You are on page 1of 10

Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Syeikh Abdullah Basmeih 09/09/2008

PENGENALAN
Pengajian Islam di dalam bidang tafsir di Tanah Melayu telah bermula sejak kurun ke 17
Masihi. Penulisan terawal ialah terjemahan kitab tafsir al-Baydawi yang telah ditulis oleh
Tok Pulau Manis[1]. Bermula daripada itu bidang pengajian al-Quran mempunyai
sejarahnya tersendiri di dalam perkembangannya di Tanah Melayu ini. Antara karya
terkenal di dalam bidang ini yang sering digunakan oleh masyarakat di Malaysia ini ialah
kitab Tafsir Pimpinan al- Rahman Kepada Pengertian al-Quran[2].
Tafsir Pimpinan al-Rahman adalah sebuah kitab terjemahan al-Quran sekaligus
merupakan kitab tafsir al-Quran yang telah dihasilkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih.
Kitab tafsir ini digunapakai secara meluas di kalangan masyarakat Islam di Malaysia
malahan ianya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebagai sebuah kitab tafsir yang
sewajarnya dirujuk oleh masyarakat Islam di sini.
Justeru kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini dijadikan bahan kajian di dalam kertas kerja
ini. Penulis mengupas tentang sejarah penulisan kitab tafsir ini, isi kandungan kitab,
metodologi penulisan, metodologi pentafsiran, keistimewaan kitab dan
sebagainya.Penerangan ringkas tentang penulis kitab ini juga turut disentuh merangkumi
aspek latar belakang beliau, pendidikan beliau, pekerjaan beliau dan karya-karya beliau.
BAHAGIAN A : BIOGRAFI SHEIKH ABDULLAH BASMEIH
LATARBELAKANG
Nama penuh beliau ialah Sheikh Abdullah Basmeih bin Sheikh Muhammad Basmeih[3].
Beliau berketurunan Arab di kedua-dua belah pihak ibu dan ayah beliau. Ayah beliau
bernama Syeikh Muhammad Basmeih bin Salleh Basmeih yang berasal dari Hadramawt
di Yaman, manakala ibu beliau bernama Aisyah binti Abdullah bin Hammad yang
berasal dari wilayah Bishah Arab Saudi. Basmeih adalah gelaran bagi keturunan
beliau[4].
Syeikh Abdullah Basmeih telah dilahirkan pada 29 Disember 1913[5]. Dalam catatan lain
beliau dikatakan dilahirkan pada tahun 1915[6] kerana umur beliau sewaktu berhijrah ke
Tanah Melayu pada tahun 1927 ialah 12 tahun[7]. Beliau dilahirkan di kawasan bernama
Maabdah yang terletak berhampiran dengan Mekah. Beliau dibesarkan di bumi Mekah
al-Mukarramah sehinggalah berhijrah ke Tanah Melayu selepas itu kerana mengikut bapa
beliau.
Syeikh Abdullah Basmeih telah menjadi yatim semasa berumur kurang dari dua tahun
sewaktu ibu beliau Aisyah meninggal dunia. Selepas itu beliau dijaga dan dibesarkan
oleh ibu saudara beliau Khadijah Hammad. Khadijah Hammad dipangil beliau sebagai
ammati wa khalati iaitu yang bermaksud ibu saudara sebelah bapaku dan ibu saudara
sebelah ibuku kerana beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kedua-dua belah
pihak iaitu di pihak ayah dan ibu Sheikh Abdullah Basmeih[8].
Sheikh Abdullah Basmeih hanya mempunyai dua orang adik beradik lelaki sebapa iaitu
