You are on page 1of 3

KESAN PENCEMARAN SUNGAI

Sungai, sebagai salah satu unsur alam semula jadi ciptaan Tuhan Maha Esa, merupakan satu khazanah yang
perlu kita pelihara supaya fungsinya dalam kehidupan makhluk di dunia ini sentiasa berkekalan. Di Malaysia,
kita amat beruntung kerana dikurniakan banyak sungai untuk kegunaan masyarakat tempatan biarpun corak
kehidupan manusia pada masa ini telah berubah. Pergantungan manusia kepada sungai masih terus berkekalan
namun disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab, maka hari ini kita mendapati kebanyakan
sungai di negara kita semakin tercemar seperti yang dapat kita lihat di Sungai Kelang, Sungai Gombak di Kuala
Lumpur dan Sungai Skudai di Johor. Sesungguhnya, kemusnahan sungai yang disebabkan oleh tangan-tangan
manusia ini memberi impak yang terlalu besar dalam semua aspek kehidupan seharian kita.

Meskipun kita sedia maklum bahawa lebih daripada 80 peratus muka bumi kita diliputi oleh lapisan air, namun
masyarakat seolah-olah menutup mata dan minda bahawa sumber air bersih yang dapat kita gunakan untuk
meneruskan kehidupan adalah daripada sumber sungai. Pencemaran sungai yang lazimnya disebabkan oleh
pembuangan sampah-sarap ke dalam sungai, pembuangan sisa toksik dari kawasan industri mahupun
disebabkan oleh penebangan hutan, telah menyebabkan bekalan air bersih semakin berkurangan. Kawasan
Lembah Kelang umpamanya dijangka akan menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun 2020 sekiranya
tiada usaha-usaha yang dijalankan bagi menampung bekalan yang semakin bertambah akibat pertambahan
penduduk di kawasan tersebut. Beberapa batang sungai di kawasan Lembah Kelang seperti Sungai Gombak dan
Sungai Kelang yang teruk tercemar, tidak mampu lagi membekalkan air bersih untuk tujuan tersebut sehingga
memaksa kerajaan menyalurkan air dari Sungai Pahang ke Kuala Lumpur. Natijahnya, jika penemaran sungai
ini tidak segera diatasi maka kerajaan terpaksa mencatu bekalan air bersih kepada penduduk sehingga
menyukarkan kehidupan dan menjejaskan kesihatan mereka.

Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor mendapati bahawa pencemaran
sungai yang kini sampai ke peringkat yang amat membimbangkan, telah menyebabkan kos pengurusan sumber
air negara meningkat dengan mendadak. Kekurangan sumber air dari sungai-sungai mengakibatkan kaedah lain
dugunakan untuk mendapatkan bekalan air bersih termasuk mendapatkan bekalan sumber air dari bawah tanah.
Sampah sarap yang banyak di sungai-sungai umpamanya, memaksa pihak syarikat membina alat perangkap
sampah dan menjalankan usaha membersihkan sungai serta mendalamkan kawasan sungai yang cetek hingga
menelan belanja terlalu tinggi. Syarikat berkenaan juga terpaksa melakukan proses merawat air tercemar dengan
melakukan proses pengklorinan berulang-ulang kali sebelum dapat disalurkan kepada pengguna dan selamat
digunakan. Kerja-kerja merawat air ini memerlukan kos yang tinggi di samping memerlukan masa yang lebih
panjang. Oleh yang demikian, syarikat terpaksa menaikkan tarif bekalan air kepada pengguna demi menampung
kos pengurusan yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, kekurangan sumber air akibat kemusnahan dan pencemaran sungai akan turut
mempengaruhi perkembangan ekonomi negara. Tanaman makanan utama negara iaitu padi, amat memerlukan
bekalan air dalam jumlah yang banyak bagi memastikan kesuburan dan hasil yang tinggi kepada sumber
makanan tersebut. Kekurangan sumber air yang disebabkan oleh kemusnahan sungai di negara kita mampu
mengakibatkan usaha penanaman tanaman tersebut terjejas dan memberi kesan besar kepada penduduk. Hal
yang sama turut akan dirasai oleh kilang-kilang di kawasan perindustrian terutamanya bagi kilang yang
mengeluarkan hasil minuman jika masalah ini tidak segera diatasi. Sesetengah industri memerlukan bekal air
bagi menjalankan jentera untuk memastikan pengeluaran dapat diteruskan. Oleh itu, kita sudah dapat menjangka
malapetaka yang bakal menimpa ekonomi negara sekiranya bekalan air dari sungai-sungai terjejas. Jelasnya,
kekurangan bekalan air akan mengakibatkan kekurangan bekalan makanan kepada penduduk dan pada masa
yang sama kerajaan terpaksa berbelanja lebih bagi mengimport keperluan tersebut.

Selain itu, sungai juga merupakan aset penting kepada negara kerana berfungsi membekalkan sumber tenaga
hidro bagi kegunaan penduduk serta kegunaan industri perkilangan. Kemusnahan dan pencemaran sungai akan
menyebabkan bekalan air untuk menghasilkan sumber hidro elektrik terjejas. Hal ini akan memberi implikasi
yang besar dalam kehidupan masyarakat di negara kita kerana sumber tenaga hidro membekalkan lebih daripada
60 peratus daripada jumlah bekalan elektrik negara. Keadaan akan menjadi bertambah sulit memandangkan
berlakunya kenaikan harga petroleum yang begitu tinggi di peringkat global. Sumber lain seperti arang batu
yang dapat dijadikan pengganti untuk menghasilkan tenaga elektrik juga semakin berkurangan memandangkan
bekalannya yang hampir pupus, malah penggunaan teknologi moden untuk menghasilkan tenaga elektrik dengan
menggunakan reaktor nuklear amat memerlukan kos yang amat besar dan membebankan kewangan negara.
Maka kemusnahan sungai akan memberi implikasi yang amat kompleks dalam kehidupan kita kerana tenaga
elektrik hidro menjadi keperluan utama seluruh masyarakat.

