You are on page 1of 13

Penceraian Sebagai Pintu Utama atau Pintu Kecemasan?

Is Divorce An Option or A Last Resort?


SYARIFAH NUR HAFIZAH BINTI SYED ABU NASIR (Corresponding Author)
Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial
Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar Perak
sy.hafizah75@gmail.com

ZUL-KIFLI BIN HUSSIN


Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial
Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak
Zul-kifli@usas.edu.my

ABSTRAK
Kesejahteraan dan keamanan merupakan tunjang utama untuk mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga.
Islam juga sangat menitikberatkan institusi kekeluargaan yang menyumbang ke arah pembangunan negara.
Sesungguhnya penceraian antara suami dan isteri adalah satu satunya perkara yang halal tetapi tidak disukai
Allah, namun sebahagian pasangan mengambil jalan mudah dengan bercerai apabila menghadapi masalah dalam
rumah tangga. Seolah-olah tiada jalan lain untuk keluar daripada kemelut rumah tangga melainkan bercerai.
Padahal penceraian itu dibenci oleh Allah. Umum mengetahui setiap pasangan yang berkahwin pasti akan
berhadapan dengan konflik dalam rumah tangga. Justeru, kajian ini berhasrat untuk menganalisis langkah-
langkah yang diambil oleh pihak-pihak sama ada menjadikan penceraian sebagai pintu kecemasan atau pintu
utama dalam berhadapan dengan konflik rumah tangga. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif
manakala kaedah pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah temu bual separa berstruktur
dan analisis dokumen. Seterusnya data dianalisis menggunakan analisis tematik. Dapatan kajian ini
menunjukkan pasangan lebih memilih penceraian sebagai jalan utama tanpa ada usaha yang maksimal untuk
menyelamatkan rumah tangga manakala sebahagian lagi pasangan telah berusaha untuk menyelamatkan
perkahwinan yang dibina tetapi gagal dan terpaksa memilih penceraian sebagai pintu kecemasan bagi
menamatkan konflik rumah tangga.

Kata Kunci: penceraian, rumah tangga, kekeluargaan, konflik, berkahwin

ABSTRACT
Welfare and security are the two main secrets to a harmonious marriage. In Islam, a family unit is an important
building block in contributing to development of a country. Therefore the act of divorce, though it is halal but is
the most disliked act by Allah. However, some couples will simply divorce as an easy way out to solve their
marital problems. Every married couples will face conflicts throughout the marriage, and this is a common
scenario. This research is intended to analyse steps commonly taken by people and either divorce is viewed as
the final straw or an easy option to dissolve marriage conflicts. This research is utilising qualitative research
method. Data is collected for this research through semi structured interviews and document analysis. Data is
analysed and collected using thematic analysis. From the research, it was concluded that some of the couples
merely chose to divorce as an easy way out and did not put maximum effort into saving the marriage, while
some have tried their very best into salvaging the marriage but failed to do so, thus the marriage ended with a
divorce.

Keywords: Divorce, Marriage, Family, Conflict, Married


PENGENALAN
Islam mensyariatkan perkahwinan dan menetapkan peraturan yang sempurna berdasarkan prinsip
yang kukuh dan menjamin kestabilan masyarakat, kebahagiaan keluarga, tersebarnya kebaikan,
pemeliharaan budi pekerti dan mengekalkan generasi manusia (Al-Bakri, 2017).
Institusi kekeluargaan Islam terbentuk daripada perkahwinan atau pernikahan antara lelaki dan
perempuan. Perkahwinan merupakan instrumen yang penting dalam pembentukan keluarga dan
tunjang utama kepada kewujudan masyarakat dan tamadun di dunia (Ummi Kalsum, 2019)
Firman Allah s.w.t (An-Nur, 24: 32):
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu dan orang-orang
yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba
sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka
dengan kurnia-Nya. Dan Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya”
Ayat di atas merupakan anjuran perkahwinan yang diperintahkan kepada umat Islam. Terdapat banyak
lagi ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan kepada perintah perkahwinan. Hal ini menunjukkan
bahawa Allah SWT menggalakkan hamba-Nya berkahwin demi menjaga salah satu daripada maqasid
syariah iaitu menjaga nasab (keturunan)
Rasulullah SAW telah bersabda;

‫ِإَذا َتَز َّو َج اْلَعْبُد َفَق ِد اْس َتْك َم َل ِنْصَف ِد يِنِه؛ َفْلَيَّتِق اَهلل يِف الِّنْص ِف اْلَباِقي‬
Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha
menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah
pada sebahagian lagi yang berbaki
(Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)
Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis jelas menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan dan
menyuruh umat manusia untuk berkahwin.
Penyatuan dua hati menjadi satu merupakan sesuatu impian yang diimpikan oleh semua manusia. Satu
ikatan yang dibina atas kasih sayang yang diredai Allah dan sebagai salah satu jalan ibadah.
Perkahwinan merupakan ibadah yang dituntut dalam agama Islam dan salah satu sunnah nabi
Muhammad SAW kerana ia merupakan sesuatu yang sangat mulia. Perkara yang dituntut dan
dianjurkan dalam Islam pasti membawa kemaslahatan dan kebaikan kepada umat manusia, tetapi
realiti dan trend perkahwinan hari ini jika berlaku pergolakan dalam rumah tangga kebanyakannya
akan membawa kepada pengakhiran yang menyedihkan iaitu penceraian. Apabila pasangan
berhadapan dengan jalan buntu mereka cenderung untuk membuat keputusan secara melulu dengan
memilih untuk berpisah sebagai cara untuk menyelesaikan masalah walhal Rasulullah telah bersabda:

