You are on page 1of 19

PENGENALAN Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan budaya.

Ini secara langsung telah memberikan kesan kepada sistem pendidikan negara kita di mana guru-guru harus bersedia untuk menangi suasana pembelajaran bagi murid-murid yang berlainan kelas sosial dan budayanya. Seringkali, kelas sosial para pelajar dikaitkan dengan kelakuan dan pencapaian pelajar di sekolah. Latar belakang sosio-ekonomi seseorang pelajar dikatakan mempengaruhi sahsiah dan pembentukan kendiri pelajar. Di Malaysia, ciri-ciri kelas sosial dalam masyarakat semakin berkembang. Masyarakat menilai kedudukan dan status individu melalui pencapaian pendidikan, kemahiran, pendapatan, harta yang dipunyai, keturunan, kedudukan politik, kuasa atau autoriti yang dimiliki, asal usul ras dan etnik, sumbangan terhadap negara seperti mempunyai rekod-rekod peringkat Malaysia atau dunia, pencapaian di dalam sukan, anugerah atau darjat kebesaran yang dimiliki dan lain yang berkaitan. Persepsi atau pandangan individu terhadap kelas sosial begitu ketara kini. Individu yang mempunyai kuasa dan duit yang banyak lebih dipandang tinggi di dalam masyarakat berbanding individu yang bekerja di ladang getah bersawah atau makan gaji. Senario ini disebabkan oleh ketidakseimbangan pencapaian di antara individu di dalam masyarakat yang telah mewujudkan pengkelasan sosial. Konsep kelas sosial ini tidak lepas lari daripada kejadian social inequality atau ketidaksamaan sosial yang merujuk kepada ketaksamaan peluang-peluang atau ganjaran untuk manusia dalam kedudukan sosial yang berbeza akibat sistem strasifikasi. R.J. Stalcup (1968) telah mendefinisikan kelas sosial sebagai: a level in society made up of people consider themselves equal due to similarities in family backgrounf, level of education, occupation, race, and attitudes toward social issues

KELAS SOSIAL Kelas sosial boleh dikaitkan dengan kedudukan sesuatu kelompok dalam masyarakat. Kelas sosial dikatakan mempengaruhi seseorang individu dari segi kuasa, politik, kekayaan, martabat atau pekerjaan. Rohand Meighan (1986) menjelaskan walau apa cara definisi kelas sosial, ia tetap menggambarkan perbezaan cara hidup atau pendapatan di dalam sesuatu bangsa yang sama. Karl Marx pula menyatakan kelas sosial adalah kategori individu yang mempunyai hubungan yang sama terhadap puncapunca pengeluaran serta hubungan pengeluaran seperti sistem pengagihan dan pertukaran. Karl Marx telah mengkategorikan masyarakat kepada tiga golongan iaitu:

i.

Golongan kapitalis atau borjuis iaitu mereka yang menguasai tanah dan pengeluaran.

ii. iii.

Golongan menengah yang terdiri daripada pengawai pemerintah. Golongan proletar iaitu mereka yang terdiri daripada buruh.

Ahli-ahli sosiologi ada hari ini termasuk Max Weber bersetuju, terdapat lima kelas sosial yang boleh dibeza-bezakan iaitu:

1. Golongan atasan Golongan ini terdiri daripada orang kaya dan juga ahli-ahli korporat. Mereka mendapat kekayaan hasil titik peluh mereka.

2. Pertengahan atasan Terdiri daripada orang yang berpendidikan tinggi, profesional dan memegang jawatan yang baik di dalam sesuatu organisasi. Mampu memiliki kemewahan kerana pekerjaan dan pendidikan mereka.

3. Kelas Pertengahan Bawahan Mereka yang terdiri daripada lulusan sekolah menengah dan sedikit pemegang sijil dan diploma. Mereka ini tidak sehebat seperti golongan pertengahan atasan namun mereka banyak memberi tumpuan terhadap pendidikan anak-anak

mereka dengan harapan anak mereka mempunyai masa depan yang lebih baik dan terjamin dengan adanya pendidikan.

