You are on page 1of 2

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN JATI

TAMAN JATI, Tel : 05 – 5265082


30020 IPOH, Faks : 05 – 5265062
PERAK DARUL RIDZUAN. Kod Sekolah : AEA2062
Email : AEA2062@moe.gov.my

Ruj. Tuan :
Ruj. Kami : SMKJ/01/19/09 Jld.2 (18)
Tarikh : 14 Safar 1440
23 Oktober 2018
Pengarah
Jabatan Kerja Raya Negeri Perak,
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh,
Perak Darul Ridzuan.
(u.p : Bahagian Bangunan – Unit Forensik)

Tuan,

LAPORAN PENEROKAAN CERUN BUKIT DAN RUNTUHAN TANAH DI TEPI


PADANG SMK JATI, IPOH

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Adalah dimaklumkan bahawa telah berlaku penerokaan pada lereng bukit


bersebelahan padang SMK Jati, Ipoh. Di sepanjang lereng bukit tersebut telah
berlaku penerokaan tanah untuk aktiviti pertanian. Pokok-pokok besar telah mati
akibat diracun. Manakala pokok-pokok renek dan rumput juga diracun dan ditebas.

3. Kawasan lereng yang telah diteroka ini telah ditanam dengan pokok-pokok
kelapa dan pisang. Akibat aktiviti ini, hakisan tanah di permukaan cerun telah
terbentuk. Runtuhan tanah di sepanjang pagar sekolah semakin lebar, berongga,
dalam dan mudah runtuh. Situasi ini amat berbahaya kepada para pelajar SMK Jati
dan SK Jati yang menggunakan padang ini untuk aktiviti sukan. Setakat ini, pihak
sekolah telahpun mengambil tindakan awal dengan memasang pita keselamatan
dan tanda kawasan larangan.

4. Setakat ini, pegawai tuan, Ahli Majlis Bandaraya, Ipoh dan pegawai –
pegawai Majlis Bandaraya Ipoh telahpun membuat tinjauan di kawasan cerun dan
runtuhan tepi padang tersebut. Hasil tinjauan tersebut, pegawai Jabatan Kerja Raya
Negeri Perak yang hadir pada hari tersebut, meminta supaya SMK Jati, Ipoh
melaporkan perkara ini kepada Bahagian Bangunan, Unit Forensik, Jabatan Kerja
Raya Negeri Perak supaya tindakan susulan dapat dibuat.
5. Sehubungan dengan itu, bersama-sama surat ini disertakan sekali salinan
peta sekolah ini. SMK Jati, Ipoh amat berharap agar tindakan susulan dapat dibuat
untuk mengatasi masalah runtuhan tersebut. Keprihatinan tuan dalam membantu
mengatasi masalah ini amat dihargai.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menjalankan amanah,

…………………………………………….
(JULAILA BINTI YAHYA)
Pengetua,
Sekolah Menengah Kebangsaan Jati,
Taman Jati, 30020 Ipoh,
Perak Darul Ridzuan.

s.k 1. Pengarah,
Jabatan Pendidikan Negeri Perak

2. Pegawai,
Pendidikan Daerah Kinta Utara

3. Y.B. Haji Asmuni Bin Awi,


ADUN Manjoi

4. En. Ahmad Khair Faizal Bin Yahaya,


Ahli Majlis
Majlis Bandaraya Ipoh

5. Pengarah,
Jabatan Kejuruteraan
Majlis Bandaraya Ipoh

You might also like