‫أبغض احلالل عند اهلل الطالق‬


“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak”
(Riwayat Abu Daud: 2178 dan Ibn Majah: 2018)
Berdasarkan hadis di atas, penceraian adalah cara terakhir yang patut difikirkan setelah pasangan
sudah tidak menjumpai jalan keluar untuk menyelamatkan rumah tangga. Melalui pemerhatian dan
apa yang dilaporkan oleh media dan akhbar, masyarakat hari ini tidak kira pasangan muda ataupun tua
lebih memilih penceraian sebagai pintu utama dan jalan pintas bagi menamatkan konflik yang berlaku
dalam rumah tangga tanpa berusaha sehabis mungkin untuk menyelamatkannya. Kenyataan ini
disokong dalam kajian Haszuraidah dan Kamarul Azmi (2022) menyatakan bahawa seringkali dilihat
pada hari ini, pasangan suami isteri memilih untuk bercerai sebagai jalan pintas untuk menamatkan
sesebuah konflik yang dihadapi dan bukannya sebagai jalan terakhir.
Menurut Kamus Dewan dan Pustaka (2010), pintu membawa maksud ruang untuk keluar atau masuk,
adapun tafsiran lain yang membawa maksud kesempatan untuk mencapai sesuatu dan membuka untuk
perundingan damai. Jadi dalam konteks penceraian, Allah SWT mensyariatkan penceraian sebagai
salah satu pintu iaitu jalan keluar apabila perkahwinan tersebut tidak mampu diselamatkan lagi.
Pihak-pihak yang memilih untuk bercerai diklasifikasikan kepada dua keadaan. Pertama, dengan
mengikut tata tertib serta kaedah yang telah dianjurkan oleh Islam sebelum bercerai. Pasangan yang
hendak bercerai perlu mengambil inisiatif langkah-langkah perdamaian dengan berusaha untuk
menyelamatkan rumah tangga serta menjadikan penceraian sebagai pintu kecemasan yang membawa
maksud ia adalah pilihan terakhir setelah pelbagai usaha dilakukan tetapi menemui jalan buntu.
Kedua, pihak-pihak yang menjadikan penceraian sebagai jalan keluar pintu utama tanpa berfikir
panjang dan tiada usaha untuk memperbaiki hubungan apabila diuji dengan masalah. Sikap ini sangat
tidak digalakkan dalam Islam kerana Islam mendefinisikan perkahwinan ialah tujuan yang suci dan
kesucian itulah yang menjadikannya sebagai satu institusi keagamaan (Roziah Chek, 2010)
Hakikatnya, penceraian sebenarnya adalah pintu kecemasan. Konsep pintu kecemasan digunakan
apabila sangat memerlukan dan dalam situasi yang sangat mendesak. Sebagai contoh pintu kecemasan
di dalam kapal terbang tidak akan digunakan sebagai jalan keluar selagi mana tiada keperluan
mendesak dan ia merupakan satu kesalahan jika digunakan sesuka hati. Pintu kecemasan tersebut juga
mempunyai manual dan syarat-syarat penggunaan tertentu kerana ia membahayakan jika digunakan
tanpa cara yang betul. Begitulah analogi penceraian. Ia disyariatkan tetapi bukan bermakna setiap
pertelingkahan yang berlaku dalam rumah tangga perlu kepada penceraian. Setiap pasangan yang
sudah berkahwin mempunyai tanggung jawab dan peranan bagi mengekalkan keharmonian dalam
rumah tangga kerana lumrah setiap pasangan akan diuji dengan pertelingkahan. Sesungguhnya, tiada
perkahwinan yang sunyi daripada mengalami pergolakan atau krisis. Kecil atau besarnya sesuatu
konflik, semua itu memerlukan solusi untuk memulihkan keadaan (Dimon, 2019).
Pernikahan merupakan sesuatu yang sangat mulia tetapi realiti hari ini golongan muda sering
dimomokkan dengan satu kefahaman bahawa penceraian akan dapat menyelesaikan segala
permasalahan dan konflik yang timbul dalam rumah tangga. Hal ini kerana mereka sering disajikan
dengan isu-isu penceraian oleh influencer di Malaysia. Pemikiran sebegini wujud apabila hidup
berpaksikan media sosial tanpa mendalami ilmu agama yang secukupnya. Mereka beranggapan
bahawa keputusan cerai ini dibuat dengan jangkaan bahawa kehidupan mereka akan menjadi lebih
baik jika tidak lagi bersama (Ummi Kalsum, 2019).
Jadi, masyarakat hari ini perlu diberi pendedahan bahawa penceraian bukanlah satu-satunya
penyelesaian apabila pasangan tidak menemukan jalan keluar bagi sesuatu konflik yang dihadapi.
Situasi buntu kadang-kadang menyebabkan seseorang berasakan ikhtiarnya sudah sempurna, padahal
usahanya masih terlalu sedikit. Justeru, rumah tangga masih boleh diselamatkan jika suami isteri
berada dalam laluan yang benar, berusaha untuk mempertahankan rumah tangga dan sentiasa mencari
jalan-jalan keharmonian sebelum beralih kepada laluan terakhir iaitu penceraian. Demi menjaga
maqasid syariah iaitu hifz nasab (menjaga keturunan), setiap pasangan perlu berusaha untuk
menyelamatkan rumah tangga kerana impak daripada penceraian sangat besar yang melibatkan ramai
pihak.
Kajian ini menganalisis langkah-langkah yang diambil oleh suami dan isteri sama ada menjadikan
