You are on page 1of 2

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai

bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sebagaimana diwartakan dalam
Perlembagaan Persekutuan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan pindaan tahun 1967 menzahirkan Dasar
Bahasa Kebangsaan yang menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
negara. Bertitik tolak daripada tindakan itu, bahasa Melayu menjadi lambang kewujudan bangsa dan
berfungsi sebagai bahasa perpaduan rakyat serta wasilah pembangunan negara apabila berperanan
sebagai sarana komunikasi pentadbiran dan pengurusan dalam pelbagai urusan rasmi di Malaysia.
Melalui Akta Pendidikan 1961 dan Pindaan 1996, bahasa Melayu diwartakan sebagai bahasa pengantar
ilmu dan pendidikan.

Menurut Pegg (2012), terdapat 6,000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia. Namun begitu, hanya 25
bahasa sangat berpengaruh di dunia dan bahasa Melayu menduduki tangga ke-10. Hal ini menunjukkan
bahawa bahasa Melayu berkeupayaan menjadi antara bahasa komunikasi utama di peringkat
antarabangsa. Dari aspek tatabahasa terutamanya sintaksis, bahasa Melayu merupakan satu bahasa
yang paling mudah dipelajari, sangat lentur dan sesuai untuk mengungkapkan pemikiran yang tinggi.

Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar pendidikan selari dengan peruntukan bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi. Peruntukan ini terdapat dalam Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], yang
merupakan lanjutan dan pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1961. Akta 550 bertujuan memantapkan
sistem pendidikan kebangsaan sejajar dengan kehendak dan cita-cita Malaysia untuk menjadi pusat
kecemerlangan pendidikan bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Mengikut Seksyen 17 (1) Akta 550,
“bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem
pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau
manamana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subsekyen ini”. Seksyen 17
(2) menyatakan, “jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada
bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib di institusi
pendidikan tersebut”. Perkara ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah diberi taraf yang tinggi
semenjak negara mencapai kemerdekaan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab warganegara untuk
memartabatkan bahasa Melayu supaya terus berada di puncak dengan sentiasa menggunakan bahasa
yang gramatis dan santun. Sebagai bahasa kebangsaan yang digunakan oleh semua warganegara
Malaysia, bahasa Melayu menjadi bahasa berstatus tinggi yang perlu digunakan dalam sebarang urusan
rasmi bagi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam. Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 9 Tahun 2011, Jabatan Perkhidmatan Awam turut menguatkuasakan pelaksanaan penggunaan
bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam bagi urusan rasmi di dalam negara dan antarabangsa
kepada semua pegawai awam, ketua jabatan, dan anggota pentadbiran kerajaan. Berdasarkan mandat
yang telah diberikan, Dewan Bahasa dan Pustaka merancang untuk mengembangkan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama pendidikan. Perancangan
bahasa Melayu melibatkan dua aspek utama, iaitu taraf bahasa dan korpus bahasa. Dalam perancangan
korpus bahasa Melayu, usaha dilaksanakan dalam dua strategi, iaitu pembinaan dan pengembangan
bahasa. Pembinaan bahasa merujuk usaha melengkapkan bahasa Melayu dari sudut korpus bahasanya,
iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa untuk memungkinkan bahasa
itu dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks
pembangunan bangsa dan negara. Taraf bahasa ditingkatkan melalui usaha pengembangan bahasa
dengan memasyarakatkan bahasa kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor
pendidikan, sektor swasta hingga di peringkat antarabangsa.

You might also like