'a yang bermaksud, secara literalnya, punca air yang
berterusan mengalir. Dari segi istilahnya pula, Syari'ah bermaksud keseluruhan atau segala
apa yang diturunkan Allah kepada seluruh umat manusia melalui RasulNya yang mencakupi
aspek akidah, muamalat dan akhlak.51 Dalam pendekatan maqasid al-Syariah, Syariah
difaham sebagai adalah satu set peraturan dan juga sistem nilai yang mengandungi kaedah-
kaedah tertentu bagi mencerminkan syariat dan nilai-nilai di dalamnya.

Gabungan kedua-dua perkataan menjadikan 'maqasid al-Syari'ah' diterjemahkan ringkasnya


kepada 'objektif Syari'ah'. Ia merangkum tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT
dalam setiap pensyariatan hukum atau sebahagian besar daripadanya bagi memelihara
kemaslahatan manusia dengan menyediakan ruang-ruang manfaat kepada mereka dan
mengangkat kemudaratan. Sehubungan itu, ulamak usul fiqh telah mentakrifkan maqasid al-
Syariah sebagai matlamat-matlamat yang digariskan oleh Syariah dalam merealisasikan
kemaslahatan manusia.52 Wahbah al-Zuhaili memberi maksud kepada maqasid al-Syariah
sebagai tujuan-tujuan yang dititikberatkan dalam semua hukum atau sebahagian besarnya
atau termasuk juga rahsia-rahsia yang ada disebalik pensyari'atan setiap hukum.53

Maqasid al-Syariah ringkasnya merupakan matlamat yang ditentukan oleh Syariah untuk
dicapai bagi kepentingan manusia dunia dan akhirat. Ia adalah bagi menghasilkan kebaikan –
jalb al-Maslahah dan membenteras keburukan – daf’ al-mafsadah. Kecelaruan antara
kebaikan dan keburukan membuat manusia perlu kepada prinsip tegas dalam Syariah untuk
menyusun hala tuju, iaitu dengan memandu manusia dalam kehidupannya. Misalnya, salam
surah al-Baqarah : 219, al-Quran menyatakan, dengan maksud, “mereka bertanya kepadamu
48
Ahmad al-Raysuni, Nazariyyat al-Maqasid ‘ind al-Imam al-Syatibi, t.tmp.: Ma‘had ‘Ali li al-Fikr al-Islami,
1995, ms. 39
49
Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur, Maqasid al-Syari‘at al-Islamiyyah, Tunisia: Maktabah al-Istiqamah, 1366H,
ms. 3
50
Muhammad Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, Beirut : Dar Sadir, (t.t), Jilid ke-3, ms. 353
51
Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Sejarah Pembinaan Hukum Islam, Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan
Universiti Malaya, 1992, Edisi ke-2, ms. 2
52
Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid ‘Inda al-Imam al-Shatibi, Riyadh : al-Dar al-Alamiah Li al-Kitab
al-Islami, 1995, cetakan ke-4, ms. 19
53
Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik : Dar al-Fikr, 1996, Jilid ke-2, ms. 1017

17
(wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “pada keduanya ada dosa besar dan
ada pula beberapa manfa’at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada
manfa’atnya.”54

Maqasid al-Syariah ini adalah bertujuan menjaga maslahat Syarak. Menurut Al-Shatibi,
maslahah ialah apa yang mendokong hidup dan kehidupan manusia serta pencapaian mereka
dalam apa saja aspek termasuk naluri dan intelektual sehingga menjadikan mereka betul-betul
menikmatinya. Ia merangkum dua aspek iaitu aspek material - Hissi dan aspek moral –
ma’nawi.

