You are on page 1of 29

ABSTRAK

Kajian ini adalah berkenaan dengan perkahwinan tanpa kebenaran mahkamah dan pendaftar atau
lebih dikenali dengan kahwin lari yang semakin meningkat peratusannya di Malaysia. Tujuan
kajian ini adalah untuk memahami definisi dan konsep perkahwinan tanpa kebenaran menurut
perspektif Islam dan peruntukan undang-undang di Mahkamah Syariah Malaysia. Perbincangan
secara lebih terperinci juga dibuat bagi menjelaskan faktor-faktor berlakunya perkahwinan tanpa
kebenaran di kalangan masyarakat masa kini. Kajian ini juga turut memeperlihat kesan atau
implikasi yang diperolehi akibat dari perkahwinan yang dilangsungkan tanpa kebenaran
mahkamah dan pendaftar. Selain itu, kajian ini juga melihat sejauh mana peruntukan dan
hukuman berkaitan perkahwinan tanpa kebenaran di bawah Akta atau Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Negeri-negeri di Malaysia dan hukum syarak.
Katakunci: Perkahwinan Tanpa Kebenaran, Kahwin Lari, Kesan, Implikasi












PENGENALAN
Institusi kekeluargaan bermula dengan terbentuknya sesebuah perkahwinan. Perkahwinan
menurut undang-undang Islam ialah satu kontrak sivil dan merupakan satu ibadah. Perkahwinan
boleh diadakan tanpa apa-apa istiadat atau prosedur tertentu.Islam tidak pernah mensyaratkan
supaya perkahwinan itu direkodkan dan didaftarkan sama ada secara rasmi ataupun tidak,
malahan tidak disyaratkan untuk ditulis. Sesuatu akad perkahwinan dianggap sah dan mengikat
sekiranya telah memenuhi segala rukun dan syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak. Selain
itu, Islam tidak melarang perkahwinan dijalankan di mana-mana jua dan dalam keadaan apa
sekalipun, asalkan segala rukun dan syarat telah dipenuhi.
Malahan, atas kemudahan inilah, ada segelintir pasangan yang telah mengambil
kesempatan untuk melakukan perkahwinan tanpa kebenaran daripada pihak pendaftar dan
mahkamah. Perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar dan mahkamah atau juga dikenali dengan
istilah perkahwinan lari merupakan satu isu yang telah lama muncul di Malaysia, namun
sehingga kini isu ini masih belum dapat diselesaikan oleh pihak Pentadbir Agama atau
Mahkamah Syariah.
Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri di Malaysia telah
memperuntukkan beberapa sekatan dalam perlaksanaan perkahwinan bagi menjamin supaya
tidak berlakunya sebarang penyelewengan dalam perkara ini. Peruntukan ini telah disediakan
dalam bentuk prosedur perkahwinan. Di antara perkara-perkara yang terkandung dalam prosedur
ini ialah permohonan berkahwin, penetapan umur minimum, penentuan status perkahwinan,
perkahwinan dihadapan pendaftar perkahwinan bertauliah, penentuan tempat perkahwinan,
permohonan berpoligami dan pendaftaran perkahwinan. Prosedur dan pendaftaran perkahwinan
yang ditetapkan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan sosial. Walaupun peraturan yang
telah ditetapkan ini adalah tidak menjadi syarat sahnya sesuatu perkahwinan, namun
perlanggarannya menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan.



DEFINISI PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN
Menurut Kamus Dewan, perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari ialah perkahwinan
(pernikahan) pasangan lelaki dengan wanita (biasanya suka sama suka) yang dilakukan di tempat
lain tanpa disaksikan atau direstui oleh kaum keluarga (Abdul Manan Ismail, Arif Fahmi Md
Yusof, 2004: 11).
Selain itu, ia juga didefinisikan sebagai suatu perkahwinan yang tidak dipersetujui oleh
wali pengantin perempuan dan perkahwinan itu diakadkan oleh wali hakim tanpa kebenaran wali
dan tanpa kebenaran pendaftar mukim berkenaan (Md. Akhir Hj. Yaacob, Siti Zalikhah Md.
Noor, 1989: 53).
Terdapat beberapa pandangan ulama tentang perkahwinan tanpa kebenaran iaitu:
i. Jumhur ulama antaranya Umar, Ali, Ibn Masud, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Said ibn al-
Musayyib, Hassan al-Basri, Syafie, Ibn Hazam dan Malik tidak membenarkan seseorang
wanita untuk melangsungkan perkahwinan tanpa keizinan wali.
ii. Imam Malik di dalam riwayat Ibn al-Qasim berpandangan bahawa seseorang wanita yang
berkedudukan di sudut harta atau kecantikan yang diminati ramai perlu mendapatkan
kebenaran wali untuk berkahwin. Manakala wanita yang tidak berkedudukan pula
dibenarkan untuk berkahwin tanpa persetujuan wali.
iii. Daud al-Zahiriyy pula berpandangan bahawa anak dara perlu mendapatkan keizinan wali
manakala janda tidak perlu mendapatkan persetujuan tersebut.
Di dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia tidak ada satu
definisi tentang perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar dan mahkamah yang diperuntukkan.
Namun, secara umum ia boleh ditakrifkan sebagai satu perkahwinan yang tidak melalui satu
peraturan yang telah ditetapkan dan bertentangan dengan kehendak pihak-pihak tertentu atau
undang-undang yang telah ditetapkan. Selain itu, perkahwinan tanpa kebenaran ini juga boleh
dianggap sebagai perkahwinan yang tidak mengikut Akta atau Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam dan tidak dipersetujui oleh wali pengantin perempuan. Perkahwinan ini diakad
oleh wali hakim tanpa persetujuan wali dan tanpa kebenaran pendaftar perkahwinan yang
berkenaan (Abdul Manan Ismail, Arif Fahmi Md Yusof, 2004: 12).
KLASIFIKASI PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN
Perkahwinan tanpa kebenaran dapat dibahagikan kepada tiga iaitu perkahwinan dalam negara
tanpa kebenaran pendaftar, perkahwinan dalam negara tanpa kebenaran mahkamah dan pendaftar
dan perkahwinan luar negara tanpa kebenaran ataupun dipanggil kahwin lari.
a) Perkahwinan Dalam Negara Tanpa Kebenaran Pendaftar
Perkahwinan ini dilakukan di dalam negara tetapi tidak mendapat keizinan daripada pendaftar
disebabkan aspek-aspek tertentu. Perkahwinan ini juga tidak melalui satu peraturan yang telah
ditetapkan dan bertentangan dengan kehendak undang-undang yang telah ditetapkan (Abdul
Manan Ismail, Arif Fahmi Md. Yusof, 2004 : 11). Umpamanya diakadnikah oleh wali sendiri
tanpa kebenaran pendaftar, jurunikah tidak bertauliah dan perkahwinan sindiket.
Mana-mana perkahwinan tanpa kebenaran yang hendak didaftarkan di bawah Akta atau
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri hendaklah disahkan terlebih dahulu.
Ada juga pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk menikahkan pasangan dengan
tujuan komersial ataupun lebih di kenali sebagai kahwin sindiket. Pihak-pihak ini telah
meletakkan bayaran yang agak tinggi dan tidak menghiraukan sama ada perkahwinan yang
mereka sediakan itu memenuhi kehendak hukum syarak ataupun tidak. Apa yang penting bagi
mereka ialah pasangan yang terdesak dapat dikahwinkan.
b) Perkahwinan Dalam Negara Tanpa Kebenaran Mahkamah Dan Pendaftar
Perkahwinan ini dilakukan di dalam negara tetapi tidak mendapat keizinan daripada mahkamah
dan pendaftar disebabkan terdapat halangan tertentu. Contohnya, poligami tanpa kebenaran
mahkamah, pasangan yang berkahwin di bawah umur dan perempuan yang bercerai dengan
suami sebelum melakukan persetubuhan (janda berhias) kemudian ingin kahwin dengan lelaki
lain.
Mengikut Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 ada
menyatakan bahawa umur minimum untuk berkahwin iaitu Tiada sesuatu perkahwinan boleh
diakadnikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun
atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah
memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. Oleh itu, bagi pasangan yang
hendak berkahwin di bawah umur, mestilah mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie
dan jika tidak berbuat demikian maka disabitkan kesalahan perkahwinan tanpa kebenaran
mahkamah. Begitu juga dalam kes poligami dan janda berhias.
c) Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran
Perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau istilah kahwin lari bermaksud perkahwinan antara
pasangan lelaki dan wanita yang lazimnya suka sama suka dan tidak dipersetujui atau tidak
direstui oleh keluarga. Perkahwinan itu diakadkan oleh wali hakim tanpa kebenaran wali serta
tanpa kebenaran pendaftar mukim berkenaan (Md. Akhir Hj. Yaacob, Siti Zalikhah Md. Noor
1989 : 53).
Kebanyakan perkahwinan ini berlaku di Thailand. Majoroti pasangan yang mengambil
kesempatan untuk kahwin lari di sana adalah untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi
seperti tidak mendapat restu keluarga dan tidak mendapat keizinan daripada isteri pertama untuk
berpoligami. Kebiasaannya, perkahwinan ini dilakukan melalui wali hakim atau wali raja yang
mana tidak dapat dipastikan sama ada wali tersebut bertauliah ataupun tidak.
Di Malaysia, kerajaan telah membuat perjanjian bersama atau memorandum of
understanding dengan kerajaan Thailand serta mengiktiraf jurunikah yang bertauliah di lima
daerah di selatan Thailand iaitu di Narathiwat, Pattani, Satun, Songkhla dan Yala untuk
membantu mereka yang menghadapi masalah seperti ini. Jika seseorang yang bermastautin atau
bermukim dalam negeri ini telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut hukum syarak,
orang itu hendaklah dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan hadir di hadapan
Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) yang berhampiran di luar negeri untuk mendaftarkan
perkahwinan tersebut.





FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN
Di antara punca-punca berlakunya perkahwinan tanpa kebenaran ialah:
i. Tiada Persetujuan Wali
Wali mujbir kerap melaksanakan kuasa ijbar mereka tanpa batas kerana berpegang teguh dengan
kuasa ijbarnya sedangkan anak gadis lebih suka memilih bakal suami sendiri. Hal ini sering
menimbulkan ketegangan di antara gadis dan wali kerana wali ingin anak gadisnya berkahwin
dengan lelaki pilihannya. Jalan keluar untuk menyelesaikan ketegangan tersebut ialah pasangan
berkenaan akan pergi ke suatu daerah lain untuk dikahwinkan oleh imam-imam di sana atas
dasar wali hakim. Persoalan yang timbul ialah apakah Undang-undang di Malaysia tidak dapat
menyelesaikan kes pasangan berkenaan yang ingin berkahwin tanpa keizinan wali?
Seksyen 7(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984
memperuntukkan perkahwinan hendaklah mengikut peruntukan akta dan hendaklah
diakadnikahkan mengikut hukum syarak oleh :
a) Wali di hadapan Pendaftar
b) Wakil wali di hadapan dengan persetujuan Pendaftar; atau
c) Pendaftar sebagai wakil wali
Seksyen 7(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pula
memperuntukkan jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada
mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah
diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.
Dari segi undang-undang, hak ijbar wali keatas anak gadis adalah diakui tetapi tidak
mutlak. Hak ijbar wali akan diketepikan dan dipindahkan kepada kadi atau kepada sesiapa yang
diberi kuasa secara am atau secara khas oleh kadi yang mempunyai kuasa di tempat pengantin
perempuan itu bermaustatin, sekiranya wali enggan memberi persetujuannya kepada
perkahwinan gadis di bawah jagaannya dengan tiada sebab yang munasabah. Seorang perempuan
yang ingin berkahwin tetapi tidak mendapat keizinan daripada walinya hendaklah membuat
aduan Keengganan Wali kepada mahkamah. Mahkamah akan memanggil wali dan mendengar
keterangannya. Kemudian, kadi akan menghantar pasangan berkenaan untuk dikahwinkan oleh
wali hakim di suatu daerah lain yang jauhnya dari tempat wali tidak kurang dari dua marhalah.
Mahkamah dalam kes seperti ini selalunya menolak keterangan wali kecuali apabila wali
membuktikan lelaki yang ingin mengahwini anak perempuannya adalah mati pucuk.
Namun demikian, perkara ini jarang dilakukan kerana anak gadis tidak sanggup untuk
berhadapan dengan walinya di mahkamah. Kalimah menyaman wali adalah terlalu berat untuk
dilakukan oleh mereka. Oleh itu, jalan penyelesaian pintas yang diambil oleh mereka adalah
berkahwin di luar daerah tanpa keizinan wali dengan menggunakan wali hakim (Md. Akhir Hj.
Yaacob, Dr. Siti Zalikhah Md. Noor, 1989: 55-57).
ii. Poligami
Seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan
bahawa kebenaran untuk berpoligami perlu diperolehi oleh mahkamah dan mahkamah akan
memanggil pemohon dan isteri-isterinya yang sedia ada sebelum memberi kebenaran
berpoligami.
Oleh kerana terdapat peruntukan yang terlalu ketat untuk berpoligami, maka suami akan
mengambil jalan mudah untuk berkahwin tanpa kebenaran mahkamah. Kebanyakan perkahwinan
tersebut dilakukan di tempat-tempat lain dari yang sepatutnya mengikut peruntukan dan prosedur
yang ditetapkan oleh Undang-undang Keluarga Islam (Abdul Manan Ismail, Arif Fahmi Md
Yusof, 2004: 20).
iii. Mengandung Anak Luar Nikah
Ini merupakan masalah perlanggaran hukum hudud Islam yang cuba ditutup dengan
perkahwinan yang sering dilakukan di luar negara kerana prosesnya yang lebih mudah dan lebih
cepat. Perkahwinan ini lebih merupakan kepada perkahwinan untuk menjaga maruah. Tiada apa-
apa peruntukan Undang-undang mengenai kesalahan zina dalam Kanun Keseksaan dan tiada
peruntukan Undang-undang yang melarang perkahwinan wanita yang mengandung kerana zina.
Jika perkahwinan dilakukan di luar daerah yang jauh dari tempat bermukim, kesalahannya
hanyalah setakat kesalahan melakukan perkahwinan di luar mukim tanpa kebenaran pendaftar
dan mahkamah (Md. Akhir Hj. Yaacob, Dr. Siti Zalikhah Md. Noor, 1989: 57).

