You are on page 1of 2

Bantu mangsa banjir dalam fasa pemulihan selepas banjir

TIDAK dapat dibayangkan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di utara
Kedah, Perlis dan Kelantan. Kerugian yang dialami bukan sahaja wang ringgit dan harta benda
tetapi juga kehilangan nyawa melibatkan orang yang tersayang.
Semuanya berlaku sekelip mata sahaja. Banjir kali ini lebih dahsyat lagi daripada banjir besar
yang berlaku pada Disember 2005. Hatta, menurut generasi tua di kawasan yang dilanda banjir,
banjir kali ini lebih teruk sejak 40 tahun yang lalu.
Masakan tidak, banjir kali ini meliputi sebahagian besar kawasan di daerah Kubang Pasu dan
Kota Setar. Lapangan Terbang Alor Setar sendiri terpaksa ditutup berhari-hari kerana kesan
banjir yang cukup besar pada kali ini.
Malahan, jika dibandingkan dengan banjir pada tahun 2005, terdapat kawasan perumahan yang
boleh dikatakan bebas banjir pada tahun 2005 tetapi kali ini kawasan berkenaan bernasib malang
dan tidak terlepas daripada dilanda banjir.
Tanaman-tanaman pertanian dan haiwan-haiwan ternakan turut menjadi mangsa banjir. Terdapat
kawasan yang dilanda banjir setinggi dua meter.
Selepas lebih seminggu banjir melanda kawasan-kawasan berkenaan, kini, fasa paling kritikal
ialah memulih kembali kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Ini terutamanya memulihkan
kembali semangat, moral dan motivasi mangsa-mangsa banjir.
Bagi mangsa-mangsa banjir yang mempunyai pengalaman berhadapan dengan banjir tahun 2005
dan juga kali ini, memulihkan kembali semangat adalah perkara pokok untuk meneruskan
kehidupan seharian selepas ini.
Ini cukup ketara apabila ada mangsa banjir yang hanya mampu melihat segala harta benda yang
diusahakan selama ini rosak teruk dan terpaksa dibuang begitu sahaja. Suasana yang menyayat
hati sebegini jarang-jarang sekali berlaku, maka bantuan moral oleh rakan-rakan dan sanak
saudara mampu memulihkan kembali semangat mangsa-mangsa banjir.
Mangsa-mangsa banjir juga memerlukan bantuan dari segi tenaga bagi membersihkan kembali
rumah-rumah mereka yang disaluti lumpur dan tanah. Kerja-kerja pembersihan ini bukanlah
mudah dan memerlukan kerjasama ramai pihak.
Dari agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) sehinggalah individu-invividu
sukarelawan, bantuan segera perlu disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir. Tidak ketinggalan,
sampah-sarap yang dibuang oleh mangsa-mangsa banjir seharusnya dikutip segera oleh pihakpihak berkenaan agar ia tidak menimbun sehingga mendatangkan implikasi negatif kepada
penduduk setempat.
Gotong royong sesama pihak sukarelawan, penduduk dan agensi-agensi kerajaan
mempercepatkan lagi fasa pemulihan selepas banjir.

Selain itu, antara aspek yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir ialah penyaluran air bersih
kepada mereka agar tiada berlakunya penularan penyakit berjangkit. Susulan ini, syarikat air
Puncak Niaga dan Syabas telah prihatin untuk menyumbang air bersih kepada mangsa-mangsa
banjir.
Tidak terkecuali agensi-agensi kerajaan Persekutuan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun
Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah
(Keda) yang akan membantu golongan peneroka dan petani untuk memulih semula tanaman
yang rosak. Ini bagi memastikan mereka tidak kehilangan mata pencarian.
Pihak media juga tidak terkecuali mengambil bahagian membantu mangsa-mangsa banjir.
Tabung bantuan seperti Dana Bantuan Mangsa Banjir Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief
Agency (MRA) mampu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir. Sikap prihatin
sebegini amat diperlukan dalam menghadapi kesan selepas banjir.
Di samping itu, mangsa-mangsa banjir juga memerlukan pakaian dan makanan. Di sinilah
pentingnya peranan sukarelawan-sukarelawan bagi mengagihkan sumbangan yang diberikan
oleh para penderma kepada mangsa-mangsa banjir. Sumbangan derma dan bantuan kecemasan
daripada pelbagai pihak mencerminkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap kesengsaraan
yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.
Koordinasi segala bantuan dan sumbangan perlu dilaksanakan dengan baik. Oleh itu, penubuhan
jawatankuasa pulih banjir cukup kritikal bagi menguruskan semua bantuan seterusnya
mempercepatkan lagi fasa pemulihan selepas banjir. Ini termasuklah membanci penduduk yang
terlibat supaya tidak seorang pun mangsa banjir yang terlepas pandang oleh jawatankuasa pulih
banjir. Ini bagi membolehkan sumbangan dapat disampaikan terus kepada mereka yang benarbenar layak.
Walaupun banjir secara keseluruhannya boleh dikatakan semakin pulih, namun langkah berjagajaga wajar diambil jika berlakunya gelombang kedua banjir. Koordinasi tanggungjawab
melibatkan semua pihak dari semua peringkat boleh mengurangkan implikasi negatif yang
dialami oleh mangsa-mangsa banjir.

You might also like