Sheikh Said dan Sheikh Salim. Kedua-duanya adalah hasil daripada perkongsian hidup
Sheikh Muhammad Basmeih dengan wanita Melayu yang bernama Yang Chik binti Haji
Kesah yang berasal dari Kampung Sungai Kertah Pengkalan Balak Melaka[9].
PENDIDIKAN
Sheikh Abdullah Basmeih adalah seorang tokoh ilmuwan terulung namun sejarah
pendidikannya tidaklah sepertimana kebanyakan ulama lain.
Pendidikan awal Sheikh bermula semasa beliau kecil lagi iaitu semasa berada di Mekah
al-Mukarramah. Semasa di sana beliau telah sempat belajar di Suq al-Layl. Beliau telah
dihantar oleh ayah beliau untuk belajar agama di masjid Mekah semasa berumur 7
tahun[10]. Pembelajaran beliau ini hanyalah sekejap sahaja kerana semasa beliau
berumur 12 tahun ayah beliau telah membawa beliau bersama berhijrah ke Malaysia di
Pengkalan Balak Melaka. Bermula dari perpindahan itu, beliau telah dididik mengikut
suasana masyarakat tempatan pada masa itu.
Beliau telah dimasukkan ke sekolah Melayu Pengkalan Balak Melaka dan telah belajar
sehingga lulus darjah 5[11]. Hasil daripada persekolahan dan persekitaran telah
membolehkan beliau untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Selepas daripada itu beliau tidak dapat meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih
tinggi disebabkan masalah kewangan. Walaubagaimanapun beliau tetap gigih menimba
ilmu dengan berusaha membaca sendiri antaranya Majalah Guru, hasil-hasil karangan
pendita Zaaba dan sebagainya[12]. Beliau sendiri turut menyebut bahawa guru beliau
adalah buku-buku dan kemahuan, hanya Allah sahaja yang mengetahui kegigihan beliau
dalam menuntut ilmu[13].
PEKERJAAN
Sheikh Abdullah Basmeih adalah seorang yang gigih. Sejak kematian ayah beliau, beliau
telah bertanggungjawab untuk berusaha mencari rezeki bagi meringankan beban ibu tiri
beliau walaupun pada masa itu beliau masih bersekolah[14]. Beliau pernah menjual nasi
lemak, menoreh getah, bersawah, menjual buah dan ikan[15].
Selain daripada itu, Sheikh juga pernah bekerja sebagai buruh di Triang Pahang, sebagai
pembantu tukang masak di kantin Sekolah Inggeris Bandar Hilir Melaka, sebagai buruh
di kilang getah Belanda di Pasir Panjang, peniaga kain dan pembuat dan penjual
rojak[16].
Semasa beliau berniaga rojak beliau telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Artikel
beliau pernah tersiar dalam akhbar Warta Malaya. Kebolehan beliau ini disedari oleh
pengarang akhbar Utusan Melayu Haji Mohammad Dahlan Masood (Hamdan). Beliau
telah memberi kepercayaan kepada Sheikh untuk menterjemah rencana-rencana agama
daripada Majalah al-Musawwar untuk dimuatkan ke dalam Utusan Melayu[17].
Selepas itu beliau terus serius berkecimpung di dalam dunia penulisan dan
penterjemahan. Beliau pernah bekerja dengan Syarikat Qalam Press dan Syarikat Utusan
Melayu[18]. Beliau juga pernah bekerja sebagai penulis dan penterjemah bebas[19].
KARYA