Sudah terang lagi bersuluh, tiada siapa pun yang mampu menyangkal fakta bahawa selain perikanan laut dalam,
perikanan air tawar yang dijalankan di kawasan sungai dapat membekalkan sumber protein kepada manusia.
Oleh itu kemusnahan dan pencemaran sungai akan menjejaskan sumber protein kepada rakyat keseluruhannya.
Penyaluran sampah sarap dan sisa toksik ke dalam sungai akan menyebabkan kemusnahan habitat dan
kepupusan hidupan akuatik seperti ikan dan udang yang menjadi sumber makanan kepada penduduk. Hari ini,
jumlah tangkapan ikan air tawar telah semakin berkurangan disebabkan keadaan sungai yang tercemar dan
masalah tersebut akan menjadi lebih parah sekiranya masalah pencemaran ini tidak segera diatasi. Keadaan ini
turut memberi impak kepada penduduk di kawasan luar bandar yang bergantung hidup mencari rezeki secara
sambilan sebagai nelayan sungai. Selain mengancam peluang pekerjaan mereka, hal ini turut menjejaskan mata
pencarian para petani yang bergantung hidup daripada hasil tangkapan ikan sungai. Secara tidak langsung,
pencemaran sungai akan mempengaruhi teraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar justeru langkah tegas
perlu diambil sebelum nasi menjadi bubur.

Jika dilihat dari sudut yang lain pula, sungai yang tercemar mampu menyebabkan penularan wabak penyakit
berbahaya dan menjejaskan kesihatan orang ramai. Penemaran air sungai akan mengakibatkan jangkitan virus
Coli yang boleh mengakibatkan penyakit untut di samping beberapa penyakit berbahaya yang lain iaitu demam
malaria. Penyebaran virus berbahaya ini biasanya berlaku apabila orang ramai membuang sisa makanan, najis
atau bangkai haiwan ke dalam sungai. Melalui kajian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan, faktor utama
yang mendorong penularan virus Coli di negara kita lazimnya adalah disebabkan pembuangan najis khinzir ke
dalam sungai oleh penternak-penternak khinzir yang kebanyakannya membina ladang ternakan mereka di
kawasan yang berhampiran dengan sungai. Jelasnya, pencemaran sungai akan mengakibatkan penularan
penyakit berbahaya yang mampu meningkatkan jumlah kematian di negara kita. Oleh itu, langkah awal
mengekang kejadian tersebut wajar dititikberatkan kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubat.

Pencemaran sungai juga akan membantutkan usaha kerajaan bagi menarik pelancong ke negara kita. Umum
mengetahui bahawa sungai-sungai di negara kita merupakan salah satu unsur alam sekitar yang dapat dijadikan
sebagai daya tarikan pelancong. Sungai yang bersih, jernih dan terjaga dengan rapi akan menjadi tumpuan
pelancong bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti beriadah, mandi-manda mauhupun sekadar menikmati
keindahan dengan memerhatikan anak-anak ikan berkejar-kejaran di dasarnya. Namun begitu, kemusnahan dan
pencemaran sungai seperti yang berlaku di Sungai Gombak dan Sungai Kelang, telah menyebabkan fungsi
sungai tersebut sebagai daya penarik pelancong semakin terhakis. Sungai-sungai yang kotor dan berbau busuk
turut menjejaskan imej negara kita kepada para pelancong serta memberikan gambaran yang buruk kepada
pelancong tentang sikap negatif rakyat negara kita yang gemar membuang sampah-sarap ke dalam sungai. Jadi,
sebagai rakyat Malaysia yang perihatin dan bertanggung jawab, kita perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing
untuk memelihara dan memulihara sungai kita supaya para pelancong tidak memandang kita sebagai rakyat
yang tidak tahu menghargai keindahan alam sekitar.

Pencemaran sungai. Kemusnahan sungai juga boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat di bandar.
- sampah-sarap menyekat aliran air sungai
- sungai tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak
- kesannya banjir kilat mudah berlaku di hilir sungai dan di bandar – contoh kuala lumpur
- pembuangan sampah sarap dan hakisan tanah di kawasan projek perumahan menyebabkan dasar sungai
menjadi cetek – menyebabkan banjir kilat mudah berlaku
- kesannya boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda

Intihanya, kemusnahan dan pencemaran sungai memberi implikasi yang amat besar dalam kehidupan kita.
Namun disebabkan sikap kita yang terlalu alfa dan kerap terleka, masalah pencemaran sungai yang semakin
meruncing. Kita tidak sepatutnya menyerahkan tugas menjaga sungai kita hanya kepada pihak yang
bertanggungjawab sedangkan kita hanya tahu mengambil sikap lepas tangan sambil menuding jari menyarahkan
pihak lain sekiranya masalah pencemaran tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, kita perlu mengukuhkan ikatan dan
bekerjasama bagi memelihara sungai kita tanpa perlu menoleh ke belakang sebaliknya bermaufakat kerana
maufakat membawa berkat. Tiada siapa yang mampu membantu kita jika bekalan air yang menjadi tunjang
kehidupan kita itu pupus suatu hari nanti, kecuali diri kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.

You might also like