PROGRAM: 8PISMP RBT1 NAMA SEKOLAH: SEKOLAH KEBANGSAAN KLIA NAMA PROJEK/AKTIVITI: BENGKEL I-THINK TEMPOH PELAKSANAAN: 8.7.2014 HINGGA 11.7.2014
OBJEKTIF : 1) Memberi pendedahan kepada murid tentang i-Think 2) Member peluang kepada murid untuk mengaplikasikan i-Think dalam sesi pembelajaran dan pengajaran. 3) Memberi maklumat kepada murid tentang kelebihan menggunakan i-Think. 4) Mewujudkan interaksi positif dalam kalangan murid bagi membantuk semangat kerja secara kolaboratif.
STRATEGI PELAKSANAAN : 1) Sebelum Pelaksanaan Program I-Think Pada 7/7/2014, satu perbincangan telah dibuat di bilik Seni Sekolah Kebangsaan KLIA antara pelatih-pelatih guru yang melakukan internship di sekolah tersebut. Pelatih guru ini terdiri daripada enam orang pelajar IPG Kampus Pendidikan Islam dan lima orang pelajar daripada IPG Kampus Teknik. Perbincangan yang diadakan ini adalah untuk menetapkan projek-projek yang ingin dilaksanakan bersama. Hasil perbincangan tersebut, kami telah sepakat untuk mengadakan program Bengkel I-Think. Hal ini demikian kerana I-Think merupakan satu teknik pembelajaran yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, menerusi program ini kami dapat mendedahkan teknik-teknik I-Think ini kepada murid-murid. Setelah semua setuju untuk mengadakan Bengkel I-Think, satu perbincangan yang lebih khusus telah diadakan pada hari yang sama. Perbincangan ini dibuat bagi membentuk jawatankuasa pelaksana program, kumpulan sasaran, tempat, hari, tarikh, kos perbelanjaan dan sebagainya. Hasil daripada perbincangan tersebut, saya telah dilantik sebagai AJK Buku Program untuk Bengkel I-Think. Oleh itu, tindakan pertama yang harus saya lakukan ialah mencatat segala isi penting dalam perbincangan, mencari maklumat ringkas dan padat mengenai i-Think dan menyusun tentative program. Kami telah menetapkan kumpulan sasaran bagi bengkel ini ialah murid-murid tahun 5 yang terdiri daripada empat buah kelas. Tempat bengkel ini dilaksanakan ialah di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan KLIA. Hari dan tarikhnya ialah 11/7/2014 bersamaan hari Jumaat. Dari segi kos perbelanjaan, kami telah menyenaraikan beberapa perkara yang kami perlukan dan telah dimasukkan ke dalam kertas kerja. Kami meminta peruntukan daripada pihak sekolah bagi menjayakan program ini. Pada hari yang berikutnya, kertas kerja telah dihantar kepada puan guru besar iaitu Puan Rumiah Binti Abd Jalil untuk pengesahan. Setelah berbincang dengan Puan Rumiah, akhirnya beliau setuju untuk meluluskan program Bengkel I-Think ini. Setelah mendapat persetujuan daripada beliau, saya telah berjumpa dengan Puan Natrah Hanim Binti Mansor iaitu mentor saya sewaktu internship ini. Saya menjelaskan kepada beliau tentang program yang bakal dijalankan. Alhamdulillah, beliau memberikan sokongan sepenuhnya kepada saya bagi menjayakan program itu, Beliau juga telah memberikan idea bagi menambah baik beberapa perkara sebelum projek itu dijalankan. Menurut beliau, program seumpama ini amatlah sesuai dijalankan untuk semua murid kerana teknik I-Think ini dapat membantu murid untuk meningkatkan lagi kefahaman berkenaan perkara yang telah dipelajari. Pada hari Khamis (10/07/2014), guru pelatih telah berbincang sekali lagi bersama jawatankuasa pelaksana program. Perbincangan ini memberi peluang kepada setiap ajk untuk menerangkan sejauh mana kerja yang telah dilakukan. Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh setiap ajk menunjukkan segala tugas yang diberikan dapat dijalankan dengan cemerlang. Pada masa yang sama, kami juga membincangkan kelemahan-kelemahan yang telah dapat dikenal pasti. Antaranya ialah kekurangan pen marker bagi menjalankan aktiviti kumpulan. Oleh itu, kami telah bersetuju untuk mengeluarkan dana sendiri untuk membeli pen marker bagi menambah bilangan pen marker. Selain itu, terdapat masalah lain yang timbul. Masalah ini wujud pada jawatankuasa siar raya iaitu saudara Muhammad Firdaus Bin Abdul Jalil. Menurutnya, layar skrin tidak ada. Dia telah merujuk kepada guru-guru sekolah tersebut. Namun, hasil pencarian yang dibuat menunjukkan layar skrin itu tidak ada pada tempat yang sepatutnya. Oleh itu, dia telah meminta pertolongan Ustaz Zainal untuk bertanya berkenaan layar skrin ini di Wassap sekolah. Akhir perbincangan itu saya telah meminta bahan-bahan yang ingin digunakan sewaktu program itu nanti supaya dapat dikumpul pada satu tempat yang sama. Hal ini bagi mengelakkan bahan-bahan tersebut hilang sewaktu ingin digunakan. Setelah tamat perbincangan itu, saya dan rakan-rakan pulang ke IPG masing-masing.
