You are on page 1of 6

TAJUK TUGASAN:

ULASAN BUKU

‘PENDIDIKAN DAN MASYARAKAT’

OLEH KAMARUDIN HJ. KACHAR

KOD DAN NAMA SUBJEK:

GGGD5022 SEKOLAH DAN MASYARAKAT

NAMA PENSYARAH:

DR. MOHD NORAZMI BIN NORDIN

NAMA PELAJAR:

NURULAIN BINTI JASME

NO. MATRIK:

P124678
Pendidikan bermaksud proses pembelajaran, cara hidup keseluruhan sesuatu
masyarakat dan proses mempelajari cara hidup yang berterusan. Pendidikan formal yang
dikelolakan dan yang dibiayai oleh peruntukan negara, sama ada di peringkat rendah,
menengah mahupun tinggi penting bagi proses pembangunan negara di seluruh dunia,
termasuklah Malaysia. Dengan demikian, seharusnya pendidikan ditadbirkan oleh anggota
yang berkaliber tinggi dan terlatih secara professional supaya berupaya memberi kepimpinan
yang berkesan dan dinamik.
Sudah menjadi tugas penting pendidikan di semua peringkat dan di seluruh negara
untuk memenuhi keperluan masyarakat. Pendidikan yang dirancang dan dikelolakan adalah
untuk menentukan ilmu pengetahuan yang sedia ada tidak pupus, dan perlu disebarkan kepada
generasi muda. Pendidikan juga perlu mewujudkan ilmu pengetahuan baru melalui pelbagai
cara seperti penyelidikan, supaya masyarakat terus bergerak maju sekaligus meningkatkan
taraf hidup.
Perkara utama yang dititikberatkan dan yang patut diberi perhatian dalam pendidikan
ialah pembinaan personaliti pelajar secara menyeluruh dan seimbang dengan kemajuan
akademik. Pembinaan personaliti pelajar daripada aspek perkembangan sosial, fizikal, mental,
moral, estetika dan agama amat penting untuk menjadikan mereka serba berkebolehan.
Kesemua bidang pembinaan personaliti pelajar ini memerlukan kepimpinan professional
pendidik yang bermutu tinggi. Kajian mendapati bahawa kualiti pendidikan di sesebuah
institusi bergantung kepada kualiti pendidiknya.
Pendidikan merupakan satu proses yang mengandungi berbagai aktiviti yang dirancang
khas untuk pembangunan masyarakat. Satu daripada fungsi konservatif pendidikan ialah
memupuk, mengekal dan menyalurkan nilai-nilai tradisi masyarakat.
Pendidikan bercorak progresif berfungsi sebagai pengubah sosial. Dalam zaman sains
dan teknologi yang menitikberatkan perkembangan pemodenan dan perindustrian ini, didapati
perubahan sosial berlaku terlalu cepat. Perubahan sosial sedemikian mengakibatkan
keruntuhan nilai-nilai tradisi sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Kedua-dua fungsi pendidikan yang telah dibincangkan di atas merupakan unsur-unsur yang
bertentangan. Ini menimbulkan konflik fahaman, kebudayaan, dan nilai dalam masyarakat
kita.
Beberapa konflik yang terdapat dari semasa ke semasa perlu diatasi kerana pendidikan
memainkan peranan utama menentukan tingkah laku kanak kanak yang bakal menjadi ahli
masyarakat. Pendidikan sama ada secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi cara
hidup sesuatu masyarakat.

