You are on page 1of 8

BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA

Era selepas merdeka atau pascamerdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah tahun 1967.
Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan
undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan
dengan jelas bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.


Perkara 152 Perlembagaan Malaysia
1. Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen. Dengan syarat bahawa:
Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, selain
daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana
Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana
kaum lain dalam Persekutuan.
2. Walau apa pun peruntukan Fasal (10) selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan
selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, Bahasa Inggeris boleh
digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala
maksud rasmi yang lain.
3. Walau apa pun peruntukan fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka,
dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:
Bagi segala Rang Undang-Undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya
yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen; dan
Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan
Persekutuan, hendaklah dalam Bahasa Inggeris.
4. Walau apa pun peruntukan Fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan
selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam
Mahkahmah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris.
Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan
yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan atau direkodkan
dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan peruntukan yang diberikan, jelaslah bahawa pertimbangan sewajarnyalah telah
diberikan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Sejak tahun 1957, apabila Persekutuan Tanah
Melayu mencapai kemederkaan, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan yang disarankan
oleh Suruhanjaya Reid. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan beberapa
faktor, iaitu Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara ini. Pada waktu itu,
kumpulan ini membentuk 49.78 peratus, manakala kaum Cina merupakan 37.1 peratus, dan kaum
India 11.0 peratus (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1260). Faktor kedua, ialah Bahasa Melayu
merupakan bahasa yang bersifat pribumi bagi negara ini. Oleh itu, Bahasa Melayu dapat melahirkan
jati diri penduduk negara ini. Faktor ketiga ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi
sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan menimbulkan masalah bagi komunikasi umum.
Akhirnya, keempat ialah Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pentadbiran di negeri Melayu.
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga alat perpaduan tidak disanggah oleh
mana-mana pihak. Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
dalam semua urusan pentadbiran tidak menyekat penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain
dalam urusan bukan rasmi. Pada dasarnya, pengiktirafan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dikawal oleh dasar bahasa kebangsaan dan dari segi undang-undang, dasar ini
telah dimaktubkan melalui perlembagaan dan akta.

Pada 7 Mac 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan
Penyata Razak. Penyata ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional
bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta
memenuhi kehendak mereka dan yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan
ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-
orang bukan Melayu yang menetap di negara ini (Undang-Undang Pelajaran 1957, 2008.). Undang-
undang Pelajaran 1957 yang diluluskan setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal
berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan pada
dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei
1956. Laporan ini dinamakan Laporan Razak 1956.

Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh Dewan bahasa dan
Pustaka (DBP). Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya daripada jabatan kerajaan kepada badan
berkanun apabila Parlimen meluluskan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Pemberian autonomi ini
membolehkannya menggubal dasar tentang matlamat yang ditetapkan dalam akta tersebut. DBP
dibenarkan menggubal dasar-dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan
pengembangan bahasa dan sastera menurut kebijaksanaan pihak pengurusannya sendiri, dan
menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara lebih kompetitif menurut prinsip dan
amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa berkembang dan hidup. Matlamat
utamanya ialah membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan sesuai dengan dasar negara dan
hasrat rakyat yang menubuhkan DBP.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan mempunyai rakyat yang berbilang kaum, satu
orientasi baru diperlukan untuk membentuk sikap rakyat menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan. DBP melancarkan gerakan psikologi melalui kempen-kempen bahasa
yang melibatkan penyertaan rakyat daripada semua kaum dalam kegiatan bahasa secara besar-
besaran. Gerakan ini dilakukan di seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun dari 1960-1966.
Pada 30 Januari 1960, Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh
negara yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961. (lihat Rajah 3.5).