Menurut pendapat Ibn 'Asyur, maqasid al-Syariah boleh dilihat dalam dua aspek, iaitu
maqasid 'ammah dan maqasid khassah.55 Maqasid Ammah, maksudnya objektif umum, iaitu
merangkum maqasid keseluruhan atau sebahagian besar hukum Syariah. Sebagai contoh,
mencari kebaikan, menolak keburukan, mengawal ketertiban umum, menghapus
diskriminasi, menjadikan Syariah sebagai yang hebat, menjadikan umat Islam yang kuat dan
dihormati serta memakmurkan dunia. Sementara itu, maqasid Khassah ; khassah bermaksud
khusus. Maka maqasid Khassah merupakan perkara berkenaan perlakuan manusia yang
khusus, misalnya menjamin hutang sebagai gadaian.

Maqasid al-Syariah hendaklah berupa maslahat. Maslahat diertikan sebagai sesuatu yang
berfaedah atau sesuatu yang mendatangkan faedah. Bagi Ibn Asyur, maslahat boleh dilihat
dalam tiga dimensi. Pada dimensi pertama, Maslahat yang mempunyai pengaruh terhadap
urusan ummah. Ia terbahagi kepada tiga hirarki, iaitu dhoruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.
Dhoruriyyat merujuk kepada kepentingan yang mesti ada pada manusia, atau keperluan asasi
manusia. Sekiranya keperluan asasi ini tiada, umpama hidup manusia itu bukan hidup sebagai
manusia - tiada kualiti sebagai manusia. Keperluan asasi tersebut ialah, menjaga agama,
nyawa, akal, keturunan (kemuliaan/kehormatan) dan harta. Hirarki kedua, iaitu hajiyyat,
bermaksud keperluan untuk keselesaan dan mengelak daripada kesukaran atau kesempitan
hidup. Hirarki yang ketiga, iaitu tahsiniyyat yang juga bermaksud kamalat iaitu maslahat
yang membawa kepada kesempurnaan hidup.

Maslahat dalam dimensi kedua, iaitu dalam dimensi antara hubungannya dengan kepentingan
umat, secara kolektif atau secara personal. Dalam dimensi ini maslahat terbahagi kepada dua.
Pertama, maslahat dalam bidang-bidang yang terkesan ke atas keseluruhan atau kepada
sebahagian besar umat (kulliyyat) dan kedua, maslahah dalam bidang-bidang tertentu
(juz'iyyah).

Maslahat dalam dimensi ketiga pula melibatkan kaedah bagaimana maslahah tersebut
dihasilkan. Pertama, secara Qatiyyah, iaitu maslahah yang didapati daripada dalil-dalil atau
nas-nas yang jelas dan tidak boleh dipersoalkan. Kedua, maslahat yang diperoleh melalui
penilaian akal yang disandar pada dalil-dalil atau nas-nas yang terbuka kepad tafsiran,
dikenali sebagai zanniyyah dan, akhir sekali, maslahat yang terhasil daripada wahmiyyah,
iaitu maslahat yang didapati perhitungan akal, yang padanya kelihatan seperti bermanfaat
kepada umat, namun kemudiannya nampak adanya kemudaratan. Maslahat wahmiyyah ini
pada Ibn Asyur, tidak boleh diterima sebagai maqasid al-Syariah.56

54
al-Quran, Surah al-Baqarah (2):219
55
Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur, Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah, (t. tmp.): Al-Basyair Li al-Intaj al-‘Ilmi,
1998, ms. 171

18
Maqasid al-Syariah tidak boleh lari daripada Syariah. Maqasid bukan berlandaskan akal,
tetapi hendaklah mengikut Syarak, kerana Syarak itu yang menyelamatkan maslahat;
maqasid al-Syariah juga hendaklah menjaga tujuan ciptaan manusia di dunia, iaitu untuk
ُ ‫س ْال ِج َّن َخلَ ْق‬
beribadat kepada Allah ‫ت َو َما‬ َ ‫( لِيَ ْعبُدُو ِن ِإاَّل َواِإْل ْن‬al-Zariyat:56).

