You are on page 1of 25

1

PERSEPSI MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


TERHADAP PERKAHWINAN SEMASA BELAJAR.
MOHD ANWAR SYAMIN BIN RIDZUAN, NOR AFIFAH BT ABD.RAHMAN,
SITI FAIRUZ BINTI MAT DESA, NUR SALWATI BT IBRAHIM,
NUR NABIHAH BT HASSAN.


Abstrak: Kajian ini bertujuan untuk mengetahui persepsi mahasiswa Universiti
Kebangsaan Malaysia mengenai perkahwinan ketika belajar dan mengenal pasti beberapa
perkara yang seringkali menjadi persoalan atau perkaitan dengan isu kahwin semasa
belajar. Sebanyak 80 orang responden yang merupakan mahasiswa Universiti
Kebangsaan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bidang dan latar belakang telah
dipilih untuk sebagai sampel. Set soal selidik mengandungi 28 item telah diedarkan
kepada responden dan telah dianalisis secara diskriptif.
Penyelidik juga ada mencadangkan beberapa cadangan untuk cadangan tindakan dan
cadangan lanjutan antaranya penyelidik mencadangkan restu dari ibu bapa,ekonomi dan
kematangan adalah sangat penting dan perlu didahulukan untuk mereka yang hendak
berkahwin ketika belajar kerana tanpa restu mereka kebahagiaan yang dibina adalah tidak
bermakna..
Kata kunci: belajar,perkahwinan,usia muda



2

Pengenalan
Perkahwinan merupakan langkah pertama ke arah pembinaan sebuah institusi keluarga
yang bahagia. Tanpa ikatan yang sah, sebuah keluarga tidak akan terbina Apabila sebuah
ikatan telah terjalin sudah pasti setiap orang menginginkan kesejahteraan dan
kebahagiaan yang berpanjangan. Namun terdapat pelbagai factor yang dapat
mempengaruhi dan menjadi penentu kepada kebahagiaan rumah tangga seperti factor
umur, pengalaman dan keluarga. Pengetahuan tentang ilmu-ilmu dalam rumahtangga dan
kematangan adalah amat penting untuk diketahui dan diamalkan.
Sudah menjadi suatu trend atau perkara biasa dalam kalangan masyarakat pada
masa sekarang apabila anak-anak muda yang masih belum tamat pengajiannya dan tiada
sumber pendapatan yang tetap sudah mempunyai keluarga. Fenomena ini telah menjadi
suatu perkara biasa di kebanyakan university atau pengajian tinggi. Walaupun kadar
pendaftaran perkahwinan makin meningkat namun kadar perceraian dalam kalangan
pasangan berusia muda juga turut semakin bertambah. Tidak dinafikan perkahwinan
pada usia muda mempunyai kebaikan yang tersendiri seperti mengurangkan masalah
social atau pembuangan bayi tetapi perkahwinan pada usia muda juga menyebabkan
masalah yang lain berlaku pada masa yang sama iaitu kadar perceraian yang semakin
meningkat. Penceraian yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan
tersebut sahaja tetapi ianya turut memberi kesan kepada anak-anak jika pasangan tersebut
mempunyai zuriat. Remaja yang sebenarnya belum mempunyai persediaan untuk
membina rumah tangga sama ada secara fizikal dan mental akhirnya akan memilih
perceraian sebagai jalan penyelesaian yang paling mudah apabila menemui jalan buntu
dalam menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi oleh mereka. Kebanyakan
3

pasangan muda berkahwin atas rasa cinta semata-mata tanpa memiliki persediaan dan
ilmu berkaitan kerumahtanggaan yang secukupnya. Mereka menganggap perkahwinan
merupakan sesuatu yang menyeronokan.
Pada dasarnya syariat Islam tidak meletakkan batasan usia tertentu bagi
seseorang itu untuk melangsungkan perkahwinan tetapi ia hanya menetapkan ketentuan
dewasa sahaja atau kebiasaanya dikaitkan dengan baligh atau cukup umur.(Musthafa al-
Sibay. 1966:82) Tanda kedewasaan bagi lelaki ialah telah bermimpi sehingga keluar
mani atau telah mencapai umur 15 tahun dan bagi wanita pula ialah telah didatangi haid.
Namun hakikat pada masa sekarang ialah seseorang pada usia tersebut masih
belum mencapai kematangan atau kedewasaan dari pelbagai aspek. Oleh itu, umur yang
dibenarkan untuk berkahwin bagi lelaki ialah 19 tahun dan wanita pula ialah 16 tahun
berdasarkan keadaan semasa bagi menjamin kemaslahatan perkahwinan yang berlaku.
Berdasarkan fenomena perkahwinan masa muda yang semakin meningkat dari
semasa ke semasa, maka penulis tertarik untuk melihat dan mengkaji pandangan
golongan muda dalam isu ini terutamanya golongan mahasiswa yang seringkali dikaitkan
dengan alam pencarian jodoh dan berumah tangga.







