You are on page 1of 5

Satu Malaysia jadi pegangan,

Rukun Negara teras panduan,


Satu Malaysia benteng negara,
Rakyat Malaysia taat setia.
Serangkap lagu satu Malaysia di atas menunjukkan betapa pentingnya
perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh,
slogan kata Satu Malaysia yang menjadi pegangan wazir negara kita, Dato
Seri Najib Abdul Razak merupakan satu langkah yang jelas bagi memantapkan
perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana,
banyak kepentingan yang boleh kita peroleh daripada amalan perpaduan kaum
di Malaysia.
Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan
masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing
lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina,
Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa rambut sama hitam, hati
lain-lain jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang
sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang
mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai
rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum
dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Industri pelancongan merupakan salah satu industri yang menjadi
penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Kunci utama dalam menarik
kedatangan pelancongan ke Malaysia ialah dengan rakyat Malaysia
mengamalkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum yang wujud dalam kalangan
rakyat Malaysia akan menarik minat pelancong dari luar negara untuk melihat
sendiri amalan perpaduan kaum yang menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia.
Hal ini secara implicit dapat memperkenalkan keindahan Malaysia kepada
masyarakat luar seterusnya menaikkan nama negara. Oleh itu, wajarlah rakyat
Malaysia mengamalkan perpaduan kaum kerana selain dapat menarik
kedatangan pelancong, perpaduan juga mampu menaikkan nama negara,
seperti kata peribahasa, sambil menyelam minum air.
Selain itu, dengan mengamalkan perpaduan kaum, kita juga dapat
memajukan ekonomi negara. Apabila perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat
Malaysia, penindasan ekonomi tidak akan berlaku kerana setiap kaum akan
bersaing dengan adil tanpa sedikit pun perasaan hasad dengki dalam diri
mereka. Contohnya, persaingan yang berlaku dalam dunia perniagaan. Bukan itu
sahaja, apabila rakyat mengamalkan peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh, nescaya rakyat juga dapat bersama-sama memajukan ekonomi
negara.
Keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila amalan perpaduan
kaum telah meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seperti yang kita
ketahui, tanpa perpaduan kaum, keamanan tidak dapat diwujudkan kerana
rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga menghancurkan keamanan
sesebuah negara yang telah dibina itu. Pertelingkahan yang berlaku antara
rakyat hanya akan menghasilkan suasana hidup yang porak-peranda. Oleh hal
yang demikian, benarlah perpaduan kaum itu penting untuk meningkatkan
keamanan negara.

Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu dan tidak


mengharapkan pihak kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan
kaum. Janganlah kita bersikap evasif mahupun bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing kerana perpaduan kaum itu hanya akan
wujud apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan
sempurna dan bersikap bertolak ansur.
http://noraini-ismail.blogspot.com/2013/04/kepentingan-perpaduan-kaum-dimalaysia.html
Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unit lantaran rakyatnya terdiri
daripada pelbagai kaum. Ramai penduduk dunia tertanya-tanya apakah formula ampuh yang telah
digunakan oleh pemimpin-pemimpin berwibawa di Malaysia sehingga rakyatnya dapat hidup bersatupadu dan aman damai tanpa sebarang pertelingkahan. Namum, persoalan sedemikian hanya dapat
dijawab apabila semangat perpaduan itu tersemat di dalam diri setiap anak watan yang akan mewarisi
tampuk pentadbiran Malaysia. Tambah pula, aspek perpaduan telah dianggap sebagai tulang belakang
kepada kegemilangan Malaysia. Oleh sebab itu, setiap rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan
perpaduan kaum kerana aspek perpaduan ini memberi impak yang besar kepada seluruh rakyat
Malaysia.
Dalam hal ini, perpaduan kaum amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik. Kestabilan politik
dalam setiap jabatan amat perlu bagi menjamin keutuhan struktur pentadbiran Malaysia. Fungsi
pentadbiran Negara pula perlu dilaksanakan secara sistematik kerana banyak negara luar yang gemar
berurusan dengan pemimpin Malaysia. Impak positif yang berlaku ialah Negara Malaysia dapat
melebarkan ruang lingkup jalinan persahabatan dan perdagangan bagi mencakupi arena global.
Umpamanya, kestabilan politik di Johor telah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk
melabur di Malaysia bagi membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Oleh itu,
perpaduan kaum yang telah menyumbang ke arah kestabilan politik memberi pulangan yang lumayan
kepada Malaysia bak kata pepatah Melayu pucuk dicta, ulam mendatang kerana kedua-duanya
memberikan faedah kepada Malaysia.
Seperkara lagi, perpaduan kaum dapat menjamin Negara Malaysia. Amnya mengetahui bahawa
Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa di mana majoriti rakyatnya terdiri daripada bangsa
Melayu, Cina dan India yang mempunyai pelbagai adat resam, agama dan kepercayaan sejak lima
dekad yang lalu. Pemimpin-pemimpin yang lalu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock,
Tun Sambathan serta ramai pemimpin berwibawa yang lain telah berunding dan bertolak ansur untuk
mencapai perpaduan demi sebuah negara yang tercinta. Kini, sudah menjadi tanggungjawab kita
untuk terus memelihara perpaduan yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman lagi. Melalui
perpaduan dan keharmonian, Malaysia telah mengorak langkah serta melalui satu fasa perubahan
yang drastik sehingga kita standing dengan negara-negara maju yang lain dan dikagumi oleh seluruh