4. Kelas Pekerja Terdiri daripada pekerja kolar biru yang mempunyai latar belakang pendidikan PMR sehingga SPM. Kebanyakan mereka bekerja dengan menggunakan kemahiran yang ada seperti buruh binaan, tukang paip, pekerja kilang, pemandu kenderaan dan sebagainya.

5. Golongan Bawahan Terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan yang amat rendah dan ada juga yang tidak pernah langsung melalui pendidikan secara formal. Ada juga di antara mereka menjalani kehidupan seperti makan pagi, kais pagi dan makan petang, kais petang.

Di atas fahaman kelas sosial ini, maka wujud pengelasan status di dalam masyarakat. Pengkelasan sosial ini mewujudkan jurang kemasyarakatan di antara individu di dalam masyarakat. Akibat daripada pengelasan sosial ini, ia memberi kesan terhadap pendidikan pelajar. Latar belakang keluarga mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap pencapaian akademik pelajar di dalam pendidikan.

IMPAK KELAS SOSIAL

Pengkategorian kelas sosial ini secara tidak langsung memberi impak kepada pencapaian akademik pelajar samada di peringkat sekolah rendah, menengah, institut kemahiran mahupun di institut pengajian tinggi. Dengan kata lain, latar belakang sosioekonomi mempunyai kolerasi terhadap perangai dan pencapaian akademik pelajar. Pelajar daripada kelas atasan dan pertengahan tidak menghadapi banyak cabaran dan dugaan semasa pembelajaran mereka. Ini adalah disebabkan keluarga mereka berkemampuan untuk memenuhi segala permintaan dan kehendak yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak mereka.

Terdapat pelbagai faktor daripada pengelasan kelas sosial ini yang memberi impak kepada pencapaian akademik pelajar. Di antaranya adalah faktor-faktor yang mempengaruhinya iaitu:

1. Ekonomi Pelajar daripada keluarga kelas bawahan, tidak mampu memiliki segala peralatan persekolahan seperti alat tulis, buku rujukan, buku latihan dan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, perbelanjaan harian dan kasut. Sehubungan ini, timbul rasa rendah diri yang menyebabkan mereka terasing daripada pelajar lain. Bebanan yang dipikul dan kengkangan daripada keluarga akibat faktor kewangan yang mendesak menyebabkan ada di kalangan pelajar menjadi putus asa dan keciciran daripada persekolahan walaupun mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Pelajar dari golongan keluarga pertengahan dan atasan sangat beruntung kerana faktor duit tiada masalah kepada mereka. Segala keperluan untuk pembelajaran dapat dilunaskan oleh ibu bapa tanpa banyak bersoal jawab. Ada ketikanya kemewahan yang dikecapi membuatkan pelajar leka dan lalai di dalam pelajaran dan akhirnya ada di antara mereka yang kecundang di dalam peperiksaan.

2. Kesihatan Kesihatan yang baik merupakan faktor penting di dalam kehidupan pelajar. Badan yang sihat akan menjana otak yang cerdas. Dari aspek kesihatan, mereka yang berpendapatan tinggi dan pertengahan lebih mampu untuk memperolehi kemudahan kesihatan yang lebih baik berbanding dengan golongan yang berpendapatan rendah. Dengan demikian, orang yang kaya adalah lebih sihat berbanding dengan orang miskin. Terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang berpendapatan rendah lebih mudah mendapat penyakit seperti serangan jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser berbanding orang yang kaya.

