You are on page 1of 5

MANHAJ DAKWAH RASULLULAH SAW DI MADINAH

1.0 PENDAHULUAN

Dakwah Islamiah bukanlah suatu kegiatan sambilan kerana ia merupakan suatu tanggungjawab
yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam. Ia perlu dilakukan oleh orang yang berilmu bukan sekadar
orang yang berminat atau bersemangat. Seorang pendakwah perlu mengetahui asas-asas ilmu
dakwah sebelum ia memasuki dalam dakwah Islamiah itu. Dalam mengetahui asas-asas ilmu
dakwah, kita boleh mempelajari manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w, di mana baginda
merupakan perintis kepada ilmu dakwah yang boleh diguna pakai sehingga hari ini.

Manhaj-manhaj Nabi Muhammad s.a.w telah banyak diperjelaskan dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Dalam penjelasan tersebut, banyak menceritakan tentang pendekatan-pendekatan dan kaedah-
kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyebarkan mesej-mesej dakwah itu. Namun begitu, masih
ramai umat Islam pada masa kini tidak memahami manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w
yang telah diperjelaskan untuk diguna pakai pada konteks masa kini. Hal ini berlaku kerana keadaan
umat Islam pada masa kini tidak lagi menghayati ajaran Islam itu dengan sebaik mungkin dan
mungkin ramai telah terpengaruh dengan budaya barat yang sememangnya telah tersimpang jauh
dari ajaran Islam.

Dalam menghadapi situasi ini, kita sebagai umat Islam perlu mempelajari manhaj-manhaj dakwah
Nabi Muhammad s.a.w khususnya di Madinah yang boleh diaplikasikan dalam konteks masa kini.
Hal ini kerana seruan dakwah adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam seperti
dalam firman Allah (SWT) dalam surah ali-Imran ayat 104 :

Maksudnya:
“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang
daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang
Yang berjaya”. (Surah ali-Imran, 3:104)

Dalam kertas kerja ini akan menerangkan tentang manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di
Madinah dan cabaran-cabaran dakwah pada masyarakat masa kini oleh pendakwah dalam
meneruskan usaha ini.

1.3 Literature Review / Kajian Kepustakaan

Di dalam rencana yang ditulis oleh Syamsul Bahri Andi Galigo (1998) yang bertajuk “Pendekatan
Dakwah Terhadap Non Muslim Mengikut Perspektif Sirah Nabawiah” menjelaskan metode-metode
dakwah Nabi Muhammad s.a.w yang telah baginda cetuskan di Makkah dan Madinah. Rencana ini
menjelaskan secara terperinci bagaimana baginda berhadapan dengan umat pada masa itu yang
terdapat pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan yang perlu baginda lalui. Namun, kebijaksanaan
baginda dalam berdakwah menghasilkan manhaj-manhaj dakwah yang boleh diaplikasikan pada
masa kini yang bersesuaian. Penjelasan yang diutarakan dengan membawa kisah-kisah dapat
menguatkan lagi pemahaman kepada pembaca.

Di dalam tulisan “Dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah” oleh Roziah Sidek (2002)
menjelaskan strategi dan hikmah penghijrahan baginda, memahami latar belakang masyarakat kota
Madinah menjelang penghijrahan baginda ke kota tersebut, menyebut langkah-langkah awal
baginda di Madinah dan menjelaskan perkembangan dakwah Islam yang berlaku selepas Sahifah
Madinah. Namun begitu, tulisan ini tidak menjelaskan secara terperinci manhaj-manhaj dakwah
baginda. Tulisan ini banyak menjelaskan bagaimana terjadinya satu perkara itu berdasarkan
keperluan pada masa itu.

Di dalam kertas kerja yang bertajuk “Metode Dakwah Nabi Muhammad s.a.w:Satu Pendekatan Teori
dan Praktikal Kepada Belia Masa Kini” oleh Shahrulanuar bin Mohamed, Nooraini Sulaiaman,
Mahadi Abu Hassan & Norliah Kudus (2007) menjelaskan memahami metode dakwah Nabi
Muhammad s.a.w adalah tugas utama yang perlu diambil perhatian khususnya kepada pendakwah
pada zaman sekarang. Pemahaman yang jelas terhadap metode-metode dakwah yang telah
diperjelaskan adalah penting bagi menghadapi cabaran-cabaran kerenah remaja mahupun belia
pada alaf baru ini. Kertas kerja ini menerangkan secara umum metode. Namun begitu, kertas kerja
ini tidak menjelaskan manhaj-manhaj yang dakwah Nabi Muhammad s.a.w dicetuskan di Makkah
atau Madinah.