iv. Berkahwin dengan warganegara luar
Hal ini berlaku disebabkan terdapat warganegara asing yang datang berkunjung ke Malaysia atau
warganegara Malaysia berkunjung ke luar negara samada bertujuan untuk melancong, belajar,
bekerja atau menjalankan perniagaan. Keadaan ini secara tidak langsung mendorong hubungan
peribadi antara penduduk tempatan dengan warganegara asing. Hasil hubungan tersebut terdapat
sebilangan mereka yang mengambil keputusan untuk melangsungkan akad nikah tanpa
kebenaran pendaftar dan mahkamah atas pelbagai alasan (Amir Husin Md. Nor, Siti Safwati
Mohd. Shariff, 2003).
v. Adanya Sindiket Kahwin Luar Negara Tanpa Kebenaran
Kehadiran sindiket yang menyediakan khidmat jurunikah dan saksi-saksi nikah juga
memudahkan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin lari. Pasangan yang ingin berkahwin
hanya perlu menghubungi pihak-pihak tertentu yang berada di sempadan Malaysia dan mereka
akan membawa pasangan berjumpa dengan imam dan saksi-saksi nikah yang sedia menikahkan
perkahwinan mereka pada bila-bila masa sahaja.
Kewujudan sindiket seperti ini menyebabkan perkahwinan luar negara tanpa kebenaran
boleh dilakukan dengan mudah kerana pasangan tersebut tidak perlu lagi mencari jurunikah dan
saksi-saksi nikah. Ada juga sindiket yang memberi kemudahan (dengan bayaran yang lebih
sedikit) kepada pasangan untuk berkahwin dengan membawa jurunikah dan saksi-saksi dari
Thailand ke Malaysia untuk menikahkan mereka dan memberikan sijil nikah Thailand.
Hal ini memudahkan lagi kepada pasangan bermasalah kerana tidak perlu lagi ke
sempadan yang akan melibatkan penggunaan pasport atau pas perjalanan. Akibatnya, timbullah
isu sijil kahwin palsu yang tidak diiktiraf oleh Majlis Agama Islam selatan Thailand dan kerajaan
Malaysia kerana pasangan tersebut dinikahkan oleh mereka yang tidak bertauliah. Hal ini hanya
disedari apabila pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan mereka.
vi. Pasangan Ditangkap Berkhalwat
Bagi mengelakkan pasangan disabitkan dengan kesalahan jenayah khalwat, pasangan yang
terlibat akan berkahwin tanpa kebenaran di luar negara untuk mendapatkan sijil nikah sebagai
bukti dan pembelaan di mahkamah bahawa mereka telah berkahwin semasa ditangkap.
IMPLIKASI PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN
Sesuatu yang melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh syara adalah seumpama mengingkari
perintah Allah s.w.t. Perlanggaran hukum tersebut mengundang murkaNya dan pasti banyak
bahana yang bakal diterima.
Perkahwinan tanpa kebenaran memberi implikasi yang amat besar terhadap pasangan
baik dari segi undang-undang mahupun sosial. Ia akan lebih ketara jika perkahwinan itu dilanda
krisis rumah tangga atau lebih rumit lagi jika berlaku perceraian kerana perkahwinan tersebut
tidak memenuhi peruntukan di bawah Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Negeri. Pada umumnya, perkahwinan luar tanpa kebenaran tidaklah semestinya tidak sah kerana
ia mungkin telah memenuhi kehendak rukun dan syarat-syarat di bawah hukum syara. Namun,
pasangan dianggap sebagai telah melanggar peruntukan dan prosedur yang sedia ada yang telah
ditetapkan. Antara implikasi perkahwinan tanpa kebenaran ialah:
i. Kesukaran Untuk Mendaftar Perkahwinan
Sekiranya pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan, mereka perlu melalui prosedur
pengesahan perkahwinan terlebih dahulu. Pasangan terbabit hendaklah memohon pendaftaran
semula perkahwinan melalui penyelia agama di Pejabat Agama Islam Daerah. Kemudian,
penyelia tersebut akan membawa kes ke Unit Pendakwaan supaya kes tersebut dibawa kepada
Hakim Syarie untuk disahkan. Setelah itu, Hakim Syarie akan meminta pasangan mengisi borang
bagi pendaftaran pernikahan luar negeri. Prosedur selanjutnya ialah Hakim Syarie akan
memanggil pasangan berkenaan dan dua orang saksi bagi mengukuhkan keterangan pasangan
terbabit.
Di peringkat ini, setelah mendengar segala keterangan, mahkamah akan menetapkan
sama ada perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran tersebut adalah sah atau terbatal. Setelah
penentuan kesahan perkahwinan, kes akan dibawa semula ke unit pendakwaan. Pendakwa akan
menjalankan siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pasangan tersebut atas pertuduhan
berkahwin di luar negara tanpa kebenaran. Jika sabit kesalahan, pasangan akan dikenakan
penalti. Akhir sekali, mahkamah akan memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di
bawah Akta atau Enakmen yang berkuat kuasa.
ii. Kesukaran Menuntut Hak Dalam Perkahwinan
Sekiranya perkahwinan yang berlaku tanpa kebenaran itu didapati tidak sah, pasangan akan
difaraqkan (dipisahkan) dan akan dikenakan penalti. Selain tidak dapat menuntut sebarang hak
dalam perkahwinan seperti tuntutan nafkah isteri dan anak-anak, hak penjagaan, tuntutan pusaka
sekiranya suami meninggal atau sebagainya, pihak perempuan juga tidak boleh memohon
pembubaran perkahwinan kerana perkahwinan memang tidak wujud dari awal lagi. Kedudukan
anak-anak yang lahir hasil daripada perhubungan ini juga boleh dipersoalkan kesahannya.
Sekiranya terbukti perkahwinan tidak sah, anak-anak yang lahir dianggap anak luar nikah yang
mana status hubungannya dengan bapa tidak wujud sama sekali.
iii. Kesukaran Untuk Mendaftar Kelahiran Anak
Sekiranya pasangan mempunyai anak hasil dari perkahwinan tanpa kebenaran yang tidak
didaftarkan, maka anak yang dilahirkan tersebut tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran
Negara. Ini akan menyukarkan setiap proses yang akan dilalui oleh anak itu kelak apabila dia
ingin membuat pengenalan diri, pendaftaran sekolah dan lain-lain.
iv. Memusnahkan Hubungan Kekeluargaan
Perkahwinan tanpa kebenaran yang berlaku pada lazimnya adalah akibat tidak mendapat restu
dan keizinan kedua-dua keluarga terutamanya keizinan daripada wali pihak perempuan.
Akibatnya, hubungan antara pasangan tersebut dengan ahli keluarga mereka akan terjejas bahkan
terputus langsung kerana tindakan yang diambil oleh pasangan tersebut telah membelakangi
kedua-dua orang tua mereka dan mengaibkan mereka di mata masyarakat.
Bagi mereka yang mengamalkan poligami tanpa pengetahuan pihak isteri sedia ada atau
anak anak pula, tanggungjawab dan hak sepatutnya dilaksanakan dan diberikan tidak dapat
disempurnakan sebaik mungkin kerana suami dan terutamanya isteri yang kedua atau seterusnya
terpaksa hidup seolah-olah dalam buruan. Kesan berpoligami secara rahsia ini sedikit sebanyak
menyumbangkan kepada kadar perceraian kerana isteri terasa ditipu dan dikhianati oleh suami
sendiri serta suami mula mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang suami dan bapa.