Pelajar daripada golongan menengah dan atasan tidak timbul masalah untuk mendapatkan rawatan samada di klinik atau hospital kerana ibu bapa mereka berkemampuan untuk membayar bil rawatan. Sesetengah daripada pelajar ini mempunyai doktor peribadi sendiri. Golongan bawahan pula hanya memakan makanan yang kurang berkhasiat dan sekadar mengalas perut sahaja. Akibatnya kebanyakan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah akan jatuh sakit; oleh itu dengan sendirinya mereka tidak dapat menghadiri kelas. Ini akan menjejaskan penumpuan dan perkembangan pembelajaran mereka akan terganggu. Terdapat juga pelajar yang mengidap penyakit kronik tidak mendapat rawatan yang sewajarnya akibat daripada kesulitan hidup yang dialami. Kebanyakan mereka hanya mendapatkan rawatan secara traditional dengan mengambil ubat melalui rebusan akar-akar kayu atau herba.

3. Tempat tinggal Suasana yang kondusif amat penting di dalam proses pembelajaran. Akan tetapi suasana sebegini tidak dapat dikecapi oleh pelajar daripada keluarga golongan bawahan. Kebanyakan daripada mereka tinggal di rumah yang sempit dan ada juga pelajar yang tinggal di rumah yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik. Hanya lampu minyak tanah digunakan semasa mereka menelaah pelajaran pada waktu malam dan kemudahan perigi dan sungai untuk mandi dan membasuh pakaian. Apabila musim kemarau pula, pelajarpelajar ini berasa tidak selesa akibat terlalu panas yang menyebabkan mereka sentiasa mengantuk. Keadaan sebegini mengganggu proses

pembelajaran dan penumpuan para pelajar.

4. Struktur keluarga Kebanyakan pelajar dari keluarga atasan dan menengah mempunyai ahli keluarga yang tidak ramai. Ada di antaranya merupakan anak tunggal di dalam keluarga. Ini adalah kerana ibu bapa mereka telah didedahkan kepada program merancang keluarga. Bagi pelajar di dalam kepompong kelas bawahan, ahli

keluarga mereka agak ramai. Adik-beradik yang ramai ini menyebabkan ibu bapa mereka tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada setiap orang anak; fokus hanya untuk mencari duit bagi menampung keluarga bagi sesuap nasi. Kebanyakan pelajar berdikari ini sendiri untuk pembelajaran mereka.

Pelajar yang mempunyai jati diri yang kuat dan mendapat sokongan daripada ahli keluarga berjaya dalam pelajaran walaupun di dalam kehidupan yang miskin dan daif; ada juga yang keciciran dalam pelajaran kerana desakan hidup yang kian mencabar. Kebaikan mempunyai adik-beradik yang sama ialah saling tolong menolong dan bekerjasama di antara satu sama lain untuk mencapai kecemerlangan di dalam pendidikan. Dari segi kestabilan perkahwinan, dikatakan penceraian kerap berlaku pada kelas sosial bawahan kerana pengangguran dan masalah ekonomi yang boleh menimbulkan pergeseran antara suami dan isteri. Akibatnya daripada penceraian dan ketakharmonian rumahtangga ini, pelajar hilang tumpuan terhadap pelajaran dan mengambil jalan mudah dengan keluar dari rumah untuk mencari ketenangan.

Keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal juga dikatakan lebih kerap berada di dalam golongan bawahan ini. Ini adalah kerana kebanyakan ibu tunggal ini perlu menyara keluarga, bekerja pada masa yang sama dan terdedah kepada tekanan perasaan daripada masyarakat sekeliling. Anak-anak yang sedang membesar memerlukan perhatian daripada ibu mereka; akan tetapi masalah kewangan yang mendesak menyebabkan kebaanyakan ibu tunggal ini tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap anak dan pelajaran mereka. Akibatnya ada di kalangan pelajar ini keciciran di dalam pelajaran dan terlibat dengan gegala sosial yang kian meruncing di Malaysia di kala ini.

