You are on page 1of 2

MAY 10, 2011

Sampah Angkasa 1
SAMPAH-SARAP angkasa lepas, kotoran atau buangan ruang angkasa. Bahan buangan ini telah mengundang masalah besar kepada ruang angkasa planet Bumi. Ini termasuk nat, kepala bolt dari satelit atau Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), bahan binaan stesen, pelbagai bahan yang dibuang secara tidak sengaja seperti sarung tangan angkasawan dan kamera. Tidak mengambil kira badan kapal angkasa yang meletup dalam kemalangan, ia sudah pasti menambah jumlah sampah di angkasa. Jika dibiarkan, isu ini boleh membangkitkan masalah besar pada masa akan datang. Pusat Operasi Angkasa Eropah baru-baru ini mendedahkan beberapa imej yang mengejutkan berhubung isu ini. Gambar-gambar ini sebenarnya menunjukkan objek-objek yang dapat dikesan mengelilingi bumi pada orbit rendah iaitu kira-kira 35,786 kilometer (GEO). Di antara tempoh masa pelancaran Sputnik pada 4 Oktober 1957 dan 1 Januari 2008, kira-kira 4,600 pelancaran telah dilakukan sekali gus meletakkan 6,000 satelit di orbit. Sebanyak 400 daripadanya mengelilingi planet Bumi. Daripada 5,600 satelit yang lain, hanya 800 yang berfungsi. Kira-kira 50 peratus daripada benda-benda yang dikesan ini dipercayai boleh meletup atau berlanggar di antara satu sama lain. Seorang pegawai dari program perkhidmatan angkasa lepas Amerika Syarikat berkata, stesen angkasa kerap berlanggar dengan bahan buangan dan lebih daripada 80 tingkap perlu diganti setakat hari ini. ISS sendiri kadang-kala terpaksa digerak untuk mengelakkan pelanggaran teruk. Satelit Envisat umpamanya, mempunyai halaju di antara satelit dan sampah-sarap pada 52,000 kilometer sejam. Jika objek ini melanggar satelit, ia boleh meninggalkan kesan kerosakan yang buruk dan mungkin menyebabkan bencana. Selepas sesebuah misi berakhir, bateri, sistem dan tangki minyak yang meletup meninggalkan banyak bahan buangan yang hanya menambah bilangan buangan di orbit. Ada yang sebesar mikro meter dan sehingga 10 sentimeter atau lebih. Letupan pertama pada 1961 meningkatkan bilangan objek buangan di ruang angkasa. Dalam dekaddekad yang lalu, kebanyakan bilik operasi menggunakan kaedah pasif yang menghapuskan sumber tenaga yang berkait-rapat dengan bateri, tangki minyak dan lain-lain. Tetapi ini belum cukup baik. Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, pelanggaran yang menyebabkan letupan boleh menambah lebih banyak jumlah sampah sarap di angkasa. Salah satu cara yang dipertimbangkan ialah mengurangkan misi membawa objek. Pendekatan lain ialah mengadaptasikan mesin membersih ruang angkasa lepas.
MAY 10, 2011

Sampah Angkasa 2
Pelanggaran Satellite USA-Russia: Wujudkan Sampah -Ancam Bumi MOSCOW: Pelanggaran dua satelit boleh menyebabkan anggaran berpuluh-puluh ribu serpihan sisa di ruang angkasa lepas mengelilingi bumi dan bakal menjadi ancaman kepada satelit lain bagi tempoh 10,000 tahun akan datang. Serpihan yang mengelilingi planet turut membahayakan pesawat angkasa lain. Seorang pakar angkasa lepas yang menyifatkan pelanggaran berkenaan sebagai 'satu malapetaka', berharap dapat memaksa pentadbiran Presiden Barack Obama menekankan isu yang diabaikan sejak sekian lama membabitkan serpihan di ruang angkasa lepas. Ketua Misi Kawalan Russia, Vladimir Solovyov, berkata pelanggaran satelit tentera Russia dan satelit komersial Iridium Amerika Syarikat berlaku di bahagian paling sibuk berhampiran ruang bumi kira-kira

800 kilometer dari bumi. "Jarak 800 kilometer adalah orbit paling popular yang digunakan oleh satelit komunikasi dan menjejaki bumi," kata Solovyov kepada pemberita, kelmarin. "Serpihan berkenaan mendatangkan ancaman serius kepada kawasan terbabit." Solovyov berkata, serpihan pelanggaran berkenaan akan terus berada di orbit untuk lebih 10,000 tahun, walaupun ia amat kecil boleh mengancam kapal angkasa kerana kedua-dua berada pada kelajuan orbit tinggi berkenaan. James Oberg, seorang jurutera angkasa lepas berpengalaman yang bekerja dengan program kapal angkasa NASA dan kini seorang perunding, menyifatkan pelanggaran di utara Siberia itu sebagai satu malapetaka. NASA berkata, kejadian itu adalah pelanggaran berkelajuan tinggi pertama antara dua kapal angkasa membabitkan pesawat Iridium seberat 560 kilogram, manakala pesawat Russia seberat hampir satu tan. David Wright daripada pertubuhan Union of Concerned Scientists Global Security berkata, pelanggaran berkenaan mungkin membentuk berpuluh-puluh ribu partikel lebih besar daripada satu sentimeter yang boleh menyebabkan kerosakan besar atau mungkin menghancurkan satelit. Wright, dalam satu halaman web kumpulan itu berkata, dua blok serpihan besar daripada pelanggaran Selasa lalu boleh membentuk sebuah kelompok mengelilingi bumi. Beliau menyifatkan serpihan itu umpama tembakan senapang yang boleh mengancam satelit lain.

You might also like