Sepanjang penglibatan Sheikh di dalam bidang penulisan, beliau telah banyak
menghasilkan karya-karya yang amat berharga. Antaranya ialah :
i. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman[20]
ii. Pengertian Ayat-ayat al-Quran ( naskhah jawi dan naskhah rumi )[21]
iii. Mukadimah Mastika Hadis[22]
iv. Mastika Hadith Rasulullah s.a.w ( iman- tauhid )[23]
v. Mastika Hadith Rasulullah s.a.w ( sembahyang )[24]
vi. Khutbah Haji Wada- Khutbah Rasulullah s.a.w.[25]
vii. Panduan Mengurus Jenazah[26]
viii. Kedudukan Masjid Dalam Islam[27]
ix. Sejarah Hidup Siti Aisyah (1950)[28]
x. Sejarah Hidup Abu Bakar al-Siddik (1951)[29]
xi. Sejarah Hidup Nabi Muhammad ( 1952-1953 )[30]
xii. Panduan Kanak-kanak Sembahyang[31]
xiii. Muqaddam al-Quran[32]
xiv. Hikayat Salahuddin al-Ayyubi[33]
KEMATIAN

Sheikh telah kembali ke rahmatullah pada 14 Julai 1996 di rumah beliau yang terletak di
Jalan Enggang Selatan, Taman Keramat. Pada ketika itu beliau berumur 84 tahun[34].
Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada
negara kita lebih-lebih lagi apabila mengenangkan sumbangan beliau sebagai
penterjemah al-Quran.
BAHAGIAN B : KITAB TAFSIR PIMPINAN AL- RAHMAN
PENGENALAN KITAB

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran ini telah mula
diusahakan penterjemahan dan penulisannya semasa kepimpinan Perdana Menteri
Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Keputusan untuk
menterjemah al-Quran ini telah diputuskan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja yang
berlangsung pada 13 Jun 1963[35].
Pada awalnya sebuah majlis jawatankuasa khas ditubuhkan untuk tujuan penterjemahan
ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja. Walaubagaimanapun
terdapat banyak kesulitan di dalam perjalanan pentadbiran majlis jawatankuasa ini. Pada
bulan Oktober 1963, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah bertindak memindahkan
kerja-kerja terjemahan ini dengan meletakkannya di bawah kemanterian beliau sendiri
iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri[36].
Setelah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman telah melantik
Ustaz Faisal bin Haji Othman sebagai penterjemah al-Quran. Beliau telah melakukan
usaha-usaha penterjemahan untuk tempoh beberapa bulan sahaja. Selepas itu beliau telah
meletakkan jawatan. Selepas perletakan jawatan beliau maka Sheikh Abdullah Basmeih
telah diminta untuk meneruskan kerja-kerja terjemahan al-Quran ke bahasa Melayu
ini[37].
Bermula dari situ Sheikh telah gigih berusaha secara berperingkat-peringkat sehingga
beliau berjaya menterjemah al-Quran ke bahasa Melayu dalam tulisan jawi pada
peringkat awalnya, kemudian dalam tulisan rumi sebagaimana yang dapat kita lihat
sekarang ini. Usaha-usaha gigih beliau ini telah mengambil masa yang lama di bawah
kepimpinan empat orang Perdana Menteri Malaysia.
RUJUKAN PENTAFSIRAN

Sheikh Abdullah Basmeih telah merujuk beberapa kitab lain sebagai panduan untuk
menghasilkan kitab Tafsir Pimpinan Al-Rahman ini[38]. Kitab-kitab ini merangkumi
kitab tafsir Arab, Melayu dan Indonesia, kitab hadis, kamus Melayu dan kamus Arab.
Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan beliau ialah[39] :
i. Jami al- Bayan oleh al-Tabari
ii. Tafsir Al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir
iii. Tafsir Ruh al-Maani oleh al-Alusi
iv. Tafsir Anwar al-Tanzil oleh al-Baydawi
v. Hasyiyah al-Syaykh Zadah oleh al-Syaykh Zadah
vi. Hasyiyah al-Khaffaji oleh al-Syaykh al-Khaffaji
vii. Hasyiyah al-Kazaruni oleh al-Syaykh al-Kazaruni
viii. Tafsir al-Jalalayn oleh al-Mahalli dan al-Suyuti
ix. Hasyiyah al-Jamal oleh al-Syaykh Sulayman al-Ujayli
x. Hasyiyah al-Sawi oleh al-Syaykh Ahmad al-Sawi
xi. Tafsir al-Manar oleh Imam Muhammad Abduh dan Sayyid Muhammad Rashid Rida
xii. Tafsir Mahasin al-Tawil oleh al-Qasimi
xiii. Tafsir al-Maraghi oleh Ahmad Mustafa al-Maraghi
xiv. Tafsir al-Quran al-Karim oleh Mahmud Syaltut
xv. Tafsir al-Jawahir oleh Tantawi Jawhari
xvi. Tafsir Fi Zilal al-Quran oleh Sayyid Qutb
xvii. Tafsir Gharib al-Quran oleh Ibn Qutaybah al-Dinawri
xviii. Al-Itqan fi Ulum al-Quran oleh al-Suyuti
xix. Kitab-kitab Tafsir Melayu dan Indonesia
xx. Kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-Asqalani
xxi. Kitab Sahih Muslim bi sharh al-Nawawi oleh Imam al-Nawawi
xxii. Kitab al-Jami al-Saghir oleh al-Suyuti
xxiii. Kitab Syarh al-Azizi oleh Ali Nur al-Din al-Azizi
xxiv. Kitab Syarh al-Hifni oleh al-Hifni
xxv. Tuhfat al-Dhakirin (Syarh al-Hisn al- Hasin) oleh al-Syawkani
xxvi. Kitab Fath al-Rahman oleh al-Maqdisi
xxvii. Kitab-kitab kamus Arab
xxviii. Kitab-kitab kamus Melayu
METODOLOGI PENULISAN DAN PENYUSUNAN KITAB