Antara lain, parameter penentuan maqasid al-Syariah (dhowabit al-maqasid) dibuat dengan
mengambil pendekatan memahami sistem syariah secara keseluruhan, secara holistic, secara
syumul; bukan hanya kepada satu dalil sahaja (istiqra' kulliyyat) - tidak memadai dengan
melihat kepada dalil-dalil juz'i. Untuk menentukan maqasid juga, kita tidak boleh dengan
hanya melihat kepada yang jelas dan nyata secara harfiyyah atau black letter peruntukan-
peruntukan atau dalil-dalil Syariah; tetapi dengan mengambil kefahaman dan memberi
perhatian kepada prinsip yang difaham secara tersirat serta memahami nilai-nilai (values)
yang mahu dibawa oleh Syariah. al-Shatibi, menggunakan istilah al-istiqra' al-maknawi;
manakala al-Ghazali menggunakan istilah tawatur al-maknawi. al-Juwayni menggunakan
istilah kulliyyat al-Shar' dan maslahaat 'ammah.

Apabila bercakap tentang maqasid al-Syariah secara umum, apa yang didapati ialah, ia bukan
semata-semata maqasid yang ditujukan kepada kedudukan Islam, syariah, syariat atau syiar
Islam semata-mata. Maqasid al-Syariah mempunyai nilai-nilai universal, iaitu nilai-nilai
yang boleh diterima merentas sempadan geografi, budaya, sosial atau juga agama. Maqasid
adalah yang boleh disepakati oleh seluruh umat manusia tanpa mengira keturunan atau
bangsa.

Al-Ghazali, dalam kitabnya al-Mustasfa57 menyebut maslahah dalam konsep yang asal, iaitu
kebaikan (maslahah) bermaksud memperoleh faedah (manfaah) atau terlepas daripada
kemudaratan. al-Ghazali memaksudkan al-maqasid sebagai tujuan syarak dalam pensyariatan
untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Menurut Imam al-Ghazali,
maslahat yang lima itu terletak dalam tahap dhoruri, iaitu yang paling kuat dalam maslahat.
Contohnya syariah memperkenalkan hukuman bunuh kepada mereka yang kerosakkan
agama, mensyariatkan undang-undang qisas sebagai menjaga nyawa, mewajibkan hukuman
hadd kepada orang meminum arak kerana menjaga akal kerana akal itu adalah sendi
penaklifan, mewajibkan hukuman zina bagi menjaga keturunan dan wajib menghukum
pencuri kerana menjaga harta.

Menjaga agama, dengan cara beramal dengannya; melaksanakannya dalam pemerintahan;


berdakwah kepadanya; berjihad pada jalannya; menjaga kedudukannya dan syiarnya.
Menjaga nyawa dengan cara mengharamkan pencerobohan terhadapnya; mengambil langkah-
langkah pencegahan dariapda pencerobohan ke atasanya; melaksana hukuman qisas dan
diyat; melaksanakan pentadbiran keadilan dan perbicaraan yang adil sebelum hukuman;
memberi dan menerima kemnaafan; serta menghalalkan yang haram dalam keadaan sangat
terpaksa (membunuh seseorang atas kesalahan yang besar, sebagai contoh). Menjaga akal,
iaitu dengan menjadikannya alat penting untuk mengenal Allah dan agama; menjadikannya
asas kepada pentaklifan (kebertanggungjawaban); mengharamkan perkara-perkara yang
boleh mengganggunya, seperti kemabukan. Menjaga keturunan; dengan mengekalkan dan
menggalakkan perkahwinan dan melahirkan zuriat; mengelakkan diri daripada membataskan
kelahiran; melarang pengguguran. Akhir sekali, menjaga harta dengan menggalakkan
56
Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur, Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah, (t. tmp.): Al-Basyair Li al-Intaj al-‘Ilmi,
1998, ms. 80 - 91
57
Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali, al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul, Beirut: Dar Ihya al-Turath
al-Arabi, ms. 217

19
pencarian; menjamin pemilikan; mengharamkan pencerobohan; mengharamkan pembaziran;
mewajibkan kesaksian dan rekod tentang hutang; melaksanakan hukuman ke atas
penceroboh.