pelusok dunia. Tambahan pula, ada segelintir pemimpin dunia yang menjadikan Malaysia sebagai suri
teladan untuk membentuk perpaduan rakyat mereka seterusnya mencetuskan keharmonian negara,
Dalam nada yang sama, perpaduan kaum amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi
pelbagai kaum di Malaysia. Melalui penemuan satu formulasi ekonomi iaitu Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke- 2, Allahyarham Tun Abdul Razak pada
tahun 1970, beliau berjaya merungakai satu masalah yang membelenggu rakyat Malaysia yang
http://retibahasa.blogspot.com/2011/10/kepentingan-perpaduan-kaum_03.html
mana, pada masa itu satu kaum telah memusuhi kaum yang lain dalam peristiwa berdarah 13 Mei
1969. Impak positif daripada formulasi ini, wujud semangat bertolak-ansur dalam kalangan rakyat
dalam usaha membasmi kemiskinan. Tindakan ini juga jelas dapat dilihat apabila pihak kerajaan
sendiri berusaha meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin melaui proses memodenkan kawasan
luar bandar. Intihanya, usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum amat penting dalam usaha
memupuk perpaduan kaum.

http://retibahasa.blogspot.com/2011/10/kepentingan-perpaduan-kaum_03.html

Salah satu prakarsa yang drastik untuk mengekalkan perpaduan kaum di Malaysia adalah
untuk merealisasikan hasrat bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pengenalan sekolah
wawasan. Hal ini demikian kerana, melalui sekolah wawasan, pelajar yang terdiri daripada variasi
kaum akan belajar dan berinteraksi dengan bersama-sama. Dengan ini, proses ini akan
mengukuhkan perpaduan kaum dan dapat hidup dengan aman dan harmoni bak kata pepatah bulat
air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Akhirnya, Malaysia akan terus gah di mata
dunia sebagai sebuah negara yang makmur lagi harmoni.
Selain itu, aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan bukan
kerajaan perlu diberi perhatian. Bagi memastikan perpaduan terus berkekalan, Jawatankuasa
Komuniti taman-taman perumahan boleh merancang dan melaksanakan aktiviti gotong-royong
membersihkan kawasan taman. Sebagai contohnya, aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan ahli
masyarakat menyingsing lengan membersihkan longkang, mengutip sampah dan menanam pokok
bunga malah memberi peluang kepada mereka untuk bersemuka, bertegur sapa dan saling memahami
hati budi antara satu sama lain. Dengan ini, perpaduan kaum merupakan wadah penting kepada
kesejahteraan masyarakat sama ada pada peringkat global dan glokal akan dapat dimantapkan.
Seterusnya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mengadakan sambutan
secara meriah untuk meraikan perayaan kaum dan agama di negara. Sambutan tersebut telah diadakan
di peringkat kebangsaan dan melibatkan segenap lapisan masyarakat. Sambutan ini yang dikenali
sebagai Rumah Terbuka Malaysia yang diadakan di beberapa lokasi utama di negara ini. Oleh hal
yang demikian, perhimpunan perpaduan seumpana ini bukan sahaja dapat memupuk perpaduan malah
dikagumi oleh pelancong asing seantareo pelosok dunia. Justifikasinya, Rumah Terbuka Malaysia
yang diadakan setiap tahun dapat mewujudkan keamanan dan kemakmuran rakyat untuk meneruskan
kehidupan di negara ini.
Akhirulkalam, kehidupan manusia bukanlah sekadar memerlukan angin, hujan, makan, dan
minum sahaja. Kehidupan kita akan terus bermakna jika kita bebas ke mana-mana sahaja, bebas
bekerja dan bebas mengemukakan pendapat. Lantaran itu, untuk mengecapi kebebasan ini, perpaduan
yang ada perlu dikekalkan dan terus dimantapkan. Dengan itu, semua pihak haruslah bermuafakat
untuk terus mengekalkan perpaduan negara kerana membina perpaduan memakan masa puluhan
tahun tetapi meranapkannya akan mengambil masa sehari.

http://hand-book-1996.blogspot.com/2011/05/usaha-usaha-mengekalkanperpaduan-kaum.html

You might also like