Pada bahagian metodologi ini penulis merujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
cetakan ke 13[40]. Penulis membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian iaitu bahagian
pendahuluan, bahagian isi dan bahagian penutup.
Bahagian Pendahuluan mempunyai helaian-helaian tentang kata-kata aluan Perdana
Menteri Malaysia[41], kata-kata aluan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Dato Dr. Abdul Hamid Othman[42], kata-kata aluan Ketua Pengarah JAKIM
Brigedier Jeneral Dato Abdul Hamid bin Zainal Abidin[43], kata-kata aluan Dato Haji
Muhammad Noor[44], kata penutup penyemak dan penterjemah Haji Muhammad Noor
dan Sheikh Abdullah Basmeih[45], keterangan tentang Ejaan Kata-kata Istilah Ugama
dalam naskhah rumi oleh Sheikh[46] dan senarai kitab-kitab rujukan[47].
Bahagian isi pula adalah bahagian surah-surah al-Quran yang diterjemah dan ditafsirkan
oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Setiap surah didahului oleh mukaddimah. Bahagian
Mukaddimah ini memberi keterangan tentang nama surah, tempat diturunkan surah,
bilangan ayat dan juga intisari ayat. Bahagian ini merangkumi 30 juzu al-Quran
bersamaan 114 surah.
Bahagian penutup pula mengandungi halaman tentang isi kandungan kitab beserta
mukasurat setiap isi. Kitab ini diakhiri dengan keterangan tentang Pengenalan Mashaf al-
Quran al-Karim beserta tanda-tanda yang digunakan di dalam mashaf dan makna tanda-
tanda tersebut.
METODOLOGI PENTAFSIRAN

Secara keseluruhannya sepanjang pemerhatian penulis, Sheikh Abdullah Basmeih tidak
menentukan format khusus untuk menterjemah dan mentafsir al-Quran. Beliau merujuk
kepada kitab-kitab muktabar kemudian menterjemah ayat-ayat al-Quran dengan gaya
terjemahan beliau sendiri tanpa terikut dengan mana-mana penterjemah.
Beliau menterjemah dengan menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami bukannya
menterjemah mengikut huruf (harfiah). Mana-mana ayat yang memerlukan huraian
dibuat huraiannya di tempat nota kaki[48]. Huraian-huraian ini merupakan intipati
kepada bacaan beliau terhadap kitab-kitab rujukan yang digunakan. Kata-kata dari ulama
seperti almarhum Dato Haji Muhammad Noor turut dimasukkan pada tempat-tempat
tertentu. Perlu difahami di sini bahawa beliau tidak mentafsir ataupun membuat huraian
pada semua ayat al-Quran, hanya ayat-ayat tertentu sahaja yang diberi huraian dan
penjelasan. Selebihnya hanyalah terjemahan ayat. Oleh kerana itu kitab tafsir ini
sebenarnya adalah lebih merupakan terjemahan kepada ayat-ayat al-Quran.
Sebagai kesimpulannya penulis telah membahagikan metodologi pentafsiran beliau
kepada bahagian-bahagian berikut :
i. Tafsir al-Quran dengan al-Quran
Pada ayat-ayat tertentu beliau memberikan penjelasan dengan menyebut nombor ayat dan
nama Surah yang menyokong dan menjelaskan ayat al-Quran yang dihurai. Contohnya
pada ayat 37 surah al-Baqarah[49]. Pada bahagian nota kaki ayat ini beliau menyatakan
sebagaimana berikut :
(23) kalimah-kalimah pengakuan taubat yang telah diilhamkan oleh Allah Taala
kepada Nabi Adam (dan isterinya Hawa) itu ialah yang tersebut di dalam ayat 23 surah
al-Araf iaitu [50]
ii. Tafsir al-Quran dengan hadis