Maqasid al-Syariah dalam Perlembagaan


Sebagaimana disebut di awal makalah ini, Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang
mempunyai kedudukan atau 'tanggugjawab' yang tinggi ke atas pembinaan negara.
Pentadbiran negara, dari aspek perundangan dan dasar serta ketatanegaraan adalah
terkandung dalam Perlembagaan. Perbincangan di bawah sub-tajuk ini cuba mencungkil
peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertepatan dengan maqasi al-
Syariah dalam kategori dhoruriyyat yang lima, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan,
dan harta.

Mengenai jagaan terhadap agama. Kita dapat lihat pada peruntukan Perlembagaan dalam
Perkara-Perkara 3, 11(4), 12(2), 37 dan dibaca dengan Jadual Keempat, 150, 160(2). Menjaga
nyawa dan kehidupan serta boleh ditafsirkan sebagai menjaga dan menjamin keturunan
dalam Perkara 5. Menjaga akal pula disebut secara umum dalam kebebasan bersuara yang
dijamin dalam Perkara 10 dan seterusnya maqasid menjaga harta dapat dilihat dalam Perkara
13. Pendek kata peruntukan berkaitan kebebasan asasi dalam Bahagian II Perlembagaan
Persekutuan adalah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah. Sekiranya Bahagian II
Perlembagaan Persekutuan ini ditafsirkan dengan prinsip Islam maka kita akan dapati
Maqasid Syariah sebenarnya bukan sahaja wujud, tetapi kemas dijaga dan dijamin oleh
undang-undang tertinggi negara tersebut.

Bagi tujuan menjaga agama Islam Perlembagaan Persekutuan58 dengan jelas sekali
mengisytiharkan Islam sebagai agama negara/Persekutuan dalam Perkara 3(1). Sementara itu
di negeri-negeri kedudukan agama Islam juga begitu jelas dalam Perlembagaan atau Undang-
Undang Tubuh Negeri masing-masing,59 kecuali Perlembagaan negeri Sarawak.60 Di samping
Perkara 3, terdapat banyak lagi peruntukan lain yang mendokong kedudukan Islam dalam
Perlembagaan. Perkara 11(4) memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk
menyekat sebarang pengembangan doktrin atau agama selain Islam dalam kalangan orang-
orang Islam. Walaupun tujuan peruntukan ini tidak dijelaskan di dalam Perlembagaan,
alasannya telah disuarakan oleh Raja-Raja Melayu melalui Memorandum baginda kepada
Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu mahukan satu peruntukan khusus yang boleh
melindungi orang-orang Melayu di negara ini daripada ajaran komunis. Sebagaimana kita
faham, ajaran komunis menafikan ketuhanan. Apa yang dibimbangi oleh Raja-Raja Melayu
ialah pengembangan ideologi sebegini dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun hasrat Raja-Raja Melayu sedemikian, hanya untuk menyekat pengembangan


ideologi komunisme dalam kalangan orang Melayu, dengan peruntukan yang jelas di dalam
perkara 11(4) ini dapatlah kita menafsirkannya sebagai melindungi orang-orang Islam
58
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1)
59
Perlembagaan Negeri Johor, Perkara 57 (Bhg. 1); Perlembagaan Negeri Kedah, Perkara 33A; Perlembagaan
Negeri Kelantan, Perkara 5; Perlembagaan Negeri Melaka, Perkara 167; Perlembagaan Negeri Sembilan,
Perkara 5; Perlembagaan Negeri Pahang, Perkara 23 (Bhg. 1); Perlembagaan Pulau Pinang, Perkara 5;
Perlembagaan Negeri Perak, Perkara 5; Perlembagaan Negeri Perlis, Perkara 5; Perlembagaan Negeri Sabah,
Perkara 5A; Perlembagaan Negeri Selangor, Perkara 47 (Bhg. Ke-2); Perlembagaan Negeri Terengganu,
Perkara 3
60
Walau bagaiamanapun, smasa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 Sarawak menerima kedudukan
Islam sebagai agama bagi Persekutuan

