You are on page 1of 9

TEMA 4: SISTEM HIDROLOGI TAJUK : AIR TANIH

A. Konsep Air Tanih.

1. Air tanih ialah semua air yang terdapat di bawah permukaan bumi. Sebenarnya sumber air tanah mewakili 95% daripada seluruh sumber air tawar dunia yang boleh digunakan. Air tanah merupakan jasad air yang didapati terutamanya daripada susupan dan tersimpan di dalam batuan telap air yang dikenali sebagai Akuifer. 2. Air bawah tanah wujud dalam dua zon yang berlainan iaitu zon tak tepu dan juga zon tepu. a) Zon tak tepu. Di kenali juga sebagai zon pengudaraan iaitu yang terletak berhampiran dengan permukaan bumi. Air yang tersimpan dalam zon pengudaraan ini juga dinamakan sebagai air tanih dimana ia tersimpan dalam tanih yang dipengaruhi oleh tegangan. Air tanih inilah yang menentukan nilai kelembapan tanih. b) Zon tepu. Air yang wujud di dalam semua rongga pore tanah yang terletak di bawah lapisan tanih. Air di zon tepu inilah yang menyumbang kepada air perigi dan mata air, justeru itu air yang wujud did lam zon tepu ini dianggap sebagai air tanah yang sebenarnya. Mengikut Waltz (1969) air tanah ialah air yang wujud di bawah permukaan bumi yang berada di dalam zon tepu yang mana tekanan hidrostatiknya sama atau lebih besar berbanding dengan tekanan atmosfera. Lihat rajah di bawah bagi menunjukkan lokasi air dalam tanah dan juga kedudukan zon tak tepu serta zon tepu.

B.

Asal Usul Air Tanih.

1. Mengikut Ayoade (1988), air tanah adalah berasal daripada kerpasan khususnya hujan dan cairan salji yang jatuh ke permukaan bumi yang kemudiannya mengalami susupan atau resapan ke dalam tanah. Air hujan yang menyusup ini akan tersimpan di dalam formasi batuan yang telap air dikenali sebagai akuifer. Namun begitu terdapat juga sumber-sumber lain yang menjadi air tanah seperti air galian dan air muda. Air galian ialah air yang tersimpan dalam ruang antara batuan mendak semasa pembentukan batuan mendak tersebut manakala air muda pula ialah air yang berasal daripada magma gunung berapi dan kosmik yang bercampur dengan air bumi. 2. Sebagai praktiknya semua air tanah bolehlah dikatakan berasal daripada atmosfera iaitu sumber kerpasan samada hujan atau salji. Air tanah yang telah dijana dan digunakan oleh manusia seterusnya akan mengalami kitaran dan kembali semula ke dalam tanah. Air tanah boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti air mata air, air yang beku sepanjang tahun yang dikenali sebagai ibun abadi dan yang paling penting ia wujud dalam takungan bawah tanah yang luas di dalam formasi batuan telap air yang dinamakan sebagai akuifer.

C.

Proses Susupan dan Faktor-Faktor Yang Mempengaruhinya.

1. Proses yang paling penting dalam menyediakan air tanah ialah proses susupan atau infiltrasi. Bagi setiap titisan hujan yang jatuh ke tanah sebelum ia mengalir di permukaan terlebih dahulu berpotensi untuk menyusup masuk ke dalam tanah. Susupan atau infiltrasi bererti pergerakan air hujan yang berlaku secara menegak menerusi liang-liang pore tanah atau menerusi ruang-ruang udara yang ada di dalam tanah. Kadar susupan atau ketelusan ini bergantung kepada saiz,bentuk dan peratus liang pore yang dimiliki oleh sesuatu jenis tanah. Tanah pasir misalnya mempunyai kadar ketelusan yang tinggi kerana liang pore batuannya besar dan banyak. Oleh sebab itu tanah pasir membenarkan air hujan menyusup masuk dengan banyak ke dalamnya.

Rajah 2 : Proses Susupan (Infiltrasi)

Faktor-faktor yang mempengaruhi proses susupan.

