You are on page 1of 1

3.

CARA-CARA MEMUPUK GAYA HIDUP SIHAT

Dalam arus pemodenan ini, gaya hidup masyarakat berubah mengikut peredaran
zaman. Pada zaman dahulu, masyarakat banyak menghabiskan waktu dengan melakukan kerja-
kerja berat tanpa bantuan peralatan jentera. Berbeza pada hari ini, masyarakat banyak
menghabiskan masa bekerja menghadap peranti elektronik yang menyebabkan kita tidak
mengeluarkan peluh. Tambahan pula teknologi pemprosesan makanan menyebabkan
wujudnya makanan yang tidak berkhasiat dan merosakkan tubuh badan. Persoalannya apakah
cara untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat hari ini?
Aspek utama yang signifikan dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat ialah
peranan keluarga dan ibu bapa. Ibu bapa merupakan dua insan yang bertanggungjawab untuk
mengatur jadual kehidupan anak bermula dari bangkit tidur seawal enam pagi. Mereka
hendaklah menyediakan makanan seimbang bermula dengan sarapan yang berkhasiat. Aktiviti
ini hendaklah dijadikan rutin harian agar anak-anak akan mengamalkan gaya hidup sihat yang
telah dibentuk oleh ibu bapa mereka sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa Melayu yang
mengatakan ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Malah usaha ibu bapa ini akan dapat
membentuk sebuah keluarga yang mengamalkan gaya hidup sihat .
Selain aspek utama tersebut, pentadbir sekolah hendaklah memastikan pengusaha
kantin menjual makanan yang memenuhi piawaian piramid makanan agar pelajar-pelajar dapat
mengambil makanan seimbang di sekolah. Mereka hendaklah dipantau setiap enam bulan agar
tiada penjualan kudap-kudapan yang boleh merosakkan matlamat gaya hidup sihat. Pada masa
sama, pentadbir sekolah perlu menangani peniaga-peniaga di luar sekolah yang menjual
pelbagai makanan ringan yang tidak menepati amalan gaya hidup sihat. Pentadbir sekolah
hendaklah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani masalah ini
dengan bijak seperti menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak
putus.
Di samping usaha pihak sekolah, kerajaan juga memainkan peranan besar dalam usaha
memupuk gaya hidup sihat. Pada sedekad yang lalu, Kementerian Belia dan Sukan pernah
memperkenalkan Program Rakan Muda yang berjaya menobatkan belia negara. Program ini
merupakan salah satu aktiviti gaya hidup sihat yang diperkasakan oleh Kementerian Belia dan
Sukan dan mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain. Kejayaan program
Rakan Muda boleh menjadi kayu pengukur atau panduan untuk kerajaan menganjurkan
program yang sedemikian. Secara tidak langsung, amalan gaya hidup sihat dapat diadakan
dengan skala besar yang membabitkan semua pelajar sekolah, remaja, dan belia negara.
Aspek lain yang turut signifikan dalam usaha ini ialah peranan pemaju perumahan.
Pemaju perumahan tersebut hendaklah menyediakan prasarana atau kemudahan taman rekreasi
yang lengkap dengan peralatan senaman agar dapat menggalakkan penduduk sekitar untuk
melakukan aktiviti riadah dan senaman setiap hari. Sebagai contoh, syarikat Sime Darby yang
membangunkan kawasan perumahan Elmina 8 telah menyediakan kawasan rekreasi yang
menjadi tumpuan orang ramai dan menjadi lokasi popular bagi peminat sukan berbasikal.
Keindahan kawasan rekreasi tersebut pada waktu malam dengan hiasan lampu neon
menjadikan kawasan tersebut lokasi tumpuan orang ramai bersenam pada waktu malam. Secara
tidak langsung kawasan perumahan tersebut menjadi terkenal.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat ini bukanlah semata-mata tertumpu
pada aktiviti senaman dan penjagaan makanan sahaja tetapi turut menumpukan aspek gaya
hidup yang positif. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing dalam
memupuk amalan gaya hidup sihat. Usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan tidak
sekadar melepaskan batok di tangga sahaja kerana jika usaha ini diteruskan, rakyat negara akan
mencapai kesihatan mental dan fizikal demi pembangunan negara.

You might also like