5. Tahap pendidikan ibu bapa Ibu bapa yang berpendidikan mampu memberi tunjuk ajar, bimbingan dan galakkan kepada anak mereka untuk terus berjaya di dalam pendidikan. Ini adalah hasil daripada pengalaman mereka sewaktu di zaman persekolahan dan

pengajian samada di peringkat universiti atau kolej. Ibu bapa daripada golongan bawahan pula, kebanyakannya tidak mendapat pendidikan formal dan ada juga di antaranya tidak pernah ke sekolah. Oleh itu mereka tidak pernah merasai pengalaman bersekolah di dalam konteks menimba ilmu ini. Akibatnya mereka kurang memberi dorongan dan motivasi kepada anak-anak mereka untuk bersekolah mahupun meneruskan persekolahan. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak bersemangat untuk ke sekolah kerana mereka lebih rela membantu ibu bapa samada di rumah ataupun bekerja di usia yang muda. Terdapat juga pandangan ibu bapa terhadap anak perempuan yang menyatakan belajar setinggi manapun akan ke dapur juga. Ini sedikit sebanyak memberi kesan pelajar terhadap pendidikan mereka.

6. Pengaruh rakan sebaya Rakan sebaya memberi pengaruh yang agak besar di dalam pertumbuhan sosial seseorang pelajar. Apabila seseorang pelajar bergaul dengan rakan yang tercicir, besar kemungkinan pelajar itu pun turut tercicir dari sekolah. Secara psikologi, gerak geri dan perlakuan pelajar yang tercicir lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan dengannya. Dalam kes-kes tertentu, pelajar yang tercicir cuba mempengaruhi kawan-kawannya yang lain untuk menyertai tindakannya yang lebih menyeronokkan. Di samping itu kegelojohan pihak sekolah yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar memberi tekanan ke atas pelajar yang lemah dalam pelajaran.

Pelajar di sebuah sekolah bebas bergaul di antara satu sama lain tanpa memikirkan bangsa, ras, latar belakang dan kaum yang berbeza-beza yang dihimpunkan di dalam satu insitusi pendidikan yang sama. Akan tetapi terdapat pelajar dari keluarga bawahan yang kurang berkomunikasi kerana berasa kerdil ataumalu disebabkan keadaan diri yang serba kekurangan. Mereka lebih senang bergaul dengan rakan sebaya yang seangkatan dengan mereka. Ini

menyebabkan pelajar ini berada di kelompok mereka sahaja; sedangkan di

dalam mencari ilmu setiap pelajar perlu berinteraksi antara satu sama lain untuk bertukar-tukar fikiran dan idea mengenai pelajaran mereka. Pelajar yang lemah di dalam pelajaran boleh bertanya atau berbincang dengan pelajar yang pintar. Pergaulan dengan rakan sebaya ini memberi impak yang positif dan negatif di dalam proses pembelajaran pelajar. Dari sudut positifnya, tidak kira apa juga kelas sosial mereka boleh bekerjasama untuk cemerlang di dalam pendidikan mereka. Dari sudut negatifnya, pengaruh yang tidak sihat daripada hasil pergaulan antara rakan sebaya seperti menghisap rokok, ponteng sekolah atau kuliah, menghisap ganja, bermain video game di pusat-pusat video dan sebagainya memberi tauladan yang tidak baik di dalam kehidupan seseorang pelajar.

7. Faktor sekolah dan guru Selain rumah, sekolah merupakan tempat di mana pelajar banyak menghabiskan masa dalam sehari. Pengurusan sekolah yang berkesan samada dalam kepimpinan pengajaran dan kurikulum serta pengajar yang efisyen meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Pencapaian pendidikan pelajar juga dipengaruhi oleh kaedah pengajaran pengajar. Seseorang pengajar yang mengajar dalam kaedah traditional iaitu dengan lebih banyak memberi syarahan tanpa menggunakan teknologi dalam pengajarannya samada penggunaan power point, model dan simulasi menyebabkan suasana kelas menjadi hambar dan membosankan. Pelajar tidak termotivasi untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran Lokasi sekolah yang kurang sesuai seperti persekitaran yang bising di tengah bandar dan sekolah yang terletak terlalu jauh sehingga pelajar menghabiskan banyak masa dalam perjalanan pergi dan balik ke sekolah mempengaruhi pembelajaran pelajar. Ada di kalangan dari pendalaman Sabah dan Sarawak yang perlu mengharungi denai, hutan dan sungai untuk sampai ke sekolah. Apabila di dalam kelas, pelajar-pelajar ini keletihan dan tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap pengajaran guru mereka.

