You are on page 1of 9

PENULISAN AKADEMIK

Unsur yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusi sejagat ialah
emosi. Jika seseorang mengalami gangguan emosi, maka timbullah beberapa masalah yang
mampu memberikan kesan yang negatif kepada diri sendiri seperti tidak bersemangat dalam
melakukan sesuatu perkara dan kelihatan gelisah untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Gangguan emosi juga boleh menjadi penyakit yang serius jika berlarutan dan boleh
menyebabkan gangguan mental. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud
perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Menurut Bruno (1984),
mendefinisikan emosi sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di
dalam badan. Oleh itu, beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang
itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan homeostasisnya terganggu dengan
pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang- kala kesihatan individu
yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas.

Gangguan Emosi merupakan satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih
perwatakan oleh individu. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberi maksud kepada
gangguan emosi sebagai akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan
keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu. Gangguan emosi juga dapat
ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka menyendiri dan mempunyai emosi yang
tidak stabil. Secara ringkasnya gangguan emosi boleh dikatakan bahawa gangguan yang
diterima oleh seseorang yang menyebabkan emosi seseorang tersebut tidak stabil.

Menurut Terri Mauro (2004), antara factor yang berkait dengan gangguan emosi dalam
kalangan kanak-kanak ialah persekitaran sekolah, peristiwa dalam keluarga, pengaruh
keluarga, pengaruh rakan sebaya, tindakan guru dan lain-lain. Persekitaran sekolah yang
tidak kondusif menyebabkan murid mengalami gangguan emosi. Hal ini kerana masalah
kesesakan didalam kelas kerana bilangan murid yang ramai memberi kecenderungan murid
untuk melakukan kesalahan disiplin. Melakukan perlakuan negatif wujud kerana dipengaruhi
unsur negatif di sekeliling mereka. Kelas yang padat akan menyebabkan murid tidak selesa
kepada proses pengajaran dan pemudahcaraan. Keadaan ini akan lebih ketara jika terdapat
murid nakal yang mengganggu proses pengajaran dan pemudahcaraan itu berlangsung. Hal
ini akan mengganggu murid untuk belajar dan menyebabkan mereka mengalami gangguan
emosi.
Gangguan emosi murid juga boleh mempengaruhi proses pengajaran dan
pemudahcaraan di dalam kelas. Akauntabiliti seorang guru adalah memberi murid ilmu
pengetahuan sepanjang berada di dalam kelas. Proses pengajaran tidak berjalan dengan

4
lancar kerana terdapat murid yang mengalami gangguan emosi dan mempengaruhi suasana
di dalam kelas. Situasi seperti ini juga akan mengganggu tumpuan murid lain untuk belajar.

Murid mengalami gangguan emosi kerana keadaan biologikal mereka telah


mempengaruhi emosi murid. Pemikiran murid menjadi tidak stabil apabila mereka mengalami
ketidakfungsian otak sehingga menyebabkan mereka melakukan sesuatu tindakan diluar
kawalan mereka sendiri. Selain daripada itu, gangguan kesihatan fizikal murid turut boleh
menyebabkan emosi menjadi tidak normal. Murid yang menghadapi masalah ini sering kali
berasa rendah keyakinan diri dan menyisihkan diri disebabkan masalah kesihatan. Seorang
murid yang bersikap panas baran tidak dapat mengawal emosi mereka sekiranya berada
dalam keadaan geram atau marah. Akibat daripada perasaan tersebut murid akan bertindak
untuk menjadi agresif dalam situasi tertentu.