20
daripada apa juga fahaman yang boleh membawa mereka kepada kekufuran tanpa mengira
apa jua ideologi atau doktrin. Sekiranya suatu doktrin itu bertetangan dengan ajaran Islam
yang sebenar, maka ia tidak boleh disebarkan dalam kalangan orang Islam.61 Apa yang
tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah, kedudukan orang-orang Islam terjamin
dalam erti kata mereka bebas daripada dakyah agama lain. Namun setakat hari ini secara
praktikalnya peruntukan ini tidak dilaksanakan dengan baik. Kalaupun ada peruntukan di
dalam enakmen negeri-negeri, namun penguatkuasaanya boleh dikatakan agak terbatas.
Sehingga hari ini belum terdapat kes-kes yang dilaporkan mengenai penguatkuasaan undang-
undang berkaitan sekatan dan kawalan pengembangan doktrin atau agama lain di kalangan
orang-orang Islam. Cuma mungkin kita dapat melihat insiden di Negeri Selangor yang
melibatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah premis di Damansara dan
juga hal berkaitan Bible yang menggunakan kalimah Allah.

Per. 12 juga memberi kelebihan kepada agama Islam kerana ia membenarkan kerajaan
memperuntukkan perbelanjaan bagi pendidikan Islam. Perlembagaan tidak menyebut
mengenai bantuan kerajaan kepada institusi pendidikan agama-agama lain. Dengan adanya
peruntukan ini, sekurang-kurangnya keistimewaan dapat dilihat sebagai memihak kepada
Islam. Perlembagaan ini lah seksyen 36 dan 37 Akta Pelajaran 1961 dibuat untuk mewajibkan
manamana sekolah yang menerima bantuan kerajaan supaya memperuntukkan pengajaran
agama Islam kepada penuntut-penuntut beragama Islam dengan syarat jumlah pelajar di
sekolah itu tidak kurang daripada 15 orang.

Oleh sebab dikuasakan dengan nyata oleh Perlembagaan, kedua-dua seksyen Akta Pelajaran
1961 ini dan pelaksanaannya tidak harus dianggap bertentangan dengan Perlembagaan atau
dalam apa cara mengamalkan diskriminasi terhadap agama lain semata-mata kerana kerajaan
tidak wajib memberi bantuan yang serupa untuk mengajar agama-agama lain.

Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan yang dibaca
secara bersama dengan Perkara 37 juga memberi gambaran yang jelas mengenai kedudukan
Islam. Bukan sahaja lafaz sumpah tersebut menggunakan nama-nama Allah, bahkan secara
nyata sumpah jawatan tersebut menunjukkan tugas Yang di-Pertuan Agong untuk
mempertahankan agama Islam.

Selain daripada itu, Perkara 150(6A) menyatakan mengenai kedudukan agama Islam dalam
keadaan darurat; yang mana Parlimen tidak boleh membuat apa-apa perkara mengenai hukum
syarak hatta ketika darurat sekalipun. Walaupun pihak eksekutif boleh membuat apa sahaja
undang-undang yang difikirkan perlu bagi tujuan darurat, mereka tidak boleh membuat apa-
apa undang-undang berkaitan undang-undang Islam.