4

Pernyataan masalah
Isu perkahwinan merupakan suatu perkara yang seringkali menjadi tajuk perbualan
mahasiswa terutamanya apabila usia mulai memasuki 20-an.Terdapat pelbagai persepsi
dan pandangan dalam kalangan mahasiswa sendiri tentang isu perkahwinan di usia muda
terutamana perkahwinan semasa masih belajar.Terdapat persepsi daripada sesetengah
pihak bahawa perkahwinan semasa belajar hanya akan mendatangkan lebih banyak
keburukan dan kesusahan sahaja. Hal ini demikian kerana seseorang itu perlu
membahagikan masa dan focus kepada pelajaran dan keluarga. Malah terdapat segelintir
mahasiswa yang menyatakan ketidakpuasan hati kerana tugasan secara berkumpulan
tidak dapat disiapkan dengan baik disebabkan mereka memiliki komitmen lain bagi
menjalankan tanggungjawab keluarga. Terdapat pihak yang berpandangan positif dalam
isu ini dan terdapat juga pihak tertentu yang memandangnya sebaliknya. Justeru
penyelidik terpanggil untuk membuat kajian terhadap pelbagai pandangan tentang
perkahwinan semasa belajar bagi melihat perkara sebenar dan mendedahkan persepsi
sebenar mahasiswa khususnya mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dalam isu ini.

Objektif kajian.
Antara objektif yang ingin dicapai oleh kajian ini ialah:
i) mengetahui persepsi mahasiswa UKM terhadap perkahwinan semasa belajar
ii) Mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi seseorang untuk berkahwin
semasa usia muda.
iii) Mengenal pasti perancangan dan tindakan mahasiswa jika berkahwin semasa belajar
pada masa hadapan
5


Kepentingan Kajian
Kajian yang dijalankan ini mempunyai beberapa kepentingan tertentu. Maklumat-
maklumat dan hasil rumusan kajian berkaitan perkahwinan ketika belajar dapat digunakan
dengan sebaik mungkin
Diharap kajian ini juga dapat memberi kefahaman dan memberi informasi kepada
masyarakat berkenaan ilmu-ilmu dalam perkahwinan Islam. Di samping itu, kajian ini
juga dapat membantu bakal-bakal mahasiswa dan mahasiswi untuk mendirikan
rumahtangga ketika dalam pengajian atau selepas tamat pengajian untuk menilai kebaikan
dan keburukan perkahwinan semasa belajar.

Skop dan Batasan Kajian
Kajian ini agak terbatas dari segi saiz sampel kerana kajian soal selidik hanya dijalankan
kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja bagi
mendapatkan pandangan mereka tentang isu perkahwinan semasa belajar. Antara aspek
yang dikaji ialah persepsi mereka daripada aspek kekeluargaan, ekonomi, pembelajaran,
perancangan masa hadapan dan faktor-faktor yang mendorong kepada perkahwinan
semasa belajar.





6


Kajian Literatur
Menurut pendefinisian yang diberikan oleh Jabarat Kemajuan Agama Islam Malaysia
(JAKIM), perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara llaki dan perempuan
untuk hidup bersama dan menetapkan setiap daripada mereka hak-hak dan
tanggungjawab. Dalam erti kata lain, nikah ialah satu akakd yang menghalalkan
pergaulan dan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah,
kahwin dan yang sewktu dengannya. Menurut kamus dewan edisi yang keempat pula,
perkahwinan membawa makna akad atau perjanjian yang mengandungi lafaz ijab dan
Kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan
persetubuhan. Manakala perkataan muda pula didefinisikan sebagai umur rekaja yang
mulai dewasa yang sudah akil baligh dan cukup umnur untuk berkahwin.
Mohd Abbas Bin Abdul Latif dan Siti Mizati Binti Mohd Basar (2009) telah
membuat satu kajian yang bertajuk Persepsi Mahasiswa Tahun Akhir di UTM Skudai
Terhadap Perkahwinan Ketika Belajar. Kajian yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk
mengetahui, mengenal pasti dan menganalisis pandangan mahasiswa tentang isu
perkahwinan ketika masih belajar. Dalam melaksananakan kajian ini, pengkaji telah
mengedarkan borang kaji selidik yang telah dibahagikan mengikut tema perbincangan
bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat daripada responden. Data yang
diperoleh daripada soal selidik tadi kemudiannya dianalisis secara deskriptif bagi
mendapatkan keputusan akhir kepada kajian. Dalam perbincangan pertama iaitu
berkenaan persepsi mahasisawa terhadap perkahwinan ketika belajar, pengkaji telah
7

berjaya mendapatkan respon positif daripada responden dengan peratusan tertinggi
sebanyak 91.3 peratus. Majoriti daripada mahasiswa bersetuju bahawa pernikahan semasa
belajar dapat mengawal masalah sosial yang berlaku dalam universiti. Tema
perbincangan yang kedua pula ialah persediaan sebelum berkahwin. Dalam perbincangan
ini, hampir semua responden sangat bersetuju bahawa pengetahuan tentang institusi
perkahwinan dan kesihatan tubuh badan sangat perlu dititikberatkan dengan mencatat
peratusan sebanyak 97.9 peratus. Perbincangan seterusnya adalah berkenaan pandangan
mahasiswa terhadap masalah yang sering dihadapi oleh mahasiswa yang berkahwin.
Dalam hal ini, dapatan kajian mendapati 91.3 peratus daripada respondenn bersetuju
bahawa setiap masalah yang timbul dalam perkahwinan akan menjadi lebih ringan
apabila dikongsi bersama. Hasil daripada kajian ini, pengkaji telah memberikan cadangan
lanjutan bagi mengatasi masalah yang timbul dalam perkahwinan ketika masih belajar
iaitu dengan membuat persiapan awal sebelum berkahwin dan mendapatkan restu ibu
bapa. Secara kesimpulannya, pengkaji mendapati bahawa ramai dalam kalangan
mahasiswa yang berpandangan bahawa perkahwinan semasa belajar sangat terdedah
kepada masalah tetapi tidak akan membebankan jika diselesaikan secara bersama.
Seterusnya kajian oleh Muhammad Fizree Ashraf Jarni, Sabri Bin Man dan Izmi
Hasnan Bin Shaari (2009) yang bertajuk Kajian Pandangan Mahasiswa Terhadap
Perkahwinan Ketika Berada Di Alam Universiti. Tujuan utama kajian ini dijalankan
adalah untuk mengetahui dan mengenal pasti mengenai pendapat mahasiswa UTeM
berkenaan pelbagai persediaan yang harus dilakukan sebelum berkahwin. Pengkaji turut
menjadikan tahap penglibatan mahasiswa yang telah berkahwin dalam pelbagai aktiviti
sebagai objektif kajian mereka. Sebanyak 20 orang responden yang terdiri daripada
8

pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknikal Malaysa Melaka
(FKE UTeM) telah dipilih sebagai sampel. Set soal selidik yang diedarkan kemudiannya
dianalisis secara deskriptif untuk mendapatkan data dan maklumat mengenai pandangan
mereka mengenai isu yang di usulkan. Hasilnya, pengkaji berjaya mendapatkan respon
yang positif terhadap isu dan kesan terhadap sejauh mana penglibatan mahasiswa terlibat
dalam pengajiannya. Majoriti responden bersepakat mengatakan bahawa sikap mahasiswa
yang terlalu bergantung harap kepada ibu bapa dalam urusan kewangan menyebabkan ibu
bapa tidak menggalakkan mereka supaya berkahwin ketika masih belajar. Dari aspek
penglibatan mahasiswa dalam aktiviti bersama, rata-rata responden bersetuju bahawa
perkahwinan bukanlah suatu penghalang kepada mereka untuk turut aktif menyertai
aktiviti yang dijalankan. Pada akhir kajian ini, pengkaji telah menegaskan tentang betapa
pentingnya aspek pengetahuan tentang institusi perkahwinan kepada mahasiswa itu
sendiri sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Siti Aisyah (2013) faktor kahwin muda dan cabaran berkahwin di usia muda.
Kajian bertujuan untuk mengenal pasti faktor dominan kepada pernikahan di awal usia
dan cabarannya kepada pasangan terlibat. Metod yang digunakan dalam kajian ini ialah
kaedah temubual yang melibatkan seramai 10 pasangan berkahwin yang juga merupakan
mahasiswa di Universiti tempatan sebagai responden. Hasil daripada data yang dikumpul,
terdapat dua faktor utama yang mendesak sesebuah keluarga untuk mengahwinkan anak
mereka di usia muda. Pertama, kerana khuatir mereka tidak akan mendapat jodoh jika
perkahwinan ditangguhkan. Kedua, kepercayaan bahawa anak perempuan tidak perlu
bekerja dan hanya perlu menyerahkan untung nasib mereka kepada suami masih berlaku
walaupun pada zaman yang kian global. Bagi keluarga miskin pula, anak perempuan akan
9

dikahwinkan untuk mengurangkan beban. Menurut statistic yang diperolehi daripada data
yang te;ah di analisis, pengkaji mendapati peratusan kadar perceraian yang berlaku dalm
kalangan pasangan yang berumur 25 tahun ke bawah adalah lebih tinggi berikutan
daripada kurangnya pengetahuan tentang institusi perkahwinan, kurang matang serta
campur tangan keluarga. Pada akhir kajian ini, pengkaji membuat hipotesis bahawa
perkahwinan di usia muda sangant mencabar mereka yang terlibat terutamanya dari aspek
kewangan dan kekurangan masa untuk menelaah pelajaran. Sebagai langkah persediaan
kepada golongan yang ingin berkahwin muda, pengkaji turut menyarankan supaya
mereka benar-benar bersedia dengan segala persediaan baik dari sudut mental dan juga
fizikal.
Kajian keperpustakaan selanjutnya oleh Muhd Ismail Musytari (2011) yang
bertajuk Pernikahan Di Usia Muda Dan Pengaruhnya Terhadap Kehidupan Berumah
Tangga. Kajian ini dilaksanakan oleh pengkaji dengan menggunakan metod soal selidik
secara langsung dan temu bual secara rawak terhadap beberapa orang responden sebagai
sampel awal bagi kajian ini. Fokus utama kepada kajian ini adalah untuk melihat sejauh
mana pentingnya peranan suami isteri itu sendiri dalam menguruskan rumah tangga
mereka. Hasilnya, pengkaji berjaya menggariskan beberapa masalah yang timbul rentetan
daripada perkahwinan di usia muda seperti masalah tekanan emosi dan cenderung untuk
berlakunya perceraian. Merujuk kepada data kajian yang diperoleh, 87.3 peratus
responden mengatakan bahawa masalah tekanan emosi sangat cenderung untuk berlaku
dalam kalangan pasangan kahwin muda yang telah bercerai terutamanya di pihak wanita.
Hal ini kerana wanita sememangnya mempunyai emosi yang cukup sensitif serta mudah
untuk terpengaruh dengan persekitaran situasi yang dialaminya. Berbincang mengenai
10