Pada sesetengah ayat Sheikh turut menghurai ayat tersebut dengan hadis Nabi s.a.w.
Walaubagaimanapun Sheikh tidak menyatakan matan hadis tersebut. Begitu juga tidak
dinyatakan perawi hadis tersebut. Kekadang beliau menyebut dari sumber mana hadis
tersebut diambil contohnya pada ayat 6 surah al-Fatihah[51]. Kekadang beliau hanya
menyebut tentang mafhum hadis sahaja sepertimana dalam ayat 54 dan 55 surah Ali
Imran[52].
iii. Sebab Penurunan Ayat
Syeikh turut menyatakan tentang sebab penurunan ayat (sabab al-Nuzul) di dalam kitab
tafsirnya ini, tetapi tidak semua ayat yang mempunyai sabab al-Nuzul dinyatakan beliau.
Antara ayat yang diterangkan sebab penurunannya ialah ayat 1 surah al-Nahl[53]. Selain
itu ada juga keterangan yang bersifat sebab penurunan ayat tetapi tidak dinyatakan oleh
beliau sebagai sebab penurunan ayat tersebut walaupun disebut pada kitab-kitab tafsir
lain. Contohnya pada ayat 1 surah al-Munafiqun[54].
iv. Huruf muqattaah

Syeikh tidak menghurai huruf-huruf muqattaah bahkan beliau menyatakan bahawa
Allah jualah yang mengetahui erti dan maksud huruf-huruf yang terletak pada
permulaan setengah-setengah surah al-Quran seperti . . (Alif Lam Mim) ini[55].
v. Munasabah ayat
Dalam kitab tafsir ini juga sheikh turut menyatakan tentang hubungan dan kaitan
(munasabah) antara ayat dengan ayat. Contohnya pada ayat 3 surah al-Nahl[56].
Walaubagaimanapun beliau tidak memberi huraian tentang munasabah antara surah
dengan surah.
vi. Ayat-ayat hukum

Sheikh juga telah memberi penekanan pentafsiran kepada ayat-ayat hukum, tetapi tidak
semua ayat hukum dijelaskan oleh beliau. Antara contoh yang dapat dilihat adalah pada
penjelasan tentang hukum mewarisi wanita pada zaman jahiliyah yang telah diterangkan
oleh Allah Taala dalam firmanNya pada surah al-Nisa ayat 19[57]. Begitu juga pada
hukum haram membunuh seseorang manusia yang dinyatakan pada surah al-Isra ayat
33[58].
vii. Kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu
Sheikh juga banyak memberikan perhatian terhadap ayat-ayat berkenaan kisah-kisah
Nabi dan umat terdahulu. Antara contoh yang dapat dilihat ialah pada kisah Nabi Ibrahim
a.s. Kisah tersebut dihuraikan oleh beliau pada nota kaki ayat-ayat berkenaan. Contohnya
pada ayat 71 surah Hud[59].
viii. Penjelasan istilah-istilah
Antara ciri-ciri pentafsiran Sheikh yang lain ialah beliau turut menghuraikan istilah-
istilah tertentu yang dirasakan oleh beliau penting untuk dihuraikan. Contohnya istilah
Allah, al-Rahman, al-Rahim pada surah al-Fatihah[60].
Daripada penjelasan di atas dapat difahami bahawa Sheikh telah memberi tumpuan
kepada aspek-aspek tersebut di dalam kitab tafsir beliau ini. Namun jika ianya
dibandingkan dengan kitab-kitab tafsir muktabar yang lain masih ada beberapa aspek
yang tidak disentuh oleh beliau iaitu penerangan tentang masalah nahu, masalah qiraat
dan sebagainya.
KEISTIMEWAAN

