You are on page 1of 3

Munafik dari sudut bahasa adalah orang yang menyembunyikan perkara atau

maksud sebenar. Dari sudut syarak pula bermaksud, seseorang yang tidak
menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati.

Banyak ayat di dalam al-Quran yang menggambarkan sifat orang munafik. Iaitu
antaranya kisah orang munafik yang berada di zaman Rasulullah S.A.W. Antara
ayatnya adalah:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran
yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau
melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan
bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.”Surah An-Nisa’ 4:61
Pada surah dan ayat yang lain;

“Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang
menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati
mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): “Ejek-ejeklah (seberapa
yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut
(terdedah untuk pengetahuan ramai)”Surah At-Tawbah 9:64
Al-Quran turut menceritakan orang munafik di zaman Nabi S.A.W iaitu:

“Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-
orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila
mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-
orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): “Apa yang
dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang
telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut
hawa nafsunya.”Surah Muhammad 47:16
Dalam artikel ini penulis hanya menfokuskan kepada beberapa sifat munafik.
Semoga kita semua terhindar daripada sifat-sifat yang tidak baik yang akan
disebutkan selepas ini.

#1- Suka Bercakap Dusta


Daripada Abu Hurairah R.A., bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda;

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila
dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati” Riwayat al-Bukhari
dan Muslim
Suka berdusta adalah sifat orang munafik. Tidak mahu berkata benar sebaliknya
banyak berbohong. Sifat ini janganlah terdapat pada diri kita. Jauhilah daripada
kebiasaan suka berdusta.

Berdusta hanya merendahkan harga diri kita. Kelak orang akan tahu dengan
temberang yang dibuat, maka tiada siapa yang mahu percaya lagi dengan kata-kata
kita. Sungguh malang sekali kita pada ketika itu.

#2- Tidak Menepati Janji


Jangan mudah mengatakan janji jika kita tidak mampu melaksanakan janji tersebut.
Berjanji kepada seseorang melibatkan soal hati dan perasaan. Bagaimana rasanya
bila orang telah berjanji dengan kita tetapi dengan mudahnya janji itu dimungkiri?
Semestinya kecewa.
Selain itu, dalam berjanji jangan lupa ucapkan juga kalimah Insha Allah. Hal ini
kerana, kita hanya mampu merancang dan yang menentukan segalanya adalah Allah
S.W.T. Walau semuanya sudah dirancang sempurna namun jika Allah tidak izinkan,
ia tidak akan menjadi.

Dan janganlah mencemarkan kalimah Insha Allah untuk memungkiri janji. Ada yang
sekadar ‘menyedapkan’ bicara dan janji dengan menambah kalimah itu. Tatkala
berjanji tepatilah. Jika tidak mampu tunaikan janganlah ‘ringankan’ perkataan janji.

#3- Amanah Dikhianati


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah


dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang
kamu mengetahui (salahnya).”Surah Al-Anfal 8:27
Amanah yang diberi bukan satu kebanggaan tetapi satu tanggungan. Tanggungan di
dunia, jawab di akhirat kelak. Itulah disebalik tanggungjawab dengan amanah yang
diberi. Segalanya akan dihisab di hari akhirat.

Orang yang benar-benar beriman akan takut untuk mengkhianati amanah. Kerana
dia sedar bahawa amanah itu perkara yang tidak boleh dibuat main. Dan dia harus
bertanggungjawab dan menerima bukan untuk memenuhi kepentingan diri sendiri.

#4- Bermuka-Muka
Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat iaitu yang memiliki dua wajah
(munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada
golongan lain dengan satu wajah.”Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Hibban dan
Ahmad
Sifat talam dua muka antara sifat yang perlu dihindari. Janganlah sekali-kali
mempunyai sikap suka berpura-pura. Di tempat A lain, di tempat B pula lain
gayanya.

Ada juga yang manis wajah di hadapan, tetapi di belakang pelbagai kata cercaan
yang disimpan. Oleh itu, marilah sama-sama kita perbaiki diri agar menjadi insan
yang tidak bermuka-muka. Jujurlah dengan diri sendiri.

Kesimpulan
Janganlah kita mengikuti sifat-sifat orang munafik yang berlaku seperti di zaman
Rasulullah S.A.W. Sifat-sifat munafik ini hanya akan merugikan diri kita sendiri.
Dalam beriman tetapi masih dalam keraguan.

Peganglah dan genggamlah Islam sebagai cara hidup kita. Hadirnya Islam membawa
sinar kepada kehidupan. Ia datang bukan untuk menyusahkan tetapi ia hadir
membawa seribu kebaikan kepada diri.

Jika terdapat sifat seperti di atas, bersama-sama kita memohon keampunan kepada
Allah. Pintu taubat masih terbuka untuk kita semua. 
Berubahlah sedikit demi sedikit. Mintalah kepada Allah kekuatan untuk istiqamah
dalam kebaikan. Sesungguhnya Allah itu dekat dengan kita.
Waallahu a’lam.

You might also like