You are on page 1of 9

REFLEKTIF JURNAL TENTANG KEBERKESANAN KURSUS HUBUNGAN ETNIK YANG

DILAKSANAKAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI UNTUK MEWUJUDKAN


KEHARMONIAN MASYARAKAT BERBILANG KAUM DI MALAYSIA

1.0 Pengenalan

Malaysia sememangnya terkenal dengan keharmonian penduduk berbilang kaum yang


hidup aman dan damai. Kaum yang terdapat di Malaysia ialah Melayu, Cina, India dan 27
etnik lagi di kawasan Sabah serta Sarawak. Dengan penduduk yang pelbagai budaya ini,
perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat
dan pemerintahan negara ini. Oleh kerana wujudnya kepelbagaian budaya, agama dan
bahasa dalam kalangan rakyat di negara ini, maka timbulah pelbagai masalah yang
melibatkan hubungan etnik. Boleh dikatakan bahawa perkauman akan sentiasa menjadi
batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum. Keadaan ini seterusnya boleh melahirkan
ketegangan dan konflik antara kaum dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya
pertumpahan darah.Berdasarkan kepada peristiwa 13 Mei, beberapa perkara penting yang
perlu dipandang serius dalam membina nagara bangsa yang bersatu padu. Dalam hal ini,
ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan
antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik. Hubungan etnik yang mantap sangat
perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi
agama, bahasa, budaya dan etnik. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan
bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia
terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana
negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.Perpaduan dan integrasi merupakan
dua konsep yang berkait rapat dan digunakan bersilih-ganti. Namun demikian, perpaduan
dan integrasi merujuk kepada dua proses yang berbeza. Perpaduan ialah satu keadaan
dimana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman
sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti
kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Manakala integrasi nasional merupakan satu proses dinamik yang merapatkan masyarakat
negeri-negeri dalam masyarakat bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai
identitinya yang tersendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Justeru itu, Institusi Penganjian Tinggi (IPT) merupakan satu cara atau tempat yang amat
strategik dalam memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pada peringkat akar umbi.
Hal ini kerana, kebanyakan pelajar yang ada di Malaysia sama ada Universiti Awam (UA)
atau Universiti Swasta (US) terdiri daripada pelbagai bangsa, agama serta warna kulit
yang berbeza. Jadi, perpaduan kaum di kampus wajar diberi perhatian. Berdasarkan
laporan Jabatan Perpaduan Negara (2003), polarisasi kaum terutama dalam kalangan
generasi muda semakin serius. Bahkan interaksi kaum dalam kalangan golongan
mahasiswa kini berada pada tahap minimum walaupun seolah-olah wujud perpaduan
dalam kalangan mereka dari segi luarannya. Lantaran itu, pihak universiti dengan
kerjasama mahasiswa wajar memainkan peranan penting dalam memupuk semangat
perpaduan dalam kalangan warga kampus. Dasar pendidikan dan program tertentu perlu
dirangka untuk menyemai elemen-elemen positif yang berkaitan dengan keharmonian
dan perpaduan pada peringkat IPT ini.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat empat objektif kajian ini iaitu:


1. Mengetahui peranan IPT dalam memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.
2. Mengetahui faktor-faktor yang mengukuhkan perpaduan di IPT.
3. Mencadangkan langkah-langkah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di peringkat
IPT.
4. Mengenal pasti tahap keselesaan dalam menjalin hubungan antara kaum di kampus.
2.0 Sorotan Kajian