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Antaranya kerana ia adalah satu-satunya kitab tafsir lengkap 30 juzuk yang diterbitkan
dalam bahasa Malaysia yang mudah difahami. Selain itu penulis kitab ini iaitu Sheikh
Abdullah Basmeih telah menggunakan kitab-kitab yang muktabar sebagai rujukan kepada
pentafsiran kitab ini. Kitab ini juga istimewa kerana selain daripada ditafsir oleh seorang
ilmuwan yang dipercayai ia juga disemak oleh Dato Haji Muhammad Noor mufti negeri
Kelantan yang memang tidak diragui keilmuwan dan kealimannya. Kitab ini juga
mendapat perhatian kerajaan Malaysia dengan diadakan Lujnah Tashih yang khusus bagi
kitab ini. Kitab ini menjadi lebih penting kerana diterbitkan dalam dua versi tulisan iaitu
tulisan jawi dan rumi sekaligus membolehkan golongan tua dan muda menggunakannya
mengikut keselesaan masing-masing.
KELEMAHAN DAN KRITIKAN

Sememangnya sifat makhluk tidak sunyi daripada kesilapan, begitu juga dengan kitab ini
yang dikarang dan diterbitkan oleh manusia semestinya tidak sunyi dari kelemahan.
Setelah meneliti kitab tafsir ini dan mengamati pandangan dan kritikan yang diberikan
oleh masyarakat, penulis mendapati masih terdapat beberapa aspek yang perlu diambil
perhatian oleh pihak-pihak berkenaan. Antaranya ialah :
i. Masih terdapat kesalahan cetakan pada ayat-ayat al-Quran. Contohnya pada cetakan
keenam (1995)[61], dan kesembilan (1998)[62] edisi rumi terdapat kesalahan pada
pengulangan perkataan iaitu ma pada ayat 50 surah al-Nahl[63]. Kesalahan ini meskipun
dinyatakan ralat pada bahagian hadapan kitab tafsir ini tetapi pastinya ramai yang tidak
menyedari dan menghiraukannya. Justeru ia tidak boleh dipandang ringan.
ii. Tidak terdapat keselarasan antara kitab tafsir versi jawi dan rumi. Antaranya pada versi
jawi dimasukkan petunjuk ayat sebagai ruangan tambahan tetapi pada versi rumi tidak
dimasukkan. Begitu juga pada bahagian atas di setiap halaman versi rumi tidak
dimasukkan nombor surah sedangkan pada versi jawi dimasukkan.
KESIMPULAN

