You are on page 1of 7

Bahagian B Tugasan Individu

Bincangkan kepentingan menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis dalam kalangan guru bahasa Melayu. Perbincangan mestilah dibuktikan dengan hujahhujah yang konkrit. Perkataan sintaksis berasal daripada perkataan Yunani iaitu sun yang bererti dengan dan tattein yang bererti menempatkan bersama-sama. Oleh yang demikian, secara etimologi, sintaksis dapatlah diertikan sebagai menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat. Perkataan suntattein ini kemudian menjadi istilah syntaxis dalam bahasa Belanda dan syntax dalam bahasa Inggeris. Menurut Nik Safiah Karim et al. (1993), sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Manakala, bagi Abdullah Hassan (1980) pula, sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat, iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil frasa, atau menjadi klausa dan ayat yang merupakan unit terbesar. Pada hari ini, sebagai seorang guru bahasa Melayu, adalah menjadi keperluan dan kewajiban bagi guru tersebut untuk mendalami dan menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis. Antara kepentingan utama menguasai bidang kajian ilmu sintaksis adalah guru dapat memahami konsep sebenar fungsi sintaksis. Jika ditanya kepada para guru bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah mengenai fungsi sintaksis, pasti ramai yang tersilap memberikan jawapan dan mungkin juga ada yang langsung tidak boleh memberikan jawapan. Apabila kita sebagai guru bahasa Melayu mempelajari dan mendalami ilmu sintaksis, kita akan dapat memahami konsep fungsi sintaksis dengan jelas. Dalam tatabahasa, istilah fungsi sintaksis sering digunakan oleh para cendekiawan. Istilah subjek, predikat, objek, pelengkap dan keterangan adalah istilah bagi fungsi sintaksis, iaitu istilah yang merujuk kepada fungsi kata atau frasa dalam sesebuah ayat. Menurut Hashim Musa (1993:148-149), fungsi ialah kedudukan kata dalam binaan sintaksis, iaitu frasa dan ayat. Manakala, Bambang (1984:246) pula berpendapat bahawa hubungan unsur atau konstituen merupakan hubungan
2

perkataan yang terdapat dalam fungsi iaitu fungsi subjek, predikat, objek dan keterangan. Oleh hal yang demikian, dalam klausa kita akan dapat membezakan fungsi sintaksis tersebut. Secara amnya, menurut Ramli Salleh et al. (1997) fungsi sintaksis ialah hubungan kata atau kumpulan kata dengan kata atau kumpulan kata lain yang terdapat dalam binaan, atau urutan kata atau frasa dalam sesebuah ayat. Maka disebabkan itulah, para guru bahasa Melayu perlu menguasai bidang kajian ilmu sintaksis dengan menyeluruh agar kita semua dapat memahami konsep fungsi sintaksis yang menjadi perkara tunjang kepada bidang kajian ilmu sintaksis. Kepentingan kedua bagi guru bahasa Melayu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis ialah memudahkan tugas guru untuk mengajar murid-murid membina ayat. Seperti yang diketahui oleh para guru bahasa Melayu, kemahiran menulis merupakan salah satu kemahiran yang wajib dipelajari dan dikuasai oleh murid-murid sekolah rendah dari tahun satu sehinggalah ke tahun enam. Pada peringkat awal dalam kemahiran ini, murid-murid akan diajar untuk menulis perkataan-perkataan yang mudah dengan tulisan yang kemas. Kemudian, pada peringkat seterusnya, murid-murid akan diajar untuk membina ayat-ayat yang mudah seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat seru dan ayat perintah. Setelah murid menguasai kemahiran membina ayat-ayat yang mudah, barulah murid-murid akan diajar untuk menulis pelbagai jenis karangan pada peringkat yang lebih mencabar. Malangnya, masalah yang berlaku di sekolah pada hari ini ialah kebanyakan murid gagal untuk menulis sebuah karangan dengan baik. Menurut kajian yang dilakukan oleh Nayati Hamzah (2009), Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia sebanyak 42.63% pelajar sekolah rendah di negeri Selangor gagal menulis karangan dengan baik disebabkan mereka tidak memahami kaedah untuk membina ayat. Kajian beliau yang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di negeri Selangor itu juga mendapati bahawa sebanyak 33.26% murid tidak dapat menggunakan kata hubung dengan tepat untuk membina ayat majmuk. Lebih menyedihkan, perkara ini berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan di negeri Selangor. Oleh sebab itu, beliau membuat rumusan bahawa kegagalan murid untuk menguasai kemahiran menulis khususnya dalam membina ayat adalah berpunca daripada kelemahan pengajaran guru bahasa Melayu itu sendiri. Sebenarnya, kebanyakan guru bahasa Melayu di sekolah rendah merupakan guru-guru yang diminta oleh pihak pentadbir sekolah
3

