You are on page 1of 3

NAMA:

KELAS:

Minggu 44 Lembaran Kerja Bahasa Melayu Tingkatan 1


Tarikh: 18 November 2020 (Rabu) (2.30 – 4.00 petang)

Kemahiran Membaca dan Memahami


Tajuk Cara Menanam Bawang Merah di Rumah
Aktiviti/ 1. Baca petikan di bawah dengan teliti. Fahami maklumat yang terdapat dalam
Arahan: petikan.
2. Berdasarkan maklumat dalam petikan, hasilkan arahan langkah demi langkah untuk
menanam bawang merah.
Anda digalakkan menggunakan kreativiti sendiri ketika menyiapkan tugasan ini
(seperti: melukis arahan, buat dalam bentuk grafik dan sebagainya)
3. Sila hantar lembaran kerja yang telah lengkap kepada guru subjek.

Cara Menanam Bawang Merah yang Mudah di Rumah

Bawang merah atau nama saintifiknya ialah Allium cepa var. aggregatum merupakan


tumbuhan yang tidak mempunyai batang keras sebaliknya memiliki umbi yang berlapis (bulb).
Umbinya terbentuk daripada pangkal daun yang bersatu dan membentuk batang yang kemudian
berubah bentuk dan fungsinya yang seakan-akan umbi berlapis. Jadi, umbi bawang merah bukanlan
ubi sebenarnya seperti ubi kentang ataupun ubi keledek. Bawang merah merupakan salah satu
sayuran yang penting dalam bahan masakan, baik untuk menumis ataupun sebagai penyedap dalam
makanan. Daun bawang juga merupakan elemen yang penting dalam masakan sebagai tambahan
rencah dalam masakan sup, sayur-sayuran, salad atau pun sebagai penghias lauk-lauk lain. Sekiranya
bawang ditanam di kawasan rumah, penuaian daun bawang dan juga bawang boleh dilakukan dengan
mudah.

Terdapat dua cara untuk penanaman bawang sama ada melalui biji benih ataupun bebawang.
Bagi penanaman yang menggunakan biji benih, tempoh tuaian mengambil masa 3 hingga 4 bulan.
Manakala, jika penanaman yang menggunakan bebawang mengambil masa sekitar 2 bulan setengah.
Artikel kali ini akan memfokuskan cara penanaman melalui kaedah menggunakan bebawang.
Sebaik-baiknya pilih bawang yang segar dan masih elok. Penggunaan bawang yang busuk boleh
menyebabkan bawang reput dan tidak dapat tumbuh dengan baik. Terdapat beberapa cara yang boleh
digunakan dalam menyediakan bahan tanaman. Pertama, dengan menggunakan bawang yang telah
bercambah. Kedua, potong bawang di sebelah atas hingga nampak isi tengah dan sedikit di bahagian
akar. Kaedah ini boleh mempercepatkan pengeluaran tunas bawang merah.
Bawang atau mana-mana tanaman yang lain memerlukan media tanah yang tidak bertakung
air. Media tanah yang boleh digunakan ialah campuran tanah kompos dan juga tanah hitam dengan
nisbah 1:1. Penggunaan kompos untuk awal penanaman adalah amat digalakkan.  Tanah yang sesuai
untuk bawang merah mestilah mempunyai saliran yang baik dengan pH 6.0 – 7.0 dan tidak boleh
ditenggelami air. Bawang boleh ditanam dengan kadar yang sesuai dengan saiz bekas sama ada di
dalam pasu, di dalam botol, di tanah ataupun mana-mana bekas kitar semula yang boleh digunakan.
Campurkan tanah subur dan media tanah dan kemudian masukkan ke dalam pot. Penuhi campuran
tanah tersebut ke dalam pot sehingga 3/4 isi.  Benamkan ¾ bahagian bawah bawang di tanah.
Elakkan timbus dengan tanah sepenuhnya. Jika daun bawang mula naik 4 atau 5 inci, boleh mula
menimbus keseluruhan bawang dengan tanah untuk menjaga kelembapan. Jarakkan setiap bawang
dengan jarak 10cm bagi pertumbuhan yang sekata.

Penjagaan pokok bawang sebenarnya tidaklah susah. Hal ini disebabkan baunya yang kuat
dan tengik akan menghalau serangga perosak untuk dekat. Namun, aspek air dan cahaya matahari
amat penting. Maka, pastikan pokok bawang disiram 2 kali sehari dan elakkan disiram dengan air
yang terlalu banyak serta pastikan pokok bawang mendapat kadar pencahayaan yang maksimum.
Bawang merah perlu dibaja menggunakan baja kompos atau tahi ayam. Baja kompos atau tahi ayam
boleh diletakkan bersama-sama ketika awal penanaman. Boleh juga menggunakan baja AB atau
baja-baja lain yang dibeli dengan kadar yang sesuai mengikut usia pokok. Seterusnya, pokok bawang
akan menghasilkan daun bawang beberapa hari selepas ditanam. Daun bawang ini boleh diambil
untuk digunakan dalam masakan. Namun, pengambilan daun bawang akan memberi kesan kepada
hasil bebawang. Jika ingin menghasilkan bebawang yang banyak, elakkan untuk mengambil daun
bawang. Lebih mudah sekiranya asingkan bawang yang ditanam untuk daun bawang dan juga
bawang yang ditanam untuk penghasilan bebawang. Apabila pokok bawang mencecah 20-30 hari,
pokok bawang akan mengeluarkan satu daun yang sedikit keras. Jika diperhatikan dengan teliti, di
hujungnya terdapat bonjol yang kecil. Ini adalah kuntum bunga bawang yang akan menjadi bunga
bawang. Sekiranya kuntum bunga ini menjadi bunga, segala nutrien akan fokus bagi penghasilan
bunga. Akibatnya, bebawang yang dihasilkan tidak mencapai kuailiti yang maksimum. Maka,
perkara yang perlu dibuat ialah dengan mencantas daun yang akan menjadi bunga secepat mungkin.

Bawang boleh dituai apabila hampir semua daun bawang rebah iaitu sekitar 35-45 hari
setelah bawang ditanam. Tuaian hendaklah dilakukan ketika cuaca kering agar bawang boleh
disimpan lama. Penuaian perlu dielakkan selepas hujan kerana bawang akan mudah diserang fungus
jika basah ketika dituai. Cara menuai bawang adalah dengan mencabutnya dari atas tanah dan
kemudian dijemur sehingga semua daun atas kering. Bawang merah mengandungi nutrien yang
banyak seperti Vitamin C, Vitamin B dan juga potassium. Vitamin C seperti mana yang kita tahu
bertindak sebagai antioksida dan juga membantu dalam membaiki tisu yang rosak dalam badan.
Antioksida ini juga akan mengurangkan keradangan dalam badan yang akan mengurangkan risiko
serangan sakit jantung dan angin ahmar. Bahkan terdapat kajian yang menyatakan pengambilan
bawah merah ini dapat mengurangkan risiko kanser perut dan juga kanser kolon berbanding orang
lain.

Cadangan Bentuk Jawapan/ Lembaran Kerja:


Langkah demi Langkah Proses Penanaman Bawang Merah di Rumah
Persediaan Awal (bahan-bahan yang diperlukan)

Langkah Pertama (Pemilihan Bebawang)

Langkah Kedua (Penyediaan Tanah)

Langkah Ketiga (Penanaman)

Langkah Keempat (Penjagaan)

Langkah Kelima (Tuaian)

You might also like