You are on page 1of 19

PEMBANGUNAN PERUSAHAAN MADU DAN LEBAH KELULUT SEBAGAI TARIKAN EKOPELANCONGAN (ECOTOURISM)

Oleh: Siti Hashidah binti Mohd Nasir (PP6513) Fakulti Pendidikan, UKM

Abstrak Perusahaan madu dan lebah kelulut merupakan salah satu aktiviti yang boleh dikembangkan untuk menjadi salah satu unsur tarikan pelancongan berasaskan ekologi, pertanian dan juga pendidikan. Ekopelancongan merupakan satu produk pelancongan yang semakin berkembang di Malaysia. Konsep ekopelancongan yang mengutamakan elemen ekologi, pendidikan dan pertanian sangat sesuai untuk diterapkan bersama dengan aktiviti perusahaan lebah kelulut. Perkembangan aktiviti ekopelancongan dalam perusahaan lebah kelulut adalah pilihan pembangunan yang paling sesuai untuk mencapai pembangunan mapan sebagai melestarikan kesejahteraan persekitaran alam semulalajadi yang terdapat di Malaysia. Hal ini kerana, keunikan kaedah penternakan lebah kelulut dan penghasilan madu kelulut yang mempunyai interaksi yang sangat rapat dengan alam semulajadi dapat dijadikan tarikan kepada pelancong untuk mengunjungi Malaysia seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi. Dengan menggunakan kaedah kajian perpustakaan melalui analisis dokumen, suatu kajian yang berkaitan dengan pembangunan perusahaan lebah dan madu kelulut sebagai satu tarikan ekopelancongan dijalankan. Pengumpulan data berkaitan dengan buku-buku rujukan, jurnal, suratkhabar, risalah dan kajian lepas telah digunakan dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kajian ini melihat perkembangan ekopelancongan dan perusahaan madu kelulut di Malaysia, potensi dan kepentingan serta cadangan untuk memajukan pembangunan ekopelancongan dalam perusahaan madu kelulut.

PENGENALAN Pelancongan yang berasaskan kepada alam semulajadi merupakan sektor yang berpotensi besar untuk diceburi. Hal ini kerana, pelancongan merupakan salah satu daripada industri terbesar dan pesat berkembang di dunia, menyumbang 10.3% kepada Keluaran Dalam

Negeri Kasar (KDNK) dunia dan menyediakan 234 juta pekerjaan atau 8.2% daripada jumlah keseluruhan guna tenaga pada tahun 2006. United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) mengunjurkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia mencapai 1.1 bilion orang menjelang 2010. Trend sebelum ini menunjukkan 80.0% daripada perjalanan pelancong antarabangsa di seluruh dunia adalah antara wilayah serantau, namun kebelakangan ini perjalanan jarak jauh telah meningkat. Perubahan ini merupakan satu perkembangan yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dan pendapatan daripada sektor pelancongan. Ekopelancongan adalah sub dalam industri pelancongan yang merupakan usaha untuk mencapai satu keseimbangan antara eksploitasi ekonomi terhadap sumber alam dan warisan budaya komuniti peribumi tanpa menyebabkan sebarang kerosakan atau ancaman kewujudannya. Ekopelancongan melibatkan pemeliharaan terhadap alam sekitar dan sosiobudaya yang wujud di kawasan ekopelancongan (Goeldner et al., 2000). Sumbangan industri ekopelancongan tidak hanya terhad terhadap ekonomi dan persekitaran fizikal malah ekopelancongan berupaya mewujudkan perubahan budaya dan sosial tempatan termasuk sistem nilai, cara hidup tradisional, hubungan kekeluargaan, perlakuan individu atau struktur komuniti. Ekopelancongan berasal dari perkataan bahasa Inggeris, ecotourism, umumnya berkisar kepada pengembaraan alam sekitar yang bertujuan menikmati dan menghayati pengalaman alam semula jadi dan kebudayaan (Weaver, 2001). Ia seharusnya mempunyai impak yang rendah terhadap alam sekitar dan harus menyumbang kepada kesejahteraan penduduk tempatan. Secara perinciannya ekopelancongan boleh diringkaskan kepada aktivitiaktiviti yang membawa pelancong lebih dekat kepada alam semulajadi; mereka boleh mengambil bahagian, berhibur dan merasa keseronokan mempelajari, melawat dan menemui sesuatu yang baru yang berasaskan alam semulajadi; kebiasaannya ia menyelitkan bersama program-program aktiviti gaya kehidupan masyarakat luar bandar, seni, budaya dan warisan masyarakat setempat; ia menyediakan peluang kepada pelancong untuk merasakan sendiri aktiviti pertanian secara langsung; pelancong boleh mengambil bahagian yang rutin dilakukan oleh penduduk tempatan dan mereka boleh mengharungi lautan bersama-sama dengan nelayan.
2

