You are on page 1of 4

3.

SOSIOBUDAYA Khazanah Kebudayaan Melayu terkandung dalam bahan sastera dan bahan bukan sastera seperti bahan penulisan ilmiah, bahan media komunikasi dan bahan lain yang menggambarkan sosiopolitik, sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat Melayu. Berdasarkan bahan bukan sastera, iaitu drama, kumpulan kami telah melaksanakan satu kajian mengenai kebudayaan Melayu melalui satu drama Melayu sekitar 1990-an yang bertajuk Keris Hitam Bersepuh Emas yang telah ditayangkan di kaca televisyen Radio Televisyen Malaysia 1 (RTM1). Pada bahagian ini pula, kami akan mengetengahkan isu sosiobudaya yang dikaitkan dengan kebudayaan masyarakat melayu. Susun lapis masyarakat Melayu dalam drama ini dibahagikan kepada golongan pemerintah dan golongan diperintah. Apa yang dimaksudkan dengan golongan pemerintah adalah mereka yang terdiri daripada raja atau sultan, keluarga dan kaum kerabat, pembesar, ulama atau pendeta. Manakala golongan yang diperintah pula terdiri daripada golongan rakyat biasa dan hamba. Gaya hidup golongan bangsawan merangkumi adat istiadat, bahasa dan cara berpakaian. Melalui drama ini kita dapat lihat bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu amat menitikberatkan adat istiadat bersama pembesar dan juga ketika berada di istana. Rakyat jelata tidak boleh sewenang-wenangnya masuk ke istana untuk berjumpa dengan pembesar. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh rakyat jelata ketika berinteraksi bersama pembesar atau raja juga sangat sopan dan beradab. Mereka tidak boleh menggunakan bahasa pertuturan harian ktika bertutur bersama golongan bangsawan. Pengarah drama ini cuba menyampaikan mesej bahawa budaya hormat- menghormati dalam kalangan masyarakat Melayu telah wujud sejak dahulu lagi. Cuma masyarakat moden zaman kini kurang mengambil berat tentang aspek menghormati orang lain. Masyarakat kini juga menggunakan laras bahasa yang sama ketika berkomunikasi. Tidak kira apa darjat atau kedudukan orang tersebut, semuanya sama sahaja dimata masyarakat kini. Kehidupan yang seimbang dan taraf sama rata membuatkan masyarakat kini makin alpa terhadap aspek kesantunan dan berbudi bahasa semasa bertutur.

Suasana kehidupan di kampung yang digambarkan melalui drama ini sangat menyentuh hati. Masyarakat Melayu tradisional pada masa itu merupakan golongan rakyat yang sangat menghormati jiran, suka tolong-menolong, toleransi dan kerap

mengamalkan aktiviti gotong-royong. Perkara sedemikian telah diterapkan dalam kehidupan harian mereka. Begitu jugalah masyarakat dahulu mengasuh anak-anak meeka agar menjadi seorang rakyat yang mempunyai semangat kemasyarakatan yang tinggi di samping diasuh menjadi rakyat yang berguna dan berwibawa. Selain itu, kegiatan sosiobudaya masyarakat Melayu pula meliputi kegiatan masa lapang. Perkara yang sering dilaksanakan dalam drama tersebut ialah berkarya, menghasilkan pelbagai bentuk kraf tangan, dan mempelajari ilmu pengetahuan serta ilmu agama. Masyarakat yang cuba ditonjolkan pengarah melalui drama ini adalah masyarakat yang menghargai masa yang ada, tidak suka membazir masa, melakukan aktiviti berfaedah dan berguna sewaktu lapang serta tidak jemu menuntut ilmu walaupun pada usia yang lanjut. Setiap episod yang ditayangkan mengandungi suatu mesej yang ingin disampaikan pengarah kepada anak muda sekarang yang makin alpa dek kerana arus perkembangan moden. Remaja dulu gemar berlatih silat pada waktu malam tetapi remaja kini gemar bermain komputer pada waktu malam dan aktiviti utama anak-anak muda sekarang ialah bermain permainan di Facebook, bersembang bersama rakan, muat naik pelbagai gambar yang tidak memberi manfaat serta membazir masa dengan menyebarkan perkara yang tidak benar. Begitulah bezanya anak muda dulu dan juga kini. Sungguh ketara perubahan mereka. Hanya kerana moden timbul pelbagai perkara yang tidak munasabah serta tidak berfaedah. Anak kecil yang baru berusia 6 tahun pun sudah memiliki akaun Facebook. Segalanya telah berubah kerana dunia kini hanya di hujung jari. Keunikan seni silat yang ditunjukkan dalam drama ini sangat menarik. Setiap episod drama ini mengandungi sekurang-kurangnya satu aksi bersilat sama ada berlatih silat, pertandingan bersilat atau pertarungan. Seni silat gayung yang ditonjolkan merupakan seni agung masyarakat Melayu pada masa itu. Setiap lelaki Melayu wajib mempelajari silat agar boleh mempertahankan hak mereka dan melindungi orang yang

