You are on page 1of 13

PENERIMAAN MASUK SEBAGAI PEGUAM SYARIE: KAJIAN KES

PENGENALAN

Peguam syarie adalah individu yang terlibat secara langsung


sebagai pegawai mahkamah. Peguam syarie berperanan penting dalam
dalam membantu mahkamah syariah menegakkan keadilan untuk
memberi hak kepada yang berhak. Asasnya, tugas peguam syarie ialah
mewakili anak guamnya di mahkamah, membentangkan fakta kes dengan
bernas dan bijaksana, membela mereka untuk mendapatkan hak yang
sepatutnya. Malah anak guam akan lebih mudah berurusan dengan
mahkamah kerana peguam lebih memahami prosedur mahkamah.

Setiap kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengurus


dan mentadbir profesion peguam syarie melalui Enakmen Pentadbiran
Undang-Undang Islam. Peguam syarie adalah berbeza dengan peguam
sivil kerana peguam syarie dikawal selia di bawah peruntukan Kaedah-
Kaedah Peguam Syarie yang digubal melalui Enakmen Pentadbiran
Undang-Undang Islam negeri-negeri. Sebaliknya, peguam sivil pula
tertakluk di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 yang merangkumi
seluruh Malaysia.

TAFSIRAN PEGUAM SYARIE

Menurut Kamus Dewan, peguam bermaksud orang yang ahli dalam


bidang undang-undang, yang biasanya menjadi pembela atau pendakwa
dalam sesuatu perkara di mahkamah.1 Manakala syarie (atau syarii
mengikut ejaan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat) pula merujuk kepada
sesuatu yang berkaitan dengan syariah, bersandar pada atau mengikut
hukum Islam.2 Oleh itu, peguam syarie adalah orang yang mahir dalam
bidang undang-undang yang mana undang-undang tersebut bersandar
pada syariah.

1 Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu, dilayari dalam


http://prpm.dbp.gov.my pada 20 Disember 2016.

2 Ibid.
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan)
19933 mentafsirkan peguam syarie ialah seseorang yang dilantik sebagai
peguam syarie di bawah seksyen 59. Seksyen 59 menjelaskan bahawa
peguam syarie ialah orang yang diterima oleh pihak Majlis yang
mempunyai pengetahuan tentang Hukum Syarak menjadi Peguam Syarie
untuk mewakili mana-mana pihak dalam apa-apa prosiding di hadapan
mana-mana Mahkamah Syariah.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003


mentafsirkan peguam syarie ialah seseorang yang diterima sebagai
peguam syarie di bawah seksyen 80. Seksyen 80 Enakmen Selangor
menjelaskan perkara yang sama dengan seksyen 59 Akta 505.

SYARAT KELAYAKAN PEGUAM SYARIE

Urusan pelantikan peguam syarie diletakkan di bawah pentadbiran


kerajaan negeri. Oleh itu, pihak berkuasa agama setiap negeri menggubal
Enakmen Pentadbiran Agama Islam untuk menjadi asas dalam
pentadbiran undang-undang Islam. Melalui enakmen tersebut, Majlis
Agama Islam telah menggubal kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan
peguam syarie secara lebih khusus dengan bertujuan mernfokuskan
prosedur perlantikan, kod etika, syarat dan kelayakan, Jawatankuasa
Perlantikan dan sebagainya.

Justeru itu, dalam membincangkan menegeni penerimaan masuk


peguam syarie, undang-undang yang terpakai adalah ditentukan oleh
kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen
Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah
negeri-negeri.

Dalam kerja penyelidikan ini, hanya lima negeri yang akan


dibincangkan iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan,

3 Akta 505.

1
Kelantan dan Sabah. Kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang
terdapat di lima negeri yang dibincangkan adalah seperti dalam Jadual 1.