analisis kepada terjadinya perceraian antara pasangan yang berkahwin di usia muda ini,
98.2 peratus daripada responden bersetuju dengan cadangan pengkaji bahawa perkara
seperti ini berlaku disebabkan kurangnya persediaan dan pengetahuan yang lengkap
tentang pengurusan rumah tangga serta tiada restu ibu bapa ketika berkahwin. Perceraian
juga boleh jadi berlaku akibat daripada campur tangan keluarga. Menurut pengkaji,
kelemahan-kelemahan seperti yang dinyatakan inilah sebenarnya yang akan
membahayakan kesejahteraan dan kelestarian rumah tangga yang telah terbina. Ditambah
pula dengan faktor si isteri yang masih belum mampu untuk memainkan peranannya
sebagai isteri seterusnya sebagai ibu dek kerana usia mereka yang masih muda. Sebagai
penutup, pengkaji menyeru semua pihak terutamya ibu bapa kepada pasangan yang
terlibat itu sendiri supaya membantu mereka untuk menyelesaikan pelbagai masalh yang
timbul dengan jalan yang terbaik, bukan mengeruhkan lagi keadaan yang sedia rapuh.
Kajian literatur yang terakhir ialah kajian oleh Kamarul Azmi Jazmi (2008)
dengan tajuk kajiannya Perkahwinan Semasa Belajar; Kebaikan Dan Keburukannya
Dalam Pembangunan Pelajar Universiti. Objektif utama tema kajian ini dipilih adalah
kerana pengkaji ingin tahu dengan jelas tentang kebaikan dan keburukan perkahwinan
semasa belajar terhadap pembangunan mahasiswa. Hal ini kerana pengkaji mendapati
ramai dalam kalangan ibu bapa yang yang menentang anak-anak mereka untuk
mendirikan rumah tangga semasa mereka masih di alam mahasiswa dan tidak kurang juga
yang menyokong tindakan ini. metod kajian yang digunakan oleh pengkaji dalam kajian
ini ialah kaedah kajian kes dan temu bual secara langsung dengan beberapa orang
responden yang dipilih. Berbincang mengenai keburukan berkahwin ketika masih
bergelar mahasiswa, majoriti responden dengan peratusan sebanyak 93.0 peratus
11

menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pendapat tentang perkahwinan
sebagai batu penghalang kepada mahasiswa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pengajian mereka. Hasil daripada dapatan kajian juga menunjukkan bahawa
responden yang berkahwin secara keseluruhannya bersetuju bahawa mereka mampu
untuk membahagikan masa untuk belajar. Bahkan menurut kajian kes yang dijalankan,
responden ternyata mampu untuk meningkatkan prestasi pengajian mereka hasil daripada
perkongsian teknik dalam pembelajaran. Dalam aspek kebaikannya pula, kebanyakan
responden dengan peratusan sebanyak 89.3 peratus berpendapat bahawa perkahwinan
ketika masih belajar sebenarnya merupakan suatu proses pendidikan yang mematrangkan
mereka untuk menjadi individu dewasa yang bertanggungjawab. Hal ini lebih jelas
terbukti apabila mereka dikurniakan cahaya mata. Menurut responden, mendapat anak
ketika masih bergelar mahasiswa bukanlah suatu beban malahan ia adalah saat yang
sangat menggembirakan bagi setiap pasangan yang berkahwin. Keperluan kepada
penjagaan yang baik terhadap anak-anak juga sebenarnya dapat melatih mereka untuk
menjadi lebih bertanggungjawab, matang dan optimis dalam setiap tindakan serta
keputusan yang diambil terutamanya ketika mereka perlu menyelesaikan sesuatu masalah.
Sebagai penutup kepada kajian ini, pengkaji menyeru semua pihak terutamanya ibu bapa
mahasiswa supaya lebih positif dan mengubah mentaliti pemikiran mereka terhadap
keputusan anak-anak muda yang ingin berkahwin ketika masih di alam university. Hal ini
demikian kerana kemampuan sebenar seseorang itu tidak boleh dibuat penilaian hanya
berdasarkan teori semata-mata tanpa pembuktian secara praktikal.

12

Metodologi Kajian
Dalam bab ini kami akan membincangkan tentang reka bentuk kajian, instrument kajian,
serta populasi dan sampel kajian. Secara ringkasnya, metodologi kajian ialah kaedah
sesuatu kajian itu dijalankan.
Reka Bentuk Kajian
Kami menggunakan reka bentuk kajian berbentuk kaedah kuantitatif jenis tinjauan bagi
mengkaji persepsi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap perkahwinan semasa
belajar. Dalam kajian ini, data-data telah dikumpul dengan menggunakan borang soal
selidik yang telah disediakan. Penggunaan soal selidik digunakan kerana dapat
menghasilkan item-item yang konsisten serta boleh dipercayai.

Instrumen Kajian
Instrumen kajian ini merupakan satu set borang soal selidik yang mengandungi dua
bahagian iaitu bahagian A berkaitan dengan latar belakang responden, bahagian B
penilaian persepsi dari sudut keluarga, faktor, ekonomi, pembelajaran, dan masa hadapan.
Kami memilih instrumen soal selidik kerana kaedah ini dilihat lebih sesuai dan lazimnya
dianggap popular serta menepati kehendak kaedah dalam penyelidikan. Hal ini kerana
penggunaan soal selidik adalah lebih mudah dalam pengumpulan data. Selain dari itu,
soal selidik juga dapat meliputi saiz yang besar dengan kos yang sederhana.
Rasional kami menggunakan instrumen soal selidik dalam penyelidikan ini adalah
kerana kaedah temubual tidak dapat dilaksanakan. Hal ini kerana kami menggunakan
13