penceraian sebagai pintu kecemasan atau pintu utama dalam berhadapan dengan konflik rumah
tangga. Apabila penceraian berlaku, kesan yang dirasai bukan hanya kepada suami dan isteri, ramai
pihak akan terkesan terutamanya jika pasangan itu mempunyai anak. Anak akan lebih terkesan kerana
mereka memerlukan kasih sayang daripada ibu dan bapa ketika dalam proses pembesaran bukannya
pergaduhan dan penceraian yang akan memberi impak negatif kepada mental dan emosi anak-anak.
Oleh sebab itu, Islam amat menekankan langkah-langkah dan jalan ikhtiar perdamaian sesebuah
pasangan untuk menghindarkan daripada berlakunya penceraian.
Metodologi Kajian
Metodologi kajian membentangkan semula objektif dan persoalan kajian serta huraian ringkas cara-
cara penyelidik hendak mendapatkan data dan menganalisis data bagi menjawab soalan kajian
(Ghazali Darusalam, 2021)
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif untuk menganalisis langkah-langkah yang dilakukan
oleh pasangan sebelum mengemukakan perceraian. Trochim (2006) menjelaskan bahawa kajian
kualitatif adalah satu kajian yang berkaitan dengan persoalan atau pernyataan. Persoalan yang timbul
dalam kajian ini ialah adakah suami dan isteri menjadikan perceraian sebagai pintu kecemasan atau
pintu utama serta menilai sejauh mana usaha yang dilakukan oleh pasangan kearah perdamaian.
Menurut Ghazali Darusalam (2021), pengumpulan data dalam kajian kualitatif menggunakan dua
jenis data. Pertama, data primer iaitu data-data yang dikumpulkan melalui temu bual. Kedua, data
sekunder iaitu data-data yang dikumpulkan melalui pemerhatian dan dokumen. Data-data, temu bual,
pemerhatian dan dokumen dikumpulkan dan diolah mengikut keperluan untuk mengumpulkan
sebanyak maklumat bagi menjawab persoalan kajian.
Dalam konteks kajian ini, data dikumpul melalui dua sumber iaitu sumber primer dan sekunder. Data
daripada sumber primer dikumpul melalui temu bual separa berstruktur dengan menyediakan
beberapa soalan kepada responden yang merupakan pasangan sama ada suami atau isteri yang telah
bercerai. Kaedah temu bual separa bersturktur dilakukan terhadap responden untuk mengetahui
langkah-langkah yang diambil oleh suami dan isteri sebelum mengemukakan perceraian. Merriam
(2001), menyatakan bahawa dengan temu bual separa bersturktur dapat membantu penyelidik
memperoleh data secara tepat berdasarkan isu yang dikehendaki. Jadi data dapat diperoleh secara
langsung daripada responden.
Seramai lima orang responden yang telah bercerai dipilih. Pemilihan berdasarkan kaedah purposive
sampling iaitu sampel bertujuan. Creswell (2014), menyatakan bahawa pemilhan sampel ‘purposive’
amat sesuai dalam kajian kualitatif kerana sampel yang dipilih mempunyai banyak maklumat yang
ingin diketahui oleh penyelidik. Lima orang responden yang telah bercerai merupakan orang yang
tepat boleh memberi maklumat yang hendak dianalisis serta mengetahui apa usaha dan langkah-
langkah yang diambil sebelum mengemukakan penceraian.
Data sekunder pula merujuk kepada data yang sudah tersedia. Dokumen yang digunakan dalam kajian
ini ialah Alasan Penghakiman kes-kes penceraian bagi menganalisis adakah hakim ada bertanyakan
langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian seperti yang diperuntukkan di bawah
seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia. Melalui dapatan
hasil daripada pembacaan alasan penghakiman, ia akan dianalisis dan diteliti untuk dijadikan hujah.
Seterusnya, data daripada temu bual dianalisis dengan analisis tematik. Analisis tematik ialah cara
untuk mengenalpasti, menganalisis dan melaporkan tema berdasarkan maklumat yang diperoleh
(Braun & Clarke, 2006). Data yang diperolehi melalui rakaman audio temu bual akan dianalisis untuk
menjawab permasalahan kajian. Data tersebut kemudiannya dijadikan transkripsi dengan mencatat
semula temu bual yang diadakan. Kesemua data akan dikumpul, dianalisis dan diberi makna untuk
menyempurnakan kajian ini.
Sorotan Kajian
Melalui pembacaan daripada beberapa kajian lepas, terdapat satu jurnal karya (Sharifah faigah Syed
Alwi, 2005) yang bertajuk “Hakikat Perceraian Dalam Islam: Halal Tetapi Dibenci Allah S.W.T”
Tujuan kajian ini adalah untuk membincangkan tentang hakikat perceraian dalam Islam meliputi
konsep perceraian, dalil, hukum, rukun, lafaz, hikmah dihalalkan perceraian dan beberapa
permasalahan yang timbul darinya. Kajian ini berbentuk penyelidikan perpustakaan dengan merujuk
kepada jurnal lepas, bahan rujukan serta kitab-kitab dan dalil daripada Al-quran. Melalui kajian ini