Keluarga juga menjadi faktor terhadap emosi murid terutama sekali semasa mereka
berada di rumah. Murid menghabiskan masa setiap hari berada di rumah sendiri dan
pengaruh daripada keluarga adalah lebih kuat berbanding dengan pengaruh dari luaran.
Keluarga memberikan harapan yang tinggi terhadap pencapaian anak mereka supaya dapat
memperolehi kejayaan. Sekiranya anak mereka gagal dalam pencapaian, maka timbul
perasaan marah yang menyebabkan ibu bapa bertindak diluar jangkaan. Hal ini akan
menyebabkan murid berasa tertekan dengan situasi sehingga menyebabkan emosi
terganggu. Tekanan luaran juga mempengaruhi emosi seseorang murid sekiranya keluarga
tidak dapat mengatasi masalah tersebut. Antara tekanan luaran yang boleh mengganggu
emosi murid seperti masalah hutang ibu bapa yang berlambak. Keadaan ini boleh
menyebabkan masalah lain timbul seperti pembayaran yuran sekolah tertangguh, pakaian
sekolah murid tidak dibeli dan banyak lagi. Hubungan keluarga yang regang akan turut
mempengaruhi interaksi antara ahli keluarga. Terdapat ibu bapa yang tidak menghiraukan
masalah anak mereka yang ingin berkongsi masalah dengan ibu bapa. Perkara ini akan
menyebabkan interaksi antara anak dengan ahli keluarga tidak menjadi begitu baik
sehinggakan murid terpaksa memikul masalah mereka sendiri. Maka berlakulah gangguan
emosi murid akibat permasalahan yang ditanggung oleh diri sendiri.

Di sekolah juga murid boleh mengalami gangguan emosi sekiranya pihaksekolah tidak
dapat menangani masalah-masalah yang melibatkan murid. Sekiranya sekolah tidak mampu
untuk menyediakan peluang kepada murid yang mempunyai kecerdasan pelbagai, minat
murid untuk pergi ke sekolah semakin lama semakin terhakis. Apabila kemahuan murid untuk
mencapai sesuatu tidak dapat dipenuhi menyebabkan gangguan emosi pada diri murid mula
timbul. Terdapat sekolah yang terlalu mengharapkan murid-murid mereka mencapai

5
keputusan yang baik. Namun begitu, terdapat juga murid yang tidak berupaya untuk
mempamerkan pencapaian pada tahap yang optimum. Keadaan ini menyebabkan murid
berasa begitu tertekan dengan kemahuan sekolah. Murid tidak dapat menumpukan perhatian
terhadap pembelajaran kerana terlalu fokus terhadap pencapaian yang perlu mereka capai.
Kemahiran sosial yang rendah di kalangan murid juga akan menyebabkan keyakinan diri serta
ketidakupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran. Keadaan ini akan menyebabkan
murid tidak mempunyai ramai kawan dan sering disisihkan oleh rakan-rakan lain. Murid akan
berasa diri mereka tidak diperlukan atau tidak bermakna lagi.

Gold dan Roth (1993) menggambarkan status profesion perguruan masa kini
dianggap mempunyai tiga keadaan negatif, iaitu keadaan yang tertekan, moral guru yang
rendah dan perletakan jawatan. Di Malaysia, persoalan gangguan di kalangan guru bukan lagi
setakat bahan kajian ilmiah, malah ia menjadi isu dalam media masa. Menurut Muhamad
(1995) , kajian oleh Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia
(KONGRES) menunjukkan guru-guru mengeluh terhadap kerja-kerja persediaan guru seperti
menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian.

Menurut Kosmo (2014), profesion keguruan tidak hanya melibatkan tekanan pekerjaan
biasa, tetapi merangkumi tiga elemen utama iaitu beban emosi, beban kognitif dan beban
fizikal. Tidak semua pekerjaan melalui pengalaman seumpama ini. Faktor beban tugas adalah
menjadi faktor utama yang menyebabkan gangguan emosi guru. Kajian mendapati guru-guru
terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian dalam tugasan mereka. Disamping itu juga,
mereka tidak mempunyai cukup masa untuk memeriksa buku latihan pelajar. Ini selari dengan
hasil kajian oleh Fisher (1995), menyatakan bahawa seseorang tidak dapat bekerja secara
efektif sekiranya dibebani dengan kerja yang banyak.

Menurut Esah Sulaiman (2001), guru merupakan pengurus pembelajaran yang


bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar
kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk menyediakan
maklumat-maklumat untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga dibebankan
dengan tugas-tugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang dan
menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus yang
telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya. Perkara
ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang amat
tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang
berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan

6
pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan
guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama keluarga.