Keadaan sebegini tidak dirasai oleh pelajar yang tinggal di kawasan bandar dan dalam status pertengahan dan atasan.Kekurangan dana tambahan daripada sumber lain menyebabkan kebanyakan sekolah di luar bandar tidak dapat mempertingkatkan program ke arah pembangunan sekolah dan kecemerlangan akademik. Ini adalah kerana ibu bapa di luar bandar tidak berupaya memberikan sumbangan kewangan menyebabkan kebanyakan sekolah bergantung

sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Perbezaan kelas sosial yang wujud perlu ditangani supaya tidak ada murid yang berasa mereka dipinggirkan oleh guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menjamin semua murid akan berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam kelas. Kebijaksaan guru mengendalikan kelas sosial akan mewujudkan pergaulan bebas, berinteraksi tanpa sekatan budaya dan tidak berkelompok dalam sesuatu masyarakat. Dengan cara ini, satu suasana hubungan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan akan terbentuk. MENANGANI IMPAK KELAS SOSIAL Di dalam menangani impak kelas sosial terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, seorang guru seharusnya sedar bahawa setiap pelajar adalah berbeza dan istimewa. Perbezaan kelas sosial yang wujud perlu ditangani supaya tidak ada murid yang berasa mereka dipinggirkan oleh guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.Keadaan ini menjamin semua murid akan berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam kelas.Kebijaksanaan guru mengendalikan kelas sosial akan mewujudkan pergaulan bebas dan tidak berkelompok dalam sesuatu masyarakat. Seorang guru juga harus berusaha untuk menolong murid memahami dan membentuk nilai, sikap serta tingkah laku yang sesuai. Guru perlu melayan keperluan murid ke arah memperkembang potensi mereka secara optimum. Guru mesti menolong murid membentuk konsep kendiri positif supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan perasaan yang seronok. Ini adalah supaya murid tidak tertekan semasa mengikuti pelajaran di sekolah. Murid yang seronok belajar akan sentiasa hadir ke sekolah dan seterusnya akan meningkatkan prestasi pelajar tersebut.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru dan pihak sekolah untuk menangai impak kelas sosial adalah seperti: 1. Penerimaan dan layanan Pihak sekolah dan guru hendaklah melayan semua pelajar sama rata dan tanpa pengecualian. Pelajar haruslah diberi layanan yang adil mengikut keperluan individu pelajar terbabit. Guru seharusnya menggunakan maklumat peribadi murid untuk mendekati murid dan membuat perancangan pengajaran yang sesuai berdasarkan keperluan. Guru seharusnya juga membentuk hubungan yang baik dengan murid di mana ini akan membentuk minat murid untuk belajar.

Hukuman yang setimpal hendaklah diberi kepada pelajar yang melakukan kesalahan semasa di dalam kelas tanpa mengira kelas sosial pelajar terbabit. Namun begitu, hukuman berbentuk deraan seharusnya dielakkan kerana ini akan dapat merenggangkan hubungan di antara guru dan murid. Guru dan pihak sekolah haruslah bijak menangani pelajar yang bermasalah tanpa menyebabkan pelajar itu tidak lagi berminat dengan pelajaran.

2. Strategi Pembelajaran Koperatif Guru tidak seharusnya menganggap bahawa semua murid adalah sama dan kemampuan murid untuk belajar adalah serupa. Setiap pelajar adalah istimewa dan setiap pelajar mempunyai teknik belajar yang berlainan. Seorang guru

seharusnya mahir untuk mengenalpasti tahap dan kemampuan pelajarnya menerima sesuatu pelajaran. Guru yang baik adalah seorang guru yang mampu merancang aktiviti pengajaran yang boleh disertai oleh semua murid tanpa mengira kelas sosial pelajar terbabit.