masyarakat akan sedar bahawa pembubaran perkahwinan bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh
Islam, ia merupakan perkara halal yang dibenci oleh Allah.
Seterusnya, dalam sebuah kajian lepas yang bertajuk “Pencegahan Perceraian Menurut Perspektif Al-
Quran dan Al-Sunnah” oleh Wan Muhamad Asyraf Wan Shukri, Farhah Zaidar Mohamed Ramli &
Sharifah Hana Abdul Rahman, 2019. Kajian ini bertujuan menganalisis kaedah pencegahan perceraian
yang terdapat dalam al-quran dan al-sunnah. Data-data kajian dikumpul secara metode analisis
dokumen dan dapatan kajian dihuraikan secara metode deskriptif. Hasil analisis medapati bahawa
terdapat beberapa cara yang dianjurkan oleh rasulullah dalam melayani isteri serta jika berlaku
perselisihan. Terdapat beberapa ayat al-quran di mana Allah menggariskan langkah demi langkah
untuk memperbaiki hubungan suami isteri demi mencegah daripada berlakunya perceraian. Meskipun
kajian ini dilihat ada persamaan dengan kajian yang ingin dijalankan tetapi kajian ini hanya
memfokuskan pencegahan daripada al-quran dan al-sunnah sahaja.
Selain daripada itu, terdapat satu jurnal karya Haszuraidah & Kamarul Azmi (2022), yang bertajuk
“Perceraian Pasangan Islam Di Malaysia”. Penyelidik telah membincangkan isu berkaitan punca-
punca berlakunya perceraian bagi pasangan Islam di Malaysia. Kajian ini menggunakan kaedah
kepustakaan dengan merujuk kepada jurnal sedia ada dan artikel lepas. Hasil analisis dokumen-
dokumen sedia ada, penyelidik mendapati bahawa penyebab terbesar perceraian di Malaysia adalah
kerana tiada lagi persefahaman di antara pasangan suami isteri untuk hidup bersama. Punca lain yang
sering meniti di bibir masyarakat juga ialah tiada lagi persefahaman, pasangan curang, pasangan tidak
bertanggungjawab, campur tangan ipar, masalah kewangan, pasangan terlibat dengan penyalahgunaan
bahan terlarang dan enggan dimadukan menjadi penyebab berlakunya perpisahan antara suami dan
isteri. Umum mengetahui perceraian berkait rapat dengan emosi dan psikologi pasangan, melalui
kajian ini didapati bahawa kesan perceraian bukan sahaja kepada psikologi pasangan suami isteri
sahaja, malah turut memberikan kesan yang negatif kepada anak-anak.
Kebanyakan pengkaji membahaskan hakikat perceraian, cara mencegah daripada berlakunya
perceraian serta punca penceraian. Masih belum ada satu pun kajian yang menganalisis langkah-
langkah yang perlu diambil oleh pihak-pihak sebelum bercerai.
Dapatan Kajian
Kajian kualitatif tidak membuat generalisasi tetapi menekankan kedalaman maklumat dan makna
kajian. Jadi saiz sampel yang kecil digunakan kerana kajian kualitatif tidak melihat kepada saiz
sampel yang banyak (Sugiyono, 2015). Dalam kajian ini lima responden dipilih bertujuan untuk
mendapatkan maklumat yang mendalam dan berfokus (Patton,1990)
Dapatan temu bual mendapati bahawa, tidak semua responden memilih penceraian sebagai pintu
utama. Mereka mempunyai kesedaran untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina dan tidak
mengambil jalan pintas dengan bercerai apabila berlaku konflik dalam rumah tangga. Mereka telah
berusaha dan mencari ikhtiar sedaya upaya bagi menyelamatkan rumah tangga. Malangnya,
permasalahan tersebut tidak menemui jalan keluar dan jika mereka bertahan akan menyakiti satu sama
lain. Dua daripada lima responden telah memilih penceraian sebagai pintu kecemasan setelah mereka
berusaha mengambil langkah-langkah perdamaian sebelum berlakunya penceraian namun sinar
harapan untuk hidup bersama sudah tidak kelihatan lagi.
Empat daripada lima responden pula menyatakan mereka memilih untuk bercerai kerana sudah tidak
ada persefahaman, sudah tiada rasa sayang dan tidak tahan dengan perangai isteri. Tanpa ada usaha
untuk berdamai antara satu sama lain, mereka mengambil jalan pintas dengan bercerai bagi
menamatkan permasalahan yang sebenarnya boleh diselesaikan jika berbincang secara baik bukan
berbincang dengan emosi. Hal ini terjadi kerana mereka menganggap perkahwinan sebagai satu
perkara yang mudah dan menormalisasikan penceraian kerana persekitaran dalam masyarakat juga
sudah menganggap ini salah satu cara yang betul apabila berhadapan dengan konflik dalam rumah
tangga.
Jadual 1: Latar Belakang Responden
Responden Tempoh Latar belakang pasangan Punca Penceraian
Perkahwinan
I (isteri) 10 tahun 2 bulan  Suami bekerja sebagai Suami kaki pukul, tidak
ahli farmasi mejalankan tanggung
 tidak mengamalkan gaya jawab, curang
hidup Islam sepanjang
perkahwinan
 keluarga bermasalah