populasi sampel yang ramai iaitu, sebanyak 80 orang responden. Dalam penentuan skala
jawapan bagi setiap persoalan dalam boring soal selidik kami, kami telah menggunakan 4
skala likert iaitu sangat tidak setuju, tidak setuju, setuju, dan sangat setuju. Kami tidak
menggunakan skala yang terlalu banyak bagi mengelakkan kesukaran atau kekeliruan
terhadap responden untuk memilih jawapan mereka.
Populasi dan Sampel Kajian
Beberapa teknik dapat digunakan bagi mendapatkan sampel yang mewakili
populasi dengan tepat. Populasi adalah satu set lengkap semua kumpulan yang memenuhi
spesifikasi. Dalam pensampelan kami mengenal pasti dan mendefinasikan populasi yang
disampel secara spesifik terlebih dahulu. Hal ini kerana, kami mungkin tidak mempunyai
masa atau kos bagi mengumpul maklumat daripada keseluruhan populasi. Maka, kami
perlu memilih populasi yang benar-benar mewakili sampel. Misalnya, dalam kajian ini
kami memilih 80 orang pelajar daripada ribuan pelajar di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Resional kami berbuat sedemikian adalah kerana tidak mungkin kami mampu
untuk mendapatkan persepsi semua pelajar di sini secara mutlak dan keseluruhan kerana
jumlahnya yang sangat ramai.
Dengan itu, kami telah mencapai kata sepakat untuk memilih hanya seramai 80
orang pelajar sebagai sampel kajian kami. Responden yang kami pilih ini adalah pilihan
secara rawak yang terdiri daripada pelajar daripada berlainan fakulti, agama, dan bangsa.
Persampelan adalah merupakan pengambilan sebahagian daripada sesuatu populasi. Ia
merupakan kaedah yang paling baik bagi mengurangkan kos di samping berupaya untuk
menggambarkan keseluruhan populasi kajian kami.
14


PERBINCANGAN
Perbincangan bahagian A: analisis latar belakang responden

Maklumat latar belakang responden yang pertama ialah jantina. Kajian ini dijalankan
kepada responden yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
sahaja. Jumlah keseluruhan responden ialah seramai 80 orang yang terdiri daripada 40
orang mahasiswa (50%) dan 40 orang mahasiswi (50%). Jumlah responden mahasiswa
dan mahasiswi adalah sama banyak bagi memudahkan penyelidik untuk melihat persepsi
tersendiri mahasiswa dan mahasiswi kerana jantina yang berbeza akan mempunyai cara
pemikiran dan pandangan yang berbeza terhadap isu ini.

Latar belakang responden yang kedua ialah latar belakang fakulti. Responden
kajian ini terdiri daripada lapan fakulti yang berbeza di kampus induk Bangi iaitu seramai
31 responden daripada Fakulti Pengajian Islam (38.75%), 15 orang responden daripada
Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (18.75%) dan responden dari Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan pula seramai 10 orang (12.5%). Manakala 7 orang responden lagi daripada
Fakulti Ekonomi dan 8 orang responden Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (10%).
Manakala baki responden yang lain adalah daripada Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains
dan Teknologi yang masing-masing adalah seramai 4 orang responden (5%),3 orang
responden (3.75%) serta hanya 2 orang responden daripada Fakulti Undang-undang
(2.5%).

15

Perbincangan bahagian B: persepsi mahasiswa UKM terhadap perkahwinan
semasa belajar.
Dalam perbincangan bahagian B ini, persepsi mahasiswa UKM terhadap perkahwinan
semasa belajar dinilai daripada lima aspek yang berkaitan iaitu aspek kekeluargaan, ,
ekonomi, pembelajaran, perancangan masa hadapan dan facktor-faktor yang mendorong
kepada perkahwinan semasa belajar.

Aspek A : kekeluargaan

Dari aspek kekeluargaan, item yang mencatatkan jumlah majoriti responden yang
mempersetujuinya ialah item 2. Item ini menyatakan bahawa responden tidak akan
berkahwin tanpa izin ibu bapa. 90% daripada keseluruhan responden mengakui
pernyataan tersebut yang mana ianya terdiri daripada 42.5% responden lelaki manakala
responden perempuan sebanyak 47.5%. Keizinan daripada ibu bapa sangat penting kerana
di situlah terletaknya keredhaan dan keberkatan sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W
yang bermaksud Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa.
Item yang kedua yang mendapat peratusan yang tertinggi ialah item 5 iaitu
tinggal bersama pasangan selepas berkahwin. 88.75% bersetuju dan juga sangat bersetuju
dengan pernyataan itu. 40% yang bersetuju dengan pernyataan itu ialah responden lelaki
manakala responden perempuan ialah 39%.
Peratus yang menunjukkan kadar ketiga tertinggi ialah item 1. Item ini menyatakan
bahawa responden menyerahkan pemilihan jodoh kepada ibu bapa.. Jumlah keseluruhan
responden yag bersetuju ialah 47.5% yang terdiri daripada 22.5% responden lelaki dan
16

25% responden perempuan.
Seterusnya ialah item yang keempat tertinggi peratusannya iaitu item 4 yang
menyatakan bahawa responden akan memberi lebih keutamaan kepada rumah tangga
berbanding pelajaran. 40% daripada keseluruhan responden bersetuju dengan item 4
yang mana 20% daripada responden lelaki dan perempuan mengakuinya.
Nilai peratusan yang menunjukkan nilai yang paling rendah dipersetujui oleh
keseluruhan responden ialah item 3 iaitu hanya sebanyak 21.25% sahaja yang menerima
pernyataan tersebut. Item 3 menyatakan bahawa responden akan terus niat untuk
berkahwin walaupun mendpat tentangan daripada keluarga. Hanya 16.25% sahaja
responden lelaki yang menyetujuinya manakala responden perempuan adalah 5%.
Menurut kebanyakan responden, mereka berpendapat bahawa perkahwinan tanpa redha
ibu bapa akan menyebabkan kehidupan tidak akan bahagia kerana balasan mengecewakan
ibu bapa.

