You are on page 1of 2

TEMA : PERPADUAN

Analisis Soalan
Tema Perpaduan
Tugasan / Fokus Usaha-usaha mempupuk perpaduan
Siapa Pelbagai pihak (Ibu bapa, sekolah, kerajaan)
Format Rencana

Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum


Oleh : Zaleha bt Amin

Dalam mengharungi arus globalisasi, kita seyogia memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia
bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum. Justeru, variasi kaum haruslah bergerak sederap. Selain itu,
sinergi daripada semua pihak berganding bahu melakukan usaha-usaha yang proaktif. Persoalannya,
apakah usaha-usaha yang boleh dilaksanakan bagi mempererat perpaduan rakyat di Malaysia?
Usaha yang efisien dilaksanakan kerajaan dalam merealisasikan perpaduan kaum adalah
mengadakan majlis rumah terbuka peringkat kebangsaan. Hal ini bertujuan untuk menyambut
perayaan kaum utama Malaysia. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, masyarakat di negara
kita yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, memberi komitmen yang tinggi.
Mereka menghadirkan diri dan dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya,
konsep yang diterapkan dalam rumah terbuka dapat mengeratkan perpaduan kaum.
Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong- royong
yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian. Cara ini dapat memupuk semangat saling membantu
antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap individualistik dan materialistik yang tertanam di dalam
jiwa masyarakat kini. Impaknya, hubungan erat dalam kalangan masyarakat secara maksimum dapat
dilahirkan. Pendek kata, gotong-royong dapat memupuk semangat perpaduan seiring dengan hasrat negara
untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, pihak sekolah telah mewajibkan semua murid
menyertai aktiviti kokurikulum. Melalui aktiviti kokurikulum setiap murid perlu melibatkan diri dalam
aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta unit beruniform. Secara tidak langsung aktiviti
kokurikulum mampu menyemai semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid dari peringkat sekolah
rendah lagi. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini sememangnya bertujuan untuk melahirkan
semangat perpaduan dalam sanubari murid. Sebagai contoh, murid berbilang kaum berpeluang untuk
bekerjasama bagai aur dengan tebing. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa aktiviti kokurikulum
dapat membentuk perpaduan kaum.
Sejajar dengan konteks perbicaraan, nilai murni menjadi tunjang dalam mempererat
perpaduan rakyat Malaysia. Sikap saling menghormati sesama masyarakat mewujudkan suasana yang
aman dan tenang dalam jiwa seantero warga Malaysia. Hal ini demikian kerana sikap hormat-menghormati
melahirkan individu yang bersopan santun, baik hati dan berhemah tinggi. Dalam hal ini kita akan
menghormati budaya, adat, dan agama kaum lain terutamanya. Rentetan itu persefahaman akan wujud
sehingga membawa kepada kerjasama yang erat antara kaum sesuai dengan peribahasa Melayu sepakat
membawa berkat.
Sebagai intiha, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara
perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus bergerak sederap, ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni dengan iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara
kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum merupakan medium
agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah
negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat ialah aset
negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara demi kelangsungan sebuah negara bangsa.
490 patah perkataan

You might also like