You are on page 1of 7

TUGASAN LIMA

(PENULISAN REFLEKTIF
PENGAJARAN MAKRO)
LAPORAN PENGAJARAN MAKRO BAHASA MELAYU TAHUN TIGA

Saya telah membuat pemerhatian terhadap pengajaran makro seorang guru di SK Jalan 6
yang terletak di Bangi, Selangor. Guru yang bernama Puan Wahiza binti Wahid merupakan
guru Bahasa Melayu yang mengajar murid tahun 3,5 dan 6. Setelah berbincang dengan
beliau, beliau bersetuju untuk membantu dan memberikan kerjasama kepada saya untuk
membuat pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran beliau. Kami bersepakat
untuk memilih kelas Tahun 3 Proaktif pada hari Selasa. Hal ini demikian kerana, guru-guru
tidak mahu menggangu kelas tahap dua yang sedang bersedia menghadapi peperiksaan
besar iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kelas Bahasa Melayu Tahun 3 Proaktif
itu akan bermula pada jam 9.20-10.20 pagi. Pemerhatian dan temu bual yang saya jalankan
terdiri daripada dua perkara iaitu fasa pelaksanaaan dalam pengajaran dan juga amalan
pengajaran makro dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Fasa pelaksanaan dalam pengajaran terdiri daripada empat fasa iaitu fasa
persediaan, fasa imaginasi, fasa perkembangan dan fasa tindakan (Ishak Ramly, 2005).
Fasa persediaan merupakan fasa yang melibatkan pengumpulan maklumat, mengenal pasti
matlamat, dan mengenal pasti alternatif penyelesaian masalah (Yahya Othman, Roselan
Baki & Naapie Mat, 2009). Melalui pemerhatian serta temu bual saya dengan guru
responden, Puan Wahiza telah mengumpulkan maklumat mengenai pengetahuan sedia ada
muridnya, kelemahan penguasaan muridnya, dan juga pengajaran dan bahan yang sesuai
bagi objektif dan matlamat pengajaran dan pembelajaran muridnya. Selain itu, guru juga
telah mengenal pasti matlamat bagi sesi pengajaran dan pembelajaran sebelum
mengadakannya di kelas. Matlamat dan objektif ini dibina oleh guru berdasarkan Dokumen
Standard Prestasi dan Kurikulum (DSKP). Melalui pengumpulan maklumat mengenai
masalah yang dihadapi murid ketika proses pengajaran, Puan Wahiza telah mencipta
beberapa alternatif lain bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya tidak berlaku
lagi pada sesi pengajaran dan pembelajaran yang bakal diadakan. Seterusnya, pada fasa
imaginasi, guru perlulah meramal, menyusun alternatif dan memilih alternatif yang sesuai
bagi sesi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan fasa persediaan yang dijalankan
(Yahya Othman, 2005). Puan Wahizah menyatakan bahawa dia menyusun sesi
pengajarannya sebelum menyediakannya dalam bentuk Rancangan Pengajaran Harian
(RPH). Alternatif yang dipilih ini berdasarkan ramalannya terhadap murid-muridnya
sekiranya aktiviti pengajaran tersebut dijalankan. Aspek yang dipertimbangkan ketika
membuat pilihan adalah seperti, pengawalan kelas, masa yang diperuntukkan bagi aktiviti
tersebut dan bahan-bahan yang digunakan. Aspek-aspek tersebut membantu Puan
Wahizah menentukan dan memilih alternatif yang sesuai.
Pada fasa perkembangan, penilaian aktiviti pengajaran yang digunakan dan dipilih dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru menilai tahap keberkesanan alternatif dan aktiviti
tersebut kepada murid (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad,
2007). Menurut beliau, penilaian ini dibuat adalah untuk menguji sama ada aktiviti tersebut
adalah relevan atau sebaliknya dan boleh dijalankan pada sesi pengajaran dan
pembelajaran akan datang. Seterusnya ialah fasa tindakan yang dijalankan oleh guru.
Penilaian yang dijalankan dalam sesi perkembangan merupakan medium yang membantu
Puan Wahizah dalam fasa tindakan. Dalam fasa tindakan ini Puan Wahizah akan membuat
keputusan sama ada aktiviti tersebut layak digunakan atau dihapuskan terus dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran bagi murid beliau.