Rajah 3.5: Pelancaran Pertama Minggu bahasa Kebangsaan pada 30 Januari 1960

Pelancaran itu dilakukan oleh pengerusi jawatankuasa pusat Minggu Bahasa Kebangsaan, Tuan Syed
Nasir bin Ismail. Minggu Bahasa Kebangsaan ini merupakan rancangan kebangsaan yang bertujuan
untuk menggalakkan seluruh rakyat supaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan
mereka sehari-hari; menunjukkan kepada dunia bahawa kita sebagai bangsa yang merdeka
menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada segala keturunan
sebagai bahasa perantaraan; untuk menyakinkan orang yang masih ragu-ragu bahawa bahasa
kebangsaan kita ini adalah bahasa besar teristimewa di sebelah Timur dan menjadi bahasa ilmu
pengetahuan; memberitahu kepada dunia bahawa bahasa kebangsaan kita akan menjadi bahasa
yang kaya raya setelah mendapat jiwa baharu dalam pergolakan dunia sekarang; dan hendak
menerangkan kepada pelajar bahawa bahasa kebangsaan kita memakai bentuk yang khas dan boleh
menerima segala perkataan bahasa asing yang dapat disesuaikan dengan keadaan bahasa itu sendiri.
Keadaan yang demikian telah berlaku beribu-ribu tahun yang Ialu dan terus berjalan hingga
sekarang, dan hendak menerangkan kepada orang ramai bahawa Dewan bahasa dan Pustaka yang
mempunyai tugas besar dalam perkembangan bahasa kebangsaan ini sentiasa berharapkan
kerjasama daripada segala pihak untuk kemajuan bahasa kebangsaan dan perkembangannya dalam
segala lapangan.

Acara-acara dalam Minggu Bahasa Kebangsaan ini dijalankan dalam dua bentuk: pertama, acara
umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala lapangan;
dan yang kedua, ialah melalui peraduan-peraduan untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam
penggunaan dan perkembangan bahasa itu. Dalam menjalankan acara-acara itu segala tugas
dibahagi kepada peringkat-peringkat, iaitu peringkat daerah, peringkat negeri dan peringkat
kebangsaan. (Mahfudz bin Abdul Hamid, 1960)

Dalam bahagian acara umum diadakan berbagai-bagai acara penerangan seperti mengadakan
poster-poster, pelekat-pelekat cogan kata, kain-kain cogan kata, iklan-iklan dan filem-filem serta
ucapan-ucapan oleh pembesar-pembesar dan pakar-pakar dan juga pengguna-pengguna bahasa
kebangsaan dari orang-orang Melayu dan bukan Melayu. Dalam bahagian peraduan pula diadakan
peraduan-peraduan syarahan yang dimulakan pada peringkat daerah dan berakhir di peringkat
kebangsaan apabila pensyarah-pensyarah yang menang dalam bahagian-bahagian yang tertentu
bertanding untuk mencapai gelaran johan pensyarah bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah
Melayu. Di peringkat negeri pula diadakan peraduan-peraduan bahas, peraduan melukis poster,
peraduan mengarang rencana dan sebagainya.

Pada peringkat kebangsaan rancangan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dihadiri dan dikelolakan oleh
suatu Jawatankuasa Kerja Pusat yang dilantik oleh persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan
Negeri, Setiausaha-Setiausaha Kementerian dan jabatan-jabatan. Dalam tiap-tiap negeri pula
diadakan satu Jawatankuasa Negeri untuk memutuskan rancangan di peringkat negeri dan juga
berkuasa menubuhkan Jawatankuasa Daerah untuk melancarkan pengelolaan rancangan di tiap-tiap
negeri. Pelaksanaan rancangan kebangsaan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dirancang untuk disertai
oleh seluruh pihak yang meliputi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun
separuh kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah, akhbar-akhbar, syarikat-
syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan yang mengenai bahasa dan persuratan secara langsung
atau tidak langsung dan bahkan kepada tiap-tiap rakyat dan kumpulan rakyat dengan mengadakan
rancangan-rancangan penyambutan dan perayaan yang sesuai dengan tujuan mengadakan Minggu
Bahasa Kebangsaan.

Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan Sastera telah diadakan di Balai Budaya
Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Dewan bahasa dan Pustaka dengan
kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji
Abdul Razak bin Dato' Hussein. Sebanyak 50 kertas kerja dibincangkan dalam seminar yang
berlangsung selama empat hari ini. Kertas-kertas kerja ini disumbangkan oleh beberapa pakar
bahasa dari seluruh tanah air. Antara perkara-perkara yang dibahaskan dalam seminar tersebut
termasuklah mengenai bahasa dan kesusasteraan, ilmu pengetahuan dan buku-buku sekolah. Ini
mencakupi masalah sastera, perpustakaan juga perkembangan kesusasteraan dan persuratan
Melayu sebagai bahan dan alat pendidikan ke arah pembangunan rakyat (Seminar Bahasa dan
Sastera Ke Arah Meninggikan Mutu Bahasa dan Kesusasteraan Kebangsaan, 2008).
Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa kebangsaan, iaitu Akta Bahasa
Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan dikuatkuasakan. Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun
1967, Akta bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September
1967. Akta ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan
berkuatkuasa pada 1 Julai 1971 dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967).

Pada 27 Jun 1967 (lihat Rajah 3.6) satu keputusan muktamad mengenai satu sistem ejaan baru yang
ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia telah dicapai. Rundingan
mengenai persetujuan sistem ejaan bahasa Malaysia-Indonesia ini telah dihadiri oleh Jawatankuasa
Bahasa dan Ejaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan
bahasa dan Pustaka) dengan Team Ahli Bahasa KOTI (Komando Tertinggi Indonesia) yang diketuai
oleh Nyonya S. W. Ruddjiati Muljadi.

Rajah 3.6: Pengisytiharan Sistem Ejaan Indonesia Malaysia


Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah berjalan dengan lancar dan dalam suasana
kekeluargaan serta ramah tamah. Dalam rundingan itu tanggapan masing-masing pihak telah
dibahas bersama secara ilmiah dan mendalam dengan memerhatikan sepenuhnya kenyataan-
kenyataan yang terdapat dalam masyarakat kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan
pendapat serta penelitian dan pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan
dan persefahaman bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal yang wajar dan
sesuai dengan tuntutan kemampuan ilmiah dan keperluan praktikal. Pengertian bersama juga telah
dicapai mengenai hubungan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia yang perlu ditingkatkan
lagi melalui semua saluran, baik pertuturan mahupun tulisan. Kesemuanya ini adalah dalam rangka
usaha mencapai cita-cita bersama antara rakyat Indonesia dan Malaysia. Dengan tercapainya
keputusan muktamad yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak itu pada tahun 1967, maka
terciptalah Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia, dan pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan
serta pengesahannya daripada kerajaan kedua-dua buah negara. Kempen-kempen memberikan
penerangan mengenai Ejaan Bersama ini ke seluruh negara telah dijalankan melalui akhbar-akhbar,
radio dan televisyen, serta melalui majalah-majalah, dan ceramah-ceramah anjuran Dewan Bahasa
dan Pustaka di merata tempat di Malaysia (Sistem Ejaan Indonesia-Malaysia, 2008).

Sepuluh tahun selepas merdeka, Parlimen meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang
mewajibkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi yang tunggal dalam semua urusan
rasmi negara menggantikan tempat Bahasa Inggeris. Pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara
yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen
yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung
pada bulan Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio
dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang
tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda
telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan Bahasa Melayu dengan
bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara ini.


Rajah 3.7: Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


YM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama (lihat Rajah 3.7) pula dalam satu
kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi
menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima
sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan
jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa
rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui
Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960.

Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan ini telah
dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan bahasa kebangsaan, perjuangan
politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Berikutan
daripada pengisytiharan baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah
mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh
itu, bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud
rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-
Jabatan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Kerajaan-Kerajaan Tempatan dan Badan-Badan
Berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah
di mana Bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukkan dalam Akta Bahasa
Kebangsaan 1967. Jikalau bahasa kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu
membolehkan penggunaan Bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 akta
tersebut.

Zaman selepas ini merupakan zaman pengembangan dan pengukuhan taraf dan korpus Bahasa
Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara yang maju, bahasa kegiatan intelektual dan budaya,
bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan teknologi.

You might also like