II (isteri) 10 hari  Suami bekerja badan Berkahwin poligami di


uniform, Thailand dan sejak itu
 Tidak mendapat suami tidak pernah
pendidikan agama sejak balik ke rumah isteri
dari kecil. dan isteri cabar suami
 Seorang narsistik untuk menceraikannya

III (suami) 3 tahun  Isteri suri rumah Tiada zuriat dan tiada
persefahaman
IV (suami) 7 bulan  Isteri bekerja sebagai Isteri melawan cakap
guru taska suami, tidak
 seorang yang bersifat menjalankan
narsistik. tanggungjawab, balik
ke rumah orang tuanya
tanpa izin suami
V (suami) 11 tahun 8 bulan  Isteri bekerja sebagai Isteri mendesak untuk
peniaga atas talian bercerai kerana isteri
sudah hilang rasa
sayang terhadap suami

(Sumber: Kenyataan daripada temubual)

PERBINCANGAN
Prinsip Penceraian daripada perspektif Islam
Pada asasnya, cerai dihalalkan namun ia perkara dibenci oleh Allah SWT. Ia membawa maksud,
seboleh-bolehnya elakkanlah perceraian melainkan jika tiada jalan keluar selain daripada bercerai.
Hadis tersebut sebagai peringatan bahawa talak tidak boleh dilafazkan sewenang-wenangnya tanpa
ada sebab dan alasan yang kukuh. Islam tidak mengikat perkahwinan atas dasar kebencian, kerana
itulah disyariatkan penceraian. Inilah Islam mencakupi segenap hidup manusia. Setiap permasalahan
yang berlaku Allah datangkan penyelesaian sebagai panduan untuk hamba-Nya ikuti. Surah Al-
Baqarah ayat 229 merupakan dalil pensyariatan talak. Allah SWT mensyariatkan talak berserta
dengan adanya syarat yang perlu dipatuhi sebelum pihak-pihak mengambil keputusan untuk bercerai.
Allah SWT berfirman (Al-Baqarah, 2:229):
“Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf
atau menceraikan dengan cara yang baik”
Ayat di atas jika ditelusuri ia menjadi asas dalam menangani konflik rumah tangga. Allah datangkan
ayat tersebut dengan syarat jika pihak-pihak ingin bercerai perlu secara baik dan tidak sesekali
menzalimi mana mana pihak. Allah memberi dua pilihan kepada suami ketika masih dalam tempoh
iddah isteri iaitu merujuk kembali dengan niat mengadakan perdamaian dan berbuat baik dengannya
atau menceraikannya dengan cara yang baik dengan tidak menzalimi sedikit pun hak isteri.
Pensyariatan ayat di atas membatasi talak hanya boleh dirujuk dua kali sahaja. Hal ini bagi
mengelakkan penganiayaan terhadap wanita. Menurut Ibn Kathir (2004), ayat ini menghapuskan
tradisi yang berlaku pada permulaan Islam, iaitu seorang lelaki berhak merujuk isterinya meskipun dia
telah mentalaknya sebanyak 100 kali selama masih menjalani iddah dan tradisi ini mendatangkan
mudarat kepada para wanita. Maka Allah SWT membatasi mereka dengan tiga talak sahaja, dan
membolehkan mereka untuk merujuknya kembali pada talak pertama dan talak kedua sahaja dan tidak
boleh untuk ruju’ kembali setelah talak yang ketiga.
Penceraian yang diharuskan dalam Islam apabila pasangan tidak menemukan jalan keluar bagi
menamatkan kemelut dalam rumah tangga dan jika dibiarkan perkahwinan tersebut akan
mendatangkan kemudaratan kepada suami atau isteri. Jadi Islam meraikan setiap keadaan dan
disyariatkan talak bagi mengatasi situasi tersebut. Memilih jalan keluar daripada perkahwinan
seharusnya berpandukan al-Quran bukan berdasarkan emosi dan perasaan terburu-buru kerana
perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah. Imej perkahwinan perlu dijaga daripada tercemar. Allah
bawakan jalan perdamaian dalam Al-Quran sebagai panduan sebelum pihak-pihak memilih untuk
bercerai setelah berusaha semaksimum yang mungkin untuk menyelamatkan rumah tangga.
Persoalannya, adakah usaha-usaha yang diambil oleh pihak-pihak sudah cukup maksimum atau usaha
mereka hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Antara usaha yang boleh dilakukan untuk
menyelamatkan rumah tangga telah pun diberi panduan oleh Allah SWT dalam firman-Nya (An-
Nisa’,4: 35)
“Dan jika kamu bimbang berlaku persengketaan antara keduanya, maka hantarlah seorang
juru damai daripada keluarga lelaki dan seorang juru damai daripada keluarga perempuan.
Jika kedua-duanya (juru damai itu) bermaksud mengadakan perdamaian, pasti Allah member
taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam
pengetahuan-Nya.”
Menurut Ibnu Kathir (2004), para ulama’ ahli fiqh berkata jika berlakunya perselisihan antara suami
dan isteri, maka hakim menjadi orang tengah untuk mendamaikannya, hakim perlu melihat kepada
permasalahan yang berlaku dan melarang mereka daripada berbuat zalim antara satu sama lain.
Sekiranya perkara itu berlanjutan dan perselisihan semakin lama, hakim boleh menghantar seseorang
yang dipercayai daripada keluarga pihak perempuan dan keluarga pihak lelaki untuk berbincang dan
meneliti masalah tersebut lalu mengambil tindakan yang membawa kepada kemaslahatan bagi suami
dan isteri dalam bentuk penceraian atau perdamaian. Islam sangat menganjurkan untuk berdamai
berdasarkan firman Allah di atas:
“...Jika kedua-duanya (juru damai itu) bermaksud mengadakan perdamaian, pasti Allah
member taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendalam pengetahuan-Nya.”
Allah memerintahkan untuk menghantar seorang wakil yang boleh dipercayai daripada pihak keluarga
lelaki dan begitu juga daripada pihak keluarga perempuan untuk mengenal pasti sama ada suami atau
isteri yang berlaku zalim. Jika suami berlaku zalim, maka wakil perlu melindungi isteri dan
memperingatkan tanggung jawab suami dalam memberi nafkah supaya si isteri tidak teraniaya. Jika si
isteri pula yang melakukan kezaliman seperti nusyuz, maka hak isteri daripada suami akan berkurang
dengan tidak mendapat nafkah. Maka setelah itu boleh disepakati antara suami dan isteri untuk
berdamai atau bercerai bagi meleraikan kemelut rumah tangga.
Penceraian Berdasarkan Undang-Undang