Aspek B: faktor
Dari aspek faktor-faktor yang mendorong perkahwinan semasa belajar, item yang
mencatatkan jumlah majoriti responden yang mengakuinya atau mempersetujuinya ialah
item 2. Item ini menyatakan bahawa perkahwinan pada usia muda dapat menggelakkan
diri daripada masalah sosial dan zina. 82.5% daripada keseluruhan responden mengakui
pernyataan tersebut yang mana ianya terdiri daripada 38.73% responden lelaki manakala
responden perempuan sebanyak 43.75%. Hal ini bertepatan dengan hikmah pensyariatan
nikah dalam Islam iaitu untuk mengelakkan keruntuhan akhlak. Apabila manusia dilarang
daripada cara yang disyariatkan maka mereka akan terdorong untuk melepaskan nafsu
17

melalui cara yang salah seperti zina yang hanya akan mendatangkan keburukan sahaja.
( Zulkifli al-Bakri: 2013 ). Manakala menurut Maszlee Malik dan Hamidah Mat
(2007: 136) perkahwinan sebagai salah satu jalan penyelesaian masalah social untuk
mengelakkan dari anak-anak muda berpasangan dan mempunyai perhubungan bebas
antara berlaianan jantina di universiti.
Item yang kedua yang mendapat peratusan yang tertinggi ialah item 5 iaitu
mendapat galakan dan sokongan daripada ibu bapa yang mana sebanyak 62.5%
bersetuju dan juga sangat bersetuju. 31.25% yang bersetuju dengan pernyataan itu ialah
responden lelaki manakala responden perempuan juga mempunyai peratusan yang sama.
Peratus yang menunjukkan kadar ketiga tertinggi ialah item 1. Item ini
menyatakan bahawa sukar mencari jodoh apabila usia semakin meningkat. Jumlah
keseluruhan responden yag bersetuju ialah 51.25% yang terdiri daripada 17.5%
responden lelaki dan 33.75 % responden perempuan. Jumlah perbezaan antara peratusan
lelaki dan perempuan adalah agak ketara iaitu sebanyak 16.25%. Hal ini disebabkan
kebanyakan lelaki tidak menganggap faktor usia merupakan faktor yang penting yang
menggesa mereka untuk berkahwin tetapi mereka lebih ingin memastikan kedudukan
kewangan yang stabil terlebih dahulu, berbeza dengan perempuan. Data yang
dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2011
menunjukkan 30 peratus wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin
berbanding 25 peratus untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.
( Utusan Malaysia: 2011)
Seterusnya ialah item yang keempat tertinggi peratusannya iaitu item 4 yang
menyatakan bahawa diri sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan menjadi
18

faktor perkahwinan semasa belajar. 50% atau separuh daripada keseluruhan responden
bersetuju dengan item 4 yang mana 25% daripada responden lelaki dan perempuan
mengakuinya. Malah dalam Islam sendiri menggalakkan seseorang itu untuk berkahwin
jika berkemampuan sebagaimana hadis Rasulullah S.a.w Wahai para pemuda, sesiapa di
antara kamu mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin,
sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan
(kesucian). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia
berpuasa, kerana puasa akan dapat menahan nafsunya. (Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Manakala item yang seterusnya yang mendapat peratusan yang kelima tertinggi
yang dipersetujui responden ialah item 3 yang menyatakan bahawa perkahwinan semasa
belajar disebabkan terpengaruh dengan rakan-rakan yang telah berkahwin . Sebanyak
38.75% daripada keseluruhan responden mengakuinya. Kadar peratusan responden lelaki
yang bersetuju ialah sebanyak 26.25% dan perempuan pula sebanyak 12.5%.
Nilai peratusan yang menunjukkan nilai yang paling rendah dipersetujui oleh
keseluruhan responden ialah item 6 iaitu hanya sebanyak 27.5% sahaja yang menerima
pernyataan tersebut. Item 6 menyatakan bahawa kebanyakan pasangan muda berkahwin
disebabkan terlanjur. Hanya 13.75 % sahaja responden lelaki yang menyetujuinya
manakala responden perempuan juga mempunyai peratusan yang sama.