Antara teknik yang boleh digunakan oleh seorang guru adalah pembelajaran koperatif. Dalam pembelajaran koperatif, guru membahagikan kelas kepada beberapa kumpulan kecil yang akan membantu sesama mereka untuk belajar. Tugasan dalam kumpulan akan memberikan ruang kepada pelajar untuk berbincang sesama mereka dan biasanya tugasan itu mungkin dalam bentuk

menyelesaikan

sesuatu

masalah

pembelajaran

berdasarkan

kemahiran-

kemahiran tertentu, contohnya mencari isi-isi penting untuk menulis karangan melalui aktiviti sumbangsaran.

Guru boleh menggunakan aktiviti pembelajaran koperatif untuk mengeratkan perpaduan di dalam sebuah kelas. Murid juga akan dapat berinteraksi dan berbincang di samping berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk menyelesaikan tugasan. Ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali satu sama lain dengan lebih erat lagi tanpa mengira kelas sosial pelajar.

3. Pengurusan bilik darjah dan pengurusan hubungan Seorang guru mestilah mempunyai kawalan bilik darjah yang baik dan teratur. Pengurusan bilik darjah yang baik akan memberi kawalan terhadap dispilin murid-murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Ini akan menghasilkan suasana kelas yang terkawal dan tidak menganggu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Kerapkali terjadi perbezaan antara individu atau kumpulan dengan yang lain semasa di dalam bilik darjah. Sekiranya seorang guru mempunyai kawalan dan pengurusan bilik darjah yang baik, sebarang tindakan terhadap pelajar yang menimbulkan masalah akan dapat diselesaikan dengan baik. Antara panduan yang boleh digunakan untuk mengurus tingkahlaku murid adalah seperti membuat senarai peraturan yang wajib pelajar patuhi semasa di dalam kelas. Guru juga harus memastikan semua murid berinteraksi dan bersosial tanpa mengira kelas sosial, kaum dan budaya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dan membuang sikap prejudis di antara satu sama lain.

4. Jangkaan guru Guru sebagai seorang pengurus bilik darjah, pendidik, pemudahcara, ejen perubahan dan sumber inspirasi terhadap murid perlu sedar bahawa potensi

pelajar bukan berdasarkan kelas sosial, jantina ataupun bangsa. Seorang guru seharusnya tidak membuat pelabelan dan generalisasi terhadap pelajar yang lemah. Guru seharusnya ubah pandangan dan elakkan diskriminasi terhadap pelajar serta menyediakan rancangan pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan pengalaman, keupayaan dan budaya pelajar.

5. Pemilihan bahan sumber pengajaran Seorang guru juga harus cekap menyediakan bahan sumber pengajaran yang sesuai dengan budaya dan pengetahuan pelajar. Bahan pengajaran yang dipilih seharusnya hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur negatif dan menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. Bahan pengajaran itu juga perlulah di dalam bentuk yang dapat diterima, tepat dan jelas. Selain itu, guru boleh menangani masalah perbezaan kelas sosial dan individu dengan menitikberatkan atau memberi pertimbangan kepada aspek-aspek tertentu semasa merancang atau melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Aspek-aspek tersebut termasuklah:

1. Memahami perbezaan murid Penting untuk guru memahami perbezaan murid dari segi fizikal, mental dan emosi. Pemahaman seperti ini adalah amat penting kepada guru agar dapat memberi layanan yang sewajarnya kepada murid-murid. Ini dapat mengelakkan guru bersikap pilih kasih.

2. Memahami tingkah laku murid Guru perlu memahami tingkah laku muridnya agar persefahaman dan perhubungan yang baik di antara murid dan guru dapat dicapai. Guru akan bersifat lebih bertimbang rasa dan bersimpati dengan murid setelah memahami tingkah laku, kebolehan serta minat murid yang berbeza. Dengan itu guru dapat merancang aktiviti yang dapat membentuk tingkah laku yang diingini dengan memberi bimbingan yang sewajarnya.