Perusahaan madu kelulut merupakan salah satu aktiviti yang boleh dikembangkan untuk memajukan industri pelancongan negara menerusi konsep ekopelancongan yang berasaskan ekologi, pendidikan dan pertanian. Aktiviti perusahaan penternakan lebah kelulut yang tidak menggugat habitat asal lebah kelulut sangat sinonim dengan konsep yang diterapkan dalam ekopelancongan. Keistimewaan penternakan lebah kelulut yang menggunakan kaedah sarang yang mesra alam dan mesra lebah kelulut dapat menjamin ketulenan habitat lebah kelulut dan seterusnya dapat menghasilkan madu kelulut 100% asli dan penuh berkhasiat. Memajukan aktiviti perusahaan madu kelulut adalah penting kerana keunikan kaedah penternakan dan penghasilan madu kelulut dapat dijadikan tarikan kepada pelancong untuk mengunjungi Malaysia seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi. Penternakan komersial lebah kelulut secara besar-besaran merupakan aktiviti utama yang unik dan menarik perhatian kepada setiap pengunjung yang datang untuk bercuti dan menghabiskan masa lapang. Di samping itu, aktiviti ini juga dapat memberikan pendedahan kepada para pelancong tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekologi alam semulajdi dalam apa jua bentuk promosi pelancongan yang ingin dijalankan. Secara kesimpulan, perkembangan aktiviti ekopelancongan dalam perusahaan madu kelulut adalah pilihan pembangunan yang paling sesuai untuk mencapai pembangunan mapan untuk melestarikan kesejahteraan persekitaran alam semulalajadi yang terdapat di Malaysia.

PERUSAHAAN MADU DAN LEBAH KELULUT DI MALAYSIA Mungkin masih tidak ramai yang pernah mendengar tentang perusahaan madu kelulut apa lagi melihat penternakan lebah kelulut mahupun merasai madunya. Biasanya, bila disebut tentang madu, ia amat sinonim sekali dengan dengan madu lebah berbanding kelulut. Kebanyakan kajian juga hanya tertumpu kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis Melifera dan Apis Dorsata yang menyengat. Manakala lebah tidak menyengat atau lebih dikenali sebagai kelulut dalam Genus Trigona juga memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan selain menghasilkan madu. Madu kelulut mempunyai antioksidan yang lebih tinggi berbanding madu lebah manakala propolisnya pula dikatakan mempunyai antibiotik semulajadi. Rasanya pula lebih masam berbanding madu lebah, serta mendapat permintaan yang tinggi dari farmasi. Aktiviti perusahaan lebah kelulut merupakan satu dimensi dalam industri madu di Malaysia. Penternakan lebah kelulut misalnya, menjadi alternatif baru terhadap lebah madu kerana penghasilan madu daripada kelulut yang dikatakan lebih berkhasiat. Walaupun kelulut
3

sejenis serangga kecil dan mengeluarkan produk dalam kuantiti sedikit tetapi bila dipelihara dalam kuantiti besar pengeluaran madu kelulut boleh ditingkatkan. Lebah kelulut atau nama saintiknya Trigona Spp mempunyai lebih 150 spesies di serata dunia malah Malaysia sendiri mempunyai 29 spesies lebah itu dengan habitat kegemarannya hutan hujan tropika. Spesies yang digalakkan dipelihara di Malaysia ialah Trigona Itama dan Trigona Thoracica. Lebah kelulut merupakan antara 33 jenis spesis lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madu dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan dan dapat memulihkan pelbagai jenis penyakit kronik. Pelbagai pihak telah meneroka perusahaan penternakan lebah kelulut dan juga penghasilan madu kelulut kerana menyedari potensi projek ini dalam menjana pendapatan dan ekonomi. Perusahaan lebah kelulut secara komersial telah menjadi projek ekonomi baharu yang mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan pendapatan penduduk khususnya di luar bandar. Projek berkenaan diyakini mampu memberi pulangan lumayan kerana boleh dilaksanakan dengan cepat, kos yang rendah serta pulangan pendapatan cepat. Menyedari perkembangan ini, banyak pihak yang bertanggungjawab telah memainkan peranan untuk memajukan projek perusahaan lebah kelulut. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) misalnya, telah melaksanakan projek perusahaan madu lebah kelulut di 18 buah kampung di seluruh negara melalui Program Desa Lestari bertujuan untuk menjana ekonomi sampingan kepada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan luar bandar seperti peneroka. Berdasarkan kepada permintaan madu yang tinggi sama ada di pasaran tempatan dan luar negara, kementerian yakin ia merupakan peluang yang amat baik kepada penduduk luar bandar untuk mempelopori industri ini. Projek ini diharapkan dapat menjana ekonomi yang tinggi serta memberi tambahan pendapatan serta pekerjaan kepada penduduk di kampung-kampung. Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan negara mempunyai kepelbagaian kelulut paling banyak berbanding negara Asia lain. Pelbagai usaha pemuliharaan spesies kelulut di lapangan giat dijalankan oleh pihak MARDI bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan. Beberapa sarang direka di ladang MARDI di Serdang bertujuan memanipulasi koloni bagi proses pendebungaan beberapa spesies buah-buahan dengan bunga kecil dan penghasilan madu. Koloni kelulut di MARDI telah diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya. Penggunaan koloni kelulut sebagai agen pendebungaan telah menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa menjadikan pokok tanaman sentiasa berbuah tidak mengira musim. Lebih istimewa lagi, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga yang bersaiz lebih
4

kecil yang tidak boleh dilakukan oleh lebah madu. Di MARDI, koloni kelulut telah diletakkan dalam kotak yang memuatkan 1,000 hingga 2,000 ekor bagi tujuan komersial. Setakat ini, usaha mengkomersialkan perusahaan lebah dan madu kelulut masih kurang aktif kerana masih ramai yang tidak mengetahui akan kelebihan kelulut. Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi. Madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kurang di pasaran. Selain itu, koloni lebah kelulut juga menghasilkan propolis yang boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria, dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam komestik, krim dan tablet. Tambahan lagi, penternakan lebah kelulut mudah diuruskan kerana tidak seperti lebah madu yang sering hilang, tidak tinggal di sarang serta mudah diserang penyakit. Menyedari banyak manfaat yang dapat diperolehi melalui aktiviti penternakan kelulut, maka projek perusahaan ini perlu segera dimajukan secara komersial.