v. Penalti
Perkahwinan yang berlaku tanpa kebenaran daripada pendaftar dan mahkamah adalah suatu
perbuatan yang bercanggah dengan Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di
Malaysia. Kesalahan ini jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1000 atau
penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN MENURUT HUKUM SYARAK
Masalah utama yang sering timbul daripada perkahwinan tanpa kebenaran adalah sama ada
perkahwinan tersebut sah atau tidak dari sudut hukum syarak kerana ia melibatkan masalah wali
yang diketepikan oleh pasangan yang terlibat.
Perkahwinan tanpa kebenaran boleh berlaku apabila wali enggan atau tidak bersetuju
untuk menjadi wali dalam pernikahan atau perempuan yang ingin melansungkan pernikahan
dengan sengaja enggan meminta izin daripada walinya.
Menurut hukum syarak, wali merupakan salah satu dari rukun nikah. Oleh itu, sesuatu
pernikahan tidak akan sah tanpa kehadiran wali. Kepentingan wali ini disebut dengan jelas dalam
Al-Quran sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 232:
E O}-OU_u> p =}L4C
O}_E_4^e
Maksudnya: maka janganlah kamu (Wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada
berkahwin
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Tidak sah pernikahan
kecuali dengan wali (Muhammad Shams al-Haqq, 1990: 325).
Keterangan dari hadis di atas menegaskan bahawa tiap-tiap pernikahan hendaklah
mendapat izin atau persetujuan daripada wali. Sekiranya didapati wali enggan, maka izin
pernikahan boleh diperolehi daripada wali raja atau sultan.
Pada asasnya perkahwinan tanpa kebenaran itu adalah sah mengikut hukum syarak
kerana syarat diharuskan berpindahnya kuasa Wali Nasab kepada Wali Hakim ialah apabila wali
itu enggan mengahwinkan anak perempuannya tanpa sebab yang munasabah atau wali berada
jauh pada jarak lebih dari dua marhalah.

PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN MENURUT PERUNTUKAN UNDANG-
UNDANG
Perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar dan mahkamah tidak terhad terhadap pernikahan yang
berlaku di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia sahaja, bahkan termasuk pernikahan yang
tidak mengikut saluran undang-undang samada ia dilakukan di dalam atau di luar negara. Setiap
perkahwinan mestilah didaftarkan di bawah Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
Negeri. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa pendaftaran bukanlah sesuatu yang
memberi kesan terhadap sah atau tidak sesebuah perkahwinan. Sebagai contoh, Seksyen 34 Akta
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan bahawa
pendaftaran hanya merupakan suatu keperluan undang-undang atau pembuktian terhadap sesuatu
perkahwinan yang telah berlaku atau sebagai sokongan sebarang dakwaan untuk menafikan
berlakunya perkahwinan.
Walau bagaimanapun, perkahwinan akan tetap sah di sisi undang-undang syarak
walaupun tanpa pendaftaran. Namun, peruntukan pendaftaran ini adalah perlu bagi menjamin
kelancaran dan kelicinan pentadbiran nikah kahwin, cerai dan rujuk dan masalah-masalah yang
berkaitan seperti pendaftaran kelahiran anak, nafkah serta tuntutan-tuntutan sampingan selepas
berlaku perceraian (Abdul Manan Ismail, Arif Fahmi Md Yusof, 2004: 17). Antara peruntukan-
peruntukan berkaitan dengan perkahwinan tanpa kebenaran yang terdapat di dalam Akta
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 adalah:
a) Seksyen 12
(1) Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan akta ini tidak boleh didaftarkan di
bawah akta ini.
(2) Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40(2), sesuatu
perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan
bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan di
bawah akta ini dengan perintah daripada Mahkamah.

b) Seksyen 19
Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin
telah diberi :
i. oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syarie di bawah seksyen
18, jika perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang bermastautin
dalam Wilayah Persekutuan; atau
ii. oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu Negeri, jika perkahwinan itu
melibatkan seorang perempuan yang bermastautin di Negeri itu.

c) Seksyen 23
(1) Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali
dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah,
membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau
perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di
bawah Akta ini:
Dengan syarat Mahkamah boleh jika ia ditunjukkan bahawa perkahwinan
sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syara', memerintahkan perkahwinan itu
didaftarkan tertakluk kepada seksyen 123.
(7) Seseorang yang berkahwin bersalahan dengan subseksyen (1) hendaklah
membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang
kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jumlah itu, jika
tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.

d) Seksyen 24
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut
Hukum Syara' oleh Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 28 (3) di Kedutaan,
Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang
telah tidak memberitahu Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap
pengakadnikahan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat
Konsul itu.
(2) Sebelum mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini,
Pendaftar hendaklah berpuas hati:

i. bahawa satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu adalah
pemastautin Wilayah Persekutuan;
ii. bahawa tiap-tiap satu pihak mempunyai keupayaan untuk berkahwin
mengikut Hukum Syara' dan Akta ini; dan
iii. bahawa, jika salah satu pihak bukan pemastautin Wilayah Persekutuan,
perkahwinan yang dicadangkan itu, jika diakadnikahkan, akan dikira
sebagai sah di tempat di mana pihak itu bermastautin.

e) Seksyen 25
Perkahwinan selepas tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang bermastautin dalam
Wilayah Persekutuan dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tetapi
bermastautin dalam Wilayah Persekutuan hendaklah didaftarkan mengikut Akta ini.
f) Seksyen 27
Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap orang untuk melaporkan kepada Pendaftar tentang hal
keadaan sesuatu kes dalam mana dia berpendapat bahawa sesuatu perkahwinan adalah taksah
atau bahawa sesuatu perkahwinan yang kena didaftarkan telah diakadnikahkan bersalahan
dengan Akta ini.
g) Seksyen 31
(1) Jika seseorang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan telah berkahwin di
luar negeri dengan sah mengikut Hukum Syara', bukannya satu perkahwinan yang
didaftarkan di bawah seksyen 24, maka orang itu hendaklah, dalam masa enam
bulan selepas tarikh perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan,
Perceraian, dan Ruju' Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat
dengan paling senang di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan
perkahwinan itu, setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di
bawah Akta ini.
(2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak
kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Wilayah Persekutuan dan
perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan
itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua
pihak itu mulamula sampai di Wilayah Persekutuan dengan cara pihak itu atau
kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Wilayah
Persekutuan dan:

i. mengemukakan kepada Pendaftar itu surat perakuan nikah atau apa-apa
keterangan, sama ada lisan atau dokumentar, yang boleh memuaskan hati
Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku;
ii. memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar
untuk pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu; dan
iii. memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu
didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

h) Seksyen 32
Tiada seseorang, lain daripada mereka yang dilantik di bawah seksyen 28, boleh:
i. menyimpan apa-apa buku yang mana adalah atau yang berupa sebagai suatu
daftar yang disimpan mengikut Akta ini; atau
ii. mengeluarkan kepada seseorang apa-apa dokumen yang mana adalah atau yang
berupa sebagai suatu salinan surat perakuan bagi perkahwinan atau perakuan
perkahwinan yang didaftarkan oleh Pendaftar.

i) Seksyen 35
Jika seseorang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak
berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, maka dia adalah melakukan suatu kesalahan
dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi
enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
j) Seksyen 36
Seseorang yang melanggar seksyen 32 adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah
dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau
kedua-duanya denda dan penjara itu; dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya
hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam
bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
k) Seksyen 39
Seseorang yang mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai
mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan manakala dia tidak diberi kuasa di bawah Akta ini,
adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu
ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
l) Seksyen 40
(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu
yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu
perkahwinan:
i. tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen
19; atau
ii. di hadapan selain dari di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi
yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan
perkahwinan itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah
dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi
enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah
atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan
dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan
dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak
melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
m) Seksyen 123
Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya
yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu
dari Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda
tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya
denda dan penjara itu.

KESAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG BERHUBUNG KES
PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN

Tahun Jumlah Kes
2007 76
2008 101
2009 133
Jun 2010 85

Jadual : Statistik Pendaftaran Pengesahan Pernikahan di Negeri Selangor
(http://nihayahsaidah-skyjamil.blogspot.com/2010/11/kahwin-luar-negeri.html)
Berdasarkan kepada statistik berikut, dapat dilihat bahawa pendaftaran pengesahan pernikahan di
Negeri Selangor agak meningkat di antara tahun 2007 hingga 2009. Pada tahun 2007, hanya
sebanyak 76 kes perkahwinan tanpa kebenaran yang didaftarkan bagi mendapatkan pengesahan
pernikahan. Bilangan ini meningkat kepada 101 kes pada tahun 2008. Seterusnya pada tahun
2009, dapat dilihat peningkatan bilangan kes sebanyak 32 kes menjadikan jumlah kes pada tahun
tersebut ialah 133 kes. Namun, pada bulan Jun tahun 2010 dilihat statistik tersebut menurun
sebanyak 48 kes iaitu hanya 85 kes yang didaftarkan. Peningkatan mendadak bilangan kes
perkahwinan tanpa kebenaran yang didaftarkan bagi mendapatkan pengesahan pernikahan
menimbulkan kebimbangan termasuk membabitkan status pasangan dan pengesahan
perkahwinan sama ada setiap perkahwinan pasangan tersebut memenuhi hukum syarak dan sah
di sisi undang-undang atau tidak.
Berdasarkan kepada peningkatan bilangan kes yang meningkat, dapatlah dinyatakan
bahawa penguatkuasaan undang-undang di Malaysia dilihat kurang berkesan dalam menanggani
kes-kes perkahwinan tanpa kebenaran pendaftar dan mahkamah. Hal ini kerana terdapat
segelintir masyarakat yang beranggapan peruntukan undang-undang yang ditetapkan adalah
sangat menyusahkan dan membebankan. Umpamanya peraturan yang mensyaratkan setiap
pasangan yang hendak berkahwin perlu membeli borang, mengisi dan melengkapkannya. Selain
itu, pasangan juga perlu menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat akaun bujang,
surat akaun maustatin, menjalani ujian HIV, mendapatkan surat pengesahan Jabatan Pendaftaran
Negara bagi pemegang Penduduk Tetap, menghadiri temu bual dan sebagainya yang
memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang. Malah bagi kes-kes tertentu seperti kelulusan
wali enggan, permohonan poligami dan kes yang bersangkutan dengan perceraian perlu dirujuk
ke Mahkamah terlebih dahulu. Bagi sesetengah pasangan, peraturan-peraturan ini sangat
membebankan dan menjadi penghalang utama hasrat mereka untuk menjadi pasangan suami
isteri.
Pertambahan bilangan perkahwinan tanpa kebenaran ini juga disebabkan penangkapan
pasangan yang melakukan kesalahan berkhalwat. Bagi mengelakkan mereka disabitkan
kesalahan tersebut, pasangan itu mengambil keputusan untuk berkahwin di luar negara bagi
mendapatkan sijil nikah dan sebagai bukti bahawa mereka adalah sah sebagai pasangan suami
isteri apabila didakwa di mahkamah kelak.
Oleh yang demikian, pihak Jabatan Agama Negeri seharusnya mencari jalan bagi
memperkemaskan prosedur pernikahan sehingga masyarakat tidak berasa terbeban dengan
prosedur yang merumitkan. Sekiranya sesuatu peraturan itu dilihat sebagai perlu dan penting,
penjelasan dan sebaran maklumat hendaklah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya supaya
masyarakat benar-benar faham dengan prosedur pernikahan di negara ini. Selain itu, Kerajaan
Negeri melalui Jabatan Agama Negeri hendaklah mengadakan rundingan dengan negara-negara
jiran berhubung dengan prosedur pernikahan di negara masing-masing dengan memastikan
setiap pasangan yang hendak bernikah di luar negara hendaklah mengikut peraturan di negara
berkenaan dan juga negara asal mereka.
Di samping itu, keringanan hukuman terhadap pasangan yang melakukan kesalahan
melangsungkan pernikahan tanpa kebenaran turut menyumbang kepada peningkatan bilangan
perkahwinan tanpa kebenaran di Malaysia. Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam di
Malaysia, pasangan yang didapati bersalah melakukan kesalahan perkahwinan tanpa kebenaran
boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1000 atau penjara selama enam bulan atau
dikenakan hukuman kedua-duanya sekali. Berdasarkan kepada kes-kes perkahwinan tanpa
kebenenaran yang dibicarakan, Hakim dilihat sering menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap
pesalah iaitu hanya dikenakan denda yang tidak melebihi RM1000 dan denda ini boleh
dikurangkan bergantung kepada budi bicara Hakim. Hukuman penjara yang sepatutnya
dikenakan terhadap pesalah pula boleh diketepikan sekiranya pesalah membuat rayuan dan
rayuannya diterima. Bagi mereka yang berpendapatan sederhana tidak menjadi masalah untuk
membayar denda yang dikenakan kerana tujuan mereka hanya untuk mendapatkan sijil nikah dan
bernikah dengan mudah bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Hukuman yang lebih
berat sepatutnya perlu diberikan kepada pesalah supaya dapat memberi kesedaran kepada
masyarakat. Maka dengan itu amatlah wajar undang-undang yang diperuntukkan bagi kesalahan
perkahwinan tanpa kebenaran diperketatkan dan dianalisa semula oleh pihak yang berkenaan
agar kes ini dapat dikurangkan statistiknya pada masa akan datang.