2
Oleh kerana pendidikan bersifat luas dan menyeluruh, dan kesannya dirasai oleh semua
golongan masyarakat, maka penglibatan dan kerjasama rapat antara ibu bapa dengan guru-guru
adalah amat penting. Perlaksanaan sistem pendidikan kebangsaan kita memerlukan sokongan
moral, bantuan kewangan dan sumbangan tenaga bakti ibu bapa.
Konsep persekolahan pada hari ini amat berbeza dengan konsep persekolahan zaman
penjajahan British. Persekolahan hari ini mementingkan hubungan rapat dan interaksi yang
berkesan dengan masyarakat sekeliling. konsep ini diperakukan dalam Penyata Razak 1956
yang menegaskan hubungan rapat antara sekolah dengan masyarakat.
Matlamat utama Dasar Pelajaran Razak, mewujudkan perpaduan kebangsaan. Dengan
demikian nyata sistem pendidikan kebangsaan kita merupakan satu alat utama
menyatupadukan rakyat. Aspirasi negara amat murni tetapi sukar dicapai kerana kejayaannya
bergantung kepada cara system pendidikan kebangsaan dikelola dan ditadbirkan.
Konsep persekolahan yang berkesan merangkumi aspek sekolah dan masyarakat yang
saling bergantungan antara satu sama lain. Tujuan utamanya supaya pelajar memahami nilai
nilai masyarakat, supaya mereka melalui kehidupan berdasarkan pengendalian projek-projek
penyelidikan yang berkait rapat dengan masyarakat, dan supaya ibu bapa memahami dan
menghayati keadaan persekolahan anak-anak mereka yang sebenarnya.
Perkara yang nyata sekali menujukkan pelajar-pelajar adalah kepunyaan masyarakat.
Mereka lahir, hidup, belajar dan bekerja dalam masyarakat. Tetapi, masalah besar ialah
masyarakat, khasnya golongan ibu bapa, didapati ramai yang memencilkan diri daripada
pelajar-pelajar dan tidak cukup berinteraksi dengan mereka. Sepatutnya, daripada
masyarakatlah pelajar-pelajar menerima ilham dan dijadikan sebagai sumber pembelajaran.
Apa yang terjadi hari ini adalah sekolah hampir terpisah daripada masyarakat sungguhpun
sekolah dibina dalam masyarakat.
Tujuan pendidikan terbahagi kepada dua, iaitu pendidikan universal dan pendidikan
kebangsaan. Kedua duanya mempunyai unsur asas yang sama iaitu untuk memupuk dan
mengembangkan personaliti pelajar-pelajar yang seimbang dengan memberi kemudahan untuk
pertumbuhan kualiti fizikal, intelektual, moral dan keagamaan seperti dalam bidang sosial,
ekonomi dan politik.
Tujuan-tujuan di atas menunjukkan pendidikan bukanlah semata mata untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan bagi memperoleh kelulusan bersijil. Jika ini tujuan yang
sebenar, tugas guru menjadi ringan dan sekolah tidak perlukan penglibatan dan Kerjasama ibu
bapa. Mendapat kelulusan bersijil sahaja tidak menjadi tujuan utama pendidikan pada masa
ini.