POTENSI EKOPELANCONGAN DALAM PERUSAHAAN LEBAH MADU KELULUT Perusahaan madu kelulut merupakan salah satu aktiviti yang boleh dimajukan sepenuhnya dalam pembangunan ekopelancongan. Habitat koloni lebah kelulut yang kebiasaannya, samada di hutan mahupun di kampung, akan membuat sarang di dalam batang pokok boleh dimanfaatkan untuk menjadi satu projek penternakan yang berkonsepkan ekopelancongan. Usaha ini pastinya mempunyai potensi yang tinggi kerana persekitaran di kawasan luar bandar dan kampung-kampung di Malaysia kaya dengan kesempurnaan alam semulajadi yang masih baik terpelihara. Projek ekonomi ini pastinya bukan sahaja dapat meningkatkan lagi perusahaan ternakan lebah kelulut secara komersial tetapi pada masa yang sama juga dapat menggalakkan tarikan pelancong terhadap industri ekopelancongan negara. Perusahaan lebah dan madu kelulut berkonsepkan ekopelancongan pastinya menjadi dimensi baru dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk khususnya di kawasan luar bandar. Projek berkenaan diyakini mampu memberi pulangan lumayan kerana boleh dilaksanakan dengan cepat, kos yang rendah serta pulangan pendapatan cepat. Secara tidak langsung, projek ini dapat menambah alternatif kawasan ekopelancongan yang sedia ada di Malaysia selain dari hutan simpan, taman rekreasi, kampung budaya dan lain-lain. Untuk menghasilkan madu dan propolis lebah kelulut yang bermutu tinggi dan berkhasiat, perusahaan koloni lebah kelulut perlu dibangunkan di persekitaran habitat dan eko-sistemnya yang kaya dengan alam semulajadi yang terpelihara. Oleh yang demikian, lokasi ladang perusahaan ternakan lebah kelulut mestilah terletak bersebelahan hutan dara di
5

pinggir bukit yang diliputi oleh pelbagai jenis tumbuhan liar semulajadi dan tidak terdedah dengan pencemaran alam. Dengan ini, koloni lebah kelulut dapat berinteraksi dengan benda hidupan dan bukan hidupan, serta gaya hidupnya dipengaruhi oleh faktor fizikal di sekelilingnya. Beberapa tumbuhan, haiwan dan serangga yang dijumpai dan menumpang hidup di persekitarannya adalah seperti semut, anai-anai, labah-labah, cicak dan katak. Penanaman berbagai jenis tumbuhan pokok buahan, hiasan lanskap dan teduhan di persekitaran ternakan koloni lebah kelulut dapat menambahkan lagi sumber makanan kepada lebah kelulut. Koloni kelulut hidup sendiri dengan menghisap semua jenis madu bunga yang terdapat di kawasan sekitarnya pada setiap waktu tanpa perlu diberi makan secara berjadual oleh penternak. Bagi mengekalkan ekosistem habitat semulajadi lebah kelulut, pembangunan aktiviti penternakan lebah kelulut boleh dilakukan menggunakan kaedah sarang Pemangkasan Atas (Topping) di mana sebuah kotak khas yang mempunyai tabung-tabung madu diletakkan di atas keratan batang pokok kayu yang mengandungi sarang asal lebah kelulut. Dengan cara ini, habitat asal lebah kelulut di dalam batang kayu tersebut tidak diganggu atau diubah suai. Hal ini dapat menjamin ketulenan habitat lebah kelulut dikekalkan dan seterusnya dapat menghasilkan madu kelulut 100% asli dan penuh berkhasiat. Lebah kelulut akan bekerja kuat seperti biasa dan menghasilkan madu serta menyimpannya di dalam tabung-tabung yang telah disediakan. Apabila setiap tabung telah dipenuhi dengan madu, lebah kelulut akan membuat lapisan penutup di atas permukaan tabung tersebut sebagai perlindungan menggunakan bahan propolis.Kerja-kerja penuaian, penyimpanan, pembungkusan hasil-hasil pengeluaran madu kelulut perlu dilakukan dengan betul dan bersifat mesra alam supaya habitat semulajadi lebah kelulut tidak terganggu. Madu dan propolis lebah kelulut yang telah siap dibungkus mungkin boleh dipasarkan dengan cara membeli terus dari ladang bagi menjamin keaslian madu dan mengekalkan konsep ekopelancongan.