Per. 121(1A) juga memberi kedudukan yang tinggi kepada agama Islam dengan mengiktiraf
kuasa Mahkamah Syariah. Penambahbaikan kepada kedudukan Mahkamah Syariah diharap
dapat dilihat dari sudut pindaan Perlembagaan ini. Kes Faridah Dato’ Talib62 memberi
gambaran bahawa Mahkamah Syariah adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa
yang jelas mengenai perkara-perkara berkaitan Islam. Namun, selepas kes Sukma
Darmawan63 kedudukan Mahkamah Syariah mula dipersoalkan kembali. Namun begitu,
perkembangan sejak akhir-akhir ini nampaknya agak membimbangkan kedudukan
61
Lihat Shamrahayu A. Aziz, Propagation of Religious Doctrines to Muslims: A Legal Perspective” [2010] 2
MLJ cx – cxxiv
62
Mohamad Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato' Talib [1993] 1CLJ 264
63
Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor [1998] 4CLJ 538

21
Mahkamah Syariah, terutamanya dalam perkembangan terakhir ini, terutamanya kes-kes
yang berkaitan status agama. Dalam kes yang terakhir, iaitu kes Mohamad Raihan atau
Rayappan, isu ini kembali hangat. Nampaknya kewibawaan Mahkamah agak tercabar bila
mana para saksi enggan menghadirkan diri ke Mahkamah Syariah walaupun telah
dikeluarkan sepina. Mungkin isu ini akan berlaku lagi di masa hadapan. Oleh itu, mahkamah
Syariah memerlukan satu pembaharuan dari sudut perundangan. Kalau boleh dicadangkan,
Mahkamah Syariah hendaklah dilihat sebagai mahkamah yang berwibawa dan bukan
merupakan mahkamah subsidiari tetapi selari dengan mahkamah sivil.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani64 memberi pendekatan menghormati


mahkamah Syariah atau institisi agama Islam apabila memutuskan supaya seseorang yang
mahu menukar status agama di dalam kad pengenalan hendaklah mendapat pengesahan
pertukaran agama daripada institusi agama berkaitan.

Ddalam proviso kepada Perkara 5(4) juga dapat dilihat kedudukan Mahkamah Syariah, yang
mana pesalah yang ditahan di bawah undang-undang Syariah hendaklah dibawa ke
kehadapan Mahkamah Syariah.

Perkara 38 berkenaan kuasa Majlis Raja-Raja, ada dinyatakan juga tentang amalan agama
Islam yang boleh diselaraskan atau dipanjang ke seluruh negara.

Bagi tujuan menjaga nyawa, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkannya dalam Perkara


5. Perkara 5 ini menyebut dengan jelas bahawa seseorang yang berada di Malaysia (tidak
mengira kewarganegaraan) ini hendaklah dijaga nyawanya. Peruntukan Perkara 5 ini
merupakan peruntukan pertama yang memulakan Bahagian Kedua Perlembagaan
Persekutuan, iaitu Bahagian yang menjamin kebebasan asasi. Oleh itu, hak kepada nyawa dan
kehidupan di muatkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, hak terhadap nyawa
ini boleh dikecualikan atau tidak dijamin sekiranya terdapat peruntukan yang membolehkan
seseorang itu dihukum mati menurut proses perundangan. Dengan kata lain, Badan
Perundangan/Parlimen boleh membuat undang-undang untuk meletakkan hukuman
bunuh/mati ke atas seseorang bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Namun begitu, proses
perundangan atau proses pentadbiran keadilan itu hendaklah dilaksanakan dengan
menghormati hak-hak yang dituduh.

Waalupun secara harfiahnya perkara pokok dalam Perkara 5 hanya menyebut tentang hak
untuk hidup tetapi melalui tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah dalam beberapa kes,
ia juga menjamin hak untuk kehidupan yang baik. Kehidupan yang baik, memerlukan
keperluan hidup yang baik, seperti air yang bersih dan udara yang sihat. Hak untuk hiduo dan
kehidupan yang baik dijamin oleh Perkara 5 ini. Maksudnya, seseorang itu bukan sahaja
dijaga atau dijamin nyawanya, tetapi juga dijaga kehidupan yang bermakna (quality
livelihood). Misalnya, dalam perkembangan semasa, hak orang Asli untuk mendapatkan
kehidupan sebagaimana kehidupan mereka. Pembangunan sepatutnya tidak boleh dipaksa ke
atas mereka. Dalam kes seperti Tagong Tasi,65 hak orang Asli terhadap kehidupan mereka
telah dimasyhurkan oleh Mahkamah Persekutuan.