Faktor disiplin pelajar adalah faktor kedua yang menyebabkan stres guru selepas
faktor beban tugas. Sikap pelajar yang membuat bising dan tidak memberi kerjasama di dalam
kelas adalah menjadi faktor utama gangguan emosi guru. Tambahan pula sikap pelajar yang
tidak mematuhi peraturan sekolah menambahkan lagi stres guru. Menurut Tengku Mastura
dan Noraime (2006), salah satu punca yang menyebabkan gangguan emosi guru adalah
pelajar. Masalah pelajar ini termasuklah daripada tingkah laku pelajar yang buruk, tidak mahu
memberi kerjasama kepada guru, tidak mahu mendengar nasihat dan tidak membawa
peralatan belajar seperti buku teks, buku latihan dan alat tulis. Terdapat kajian lain juga
mendapati bahawa faktor salah laku pelajar mempunyai purata yang tertinggi yang
menyebabkan gangguan emosi guru.

Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada
perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran sekaligus
boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Guru bukan sahaja
terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi juga berhadapan dengan
ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk
menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa kebiasaannya akan
mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan kecemerlangan akademik semata-
mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya seperti kemahiran dalam
bidang vokasional. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa
menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di
luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.

Punca-punca peribadi juga merupakan antara faktor guru mengalami gangguan


emosi. Keadaan kesihatan guru terjejas ataupun berlakunya kemalangan dan kematian dalam
kalangan ahli keluarga akan menyebabkan guru tersebut mengalami gangguan emosi yang
seirus. Selain itu, hubungan dengan ahli keluarga atau rakan sekerja adalah amat penting
bagi seseorang guru kerana ia merupakan satu sokongan kepada guru tersebut. Jika
berlakunya perselisihan faham akibat masalah komunikasi yang tidak berkesan maka ini
boleh menyebabkan gangguan emosi terhadap guru tersebut.

Ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang penting dalam membentuk disiplin,
peribadi serta akhlak anak-anak. Kecuaian ibu bapa mampu menjadikan anak-anak hilang
panduan dan keliru dalam kehidupannya. Ibu bapa seharusnya melakukan sesuatu yang

7
positif untuk menhidupkan keharmonian kekeluargaan. Ibu bapa juga perlu bijak dalam
menyimbangi peranan mereka di rumah, tempat kerja dan masyarakat. Keseimbangan ini
mampu membantu ibu bapa untuk memberi perhatian kepada perkembangan anak-anaknya.
Hubungan antara tingkah laku dan personaliti anak-anak dipengaruhi oleh cara didikan ibu
bapanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa seorang murid memenuhi kebanyakan masa


menuntutnya di bangku sekolah. Maka, suasana bilik darjah merupakan suasana penting
dalam memupuk dan mengawal perkembangan emosi murid. Suasana bilik darjah yang
kondusif, selesa dan menarik sangat membantu perkembangan emosi murid yang sempurna.
Hal ini kerana murid berasa seronok dan gembira sepanjang sesi persekolahan. Guru juga
perlu mewujudkan suasana yang ceria. Hal ini akan mempengaruhi minat dan kecergasan
murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Secara tidak langsung, emosi negatif yang
terhasil sebelum ini akan menjadi positif jika guru dapat menarik minat murid untuk belajar.
Oleh itu, guru hendaklah sentiasa memastikan keadaan kelas berada dalam tahap yang
selesa dan ceria untuk muird belajar dan tidak mengganggu emosi murid.

Guru seharusnya mempelbagaikan gaya kepimpinan semasa proses pengajaran dan


pembelajaran di dalam kelas. Gaya Kepimpinan Autokratik memerlukan guru mengawal murid
melalui ganjaran dan hukuman sehingga menyebabkan murid berada dalam keadaan
tertekan dan tidak gembira. Guru yang mengamalkan Gaya Kepimpinan Demokratik iaitu
berkongsi tanggungjawab bersama murid akan lebih memberi galakan kepada murid dan
bukannya tekanan bagi menghasilkan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Guru juga
perlu mewujudkan keadaan yang ceria