3. Meramal tingkah laku murid Meramal atau menelah gerak balas dan tingkah laku yang mungkin timbul dalam sesuatu situasi adalah penting. Sebagai contoh, jika terdapat seseorang murid hiperaktif di dalam kelas yang hendak diajar, apa agaknya perilaku yang mungkin timbul semasa guru mengajar? Bagaimana cara guru mengatasi masalah tersebut? Apa reaksi murid-murid lain yang mungkin tergolong dalam kumpulan introvert? Persoalan-persoalan ini mungkin dapat diandaikan dan dijawab oleh guru sebelum merancang pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

4. Perbezaan Gaya Kognitif dan Gaya Belajar Setelah beberapa bulan seseorang guru itu mengajar di sesebuah kelas, dia akan dapat mengesan gaya kognitif dan gaya belajar pelajar-pelajarnya yang berbezabeza. Ada yang suka belajar menggunakan audio, ada yang visual, ada yang memproses maklumat secara global dan ada yang secara analitikal. Ini perlu difahami supaya guru dapat menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian.

5. Penetapan objektif pengajaran dan pembelajaran Oleh kerana tahap kecerdasan berbeza di kalangan pelajar, dalam merangka objektif pengajaran dan pembelajaran, guru harus mengambil objektif yang sesuai dengan pelajar. Guru juga perlu menyediakan latihan atau aktiviti yang berbeza untuk kumpulan yang berbeza keupayaan, supaya pelajar yang lambat tidak terus tertinggal dan yang pandai tidak berasa bosan.

6. Pendekatan, strategi, kaedah dan teknik Guru perlu menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti aktiviti kumpulan, untuk melayan pelajar yang berbeza. Aktiviti berkumpulan sangat sesuai dilaksanakan kerana pelajar di dalam sesebuah kelas berbeza dari segi

keupayaan. Dengan melakukan aktiviti secara kumpulan, pelajar yang cerdas boleh membantu pelajar yang lemah.

7. Mempelbagaikan Bahan Bantu Mengajar Guru perlu menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar. Bahan-bahan itu pula mestilah bersesuaian dan boleh digunakan oleh semua murid. Guru perlu mengelakkan pengunaan bahan yang sesetengah pelajar tidak dapat

menggunakannya.

8. Menyediakan program pemulihan dan pengayaan Guru perlu merancang dan mengadakan program pemulihan untuk membantu mereka mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi supaya masalah pembelajaran tidak berhimpun sehingga ke peringkat yang tidak boleh dipulihkan lagi. Manakala bagi murid yang cerdas pula, program pengayaan yang pelbagai perlu diberikan supaya mereka tidak bosan pembelajaran.

9. Merancang Aktiviti alternatif Adakalanya guru beranggapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang itu amat sesuai dan bertepatan dengan objektif yang hendak dicapai. Namun semasa melaksanakannya, guru mendapati kaedah atau teknik, strategi, serta pendekatan yang digunakan kurang sesuai dengan sesetengah muridmuridnya. Keadaan ini akan menyebabkan guru menjadi serba salah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi jika guru telah merancang aktiviti alternatif selain daripada apa yang terdapat dalam rancangan pengajaran, dia boleh melakukan pengubahsuaian serta merta mana-mana yang perlu.

10. Sentiasa bertolak ansur Guru harus memahami bahawa setiap pelajar itu unik dan berbeza-beza. Oleh itu guru juga haruslah sentiasa bertolak ansur dengan para pelajarnya dalam apa jua keadaan. Misalnya, guru telah merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang difikirkan paling bersesuaian setelah mempertimbangkan

perkara-perkara yang dinyatakan di atas, namun masih ada muridnya yang tidak dapat mencapai objektif pelajaran atau yang lebih teruk lagi ada di kalangan pelajar ekstrovert yang menimbulkan gangguan semasa guru melaksanakan pengajaran itu. Jika berhadapan dengan perkara ini, guru haruslah bersabar melayani karenah anak muridnya.

