You are on page 1of 3

Kepentingan Perpaduan

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru serta rakan-rakan sekalian.


Tajuk syarahan saya ialah “Kepentingan Perpaduan” .

Hadirin sekalian,

Perpaduan dapat menyatukan kaum. Perbezaan latar belakang antara kaum tidak
menghalang perpaduan rakyat. Bak kata pepatah “bersatu teguh bercerai
roboh”. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mencapai perpaduan dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Antaranya ialah pelaksanaan Hari Sukan Negara
mampu menyemai semangat perpaduan kaum.

Perpaduan merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara. Kecemerlangan


dan kejayaan negara pasti menjadi kemegahan kita semua. Justeru, dengan
wujudnya perpaduan, kita mampu mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Hadirin yang dihormati,

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menjadikan perpaduan rakyat sebagai


landasan hidup bermasyarakat. Negara ini adalah tanggungjawab kita bersama.
Oleh itu, kita harus sentiasa bersatu-padu dan hidup dalam harmoni.

Hadirin sekalian,

Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan, apa lagi yang kita tunggu?
Marilah kita bersatu hidup dalam perpaduan demi keutuhan negara tercinta.

Sekian, terima kasih.


Langkah-langkah Memupuk Semangat Perpaduan

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru serta rakan-rakan sekalian.


Tajuk syarahan saya ialah “Langkah-langkah Memupuk semangat Perpaduan” .

Hadirin sekalian,

Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan dan lain-lain lagi. Perpaduan kaum amat diperlukan untuk membina
negara yang harmoni.

Antara langkah untuk memupuk semangat perpaduan ialah ibu bapa haruslah
mendidik anak-anak mereka supaya berbaik-baik dengan kaum lain. Kita wajar
menghormati agama dan budaya kaum lain.

Hadirin sekalian,

Aktiviti bergotong-royong dapat memupuk semangat perpaduan. Kerjasama


daripada semua penduduk setempat diperlukan untuk membersihkan kawasan
kediaman. Justeru, kita boleh memahami adat resam setiap kaum dengan lebih
mendalam.

Sambutan Hari Keluarga juga dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat


yang berlainan kaum. Kita dapat mengambil bahagian dalam acara yang
dipertandingkan dan berinteraksi bersama.

Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa
rakyat Malaysia harus bersatu padu untuk mencapai perpaduan.

Sekian, terima kasih.


Cara-cara Memupuk Perpaduan Rakyat

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru serta rakan-rakan sekalian.


Tajuk syarahan saya ialah “Cara-Cara Memupuk Perpaduan Rakyat”.

Hadirin sekalian,

Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk memupuk perpaduan rakyat. Kerajaan


boleh mengadakan kempen untuk memupuk perpaduan rakyat melalui media
massa seperti televisyen, surat khabar ataupun internet.

Hadirin sekalian,

Pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dalam


kalangan masyarakat sekolah. Perpaduan rakyat mudah dipupuk jika dimulakan
sejak bangku sekolah lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”. Aktiviti seperti gotong-royong  dan sukan memberi peluang kepada
warga sekolah saling berinteraksi antara satu sama lain.

Hadirin yang dihormati,

Perpaduan rakyat juga bermula dari rumah. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak


untuk menghormati dan memahami budaya pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini
dapat mengelakkan anak-anak bersifat perkauman apabila dewasa kelak.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, saya ingin menegaskan bahawa


perpaduan rakyat amat penting dalam konteks rakyat Malaysia yang berbilang
kaum dan agama.

Sekian, terima kasih

You might also like