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini tidak dapat dinafikan sebagai satu kitab tafsir yang
amat penting kepada masyarakat Islam di Malaysia. Sumbangan Sheikh Abdullah
Basmeih terhadap umat Islam di Malaysia khususnya melalui penghasilan kitab tafsir ini
adalah amat wajar dihargai oleh semua masyarakat. Generasi muda masa kini wajar
sekali mencontohi beliau.
[1] Nama sebenar beliau ialah Sheikh Abdul Malik bin Abdullah. Beliau telah dilahirkan
di Kampung Pauh, Ulu Terengganu sekitar tahun 1650 M. Beliau adalah ulama terawal
yang terkenal di Terengganu. Beliau telah kembali ke rahmatullah sekitar tahun 1730 M.
Lihat Ismail Che Daud (2 001), Tokoh- tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1),
Kelantan : Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd., h. 2-15.
[2] Ejaan pada karya asal ialah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman- iaitu dieja ar bukannya
al. Penulis memilih untuk menggunakan ejaan al di dalam penulisan ini iaitu ejaan
mengikut kaedah transliterasi yang betul. (Selepas ini ditulis Tafsir Pimpinan al-
Rahman).
[3] Selepas ini hanya disebut sebagai Sheikh. Sila lihat Wan Ramizah Hasan (2000),
Sumbangan Sheikh Abdullah Basmeih Dalam Bidang Tafsir : Kajian Khusus Terhadap
Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ( Disertasi, Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya), h. 116-117.
[4] Ibid.
[5] Pencalonan Untuk Pertimbangan Bagi Kurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan
Pingat Kebesaran Untuk Ahli-ahli Pergerakan Masyarakat/ Pertubuhan Profesional/
Sukan/ Kebajikan/ Sosial/ Agama dan Swasta, JAKIM, h. 1.
[6] Jaafar Abdul Rahim, (1979), Tokoh Bulan Ini, Sheikh Abdullah Basmeih Pengarang
Yang Tidak Pandai Menaip, Majalah Dewan Siswa, Julai 1979, h. 5.
[7] Utusan Zaman, 9 Disember 1972, h. 9. Lihat juga Tanpa pengarang, Kertas Kerja
Biodata Sheikh Abdullah Basmeih bin Mohd Basmeih, t.t., Kuala Lumpur, JAKIM, h. 1.
( selepas ini Kertas Kerja Biodata).
[8] Wan Ramizah Hasan (2000), op. cit, h. 110-111.
[9] Ibid, h. 113-114.
[10] Jaafar Abdul Rahim, (1979), op.cit.
[11] Ibid. Lihat juga Kertas Kerja Biodata, op.cit.
[12] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 117-118.
[13] Utusan Zaman, op.cit.
[14] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 116-117.
[15] Jaafar Abdul Rahim (1979), op.cit.
[16] Ibid. Lihat juga Berita Minggu, 29 April 1984.
[17] Jaafar Abdul Rahim (1979), op.cit.. Lihat juga Kertas Kerja Biodata, op.cit., h. 2.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Memorendam Pembaharuan Kotrek Dari 3/12/1984- 2/12/1986- Tuan Sheikh
Abdullah Basmeih, Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Agama, Jabatan Perdana
Menteri, h. LAMPIRAN B.
[21] Ibid
[22] Ibid
[23] Ibid
[24] Ibid
[25] Ibid
[26] Ibid
[27] Ibid
[28] Jaafar Abdul Rahim, Tokoh Bulan Ini, Sheikh Abdullah Basmeih Pengarang Yang
Tidak Pandai Menaip, Majalah Dewan Siswa, Julai 1979, h. 5.
[29] Ibid
[30] Ibid
[31] Ibid
[32] Ibid
[33] Ibid
[34] Utusan Melayu, 15 Julai 1996.
[35] Utusan Zaman, 9 Disember 1972.
[36] Ibid.
[37] Ibid
[38] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 2002 ), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian
Al-Quran (30) Juz. Kuala Lumpur : DarulFikir, cet. 13, h. xiii.
[39] Ibid, h. xv- xvi.
[40] Sila lihat LAMPIRAN 1
[41] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 2002 ), op.cit, h. vii-viii
[42] Ibid, h. ix
[43] Ibid, h. x
[44] Ibid, h. xi-xii
[45] Ibid, h. xiii
[46] Ibid, h. xiv
[47] Ibid, h. xv-xvi
[48] Terdapat sebanyak 1868 nota kaki yang berakhir pada surah al-Nas. Lihat Sheikh
Abdullah Basmeih op. cit, h. 1751. Lihat juga LAMPIRAN 2
[49] Ibid, h. 18-19.
[50] Sila rujuk LAMPIRAN 3 untuk huraian penuh.
[51] Sheikh Abdullah Basmeih, op.cit, h. 5. Sila rujuk LAMPIRAN 4
[52] Ibid., h. 133. Sila rujuk LAMPIRAN 5
[53] Ibid., h. 629. Sila rujuk LAMPIRAN 6
[54] Ibid., h. 1513. Sila rujuk LAMPIRAN 7
[55] Ibid, h. 8. Sila rujuk LAMPIRAN 8
[56] Ibid, h. 18-19. Sila rujuk LAMPIRAN 6
[57] Ibid.,h. 185. Sila rujuk LAMPIRAN 9
[58] Ibid.,h. 684. Sila rujuk LAMPIRAN 10
[59] Ibid.,h. 524. Sila rujuk LAMPIRAN 11
[60] Ibid.,h. 3. Sila rujuk LAMPIRAN 12
[61] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 297.
[62] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 1998 ), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian
Al-Quran (30) Juz. Kuala Lumpur : Darul Fikir, cet. 9, h. 643.
[63] Kesilapan ini adalah berpunca daripada kesilapan percetakan bukannya kesilapan
yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Basmeih pengarang kitab ini.
http://abusyakirin.wordpress.com/2008/09/09/tafsir-pimpinan-al-rahman-
oleh-syeikh-abdullah-basmeih/

You might also like