mereka sayangi. Suatu kerugian kepada mereka yang tidak tahu bersilat. Silat juga lambang kekuatan kaum lelaki serta maruah yang paling tinggi untuk seorang lelaki. Lelaki yang paling gagah dinilai melalui tahap penguasaannya dalm ilmu persilatan. Begitulah kehidupan masyarakat Melayu pada masa dulu. Tambahan, melalui drama ini kita dapat melihat unsur seni yang diterapkan pengarah. Masyarakat dulu suka mencipta kraf tangan serta peralatan atau perkakasan bagi tujuan kegunaan harian mereka. Contohnya mereka mampu mencipta keris sebagai senjata bagi mempertahankan diri. Selain itu mereka juga mencipta rakit, pagar serta titi daripada buluh bagi tujuan kemudahan pergerakan mereka. Mereka juga mengukir batang kayu menjadi perhiasan yang cantik serta mencipta anting-anting daripada akar kayu dan juga rotan sebagai perhiasan bagi kaum wanita mereka. Sungguh unik orang zaman dahulu. Mereka suka berusaha untuk memperoleh sesuatu dan segala yang diingin oleh rakyat biasa memang sukar diperoleh. Hal ini kerana rakyat biasa pada masa dulu miskin. Segala kemudahan, perhiasan dan kraf tidak mampu mereka beli. Jadi mereka mencipta perkara yang mereka ingini melalui ukiran, anyaman dan lukisan serta tulisan. Golongan ulama pada masa dulu gemar mengukir kayu dengan kata-kata hikmat daripada bahasa Arab, potongan hadis serta ayat-ayat Al-Quran yang ringkas. Mereka menyimpan koleksi tersebut dan adakalanya mereka menghadiahkan hasil ukiran mereka kepada tetamu, sahabat atau pemimpin mereka. Baik lawannya buruk. Cantik lawannya hodoh. Begitu juga positif lawannya negatif. Di samping nilai serta perkara positif berkaitan masyarakat Melayu ditonjolkan, terdapat juga unsur-unsur negatif dalam masyarakat Melayu zaman dulu. Terdapat golongan yang suka berjudi. Mereka berjudi dengan melagakan ayam peliharaan

mereka. Aktiviti laga ayam memang mendapat sambutan yang meriah pada masa dulu. Rakyat jelata yang menginginkan kehidupan selesa tanpa berusaha gigih mudah dilihat melalui drama ini. Mereka gemar berjudi tanpa segan silu kerana perkara ini ditegah sekeras-kerasnya dalam agama Islam. Mereka mempertaruhkan rumah, duit, binatang peliharaan dan terdapat juga golongan yang mempertaruhkan wanita sebagai ganjaran kemenangan judi. Situasi sebegini pernah wujud pada zaman dahulu dan dilakonkan semula dalam drama tersebut.

Perkara yang positif bolehlah kita jadikan teladan. Contohnya mempelajari seni silat bagi mempertahankan diri dan keluarga kita, mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti membuat kraf tangan dan mempelajari ilmu-ilmu agama. Manakala unsur negatif seperti amalan berjudi perlulah dijadikan pengajaran dan harus ditegah kerana berjudi adalah sesuatu yang merugikan. Tanpa usaha yang gigih kita tidak mungkin akan berjaya. Berjaya dengan cara yang mudah tidak akan kekal selamanya. Drama Keris Hitam Bersepuh Emas mengandungi mesej yang tersendiri bagi menyedarkan masyarakat Melayu bahawa warisan dan kebudayaan Melayu haruslah dipelihara agar terus diingati dan diamalkan oleh generasi akan datang.

You might also like