Aspek C: ekonomi
Dari aspek ekonomi, item yang mencatatkan jumlah majoriti responden yang
mempersetujuinya ialah item 3. Item ini menyatakan bahawa responden dapat
19

mengurangkan bebanan hidup dengan berkongsi kos perbelanjaan harian bersama-sama
pasangan mereka. 83.75% daripada keseluruhan responden menerima pernyataan tersebut
yang mana 38.75% terdiri daripada responden lelaki manakala responden perempuan
sebanyak 45% .
Item yang kedua yang mendapat peratusan yang tertinggi ialah item 1 iaitu
bersetuju untuk berkahwin pada usia muda jika pasangan mempunyai kewangan yang
kukuh yang mana sebanyak 75% bersetuju dan juga sangat bersetuju. 32.5% yang
bersetuju dengan pernyataan itu ialah responden lelaki manakala bakinya iaitu 42.5%
ialah responden perempuan.
Peratus yang menunjukkan kadar ketiga tertinggi ialah item 5. Item ini
menyatakan bahawa responden tidak kisah melakukan kerja sambilan jika perlu selepas
perkahwinan. Jumlah keseluruhan responden yag bersetuju ialah 70% yang terdiri
daripada 35% , masing-masing adalah responden lelaki dan perempuan.
Seterusnya ialah item yang keempat tertinggi peratusannya iaitu item 4 yang
menyatakan bahawa responden yakin mampu menanggung perbelanjaan keluarga
walaupun masih belajar. 51.25% daripada keseluhuran responden bersetuju dengan item 4
yang mana 23.75% adalah daripada responden lelaki dan 27.5% pula adalah responden
perempuan.
Manakala item yang seterusnya yang mendapat peratusan yang kelima tertinggi
yang dipersetujui responden ialah item 2 yang menyatakan bahawa kewangan tidak akan
menjadi penghalang. Sebanyak 35 responden (43.75% ) daripada keseluruhan responden
mengakui bahawa kewangan bukan faktor penghalang perkahwinan semasa belajar.
20

Kadar peratusan responden lelaki yang bersetuju ialah sebanyak 25% dan perempuan pula
sebanyak 18.75%.
Nilai peratusan yang menunjukkan nilai yang paling rendah dipersetujui oleh
keseluruhan responden ialah item 6 iaitu hanya sebanyak 31.25% sahaja yang menerima
pernyataan tersebut. Item 6 menyatakan bahawa responden boleh meminta bantuan
kewangan daripada keluarga. Hanya 13.75 % sahaja responden lelaki yang menyetujuinya
manakala responden perempuan pula hanya 17.5%..

Aspek D: Pembelajaran
Dari aspek pembelajaran pula, majoriti responden bersetuju dengan penyataan item 3.
Item ini menyatakan bahawa pasangan dapat menjadi sumber inspirasi merek untuk
mencapai kejayaan. 87.5% daripada keseluruhan responden menerima pernyataan
tersebut yang mana sebanyak 43.75% masing-masing daripada responden lelaki dan
perempuan.
Item yang kedua yang mendapat peratusan yang tertinggi ialah item 4 iaitu
seseorang mampu memperoleh keputusan cemerlang walaupun sibuk dengan keluarga
yang mana sebanyak 77.5% bersetuju dan juga sangat bersetuju. 37.5% yang bersetuju
dengan pernyataan itu ialah responden lelaki manakala bakinya iaitu 41.25% ialah
responden perempuan.
Peratus yang menunjukkan kadar ketiga tertinggi ialah item 2. Item ini
menyatakan bahawa responden dapat membahagikan masa antara keluarga dan
pembelajaran dengan baik. Jumlah keseluruhan responden yang bersetuju ialah 70% yang
terdiri daripada 28.75% responden lelaki dan 37.5% responden perempuan.
21

Seterusnya ialah item yang keempat tertinggi peratusannya iaitu item 1 yang
menyatakan bahawa perkahwinan semasa belajar tidak akan menganggu pembelajaran.
56.25% daripada keseluhuran responden bersetuju dengan item1 yang mana 26.25%
adalah daripada responden lelaki dan 30% pula adalah responden perempuan. Hal ini
bertepatan kerana tidak ada tuntutan kewajipan menunda pernikahan demi mencari ilmu
atau mencari harta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah.
Manakala item yang seterusnya yang mendapat peratusan yang kelima tertinggi
yang dipersetujui responden ialah item 5 yang menyatakan bahawa perkahwinan
menyebabkan seseorang sukar untuk melibatkan diri dalam perbincangan dan aktiviti-
aktiviti yang dianjurkan.Sebanyak responden 35% daripada keseluruhan responden
mengakui bahawa perkahwinan tidak akan menghalang atau mengehadkan perlibatan
seseorang dalam aktiviti tertentu. Kadar peratusan responden lelaki yang bersetuju ialah
sebanyak 15% dan perempuan pula sebanyak 20%.
Nilai peratusan yang menunjukkan nilai yang paling rendah dipersetujui oleh
keseluruhan responden ialah item 6 iaitu hanya sebanyak 17.5% sahaja yang menerima
pernyataan tersebut. Item 6 menyatakan bahawa fokus dalam pembelajaran akan hilang
dan keputusan merosot disebabkan perkahwinan. Hanya 8.75% sahaja yang
membenarkan penyataan ini yang mana masing-masing daripada responden lelaki dan
responden perempuan.




