You are on page 1of 5

1.0 Bagaimana tranformasi keguruan sebagai profesion pilihan dapat direalisasikan menerusi pelan pendidikan ini (PPPM) ?

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Ini bukanlah kali pertama pelan sebegini diwujudkan. Sebelum ini, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah diperkenalkan. Ia berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan,

memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Biarpun enam teras dalam PIPP belum dibuktikan keberkesanannya, kini PPPM pula diwujudkan untuk tempoh 12 tahun akan datang yang mungkin juga bertujuan menggantikan PIPP yang perlu dipinda atas sebab tertentu. Pendidikan dalam Dasar Pembangunan Negara telah membawa perkembangan yang amat pesat dalam pelbagai aspek termasuk penyediaan infrastruktur, pembangunan sumber manusia, pembinaan kurikulum,

pentaksiran dan pengurusan pendidikan. Kajian dalam penyelidikan menunjukkan faktor guru merupakan penyumbang penting bagi menentukan kualiti Pendidikan.

Pelan Pembangunan ini dizahirkan melalui peningkatan pencapaian akademik murid, kokurikulum, sukan termasuk juga sahsiah murid dalam keperluan pendidikan abad yang ke 21 yang mementingkan kreativiti, inovatif dan menguasai bahasa-bahasa antarabangsa seperti bahasa inggeris yang menghadapi pelbagai perubahan dan keperluan. Berdasarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pelajaran Malaysia 2013-2025 telah mengenal pasti sebelas anjakan. Setiap anjakan perlu memberikan impak kepada sekurangkurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, equiti, perpaduan dan kecekapan. Dimensi kualiti menjadi fokus utama yang merentasi semua anjakan. Kualiti sistem tidak boleh melangkaui guru. Tidak dinafikan bahawa terdapat guru yang cemerlang dalam sistem Pelajaran Malaysia. Pun begitu kajian oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) tahun 2011 mendapati bahawa hanya 50% pengajian disampaikan dengan berkesan atau memuaskan oleh guru. Justeru, banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru. Ia meliputi bukan sahaja bagi pengambilan guru-guru baru, malah juga

transformasi guru-guru yang sedia ada. Statistik menunjukkan lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus mengajar bagi tempoh yang lama. Kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan pakej kerjaya guru baharu dalam beberapa fasa bagi meningkatkan kualiti keguruan. Pakej ini merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang pembangunan professional berterusan mengikut keperluan individu bagi

membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan.

Anjakan ke-4 dalam Pelan Pembangunan Pelajaran Malaysia adalah Transformasi Keguruan sebagai Profesion Pilihan perlu usaha segera kerana guru yang kita ambil untuk dilatih hari ini akan membuahkan hasil empat atau lima tahun lagi.Bagi merealisasikan anjakan ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengetatkan syarat lantikan guru mulai tahun 2013 supaya guru yang dilantik adalah dikalangan 30% graduan yang terbaik. Usaha ini cuma satu langkah bagi meningkatkan profesion keguruan dengan lebih berprestij dan elitis. Disamping itu, Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional Development) mulai tahun 2013 akan dipertingkatkan dengan memberi tumpuan terhadap keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Kerajaan juga akan memastikan guru memberi fokus kepada fungsi teras pembelajaran dan pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran mulai tahun 2013. Menjelang tahun 2016, laluan guru untuk berperanan sebagai pemimpin, pakar pengajaran dan pakar bidang akan dipertingkatkan. Mulai tahun 2025, proses pensijilan dan pembudayaan kecemerlangan berasaskan pimpinan rakan sekerja akan dibentuk. Dalam usaha meningkatkan standard kemasukan, adalah menjadi hasrat kerajaan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10, jaminan pelantikan sebagai guru pelatih sedia ada dan Institut Pendidikan Guru dan Institusi PengajianTinggi Awam tanpa mengambil kira prestasi akan dihapuskan. Hanya guru pelatih yang memperolehi pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan pelantikan guru. Peralihan kepada pengambilan guru secara sistem terbuka juga akan merangkumi liberalisasi sistem latihan perguruan dan pengambilan guru. Di sini saya

berpendapat,Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran boleh memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan keputusan kerajaan untuk meningkatkan kualiti dalam syarat lantikan guru.

