You are on page 1of 3

Cuba Menanggapi Puisi

Puisi adalah kata-kata disusun penyairnya. Kata-kata itu dihantar kepada khayalak pelbagai
cara, bentuk dan makna. Apapun cara disampaikan puisi tersebut, puisi itu akan dibaca dan
sekiranya pembaca yang baik, puisinya dapat dirasai menurut penerimaan atau tanggapan
apresiasi pembacanya.
Menghasilkan puisi semakin sukar untuk masa kini, kerana puisi semakin diungkap dengan
kesenian. Pelbagai rencah diadunkan untuk menghasilkan puisi. Dalaman dan luaran si
pengarang atau penyair itu yang mempengaruhi penghasilan puisi. Selain semakin
dipinggirkan membawa kepada keadaan yang mana timbul sana sini adalah puisi-puisi yang
tidak mewakili zaman.
Apabila berlalu suatu polemik berkenaan puisi, dan ianya agak umum sifatnya. Pelbagai
komentar dikeluarkan dan diperkatakan. Tapi, puisi terus hidup dan berbunga saban hari dan
minggu dan bertahun-tahun lama.
Puisi yang baik akan kekal dan terus bertahan dalam suatu jarak waktu. Manakala puisi yang
kurang atau tipis maknanya mampu bertahan hanya beberapa waktu, bakal dilupakan
dengan sebegitu pantas. Ada puisi yang masih dibaca dan dihayati walaupun sudah berusia
ratusan tahun. Ini yang membuatkan puisi yang segar bugar itu, lansung berbicara tanpa
mengenal masa, khalayak dan batasan.
Sebelum ini, pengkaji puisi Prof. Rahman Saari bercerita tentang puisi tempatan dari
pelbagai sudut, menganalisa dan menyorot mengikut neraca akademik. Beliau melihat puisi
secara objektif dan sangat terbuka. Bagi beliau puisi yang baik memiliki gagasan yang utuh
dan sangat merangkumi kenyataan manusia. Dalam bidang puisi, beliau begitu menyanjungi
Prof. Muhammad Haji Salleh, yang bagi beliau seorang penyair yang mempelbagaikan
pengucapan puisi.
Era yang terkini lebih menguji kerana tidak mudah puisi untuk dinilai dengan sebaiknya. Puisi
tidak lagi ditulis mengikut identiti dan budi yang penyair ungkapkan, kerana perihal lain yang
begitu mengganggu pada pengucapan. Pengungkapan yang bersifat peribadi dan tertutup
daripada lingkungan semasa, membuatkan puisi yang dihasilkan tidak begitu matang atau
agak tertutup.
Justeru, puisi yang ada adalah sebahagian puisi yang tidak berapa kukuh dan matang untuk
mewakili suara semasa. Naik turunnya puisi ini, sudah diperkatakan semacam menjadi
tragedi kepada medan ini. Namun sumbu puisi terus dinyalakan dan dibakar dengan generasi
yang datang sesudah itu, membawa semacam identitinya yang tersendiri.
Meskipun puisi yang baik masih diperlukan sepanjang masa, walaupun di zaman yang serba
canggih dan maju sepertimana kini – puisi masih diperlukan untuk menghidupkan ruang
kosong yang tidak bertuan. Ruang ini diisi dan dimeriahkan walaupun hanya sekelompok
manusia dan diraikan begitu asyik.
Seolah-olah sumbu puisi itu tidak terpadam, walaupun sesekali hampir ditiup angin kuat dan
cuba melenyapkannya. Puisi terus ada dan bercerita dari sudut kalbu manusia, yang sangat
kompleks dan diransang persekitaran.
Memahami puisi pula adalah suatu seni yang tidak lagi menjadi perebutan. Jarang sekali
puisi hendak dibaca, difahami dan dianalisis dengan penuh ghairah. Puisi tidak sekadar
dibiarkan dan dilepaskan di mana-mana kerana pemahamnya juga sangat kecil bilangannya.
Si pembaca puisi yang cekal, sentiasa mencari ruang untuk memahami puisi, terkadang
mengadakan ”kontek yang intim’’ dengan penyair melalui tulisan atau karya yang
ditinggalkan. Walaupun penyair tersebut sudah hampir seratus tahun meninggal dunia,
hubungan akrab itu tetap berlaku walau apapun keadaan. Hal ini mengingatkan, tidak aneh
puisi dibaca dalam keadaan perang atau kacau-bilau untuk meredakan ketegangan luaran
dan menyamankan dalaman dengan baris-baris puisi. Justeru, puisi itu dapat terus hidup dan
menjadi menarik untuk ditatap dengan begitu selesa, tanpa mengira sesiapa yang berada di
