You are on page 1of 6

1.

0 PENGENALAN KEPADA SALURAN DAN PEREDARAN DARAH

Sistem saluran dan peredaran darah merupakan sistem yang penting di dalam tubuh badan. Sistem ini berfungsi mengedarkan darah bermula dari jantung ke seluruh badan dan masuk semula ke jantung. Sistem peredaran darah manusia juga dikenali sebagai sistem peredaran tertutup kerana darah mengalir di dalam salur darah yang tertutup. Sistem pengaliran darah ialah satu rangkaian tertutup yang terbina daripada jantung dan saluran darah. Jantung berperanan sebagai sebuah pam yang mengedarkan darah beroksigen ke seluruh badan melalui salurnadi (arteri) dan salurhalus (kapilari). Manakala, darah yang kurang kandungan oksigennya dibawa balik ke jantung oleh pembuluh. Dua fungsi asas peredaran darah ialah menyampaikan zatzat makanan dan oksigen kepada sel-sel di dalam badan serta mengeluarkan karbon dioksida dan bahan-bahan yang tidak dikehendaki dari sel. Sebagaimana yang kita tersedia maklum, sistem peredaran darah manusia terbahagi kepada dua jenis iaitu kitaran pulmonari dan kitaran sistemik. Kitaran pulmonari bermaksud membawa darah nyahoksigen ke paru-paru untuk pertukaran gas sebelum darah beroksigen dikembalikan ke jantung. Darah yang tidak beroksigen ini dibawa dari jantung melalui arteri pulmonari ke paru-paru dan balik semula ke jantung melalui vena pulmonari. Kitaran sistemik pula membolehkan darah beroksigen dan nutrien dibawa ke organ-organ badan melalui aorta serta membawa darah nyahoksigen kembali ke jantung. Seterusnya, struktur sistem peredaran darah terdiri daripada tiga komponen utama iaitu jantung, salur darah dan darah. Jantung ialah sebuah organ yang penting dalam mengepam darah ke seluruh badan untuk membekalkan oksigen. Organ ini mempunyai empat ruangan iaitu atrium kanan, atrium kiri, ventrikel kanan dan ventrikel kiri. Di samping itu ia boleh disifatkan sebagai sebuah pam yang mengalirkan darah ke seluruh bahagian badan dan mengekalkan aliran tersebut setiap masa.

Organ ini terletak di belakang tulang dada di dalam ruang toreks di antara dua paru-paru, iaitu di tempat yang dikenali sebagai mediastinum. Pinggir bawahnya terletak di atas permukaan diafram. Saiz jantung manusia adalah sebesar genggam penumbuk. Hujung bawah jantung adalah tirus dan mengarah senget ke kiri, manakala dasarnya rata dan menganjur ke atas mengarah ke kanan. Dalam erti kata lain, kedudukan jantung menyendeng dari kanan ke kiri. Muatan ruangan jantung di antara tiga hingga enam aun darah. Jantung terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian kiri dan bahagian kanan oleh dinding sekat (septum). Oleh itu, bahagian sebelah kirinya tidak berhubung terus dengan bahagian sebelah kanan. Tiap-tiap bahagian pula terbahagi kepada dua ruangan oleh injap yang mengawal pengaliran darah di dalam jantung. Ruangan sebelah atas dinamakan serambi jantung (atrium) dan yang di bawah dinamakan bilik jantung (ventrikel). Seiringan dengan itu, jantung terdiri daripada tiga jenis lapisan iaitu selaput jantung (perikardium dan endokardium) dan otot jantung (miokardium). Perikardium meliputi jantung dan terdiri daripada dua karung iaitu lapisan berfiber di bahagian luar sekali dan lapisan serosa. Lapisan serosa ini pula terdiri daripada dua lapisan selaput iaitu lapisan luar dan dalam. Selaput yang membina lapisan ini menghasilkan sejenis bendalir jernih yang mengelakkan geseran apabila jantung berdenyut. Endokardium pula terbina daripada tisu epithelium skuamosa (leper). Lapisan ini nipis dan licin lanjutan dari lapisan dalam salur darah. Jantung terbina daripada otot jantung iaitu miokardium. Miokardium adalah otot bebas yang istimewa kerana menyebabkan ventrikel kiri tebal, ventrikel kanan kurang tebal dan atrium yang nipis. Miokardium mengunjur cuaran ke dalam ruang ventrikel kiri dan kanan. Ini dikenali sebagai otot cuaran (otot papilari). Secara ringkasnya, jantung terbina daripada otot jantung (miokardium) yang diliputi epikardium di permukaan luarnnya dan endokardium di bahagian dalam. Seterusnya, komponen kedua dalam sistem peredaran darah ialah salur darah. Terdapat tiga jenis salur darah yang utama iaitu salurnadi (arteri), pembuluh (vena) dan

