You are on page 1of 2

Perpaduan Kaum Menjana Kesejahteraan Negara

Salam sejahtera dan salam seia sekata panel hakim dan sidang hadirin sekalian.
‘Perpaduan Kaum Menjamin Kesejahteraan Negara’ begitulah bunyi tajuk
syarahan saya. Ia membawa maksud bahawa persefahaman dan
kesepakatan penduduk berbilang kaum punca kedaulatan bumi Malaysia.

Sidang hadirin sekalian,

Perpaduan merupakan perkataan yang sering diuar-uarkan dan tidak asing lagi
bagi kita, rakyat Malaysia. Bagi memastikan negara tidak dijajah dan digugat
negara asing, perpaduan kaum sangat penting demi menjamin ketenteraman
negara ini.
Budaya melentur buluh biarlah dari rebungnya dipraktikkan dalam diri anak-anak
sejak kecil lagi dalam membentuk dan menanam semangat perpaduan.
Sebagai contoh, di sekolah, Lagu Kebangsaan dinyanyikan dan Rukun Negara
dihayati sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Dengan demikian, murid-murid
akan menyedari kepentingan bersatu padu dan saling menghormati.
Sebenarnya, dalam pembinaan dan pembentukan warganegara yang bersatu
padu, sekolah dan pendidikan memainkan peranan penting. Kurikulum yang
dibina bukan sahaja menjadi platform untuk menimba ilmu pengetahuan
bahkan semangat perpaduan juga dapat dipupuk.

Hadirin yang dimuliakan,

Masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dapat hidup


dalam keadaan harmoni. Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘Bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh’. Pepatah ini dapat direalisasikan melalui kerjasama
yang tidak berbelah bahagi antara semua kaum dan agama. Misalnya, sikap
membantu, menghormati, menyayangi sesama jiran merupakan kunci
kesejahteraan hidup bermasyarakat. Ringkas kata, kesejahteraan dan
keharmonian yang dinikmati oleh rakyat bukan hanya bergantung kepada
konsep perpaduan sahaja tetapi turut melibatkan pembukaan minda dan fikiran
yang terbentang luas mengenai penerimaan adat resam, budaya dan nilai-nilai
kaum lain.

Sidang pendengar budiman,

Imej negara dapat ditingkatkan dengan semangat perpaduan hasil daripada


kerjasama seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan
agama. Sebagai contoh, ketika musim perayaan terutamanya, amalan ziarah-
menziarahi dan bermaaf-maafan adalah antara amalan kebiasaan rakyat
Malaysia. Ketika ini sudah pasti berlaku interaksi antara kaum dan hubungan
erat akan terjalin. Sudah pasti pergaulan rakyat tanpa mengira kaum akan
mengeratkan hubungan silahtulrahim dan rasa hormat antara satu sama lain.
Rakyat yang bersatu padu akan membentuk masyarakat yang berwibawa dan
berkaliber demi membentuk negara yang cemerlang dan sejahtera.

Konklusinya, sebagai warganegara Malaysia, kita harus menjadikan perpaduan


rakyat sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat. Perpaduan negara
adalah tanggungjawab kita bersama.

Saya akhiri syarahan saya dengan serangkap pantun.

Beras segantang sudah disukat,


Lalu disimpan di atas para,
Andai semua hidup sepakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

Sekian, terima kasih

You might also like