64
Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah & Anor [2004] 2 MLJ 119 (MT);
65
Sagong Tasi lwn Kerajaan Negeri Selangor [2002] 2 MLJ 591; Adong bin Kuwau and Anors lwn. Kerajaan
Negeri Johor dan Lain-Lain [1997] 1 MLJ 418

22
Mengenai menjaga kehidupan berkualiti juga diwujudkan perundangan berkaitan alam
sekitar. Ini kerana kebersihan alam sekitar, termasuklah air, udara dan tanah adalah asas
kepada kehidupan yang baik. Begitu juga dengan perundangan berkaitan perumahan.

Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah antara kebebasan-kebebasan yang


dijamin oleh Perlembagaan bagi menjaga akal dan membentuk daya intelektual individu dan
masyarakat. Hal ini dapat ilihat dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun
begitu, terdapat perundangan yang mengawal kebebasan bersuara, berperatuan dan
berhimpun ini. Parlimen boleh membuat kawalan perundangan dalam mempastikan maslahah
'ammah atau kepentingan umum dengan cara mengawal dan menyekat kebebasan tersebut.
Undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman, Akta Polis, Akta Anti
Keganasan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) dan Kanun Keseksaan (banyak lagi Akta/Undang-Undang berkaitan) juga adalah
antara undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen bagi menjaga maslahat umum.
Walauapa pun peruntukan Akta-Akta yang mengawal dan menyekat kebebasan ini, tujuan
asal kebebasan asasi itu masih lagi diseimbangkan.

Begitu juga dengan Perkara 12 yang memberikan hak terhadap pendidikan. Perkara 12
menjamin hak rakyat untuk mendapat pendidikan. Daripada Perkara 12 Perlembagaan inilah
lahirnya polisi-polisi dan falsafah-falsafah berkaitan pendidikan negara. Kebebasan berkaitan
pendidikan tidak dihadkan hanya kepada pendidikan biasa, tetapi Perlembagaan juga
memberikan jaminan kepada pendidikan agama. Hak kepada pendidikan ini dikuatkuasakan
juga menerusi Akta Pendidikan yang mencerahkan lagi konsep dan falsafah pendidikan
negara.

Bagi menjaga maqasid syariah berkaitan keturunan, Perlembagaan tidak mempunyai


peruntukan khusus walaupun Perlembagaan menyebut tentang pentingnya kemoralan dalam
Perkara 10 dan 11. Namun, soal menjaga keturunan ini disebut dalam perundangan lain,
seperti dalam Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) dan Enakmen Jenayah
Syariah. Dalam Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian), hanya perkahwinan antara
lelaki dan wanita sahaja yang dibenarkan. Enakmen Jenayah Syariah menjenayahkan
pelacuran serta muncikari. Kanun Keseksaan pula menjenayahkan perbuatan rogol, sumbang
mahram dan perbuatan kelucahan melampau.

Penjagaan Harta pula disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13 ini
menjamin kebebasan untuk memiliki harta. Namun, seperti juga maslahah khas yang lain,
bagi tujuan maslahah 'ammah, Parlimen boleh membuat undang-undang bagi membolehkan
pengambilaihan harta oleh kerajaan. Namun, hak individu terhadap hartanya masih lagi
dijaga dengan mempastikan bayaran pampasan dibuat kepada pemiliknya. Perundangan lain,
seperti Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah adalah dua Akta yang secara
langsung bersangkutan dengan hak terhadap harta.

Maqasid Syariah juga terpakai untuk menjaga kesejahteraan masyarakat. Sebagaimana


pedekatan yang diambil oleh Rasulullah dalam Sahifah Madinah; meraikan kepelbagaian
dengan menanam paksi-paksi kepada kesejahteraan umum yang mampu menjamin
pelaksanaan maqasid al-syariah di peringkat individu yang membentuk ummah, rakyat atau
warganegara.