KEPENTINGAN PEMBANGUNAN EKOPELANCONGAN DALAM PERUSAHAAN MADU KELULUT Ekopelancongan telah mula mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta dan badan-badan NGO. Ekopelancongan sedang giat diperkenalkan kerana Malaysia mempunyai keunikan alam semulajadi yang dapat menarik minat pelancong. Menyedari akan potensi perusahaan lebah kelulut dapat dibangunkan dengan berasaskan alam semulajadi dan perkembangan pesat dalam aktiviti ekopelancongan rekreasi, usaha untuk memajukan projek ini perlu dikaji dan dilaksanakan segera. Usaha pembangunan ini pastinya akan dapat
6

membuka fenomena baru di kawasan-kawasan perusahaan lebah kelulut yang kebiasaan berlokasi di pinggir-pinggir desa dan kawasan hutan yang kaya dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara dengan rapi. Pembangunan projek perusahaan lebah kelulut berkonsepkan ekopelancongan ini pastinya dapat menarik ramai pelancong sama ada tempatan dan juga luar negara berkunjung ke sini sekaligus berpotensi menjadi kawasan ekopelancongan berasaskan ekologi, pendidikan, pertanian dan juga rekreasi yang terkenal di negara kita. Selain itu, projek ini secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, menggalakkan penyediaan homestay kepada pelancong dan pembinaan kemudahan rekreasi lain. Pembangunan ekopelancongan dalam perusahaan madu kelulut tentunya akan melibatkan komuniti tempatan dalam proses pengurusan dan perancangan sumber semula jadi iaitu memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi atau biodiversiti. Dengan penglibatan dalam ekopelancongan, lebih ramai komuniti tempatan akan menerima faedah dari segi ekonomi dan sosial. Dalam aspek ekonomi, ekopelancongan akan meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan masyarakat setempat terutamanya golongan masyarakat desa yang berpendapatan rendah dan sederhana. Selain itu, ekopelancongan juga meningkatkan kemudahan infrastruktur dan komunikasi setempat yang dibekalkan oleh pihak kerajaan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon awam, kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan pembangunan ekonomi kawasan tersebut terutamanya di kawasan pedalaman. Perusahaan madu dan lebah kelulut sendiri setakat ini amat mendapat perhatian pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Kerajaan akan menambah jumlah penyertaan pembangunan kampung menerusi program Desa Lestari, khususnya melibatkan penternakan lebah kelulut bagi memenuhi permintaan pasaran madu tempatan dan luar negara. Pihak kementerian telah memilih industri madu kelulut sebagai produk ikon kepada Desa Lestari berdasarkan kepada kriteria pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu mempunyai kos rendah, impak tinggi dan pulangan cepat. Sehingga kini, sebanyak 29 kampung di seluruh negara terpilih bagi mengikuti program Desa Lestari yang merupakan projek perintis kampung abad ke-21 dengan peruntukan sebanyak RM137 juta. Tujuannya adalah untuk menjadikan kawasan luar bandar maju, menarik dan menguntungkan untuk didiami, dan pada masa yang sama dapat mengekang penghijrahan penduduk ke bandar. Dalam aspek sosial, ekopelancongan akan memperbaiki pemahaman dan penghargaan pelancong terhadap kebudayaan masyarakat setempat. Ekopelancongan
7

menyemai nilai dan perasaan kehormatan diri kepada penduduk kampung pedalaman. Hal ini dapat menggalakkan dan menguatkan warisan kebudayaan (Cater, 1994 dalam Ross dan Wall, 1999a:128). Melalui ternakan lebah kelulut, pengusaha-pengusaha kampung dan desa dapat menunjukkan kreativiti dan inovasi mereka dalam menyediakan habitat koloni lebah kelulut yang sesuai dengan ekosistem tetapi pada masa yang dapat menuai hasil daripada madu tanpa mengganggu habitat tersebut. Sebagai contoh adalah membina sarang Pemangkasan Atas (Topping) yang menggunakan sebuah kotak khas yang mempunyai tabung-tabung madu diletakkan di atas keratan batang pokok kayu yang mengandungi sarang asal lebah kelulut. Kaedah ini memastikan habitat asal lebah kelulut di dalam batang kayu tersebut tidak diganggu atau diubah suai. Selain itu, pelbagai teknik pembinaan hive (sarang koloni lebah kelulut) yang unik menunjukkan kemahiran yang dimiliki oleh penduduk kampung yang mengusahkan projek ternakan lebah kelulut ini. Pelbagai bentuk dan teknik hive dibina bagi memudahkan proses penghasilan dan penuaian madu tetapi pada masa yang sama tidak menggugat habitat koloni lebah kelulut membuktikan kemahiran dan pemikiran kreatif dan inovatif yang dimiliki oleh pengusaha lebah kelulut yang kebanyakan terdiri daripada masyarakat desa. Ekopelancongan menekankan sumbangan aktiviti ekonomi yang dapat digunakan sebagai pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti (Ross dan Wall, 1999a:129). Pelancong yang melawat ke kawasan semula jadi menyebabkan pemindahan nilai berlaku iaitu mereka akan mempelajari tentang alam semula jadi, kesedaran terhadap persekitaran, menghargai dan menghormati alam semula jadi (Norton, 1987 dalam Ross dan Wall, 1999a:129). Pendidikan persekitaran dapat disebarkan melalui bahan bacaan, peta, pusat maklumat pelancong dan pemandu pelancong untuk menggalakkan penghargaan kepada alam semula jadi dalam menyokong perlindungan kepada alam semula jadi. Pelancong yang menikmati alam semula jadi sanggup membayar, bayaran yang dikutip boleh digunakan dalam memelihara kawasan perlindungan (Ross dan Wall, 1999a:129).