KESIMPULAN Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan masalah sosial di kalangan remaja. Remaja yang datang dari keluarga yang taraf sosio ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin. Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan remaja berkenaan. Selain itu, bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan. Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan. Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza. Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama. Bagi kelas bawahan mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza. Mereka yang berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-peluang pendidikan dan kerjaya terbaru. Untuk mengekalkan atau meningkatkan lagi kedudukan mereka, mereka harus bekerja lebih giat. Begitu juga dengan kelas bawah untuk bersaing mereka harus

melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan. Usaha keras inilah yang meruntun pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya.

Kelas sosial para pelajar sering dikaitkan dengan kelakuan dan pencapaian para pelajar di sekolah. Iaitu dengan kata lain, latar belakang sosio-ekonomi sesebuah keluarga mempunyai kolerasi terhadap perlakuan dan pencapaian akademik seseorang pelajar. Ini adalah kerana latar belakang budaya keluarga mempengaruhi sahsiah dan pembentukan kendiri pelajar yang disebabkan mereka lebih banyak menghabiskan

masa bersama keluarga di rumah. Dalam erti kata lain, pelajar telah disosialisasikan dalam budaya keluarga mengikut kelas sosial di dalam masyarakat. Pencapaian pelajar di dalam akademik ada kaitan juga dengan struktur kelas sosial di dalam masyarakat.

Kelas sosial rendah tidak sepatutnya menjadi kengkangan atau penghalang kepada para pelajar untuk Kelas sosial rendah tidak sepatutnya menjadi kengkangan atau penghalang kepada para pelajar untuk mencapai prestasi akademik yang baik dan mampu bersaing dengan pelajar dari kelas pertengahan atau atasan. Kerjasama daripada pihak kerajaan, sekolah, guru dan masyarakat adalah diperlukan supaya pelajar dari kelas bawahan tidak terus terpinggir dan dipinggirkan kerana sebahagian daripada pelajar ini mempunyai peluang yang cerah dalam akademik mengatasi pelajar dari kelas sosial pertengahan dan atasan

REFLEKSI

BIBLIOGRAFI

A.J. Michael. 2006. Kompetensi Kecerdasan Emosi untuk Pelajar Kursus Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP). Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Bahagian Pendidikan Guru. 2003. Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah. Ilmu Pendidikan Pengetahuan Ikhtisas Model 1/3 Unit 1/2 Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Guru. Bahagian Pendidikan Guru. 2004. Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah. Ilmu Pendidikan Pengetahuan Ikhtisas Model 2/3 Unit 1 dan Unit 2 Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Guru. Dr. Ragbir Kaur A/P Joginder Singh. 2005. Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Ee Ah Meng. 1995. Psikologi dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd. Khadijah Rohani Mohd. Yusof. 2007. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Open University (OUM). Lee Shok Mee. 1994. Asas Pendidikan 2 : Psikologi dalam Blik Darjah. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Lee Shok Mee. 1995. Asas Pendidikan 2 : Murid dan Proses Pembelajaran . Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Mook Soon Sang. 2000. Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah Semester 1). Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Pusat Perkembangan Kurikulum. 2001. Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Shahabuddin Hashim, Dr. Rohizani Yaakub. 2004. Psikologi Pembelajaran & Personaliti. Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Shahabuddin Hashim, Mahani Razali, Ramlah Jantan. 2004. Psikologi Pendidikan. Pahang : PTS Publications & distributors Sdn. Bhd.

Rujukan Internet http://haqiqie.wordpress.com. Akses pada 13 Februari 2013. http://myschoolnet.ppk.kpm.my/bhn_pnp/modul_psv/04kecerdasan_pelbagai.pdf. Akses pada 13 Februari 2013. http://treebuilder.blogspot.com/2011/02/bab-4-stratifikasi-sosio-ekonomi-dan.html. Akses pada 13 Februari 2013 http://www.scribd.com/doc/3860894/BAB-3-PERBEZAAN-INDIVIDU. Akses pada 13 Februari 2013

You might also like