Hubungan etnik dan perpaduan merupakan isu yang penting dalam pembinaan negara
yang berbilang etnik. Di Malaysia, selain daripada tiga etnik yang utama iaitu Melayu,
Cina dan India, terdapat juga etnik seperti Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan
sebagainya. Kepelbagaian ini memerlukan perpaduan antara etnik supaya semua etnik ini
dapat hidup bersama dan berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan
tidak selamat.Berdekad lalu, banyak usaha yang telah dilakukan untuk merapatkan
hubungan etnik seperti memperkenalkan kursus-kursus yang memberi fokus kepada
pembelajaran dan pemahaman budaya yang berlainan di peringkat IPT untuk
menimbulkan perasaan menghargai dan kefahaman dalam kalangan pelajar IPT kepada
budaya yang berbeza di sekeliling mereka. Usaha ini dilakukan dengan pengenalan
kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di peringkat nasional. Kursus
Hubungan Etnik yang diperkenalkan sejak tahun 2006 di pusat pengajian tinggi juga
merupakan satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu
dalam pembangunan negara. Hal ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada
konsep-konsep hubungan etnik, malah pelajar diberikan peluang untuk melakukan
aktiviti bersama untuk membolehkan kefahaman yang lebih mendalam bagaimana
masyarakat pelbagai etnik dapat bekerjasama dan berinteraksi.

Kajian-kajian yang merangkumi pelbagai dimensi persoalan hubungan etnik dan


perpaduan kaum dilakukan kebanyakannya oleh pensyarah dan juga pelajar sarjana dan
doktor falsafah. Terdapat juga penyelidik dari universiti-universiti lain yang menjalankan
penyelidikan dalam tema yang sama termasuk universiti-universiti baru. Secara umum,
kajian-kajian dalam bidang ini boleh dianalisis menurut dua kategori iaitu hubungan
antara etnik yang merupakan satu faktor yang penting dalam pembangunan sosial serta
pembinaan negara dan kajian yang bersifat dalaman sesuatu etnik, contohnya kajian
tentang ritual, budaya atau kelakuan etnik itu secara khusus tetapi isinya mempunyai
pengajaran untuk pembangunan sosial.

Kajian-kajian mengenai hubungan etnik dan integrasi nasional menunjukkan


kepelbagaian tema yang menarik dan penting. Antaranya termasuklah perpaduan dalam
kalangan pelajar, toleransi agama, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan cara hidup,
sosioekonomi serta peranan media dalam menjaga dan memupuk hubungan etnik.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga merupakan usaha kerajaan untuk
menerapkan perpaduan dan patriotik dalam kalangan remaja. Mereka yang menjalani
program ini akan terlibat dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal, mental,
pembinaan karektor, kemasyarakatan dan kenegaraan. Walapun pada masa permulaan
program ini diperkenalkan, ia mendapat reaksi dan kritikan daripada orang ramai
mengenai segi pengurusannya, tetapi kini ia diakui oleh pelbagai pihak akan
keberkesanannya dalam membentuk sikap positif dalam kalangan remaja pelbagai kaum
terhadap diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Mereka yang menjalani program ini
juga berpeluang mengeratkan hubungan mereka dengan peserta dari kaum lain akibat
penglibatan semua peserta dalam akitiviti kerjasama dan berkumpulan. Penemuan seperti
ini terdapat dalam kajian Zaliha Hussin (2005) bertajuk “Kajian Tinjauan Mengenai
Kaedah Pengurusan dan Pengendalian Program Khidmat Negara”.Kajian tentang tahap
hubungan etnik dan perpaduan dalam kalangan pelajar diteruskan lagi di peringkat
pengajian tinggi. Kajian Nga Lay Hui @ Janice Nga (2005) bertajuk “Integrasi Antara
Kaum dalam Kalangan Penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi” mengkaji corak
pergaulan dan integrasi dalam kalangan pelajar supaya fahaman etnosentrik dan
kelemahan yang dikesan dapat diminimumkan manakala perpaduan sebenar dapat
dipergiat dan diteruskan. Kajian ini meneliti bagaimana perbezaan ras dan kekurangan
akibatnya dapat dikurangkan bagi mengelakkan isu perkauman yang mungkin akan
mengancam kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk mendorong pembinaan bangsa
Malaysia. Hal ini demikian kerana golongan pelajar ini merupakan bakal pemimpin
negara dan akan melangkah masuk golongan kelas menengah pada masa hadapan.
Sekiranya tahap hubungan etnik dan perpaduan memuaskan di peringkat ini, maka akan
wujud satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan berperibadi tinggi pada masa
hadapan, begitu juga sebaliknya.

Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Daud (2002) bertajuk “Polarasi Kaum dalam
Kalangan Pelajar-pelajar Universiti” pula memberi tumpuan kepada hubungan etnik dan
polarisasi kaum dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti. Kajian ini dilakukan untuk
melihat sejauh mana golongan pelajar ini bergaul dan berinteraksi dalam sebuah komuniti
kampus dan adakah hal ini mempengaruhi cara pergaulan dan interaksi mereka dengan
struktur masyarakat luar yang lebih kompleks. Kajian ini mendapati program yang
melibatkan aktiviti bersama, pertukaran program budaya, meningkatkan tahap kefasihan
bahasa, dan pemahaman antara agama dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan
antara pelajar pelbagai kaum.

Menarik diketahui bahawa untuk meningkatkan integrasi antara kaum dan etnik, faktor
penguasaan bahasa memainkan peranan yang memang penting. Bahasa sudah lama
memainkan peranan sebagai satu wadah yang dapat mengeratkan integrasi dan hubungan.
Kefahaman dan kefasihan bahasa yang tinggi akan memudahkan komunikasi dan
seterusnya dapat memupuk perpaduan dan integrasi. Kedudukan Bahasa Malaysia
sabagai bahasa kebangsaan mendorong ke arah ini. Pada masa yang sama, penguasaan
bahasa kaum lain dapat membantu perpaduan.

3.0 Metodologi Kajian

Kaedah penyelidikan menggunakan soal selidik yang mengandungi tiga bahagian dan 15
soalan serta mengedarkan borang soal selidik kepada 30 pelajar di UTeM. Kriteria
pemilihan responden adalah berdasarkan pelajar berlainan bangsa.

Responden terdiri daripada 17 lelaki dan 13 perempuan. Antaranya terdapat 11 pelajar


Melayu, 13 pelajar Cina dan 6 pelajar India. Secara purata, umur responden ialah 21.17
tahun. Mereka terdiri daripada pelajar UTeM pelbagai kursus.

4.0 Hasil Kajian

Kebanyakan pelajar bersetuju dengan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh


pelbagai pihak dalam memupuk hubungan renik. Peranan IPT seperti mewajibkan pelajar
berbilang kaum tinggal di asrama dan Majlis Perwakilan Pelajar terdiri daripada pelajar
pelbagai kaum serta menjaga kepentingan dan kebajikan pelajar pelbagai kaum mendapat
80 peratus persetujuan daripada responden. Manakala memperkenalkan subjek Hubungan
Etnik sebagai mata pelajaran wajib dan mengadakan karnival mendapat persetujuan yang
paling rendah daripada pelajar iaitu 19 daripada 30 responden.

Bahagian B membincangkan faktor-faktor yang mengukuhkan perpaduan pelajar di


peringkat IPT. Responden diminta untuk memberi markah dari 1 hingga 5 mengikuti
skala yang berikut, 1 untuk sangat tidak setuju dan 5 untuk sangat setuju. Terdapat lima
faktor yang dibincangkan iaitu semua pelajar mempunyai kurikulum yang sama, pelajar
menggunakan bahasa pengantaraan yang sama, aktiviti/sukan/kelab yang melibatkan
pelajar pelbagai kaum, Program Minggu Haluan Siswa dan Program Penasihat Akademik
membantu mengeratkan hubungan pelajar serta subjek-subjek pelajaran mendedahkan
pelajar kepada budaya dan agama yang berlainan. Antara lima pilihan ini, faktor yang
paling berkesan ialah aktiviti/sukan/kelab yang melibatkan pelajar pelbagai kaum, dengan
markah purata 4.27. Skor ini menunjukkan bahawa pilihan ini mendapat persetujuan yang
banyak antara pelajar.

Seterusnya ialah pelajar mempunyai kurikulum yang sama, dengan markah purata 4.267.
Pilihan yang paling kurang dipersetujui ialah Program Minggu Haluan Siswa dan
Program Penasihat Akademik membantu mengeratkan hubungan pelajar, dengan markah
purata 3.87. Skor ini menunjukkan bahawa pelajar merasakan kedua-dua program ini
menunjukkan kesan baik terhadap perpaduan pelajar di peringkat IPT, tetapi tidak cukup
ketara kesannya.