CADANGAN

PEMBANGUNAN

EKOPELANCONGAN

DALAM

PERUSAHAAN

MADU KELULUT Sememangnya, faktor tarikan semulajadi dan produk sesebuah kawasan pelancongan merupakan imej dan tarikan kepada destinasi tersebut. Projek perusahaan lebah kelulut yang berasaskan konsep ekopelancongan pastinya menjadi salah satu tarikan dalam indutri pelancongan kerana kaedah penternakannya yang sentiasa memanfaatkan sifat-sifat alam semulajadi yang unik. Di samping itu, pelbagai produk ekopelancongan hasil daripada
8

ternakan lebah kelulut seperti madu, propolis, beebread dan produk-produk hiliran yang lain tentunya menarik minat pelancong tempatan bahkan juga pelancong antarabangsa untuk mengunjungi tempat-tempat ternakan seperti ini. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu sentiasa peka terhadap pembangunan mapan produk ekopelancongan di kawasan perusahaan ternakan lebah kelulut. Pembangunan tapak perusahaan lebah kelulut sebagai destinasi ekopelancongan perlu dilakukan secara mapan dengan perancangan yang rapi dan terkawal agar manfaatnya bukan hanya akan membawa kepada tarikan pelancong, bahkan akan dapat meningkatkan tingkat pendapatan negeri dan negara. Focus (1995) & King (1993) telah membuktikan bahawa terdapat banyak manfaat ekonomi daripada ekopelancongan seperti pembangunan di kawasan luar bandar dan meningkatkan pendapatan hasil melalui tukaran mata wang. Malahan ekopelancongan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seperti pemandu pelancong, kakitangan perhutanan dan pekerja perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan. Perkhidmatan yang diperolehi daripada ekopelancongan dapat digunakan bagi tujuan pemeliharaan ekosistem hutan. Projek perusahaan lebah kelulut berkonsepkan ekopelancongan pastinya akan menjadi salah satu destinasi ekopelancongan yang baru di Malaysia. Sebagai satu perusahaan desa yang terletak di kawasan luar bandar atau pedalaman yang mempunyai tarikan alam semula jadi, tentunya projek ternakan lebah kelulut ini menjadi tumpuan dan berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian untuk menampung ketibaan pelancong sekaligus dapat memajukan lagi sektor ekopelancongan di Malaysia. Antara cadangan yang perlu dipertimbangkan ialah seperti berikut:

(a) Mengadakan perkampungan latihan dan rekreasi Antara perusahaan berkonsepkan ekopelancongan yang boleh diwujudkan daripada projek ternakan lebah kelulut ialah perkampungan latihan dan rekreasi. Selaras dengan tema ini yang memberi tumpuan kepada ekologi, nama-nama chalet dan dewan yang disediakan di pusat tersebut boleh dinamakan dengan nama-nama spesis kelulut, nama flora dan fauna, dan juga nama buah-buahan yang terdapat dipersekitaran kampung dan pusat rekreasi. Selain menyediakan chalet dan dewan, asrama juga boleh dibina bagi menampung peserta latihan yang hadir dalam jumlah yang ramai. Pengunjung yang datang ke perkampungan latihan dan rekreasi di kawasan ternakan lebah kelulut dapat mempelajari sedikit sebanyak mengenai persekitaran habitat lebah kelulut, spesies-spesies kelulut, hasil-hasil tuaian daripada ternakan
9

kelulut dan juga mengenali hidupan hutan lain yang terdapat di sekitar perkampungan tersebut. Kehijauan dan keindahan alam semulajadi kawasan ternakan lebah kelulut yang terpisah daripada kesibukan kota dan menawarkan pelbagai kemudahan serta aktiviti menarik pastinya akan mendorong ramai pengunjung ke tempat ini. Pengalaman berekreasi di tengahtengah kehijauan hutan pastinya membawa kenangan yang tidak dilupakan. Ditambah dengan kemudahan yang lengkap dan selesa serta perkhidmatan yang mesra disediakan pasti akan memenuhi keperluan dan kehendak semua golongan. Jauh dari keriuhan kota, pengunjung berpeluang berjalan di dalam hutan sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan dan suasana penuh kehijauan. Aktiviti kembara malam membolehkan pengunjung merasai suasana kegelapan di dalam hutan dan cabaran meneroka hutan dalam suasana kehijauan yang penuh kegelapan di samping mengenali habitat lebah kelulut pada waktu malam. Ruang dewan yang selesa dan kondusif juga boleh disediakan kepada peserta pelatih yang ingin menjalani latihan tentang kaedah perusahaan dan penternakan madu kelulut.

Antara program latihan dan ceramah yang boleh diberikan di tapak perusahaan ternakan lebah kelulut. (b) Membina taman agro (agrofarm) dan resort Projek ini juga boleh dikembangkan lagi dengan membina taman agro dan resort yang mengusahakan segala aktiviti ekopelancongan seperti perladangan, penternakan dan agropelancongan. Di ladang dan resort yang di bina ini, pengusaha boleh memperkenalkan salah satu bidang penternakan komersil yang diceburi iaitu ternakan lebah kelulut yang menghasilkan produk madu dan propolis lebah kelulut asli yang bermutu tinggi dan amat berkhasiat dari sudut kesihatan. Dengan mewujudkan tapak perusahaan lebah kelulut yang berkonsepkan resort, pengusaha dapat menyediakan pakej percutian yang unik di mana pengunjung dapat menghayati alam semulajadi hutan dara di kawasan pedalaman desa sambil mengenali habitat lebah kelulut yang pastinya jarang didapati di kawasan bandar.

10

Aktiviti-aktiviti yang boleh dalam taman agro di kawasan perusahaan ternakan madu kelulut.