Seterusnya, mulai tahun 2013, pengambilan pelajar yang akan memenuhi profesion perguruan akan dijalankan dengan lebih ketat. Hanya 30% pelajar terbaik akan mengikuti profesion perguruan. Kementerian Pelajaran akan melaksanakan standard kemasukan ke latihan perguruan yang lebih ketat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi. Usaha melahirkan guru yang terlatih dan cemerlang adalah penting dalam merealisasikan hasrat negara untuk mencapai standard pendidikan antarabangsa. Jika sebelum ini, hanya 50% sahaja guru yang berjaya menyampaikan pelajaran dengan berkesan. Guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan pembelajaran berkesan supaya standard pendidikan antarabangsa tersebut dapat dicapai pelajar seterusnya dapat melahirkan generasi muda yang mampu menempuh keadaan ekonomi global pada abad ke21. Oleh itu, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memilih mereka yang cemerlang untuk memenuhi profesion perguruan serta menjalankan budaya bimbingan rakan sejawat. Program ini akan mewujudkan budaya perkongsian, pementoran demi meningkatkan profesion perguruan. Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 ini melihat kepentingan generasi muda untuk menempuh zaman globalisasi pada abad ke-21. Untuk mencapai ekonomi dan kejayaan sesebuah masyarakat dan negara, ianya perlu bermula dari akarnya iaitu melalui sistem pendidikan yang berkesan.

Selain itu,

mengukuhkan lagi prestasi dengan kompetensi berdasarkan

standard prestasi yang ditetapkan dan diukur setiap tahun menggunakan instrumen yang bersepadu Justeru, peluang untuk para guru menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang lebih luas perlu diberikan perhatian selain dapat meningkatkan lagi mutu P&P dalam perkhidmatan seorang guru. Apabila prestasi guru meningkat secara tidak langsung ia akan memberi kesan positif kepada prestasi pelajarnya. Hal ini diperkukuhkan lagi berdasarkan kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an yang menunjukkan relatif guru berpendidikan tinggi dapat meningkatkan pencapaian murid sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding guru berprestasi rendah. Dalam memperkukuhkan aspek kemahiran guru ini adalah digalakkan agar para guru terus memperkukuhkan latihan dalam perkhidmatan. Sebagai contoh, guruguru yang telah lama berkhidmat hendaklah terus diberi pendedahan khusus tentang sahsiah guru sebagai murabbi, dengan pendekatan dan kaedah pengajaran terkini.

Di samping itu, peranan guru dalam proses penggerak P&P yang berkualiti dan efektif turut sama meningkatkan pembangunan pendidikan sekolah. Keadaan ini secara berterusan dapat dapat merangsangkan pelajar untuk belajar dengan lebih seronok sesuai dengan alam pendidikan di peringkat rendah sehingga peringkat atas. Sebaliknya, pengajaran tidak akan menjadi menarik minat pelajar apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan berbentuk pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran mereka. Oleh itu, aspek kreativiti serta inovasi P&P daripada seorang guru perlu diterokai bagi melihat apa yang ingin mereka sampaikan menarik minat pelajarnya. Kemahiran kemahiran ini dapat dilaksanakan jika guru guru dihantar menjalani kursus kursus kemahiran inovasi. Segala bentuk proses pembelajaran berbentuk formal dan tidak formal bergantung kepada kreativiti dan peranan utama terletak pada tanggungjawab guru. Inilah transformasi keguruan yang kita kehendaki yang dapat dimanfaatkan dalam sistem pendidikan negara. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan pembangunan pendidikan negara seterusnya merealisasikan pelan pendidikan tersebut.

Dalam merencanakan tranformasi keguruan sebagai profesion keguruan ini, penyediaan geran penyelidikan juga adalah penting untuk membantu menaiktarafkan profesionalisme guru dalam kemajuan kerjaya mereka. Kemudahan geran penyelidikan misalnya turut memberi laluan kepada para guru untuk meningkatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi adalah terbuka luas bagi mereka. Di samping dapat melahirkan sebilangan besar guru yang lebih berkemahiran berfikir aras tinggi seterusnya dapat membantu melahirkan masyarakat yang juga dapat berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif selain guru-guru yang cemerlang turut dapat dilahirkan. Proses melahirkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi ini merupakan sebahagian pelaburan besar pendidikan untuk menjamin kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Kesimpulannya, bagi mencapai matlamat dan usaha murni ini, semua guru haruslah bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai seorang guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan terutama kepada maklum balas di dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah dilancarkan. Ingatlah apabila negara mempunyai masyarakat yang berpendidikan tinggi maka kemajuan ekonomi juga akan meningkat. Jika ini tercapai maka kita akan melihat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju menjelang tahun 2020. Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai. Oleh itu, Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan semasa untuk melonjakkan pencapaian semua murid. Tidak dinafikan bahawa proses pelaksanaan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan dan strategi baharu agar setiap murid mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21. Oleh yang demikian, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah perlu menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik dinamik proses pengajaran dan pembelajaran.

You might also like