You are on page 1of 3

PELAKSANAAN PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL

(PEERS) DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN KESIHATAN DI SEKOLAH


RENDAH DAN MENENGAH

Latar Belakang

1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan ‘pendidikan


seks’ sejak tahun 1989 bagi sekolah menengah dan pada 1994 di sekolah rendah,
khususnya melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum
subjek lain seperti bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

2. Istilah merujuk kepada ‘pendidikan seks’ yang digunakan oleh KPM adalah:
2.1 Pendidikan Kesihatan Keluarga (1989 – 2002)
2.2 Pendidikan Seksualiti (2003 – 2005)
2.3 Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (2006 – kini).

3. Istilah ‘Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial’ (PEERS) digunakan


susulan daripada kelulusan Kabinet pada 20 Disember 2006 bagi menggantikan
istilah yang digunakan sebelum ini.

4. Istilah “Pendidikan Seks” tidak digunakan dalam konteks pengajaran dan


pembelajaran di sekolah-sekolah di bawah KPM.

5. Kelulusan Kabinet pada 20 Disember 2006 telah memutuskan bahawa


pelaksanaan PEERS tidak akan melibatkan penyediaan kelas khas atau sebagai
mata pelajaran khusus. Sebaliknya, PEERS dipelajari melalui kurikulum Pendidikan
Kesihatan.

6. PEERS adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan


dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan terhadap identiti, perhubungan dan
keintiman sesama insan. Pendidikan ini bukan hanya terbatas kepada isu
seksual atau hubungan seks semata-mata.

7. PEERS mencakupi pengetahuan dari aspek biologikal, sosiobudaya,


psikologikal dan kerohanian ke arah amalan tingkah laku yang sihat dalam
kehidupan.

8. Konsep dan objektif PEERS merupakan aspek penting yang perlu difahami
secara jelas dan mendalam dalam menentukan kerangka serta hala tuju
pelaksanaan pendidikan tersebut. Setiap individu perlu dilengkapi dengan
kemahiran membuat keputusan secara konstruktif, bijak dan bertanggungjawab
dalam menangani situasi berisiko.

9. PEERS bertujuan untuk memberi kesedaran dan membantu murid:


9.1 membentuk pandangan yang positif terhadap kesihatan reproduktif
dan sosial
9.2 menyediakan maklumat yang perlu diketahui supaya mereka
mengambil berat tentang kesihatan seksual
9.3 menguasai kemahiran kecekapan psikososial (life-skills) dalam
membuat keputusan secara tepat, bijak dan bertanggungjawab pada
masa kini serta masa hadapan.

10. PEERS dilihat dalam skop yang lebih luas daripada pelbagai perspektif ke
arah peningkatan kesihatan seksual dalam kalangan semua lapisan masyarakat.
1
11. Skop Kurikulum Pendidikan Kesihatan sedia ada terdiri daripada komponen
PEERS (75%), Pemakanan (15%) dan Pertolongan Cemas (10%) yang digubal
berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat
umur kumpulan sasaran.

Antara Fokus PEERS Dalam Kurikulum Pendidikan Kesihatan

Tahap Satu Sekolah Rendah

12. Perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga


kebersihan diri, kemahiran berkata TIDAK kepada sentuhan tidak selamat,
kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

Tahap Dua Sekolah Rendah

13. Pengurusan konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif,


kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah,
jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata TIDAK kepada rokok, alkohol
serta dadah.

Menengah Rendah

14. Kemahiran kecekapan psikososial menangani situasi berisiko, pengurusan


stres, jangkitan penyakit seksual termasuk HIV dan AIDS, perkembangan sifat
seksual sekunder, identiti seksual, orientasi seksual, perhubungan, dan kesan buruk
rokok, alkohol serta dadah.

Menengah Atas

15. Kemahiran kecekapan psikososial menangani situasi berisiko, kestabilan


emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual
termasuk HIV dan AIDS, antipemerdagangan manusia, langkah pengawalan dan
pencegahan rokok, alkohol serta dadah.

16. Kurikulum Pendidikan Kesihatan sentiasa disemak dan ditambah baik dari
semasa ke semasa.

Pendedahan kepada Guru

17. PEERS mencakupi skop yang luas daripada pelbagai perspektif. Antaranya,
aspek fisiologi, amalan tingkah laku yang sihat dalam konteks kehidupan yang
menyentuh tentang seksualiti, etiket perhubungan antara jantina, serta persediaan
untuk kedewasaan, perkahwinan dan keibubapaan.

18. PEERS juga berfokus kepada keluarga sebagai institusi asas manusia di
samping gaya hidup sihat serta menyumbang kepada pemeliharaan integriti institusi
tersebut secara berterusan dan berkekalan.

19. Pendedahan kepada guru, pelaksanaan dan penyebarluasan PEERS dalam


kurikulum Pendidikan Kesihatan dengan penekanan kepada kemahiran iaitu
lifeskills-based health education dijalankan melalui kursus penyebaran Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk mendidik dan memberi
kesedaran kepada murid dalam usaha membentuk generasi muda yang
2
berpengetahuan, berkemahiran, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan dapat
membuat keputusan yang tepat serta bijak, dan seterusnya mewujudkan
masyarakat Malaysia yang sihat sejahtera serta bebas daripada gejala sosial yang
semakin meningkat.

20. Selain itu, KPM juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan
bukan kerajaan dalam melaksanakan PEERS. Contoh, Program Pendidikan
Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja di Sekolah (PEKERTI@sekolah) yang
dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak tahun 2012.

21. Program yang berkaitan dengan PEERS juga dijalankan semasa aktiviti
kokurikulum seperti Program Doktor Muda yang dijalankan bersama-sama dengan
Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1996.

Hasrat KPM

22. PEERS dilaksanakan secara komprehensif dan kohesif dari sekolah


rendah hingga sekolah menengah untuk meningkatkan kesedaran dan membantu
murid memperoleh kemahiran membuat keputusan yang tepat, bijak serta
bertanggungjawab pada masa kini dan masa hadapan.

23. Pendedahan kepada guru, pelaksanaan dan penyebarluasan PEERS dalam


kurikulum Pendidikan Kesihatan dengan penekanan kepada kemahiran iaitu
lifeskills-based health education dijalankan melalui kursus penyebaran Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk mendidik dan memberi
kesedaran kepada murid dalam usaha membentuk generasi muda yang
berpengetahuan, berkemahiran, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan dapat
membuat keputusan yang tepat serta bijak, dan seterusnya mewujudkan
masyarakat Malaysia yang sihat sejahtera serta bebas daripada gejala sosial yang
semakin meningkat.

24. Gejala sosial dan salah laku seksual mengakibatkan pelbagai masalah, baik
pada peringkat keluarga, masyarakat mahupun negara. Masyarakat Malaysia perlu
berganding tenaga dalam membanteras gejala sosial. Kita ingin melihat generasi
muda yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa depan terdiri
daripada insan yang sihat sejahtera. Ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan daya saing
negara melalui peningkatan kualiti modal insan yang dilahirkan oleh sistem
pendidikan kita.

25. Adalah menjadi hasrat KPM untuk meningkatkan kesedaran PEERS dalam
kalangan masyarakat dan seterusnya merealisasikan kejayaannya. Justeru itu,
usaha ini memerlukan penggemblengan usaha dan kerjasama berterusan daripada
semua pihak terutamanya ibu bapa dalam mendidik anak dengan maklumat dan
pengetahuan PEERS yang sempurna.

Unit Pendidikan Kesihatan


Sektor Kesenian dan Kesihatan
Bahagian Pembangunan Kurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia

01 April 2017
3

You might also like