Negeri Akta/Enakmen Kaedah/Perauran


Wilayah Akta Pentadbiran Kaedah-Kaedah Peguam
Persekutua Undang-Undang Islam Syarie 1993
n 1993
Selangor Enakmen Pentadbiran Kaedah-Kaedah Peguam
Agama Islam 2003 Syarie 2008
Negeri Enakmen Pentadbiran Kaedah-Kaedah Peguam
Sembilan Agama Islam 2003 Syarie 2012
Kelantan Enakmen Mahkamah Kaedah-Kaedah Peguam
Syariah 1982 Syarie 2000
Sabah Enakmen Pentadbiran
Undang-Undang Islam -
1992
Jadual 1

Wilayah Persekutuan

Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Wilayah Persekutuan) 1993


memperuntukkan kelayakan peguam syarie adalah seperti berikut:

Seseorang boleh diterima menjadi Peguam Syarie jika dia-


(a) (i) seorang Islam dan telah lulus peperiksaan akhir yang
membawa kepada ijazah sarjana muda Syariah dari mana-mana
universiti atau mana-mana institusi pengajian Islam yang diiktiraf
oleh Kerajaan Malaysia; atau
(ii) seorang Islam yang menjadi anggota perkhidmatan
kehakiman dan perundangan Persekutuan; atau
(iii) seorang Islam yang menjadi peguambela atau peguamcara
yang didaftarkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976;
atau
(iv) telah berkhidmat sebagai Hakim Syarie atau Kathi dengan
mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia selama tempoh tidak
kurang daripada tujuh tahun;
(b) telah mencapai umur dua puluh satu tahun;
(c) berkelakuan baik dan-

2
(i) tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana
tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah;
(ii) tidak pernah dihukum menjadi seorang bankrap;
(d) seorang Warganegara Malaysia; dan
(e) sebagai seorang peguambela dan peguamcara, telah lulus
peperiksaan Sijil Peguam Syarie.

Secara umumnya, kelayakan untuk menjadi peguam syarie di Wilayah


Persekutuan, seseorang itu mestilah islam, mempunyai ijazah sarjana
muda syariah, berumur 21 tahun, berkelakuan baik dan warganegara
Malaysia.

Selangor

Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008


memperuntukkan syarat kelayakan peguam syarie seperti berikut:

(1) Tertakluk kepada subkaedah (4), mana-mana orang yang


memenuhi syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi seorang
Peguam Syarie:

(a) seorang yang beragama Islam;

(b) seorang warganegara Malaysia;

(c) berkelakuan baik dan tidak pernah disabitkan di Malaysia


atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan
jenayah (di bawah Undang-undang bertulis), bukan seorang
yang bankrap atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-
apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di dalam
perenggan 33(6)(a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Akta
Kebankrapan 1967 [Akta 360];

(d) tidak dipecat, hilang kelayakan atau digantung atas


kapasitinya sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara;
dan

(e) (i) memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana


Universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi

3
yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan tertakluk
kepada syarat yang ditetapkan di dalam subkaedah (2);
atau

(ii) seorang peguambela dan peguamcara dan


mempunyai Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang
Undang-undang Syariah dan amalan dari mana-mana
universiti atau institusi pengajian tinggi yang diiktiraf
oleh Kerajaan Malaysia dan telah menjalani latihan
dalam kamar tidak kurang daripada tiga bulan;

(f) telah lulus ujian bertulis atau temuduga atau kedua-


duanya sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh
Jawatankuasa.

(2) Penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di bawah


subperenggan (1)(e)(i) hendaklah tertakluk kepada syarat berikut:

(a) jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah


dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh
Kerajaan Malaysia selain daripada Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, dia hendaklah juga memiliki

(i) Diploma Undang-undang Pentadbiran Kehakiman


Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa; atau

(ii) mana-mana Diploma Lepasan Ijazah yang setaraf


dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia; dan

(iii) telah tamat latihan dalam kamar selama sembilan


bulan di mana-mana firma guaman syarie;

(b) jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-


undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah)
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau setaraf
dengannya, dia telah tamat latihan dalam kamar selama
sembilan bulan dari mana-mana firma guaman syarie,

4
dengan syarat Jawatankuasa boleh, menurut budi bicaranya,
mengecualikan seseorang berkelayakan daripada menjalani
sesuatu tempoh latihan dalam kamar atau sebahagian
daripadanya apabila permohonan dibuat kepadanya dengan
disokong oleh keterangan yang memuaskan bahawa ada hal
keadaan yang mewajarkan tempoh latihan dalam kamar itu
dikecualikan atau dipendekkan.