untuk mengajar subjek Bahasa Malaysia walaupun bidang bahasa Melayu itu bukanlah subjek pengkhususan mereka yang dipelajari sewaktu di institusi pengajian tinggi dahulu. Oleh sebab itulah, guru-guru ini gagal mengajar murid-murid membina ayat dengan baik kerana mereka sendiri tidak pernah belajar apatah lagi menguasai bidang kajian ilmu sintaksis bahasa Melayu. Jika seseorang guru bahasa Melayu itu telah menguasai bidang kajian ilmu sintaksis, maka sudah pasti beliau akan mampu mengajar murid-muridnya membina ayat dan karangan dengan baik. Hal ini demikian kerana, apabila guru itu telah menguasai ilmu sintaksis maka beliau sudah tahu tentang perkara asas yang perlu diajar terlebih dahulu kepada murid-murid. Misalnya, dalam pengajaran membina ayat dasar, guru telah bersedia untuk menerangkan kepada murid tentang hukum-hukum dalam proses membina ayat dasar dengan menggunakan cara yang menarik dan bahasa yang mudah difahami. Secara tidak langsung, tugas guru bahasa Melayu akan menjadi lebih mudah dan murid-murid juga akan dapat memahami tentang perkara yang ingin disampaikan oleh guru mereka. Selain itu, guru bahasa Melayu juga perlu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis supaya mereka akan menjadi guru bahasa Melayu yang luas ilmu pengetahuannya khususnya dalam bidang tatabahasa. Hal ini demikian kerana, untuk menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis, seseorang guru bahasa Melayu perlulah terlebih dahulu menguasai kandungan bidang kajian ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu morfologi. Bidang kajian ilmu sintaksis adalah berkait rapat dengan bidang kajian ilmu morfologi dan juga dengan beberapa bidang kajian ilmu yang lain. Oleh sebab itu, jika guru bahasa Melayu tidak menguasai ilmu morfologi dengan baik, maka agak sukar bagi dirinya untuk menguasai ilmu sintaksis. Contohnya, guru bahasa Melayu tersebut ingin mengajar murid-murid membina ayat majmuk. Namun begitu, dalam masa yang sama beliau keliru tentang penggunaan kata hubung yang tepat seperti penggunaan kata hubung dan dan serta. Hal ini berlaku kerana beliau tidak menguasai bidang kajian ilmu morfologi terlebih dahulu. Sekiranya beliau telah menguasai ilmu morfologi dengan baik, maka agak mudah baginya untuk menguasai ilmu sintaksis. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa apabila seseorang guru bahasa Melayu itu telah menguasai bidang kajian ilmu sintaksis dengan mantap, maka sudah pasti beliau juga sudah menguasai bidang kajian ilmu morfologi. Kebiasaannya, golongan guru yang telah menguasai kedua-dua bidang kajian ilmu
4