2) Semasa Pelaksanaan Program I-Think. Tepat pada pukul 7.00 pagi, kesemua jawatankuasa pelaksana program telah berkumpul di Dewan Terbuka. Masing-masing melaksanakan tugas yang telah diberikan. Murid-murid Tahun 5 telah turun dan terus bergerak ke meja pendaftaran. Mereka dikehendaki menulis nama dan ajk yang bertugas akan melekatkan nombor kumpulan masing-masing di baju para peserta. Setelah itu, para peserta diminta untuk duduk mengikut kelas masing-masing. Hal ini bagi memberi laluan untuk majlis perasmian. Walaupun mereka duduk mengikut kelas masing-masing, tetapi pihak jawatankuasa pelaksana telah mengasingkan peserta lelaki dan peserta perempuan. Hal ini bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tepat pada pukul 8.oo pagi, majlis perasmian telah bermula. Majlis ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis iaitu saya sendiri, Hanis Izzati Binti Ibrahim. Setelah itu, diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh adik Muhammad Haziq Bin Jaafar peserta tahun 5 Airbus. Majlis diteruskan dengan ucapan pengarah program iaitu saudara Muhammad Yazed bin Kosnan dan seterusnya merasmikan program Bengkel I-Think. Selaku pengarah program, beliau telah menerangkan serba sedikit berkenaan latar belakang program I-Think. Setelah itu, dengan lafaz bismillahirrahmanirahim beliau telah merasmikan program Bengkel I-Think. Setelah selesai majlis perasmian ini pengacara majlis menjemput fasilitator yang bertugas iaitu saudari Zahiyyatun untuk menerangkan kepada para peserta berkenaan I-Think. Zahiyyatun menerangkan lapan jenis peta yang terdapat dalam I-Think. Antaranya ialah peta bulatan, peta buih, peta buih berganda, peta pelbagai alir, peta alir, peta pokok, dan sebagainya. Dia juga menyediakan edaran kepada para peserta supaya mereka lebih faham berkenaan penggunaan peta tersebut. Kemudiannya, saudari Ruhil pula menerangkan pergerakan tangan yang melambangkan peta-peta tersebut. Sesungguhnya, setiap peta itu mempunyai pergerakan tangan yang berbeza. Oleh itu, saudari Ruhil menunjukkan lambang tangan untuk setiap peta. Hal ini berjaya menarik minat para peserta. Dia juga telah meminta beberapa kumpulan untuk menunjukkan lambang tangan untuk sesuatu peta yang dinayatakan. Selepas itu, aktiviti yang seterusnya ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Aktiviti ini dikendalikan oleh saya sendiri. Saya meminta setiap peserta untuk bangun dan duduk dalam bulatan kumpulan masing-masing. Kumpulan ini terbentuk berdasarkan pelekat nombor yang diberikan sewaktu mereka mendaftar lagi. Pada aktiviti kali ini, para peserta diminta untuk memperkenalkan diri kepada ahli kumpulan masing-masing. Kemudiannya, mereka diminta untuk melantik ketua dan penolong ketua kumpulan. Mereka juga diminta untuk menghasilkan satu nama kumpulan dan sorakan kumpulan dalam masa yang ditetapkan. Setelah cukup masa yang diberikan, setiap kumpulan mempersembahkan nama dan sorakan kumpulan masing-masing. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya dapati bahawa setiap kumpulan menunjukkan hasil yang kreatif kerana nama kumpulan dan sorakan kumpulan yang dibuat begitu menarik serta melucukan. Setelah itu, peserta-peserta dibenarkan rehat dalam tempoh dua puluh minit. Jawatankuasa yang terlibat menyajikan tayangan video yang berbentuk ilmiah kepada para peserta. Video yang dipasang ini sebagai pengisian kepada para peserta untuk berehat seketika setelah melalui proses pembelajaran selama dua jam. Aktiviti disambung semula dan dikendalikan oleh saudari Ayuni. Pada aktiviti kali ini, para peserta diminta menghasilkan satu peta berdasarkan satu tajuk dalam mata pelajaran yang telah ditetapkan oleh fasilitator. Terdapat lima jenis buah peta yang akan digunakan. Antaranya ialah peta buih, peta bulatan, peta pokok, peta alir, dan peta titi. Tiga kumpulan akan membuat satu peta tersebut. Mata pelajaran yang digunakan dalam melaksanakan amali ini