4.1 Kurikulum yang Sama

Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu
pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan
kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-
ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan
pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks Malaysia,
kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara
dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping
menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan). Antara
kurikulum yang sama dan terdapat di kebanyakan universiti ialah Falsafah Sains dan
Teknologi, Hubungan Etnik serta Tamadun Islam dan Tamadun Asia.

4.2 Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama

Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan
yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini
mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini.

Terdapat empat cadangan yang dikemukakan iaitu memperkenalkan program yang


melibatkan penyertaan pelajar dari pelbagai kaum serta menggalakkan pengenalan
budaya antara pelajar, mendorong pergaulan sesama pelajar dalam kelas, (perbincangan,
kerja berkumpulan), mengadakan jamuan makan bersama serta membuat persembahan
agar dapat memahami budaya pelajar kaum lain dan mencadangkan kesamarataan dalam
jawatan kuasa kepimpinan pelajar. Selain daripada cadangan yang dikemukakan, terdapat
juga pelajar yang mencadangkan agar IPT dapat membuat sambutan perayaan agar
pelajar dari pelbagai kaum dapat meraikan perayaan bersama-sama serta lebih memahami
budaya kaum lain. Mereka juga mencadangkan agar pensyarah dapat membahagikan
pelajar kepada kumpulan belajar yang mengandungi pelajar dari pelbagai kaum untuk
mengukuhkan perpaduan kaum.

5.0 Kesimpulan

Terdapat banyak aspek yang mempengaruhi perpaduan kaum dalam kalangan pelajar
seperti pembelajaran, pergaulan antara pelajar, sambutan perayaan di IPT dan sebagainya.
Aspek-aspek ini bukan sahaja mengenai pelajar-pelajar di UTeM, tetapi juga merangkumi
semua warga UTeM dan masyarakat Malaysia supaya semua rakyat dapat bersatu padu,
bekerjasama untuk merealisasikan perpaduan antara kaum.

Pelajar-pelajar di peringkat IPT pada hari ini pada suatu hari nanti akan menjadi
pemimpin-pemimpin negara. Oleh itu, perpaduan kaum harus diterapkan di dalam hati
setiap pelajar IPT supaya mereka dapat bekerjasama dengan seluruh etnik di Malaysia
demi kemajuan dan pembangunan Malaysia bak kata pepatah “bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”. Selari dengan itu, pelajar yang mempunyai semangat perpaduan jika
menjadi pemimpin negara, akan dapat membina sebuah negara yang aman damai,
harmoni dan makmur.Secara kesimpulannya, melalui kajian didapati bahawa kebanyakan
responden UTeM merasakan bahawa IPT merupakan satu batu loncatan untuk membantu
mengukuhkan perpaduan kaum di kalangan pelajar. Justeru itu, IPT boleh meneruskan
usaha sebegini untuk menguatkan semangat perpaduan pelajar dan juga pengajar di
samping memberikan pengetahuan tahap profesional kepada pelajar.
Rujukan

Fang Xin Er. “Bekerjasama Pemangkin Perpaduan”, Dewan Siswa, April 2009.
Mohd. Salleh Lebar. (1998). Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan.
Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd.

https://www.scribd.com/doc/51705948/cara-mewujudkan-perpaduan-kaum

https://www.scribd.com/doc/33177261/Usaha-Memupuk-Perpaduan-Kaum

https://www.scribd.com/doc/56114569/perpaduan-melalui-pendidikan

https://www.scribd.com/doc/55521610/Dasar-Pendidikan-Dalam-Mencapai-Perpaduan

http://www.sinarharian.com.my/hubungan-etnik-perlu-dijadikan-subjek-wajib-di-sekolah-
1.89188 (Sathia Murthy 27 September 2012).
http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/05/integrasi-etnik-di-ipta.html

http://tujuhpen.blogspot.my/2015/04/maksud-hubungan-etnik.html

You might also like