Enakmen syariah setiap negeri berbeza-beza tetapi lazimnya dalam perceraian menggunakan seksyen
47 iaitu perceraian dengan talaq atau perintah. Misalnya, Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:
Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah
(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu
permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, yang
mengandungi-
(e) suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah
yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;
Seksyen 47(1)(e) diberi perhatian kerana subseksyen (e) sangat berkait rapat dengan langkah ke arah
perdamaian oleh pihak-pihak. Ia penting kerana banyak rumah tangga yang masih boleh diselamatkan
jika seksyen 47(1)(e) diaplikasikan dalam setiap kes di mahkamah.
Hakikatnya, undang-undang selari dengan apa yang telah digariskan dalam Islam. Dari sudut undang-
undang telahpun berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga seperti yang diperuntukkan dalam
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri, terdapat langkah-langkah perdamaian yang
perlu dinyatakan kepada pihak-pihak sebelum mengemukakan penceraian. Malangnya, persepsi
masyarakat sekarang menganggap mahkamah sebagai tempat memudahkan cara untuk bercerai apabila
sebahagian hakim tidak bertanya akan langkah-langkah perdamaian yang dilakukan oleh pihak-pihak
sebelum mengemukakan penceraian meskipun telah diperuntukkan dalam undang-undang.
Analisis Usaha-Usaha dan Langkah-Langkah Perdamaian oleh Pihak-Pihak Sebelum
Penceraian
Setelah suami isteri disatukan dalam akad nikah, mereka perlu berusaha untuk mencipta keharmonian
kerana perkahwinan tidak datang sekaligus dengan keharmonian dalam rumah tangga meskipun
pasangan saling mencintai. Pertelingkahan dan salah faham adalah lumrah dalam kehidupan berumah
tangga. Berdasarkan pemerhatian, bermula daripada masalah kecil seperti tidak persefahaman yang
akan membawa kepada berlakunya penceraian. Usaha-usaha ke arah perdamaian perlu didasari dengan
penghayatan nilai agama agar salah faham yang berlaku dapat dibendung pada peringkat awal bagi
mengelakkan berlakunya penceraian yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Hasil temu bual bersama responden menunjukkan bahawa banyak pihak-pihak memilih bercerai
sebagai pintu utama tanpa ada usaha-usaha ke arah perdamaian dan pihak-pihak menganggap mereka
telah berusaha tetapi usaha yang ditunjukkan sebenarnya tidak mencukupi.
Daripada lima responden ini, analisis akan disusun berdasarkan dua kriteria iaitu responden yang
menjadikan cerai sebagai pintu utama dan responden yang menjadikan cerai sebagai pintu kecemasan
Analisis ini dilakukan berdasarkan kriteria berikut:
Contoh: R1250523/0:12:33
R1 merujuk kepada responden pertama. 250523 merujuk kepada tarikh iaitu hari, bulan dan tahun.
0:12:33 merujuk kepada masa, iaitu jam, minit dan saat.
Berdasarkan temu bual, responden kedua, ketiga, keempat dan kelima memilih untuk bercerai dengan
alasan yang remeh walhal jika mereka benar benar inginkan perdamaian, perkahwinan pasti dapat
diselamatkan. Hanya responden pertama dilihat mempertahankan rumah tangga sehingga berlaku
mudarat keatasnya, maka keluar daripada penderitaan adalah perkara yang perlu diutamakan. Hal ini
dapat dibuktikan dengan kenyataan responden,
“akak bercerai sebabnya, kiranya sepuluh tahun jugaklah akak bertahan dengan bekas suami,
masa dalam tempoh sepuluh tahun tu akak selalu kena pukul, akak selalu kena maki”
(R1040423/0:03:17)
Untuk mengekalkan keharmonian dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen penting
yang menjadi tonggak kebahagiaan sesebuah rumah tangga sehingga Islam menjadikannya sebagai asas
utama dalam pemilihan pasangan seperti mana ditegaskan Rasulullah dalam sabda Baginda SAW:
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan
agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Riwayat
Bukhari: 5090).
Baik lelaki mahupun wanita kedua-duanya penting untuk dilihat kepada pegangan agama sebelum
berkahwin. Penghayatan agama sangat penting dalam memacu kehidupan rumah tangga yang harmoni.
Suami dan isteri yang mengamalkan gaya hidup Islam pasti tidak akan mengabaikan tanggungjawab
kerana takut akan dosa. Mereka sedar akan peranan masing-masing dalam melayari bahtera rumah
tangga. Tanpa pegangan agama yang kuat, rumah tangga akan mudah goyah kerana agamalah yang
membentuk gaya hidup seseorang (Rogayah Estar Mohamad, 2021). Hal ini dapat dibuktikan apabila
responden 1 menyatakan:
“pastu bila anak pertama dah masuk 2 tahun, akak dapat anak kedua tetapi perangai dia still
tak berubah. Kaki game apa semua, tak solat, kaki maki apa semua dan dia memang tak
pernah solat daripada awal kahwin dan solat jumaat pun tak pernah pegi”
(R1040423/0:08:58)
Implikasi daripada penghayatan agama yang lemah menyebabkan suami menimbulkan banyak masalah
dalam rumah tangga. Antaranya penderaan dan pengabaian tanggung jawab. Perkara ini bukanlah satu
perkara yang boleh dianggap remeh dan ia ditegah dalam islam kerana akan memberi tekanan emosi
kepada isteri dan ia bertentangan dengan maqasid syariah iaitu memelihara akal (hifz al-‘ aql)
Melalui temu bual dengan R1, beliau memilih untuk bercerai sebagai pintu kecemasan setelah kesemua
langkah-langkah perdamaian yang digariskan dalam Islam telah dilaksanakan. Responden pertama
menyatakan:
“waktu akak kena covid dulu akak dah nasihatkan dia, berubahlah. Hidup kita ni tak lama.
Solatlah bang. Kita bina hidup baru. Tapi dia tak endahkan cakap akak, dia cakap hidup ni
kene jadi baik je dah cukup takyah solat takpe, orang yang solat pun masuk neraka. Dia
balas macamtu kat akak” (R1040423/0:12:11)