2.0 GAMBARAN KOTA MADINAH SEBELUM PENGHIJRAHAN NABI MUHAMMAD S.A.W

Madinah merupakan sebuah kota bagi sebuah masyarakat majmuk. Dari sudut etnik, ia terdiri
daripada etnik Arab dan etnik Yahudi. Orang Yahudi terdiri daripada tiga kabilah, iaitu Qainuqa’, al-
Nadir dan Quraizah. Antara kabilah-kabilah ini tidak aman kerana adanya perbalahan dan rebutan
antara mereka. Manakala di kalangan orang Arab pula terdiri daripada beberapa suku kaum, seperti
Khazraj dan Aus. Keadaan mereka sentiasa bermusuhan, sama ada antara etnik dan kabilah atau
suku kaum. Orang Arab Madinah samalah dengan orang Arab lain, menganuti kepercayaan
keberhalaan, memuja dan menyembah patung-patung berhala (Ab Aziz Mohd Zin, 2001:57).

Sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah, Islam telah diketahui oleh penduduk
Madinah dan ramai telah memeluknya. Hubungan sesetengah orang Madinah dengan Nabi
Muhammad s.a.w di Makkah sejak beberapa tahun sebelum hijrah menyebabkan agama ini tidak
dikenali dan disebarkan di Madinah. Walaupun sebelum hijrah, Islam tidak asing lagi bagi penduduk
Madinah.

3.0 MANHAJ-MANHAJ DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W DI MADINAH

Manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah bertujuan untuk membina keyakinan
dengan apa yang akan baginda sampaikan. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul utusan Allah
(SWT) yang akan membawa masyarakat Madinah ke jalan yang benar melalui pendekatan-
pendekatan seperti yang dinyatakan.

3.1 Manhaj Tarbiyyah

Pendekatan ini adalah pendekatan pendidikan dilakukan oleh Nabi s.a.w kepada mereka yang
sudah menerima lslam, kerana didikan yang kukuh akan menjadikan mereka tidak mudah
dipengaruhi oleh pihak musuh. Dengan wujudnya sahsiah yang mantap, ia boleh mempengaruhi
orang luar untuk mengikuti jejak mereka. Di sinilah letaknya kepentingan manhaj pendidikan ini bagi
membangun manusia contoh yang boleh mempengaruhi orang luar menerima lslam secara mudah
dan senang hati.
Dalam sejarah lslam dinyatakan beberapa tempat yang pernah dijadikan lokasi pendidikan yang
dilaksanakan secara langsung oleh Nabi atau oleh sahabat dengan arahan Nabi. Di antara ialah:

1. Membina masjid
Pembinaan masjid sebagai perkara pertama yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan di Yathrib jelas
menggambarkan kepentingan institusi masjid tersebut dalam menegakkan syiar Islam yang selama
ini diperangi. Ia boleh berperanan besar dalam menyatukan akidah umat Islam. Pembinaan masjid
juga membuktikan bahawa seluruh ibadat dalam Islam adalah menjurus kepada pembersihan jiwa,
pemurnian akhlak, pengukuhan ikatan antara sesama Islam terutamanya dalam hal bantu-
membantu dan ketakwaan.

Masjid yang didirikan di Yathrib asalnya adalah tempat menjemur kurma yang dimiliki oleh dua
orang anak yatim bernama Sahl dan Suhayl. Pembinaan masjid ini turut menyaksikan penglibatan
Nabi Muhammad s.a.w apabila baginda bersama-sama mengangkut labin (Batu-bata) yang
digunakan untuk membina bangunan masjid. Atap masjid pula dibuat daripada daun pelepah tamar
dan tiangnya dari pelepah tamar yang keras (Roziah Sidek, 2002: 145).
Masjid ini menjadi pusat kepada segala aktiviti umat lslam pada masa itu. Masjid yang di bina telah
dijadikan sebagai pusat pengajian lslam yang dipimpin secara langsung oleh Nabi s.a.w yang diberi
nama al-Suffah.

Al-Suffah ketika itu menjadi Pusat Dakwah dibina dengan tujuan untuk melatih para pendakwah
yang nantinya akan menjadi mujahid dakwah di pelbagai kawasan yang telah menerima lslam. Nabi
s.a.w sendiri sebagai tenaga pengajarnya. di samping itu di bantu oleh sahabat-sahabat yang
dianggap lebih senior yang juga mendapat pendidikan secara langsung dari Nabi s.a.w. Di antara
mereka yang menjadi pembantu Nabi s.a.w sebagai tenaga pengajar ialah Abdullah bin Said bin al-
As, Ubaidah bin Samit, Ubaydah bin Kaab dan lain-lain. Bahkan di antara pengajarnya adalah
tawanan Perang Badr yang mempunyai kepakaran tertentu yang dijadikannya sebagai tebusan
(Syamsul Bahri Andi Galigo, 1998:29).

