You are on page 1of 9

BINCANGKAN HALANGAN YANG DIHADAPI UNTUK MEREALISASIKAN

KONSEP 1 MALAYSIA DAN CADANGKAN LANGKAH-LANGKAH UNTUK


MENGATASI HALANGAN TERSEBUT.

Satu Malaysia merupakan gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat
berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang menjadi amalan setiap rakyat
Malaysia. Usaha itu penting kerana perbezaan kaum, keturunan serta pegangan agama
masyarakat yang berbilang kaum turut memberikan peluang kepada semua pihak untuk
mengenali antara satu sama lain. Rupa- rupanya setelah 54 tahun merdeka, Malaysia masih
belum benar-benar berjaya menyatukan rakyatnya yang berbilang kaum. Ia menyebabkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperkenalkan gagasan Satu
Malaysia. Jika selama ini perpaduan hanya berasakan konsep toleransi, kini ia dilihat perlu
ditingkatkan kepada konsep penerimaan. Maksudnya, rakyat harus menerima hakikat sejarah
dansosiobudaya yang menjadi latar kepada konsep negara bangsa Malaysia.
Satu Malaysia atau 1 Malaysia adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati
gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.
Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara evolusi .Satu Malaysia adalah
kesinambungan konsep daripada dua kepimipinan terdahulu dalam membawa Malaysia
menjadi sebuah negara maju. Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses
negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang, dan terbilang seperti yang
diperjuangkan Perdana Menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr.Mahathir Mohamad dan
Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara
menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan
menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat
Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa,
yakni Bangsa Malaysia, yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama
iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selama, aman dan makmur serta mampu
bersaing dengan masyarakat lain di dunia. Konsep 1Malaysia merupakan lanjutan daripada
usaha kerajaan seperti pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara, Dasar
Pembangunan Nasional, Dasar Sosial Negara, dan seumpamanya agar sebarang konik
perkauman dapat dielakkan serta pencapaian dapat dipertingkatkan. Asas-asas yang ada
dalam konsep 1Malaysia ini adalah untuk mencapai teras perpaduan antara kaum di Malaysia
supaya cita-cita negara untuk mencapai Wawasan 2020 sebagai negara yang berstatus maju
tercapai dengan jayanya.
Di samping itu, ia diharap mampu untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan
dan persaudaraan untuk meneruskan agenda pembinaan sebuah negara-bangsa yang berjaya.
Selain itu, konsep ini juga menekankan sikap penerimaan antara kaum di Malaysia agar
semua pihak saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam aspek budaya, bahasa,
dan agama.
Mengenai konsep 1Malaysia ini terdapat dua aspek utama yang perlu dilaksanakan
agar konsep ini mencapai matlamatnya dengan baik. Pertama, penerapan teras-teras
perpaduan; dan kedua, mengenai penerapan nilainilai aspirasi. Penerapan teras-teras
perpaduan perlulah dijadikan budaya dan praktis bagi semua golongan rakyat di Malaysia
kerana ia merupakan komponen utama yang mampu menjadikan rakyat berbilang kaum di
Malaysia dapat hidup bersatu padu. Di samping itu, teras ini haruslah diimplementasikan oleh
nilai-nilai murni seperti saling hormat-menghormati antara satu sama lain, sabar, bersopan-
santun, dan sebagainya yang sepatutnya menjadi amalan dan praktis rakyat di Malaysia.
Aspek kedua, melalui penerapan nilai-nilai aspirasi pula, adalah perlunya ada masyarakat
yang progresif dan dinamik yang akan memacu negara dalam usaha mencapai status negara
maju. Nilai ini penting bagi mewujudkan semangat persaingan di peringkat global serta dapat
meningkatkan mutu kerja seterusnya berjaya mengukuhkan dan meningkatkan pertumbuhan
ekonomi negara.
Kita sememangnya tidak boleh lari daripada cabaran-cabaran dan halangan yang kita harus
menanggani dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia ini. Satu daripada sebab mengapa kita
masih tidak menghampiri objektif dalam membina sebuah bangsa bersatu adalah kerana
masih tiada percubaan di kalangan kita untuk mendalami pemahaman serta penghargaan
Perlembagaan atau Rukun.
Oleh sebab itu, hampir 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, kelompok besar
bukan Melayu menolak untuk mengakui rumpun Melayu sebagai akar kepada identiti negara,
walaupun ia menjadi sebahagian daripada landskap politik dan budaya kita. Memang tidak