salurhalus (kapilari). Dinding arteri adalah dinding yang kuat dan elastik. Arteri ini terbina daripada tiga lapisan iaitu lapisan dalam (tunika interna), lapisan tengah atau lapisan otot (tunika media) dan lapisan luar (tunika eksterna). Tunika interna ialah lapisan yang nipis, licin dan leper serta terbina dari tisu epithelium biasa. Manakala, Tunika media ialah lapisan yang terdiri daripada otot bebas yang sedikit tercampur dengan fiber elastik. Terdapat lebih fiber elastik yang bercampur dengan otot bebas tersebut dalam arteri yang besar, tetapi fiber elastik adalah kurang dalam arteri yang kecil. Tunika eksterna ialah lapisan yang terbina daripada tisu berfiber dan memberi perlindungan kepada arteri itu sendiri. Jenis salur darah yang kedua, iaitu vena adalah sama seperti arteri yang terbina daripada 3 lapisan. Namum begitu, tisu otot dan tisu elastiknya kurang serta dindingnya juga tidak begitu tebal. Di sesetengah bahagian badan terutamanya di anggota, lapisan dalam vena tersebut terlipat ke dalam lubang salurannya untuk mendirikan injap yang kerapkali mempunyai dua kelopok. Injap ini teratur supaya ia terbuka ke arah jantung dan kehadirannya membenarkan otot berjalur menolak darah ke arah jantung apabila otot itu menguncup. Situasi pembuluh buasir (variks) akan timbul apabila injap tersebut rosak. Secara tuntasnya, arteri ialah saluran darah yang mengalirkan darah keluar dari jantung. Semua arteri kecuali arteri paru-paru (arteri pulmonari) mengalirkan darah beroksigen. Begitu juga dengan vena, iaitu saluran darah yang mengalirkan darah ke arah jantung. Sama juga seperti arteri, semua vena kecuali vena paru-paru (vena pulmonari) mengalirkan darah yang kurang beroksigen. Sejajar dengan itu, jenis salur darah yang ketiga ialah kapilari. Kapilari ialah saluran yang halus dan terbina daripada satu lapisan sahaja iaitu tisu epitelium leper biasa. Kapilari ini hanya boleh dilihat dengan teropong halus sahaja. Tambahan, kapilari pada tubuh manusia membentuk rangkaian di dalam tisu dan menerima darah dari arteri yang halus (arterioles) dan mengalirkan darah ke dalam vena yang halus (venules). Pertukaran oksigen, zat-zat makanan dan kumuh badan hanya berlaku antara darah dengan tisu tubuh. Segala pertukaran tersebut hanya dirangkaikan oleh kapilari dan membenarkan pertukaran secara osmosis.

Komponen yang terakhir dalam sistem peredaran darah ialah darah. Darah ialah sejenis tisu cecair dan isipadunya dalam tubuh manusia adalah lebih kurang 10 pain bagi orang dewasa. Kandungan darah terdiri daripada pepejal dan cecair. Pepejal adalah 45% terdiri daripada sel-sel darah dan cecair adalah 55% yang dikenali sebagai plasma darah. Sel darah terbahagi kepada 3 jenis iaitu sel darah merah (eritrosis), sel darah putih (lukosit) dan sel pembeku (platelet atau trombosit). Plasma bertindak sebagai bahan untuk menyalurkan makanan, lemak, glukosa, mineral dan asid amino ke tisu badan. Selain itu, plasma juga dikenali sebagai pembawa bahan buangan seperti urea, asid urik dan karbon dioksida. Di samping itu, terdapat juga beberapa jenis protein di dalam plasma darah. Antaranya seperti Albumin, Globulin, Fibrinogen, Heparin dan Protrombin. Seiringan dengan itu, sel darah merah hidup selama 90-100 hari. Sel-sel tua dimusnahkan di dalam limpah. Zat besi yang didapati daripada pemusnahan ini disimpan di dalam hati dan limpah, kemudiannya digunakan semula untuk membentuk sel-sel darah merah baharu. Seterusnya, pemecahan sel darah merah mengeluarkan bahan pewarna yang digunakan untuk penghasilan hempedu di hati. Tugas utama sel darah merah ialah mengangkut oksigen yang bergabung dengan hemoglobin. Manakala, sel darah putih pula biasa dianggap sebagai soldadu tubuh. Apabila jangkitan kuman menyerang tubuh, penghasilan sel ini bertambah (lukositosis). Oleh hal yang demikian, penyelidikan bilangan sel putih dalam darah adalah menjadi satu pemeriksaan yang penting bagi beberapa penyakit. Lebih kurang 25% daripada jumlah sel darah putih ialah limfosit atau sel limfatika. Limfosit ini memelihara badan pada masa serangan kuman atau penyakit seperti tibi dan sifilis. Sel pembeku akan mengelurakan trombokinas yang berfungsi untuk