sekelilingnya.
Dan lazimnya membaca puisi dan proses memahami puisi adalah bersifat terbuka. Tidak ada
garisan atau panduan tertentu untuk memahami sebuah puisi atau suatu skema tertentu
kecuali si pembaca menetapkan metod untuk mengupas idea puisi dengan teori tertentu.
Oleh yang demikian, sepertimana puisi tersebut ditulis dengan tiada sebarang garisan atau
panduan tertentu sebegitu jua puisi dapat difahami daripada perspektif si penelaahnya.
Apatah ianya adalah hasil karangan seorang penyair, yang berlatar belakang menjurang
sehingga tidak dapat dirasai pembacanya, namun ghalibnya puisi baik itu adalah pembicara
atau penyampai yang paling efisien terkadang jujur tulus.
Ketika membaca puisi, yang paling utama untuk diserok adalah subjek atau intipati yang
disampaikan, atau seringkali disebut sebagai idea. Idea penyair adalah jantung dan darah
kepada apa yang dikehendaki seseorang itu, manakala citra atau perlambangan kata yang
digunakan adalah merupakan alatan, lambangan figuratif atau gaya yang diperlukan untuk
membayangkan makna idea tersebut.
Citra dan bahasa yang menggambar sangat rapat dan berkaitan dengan suasana yang
melingkungi penyair. Penyair tidak akan berbahasa di luar daripada wilayah lingkungan yang
diwakilinya. Tentu di sana ada hubungkait yang rapat dan jelas antara gaya, bahasa dan citra
yang disampaikan. Penyair yang mahir sentiasa mengucapkan sesuatu perkara atau idea
yang besar maupun yang sejagat daripada wilayah bahasanya.
Keindahan terungkap apabila puisi tersebut diceritakan dengan cermat dan sangat
mendekati khayalak. Puisi diberikan nafas yang sepanjangnya untuk mempersembahkan rasa
yang terpendam atau bergulatan dalam jiwa penulisnya. Sifat sensual pada puisi sering
menjadi syarat penting kekayaan sebuah puisi. Tiada puisi yang hanya bertutur dengan
wilayah abstraknya, malah begitu mencari-cari wilayah kata yang kaya untuk disuburkan.
Sekiranya puisi yang ditulis untuk suatu maksud terbatas, nescaya tidak memiliki kesegaran
dan mudah dilupakan walau seminit dua.
Puisi yang baik membekaskan kesan yang mendalam, membayang-bayangkan perjalanan
hidup yang lebih mendakap dan mengajak pembaca untuk mengenal suatu pandangan.
Seringkali puisi akan membisik kembali, menambah kesedaran terhadap suatu hal serta
mengajarkan seperkara yang tidak terfikir sebelum ini.
Daripada puisi, kenal seseorang itu bagaimana diri dapat mengukuhkan jati diri dan
keresahan yang ada untuk didamaikan dengan segera. Seolah-olah puisi mengajak seorang
yang sudah jauh berkelana untuk pulang sebentar ke desa yang pernah dilawati.
Puisi tidak harus dipadatkan dengan kata dan busana yang bombastik, yang melazimi pada
wadah yang lain misalnya lirik lagu, yang sering hanya mencacatkan ketekalan puisi tersebut.
Justeru pembaca pula memerlukan ketenangan membaca sebuah puisi, terkadang sering
mengunjuk kepada suatu makna yang kabur, tetapi bersirat makna yang membijaksanakan.
Tidak semua puisi, harus mudah dihadam atau dibaca dalam masa yang singkat. Ada puisi
memerlukan waktu kerana kesukarannya juga berbaloi dan mampu menyampaikan intipati
yang berganda selepas difahami. Dan terkadang ada pembaca yang bingung dengan
’huraian’ yang dideretkan penyair, semata-mata mengaju kepada suatu persoalan. Maka
pembaca tersebut terpaksa mengikut arah yang diajukan puisi sehingga terlalu memaksa
namun dapat menyudahkannya dengan suatu pulangan faedah yang sangat bernilai.
Kehidupan puisi masih berdegup di saat ini. Masih mengitari mentari dan galaksi untuk
menunjukkan, puisi itu bukan suatu mainan yang dijual di mana-mana atau sembarangan
dikutip dan dapat dijual di pasar malam. Hakikatnya, puisi memberikan nafasmu agak tidak
kaku dalam lorong yang sebu.
Mengapa kita masih mahu membaca puisi? Jawapannya, untuk diri sendiri, bukan untuk
sesiapa.

You might also like