Kesungguhan Nabi Muhammad s.a.w membina masjid ini bukan semata-mata ingin mewujudkan
satu tempat yang khusus untuk ibadat sahaja. Sebenarnya masjid ini juga turut dijadikan sebagai
tempat umat Islam menerima ajaran Islam, tempat pertemuan umat Islam, tempat mengatur urusan
pentadbiran, tempat tinggal golongan yang tidak mampu, tempat membincangkan strategi
peperangan, tempat bermesyuarat dan tempat menerima perwakilan asing.

2. Mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar


Nabi Muhammad s.a.w memandang penting aspek persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan
golongan Ansar. Ia merupakan satu manifestasi keadilan Islam dari segi akhlak kemanusiaan. Satu
hal yang perlu dilihat di sini ialah Muhajirin menghadapi masalah persoalan ekonomi dan sosial.
Mereka tiba di Madinah tanpa memiliki apa-apa harta. Penghijrahan golongan Muhajirin boleh
melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Yathrib. Namun ia agak susah untuk dilakukan
memandangkan kegiatan ekonomi di Yathrib lebih berasaskan pertanian dan penternakan. Ini jelas
sekali berbeza dengan kegiatan ekonomi mereka di Makkah sebelum ini yang lebih tertumpu pada
kegiatan perdagangan. Nabi Muhammad s.a.w sedar bahawa keadaan golongan Muhajirin ini boleh
dibantu oleh golongan Ansar yang kaya dengan hasil pertanian, harta dan pertukangan mereka
(Roziah Sidek, 2002:146).

Sorotan ke atas sirah Nabi Muhammad s.a.w membuktikan bahawa golongan Ansar benar-benar
memperlihatkan contoh pengorbanan yang amat mulia. Antara bentuk pengorbanan dan bantuan
Ansar ialah mereka mencadangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar membahagikan pokok
kurma mereka kepada golongan Muhajirin. Namun Nabi Muhammad s.a.w menyarankan agar pokok
kurma itu diusahakan oleh golongan Ansar dan mereka boleh membahagikan hasilnya kepada
golongan Muhajirin. Alasan yang Nabi Muhammad s.a.w berikan ialah tenaga golongan Muhajirin
lebih diperlukan untuk dakwah dan jihad.

Golongan Ansar ini juga dikatakan sanggup menawarkan salah seorang isteri mereka kepada
golongan Muhajirin. Ini berlaku antar Sa’d bin al-Rabi’ dari golongan Ansar dengan Abd Rahman
bin’Awf dari golongan Muhajirin. Sa’d dilaporkan mempunyai dua orang isteri dan beliau
menawarkan salah seorang dari isterinya kepada Abd Rahman bin ‘Awf dan Abd Rahman bin ‘Awf
sendiri membuat pilihan yang mana satu lebih disukainya. Walaupun golongan Ansar ternyata
menawarkan bantuan yang tidak bernilai harganya, ini tidak bermakna golongan Muhajirin tidak
berusaha langsung.

Menurut catatan Ibn Sa’d dan al-Baladhuri persaudaraan ini terjalin antara 90 orang iaitu 45 dari
golongan Muhajirin dan 45 dari golongan Ansar. Persaudaraan ini memberi hak untuk tolong-
menolong antara kedua-dua golongan. Sebagai contoh, dalam menyelesaikan masalah kehidupan
sama ada pertolongan berbentuk kebendaan atau nasihat sehingga membenarkan mereka saling
mewarisi harta walaupun tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Namun hak perwarisan harta
terbatal dengan turunnya ayat 75 surah al-Anfal. Walau bagaimanapun, Ibn ‘Abbas melaporkan
bahawa hak dalam bentuk bantuan, pertolongan dan nasihat masih kekal (Roziah Sidek, 2002:147).

3. Sahifah Madinah (Piagam Madinah)


Tiada tarikh yang tepat diberikan oleh sejarawan mengenai pengisytiharan Sahifah Madinah. Namun
Kattani, Wellhausen dan Watt menyebut bahawa perjanjian itu diisytiharkan sebelum berlaku
peperangan Badr. Manakala Hubert Grimme dan beberapa orang penulis lain berpendapat ia
diisytiharkan selepas peperangan Badr. Ibn Ishaq sendiri dalam tulisannya meletakkan cerita
mengenai Sahifah Madinah ini lebih awal dari peristiwa persaudaraan antara golongan Muhajirin
dengan golongan Ansar (Roziah Sidek, 2002:149).