1. Proses susupan air hujan dari permukaan ke dalam tanah amat bergantung kepada keporosan tanah tersebut. Keporosan merujuk kepada kebolehupayaan air untuk menyusup masuk melalui liang-liang pore (rongga-rongga) yang wujud dalam partikel-partikel tanah. Kebolehupayaan air untuk menyusup ini amat bergantung kepada; a) Jumlah liang pore yang terdapat dalam sesuatu jenis tanah. Tanah yang mempunyai peratus liang pore yang tinggi seperti tanah kapur atau batu kapur maka ia adalah amat poros (banyak menyusupkan air) berbanding dengan tanah yang peratus liang porenya rendah seperti tanah liat (banyak menakung air). b) Struktur/susunan partikel tanah. Partikel tanah yang tersusun longgar seperti tanah pasir adalah lebih poros berbanding dengan susunan partikel yang lebih padat. Ini kerana wujudnya ruang-ruang udara yang lebih besar/luas antara partikel-partikel yang tersusun longgar tadi. c) Komposisi dan saiz partikel tanah. Tanah yang partikelnya pelbagai jenis dan saiz seperti campuran bongkah batuan, kerikil dan pasir adalah lebih poros berbanding dengan tanah yang homogeneus komposisinya seperti tanah liat. Begitu juga dengan saiz partikel. Semakin besar saiz partikel tanah maka semakin tinggi kadar keporosannya. d) Lembapan tanih. Tanih yang kering seperti tanah di kawasan gurun panas adalah lebih poros berbanding dengan tanah yang lembab seperti tanah di kawasan tropika lembab. Tanah yang lembab bermakna peratus simpanan wap airnya adalah tinggi berbanding dengan tanah yang kering. Lembapan tanih ini amat bergantung kepada kelembapan udara sekitar. 2. Selain daripada keporosan tanah terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi kadar susupan ini antaranya ialah: a) Faktor hujan daripada segi jumlahnya, kelebatannya, saiz titisan hujan dan juga bentuk hujan mengikut masa. Hujan renyai biasanya mengalami kadar susupan yang tinggi kerana air hujan yang menimpa bumi tadi mempunyai banyak masa untuk meresap ke dalam tanah berbanding untuk mengalir di permukaan. b) Tumbuhan litupan. Kawasan yang tebal tumbuhan seperti hutan primer maka kadar susupannya adalah tinggi. Ini kerana proses pintasan yang dijalankan oleh silara pokok adalah baik di samping sistem akar pokok yang timbul dipermukaan (akar banir) mengurangkan pergerakan larian air permukaan sekaligus meningkatkan kadar susupan. c) Ciri-ciri batuan yang menjadi asas pembentuk sesuatu jenis tanah. Ciri-ciri ini termasuklah tekstur dan struktur, sifat rekahan batuan dan kepadatan rekahan dan juga ciri-ciri minerologi samada mudah atau sukar terluluhawa atau tergondol. d) Aktiviti manusia. Misalnya aktiviti pembandaran yang menurap dan menutup permukaan bumi dengan tar, bitumen serta aspalt. Aktiviti ini pastinya akan menghalang proses susupan air ke dalam tanah sebaliknya air hujan akan mengalir sebagai larian air permukaan.

d.

Konsep Akuifer dan Jenis-Jenis Akuifer.

1. Air hujan yang menyusup masuk ke dalam tanah akan disimpan dalam formasi batuan yang boleh menakung dan membendung air. Formasi geologi yang boleh menyimpan air ini dipanggil sebagai Akuifer. Akuifer bukan sahaja boleh menyimpan air di dalam tanah malah

ia bertindak sebagai konduit untuk air tersebut mengalir di dalam tanah menuju ke sungai sebagai aliran dasar atau menjadi sebagai sumber mata air. Keupayaan akuifer untuk mengalirkan air yang disimpannya bergantung kepada beberapa faktor seperti kecerunannya, ketertelapannya dan luas keratan rentas sesuatu akuifer sepertimana yang diutarakan oleh Hukum Darcy. 2. Terdapat dua jenis sistem akuifer yang dikenali sebagai Akuifug dan Akuiklud. Formasi batuan yang hanya boleh menyimpan air tetapi tidak membenarkan air yang disimpannya mengalir dipanggil sebagai Akuifug. Sebagai contoh air di dalam tanah yang disimpan di dalam formasi batuan granit. Manakala formasi batuan yang boleh menyimpan dan bertindak sebagai konduit untuk air tersebut mengalir sebagai aliran air bawah tanah dinamakan sebagai Akuiklud, misalnya air yang tersimpan di dalam lapisan tanah liat dan juga batuan Syal. 3. Berdasarkan kepada sistem akuifer ini maka sumber air tanah boleh dikelaskan kepada lima jenis iaitu: a) Air tanah tertutup iaitu keseluruhan akuifer dikurung oleh lapisan tak telap air. b) Air artois iaitu kawasan simpanan air tanah yang lokasinya lebih tinggi daripada permukaan lembangan saliran. Jika perigi digali dalam system akuifer ini air tanah akan memancut keluar. c) Air tertekan iaitu air dalam akuifer yang dilitupi oleh lapisan tak telap air. d) Air bebas iaitu tiada lapisan tak telap air di atasnya. e) Air tenggek iaitu air dalam zon tepu yang terbentuk di atas satu kanta yang tak telap air.