Seterusnya berkaitan dengan pemerhatian saya terhadap amalan pengajaran makro


dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh Puan Wahizah dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran. Saya sendiri telah masuk ke dalam kelas 3 Proaktif ketika
sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang dijalankan oleh Puan Wahizah
sendiri. Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, saya dapati terdapat
kekuatan dan kelemahan dalam pengajaran makro yang dibina oleh guru dalam sesi
tersebut. Pengajaran makro yang digunakan ialah kemahiran set induksi, kemahiran variasi
ransangan, kemahiran menerang, kemahiran menggunakan bahan bantu, kemahiran
penyoalan, kemahiran menggunakan papan tulis, kemahiran peneguhan dan kemahiran
penutup. Antara kekuatan daripada pengajaran makro Puan Wahizah ialah kemahiran set
induksi. Dalam set induksi, beliau menggunakan lagu Rasa Sayang sebagai set induksi.
Lagu Rasa Sayang dinyanyikan bersama-sama sebagai sesi induksi guru tersebut bagi
menarik perhatian murid untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya. Lagu ini
digunakan untuk memberi gambaran kepada murid tentang pantun Melayu yang terdapat di
dalam lagu tersebut. Pemilihan set induksi ini terbukti dapat menarik perhatian murid serta
membantu mengalihkan fokus murid pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
kemahiran menerang. Penerangan yang diberikan oleh guru sangat jelas. Terutamanya
ketika Puan Wahizah memberi penerangan tentang arahannya kepada muridnya. Buktinya,
murid dapat menyiapkan tugasan dengan betul berdasarkan arahan yang diberikan oleh
guru. Tambahan lagi, arahan yang diberikan oleh guru hanya sekali sahaja tanpa
pengulangan oleh guru. Walaupun arahan yang diberikan ringkas, tetapi arahannya sangat
padat dan jelas. Di samping itu, kekuatan pengajaran makro oleh Puan Wahizah juga dapat
dikenal pasti dalam beliau menggunakan kemahiran penyoalan. Kemahiran penyoalan yang
diaplikasikan telah memenuhi komponen kemahiran dalam kemahiran penyoalan. Antaranya
ialah, jelas dan ringkas, memberi petunjuk kepada murid tentang jawapan dan memberi
respon terhadap jawapan yang diberikan oleh murid. Salah satu pengaplikasian kemahiran
penyoalannya ialah ketika beliau menanyakan semula tentang langkah-langkah mencipta
pantun dua kerat kepada murid. Beliau juga memberi pembayang tentang rima akhir pantun
tersebut. Beliau juga telah memberi maklum balas kepada jawapan murid sama ada betul
atau sebaliknya.

Berlainan dengan kelemahan pengajaran mikro dalam pengajaran Puan Wahizah.


Salah satunya ialah dalam kemahiran menggunakan bahan bantu. Bahan yang digunakan
oleh Puan Wahizah ialah gambar. Gambar digunakan sebagai bahan ransangan untuk
murid membina pantun dua kerat. Walaupun bahan tersebut mudah diperoleh, tetapi bahan
tersebut tidak sesuai. Hal ini demikian kerana, gambar yang dibekalkan tidak dapat
memberikan maklumat kepada murid untuk memperoleh isi bagi dimasukkan ke dalam
pantun. Bagi murid tahun tiga, gambar tersebut terlalu banyak mesejnya menjadikan
berlakunya kekeliruan dalam membina pantun tersebut. Selain itu, kemahiran memberi
peneguhan. Puan Wahizah merupakan seorang guru yang tegas. Tambahan pula, beliau
menyatakan kelas tersebut merupakan kelas terakhir di kelas tersebut. Oleh itu, lebih
ketegasan diperlukan oleh beliau untuk mengendalikan kelas tersebut. Oleh hal yang
demikian, kurang peneguhan diberikan oleh beliau kepada murid-muridnya. Peneguhan
sangat diperlukan untuk menaikkan semangat murid bagi melibatkan diri dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, guru hendaklah peka terhadap setiap kelemahan dan kekurangan yang
terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh membuat
penambahbaikan bagi meningkatkan mutu pengajaran pada masa hadapan (Abu Talib
Putih, Siow Heng Loke, & Lee Siew Eng, 2005). Hal ini juga adalah untuk memastikan agar
kelemahan dan kekurangan tersebut tidak berulang lagi pada masa hadapan. Antara
cadangan penambahbaikkannya bagi kelemahan pengajaran makro ini ialah guru hendaklah
menambahbaik gambar yang diberikan dengan meletakkan perkataan ransangan di
bahagian gambar objek tersebut supaya murid diberikan pembayang tentang pantun yang
perlu mereka cipta. Oleh itu, pantun yang dibina oleh murid akan selari dengan kemahuan
guru daripada muridnya. Selain itu, guru hendaklah menambah baik kemahiran memberikan
peneguhan kepada murid. Walaupun kelas tersebut terdiri daripada murid yang nakal,
mereka tetap berhak menerima peneguhan daripada guru untuk setiap perlakuan baik
mereka. Peneguhan yang diberikan akan menjadi motivasi kepada mereka untuk melakukan
kebaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang akan datang.
RUJUKAN

Abu Talib Putih, Siow Heng Loke, & Lee Siew Eng. (2005). Pedagogi merentas kurikulum.
Selangor: PTS Professional.

Ishak Ramly. (2005). Inilah kurikulum sekolah. Selangor PTS Professional.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi: strategi
dan teknik mengajar dengan berkesan. Selangor: PTS Professional.

Yahya Othman. (2005). Trend dalam pengajaran bahasa Melayu. Selangor: PTS
Professional.

Yahya Othman, Roselan Baki & Naapie Mat. (2009). Pemerkasaan pendidikan Bahasa
Melayu dari teori ke praktik. Kuala Lumpur: Utusan Publication.
LAMPIRAN 1

Gambar 1: Guru bertanyakan murid tentang langkah-langkah membina pantun.

Gambar 2: Murid menyanyikan lagu Rasa Sayang sebagai set induksi.


LAMPIRAN 2

Gambar 3: Murid mendengar penerangan yang disampaikan oleh guru

You might also like