Piagam Madinah ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama meliputi fasal 1 hingga fasal 23
yang menggariskan peraturan mengenai golongan Muhajirin dan Ansar. Manakala bahagian kedua
pula meliputi fasal 24 hingga 47 membincangkan hak dan tanggungjawab kabilah Yahudi di
Madinah. Secara umumnya, piagam ini mengandungi prinsip-prinsip berikut:

a. Piagam itu tertulis. Justeru itu, ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah
dunia.

b. Piagam itu adalah satu perjanjian masyarakat antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar.

c. Pembentukan ummah yang ditegaskan dalam fasal 1 bertujuan untuk membentuk satu
masyarakat baru dalam negara Islam yang baru didirikan. Kepentingan prinsip ini begitu ketara
kerana ia menghimpunkan antara golongan Muslim dengan golongan Yahudi dan golongan-
golongan lain di dalam masyarakat baru sebagai warganegaranya. Masyarakat baru ini adalah
masyarakat yang mempunyai undang-undang yang hidupnya teratur diasuh jiwa raganya serta yang
diatur langkah dan cara pergaulannya.
d. Cita-cita kenegaraan yang terdapat dalam bahagian awal Piagam Madinah jelas menggambarkan
ideologi Islam dalam membentuk sesebuah negara.

e. Pengakuan hak asasi manusia meliputi pengakuan tentang cara hidup, adat istiadat dan
kebebasan mereka. Ini jelas digambarkan dalam fasal 2 hingga 10. Begitu juga dengan hak-hak
politik seperti yang terkandung dalam fasal 16 hingga 23.

f. Disiplin dan semangat setia kawan dianjurkan seperti yang terdapat dalam fasal 11 hingga 15.

g. Pengakuan tentang hak-hak minoriti golongan Yahudi seperti dalam fasal 25 hingga 35.

h. Pengakuan adanya pemimpin negara yang harus dipatuhi segala perintahnya. Beliau
bertanggungjawab menentukan haluan politik negara dan beliau juga menjadi tempat merujuk
segala persoalan. Ini jelas disebut dalam fasal 36 dan fasal 42. Prinsip ini secara tidak langsung
menegaskan kewujudan seorang penguasa negara yang mewakili seluruh umat iaitu Nabi
Muhammad s.a.w

i. Kewajipan mempertahankan negara seperti yang ditegaskan dalam fasal 39.

j. Politik perdamaian dijadikan sebagai haluan negara yang dipegang teguh seperti yang terkandung
dalam fasal 45.

4. Dar al-Qurra
Ia adalah rumah Malik bin Naufal yang sengaja dikhususkan sebagai tempat berkumpulnya para
sahabat yang berminat menghafal dan membaca ayat-ayat al-Quran . Walaupun ada riwayat lain
yang menyatakan bahawa Dar al-Qurra ini bertindak sebagai asrama pelatih yang tidak dapat
ditampung di al-Suffah, tetapi tempat belajar mereka tetap di Pusat Dakwah al-Suffah.

5. Kuttab
Institusi ini berupa tempat pengajian bagi kanak-kanak lslam yang memerlukan pentarbiahan,
terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bacaan al-Quran. Abdullah bin Masud
menyatakan bahawa beliau bersama Zaid bin thabit pernah belajar al-Quran sebanyak 70 surah
secara talaqqi di hadapan Nabi s.a.w di kuttab, sewaktu ia masih kecil.

6. Rumah Para Sahabat Rasulullah


Para sahabat Rasulullah juga menjadikan tempat tinggal mereka sebagai tempat mempelajari lslam.
Kebiasaannya jika Nabi menerima tetamu dari luar, mereka akan ditumpangkan di rumah sahabat
yang mempunyai kemampuan. Peluang seperti ini tidak dilepaskan oleh sahabat berkenaan. Mereka
memberi bimbingan dan mauizah kepada tetamu tersebut bagi tujuan meyakinkan kebenaran lslam
yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Ketika Nabi didatangi tetamu dari kabilah Abdul Qais, mereka tinggal di Madinah selama sepuluh
hari. Ketua kumpulannya, Abdullah al-Ashajj sengaja ditumpangkan di rumah Ramlah binti al-Harith,
sementara yang lainnya ditempatkan di rumah beberapa sahabat dari kalangan Ansar. Ketua
kumpulan, Abdullah selalu bersama Nabi s.a.w dan bertanya tentang lslam dan ajarannya,
sementara tetamu yang lain ikut belajar kepada sahabat-sahabat.

Demikianlah kita lihat peranan pendidikan yang dikembangkan oleh Nabi s.a.w pada masa
hidupnya, di mana ia merupakan aspek penting yang mesti wujud dalam masyarakat lslam.

You might also like