3
Pada zaman IT dan penggunaan robot ini, masalah yang besar bukanlah untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan, tetapi untuk mengatasi masalah keruntuhan budi Bahasa dan
moral. Ini kerana masyarakat tidak dapat mengawal dan menguruskan teknologi yang direka.
Gejala yang menakutkan, masyarakat sendiri tidak faham akan hasil rekaan mereka sendiri.
Masyarakat terlalu gairah mencipta rekaan sains baru sehhingga bercanggah dengan falsafah
hidup dan melemahkan unsur tradisi kebudayaan sehingga menimbulkan masalah perundangan
dan moral.
Kita perlu memahami masyarakat kita sendiri. Keperluan ini sama pentingnya dengan
ciptaan dan kegunaan komputer. Kita juga perlu meneliti semula sedalam dalamnya nilai hidup
masyarakat supaya sesuai dengan konteks hidup dalam alam sains dan teknologi. Masyarakat
moden ini sungguh berbeza daripada masyarakat tradisi. Masyarakat sekarang bersikap
mementingkan diri sendiri, kewibawaan ibu bapa ke atas anak anak menjadi lemah sekaligus
anak-anak susah untuk dikawal serta merenggangkan hubungan antara saudara dan keluarga
menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak mereka kepada sekolah.
Peranan guru dalam masyarakat moden terlalu luas dan rumit. Oleh sebab masyarakat
berubah dari segi bentuk dan aspirasinya, maka guru bukan sahaja dikehendaki menyampaikan
ilmu pengetahuan kepada pelajar, tetapi mereka juga dijangkakan menjalankan tugas sebagai
pemimpin, pengubah sosial, pereka, penilai, perancang kurikulum, dan pemupuk semangat
pelajar supaya mereka ingin belajar. Guru juga mempunyai peranan sebagai ahli psikologi dan
perunding. Kerumitan kerja guru bukan sahaja berpunca daripada perubahan masyarakat tetapi
daripada perubahan sistem pendidikan kebangsaan.
Walaupun masyarakat bertambah maju dan bilangan sekolah bertambah, tetapi fungsi
dan tanggungjawab keluarga terhadap pendidikan kanak-kanak tidak dapat diambil alih oleh
institusi sosial yang lain. Ada ahli sosiologi berpendapat bahawa fungsi keluarga berkurangan
setelah wujudnya masyarakat moden. Sebenarnya, masyarakat moden hari ini mempunyai
banyak masalah jika dibandingkan dengan masyarakat tradisi. Antara masalah yang
mempengaruhi masyarakat sekolah hari ini adalah masalah dadah, disiplin, keruntuhan moral,
pengangguran, perpecahan keluarga, penghijrahan ke bandar dan masalah kos perumahan yang
semakin meningkat.
Oleh sebab masalah masyarakat semakin bertambah, wajarlah peranan keluarga
bertambah untuk menyeimbangkan masyarakat. Proses pendidikan mementingkan
perkembangan kanak kanak dari aspek sosial, intelektual dan moral. Dalam konteks ini, ibu
bapa perlu melibatkan diri dengan guru-guru demi kemajuan anak-anak mereka.

4
Manakala hubungan guru dengan masyarakat juga tidak kurang pentingnya, guru perlu
berganding bahu dengan masyarakat untuk mengetahui keadaan sosioekonomi dan cara
kehidupan pelajar, mengenal pasti dan menyarankan cadangan menyelesaikan masalah pelajar,
memahami aspirasi dan cita-cita pelajar, memupuk semangat yang positif, progresif, perpaduan
dan bertanggungjawab serta mendapatkan kerjasama masyarakat bagi kemajuan sekolah.
Masyarakat juga tidak sepatutnya menjauhkan diri daripada sekolah. Tanpa sekolah,
masyarakat tidak dapat melahirkan warganegara yang terpelajar, terlatih dan berkemahiran.
Kerjasama antara guru dengan masyarakat adalah asas kemajuan negara. Masyarakat perlu
bersama sama berganding bahu dengan sekolah untuk mengambil tahu perubahan yang berlaku
dalam alam Pendidikan anak-anak mereka, mengenal pasti kelemahan anak-anak mereka dan
cara untuk mengatasinya, memberitahu sekolah tentang bakat semulajadi anak-anak mereka
supaya boleh diperkembangkan dan membantu guru bersama-sama mengatasi masalah anak
mereka.
Peranan serta tanggungjawab guru dan masyarakat terhadap kemajuan pendidikan
hendaklah selari. Ini bererti guru perlu memahami hasrat masyarakat dan sebaliknya.
Penyesuaian hasrat ini akan wujud dengan kerjasama antara kedua dua belah pihak.
Sekolah dibina dalam masyarakat, oleh masyarakat dan untuk masyarakat. Mengikut konsep
ini, sekolah mempunyai fungsi sebagai agen perubahan masyarakat. Sekolah yang sepatutnya
mengorak langkah untuk memulakan segala perubahan dalam masyarakat, contohnya
perubahan dari segi pembentukan semula sikap penduduk. Malangnya, hanya sedikit
perubahan yang diwujudkan oleh sekolah. Sebaliknya, sekolah terpaksa mengikut perubahan
masyarakat. Ini bererti masyarakat berubah dahulu dan sekolah hanya menurut dan mematuhi
segala unsur perubahan tersebut.
Setiap sekolah sudah tentu mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Ada PIBG yang
berjaya memberikan sumbangan penuh bererti dan bermanfaat kepada sekolah seperti
merapatkan kerjasama antara ibu bapa dan sekolah. Ada PIBG yang betul-betul memahami
kesulitan sekolah dan mahu membantu menyelesaikan masalah bersama sama. Ada PIBG yang
sungguh rapat dengan masyarakat sekeliling sehinggakan masyarakat itu berasa
bertanggungjawab ke atas sekolahnya. Kita sedar peranan PIBG penting dan amat diperlukan
oleh setiap sekolah untuk mencapai kemajuan. Ini kerana sekolah mendidik, mengajar,
mengasuh dan memimpin kanak kanak. Masyarakat pula terdiri daripada ibu bapa yang secara
langsung bergaul rapat dengan kanak-kanak daripada segi sikap, kemahuan, tingkah laku,
kegemaran, kecenderungan, keupayaan, kegigihan, ketekunan dan juga masalah masalah
peribadi mereka.