R1 menyatakan lagi bahawa,


“akak amik keputusan untuk bercerai sebab dah tak tahan dengan perangai dia, baran dia,
asyik naik tangan kat akak. Waktu dalam proses penceraian kami kene refer ke JKP (juru
damai) untuk selesaikan masalah” (R1040423/0:28:44)
Jika kemelut berlarutan sehingga sampai kepada jawatankuasa pendamai dan masalah masih tidak
dapat diselesaikan antara suami dan isteri, maka penceraian diharuskan untuk mengelak kemudaratan.
Islam meraikan setiap orang dan tidak mahu pihak-pihak kekal dalam pergaduhan yang akan
menyeksakan diri sendiri. Jadi Islam berikan jalan keluar iaitu bercerai tetapi dengan syarat adanya
usaha yang maksimal sebelumya bagi menyelamatkan rumah tangga.
Seterusnya, R2, R3, R4 dan R5 menjadikan cerai sebagai pintu utama kebiasaannya tidak
berfikir panjang dan terlalu mengikut emosi dalam membuat keputusan. Hal ini dapat dibuktikan
melalui responden tiga menyatakan,
“First marriage 3 tahun, saya kahwin tahun 2012, first marriage ni kitorang takde anak, and then
consider as takde persefahaman sebab fast track je takde kaunseling, takde buat apa.
Perkahwinan tu masih boleh go on, tapi saya bukan jenis memujuk orang. Saya dah cakap
camni camni ada pujuk sikit masih tak jalan jugak ok takpelah, saya macamtu je”
(R3190423/0:03:19)
Jika diamati, perkahwinan mereka masih lagi boleh diselamatkan jika dibawa ke proses selanjutnya
iaitu penasihatan atau kaunseling, rata-rata penceraian yang berlaku banyak disebabkan hal remeh-
temeh sedangkan Islam telah membawa jalan-jalan perdamaian. Antaranya, berdasarkan surah An-
Nisa’ ayat 35 dan surah Al-Baqarah ayat 229. Penceraian harus dipilih ketika mana kesemua langkah-
langkah sebelum bercerai yang digariskan dalam agama dilaksanakan. Itu adalah ukuran usaha yang
maksimum untuk menyelamatkan rumah tangga. Setelah itu jika konflik masih tidak dapat
diselesaikan maka bercerai merupakan pintu kecemasan yang perlu diambil demi menjaga
kemaslahatan bersama kerana perkahwinan yang tidak bahagia akan mendatangkan kesakitan kepada
perasaan pasangan.
Islam amat menjaga institusi kekeluargaan, jadi talak disyariatkan sebagai penyelesaian yang
digunakan ketika situasi mendesak dan adanya darar jika pembubaran perkahwinan tidak dilakukan.
Bukannya digunakan sebagai pilihan utama tanpa ada langkah-langkah perdamaian oleh pihak-pihak.
Tetapi itulah realiti yang menyedihkan, pihak-pihak terus beralih kepada penceraian serta
menganggap perkara kahwin dan cerai satu perkara yang remeh. Hal ini dapat dibuktikan melalui
kenyataan daripada R2,
“punca bercerai bergaduh dalam masa 10 hari dia belum pernah bermalam dengan saya di
kampung. Start itu saya provoke minta cerai, bagi saya dari awal lagi dia dah tunjuk yang
dia tidak boleh adil,. Tak sangka dengan mudahnya dia reply teks yang dia ceraikan saya
dengan talak 3” (R2020423/0:09:45)
Penceraian perlu dilakukan secara baik. Penceraian tidak sepatutnya digunakan untuk menjatuhkan
martabat isteri. Memandangkan ramai suami dengan mudah menggunakan kuasa cerai dengan
sewenang-wenangnya, hukum syarak yang ada sebagai langkah mengawal penceraian di luar
mahkamah adalah langkah menetapi kaedah fiqh iaitu al-siyasah al-syariyyah (Sharifah faigah Syed
Alwi, 2005). Jadi undang-undang telah menetapkan suami yang ingin menceraikan isteri perlu
dihadapan hakim atau kadi bagi mengelakkan penganiayaan terhadap mana-mana pihak terutamanya
isteri. Allah SWT befirman (Al-Talaq, 65:1):
“Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri, maka
ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya, dan hitunglah masa
iddah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, tuhan kamu. Janganlah kamu
mengeluarkan mereka daripada rumah-rumah kediamannya sehingga selesai iddahnya....”
Adapun diperuntukkan dalam undang-undang perlu adanya langkah-langkah perdamaian sebelum
mahkamah memutuskan penceraian tetapi hakikat sekarang mahkamah seolah-olah memudahkan cara
untuk bercerai tanpa bertanya langkah perdamaian jika kedua-dua belah pihak bersetuju untuk
berpisah dengan alasan paling popular iaitu tiada persefahaman lagi. Hal ini dibuktikan apabila
responden 3 menyatakan:
“Hakim takda tanya langkah langkah perdamaian. Kitorang buat fast track, ni yang betul betul
fast. Wife settel dia punya documentation apa semua bla bla bla, submit dalam tak sampai
seminggu dah naik court dah. Smooth je cepat jelah. Takde isu apa apa, takde drag apa apa.
Dalam masa seminggu dua dah settel kitorang punya kes” (R3060423/0:30:47)
Persepsi orang awam terhadap penceraian bukan hanya berlaku kepada pasangan tetapi juga kerana
sistem itu sendiri. Sistem yang dimaksudkan adalah mahkamah yang dilihat seolah-olah membuka
laluan mudah untuk penceraian. Pandangan ini didasari oleh jawapan responden di atas sama ada
langkah-langkah perdamaian diambil atau sebaliknya seperti yang diperuntukkan dalam undang-
undang. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana jika sistem dilihat seolah-olah
memudahkan cara untuk bercerai, persepsi masyarakat tentang bercerai ialah kalau ada masalah cara
penyelesaian terbaik ialah dengan bercerai.
KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa pihak-pihak mengambil jalan mudah dengan menjadikan
cerai sebagai jalan keluar yang utama dan terdapat juga yang menjadikan cerai sebagai laluan terakhir
apabila tidak ditemui jalan keluar. Di samping itu, kelemahan sebahagian hakim dalam memberi
penghakiman akan memberi tomahan kepada undang-undang dan masyarakat akan menganggap
bahawa mahkamah ibarat tempat pengesahan penceraian sedangkan mahkamah itu tempat untuk
mendapatkan keadilan.
Tidak dapat dinafikan setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga pasti akan diuji dengan
masalah dan konflik dalam rumah tangga. Tiada masalah yang tiada solusi. Memilih untuk bercerai
atau tidak adalah cara dan solusi yang diambil. Bergantung kepada diri dan iman seseorang untuk
mempertahankan ikatan suci yang telah dibina atau melepaskan dengan mudah. Perkahwinan amat
dituntut sehinggakan perkahwinan dapat memenuhi separuh agama dan iman seseorang muslim. Jadi
masyarakat perlu menjaga imej perkahwinan daripada tercalar dan tercemar dengan anasir-anasir luar
yang terpapar di dada akhbar tentang konflik-konflik rumah tangga yang membawa kepada
penceraian.
Hasil daripada dapatan dan perbincangan, sudah terang lagi bersuluh perdamaian lebih diutamakan
dari perspektif Islam mahupun dari sudut undang-undang.
RUJUKAN