ini akan diberikan gelaran Munsyi Dewan setelah mereka melepasi ujian yang diselenggara oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di laman sesawang dbp.gov.my, sehingga bulan Disember 2011 seramai 113 orang Munsyi Dewan telah ditauliahkan oleh pihak DBP bagi membantu mengembangkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam di sektor awam dan swasta. Di samping itu, Munsyi Dewan juga turut berperanan dalam menjadi pembimbing pelajar dan guru di sekolah serta menjadi pakar rujuk untuk menyelesaikan kemusykilan tentang bahasa Melayu. Apabila seseorang guru bahasa Melayu itu telah menguasai ilmu morfologi dan sintaksis dengan mantap, serta berjaya ditauliahkan sebagai salah seorang Munsyi Dewan, maka sudah pasti beliau akan menjadi pakar rujuk bahasa Melayu yang lebih dihormati dan disegani oleh masyarakat. Pendek kata, beliau boleh digelar sebagai Kamus Tatabahasa Dewan Bergerak kerana segala perihal mengenai tatabahasa sudah berada di dalam kepalanya. Inilah yang kita mahukan daripada guru-guru bahasa Melayu pada masa hadapan. Kepentingan menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis dalam kalangan guru bahasa Melayu yang keempat ialah memudahkan guru untuk menghasilkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) di dalam kelas. Guru yang cemerlang adalah guru yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan mampu berfikir dengan kritis. Mereka juga sering melakukan inovasi terhadap perkara yang sedia ada bagi tujuan penambahbaikan. Dalam konteks guru bahasa Melayu, adalah menjadi keperluan bagi diri kita untuk sentiasa menghasilkan inovasi dalam p&p. Tujuan inovasi ini adalah untuk memudahkan murid-murid memahami perkara yang ingin diajarkan oleh guru. Pun begitu, sebelum seseorang guru bahasa Melayu itu melakukan inovasi, beliau perlu untuk menguasai perkara yang ingin diajar terlebih dahulu. Setelah menguasai perkara tersebut, beliau perlu memikirkan cara atau kaedah yang sesuai untuk menyampaikan perkara tersebut kepada muridmurid. Perlu diingat bahawa kejayaan proses p&p seseorang guru itu terletak pada hasil pencapaian objektif yang telah direncanakan di dalam buku rancangan pengajaran harian (RPH). Jika objektif yang telah ditetapkan itu berjaya dicapai oleh murid-murid, maknanya guru tersebut telah berjaya menjalankan proses p&p dengan lancar dan berkesan. Bagi mewujudkan proses p&p yang lancar dan berkesan bukanlah semudah menyebut abjad A, B dan C. Sebaliknya, ia memerlukan idea
5

dan usaha yang kuat. Oleh sebab itulah, guru perlu sentiasa melakukan inovasi terhadap perkara yang ingin diajar kepada murid-murid. Contohnya, dalam konteks pengajaran bahasa Malaysia (aspek tatabahasa), guru boleh mencipta formula untuk memudahkan murid mengingat jenis-jenis kata tanya. Dalam bahasa Inggeris, formula ini lebih dikenali sebagai 5 Wives 1 Husband (5W1H). Dengan melakukan sedikit inovasi, kita boleh mencipta suatu formula yang baharu untuk digunakan dalam pengajaran subjek bahasa Malaysia khususnya untuk pengajaran tatabahasa. Namun, sebelum melakukan inovasi, guru perlulah menguasai bidang kajian ilmu tersebut terlebih dahulu. Seperti yang kita sedia maklum, dalam pengajaran sesuatu bahasa, perkara yang paling sukar untuk dikuasai oleh murid adalah aspek tatabahasa. Hal ini turut diperakui oleh tokoh pendidikan Barat iaitu Klipatrick dan Lickona (1999) bahawa aspek yang paling sukar untuk dipelajari, diingati dan dikuasai dalam pembelajaran bahasa ialah tatabahasa. Menurut Paul Richard Jordan, seorang guru bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor menyatakan bahawa ramai penutur asli bahasa Inggeris tidak dapat menguasai aspek tatabahasa bahasa Inggeris dengan baik kerana sukar untuk memahami dan mengingatinya. Hal yang sama juga berlaku kepada hampir setiap bahasa di dunia ini termasuklah bahasa Melayu. Bidang kajian ilmu sintaksis juga termasuk dalam aspek tatabahasa. Oleh sebab itu, bukan suatu perkara yang pelik sekiranya murid-murid yang berbangsa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu gagal untuk menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan baik. Di sinilah perlunya inovasi dalam pengajaran guru di dalam kelas agar murid dapat memahami dan mengingati tentang perkara yang telah diajar oleh guru. Pelaksanaan inovasi dalam pengajaran tatabahasa akan menjadi lebih mudah seandainya guru itu sendiri telah menguasai bidang kajian yang ada dalam tatabahasa seperti bidang kajian ilmu sintaksis dan morfologi. Tidak cukup dengan itu, guru bahasa Melayu juga perlu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis supaya mereka dapat memahami prosesproses yang berlaku dalam pembentukan sesebuah ayat serta penggunaan sistem bahasa dengan lebih terperinci. Seseorang guru bahasa Melayu yang ingin mendalami bidang bahasa Melayu sewajarnya menguasai aspek-aspek ini kerana pengetahuan dan penelitian yang mendalam berkenaan aspek ini akan

membantunya memahami proses-proses dan sistem bahasa dengan lebih baik.