ialah Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Kemahiran Hidup. Tajuk yang hendak diberikan kepada kumpulan mestilah berdasarkan satu mata pelajaran tersebut. Setiap kumpulan diberi tempoh selama tiga puluh minit untuk menyiapkan peta tersebut. Kemudiannya, setiap kumpulan diminta untuk membentangkan hasil kumpulan masing-masing di atas pentas. Fasilitator-fasilitator akan menilai hasil yang dibuat oleh setiap kumpulan dan mengumumkan pemenang bagi setiap jenis peta. Aktiviti yang dirancang berjaya tamat pada waktunya. Kami semua bergambar dengan para peserta untuk dijadikan sebagai kenangan. Kemudiannya, murid-murid dikehendaki mengutip sampah yang terdapat pada dewan terbuka. Peserta-peserta diminta untuk beratur mengikut kelas masing-masing. Setelah memberi salam, para peserta dibenarkan untuk pulang ke rumah. Jawatankuasa pelaksana mengemas bahan-bahan yang digunakan sepanjang bengkel dijalankan. 3) Selepas Pelaksanaan Program Bengkel I-Think Pada hari Isnin(14/7/2014), satu perbincangan post mortem telah dijalankan bersama jawatankuasa pelaksana. Perbincangan ini diadakan untuk membincangkan berkenaan objektif projek sama ada tercapai ataupun tidak. Berdasarkan perbincangan yang dibuat, kami dapati bahawa objektif projek ini telah tercapai dengan jayanya. Selain itu, kami dapati terdapat kelemahan sewaktu melaksanakan bengkel I-Think. Antaranya ialah tidak menjemput pihak pengurusan sebagai contohnya guru besar untuk merasmikan Bengkel I-Think tersebut. Guru-guru juga tidak dimaklumkan dengan lebih awal berkenaan program ini dan ini menjadi kekeliruan sesama guru. Selain itu, kami dapati terdapat papan-papan yang berpaku di belakang dewan dan kami tidak mengalihkannya terlebih dahulu dan ini boleh membahayakan para peserta. Ini merupakan kelemahan yang dapat dikenal pasti daripada pihak kami. Kami menganggap ini sebagai satu pengajaran dan tidak akan berlaku lagi. Setelah itu, kami meminta jawatankuasa dokumentasi untuk menyediakan satu laporan lengkap berkenaan perjalanan bengkel yang telah dijalankan. Secara keseluruhannya, Bengkel I-Think ini dapat berjalan dengan lancar dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada pihak sekolah.
REFLEKSI : 1) Kekuatan Projek/Aktiviti Berdasarkan projek yang telah dijalankan ini, saya dapati bahawa banyak kelebihan dan kekuatan yang diperolehi oleh guru pelatih dan murid-murid. Hasil penilaian yang dibuat mendapati bahawa projek ini telah dapat membantu murid mengetahui dan memahami dengan lebih terperinci berkenaan peta i-Think dan cara untuk menggunakannya. Pada awalnya, murid-murid hanya mengetahui dua atau tiga daripada lapan jenis peta yang terkandung dalam i-Think. Namun, setelah mereka mengikuti bengkel i-Think ini mereka telah dapat mengetahui dan menguasai dengan baik kelapan-lapan jenis peta i-Think. Selain itu, projek ini juga dapat membantu meningkatkan tahap kreativiti murid dalam melaksanakan sesuatu tugas. Hal ini demikian kerana melalui peta-peta i- Think yang telah mereka pelajari, mereka dapat menghasilkan kesinambungan sesuatu perkara, aliran, persamaan, perbezaan dan sebagainya. Perkara ini sekali gus dapat membantu meningkatkan tahap kreativiti dan daya berfikir murid-murid. Saya dapat melihat perubahan yang berlaku kepada murid-murid. Pada awalnya, mereka kurang berjaya melaksanakan sesuatu tugasan namun segala-galanya menjadi mudah pada mereka apabila menggunakan peta i-Think. Di samping itu, guru-guru pelatih juga dapat belajar cara untuk menganjurkan sesuatu bengkel. Pada waktu ini, kita dapat melihat hasil daripada perancangan yang dibuat. Pada keseluruhannya, bengkel i-Think ini telah dapat membantu guru- guru pelatih untuk meningkatkan lagi kemahiran sosial bersama murid-murid dan menunjukkan kepimpinan yang tersendiri. Selama satu hari, saya dan guru-guru pelatih yang lain telah memikul tanggungjawab untuk menguruskan kesemua murid tahun 5. Bersyukur ke hadrat Ilahi, kami telah berjaya mengurus murid-murid dengan baik tanpa berlakunya perkara buruk yang tidak diingini. 