membekukan darah. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembekuan darah boleh dipercepat ataupun diperlambat berdasarkan situasi tertentu. Proses pembekuan darah boleh dipercepat jika terdapat haba yang tinggi daripada suhu badan juga sentuhan dengan bahan kasar seperti sel epitelium vena yang rosak. Pada masa yang sama, pembekuan darah juga boleh diperlambat jika terdedah kepada keadaan kesejukan.

Sementelahan, proses ini juga juga akan lambat berlaku apabila darah disimpan dalam tabung berlapis licin serta apabila kalsium sitrat atau natrium sitrat ditambahkan ke dalam darah. Di samping itu, sekadar pengetahuan umum, jantung berdenyut sebanyak 60-80 kali seminit secara automatik dan kadar denyutan ini boleh bertambah mengikut keadaan seperti bersenam. Dalam pada itu, tekanan darah manusia boleh diukur dengan menggunakan sfigmomanometer. Tekanan darah adalah berbeza mengikut jantina, umur dan juga gerak kerja. Seterusnya, tekanan darah diukur dalam unit mm Hg (millimeter merkuri) dan tekanan darah yang normal ialah 120/80mm Hg. Jika informasi mengenai darah disingkap secara mendalam, darah manusia terbahagi kepada salah satu daripada empat kumpulan. Sekiranya darah dari dua kumpulan yang tidak secocok dicampurkan, situasi ini akan mengakibatkan aglutnatasi iaitu sel darah merah melekat merumpun-rumpun dalam salur darah penerima tersebut. Perkara ini akan menimbulkan keadaan yang merbahaya. Rentetan itu, darah penderma dan penerima haruslah datang dari kumpulan yang sama semasa proses pemindahan darah. Seperti yang dinyatakan sebentar tadi, darah terdiri daripada empat kumpulan iaitu kumpulan A, B, AB dan O. Individu dari katergori kumpulan darah A boleh menerima darah daripada kumpulan A dan O serta memberi darah kepada kumpulan A dan AB. Begitu juga dengan individu dari katergori kumpulan darah B boleh menerima darah daripada kumpulan B dan O serta memberi darah kepada kumpulan B dan AB. Manakala, individu dari kategori kumpulan darah AB pula boleh menerima darah daripada sebarang kumpulan iaitu kumpulan darah A, B, AB dan O tetapi tidak boleh memberi darahnya kepada kumpulan lain melainkan kumpulan daranhya sendiri iaitu AB. Terakhir sekali, individu dari kategori kumpulan darah O boleh memberi kepada semua jenis kumpulan darah tetapi hanya boleh menerima daripada kumpulannya sendiri sahaja iaitu O. Oleh hal yang demikian, penderma darah dari kalangan kumpulan darah O dikenali sebagai Universal Donar

Begitulah serba ringkas perihal pengenalan kepada sistem saluran dan peredaran darah yang telah dihuraikan sebelum diteruskan kepada sub tajuk yang seberikutnya iaitu struktur dan fungsi sistem saluran dan peredaran darah, masalah dan kesan sekiranya sistem saluran dan peredaran darah terganggu serta langkah-langkah rawatan dan pencegahan. Mukadimah kepada tajuk sistem saluran dan peredaran darah ini penting supaya sub tajuk yang seterusnya dapat ditaakul dengan mudah, Antara isi yang dijelaskan dalam pengenalan kepada sistem saluran dan peredaran darah ialah jenis peredaran darah iaitu peredaran sistemik dan juga peredaran pulmonari. Selain itu, tiga komponen utama dalam struktur peredaran darah iaitu jantung, salur darah dan juga darah telah disentuh dengan terperinci.

You might also like