Guru seharusnya membantu murid untuk lebih berani seperti menjadikan murid
sebahagian dalam bilik darjah. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa hasrat hati
manusia menjadi sebahagian daripada alam sosial dan perasaan intelektual. Oleh itu, guru
perlu menggerakkan keinginan murid untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti dan
suasana bilik darjah mengikut hasrat hati mereka dan bersesuaian dengan situasi atau emosi
murid pada ketika itu. Mereka mengharapkan peranan mereka akan diterima serta dipuji dan
diperhatikan oleh rakan-rakan yang lain. Interaksi sekurang-kurangnya dua hala adalah amat
diperlukan dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran supaya tidak ada murid yang berasa
terpinggir ketika berada di dalam kelas. Melalui cara ini, setiap murid pasti akan dapat
mengawal emosi dan seterusnya dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran yang
sedang diikutinya itu. Guru juga perlu memberikan pujian atau galakan kepada murid-murid

8
yang berpotensi untuk mengalami gangguan emosi. Hal ini akan menaikkan semangat
mereka untuk lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru juga perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid. Penerapan nilai-nilai
murni dapat guru laksanakan ketika memberikan penekanan kepada kepentingan
mewujudkan hubungan personal dan sosial dalam kalangan murid. Guru perlu memberikan
nasihat dan bimbingan yang sewajarnya terhadap proses interaksi sosial yang melibatkan
murid ketika melakukan aktiviti pembelajaran. Guru perlu melayani kepelbagaian murid
melalui layanan yang saksama terhadap semua murid tanpa mengira murid tersebut lemah,
miskin atau kurang upaya. Dengan langkah ini emosi murid tidak akan terganggu. Selain itu,
apabila emosi terkawal maka kedua-dua belah pihak iaitu guru dan murid berpeluang berbual-
bual tentang perasaan mereka dan ini akan lebih memudahkan lagi penerimaan murid
terhadap proses pembelajaran yang dilaksanakan. Hal ini akan meningkatkan kepercayaan
dan keselesaan murid tersebut terhadap guru.

Guru juga harus cuba mengembangkan pengalaman murid. Ini boleh dilaksanakan
dengan kaedah menggunakan alat bantu mengajar dan teknik pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai mengikut kehendak kurikulum dan ciri-ciri murid yang dihadapinya. Mereka boleh
memberikan penjelasan serta memperluas bahan bantuan dengan tujuan memperkayakan
kurikulum. Penggunaan bahan-bahan yang bersesuaian dengan kebolehan murid akan
mendorong mereka untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pembelajaran. Penglibatan
aktif murid secara langsung akan membantu mereka untuk mengekalkan emosi terhadap
aktiviti dalam pembelajaran.

Apabila guru dapat mengawal emosi murid, maka guru dapat menjelaskan apa yang
perlu dipelajari oleh murid melalui penerangan yang jelas dan terperinci. Maklumat yang
diberikan seharusnya dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid supaya mereka
bersedia menerima aktiviti pembelajran yang akan dilaksanakan. Situasi yang sebegini akan
mewujudkan kerjasama antara guru dengan murid. Kebolehan guru mengawal emosi bilik
darjah sangat penting kerana ini akan memberikan peluang kepada murid untuk
berkomunikasi dengan guru. Perhubungan positif antara guru dengan murid di dalam bilik
darjah perlu diwujudkan supoaya pembelajaran berkesan dapat dipraktikkan. Situasi ini
mendorong seseorang guru mengamalkan tangkah laku yang efektif dan berkualiti serta
berupaya membentuk emosi yang stabil dalam kalangan murid.

Berdasarkan faktor-faktor yang telah dibincangkan, banyak usaha dan rancangan


untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi masalah

9
beban guru sekolah agar isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Jika tidak,
ia akan membawa kesan yang buruk sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara
tidak langsung ia mampu membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej keguruan.
Maka, pihak yang berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat terhadap isu-isu
guru mengalami gangguan emosi akibat bebanan kerja.