dinafikan, perlu ada usaha berterusan untuk menghubungkan prinsip Perlembagaan dan
matlamat Rukun Negara, ke arah mencapai perpaduan negara di samping kerajaan dan
pelbagai pihak juga harus menekankan perkara ini supaya matlamat nasional dapat
dicapai.Rakyat Malaysia sentiasa berharap konsep 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana
Menteri itu menjurus ke arah membina serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di
negara ini ke tahap lebih konkrit serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang timbul ke
arah mencapai perpaduan.
Antara halangan halangan lain ialah, pertama, ada jurang besar yang memisahkan
komuniti serta budaya Sabah dan Sarawak dan penduduk dari Semenanjung.
Menyatupadukan budaya mereka kepada aliran utama adalah sesuatu yang perlu tetapi bukan
menjadi satu syarat yang mencukupi untuk perpaduan negara. Masyarakat di Sabah dan
Sarawak perlu juga ditempatkan dalam aliran utama politik serta pentadbiran dengan cepat.
Kedua, wujud juga jurang perbezaan etnik membabitkan segmen penting di antara
masyarakat Melayu dan bukan Melayu di mana kita dapat melihat, menjelaskan sendiri
identiti bangsa serta hak sesuatu kaum. Satu pendekatan yang kukuh diperlukan bagi
merapatkan lagi jurang yang timbul membabitkan pelbagai etnik.
Ketiga, wujudnya juga peningkatan jurang sosial antara masyarakat Muslim dan
bukan Muslim terutama di Semenanjung. Isu yang menyebabkan perkara ini perlu ditangani
secara efektif dan berkesan ke arah memahami agama dalam dunia kontemporari.
Keempat, ada satu jurang memuncak dalam masyarakat kita membabitkan pendapatan
dan kekayaan di antara mereka yang 'mempunyai banyak' dan mereka yang 'mempunyai
sedikit'.
Kelima, ada satu jurang generasi yang muncul bagi membezakan mereka berumur di
antara lingkungan 50-an daripada mereka dalam usia 20-an atau 30-an apabila wujud
keperluan untuk berkompromi membabitkan pelbagai komuniti dan kepentingan kestabilan
dan perubahan dalam politik Malaysia. Perbezaan sikap ini akan menghakis ke arah usaha
untuk memupuk perpaduan negara. Kerajaan Pusat perlu memainkan peranan utama untuk
mengurangkan perbezaan itu. Semua sektor dan strata masyarakat Malaysia juga perlu
bersedia dengan sepenuh hati untuk menempuhi cabaran bagi merealisasikan konsep
1Malaysia menjadi realiti.
Secara umumnya, Malaysia yang berlatarbelakangkan kepelbagaian kaum dalam satu
naungan kuasa raja berperlembagaan amat menitikberatkan semangat perpaduan dan
patriotism yang tinggi dalam setiap diri masyarakatnya. Hal ini perlu dijaga dan sering diberi
perhatian bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, konsep 1 Malaysia ini
secara sosiologinya bermaksud kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar Bangsa
Malaysia dan menggantikan dasar perkauman yang hanya menjauhkan hubungan antara
kaum di negara ini.
Bangsa-bangsa di negara ini harus membentuk satu budaya penerimaan pelbagai
aplikasi adat, budaya dan peraturan yang dipraktikkan sesebuah kaum bagi meningkatkan
kesefahaman dan menjayakan gagasan ini. Sikap hormat-menghormati danmesra antara kaum
amat penting bagi menzahirkan jati diri Bangsa Malaysia. Oleh itu, pemupukan nilai murni
ini bolah dilaksanakan di peringkat awal lagi khususnya dalam membina kehidupan berjiran
di kawasan perumahan agar
gagasan 1 Malaysia dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat.
Dalam aspek politik pula, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman
politik negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama
dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik
mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang
harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang
berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mancari usaha ke arah pembangunan modal insan yang
jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik
perlu
diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada
masyarakat.
Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan1 Malaysia yang
lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.
Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan
pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat
diperkukuhkan.
Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar Pecah dan
Perintah yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia)
mencapai kemerdekaan.Meskipun sudah 52 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan, namun
kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini,
sector ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika
dahulu kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina
memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada
bidang perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu menceburkan diri dalam bidang
yang mereka mampu bangunkan. Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi
dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan
negara.
Dalam hal ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan
suntikan semangat kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang
yang berpotensi untuk dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu diperkasakan oleh
rakyatnya sendiri yang membentuk gagasan 1 Malaysia.
Dalam pada itu, aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan gagasan 1
Malaysia. Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah
ditetapkan. Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1
Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran
gagasan ini diperkenalkan.
Secara definisinya, konsep 1 Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan
sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan
dasar pendidikan yang hanya berkepentingankan sesebuah bangsa dan menafikan hak
golongan tertentu merupakan matlamat 1 Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit
antara pelajar hari ini dalam memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut
kerajaan dan
Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan
tidak menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan satu jenis
sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi iaitu bahasa Melayu
mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya.
Justeru itu, tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan
pemimpin yang
berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta.
Selain itu, aspek agama dan kepercayaaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil
kira dalam usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia. Hal ini kerana, agama dan kepercayaan
merupakan pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan
yang dilakukan oleh aspek lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan
kepercayaan merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan
menghormati prinsip dan amalan agama sesebuah bangsa.
Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan agama yang menjadi anutan
sebahagian besar masyarakatnya. Justeru itu, sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga
dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya
menidakkan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung-
mengunjung yang semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan
merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti
sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Langkah
muhibah
ini mampu memperjelaskan lagi secara rohaninya konsep 1 Malaysia.
Kesimpulannya, konsep 1 Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan
datang sebaliknya langkah ke arah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang.
Seruan pemimpin negara, perlu disahut semua pihak dalam usaha menjayakannya.
Perkongsian ideology dalam menjayakannya perlulah bersifat mantap dan pelaksanaannya
perlulah secara bersepadu bagi merealisasikan harapan beliau kepada negara. Kesannya
bukan sahaja melibatkan negara secara umumnya, malahan meliputi pelbagai lapisan
masyarakat di negara ini. Oleh itu, semangat 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk
memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi
arus permodenan, pembangunan, persaingan dan globalisasi dunia. Diharap gagasan ini akan
mencapai matlamat dan halatuju seperti yang telah ditetapkan.
Secara keseluruhannya, konsep Satu Malaysia adalah untuk menstruktur semula
perpaduan rakyat dan masyarakat Malaysia (Perpaduan Nasional) serta meningkatkan nilai
dalam kesejahteraan hidupan rakyat Malaysia. Selain itu, bagi meniupkan semangat sebuah
generasi baru untuk berkhidmat kepada Malaysia yang mempunyai satu penyatuan
pemikiran, satu semangat perjuangan berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan dan
untuk membentuk negara maju dengan mengambil kira kepreluan rakyat tanpa mengira
kaum.Justeru, untuk bersedia menghadapi sebarang cabaran terhadap rakyat dan negara
daripada anasir yang boleh memecah belah dan menghancurkan negara samada dari luar atau
dalam negara. Secara amnya, menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk
semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada
mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan
kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan
peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang
memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

You might also like