22

RUMUSAN
Penyelidik telah membuat rangkuman kesimpulan penemuan terhadap analisis yang telah
dibuat dan implikasi pengurusan. Di samping itu juga, turut dimuatkan juga batasan dan
cadangan-cadangan untuk kajian akan datang yang berkaitan dengan isu kahwin ketika
belajar.
1) Kesimpulan Penemuan
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pengkaji, pengkaji mendapati bahawa responden
bersetuju untuk berkahwin ketika belajar. Ini terbukti dengan hasil keseluruhan analisis
yang telah dilakukan oleh pengkaji yang mana majoritinya bersetuju untuk berkahwin
ketika belajar iaitu nilai peratusan sebanyak 52.5. Secara keseluruhannya, responden
mengatakan kahwin ketika belajar tidak akan mengganggu pelajaran, namun ada juga
segelintir pelajar yang mengatakan mereka yang berkahwin ketika belajar akan
menghadapi masalah. Ini kerana kahwin ketika belajar bukanlah suatu perkara yang
mudah. Ianya memerlukan kepada persediaan khususnya persediaan dari segi kewangan
dan juga keizinan daripada ibu bapa. Namun ianya juga memberikan kebaikan kepada
semua kerana ianya dapat mengawal gejala sosial di universiti khususnya.
2) Kesan Kahwin Ketika Belajar Kepada Responden
Melalui kajian yang telah dibuat, pengkaji mendapati bahawa berkahwin ketika belajar
memberi beberapa kesan terhadap pelajar sama ada ianya baik ataupun buruk. Antaranya
ialah berkahwin ketika belajar ini dapat mengelakkan diri daripada pengaruh gejala sosial
dan zina. Ini kerana seperti yang sedia maklum, bahawa semakin banyak kes-kes sosial
23

yang melibatkan pelajar universiti berlaku di Malaysia seperti kes khalwat, zina,
pembuangan bayi dan lain-lain. Selain itu, berkahwin ketika belajar juga dapat
menjadikan pasangan sebagai inspirasi untuk mencapai kecemerlangan. Ini juga boleh
dijadikan sebagai bukti kepada masyarakat yang lain bahawa dengan berkahwin ketika
belajar ini juga dapat memperoleh keputusan yang cemerlang. Namun, terdapat juga
kesan buruk sekiranya berkahwin ketika belajar. Sebagai contoh, menyebabkan
penglibatan mahsiswa dalam aktiviti di universiti terbatas, mengalami masalah kewangan,
hilang fokus dalam belajar dan sebagainya. Dengan ini mahasiswa akan dapat menyedari
kesan berkahwin ketika belajar. Ia juga dapat membantu mahasiswa untuk membuat
keputusan sama ada ingin berkahwin ketika belajar atau tidak. Ini kerana berkahwin
ketika belajar bukanlah sesuatu yang mudah.
3) Kekurangan dan Kelemahan Kajian
Dalam kajian ini, terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan. Antaranya ialah pengkaji
mengalami masalah kesuntukan masa ketika melaksanakan kajian. Oleh yang demikian,
pengkaji tidak dapat melakukan kajian secara lebih meluas dan teliti. Dengan itu,
pengkaji telah membataskan kajian ini supaya dapatan kajian dapat memberikan hasil
yang baik. Pengkaji juga meletakkan skop dan ruang yang agak sempit dalam batasan
kajian, namun begitu keseluruhan aspek dalam kajian ini masih lagi merupakan intipati
yang menyeluruh terhadap kajian yang dilakukan. Selain itu, pengkaji juga mengalami
sedikit masalah untuk mendapatkan responden bagi mengisi borang kaji selidik yang
telah disediakan. Pada peringkat awal, borang kaji selidik yang disediakan adalah kurang
24

lengkap. Setelah disemak oleh penyelia kajian, pengkaji menambahbaik borang kaji
selidik tersebut mengikut garis panduan yang telah ditunjukkan.


4) Cadangan Untuk Kajian Akan Datang

Daripada dapatan dan kajian yang telah dijalankan, pengkaji mencadangkan agar pengkaji
seterusnya akan menggunakan medium yang lebih luas. Penggunaan medium yang lebih
luas ini dapat membantu dan memudahkan pengkaji akan datang untuk menyelidik dan
membuat kajian. Antara contoh medium yang boleh digunakan ialah facebook, blogspot,
google drive dan sebagainya. Selain itu, pengkaji akan datang juga boleh menggunakan
cara kajian seperti temuramah. Temuramah ini dapat dibuat dengan menemuramah
responden melalui rakaman supaya dapat memudahkan pengkaji untuk membuat rujukan
semula. Melalui proses temuramah ini juga dapat memberi peluang kepada responden
untuk menyuarakan pandangannya terhadap isu yang dikaji. Di samping itu, kajian kes
juga turut boleh dilakukan oleh pengkaji akan datang untuk mengkaji dengan lebih jelas
terhadap isu yang dikaji. Kajian kes ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada pusat
atau agensi kaunseling bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang aduan kes yang
berkaitan dan cara mengatasinya.



25

RUJUKAN
Abdul Halim Sholeh,2008.Ingin Kahwin? Cepat Kahwin. Al-Hidayah Publications.
Kuala Lumpur

Ismail kamus & Mohd Azrul Azlen Ab.Hamid, 2009, Indahnya Hidup Bersyariat,
Telaga Biru Sdn. Bhd. Kuala Lumpur

Mohammad Shahir Bin Abdullah, 2002, Modul Perkhidmatan Keluarga, Penerbitan
Nasional Berhad, Kuala Lumpur


Muhammad Ali Quthb, 2005, Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam, Pustaka
Haji
Abdul Majid, Kula Lumpur

Al-Sibay Musthafa, 1996, Wanita:Antara Hukum Dan Perundangan, Penerbit Bulan
Bintang, Jakarta, Indonesia

Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2014, Al-Fiqh Al-Manhaji: Kekeluargaan Islam Dalam
Fiqh Al-Syafii, Darul Syakir Enterprise, Selangor


Internet

http://www.scribd.com/

http://www.islamgrid.gov.my/
http://sirimalaysia.com

You might also like