Abdul Rashid, A. A. (2023). Penerokaan Nilai Agama Berasaskan Maqasid Syariah dalam
Meningkatkan Kebahagiaan Keluarga. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities
(MJSSH).

Al-Bakri, D. Z. (2017). Kekeluargaan Islam Dalam Fiqh Al Syafi'i. Selangor: Darul Syakir Enterprise.

Braun, V., & Clarke, V . (2006). Using Thematic Analysis In Psychology.

Chua, Y. P. (2011). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan. Kuala Lumpur : McGraw-
Hill.

Creswell, J. W. (2014). Research design: Qualitative, quantitative, and mixed methods approaches.
Thousand Oaks, CA: Sage.

Dimon, Z. (2019). Darar Emosi Terhadap Isteri dalam Perkahwinan Menurut Undang-Undang di
Malaysia. journal of muwafaqat, 99-115.

Ghazali Darusalam, S. H. (2021). Metodologi Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.

Haszuraidah, I., & Kamarul Azmi, J. (2022). Perceraian Islam di Malaysia. Seminar Falsafah Sains dan
Ketamadunan (SFST), 335-340.

Ibnu Kathir. Lubab Tafsir Min Ibn Kathir. Jilid 2. Mu-assasah Daar al-Hilaal Kairo.

Jasmi, K. A. (2012). Metodologi Pengumpulan Data Dalam Penyelidikan Kualitatif. Kursus


Penyelidikan Kualitatif Siri I. Melaka: Faculty of Islamic Civilization, Universiti Teknologi
Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, cet. 4., tahun 2010

Merriam, S.B. (2001) Qualitative Research and Case Study Applications in Education. Jossey-Bass
Publishers, San Francisco.

Norullisza binti Khosim, N. S. (2017). Family Values and Its Importance From the Qur'anic
Perspectives. The 4th YRU National and International Conference in Islamic Education and
Educational Development .

Patton, M. (1990). Qualitative evaluation and research methods (pp. 169-186). Beverly Hills, CA: Sage

Rogayah Estar Mohamad, E. B. (2021). Punca Penceraian Pasangan Dewasa Islam: Perspektif Badan
Pelaksana. Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol. 26.

Roziah Chek. 2010. Konsep perkahwinan di dalam agama Kristian Roman Katholik. Tesis Dr. Fal,
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Sharifah faigah Syed Alwi, A. K. (2005). Hakikat Perceraian Dalam Islam : Halal Tetapi Dibenci Allah
S.W.T. Konferensi Akademik Universiti Teknologi MARA Pahang (KONAKA), 142-151.

Trochim, W. M. (2006). The Research Methods Knowledge Base. UK: Cengage Publishing.

Ummi Kalsum, N. S. (2019). Perceraian Selepas Berkahwin Dalam Pasagan Golongan Muda. UTHO .

Wan Muhamad Asyraf Bin Wan Shukri, F. Z. (2019). Pencegahan Perceraian Menurut Perspektif Al-
Quran dan Al-Sunnah. International Seminar on Islamiyyat Studies (IRSYAD), 37-48.

You might also like