(c) Mewujudkan dusun buah-buahan dan taman bunga Koloni lebah kelulut telah diketahui secara umum boleh dimanipulasi bagi tujuan proses pendebungaan beberapa spesies buah-buahan dengan bunga kecil dan penghasilan madu. Justeru itu, menjadi satu perancangan yang bijak sekiranya projek ternakan koloni lebah kelulut ini dapat diusahakan di persekitaran yan terdapat dusun buah-buahan dan taman bunga. Koloni kelulut boleh mendapat manfaat daripada pokok buah-buahan dan bungabunga yang terdapat di persekitaran habitatnya. Kajian MARDI juga telah membuktikan koloni kelulut yang diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya. Dalam kalangan haiwan pendebungaan, lebah kelulut adalah haiwan pendebungaan yang memainkan peranan utama dan sangat efektif kerana aktiviti kehidupan hariannya berupaya memberi kesan yang ketara kepada kuantiti dan kualiti penghasilan buah-buahan dan bijian. Spesis lebah dikenali sebagai agen pendebungaan kepada 70 80% tumbuhan berbunga. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan penggunaan koloni kelulut sebagai agen pendebungaan telah menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa menjadikan pokok tanaman sentiasa berbuah tidak mengira musim. Lebih istimewa lagi, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga yang bersaiz lebih kecil yang tidak boleh dilakukan oleh lebah madu. Habitat koloni lebah kelulut sangat sinonim dengan persekitaran alam semulajadi. Hal ini kerana, sumber pencarian lebah kelulut adalah sangat rapat dengan alam di sekelilingnya. Setiap masa, koloni lebah kelulut mengumpulkan bahan-bahan yang diperlukan untuk kehidupan hariannya seperti nektar, polen, air, damar, gam, tanah, pasir, ranting, kulit kayu dan segala bahan dari tumbuhan dan hidupan yang terdapat di sekitarnya sebagai keperluan makanan, menghasilkan madu dan membuat sarang. Nektar misalnya, adalah cecair manisan
11

yang dihasilkan dari bunga, daun atau buah-buahan yang diambil oleh haiwan ini sebagai sumber makanan. Contoh pokok di Malaysia yang sesuai ditanam sebagai koloni dan sumber pencarian makanan oleh lebah kelulut ialah belimbing, kelapa, durian, laici, rambutan, nangka, rambai, manggis, gajus, kundang, akasia, berangan, merbau, jering, longan dan limau. Penternakan lebah kelulut dalam dusun yang dipenuhi dengan buah-buahan pastinya menjadi projek serampang dua mata yang bakal memberi pulangan berlipat ganda kepada pengusaha pertanian dan juga ekopelancongan. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, pendebungaan adalah proses eko-sistem yang penting untuk menjamin pengeluaran makanan dan meningkatkan taraf kehidupan. Pengunjung juga pastinya berasa teruja melihat pokok buah-buahan seperti cempedak, durian, kelapa dan lain-lain yang berbondong-bondong lebat buahnya setiap kali di bawa meninjau-ninjau di kawasan dusun buah-buahan. Keseronokan ini pasti lebih bertambah jika mereka diberi peluang untuk menikmati hasil buah-buahan dari aktiviti pendebungaan oleh lebah kelulut yang terdapat di dusun tersebut.

Antara tanaman yang boleh diusahakan di dusun dan taman bunga dalam tapak ternakan lebah kelulut. (d) Menyediakan lebih banyak pakej penginapan Keunikan perusahaan dan perternakan lebah kelulut secara komersial pastinya akan menarik jumlah ketibaan pelancong yang semakin meningkat setiap tahun. Oleh itu, pihak pengelola perlu mengambil inisiatif dalam membina lebih banyak tempat penginapan dengan tidak mengabaikan kesejahteraan alam semulajadi. Selain itu, homestay juga merupakan inisiatif yang baik dalam memberi peluang kepada penduduk setempat dalam menjana ekonomi mereka secara tak langsung. Kewujudan pelancong bermusim ini lebih menyulitkan kerana permintaan bagi tempat penginapan yang meningkat. Kunci kejayaan sesuatu pusat pelancongan adalah atas faktor mutu, lokasi, dan persepsi pelancongan terhadap aset penginapan tersebut. Kekurangan kemudahan penginapan yang baik merupakan salah satu
12

faktor yang menyebabkan sesuatu kawasan pelancongan itu kurang mempunyai daya tarikan. Oleh itu, bagi pembangunan sesuatu kawasan rekreasi di tempat yang jauh, biasanya dikaitkan dengan keperluan memperoleh penginapan sementara (Mathieson dan Wall, 1991). Resort di sekitar tapak perusahaan lebah kelulut perlulah menawarkan pakej menarik untuk didiami oleh mereka yang ingin mengenali habitat lebah kelulut secara dekat di samping merasai kesegaran serta keindahan dan cabaran alam semulajadi.

Antara contoh-contoh kemudahan penginapan, restoran dan dewan yang boleh disediakan.

(e) Menyediakan dan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan Pengangkutan merupakan komponen yang penting dalam industri pelancongan.