KES-KES BERKAITAN PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN
i. Tuan Manan bin Tuan Soh lawan Ketua Pendakwa Syarie
Kes ini berkaitan dengan kesalahan jenayah matrimoni iaitu berkahwin tanpa kebenaran
pendaftar yang telah dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan Syariah Selangor di Shah Alam
kerana Perayu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah.
Pada 12 Julai 2005, Perayu telah didakwa di bawah seksyen 40(2) Enakmen Undang-
Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Hulu
Langat, Selangor melalui Kes Jenayah No: 10500-164-005-2002 iaitu berkahwin tanpa
kebenaran pendaftar. Pada tarikh yang sama, Mahkamah Rendah Syariah telah mensabitkan
kesalahan Perayu dan menjatuhkan hukuman penjara selama empat hari atas kesalahan tersebut.
Perayu tidak berpuashati dan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah
Selangor dan pada 27 September 2006, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak rayuan Perayu
dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rendah Syariah. Perayu seterusnya telah memohon
kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan Syariah dan pada 29 Oktober 2007, Panel Hakim
Mahkamah Rayuan Syariah secara sebulatsuara telah meluluskan permohonan Perayu untuk
merayu. Lanjutan itu, Perayu telah memfailkan notis rayuan bertarikh 05 November 2007 dan
Petisyen Rayuan bertarikh 04 Februari 2008. Oleh kerana itu, Perayu memohon agar Mahkamah
Rayuan Syariah mengetepikan keputusan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut dan
memerintahkan agar rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah didengar semula dengan memberi
peluang kepada Perayu untuk melengkapkan semula Rekod Rayuan.
Setelah Y.A. Hakim Mahkamah Rayuan Syariah meneliti rayuan Perayu dan menimbang
semua dokumen dan rekod yang difailkan, dan setelah mendengar hujah daripada Peguam Syarie
Perayu, maka pihak mahkamah memutuskan bahawa rayuan Perayu diterima dan perintah Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di dalam Kes Rayuan Jenayah No:10500-102-0014-2006
bertarikh 27 September 2006 adalah diketepikan. Hakim telah memerintahkan kes tersebut
didengar semula dan Perayu diberikan ruang untuk melengkapkan dan memperbetulkan Rekod
Rayuannya (Jurnal Hukum Jilid 32 Bahagian 2).
ii. Muhammad Sufi bin Abdullah lawan Ketua Pendakwa Syarie
Kes ini merupakan kes rayuan terhadap Keputusan Kes Jenayah No 10003-166-14 Tahun 2003
dalam Mahkamah Rendah Syariah Daerah Klang atas sabitan Berpoligami Tanpa Kebenaran
Mahkamah di bawah Seksyen 123 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)
2003.
Mahkamah mensabitkan kesalahan Perayu bernikah secara poligami tanpa kebenaran
dengan Hamiza binti Osman, sedangkan pada waktu itu Tertuduh masih mempunyai seorang
isteri yang sah iaitu Fathilah binti Abdul Wahab. Perayu telah mengaku salah ke atas tuduhan
tersebut dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM999.00 atau lima bulan penjara jika gagal
melaksanakan bayaran dan sepuluh hari penjara di atas kesalahan poligami tanpa kebenaran
mahkamah. Perayu tidak berpuas hati terhadap sebahagian keputusan itu dan telah memfailkan
Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada 15 Ogos 2003.
Setelah mahkamah melihat Rekod Rayuan Perayu bertarikh 15 Ogos 2003, dan telah
meneliti Hujahan Perayu bertarikh 17 Disember 2008 serta Hujah Balas Responden bertarikh
11Februari 2009 yang masing-masing disokong autoriti dan lampiran yang dirujuk, maka
mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Bicara telah menggunakan budibicaranya dengan betul
ketika menjatuhkan hukuman setakat yang dibenar undang-undang. Dengan itu mahkamah telah
memutuskan bahawa Rayuan Perayu diterima dan hukuman denda sebanyak RM999.00 atau
lima bulan penjara jika gagal melaksanakan bayaran dikekalkan dan hukuman penjara
diketepikan (Jurnal Hukum Jilid 31 Bahagian 1).
iii. Mokhtar bin Radin lawan Pendakwa Syarie Selangor
Kes ini merupakan kes rayuan terhadap keputusan kes jenayah dalam Mahkamah Syariah
Gombak Timur atas sabitan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah di bawah
Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Perayu, Mokhtar bin Radin telah dipertuduhkan dengan kesalahan berpoligami dengan
seorang perempuan bernama Zizie Ezette bt A. Samad di sebuah rumah yang beralamat di No12,
Jalan TC 2B/3, Cemerlang Height, 53100 Taman Melati, Selangor Darul Ehsan pada 16
Disember 2009 tanpa kebenaran mahkamah. Perayu telah mengaku bersalah mengikut Seksyen
124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri selangor) 2003 dan dijatuhi penjara
selama satu bulan.
Namun, perayu tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah tersebut
dan telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor pada 25 Mei
2010 dan Rekod Rayuan telah difailkan pada 21 Jun 2010. Kemudian perayu telah memasukkan
penghujahan bertarikh 12 Julai 2010 dan Responden juga telah memasukkan Hujahan Balas
bertarikh 20 Julai 2010. Oleh yang demikian, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor
mengambil tanggungjawab ini dalam mengkaji dan meneliti petisyen-petisyen di dalam kes
rayuan ini.
Mahkamah telah memutuskan hukuman penjara selama satu bulan dipinda kepada denda
sebanyak RM1000 sahaja. Jika gagal membayar denda tersebut, maka Perayu dihukum penjara
selama enam bulan (Jurnal Hukum Jilid 32 Bahagian 1).
iv. Kes Pendakwa Syarie Selangor lwn. Moktar bin Radin & 6 Orang Yang Lain
Kes ini ialah berkaitan pertuduhan atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dari mahkamah,
berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk dan bersubahat atas kesalahan.
Kesemua tertuduh telah mengaku salah atas pertuduhan tersebut.
Kes ini mula disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 20 April 2010.
Di dalam kes ini, Mokhtar bin Radin (Tertuduh Pertama) telah dikenakan tuduhan Berpoligami
Tanpa Kebenaran Mahkamah Syariah, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 124 Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 manakala pasangannya Zizie Izette binti A.
Samad (Tertuduh Kedua) telah dituduh Berkahwin Tanpa Kebenaran Pendaftar, yang boleh
dihukum melakukan kesalahan di bawah seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga
Islam Selangor 2003.
Kedua-dua tertuduh juga telah dituduh bersubahat mengikut seksyen 134 atas kesalahan
masing-masing, iaitu Tertuduh Pertama dituduh bersubahat atas kesalahan di bawah seksyen 40
(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 manakala Tertuduh Kedua dituduh
bersubahat mengikut seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Pada masa yang sama, pihak pendakwa juga tekah mendakwa abang kandung Tertuduh
Kedua selaku wali semasa pernikahan bernama Ahmad Shahazmi bin Abdul Samat (Tertuduh
Ketiga), bagi kesalahan mengakadnikahkan perkahwinan tanpa mendapat kebenaran daripada
Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di bawah seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Selangor 2003 dan di bawah seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga
Islam Selangor 2003 iaitu bersubahat ke atas perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah
bagi kesalahan Tertuduh Pertama.
Saksi penikahan dari keluarga Tertuduh Kedua bernama Samzy Fuzette bin A. Samad
(OKT 4) dan Shaheizy Sam bin Abdul Samat (OKT 5) pula didakwa atas kesalahan melakukan
kesalahan mengikut peruntukan seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor
2003 iaitu dituduh bersubahat ke atas dua kesalahan yang berbeza iaitu subahat atas kesalahan
tertuduh Shahazami bin Abd Samad (wali pernikahan) yang bersalah di bawah seksyen 40 (1) (a)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 mengakadnikahkan perkahwinan
pasangan Mokhtar bin Radin dan Zizie Izette binti Abd Samad tanpa mendapat kebenaran
daripada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dan kedua-dua tertuduh ini juga dituduh bersubahat
atas kesalahan pernikahan tertuduh Mokhtar bin Radin yang berpoligami tanpa kebenaran
daripada mana-mana Mahkamah Syariah untuk berkahwin dengan Tertuduh Kedua iaitu Zizie
Izette binti Abd Samad.
Manakala saksi pernikahan daripada pihak Tertuduh Pertama bernama Sahari bin Ahmad
(OKT) dan Titing bin Putang (OKT 7) pula kedua-duanya juga dituduh di bawah seksyen 134
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu bersubahat di dalam kesalahan
pernikahan poligami tanpa kebenaran mahkamah untuk Tertuduh Pertama.
Di dalam kes ini, kesemua tertuduh (seramai tujuh orang) telah faham tuduhan yang
dikenakan dan mengaku salah dengan sukarela tanpa menerima apa-apa paksaan dari mana-mana
pihak. Kesemua tertuduh juga mengetahui akibat dan kesan ke atas kesemua hukuman jika
mengaku salah iaitu boleh dikenakan hukuman dengan denda tidak lebih daripada satu ribu
ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda
dan penjara itu bagi setiap tuduhan yang telah dibacakan iaitu sebanyak 12 pertudahan yang
berasingan.
Mahkamah telah berpuas hati untuk menjatuhkan hukuman seperti berikut : bagi
kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah mengikut seksyen 124 dan 134 (subahat
poligami) dibawah peruntukan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003,
mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu bulan kepada Mokhtar bin Radin
manakala tertuduh lain yang bersubahat dalam kes poligami ialah Zizie Izetee binti A. Samat.
Ahmad Shahazmi bin Abdul Samad, Sazmy Fuzetee bin A. Samad, Saheizy Sam bin Abdul
Samad, Sahari bin Ahmad dan Titing bin Putang kesemua mereka dikenakan hukuman denda
maksimum RM 1,000 atau penjara 6 bulan.
Bagi kesalahan pernikahan tanpa Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, mengikut seksyen 40
(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, Zizie Izetee binti A. Samat
dikenakan hukuman denda maksimum RM 1,000 atau penjara satu bulan jika gagal membayar
denda pada hari tersebut. Begitu juga kesalahan di bawah seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-
undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang dikenakan ke atas Ahmad Shahazmi bin Abdul
Samad selaku wali kepada Zizie Izetee binti A. Samat dan hukuman bagi kes bersubahat atas
kesalahan ini yang dikenakan ke atas Sazmy Fuzetee bin A. Samad dan Saheizy Sam bin Abdul
Samad masing-masing dikenakan denda maksimum RM 1,000 atau penjara satu bulan jika gagal
membayar denda pada hari ini.