Ciri-ciri Akuifer.
Sesuatu jenis akuifer mempunyai ciri-cirinya sendiri. Di antara ciri-ciri akuifer yang biasa dikaji ialah: a) Keporosan. Merujuk kepada peratus liang pore atau ruang yang wujud antara partikel tanah atau antara mineral batuan yang boleh diresapi dan ditakungi oleh air tanah. Ruang pore bukan sahaja dapat menyimpan air malah ia bertindak sebagai konduit untuk membenarkan air tanah bergerak dan mengalir. Oleh sebab itu ianya amat penting dalam kajian air tanah. Koporosan sebenarnya ialah nisbah rongga atau liang pore berbanding dengan keseluruhan isipadu batuan. Setiap batuan mempunyai nilai keporosan yang berbeza bergantunglah kepada struktur dan tekstur mineralnya dan juga kepadatan dan ikatan antara mineral-mineral yang membentuknya. Lihat jadual 1 di bawah untuk menunjukkan bezantara keporosan bagi beberapa jenis batuan.

Jadual 1: Bezantara keporosan bagi beberapa jenis batuan. Jenis Batuan


Tanah liat Pasir Kelodak Kelikir Batu pasir

Keporosan (%)
45 -55 33 -40 40 -50 30 -40 10 -20

Syal Batu kapur Syis Basalt Granit yang terluluhawa

1 10 1 10 38 17 40 -45

b) Ketertelapan. Merujuk kepada keupayaan sesuatu jenis batuan untuk memindahkan air atau membenarkan air mengalir dan meresap melaluinya. Batuan boleh dianggap sebagai tidak telap air jika mempunyai rekahan, garis kelemahan dan retakan yang membenarkan air mengalir melaluinya. Antara contoh batuan tak telap air ialah kuartza dan kapur. Walaupun ketelapan batuan berkait dengan liang pore tetapi tidak semestinya batuan yang mempunyai liang pore yang banyak maka ia adalah telap air. Lihat jadual 2 di bawah bagi menunjukkan bezantara ketelapan bagi beberapa jenis batuan. Jadua 2: Bezantara ketelapan bagi beberapa jenis batuan.
Jenis Batuan Tanah liat Pasir Kelodak Kelikir Batu pasir Syal Ketelapan (gelen sehari/kaki persegi) 0.001 100 0.001 1000 0.1 0.00001 hingga hingga hingga hingga hingga hingga 2 3000 2 15000 50 0.1

c) Penahanan Tentu. Ialah satu ukuran tentang keupayaan batuan menahan atau mengekalkan air selepas ketepuan dicapai. Penahan tentu ini wujud di dalam zon tepu. Apabila semua ruang pore tanah dipenuhi air maka tidak semua air tersebut akan dialirkan di dalam tanah sebahagiannya mungkin akan terus kekal di dalam liang pore tersebut. d) Pekali Keterusan. Merujuk kepada keupayaan akuifer untuk mengalirkan air melalui satu unit ketebalan akuifer. Ada akuifer yang hanya menakung air tetapi tidak membenarkan air mengalir di atasnya sebagai edaran air bawah tanah. e) Pekali simpanan. Iaitu keupayaan akuifer untuk mengeluarkan isipadu air pada satusatu masa tertentu. Kapasiti air yang tersimpan dalam akuifer adalah merupakan stok air untuk masa depan.

C.

Edaran atau Pergerakan Air Tanah.

1. Edaran air tanah merupakan satu komponen penting di dalam kitar hidrologi. Ia merujuk kepada semua bentuk pergerakan air yang menggunakan tanah sebagai mediumnya (bahan antaranya) seperti aliran sub - permukaan, susupan (infiltrasi) dan pergerakan air secara mendatar dalam sistem akuifer. Semua pergerakan air ini berlaku dalam bentuk cecair. Pergerakan air tanah secara menegak dipanggil sebagai susupan manakala pergerakan air tanah secara mendatar dipanggil sebagai rembesan. Lihat rajah 3 di bawah yang menunjukkan aliran air tanah.

Rajah 3: Edaran Air Tanah.

Rajah 3: Edaran Air Tanah.