Pengangkutan merupakan prasyarat dalam melakukan aktiviti pelancongan dan merupakan kemudahan untuk pelancong bergerak dari tempat mereka (rumah) ke destinasi pelancongan mereka. Dalam pelancongan, prasarana yang baik harus dipersiapkan seperti mana yang diperlukan oleh para pelancong. Lapangan terbang, pelabuhan, dan stesen pengangkutan, jalan raya, dan jambatan yang menuju ke tempat atau daerah pelancongan harus dijaga dan diperbaiki supaya para pelancong yang akan mengunjungi tempat tersebut dapat sampai ke tempat yang dituju dengan cepat dan selesa (Yoeti 1988: 173). Selain itu, kekurangan jalan raya dan perkhidmatan pengangkutan yang sesuai, ditambah lagi dengan masa perjalanan yang panjang, boleh menyebabkan kurangnya pelancong untuk pergi ke sesuatu destinasi. Oleh itu, pengangkutan awam seperti bas, teksi dan sebagainya perlulah ditingkatkan bagi memastikan pelancong lebih selesa dan lebih ramai pelancong bakal mengunjungi destinasi tersebut. Selain pengangkutan kemudahan perhubungan juga perlu diberi perhatian seperti adanya zon WiFi, telefon awam dan sebagainya. Selain itu, pihak pengelola perlulah memastikan keselamatan pelancong semasa berada di kawasan perusahaan lebah kelulut dengan melakukan rondaan. Hal ini kerana, tapak ternakan lebah kelulut tentunya berada di

13

kawasan hutan pedalaman yang agak jauh dari jalan utama dan keadaan itu mungkin menyebabkan para pelancong berasa tidak selamat dan kurang selesa.

(f) Promosi Kewujudan sesebuah kawasan pelancongan bergantung kepada cara mempromosikan kawasan tersebut. Promosi ialah kegiatan yang lebih mencakup, menyebarluaskan promosi yang berbentuk kebendaan seperti filem, slaid, pengiklanan, brosur, buku kecil, folder dengan menggunakan berbagai-bagai saluran seperti televisyen, radio, majalah, panggung wayang, pengiriman secara terus kepada calon-calon pelancong ataupun pelancong yang sering melancong dengan tujuan untuk memindahkan penerangan-penerangan dan mempengaruhi bakal-bakal atau calon-calon pelancong untuk membuat lawatan ke suatu tempat pelancongan (Yoeti, 1988: 59).

(g) Menyediakan aktiviti yang menarik kepada pengunjung Pelancong yang mengunjungi tapak ternakan lebah kelulut boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti belajar membina hive atau sarang koloni lebah, menyedut madu yang segar dari sarang kelulut, berkelah, fotografi, meredah hutan, terapi minda dengan melihat bagaimana kelulut keluar masuk dari sarangnya, ceramah pendidikan tentang habitat kelulut, menghasilkan produk-produk hiliran berasaskan madu kelulut, pesta makan buah-buahan dusun, refleksologi, dan lain-lain.

Contoh pelbagai aktiviti yang boleh dialami oleh pengunjung sepanjang berada di tapak perusahaan ternakan lebah kelulut. (h) Daya tarikan yang unik Pemandangan persekitaran di tempat yang dikunjungi adalah salah satu faktor yang menjadi tarikan kepada pelancong yang datang ke sesebuah kawasan. Pengunjung pastinya amat teruja dan terpersona dengan keindahan alam semulajadi di kawasan ternakan lebah kelulut
14

yang masih terjaga rapi. Tidak dapat disangkal apabila ternyata landskap kawasan pelancongan dapat memukau setiap pengunjung yang datang. Seni bina sesebuah pusat pelancongan merupakan daya tarikan terpenting yang dititikberatkan oleh pelancong. Justeru itu, pengusaha perlu memastikan persekitaran kawasan ternakan lebah kelulut dibina dengan senibina yang kreatif dan landskap yang indah supaya menjadi tarikan yang unik kepada pengunjung. Usaha ini boleh dilakukan dengan menonjolkan seni bina tradisional Melayu pada binaan chalet, dewan, asrama dan lain-lain yang terdapat di kawasan perusahaan ternakan lebah kelulut. Seni binaan rumah-rumah kampung juga pastinya mendapat perhatian para pelancong kerana kebanyakan daripada mereka berkunjung ke tempat pelancongan seperti ini adalah bertujuan untuk mengenali budaya masyarakat setempat. Pengusaha ternakan kelulut juga boleh mengambil inisiastif mereka bentuk hive koloni lebah kelulut dengan kreatif dan inovatif supaya dapat menarik perhatian pelancong. Dengan meningkatkan kreativiti dalam membina sarang habitat lebah kelulut (hive) yang menarik dan eksotik pastinya menambahkan lagi elemen keunikan dalam perusahaan ini.

Pelbagai contoh binaan hive kreatif yang telah dihasilkan dan digunakan oleh pengusaha ternakan lebah kelulut serta landskap di tapak ternaka yang cukup menarik. PENUTUP Sebagai kesimpulannya, perusahaan ternakan koloni kelulut merupakan satu projek yang boleh dibangunkan sebagai salah satu tarikan ekopelancongan yang amat berpotensi untuk dimajukan di Malaysia kerana negara kita mempunyai banyak keindahan alam semulajadi dan sumber alam yang unik sebagai daya tarikan pelancongan. Dalam hal ini kerajaan sentiasa positif dalam membantu menggalakkan dan memajukan aktiviti perusahaan ternakan lebah kelulut melalui pelbagai usaha termasuk skim galakan, insentif, latihan, promosi dan kemudahan khidmat nasihat kepada pengusaha dan semua agensi yang terlibat dalam industri
15

pertanian, perternakan, pendidikan dan juga pelancongan. Sektor pelancongan secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada peningkatan pendapatan negara sekaligus menyumbang kepada peningkatan KDNK Malaysia. Bagi penduduk desa dan golongan peneroka, galakan dan pembangunan dalam perusahaan ternakan lebah kelulut ini pastinya dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka apabila perkampungan mereka dibangunkan menjadi sebuah kawasan perusahaan lebah kelulut bertemakan ekopelancongan. Anak-anak peneroka FELDA khususnya tidak perlu lagi berhijrah keluar ke bandar untuk mencari pekerjaan, tetapi mereka boleh bekerja di kawasan ini dengan melibatkan diri dalam sektor pelancongan yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan.