v. Kes Mohamed Taher bin Md. Khalil lwn. Pendakwa Syarie
Kes ini ialah berkaitan dengan kesalahan di bawah Undang-undang Keluarga iaitu Poligami
Tanpa Kebenaran Mahkamah
Perayu dalam kes ini telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah sek. 123 Akta
Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 iaitu poligami tanpa
Kebenaran Mahkamah oleh Mahkamah Rendah Syariah dengan hukuman penjara selama
sebulan dan denda sebanyak RM500.00. Perayu dalam kes ini telah memohon kepada
Mahkamah Tinggi (Rayuan) Syariah bagi mengenetepikan dan mengubah hukuman yang
diberikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
Pihak Pendakwa Syarie telah membuat bantahan awal dengan menyatakan bahawa
Mahkamah Tinggi Syariah tidak berbidang kuasa untuk mendengan rayuan bagi kes kesalahan di
bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Sek. 121 akta
tersebut memperuntukkan pihak-pihak yang terkilan dengan keutusan mana-mana Mahkamah
boleh merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
Oleh itu, mahkamah telah memutuskan bahawa mahkamah berbidang kuasa mendengar
rayuan ini dan membuat keputusan menolak bantahan awal Pihak Pendakwa Syarie dan rayuan
oleh Pihak Perayu diteruskan.





CADANGAN DAN PENYELESAIAN
Perkahwinan merupakan satu ikatan suci di antara lelaki dan perempuan dengan ikatan ijab dan
qabul serta perlu diambil perhatian serius kerana ianya melibatkan kehidupan di dunia dan
akhirat. Sekiranya perkahwinan tersebut tidak sah pasangan akan hidup dalam perzinaan
sepanjang hayat dan anak yang lahir dari perkahwinan ini adalah anak syubhah atau boleh
menjadi anak zina.
Sekiranya situasi sebegini wujud, bagaimana sesebuah negara mampu melahirkan
masyarakat yang cemerlang dan gemilang. Justeru, sudah sampai masanya untuk mencari jalan
penyelesaian bagi memastikan fenomena perkahwinan sebegini tidak lagi berlaku pada masa
akan datang kerana ia melibatkan kesahihan sesebuah perkahwinan yang seringkali
menimbulkan keraguan. Antara penyelesaian yang boleh dilakukan adalah:
i. Mengkaji hukum perkahwinan tanpa kebenaran
Tindakan untuk mengatasi masalah perkahwinan tidak hanya bermula dari mahkamah atau dari
segi perundangan, tetapi hendaklah bermula dari pengeluaran hukum daripada institusi fatwa.
Setakat hari ini belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun
Pejabat Fatwa Negeri berhubung masalah ini. Pihak Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji apakah
yang dimaksudkan dengan perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari.
Dari segi penghakiman oleh mahkamah berhubung masalah perkahwinan tanpa
kebenaran, suatu perkahwinan itu dikira memenuhi tuntutan syarak sekiranya dijalankan lebih
dari dua marhalah dari tempat wali berada. Syarat hukum yang digunakan ini boleh dipertikaikan
adakah alasan jauh lebih dari dua marhalah boleh diterima sebagai alasan untuk membolehkan
perkahwinan tersebut dikira sah. Adakah pasangan tersebut telah berbincang dengan wali
sebelum melansungkan perkahwinan. Dalam konteks ini, sistem perhubungan pada masa kini
telah berubah dan kemudahan manusia untuk berhubung juga boleh dilakukan melalui telefon,
email, faksimili dan sebagainya. Justeru, penulis berpandangan bahawa syarat ini perlu ditafsir
semula bagi memastikan sama ada pasangan terbabit benar-benar berada jauh daripada wali
sehingga menyukarkan mereka untuk berhubung dan meminta keizinan daripada wali.