Keseimbangan dan Keadilan Sosial, seperti menjaga perpaduan dan kerukunan hidup
bernegara juga merupakan aspek penting maslahah. Keelamatan dan kerukunan hidup

23
bernegara dalam masyarakat yang pelbagai itu diraikan dan dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan sebagai contoh, dalam Perkara 153, yang menjamin hak-hak dan keistimewaan
Bangsa Melayu, Anak Negeri Sabah dan Sarawak, serta mempastikan kaum-kaum dan
komuniti-komuniti lain tidak diketepikan. Untuk mengikat seluruh masyarakat Malaysia yang
mempunyai pelbagai budaya dan agama, maka diwujudkan peruntukan berkaitan kebebasan
beragama (Perkara 3(1) dan 11). Berkaitan juga, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan
(walaupun kejayaan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang menyatukan warganegara
Malaysia masih belum terbukti).

Perlembagaan juga mempunyai peruntukan khusus untuk menjaga kestabilan dan


keselamatan negara secara umum. Perlembagaan menyediakan peruntukan berkaitan
pencegahan (daf' mafsadah). Perkara-Perkara yang berkaitan ialah 149 dan 150. Perkara 149
menyediakan peruntukan berkaitan kawalan dan pencegahan perbuatan subversif serta
jenayah terancang dan Perkara 150 ialah berkaitan pengisytiharan darurat yang membolehkan
kesejahteraan dan keselamatan negara dijaga dalam keadaan yang benar-benar terancam.

Penutup
Sebagai rumusan, penulis mencadangkan bahawa Perlembagaan menyediakan ruang untuk
dicanai dan dicerna maqasid al-Syariah. Sebagaimana dilihat dalam peruntukan-peruntukan
berkaitan, maqasid al-Syariah boleh dicungkil daripada sebahagian besar Perlembagaan
Persekutuan. Walaupun perkataan atau istilah maqasid al-syariah itu tidak wujud, ia agak
nyata dalam ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan dan begitu jelas dalam peruntukan yang
pelbagai sebagaimana telah dinyatakan dalam perbincangan di atas. Dengan mengambil kira
kedudukan Islam dan jaminan-jaminan yang jelas terhadapnya dalam Perlembagaan
Persekutuan dan Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Negeri, hubungkait
antara maqasid al-Syariah dan Perlembagaan Persekutuan adalah amat penting. Ini kerana
sekiranya Islam telah dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan, maka tujuan ataupun
maqasid Islam itu juga penting untuk diperhalusi kewujudan dan pelaksanaannya. Oleh itu,
kajian dan kegiatan ilmiah tentang kewujudan, jaminan dan seterusnya mekanisme
pelaksanaan maqasid al-Syariah itu amat diperlukan. Makalah ini menyatakan tentang
wujudnya maqasid al-Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia telah mencungkil prinsip-
prinsip maqasid al-Syariah yang syumul dan sejagat (universal) itu daripada peruntukan yang
telah sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia juga mendapati bahawa, terdapat
pelbagai maqasid al-syariah yang begitu jelas, dan secara harfiah dalam Perlembagaan
Persekutuan. Di samping itu, terdapat juga prinsip maqasid al-Syariah yang memerlukan
tafsiran kepada beberapa peruntukan bagi menunjukkan kewujudannya kerana tiadanya
peruntukan harfiah.

Wacana ini juga penting untuk membina tapak yang jelas kepada prinsip constitutionalism
(faham Perlembagaan) yang sepatutnya bersandarkan kepada ideologi tempatan serta
bersesuaian dengan keadaan setempat dan bukan lagi menganggap Perlembagaan Malaysia
sepenuhnya terikat dengan keseluruhan prinsip faham Perlembagaan yang dibina dalam teori
Barat, terutamanya sistem Westminster atau sistem British.

24

You might also like