Berdasarkan cadangan yang telah dikemukakan oleh warga pendidik, terdapat


beberapa kajian lengkap telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi
memenuhi kehendak warga pendidik tersebut. Kajian keseluruhannya mendapati bahawa,
para guru memperoleh kembali tugas hakiki guru iaitu mengajar dalam mengasak ilmu
pengetahuan kepada murid di dalam kelas tanpa terlalu memberi tumpuan berlebihan kepada
bukan tugas hakiki. Di antara langkah yang akan diambil adalah penambahan guru,
pengurangan muird dalam sebuah bilik darjah dan mengambil lebih banyak kakitangan
perkeranian supaya guru dapat memberi lebih tumpuan kepada tugas teras mereka iaitu
mengajar. Secara ringkasnya, guru tidaklah seharusnya dibebani oleh tugas-tugas sampingan
yang bukannya berada dibawah bidang keguruan ini. Tambahan daripada itu, guru tidak
seharusnya dibebani oleh kerja individu yang lain dalam menjalani tugas sebagai seorang
guru.

Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru. Antaranya berkongsi
masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa
mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru telah dibebankan dengan
pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya
mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan
prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi
bagi memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stress yang
berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara
signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran
dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada
pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi
seseorang guru untuk membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan. Jadi dengan
adanya hubungan yang rapat dengan rakan sekerja, masalah-masalah yang dihadapi dapat
dikongsi bersama dan meringankan beban guru tersebut.

Menurut Utusan Online (2007), warga pendidik hendaklah bijak menangani isu
pendidikan agar dapat mengawal emosi. Selain daripada aktiviti fizikal yang dapat
menghilangkan stress, seorang guru juga patut menguasai kemahiran pengurusan masa.

10
Kebanyakan guru-guru muda yang baru diserapkan di sekolah kebanyakan tidak pandai
menguruskan masa sendiri sehinggakan mereka cenderung untuk mencampurkan tugas
rasmi dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Kebanyakan guru yang bekerja menghabiskan masa
ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain sehingga
mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan
mempengaruhi guru mengalami masalah gangguan emosi akibat beban kerja. Oleh itu,
kemahiran pengurusan masa dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-
kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru
perlu merancang jadual bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya
untuk kegunaan diri.

Seseorang guru yang mengalami gangguan emosi akibat beban kerja boleh
mempelajari kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap
tekanan. Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang
mengutamakan cara menarik dan menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh
menangani stres. Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang
sihat dan seimbang dengan bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang
cukup dan tidak meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan
prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu
meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian,
mereka dapat mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas
serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Zaman kini, tugas sebagai seorang guru bukan lagi perkara yang mudah untuk
dilakukan. Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa
yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya
mewujudkan stres kepada guru-guru. Terdapat banyak pengorbangan dan keikhlasan yang
perlu disemai dan dipupuk dalam diri guru masing-masing. Secara puratanya, memang
terdapat pada setiap pekerjaan tekanan kepada individu. Namun begitu, bukanlah beerti
perkara sedemikian dijadikan sebagai alasan untuk kita semakin merosot prestasinya dalam
bidang kerjaya yang diceburi. Perkara seumpama ini perlu dititikberatkan dan ditangani
dengan segera agar setiap pihak dapat mengelakkan diri dari terjebak ke dalam budaya kerja
yang tidak sihat disebabkan oleh gangguan emosi. Isu yang dibangkitkan ini bukan hanya
perlu dipandang oleh sebelah pihak yang menghadapinya sahaja, pihak atasan yang
berkaitan turut perlu memainkan peranan mereka dalam usaha untuk tangani gejala
gangguan emosi dikalangan guru. Ini bermakna, tidak ada pihak yang hanya sekadar

11
menunding jari dan menyalahkan pihak yang lain. Kesemuanya harus sama-sama memikul
tanggungjawab yang diamanahkan.

Gangguan emosi tidak hanya dialami oleh guru malah murid juga boleh
mengalaminya. Terdapat factor yang menyebabkan berlakunya gangguan emosi dalam diri
individu sama ada secara fizikal atau mental. Individu itu sendiri seharusnya sentiasa
berfikiran positif dan menerima segala cabaran dengan hati yang terbuka bagi mengelakkan
gangguan emosi. Sokongan dan galakan keluarga dan orang sekeliling juga penting dalam
membantu menangani gangguan emosi. Gangguan emosi jika tidak dicegah dengan lebih
awal, ia boleh menyebabkan individu tersebut mempunyai masalah mental. Oleh itu, setiap
individu perlu mencari masa terluang untuk merehatkan diri dan minda agar badan berasa
lebih segar dan tidak tertekan.

12

You might also like