ii. Kuasa Mengakad Perkahwinan Perlu Ditentukan
Mengikut mazhab Hanafi, kuasa mengakad perkahwinan tidak semestinya terletak di tangan
wali. Seorang gadis yang telah baligh serta mampu menguruskan perkahwinannya boleh
melangsungkan perkahwinan tersebut tanpa mendapatkan keizinan daripada wali. Namun,
menurut mazhab Syafie serta pendapat jumhur fuqaha, kuasa mengakadnikah terletak di tangan
wali perempuan (Wahbah Zuhaily, 1989: 193). Sehubungan itu, pihak Majlis Agama Islam perlu
memberi satu keputusan yang pasti berkenaan dengan hak ini. Hal ini kerana ramai gadis dan
wali terutamanya keliru mengenai isu ini. Jika ia adalah hak wali, perlu difikirkan juga apakah
kuasa atau hak wali mujbir menafikan hak gadis untuk mengikat tali perkahwinan sendiri.
Kuasa ijbar yang ada pada wali mujbir perlu dilihat dari dimensi yang berbeza dari
pandangan fuqaha terdahulu. Kebarangkalian untuk mengekalkan kuasa ini mungkin berlaku
pada kes-kes yang memerlukan kuasa ini dipertahankan seperti perkahwinan antara seorang
gadis dengan seorang lelaki yang benar-benar diyakini kesahihannya dan kemampuannya dalam
menguruskan urusan rumahtangga (Raihanah Hj Azahari, 1997). Justeru, persoalan mengenai
orang yang berkuasa mengakadkan perkahwinan perlu dikaji oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Tidak menjadi satu kesalahan bagi kita menerima pakai pandangan mazhab Hanafi dalam
masalah ini kerana pandangan mazhab tersebut lebih sesuai bagi situasi yang wujud pada masa
kini.
iii. Proses Permohonan Poligami Perlu Dipercepatkan Oleh Pihak Mahkamah
Mahkamah Syariah perlu menggariskan bahawa setiap permohonan poligami hendaklah dibuat
dengan mengisi borang tertentu. Kemudian, pihak mahkamah akan memanggil pemohon dan
isteri-isteri yang sedia ada untuk mendengar permohonan tersebut. Mahkamah akan meneliti
permohonan tersebut dengan mengambil kira faktor kemampuan, persetujuan isteri dan orang-
orang dalam tanggungan pemohon dan bakal ditanggung oleh pemohon. Nmaun begitu,
kebiasaannya mahkamah tidak terus memberikan kebenaran perkahwinan secara poligami
berkenaan walaupun mahkamah mendapati lelaki tersebut mempunyai kelayakan berpoligami.
Hal ini menyebabkan pemohon mengambil keputusan untuk berpoligami dan melangsungkan
perkahwinan tanpa kebenaran mahkamah kerana berasa bosan menunggu dalam tempoh yang
lama bagi mendapatkan kebenaran berpoligami daripada pihak mahkamah.
Tindakan mahkamah tidak memberi kebenaran dengan segera adalah baik. Namun,
perasaan pihak yang terlibat perlu diambil kira kerana keinginan pihak terlibat untuk hidup
bersama sebagai pasangan suami isteri yang sah tidak patut dihalang. Sekiranya pihak
mahkamah merasakan bahawa pihak yang ingin berpoligami mencukupi segala syarat yang
ditetapkan dan merasakan bahawa tindakan tersebut munasabah, maka pihak mahkamah perlulah
memberi kebenaran berpoligami dengan segera. Tindakan ini adalah bertujuan untuk
mengurangkan jumlah perkahwinan poligami tanpa kebenaran.

KESIMPULAN
Sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih oleh pasangan
asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syarat-syaratnya. Bagaimanapun bagi
memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran untuk melangsungkan pernikahan hendaklah
diperolehi terlebih dahulu. Perkahwinan tanpa kebenaran di luar negara di kalangan masyarakat
di Malaysia mempunyai senario yang tersendiri dan didorong oleh faktor-faktor tertentu iaitu
faktor tiada persetujuan wali, faktor poligami, mengandung anak luar nikah, berkahwin dengan
warganegara luar, adanya sindiket kahwin luar negara tanpa kebenaran dan masalah khalwat.
Dari aspek kesan pernikahan tersebut, didapati pasangan akan mengalami kesukaran untuk
mendaftarkan perkahwinan dan akan dikenakan penalti. Selain itu, ia akan menyukarkan
pendaftaran anak di Jabatan Pendaftaran Negara yang akan menimbulkan pelbagai masalah
kepada anak tersebut kelak. Jika pernikahan tersebut didapati tidak sah dari sudut hukum syarak
dan peruntukan undang-undang, pasangan akan dipisahkan dan perlu melakukan pernikahan
semula. Perkahwinan tanpa kebenaran juga akan menyukarkan tuntutan hak dalam perkahwinan.
Lantaran itu setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan
masalah, mereka sepatutnya memikirkan kesan pernikahan tersebut secara mendalam sebelum
tindakan nekad tersebut diambil bagi mengurangkan masalah-masalah baru yang lain yang bakal
timbul akibat pernikahan tersebut. Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri juga perlu
dikuatkuasakan sepenuhnya dan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah yang melakukan
perkahwinan tanpa kebenaran perlu dilaksanakan bagi membendung kes tersebut dari terus
meningkat.
RUJUKAN
Abdul Manan Ismail, Arif Fahmi Md. Yusof. 2004. Prosiding Diskusi Syariah dan Undang-
undang; Kahwin Lari: Fiqh dan Undang-undang Malaysia. Kuala Lumpur: Fakulti
Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia.
Amir Husin Md. Nor, Siti Safwati Mohd. Shariff. 2003. Faktor Penyebab Perkahwinan Tanpa
Kebenaran di Luar Negara: Satu Kajian di Mahkamah Rendah Syariah Muar.
Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Mahamad Ariffin. 2007. Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid. 1989. Undang-undang Keluarga Islam: Konsep dan
Perlaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Karya Abazie.
Md. Akhir Hj. Yaacob, Siti Zalikhah Md. Noor. 1989. Beberapa Aspek Mengenai Enakmen
Keluarga Islam Di Malaysia. Selangor: Al-Rahmaniah.
Mohamed Taher bin Md. Khalil lwn Pendakwa Syarie. Jurnal Hukum XXIII (II)
Mokhtar bin Radin lawan Pendakwa Syarie Selangor. Jurnal Hukum Jilid 32 (Bahagian 1).
Muhammad Sufi bin Abdullah lawan Ketua Pendakwa Syarie. Jurnal Hukum Jilid 31 (Bahagian
1).
Muhammad Shams al-Haqq. 1990. Sharh Sunan Abu Dawud. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Pendakwa Syarie Selangor lwn. Moktar bin Radin & 6 Orang Yang Lain. Jurnal Hukum Jilid
32 (Bahagian 1).
Raihanah Hj Azahari. 1997. Kuasa Wali Mujbir Satu Penilaian Jurnal Syariah Jilid 5 Bil. 2.
Universiti Malaya: Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam.
Tuan Manan bin Tuan Soh lawan Ketua Pendakwa Syarie. Jurnal Hukum Jilid 32 (Bahagian 2).
Wahbah al-Zuhaily. 1989. Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh. Damsyiq: Dar al-Fikr.
Zaini Nasohah. (2012). Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia : Peruntukan Akta
dan Enakmen. Bangi : Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://nihayahsaidah-skyjamil.blogspot.com/2010/11/kahwin-luar-negeri.html
Dipetik pada 28 November 2013.
http://keberkatanillahi.blogspot.com/2010/10/prosedur-perkahwinan-luar-negara-tanpa.html
Dipetik pada 28 November 2013.
http://www.searchinpdf.com/reader.php?loc=http://myais.fsktm.um.edu.my/7536/1/FAKTOR_
PENYEBAB_PERKAHWINAN_TANPA_KEBENARAN_DI_LUAR_NEGARA_SAT
U_KAJIAN_DI_MAHKAMAH_ RENDAH_SYARIAH_MUAR.pdf
Dipetik pada 28 November 2013.

You might also like