16

RUJUKAN Anne Dollin. 2001. Natural Hive Duplication (or Eduction): An Alternative Method of Propagating Australian Stingless Bees. Australian Native Bee Research Centre. Capaian 10 November 2013 Bruijn, L.D. 1997. Traits of stingless bees: nests. 5. Pegone. Ceballos Lascurain H (1988) The future of ecotourism. Mexico Journal pp. 13-14. Cortopassi-Laurino, M C; Imperatriz-Fonseca, V L; Roubik, D W; Dollin, A; Heard, T; Aguilar, I; Venturieri, G C; Eardley, C; Nogueira-Neto, P. 2006. "Global meliponiculture: challenges and opportunities". Apidologie 37: 275292. Focus (1995) Fiji: A comparison of two village. Februari, pp. 5-7. Hall CM, Page SJ (2002) The geography of tourism and recreation: Environment, place and space (2nd edn). Routledge, London. Hapizah, A. Khasiat madu lebah kelulut. Utusan Malaysia. 20 Mei 2011. Diambil 10 Januari 2012, http://testweb.science.uu.nl/sommeijer/promabos.html International Ecotourism Society (2012) Available from: http://www.ecotourism.org/ Jabatan Penerangan Malaysia (2012) Available from: http://pmr.penerangan.gov.my/. Jafari J (1977) Editors page. Annals of Tourism Research 5 (Spl), 6-11. Kerr, W E. 1950. "Genetic determination of castes in the genus Melipona". Genetics 35: 143 152. Khairunnisa, S. Norlezah masuk hutan cari kelulut. Utusan Malaysia. 21 November 2011. Diambil 10 Januari 2012. Khairunnisa, S. Potensi madu kelulut. Utusan Malaysia. 30 Mei 2011. Diambil 10 Januari 2012. Khasiat madu lebah kelulut, Utusan Online. King (1993) Ecotourism: A sustainable option. John Willey & Sons, Chichester. Koch, H. 2010. "Combining morphology and DNA barcoding resolves the taxonomy of Western MalagasyLiotrigona Moure", 1961. African Invertebrates 51 (2): 413 421.[1]PDF fulltext Lee Boon Hiong, Chan Ngai Weng (2005) Pengurusan persekitaran 2005: Ekopelancongan dan orang asli di Cameron Highland. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Leiper N (1981) Towards a cohesive curriculum in tourism: The case for a distinct discipline. Annals of Tourism Research 7 (2), 255-258.
17

Mathieson A, Wall G (1982) Tourism: Economic, physical and social impacts. Michener, C D. The bees of the World. Johns Hopkins University Press, 972pp Michener, Charles D. (2007) The Bees of the World. USA: The Johns Hopkins University Press. Mohamad Zaki Ahmad, Johan Afendi Ibrahim (2006) Pelancongan dan alam sekitar: Ekopelancongan sebagai alat untuk mencapai pembangunan pelancongan mapan dan meningkatkan kualiti persekitaran. In: Isu-isu & pengurusan alam sekitar fizikal, pp. 95116. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Mohd Fahimee, J., Hamdan Sipon, Rosliza J. dan Suri R. (2012). Manual Teknologi Penternakan Lebah Kelulut. Serdang: MARDI. Mohd Fahimee, Mohd Norowi J., Hamdan H. S. (2011). Penternakan Kelulut (Teknologi MARDI). Agromedia Bil. 35, m.s 54-57 Oppermann M (1997) Pacific rim tourism: Ecotourism in Thailand. Cab International, United Kingdom. Orams MB (1995) Towards a more desirable form of ecotourism. Tourism Management. R Chadwick (1994) The geography of tourism and recreation: Environment, place and space (3rd edn). Routledge, London. Rasmussen C, Camargo JMF. 2008. A molecular phylogeny and the evolution of nest architecture and behavior in Trigona s.s. (Hymenoptera: Apidae: Meliponini). Apidologie 39:102-118. Sarang lebah kelulut kaya propolis. Mingguan Malaysia, 2008-08-17. Capaian 12 April 2012. Schwarz H F (1948) Stingless bees (Meliponidae) of the western hemisphere. Bull Am Mus Nat Hist 90: 1-546. Souza, R C S; Yuyama, L K O; Aguiar, J P L; Oliveira, F P M. 2004. "Valor nutricional do mel e plen de abelhas sem ferro da regio amaznica". Acta Amazonica 34(2): 333 336. Stefan, L. Maya Beekeeping Tradition Fades. National Geography. 28 Jun 2008. Diambil 10 Januari 2012. Velthuis, H. 1997. The biology of stingless bees. Utrecht University, The Netherlands and University of So Paulo, So Paulo, Brazil. C Wenseleers, T., F. L. W. Ratnieks, M. de F. Ribeiro, D. de A. Alves & V. ImperatrizFonseca. (2005) "Working-class royalty: bees beat the caste system". Biol. Lett. 1(2): 1258 Yoeti OA (1988) Pemasaran pelancongan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
18

Ziffer KA (1989) Ecotourism, the uneasy alliance. Conservation International, Washington DC.

19

You might also like