2. Pergerakan air tanah yang mengalir secara mendatar di dalam sistem akuifer akan menuju ke sungai, tasik, kolam dan empangan. Justeru itu jumlah simpanan air tanah amat penting untuk menentukan jumlah air yang boleh dimiliki oleh sungai, tasik, kolam dan empangan tersebut. Dalam konteks sistem sungai misalnya air tanah merupakan pembekal tetap kepada aliran dasar (base flow). Jika bekalan air tanah berkurangan maka sungai-sungai akan kekeringan air. Apabila air sungai kering maka masalah kekurangan air akan dialami oleh empangan yang akan menjejaskan pula bekalan air kepada manusia. 3. Dalam konteks hidrologi kepentingan sumber air tanah boleh dilihat daripada beberapa sudut iaitu: a) b) Mengekalkan kelembapan tanih terutamanya bagi air tanah yang berada di zon tak tepu. Ini membolehkan proses sejat-peluhan dari lembapan tanih ke atmosfera tidak terganggu. Membekalkan keperluan air untuk tumbesaran pokok-pokok yang seterusnya menjamin pula proses pepeluhan (transpirasi) tumbuhan tidak terjejas. Dalam konteks sejatan dan pepeluhan ini air tanah mempunyai fungsi yang besar untuk membekalkan wap-wap air dalam udara bagi mengekalkan kelembapan udara sekitar. Membekalkan air secara berterusan kepada sistem saliran seperti sungai, tasik,kolam, paya dan akhirnya ke laut. Dengan perkataan lain air tanah menentukan isipadu air dalam sistem saliran dan seterusnya akan mempengaruhi nilai sejatan permukaan.

c)

e)

Faktor-faktor yang mempengaruhi simpanan air tanah.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi simpanan air tanah. Antaranya ialah: a). Tumbuh-tumbuhan litupan : Litupan tumbuhan yang tebal seperti hutan hujan khatulistiwa membantu kadar susupan yang tinggi. Dengan itu jumlah air yang boleh disimpan

dalam tanah akan bertambah. Lapisan kanopi tumbuhan menghalang titisan air hujan daripada terus menimpa lantai hutan. Setiap titisan hujan mengambil masa untuk jatuh ke tanah dan halaju jatuhannya adalah perlahan. Dengan ini titisan-titisan air hujan tersebut cenderung untuk meresap masuk ke dalam tanah daripada mengalir di permukaan. Di kawasan hutan tebal juga biasanya mempunyai sistem akar banir yang timbul di permukaan tanah. Sistem akar ini akan menghalang pergerakan larian air permukaan yang akan menyebabkan kadar susupan air permukaan meningkat. b). Ciri-ciri sistem akuifer yang terdapat di sesebuah kawasan. Antaranya meliputi: i) Kejerapairan tanih : Bergantung kepada jumlah liang pore sesuatu jenis tanah yang menyebabkan tanah itu poros atau tidak. Misalnya tanah pasir yang peroi adalah poros dan tidak mampu menyimpan air. Oleh itu kandungan air tanihnya kurang berbanding dengan tanah liat yang tidak poros dan mampu menyimpan air dengan banyak.. ii) Ketelapan tanih: Bergantung kepada struktur dan tekstur tanih. Tanah yang berstruktur longgar dan bertekstur kasar seperti batu pasir dan kerikil lebih cepat kehilangan air berbanding dengan tanah yang berstruktur padat dan bertekstur halus seperti tanah liat dan granit yang menggalakkan air bertakung. c). Faktor jumlah dan sifat hujan yang turun di sesebuah kawasan tadahan. Hujan lebat dalam tempoh yang lama akan membekalkan jumlah air tanah yang tinggi. Misalnya pada musim tengkujuh yang menyebabkan tanah menjadi lembab berbanding dengan jumlah hujan yang sedikit atau pada musim kemarau. Bagi hujan yang lebat tetapi sekejap sahaja tidak akan menghasilkan simpanan air tanah yang banyak kerana bentuk hujan ini membolehkan kadar larian air permukaan yang tinggi bukannya kadar susupan. d). Aktiviti manusia. Meliputi aktiviti penyahutanan yang memusnahkan kawasan tadahan air dan seterusnya menurunkan paras air dalam tanah. Begitu juga dengan aktiviti penurapan muka bumi khususnya di Bandar-bandar besar akan menghalang proses susupan air ke dalam tanah kerana liang-liang pore tanah sudah ditutup dengan bitumen, tar, aspalt dan konkrit. Justeru itu bekalan air kepada sumber air tanah akan berkurangan dan mungkin tiada.

f).

Potensi Sumber Air Tanah: Kajian Kes di Malaysia.