5
Antara fungsi PIBG ialah membantu mengurangkan masalah sosial yang telah merebak
ke sekolah, masalah dadah dalam kalangan pelajar, kemerosotan disiplin, keruntuhan akhlak,
sikap tidak peduli, tidak hadir ke sekolah, kurang minat belajar, kurang motivasi dalam diri dan
sebagainya.
Namun masih terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mahu melibatkan diri dengan
PIBG. Hal ini terjadi kerana kebanyakan ibu bapa sibuk dengan tugas harian masing-masing,
ibu bapa meletakkan kepercayaan yang penuh kepada sekolah untuk mendidik anak-anak
mereka, ibu bapa kurang berminat terhadap masalah persekolahan anak-anak mereka, ibu bapa
kurang mengambil berat terhadap sekolah, ibu bapa malu menghadiri upacara di sekolah, jika
anak-anak bersekolah di tempat yang jauh terdapat masalah pengangkutan, masalah kewangan
dan kesuntukan masa menyebabkan ibu bapa tidak dapat hadir ke sekolah dan terdapat ibu bapa
merasakan diri mereka tidak setaraf dengan masyarakat guru.
Terdapat beberapa cara untuk mempertingkatkan penglibatan dan kerjasama ibu bapa
dalam proses pendidikan. Antaranya ialah, guru besar dan guru guru hendaklah sanggup
bertindak mengeratkan perhubungan dengan ibu bapa, pihak-pihak berkenaan perlu
menyedarkan ibu bapa supaya mengubah sikap dengan menyampaikan maklumat program
penting di sekolah dengan lengkap, merapatkan jurang perhubungan antara guru besar dengan
ibu bapa, guru guru perlu bergiat aktif dalam aktiviti sosial, agama dan sukan yang melibatkan
penyertaan ibu bapa, serta menerbitkan berita ringkas sekolah supaya ibu bapa cakna tentang
isu semasa di sekolah.
Guru yang tinggi kualiti akademik, profession dan personaliti adalah guru yang bernilai
tinggi. Guru yang kualiti sedemikian bukan lahir melalui proses semulajadi, tetapi adalah hasil
daripada proses sosialisasi dan pendidikan yang bermutu. Ini bermaksud setiap orang guru
boleh mempunyai kualiti tersebut jika mempunyai keazaman yang kuat dan keyakinan diri
yang tinggi.
Masyarakat pula sentiasa berubah. Perubahan yang selalunya dialami oleh masyarakat
menerusi pengaruh beberapa sistem sosial seperti pendidikan, ekonomi, politik, agama dan
sebagainya hendaklah dikawal. Biasanya perubahan mengandungi dua unsur, unsur positif dan
unsur negatif. Guru sebagai golongan yang diberi amanat mendidik, mengasuh dan memimpin
hendaklah bersifat positif dan progresif.

You might also like