(3) Latihan dalam kamar hendaklah diselia oleh seorang Peguam


Syarie yang sedang dan telah menjalankan amalan secara aktif di
Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun sebelum
sahaja latihannya bermula.

(4) Penasihat Undang-undang Negeri dan Peguam Persekutuan di


Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor atau pegawai
yang dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26]
hendaklah disifatkan telah dilantik sebagai Peguam Syarie oleh
Majlis di bawah Kaedah ini dan kaedah 9 adalah tidak terpakai bagi
pegawai itu dan, pegawai itu boleh, jika tugas rasmi memerlukan,
mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah.

Secara ringkasnya, syarat kelayakan untuk menjadi Peguam Syarie di


negeri Selangor, seseorang itu mestilah beragama Islam, warganegara
Malaysia, berkelakuan baik, memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dan
Diploma Lepasan Ijazah, lulus ujian bertulis atau temuduga dan telah
tamat latihan dalam kamar selama Sembilan bulan.

Negeri Sembilan

Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Sembilan) 2012


memperuntukkan kelayakan peguam syarie seperti berikut:

(1) Mana-mana orang yang memenuhi syarat-syarat yang berikut


adalah layak untuk menjadi seorang Peguam Syarie

5
(a) seorang yang beragama Islam;

(b) seorang warganegara Malaysia;

(c) seorang yang berkelakuan baik disokong melalui perakuan


oleh dua orang pengadil;

(d) tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan oleh


Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil di Malaysia atau di
luar Malaysia;

(e) bukan seorang bankrap di bawah Akta Kebankrapan 1967


[Akta 360] atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa
perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di bawah
seksyen 33(6)(a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Akta
Kebankrapan 1967 [Akta 360];

(f) tidak pernah dipecat, hilang kelayakan atau digantung atas


sifatnya sebagai Peguambela dan Peguamcara di bawah Akta
Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166];

(g) memiliki kelayakan akademik

(i) ljazah Sarjana Muda Syariah dan Diploma


Pentadbiran Kehakiman Islam atau yang setaraf
dengannya dari mana-mana university atau institusi
pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
atau

(ii) ljazah Sarjana Muda Undang-Undang dan ljazah


Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) atau yang
setaraf dengannya daripada mana-mana universiti atau
institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan
Malaysia; atau

(iii) sekiranya dia seorang peguambela dan peguamcara


di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta
166] mestilah memiliki Diploma Pentadbiran Kehakiman

6
Islam atau yang setaraf dengannya dari mana-mana
universiti atau institusi pengajian tinggi yang diiktiraf
oleh Kerajaan Malaysia;

(h) telah lulus ujian bertulis atau temuduga sekiranya


difikirkan perlu.

(2) Sebelum pemohon diterima masuk sebagai Peguam Syarie di


bawah subkaedah (1)(g)(i), pemohon hendaklah menjalani latihan
dalam kamar selama enam bulan di mana mana firma guaman
syarie.

(3) Latihan dalam kamar hendaklah diselia oleh seorang Peguam


Syarie yang sedang dan telah menjalankan amalan secara aktif di
Malaysia bagi tempoh tidak kurang daripada lima tahun sebelum
sahaja latihannya bermula.

Oleh itu, seseorang itu berkelayakan menjadi Peguam Syarie di Negeri


Sembilan jika dia seorang yang beragama Islam, warganegara Malaysia,
berkelakuan baik, tidak bankrap, memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah
dan Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam, lulus ujian bertulis atau
temuduga dan telah tamat latihan dalam kamar selama enam bulan.

