You are on page 1of 5

SANG MONYET YANG DEGIL

Pada suatu hari Sang Kancil sedang berjalan-jalan di kebun buah-buahan dan sayur-
sayurannya bersama rakannya Sang Kura-kura. Sedang asyik mereka menikmati buah-buahan
di situ, tiba-tiba datang Sang Monyet yang kelihatan amat kelaparan sekali.

"Tolong, tolong, aku amat lapar sekali. Sudah beberapa hari aku tak makan", kata Sang
Monyet dengan sedih.

"Bolehkah kamu berdua berikan sedikit buah-buahan untuk aku makan?", pinta Sang Monyet
tadi.

Sang Kancil dan Sang Kura-kura berasa amat sedih dan kasihan melihat keadaan Sang
Monyet seperti itu.

"Baiklah Monyet, ambillah apa saja yang kau mahu", kata Sang Kancil.

"Terima kasih Kancil, terima kasih Kura-kura", seloroh Sang Monyet gembira.

Melihatkan pepohon buah-buahan yang merimbun di hadapannya, mulalah Sang Monyet


berasa tamak. Tiba-tiba dia ternampak akan pokok cili yang ranum dengan cili-cili yang
merah menyala.

"Aku mahu itu, aku mahu itu!", teriak Sang Monyet.

"Jangan Monyet, nanti kau yang menanggung pedihnya", tegah Sang Kura-kura.

"Betul tu Monyet, pilihlah buah yang lain", sokong Sang Kancil.

"Ah, aku tak peduli. Aku mahu buah itu juga", kata Sang Monyet tegas.

Dengan tidak mempedulikan amaran Sang Kancil dan Sang Kura-kura, Sang Monyet terus
meluru ke arah pokok cili. Dia memetik cili-cili yang merah menyala itu dan terus
memakannya dengan gelojoh.
Tiba-tiba Sang Monyet menjerit,

"Pedas!!!, pedas!!!, air, air, mana air. Pedas!!!",

Dengan muka yang merah kerana menahan pedas, Sang Monyet berlari mencari air bagi
menghilangkan pedas di lidahnya itu, sambil Sang Kancil dan Sang Kura-kura menggeleng-
gelengkan kepala mereka.

Pengajaran daripada cerita ini ialah kita perlulah mendengar nasihat daripada orang lain dan
janganlah bersikap tamak.

BUAT BAIK DIBALAS BAIK


Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu menuju ke tengah-
tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika minum air, kerbau
terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah suara itu.

"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai. Kerbau
cuba memerhati dan meneliti suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok
kayu. ’’Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok
yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya.

Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila
batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau
menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkapnya.

"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki
aku", jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam
dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau.
"Aku tidak peduli", jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan
lagi gigitannya.

"Janganlah bunuh aku, buaya!", kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli

Tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya
dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. "Ada apa kerbau?
Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil!," kata
buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata
buaya.

"Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya
yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong.
Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu
patut menjadi rezekinya.

"Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil.
Kerbau dan Buaya pun menceritakan semula kejadian tadi.
"Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya?
Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil
mengarah seperti hakim.

Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah
kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang
pokok itu tetapi tidak berdaya
Kerbau pula menunggu arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil.
"Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya
terlepas, buaya gigit kaki aku," jawab kerbau.

"Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu
macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau.

"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau
buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana
tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai.

Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Namun, kancil dan kerbau tidak
mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil.
Pengajarannya ialah kita perlulah membalas kebaikan orang lain dengan kebaikan juga.

SANG KANCIL DAN SANG GAJAH

Bermulalah kisah pada suatu petang sang kancil yang cerdik bersiar-siar di dalam hutan
belantara. Sedang Sang Kancil bersiar-siar tiba-tiba sang kancil terjatuh ke jurang yang amat
dalam. Sang Kancil cuba untuk keluar berkali-kali malangnya tidak berjaya.

Setelah segala usaha yang dilakukan adalah sia-sia, Sang Kancil pun berfikir, "Macam mana
aku nak keluar dari lubang yang sangat dalam ini?"

Setelah lama berfikir namun tiada idea yang bernas untuk sang kancil keluar dari lubang tadi,
namun sang kancil tetap tidak mahu berputus asa. Dalam kebuntuan mencari idea, sang
kancil telah terdengar bunyi tapak kaki yang besar.
"Kalau bunyi tapak kaki macam ni, ni tak lain, mesti gajah!" Tiba-tiba Sang Kancil mendapat
satu idea yang bernas untuk menyelamatkan diri untuk keluar dari lubang.

Kemudian Sang gajah yang lalu itupun menegur sang kancil, "Eh sang kancil, tengah buat
apa?" Tanya si Gajah.

"Menyelamatkan diri!" Jawab Sang Kancil.

"Dari apa?" Tanya gajah lagi.

"Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak runtuh, dah hitam." Balas sang kancil.

Gajah yang dungu ini pun terus mempercayai sang kancil bulat-bulat. "Habis tu macam mana
nak selamatkan diri?" Tanya si gajah.

"Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau langit runtuh pun selamat kita dekat sini."

Tanpa berfikir panjang sang gajah pun terus melompat ke dalam lubang untuk
menyelamatkan dirinya. Kemudian sang kancil pun mengambil kesempatan untuk melompat
di atas badan gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam itu.

"Haha, padan muka engkau, selamat aku." Kemudian sang kancil pun berlalu pergi
meninggalkan sang gajah yang masih terpinga-pinga di dalam lubang tadi.

Pengajaran daripada kisah ini ialah kita hendaklah berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu
keputusan.

You might also like