6

Contohnya, dengan menguasai bidang kajian ilmu sintaksis, mereka akan faham dan mampu menghuraikan perihal proses pembentukan kata dan proses penerbitan sesebuah ayat. Malahan, mereka juga akan mampu mengenal pasti kesilapan yang telah dilakukan oleh orang lain di samping dapat membetulkannya dengan memberikan jawapan yang tepat. Selain itu juga, dengan menguasai aspek fonetik, fonologi, morfologi dan sintaksis seseorang itu bukan sahaja berupaya mampu

menggunakan

bahasa

dengan

lebih

baik dan

gramatis malahan

menghuraikan gejala-gejala bahasa, misalnya permasalahan tatabahasa dengan menggunakan rumus dan hukum yang tepat. Contohnya, dalam konteks ini, setiap guru bahasa perlu menyedari bahawa mengajarkan tatabahasa kepada kalangan murid merupakan satu tugas yang mencabar dan memerlukan penguasaan tatabahasa yang mendalam untuk memberikan huraian yang memuaskan dan berpada kepada pelajar agar hukum tatabahasa dapat dipatuhi sepenuhnya. Realiti pada hari ini yang perlu diakui dan diterima oleh semua pendidik ialah murid-murid di sekolah sudah berani untuk menyuarakan pendapat mereka. Malah, mereka juga mempunyai semangat ingin tahu (inkuiri) yang kuat terhadap sesuatu perkara. Berbeza dengan sikap pelajar sepuluh tahun yang lepas, mereka agak takut untuk bersuara di hadapan guru apatah lagi untuk mengajukan soalan dan memberikan pendapat mereka kepada guru. Menyedari hakikat itulah, para guru bukan sahaja disarankan malah diwajibkan untuk menggunakan dan menjadikan naskhah Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan pegangan selain Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai antara rujukan utama. Di samping itu, guru bahasa Melayu juga perlu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis kerana ia merupakan asas kepada pemahaman bidang kajian ilmu-ilmu yang lain. Sebagai contoh, jika kita ingin mempelajari, memahami dan mendalami bidang kajian ilmu semantik dan wacana dalam bahasa Melayu, kita perlulah terlebih dahulu menguasai bidang kajian ilmu sintaksis kerana bidang kajian ini mempunyai kaitan rapat dengan bidang kajian ilmu semantik dan wacana. Bidang kajian ilmu semantik adalah bidang yang mengkaji makna sesuatu perkataan dan ayat manakala bidang kajian ilmu wacana pula adalah bidang yang mengkaji aspekaspek yang lebih luas daripada ayat. Seandainya guru bahasa Melayu itu sendiri tidak mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap bidang kajian ilmu sintaksis,
7

bagaimana beliau mahu mempelajari, memahami dan menguasai bidang kajian ilmu-ilmu yang lain yang lebih sukar arasnya? Di sinilah pentingnya bagi seorang guru bahasa Melayu itu untuk menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis. Selain itu, guru bahasa Melayu juga perlu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis supaya mereka berupaya menjadi guru yang lebih kreatif dalam menghasilkan karya-karya penulisan. Tugas sebagai seorang guru bahasa Melayu adalah luas. Bukan sahaja sekadar masuk ke dalam kelas untuk mengajar dan menyemak kertas peperiksaan pelajar, tetapi guru bahasa Melayu juga perlu menyediakan teks ucapan, teks pengacaraan majlis, artikel-artikel, bahan-bahan puisi seperti pantun, sajak dan sebagainya. Agak sukar bagi seorang guru menghasilkan karya penulisan yang kreatif dan menarik sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut. Oleh sebab itu, adalah perlu bagi seorang guru bahasa Melayu untuk menguasai bidang kajian ilmu sintaksis dengan mantap. Kepentingan yang terakhir, guru bahasa Melayu perlu menguasai kandungan bidang kajian ilmu sintaksis kerana ia merupakan tanggungjawab guru bahasa Melayu itu sendiri untuk mempelajari segala ilmu yang berkaitan dengan bahasa Melayu dengan mendalam. Bahasa Melayu mempunyai bidang kajian yang cukup luas. Contohnya, sastera Melayu, penulisan Melayu, komunikasi dan tatabahasa. Jika bukan guru bahasa Melayu itu sendiri yang perlu mempelajari dan menguasai segala bidang kajian ilmu di atas, siapa lagi yang mahu mempelajarinya? Jika seseorang guru bahasa Melayu itu mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap tugasnya sebagai penyebar ilmu, maka sudah pasti beliau akan berusaha untuk mempelajari dan menguasai segala kandungan bidang kajian ilmu yang ada dalam bahasa Melayu termasuklah ilmu sintaksis.

You might also like