Kelantan

Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Kelantan) 2000


memperuntukkan kelayakan peguam syarie seperti berikut:

Seseorang boleh diterima menjadi peguam Syarie, jika dia

(a) (i) seorang islam dan mempunyai kelayakan yang


ditetapkan di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen;

(ii) seorang islam menjadi anggota perkhimatan


kehakiman dan perundangan Persekutuan;

(iii) seorang islam yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta


Bantuan Guaman 1971;

7
(iv) seorang Islam menjadi peguambela dan peguamcara
yang didaftarkan di bawah Akta Profesion Undang-undang
1976;

(b) telah mencapai dua puluh satu tahun;

(c) berkelakuan baik dan-

(i) tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-


mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah; dan

(ii) tidak pernah dihukum menjadi seorang bankrap;

(d) seorang Warganegara Malaysia; dan

(e) dalam hal seorang peguambela dan peguamcara, telah


lulus peperiksaan Sijil Peguam Syarie.

Seksyen 18(2) Enakmen Pentadbiran seterusnya memperuntukkan:

(2) Bagi maksud seksyen-kecil (1) seksyen ini, mana-mana orang


yang berikut adalah disifatkan layak dan berkemahiran di dalam
perkara berkenaan dengan Hukum Syarak:

(a) pemegang ijazah dalam jurusan perundangan Islam dari


mana-mana pusat pengajian tinggi yang diiktiraf oleh
Kerajaan;

(b) seseorang yang pernah berkhidmat sebagai Qadhi bagi


suatu tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun.

Secara ringkasnya, untuk menjadi peguam syarie di Kelantan, seseorang


itu mestilah beragama Islam, memiliki Ijazah dalam perundangan Islam,
berumur dua puluh satu tahun, berkelakuan baik dan beragama Islam.

Sabah

Di negeri Sabah, tiada syarat kelayakan yang khusus ditetapkan untuk


menjadi Peguam Syarie malah tidak terpadat sebarang kaedah atau
peraturan bagi mengawal selia Peguam Syarie.

8
ISU DALAM PENERIMAAN MASUK SEBAGAI PEGUAM SYARIE

Isu yang paling jelas dalam penerimaan masuk sebagai peguam


syarie adalah syarat kelayakan yang tidak seragam di kesemua empat
belas negeri. Setiap negeri mensyaratkan kelayakan akademik bagi
peguam syarie ialah ljazah Sarjana Muda dari Institusi Pengajian Tinggi
yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kelayakan lain ialah pengamal
undang-undang di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 juga
diterima sebagai peguam syarie. Namun demikian, mereka perlu melepasi
ujian sepertimana pemohon dari kalangan peguam syarie untuk
mendapatkan Sijil Peguam Syarie. Oleh itu, isu yang dapat dilihat ialah
lulusan undang-undang sivil yang berdaftar di bawah Majlis boleh menjadi
peguambela, peguamcara dan peguam syarie. Tetapi, lulusan undang-
undang Syariah hanya layak menjadi peguam syarie. Ini kerana Akta
Profesion Undang-Undang 1976 tidak mengiktiraf peguam syarie yang
tidak mempunyai kelulusan undang-undang sivil untuk beramal di
Mahkamah Sivil, bahkan mereka bukan ahli Majlis Peguam.

Selain itu ialah mengenai kelayakan pengkhususan profesional


terhadap calon peguam syarie. Sebagai contoh, di negeri Selangor atau
Negeri Sembilan, mana-mana calon peguam syarie yang ingin berarnal di
Mahkamah Syariah di Selangor disyaratkan merniliki Diploma Lepasan
Ijazah yang mengambil masa setahun atau dua tahun pengajian. Bagi
sesetengah negeri seperti Kelantan, memadai dengan kelayakan ijazah
pertama untuk melayakkan mereka memohon sebagai peguam syarie.
Justeru itu, graduan undang-undang sivil dan graduan undang-undang
Syariah perlu mendapatkan Diploma Lepasan Ijazah untuk memohon
untuk berarnal di Selangor atau Negeri Sembilan. Kelayakan tersebut
sepatutnya turut dilaksanakan di negeri-negeri lain kerana diploma ini
menekankan teori dan amali merangkumi dalam bidang fiqh dan prosiding
perbicaraan di Mahkamah Syariah. Oleh itu kelayakan tersebut boleh
meningkatkan tahap profesional peguam syarie lulusan Syariah mengenai

9
prosedur perbicaraan di Mahkarnah Syariah, manakala peguam syarie
lulusan sivil dapat mempertingkatkan penguasaan Syariah mereka.