1. Di Malaysia sumber air tanah yang ada sememangnya berpotensi untuk dimajukan kerana kapasiti airnya yang banyak dan sehingga kini belum lagi digunakan dengan optima oleh manusia. Dianggarkan simpanan air bawah tanah di negara ini berjumlah 63 juta meter padu. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan ia menunjukkan bahawa sumber air tanah yang banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu yang mempunyai tanih alluvium. Penggunaan air tanah di kedua-dua negeri ini adalah tinggi. Misalnya di Kota Baharu sahaja kira-kira 68 juta liter air tanah dipamkan untuk kegunaan penduduk. Selain itu negeri Perlis juga banyak menggunakan sumber air tanah sebagai bekalan air kepada penduduknya. Kira-kira 30% daripada seluruh bekalan air kepada penduduk perils adalah bergantung kepada sumber air tanah. Di samping itu negeri-negeri lain juga mempunyai sumber air tanah yang banyak misalnya Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan utara Kedah. Manakala negeri-negeri yang mempunyai banyak formasi batuan mendak adalah kurang sumber air tanahnya.

2. Penggunaan air bawah tanah amat mudah dan murah. Kawasan yang sudah dikenalpasti hanya perlu digerudi dan dipamkan keluar airnya untuk disalirkan ke loji pembersihan (perawatan) sebelum diagehkan kepada penduduk melalui sistem perpaipan Jabatan Bekalan Air (JBA) yang sudah sedia ada. Proses penggerudian akan menggunakan campuran bertonit dan air yang digerakkan oleh engin. Campuran bertonit ini berfungsi untuk mengangkut keluar tanah yang telah dikorek disamping menstabilkan dinding telaga yang dibina, seterusnya air dipamkan keluar oleh mesen pengepam. Kos pembinaannya jauh lebih murah berbanding dengan kos pembinaan empangan yang bernilai jutaan ringgit. Setiap perigi yang digerudi dan digali lengkap dengan sistem salirannya hanya melibatkan kira-kira RM: 30,000 sahaja dan ia dapat membekalkan air kepada 60,000 hingga 100,000 pengguna. Manakala mesen gerudi itu pula berharga RM: 2 juta dan ia boleh menggali telaga tanpa had. 3. Namun begitu walaupun pengambilan air bawah tanah adalah mudah dan murah tetapi ia mestilah sistematik dan terkawal. Jika air diambil dari sumber Akuifug mungkin tidak begitu memberikan kesan yang besar kerana geologi granit yang mendasarinya adalah kukuh dan stabil tetapi jika pengambilan air secara berlebihan daripada sumber Akuiklud ianya amat merbahaya dan beresiko tinggi khususnya dalam jangka masa panjang. Selain itu kita juga haruslah memahami bahawa sistem akuifer terutamanya daripada jenis akuiklud adalah penyumbang air yang tetap kepada sistem saliran khususnya sungai dan tasik. Sifatnya yang konduit membenarkan air di atasnya mengalir sebagai aliran air bawah tanah yang amat penting untuk menjamin air sungai yang ada berterusan mengalir. Mengharapkan air hujan dan air larian semata-mata adalah tidak mencukupi bagi menambahkan kuantiti air sungai dan juga empangan. Air tanahlah yang sebenarnya membekalkan aliran dasar (Base Flow) kepada sungai. Justeru itu penggunaan air bawah tanah adalah satu langkah penyelesaian jangka pendek sahaja.

Soalan Latihan: Soalan 1: a) Apakah yang dimaksudkan dengan air tanih? . [ 3 Markah]

b) Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kadar susupan air ke dalam tanah di sesebuah kawasan. [10 Markah]. c) Bincangkan kepentingan sumber air tanah kepada kitar hidrologi dan juga kepada manusia. [ 12 Markah] Soalan 2: a) Apakah yang dimaksudkan dengan akuifer?. [ 3 Markah]

b) c) d)

Huraikan ciri-ciri sesebuah akuifer.

[ 8 Markah]

Jelaskan faktor-faktor yang boleh menentukan simpanan air dalam tanah. [8 Markah ] Bagaimana aktiviti pembandaran mempengaruhi sistem akuifer. [6 Markah ]

Soalan 3: a) Tunjukkan bagaimana sumber air tanah di Malaysia boleh dijana untuk kegunaan penduduknya. [ 5 Markah] b) Huraikan bagaimanakah aktiviti-aktiviti manusia boleh menjejaskan kualiti air tanah di Malaysia. [10 Markah] c) Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjamin sumber air tanah di Malaysia sentiasa bersih dan berterusan. [10 Markah]

You might also like