2) Kelemahan Projek/Aktiviti Antara kelemahan yang dapat dikenal pasti sewaktu melaksanakan bengkel i- Think ini ialah kami tidak mengadakan majlis perasmian pembukaan bengkel i-Think. Hal ini menyebabkan guru-guru lain bertanya kepada kami sama ada telah menjemput guru besar atau tidak bagi merasmikan pembukaan bengkel i-Think. Pada waktu itu, barulah kami terfikir bahawa kami tidak mengadakan majlis perasmian pembukaan dan penutup sempena pelaksana bengkel i-Think. Kami menjelaskan kepada guru tersebut bahawa kami tidak mengadakan program yang rasmi dan hanya untuk mengadakan sesi pembelajaran kepada murid-murid dan pendedahan berkenaan i-Think. Kelemahan yang seterusnya ialah pihak kami tidak menyediakan kepada guru- guru yang melihat kami melaksanakan bengkel i-Think. Hal ini menyebabkan mereka berdiri dan tercari-cari kerusi untuk duduk. Guru-guru ini ialah guru yang mengajar subjek masing-masing untuk kelas yang terlibat dalam bengkel i-Think. Apabila sudah tiba waktu mereka mengajar murid tahun 5, mereka akan turun ke dewan terbuka bagi melihat anak-anak muridnya. Oleh itu, kami seharusnya menyediakan kerusi kepada guru-guru tersebut agar mereka dapat menunggu murid-murid yang terlibat dalam bengkel i-Think sehingga tamat waktu mengajarnya. Kelemahan yang seterusnya ialah kami kurang mengadakan aktiviti kumpulan untuk murid-murid. Sesi pembelajaran menjadi bosan kerana murid-murid tidak dapat melibatkan diri secara aktif dan dalam pada masa yang sama kurangnya aktiviti kumpulan. Kesannya, murid-murid menjadi bosan dan mula membuat bising. Perkara ini menyebabkan sesi pdp terganggu dan murid-murid tidak dapat sepenuhnya maklumat yang ingin disampaikan. Kami seharusnya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria dan menghiburkan. Hal ini akan menyebabkan kurangnya keberkesanan sesi penyampaian ilmu. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Antara penambahbaikan yang boleh dibuat ialah saya dan ahli jawatankuasa yang lain perlulah menyediakan surat pemberitahuan kepada guru-guru berkenaan program yang bakal dijalankan. Perkara ini amat penting agar guru yang terlibat boleh menyediakan bahan untuk murid-muridnya. Surat pemberitahuan ini juga penting supaya tidak berlaku perselisihan tempat ataupun program yang ingin dijalankan pada masa yang sama. Oleh itu, bagi melaksanakan program lain yang akan dijalankan perkara yang utama perlu dilakukan ialah mengedarkan surat pemberitahuan kepada semua guru. Selain itu, sekiranya ingin melaksanakan bengkel yang bersifat ilmiah atau pembentukan sahsiah kita haruslah melaksanakan aktiviti yang berbentuk pembelajaran kendiri, berpusatkan murid dan memperbanyak aktiviti kumpulan. Hal ini supaya kita dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Latihan dalam kumpulan juga amat perlu kerana menerusi latihan ini murid-murid dapat berkomunikasi dan suai kenal antara ahli kumpulan dan ini sekali gus dapat mewujudkan hubungan yang erat antara satu sama lain.
KESIMPULAN Secara keseluruhannya, bengkel i-Think ini dapat dijalankan dengan jayanya dan murid-murid berjaya menguasai peta-peta yang terdapat dalam i-Think. Kerjasama yang erat juga ditunjukkan oleh setiap jawatankuasa pelaksana dengan memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan bengkel ini. Penilaian dan pemerhatian yang dibuat juga mendapati bahawa objek program ini telah tercapai dan perlu dibuat tindakan susulan sebagai langkah pengukuhan kepada perkara yang telah diajarkan. Program ini merupakan salah satu sumbangan yang kami berikan kepada pihak sekolah dengan membantu murid-muridnya untuk menguasai peta i-Think dan mengaplikasikannya dalam pembelajaran. Pendedahan i-Think kepada murid-murid juga merupakan satu alternatif dalam mencorak murid-murid yang mempunyai minda kelas pertama dan mencapai modal insan yang cemerlang.