Syarat lain bagi sesetengah negeri adalah peguam syarie mestilah


beragama Islam. Antaranya ialah Kelantan, Wilayah Persekutuan dan
Negeri Sembilan. Namun terdapat juga negeri-negeri yang tidak
mensyaratkan peguam syarie itu mesti beragama Islam. Misalnya di
Sabah, langsung tidak terdapat syarat kelayakan yang khusus untuk
menjadi peguam syarie. Negeri Selangor telah mentauliahkan dua orang
peguam syarie bukan beragama Islam4 sebelum Kaedah-Kaedah Peguam
Syarie itu dipinda pada 2008 dengan memasukkan syarat peguam syarie
mestilah beragama Islam.

Perbezaan syarat kelayakan peguam syarie bagi lima negeri yang dikaji
dalam penyelidikan ini boleh dilihat dalam Jadual 2.

Wilayah Negeri
Selang Kelanta
Syarat/Kelayakan Persekutu Sembil Sabah
or n
an an
Ijazah Sarjana Muda
Syariah / Undang- X X X
Undang
Pegawai Undang-Undang
Kerajaan Negeri / X X X X
Persekutuan
Pengamaal Undang-
Undang dibawah Akta X X X X
1976
Diploma Lepasan Ijazah X X
Latihan dalam Kamar X X
(9 bln) (6bln)
Pengalaman sebagai
X X
Kadhi / Hakim
Islam X X X X
Umur (21thn) X X

4 Lihat Daftar Peguam Syarie Selangor

10
Tidak disabit kesalahan
X X X X
jenayah
Tidak bankrap X X X X
Warganegara Malaysia X X X X
Lulus peperiksaan
X X
Peguam Syarie
Jadual 2

CADANGAN MEWUJUDKAN AKTA GUAMAN SYARIE

Penggubalan Akta Guaman Syarie adalah perlu untuk menaiktaraf


kedudukan peguam syarie sebaris dengan peguam sivil. Akta ini perlu
untuk mengawal selia serta memantau peguam syarie secara seragam.
Melihat kepada syarat penerimaan masuk yang dilaksanakan oleh setiap
negeri adalah berbeza, hal ini menyukarkan peguam syarie untuk
memohon pada setiap negeri mengikut syarat dan sistem yang berbeza.
Dengan kewujudan empat belas negeri dan empat belas kaedah yang
berbeza, maka peguam syarie perlu membuat permohonan sebanyak
empat belas kali.

Hal ini bukan sahaja menyukarkan peguam syarie malah


mengelirukan masyarakat sekiranya ingin membuat tuntutan kes di negeri
yang berlainan. Sebagai contoh, sekiranya pihak-pihak berada di dua
negeri yang berbeza, maka mereka perlu mendapatkan Peguam yang
mempunyai tauliah di kedua-dua negeri tersebut atau menggunakan
khidmat dua orang Peguam Syarie yang berbeza dan sedikit sebanyak
akan menimbulkan masalah kepada pihak yang terlibat.

Cara penerimaan masuk peguam syarie seharusnya diseragamkan


serta dipermudahkan memandangkan profesion peguam syarie kini telah
berkembang seiring dengan perkembangan kes-kes di Mahkamah Syariah
yang semakin rumit dan pelbagai. Oleh itu, penggubalan Akta Guaman
Syarie adalah amat diperlukan untuk mengawal selia dan
menyeragamkan syarat perlantikan peguam syarie.

11
KESIMPULAN

Pentadbiran agama Islam adalah terletak di bawah kuasa setiap


negeri sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan menyebabkan wujudnya kaedah-kaedah peguam syarie yang
berbeza di setiap negeri. Maka, suatu akta induk perlu digubal untuk
menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan peguam syarie. Dengan
adanya akta induk, profession peguam syarie dapat dinaiktaraf sebaris
dengan peguam sivil. Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan-kerajaan
negeri atau kerajaan persekutuan haruslah memainkan peranan dalam
merealisasikan matlamat tersebut.

12

You might also like