You are on page 1of 15

Soalan 1

Kududukan subjek pendididan Moral secara umumnya sangat penting dalam konteks
Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Bincangkan ?
Pengenalan
Dalam penghidupan, seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan
sehingga kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral.
Mengikut Berk (1989), proses perkembangan moral melibatkan tiga komponen kendiri moral
individu. Beliau menyenaraikan komponen-komponen tersebut sebagai penaakulan moral
(moral reasoning), emosi moral (moral feelings) dan tingkah laku moral (moral behavior).
Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berbeza tetapi saling berkait. Penaakulan moral dan
emosi moral mempengaruhi tingkah laku moral individu. Dalam usaha melahirkan insan yang
bermoral, Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting. Pendidikan Moral telah
diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran formal dalam kurikulum Baru Sekolah Rendah
pada tahun 1983 kepada semua pelajar bukan Islam di darjah satu. Pelajar tingkatan satu
mula belajar Pendidikan Moral pada tahun 1989. Pendidikan Moral juga mula bertaraf mata
pelajaran peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 1993. Sudah 12
tahun Pendidikan Moral diajar di sekolah menengah. Apakah kesan Pendidikan Moral
terhadap proses perkembangan moral pelajar ? Memandangkan kekangan masa dan ruang,
kertas kerja ini hanya memilih untuk meninjau kesan pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Moral terhadap perkembangan penaakulan moral pelajar sahaja.
Pengertian dan kepentingan penaakulan moral (Moral Reasoning)
Penaakulan moral bermaksud proses seseorang individu mencapai keputusan tentang apa
yang patut dilakukan dalam sesuatu dilema moral (Rest 1976). Kajian ini menggunakan
definisi yang diutarakan oleh Gibbs, Basinger dan Fuller (1992). Mereka telah
mendefinisikan penaakulan moral sebagai sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh
individu untuk menghasilkan sesuatu keputusan moral. Mengikut sukatan pelajaran
Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988 ), penaakulan moral merupakan
hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral. Pengetahuan Moral yang diuji di
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia untuk pelajar tingkatan 5 juga adalah berasaskan penilaian
penaakulan moral (Jeevajothi 1997).
Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan moral bukan sahaja merupakan
salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku moral tetapi penaakulan moral juga
adalah faktor paling penting yang pernah dikaji dan terbukti dapat menggerakkan tingkah

laku moral. Kohlberg membicarakan bahawa bagaimana individu boleh bertingkah laku
moral jika dia tidak faham dan tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah laku
sebegini.
Antara lain, Kohlberg (1975) telah menyokong pendiriannya dengan dapatan berikut.
Beliau dan Krebs mendapati bahawa hanya 15% subjek kajian yang beroperasi di tingkat
poskonvensional meniru dalam sesuatu peperiksaan berbanding dengan 55% subjek kajian
yang beroperasi di tingkat konvensional dan 70% subjek yang beroperasi di tingkat
prakonvensional. Ini bermaksud, semakin tinggi tingkat penaakulan moral individu, semakin
tinggi kemungkinan dia bertingkah laku moral.
Dalam perkembangan yang sama, Blasi membuat rumusan tentang 72 kajian yang
mengkaji hubungan antara penaakulan moral, masalah delinkuen dan ciri-ciri yang berkaitan
dengan delinkuen (Kitwood 1990). Beliau mendapati bahawa tingkah laku moral adalah
berkait dengan penaakulan moral. Misalnya subjek delinkuen menaakul di tingkat yang lebih
rendah.
KEPERLUAN DALAM PENDIDIKAN MORAL
Deskripsi berkenaan pendidikan moral seharusnya bermula dengan memfokuskan kepada
apakah sebenarnya yang dikatakan insan bermoral. Ini kerana apa pun pendekatan yang
akan digunakan mestilah berasaskan kepada kefahaman yang tepat dan jelas tentang insan
bermoral itu sendiri. Menurut John Wilson (1973), komponen yang perlu ada dalam diri
seorang insan bermoral dikategorikan sebagai konsep iaitu peraturan dan prinsip yang
difikirkan perlu digunakan dalam tindakan dan perasaan atau emosi yang akan menyokong
kepercayaan bahawa sesuatu konsep atau tindakan itu perlu dilakukan.
Selain itu seorang insan bermoral juga perlu mempunyai pengetahuan tentang
keadaan persekitarannya, tahu berinteraksi dengan orang sekelilingnya dan bertindak
mengikut pertimbangan yang telah difikirkan atau keputusan yang telah dibuat. Lickona
(1991) pula menyatakan untuk menjadi seorang yang bermoral, seseorang itu perlu
mengetahui kebaikan, menginginkan kebaikan dan melakukan kebaikan. Manakala Walker
et. al. menggambarkan domain moral terdiri daripada emosi moral, perlakuan moral,
pemikiran moral, komitmen dan keperibadian mulia.
Dari perbincangan di atas menunjukkan sewajarnyalah perlu dikenalpasti kualiti, sifat
atau kemahiran yang perlu ada dalam diri insan yang dikatakan bermoral untuk
merekabentuk dan merancang proses pendidikan moral secara keseluruhan. Sehubungan
dengan itu, Abdul Rahman Aroff (1999) telah mengemukakan konsep etika dan insan moral
yang dikatakan sesuai terutamanya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Etika
dikonsepsikan dari tiga sudut iaitu kandungan, bentuk dan dimensi etika.

Kemoralan atau etika perlu mempunyai kandungan yang terdiri daripada peraturan
masyarakat dan sifat keperibadian mulia. Setiap kelompok masyarakat mesti mempunyai
peraturan untuk membolehkan manusia dapat hidup dan berfungsi dengan baik dengan
persekitarannya.
Justeru kemoralan tidak boleh lari daripada peraturan, norma, tradisi atau adat
kebiasaan dalam masyarakat. Oleh sebab itu sebagaimana yang dijelaskan oleh John
Wilson ( 1973 ), peraturan masyarakat dan sifat keperibadian mulia perlu difahami oleh
setiap individu kerana pemikiran moral tidak berkembang dalam keadaan vakum. Tanpa
peraturan, kehidupan sosial manusia tidak dapat diteruskan kerana ia juga merupakan kayu
pengukur untuk menilai sesuatu aktiviti sosial ( Wright, 1971). Disamping bermatlamat untuk
memelihara kemuliaan manusia, peraturan juga menjimatkan tenaga dan masa manusia
daripada terpaksa berfikir bagaimana mereka sendiri mesti berkelakuan. Namun begitu insan
moral sebenarnya hanya menerima nilai-nilai murni dan peraturan masyarakat yang diterima
secara sejagat sebagai bermoral, patut, baik dan benar.
Oleh itu insan bermoral perlu peka dan memahami keperluan terhadap peraturan
dalam masyarakat ( Abdul Rahman Aroff,1986). Insan bermoral juga perlu mempunyai ciri
keperibadian mulia yang boleh dipuji dari segi moral. Keperibadian mulia adalah
kecenderungan dan pembawaan diri yang stabil untuk bertindakbalas kepada sesuatu situasi
dengan bermoral, manifestasi dari sifat-sifat kebaikan, kejujuran, tanggungjawab,
menghormati orang lain dan lain-lain (Lickona,1991a). Lebih penting ia mengandungi cara
insan bermoral patut mematuhi peraturan masyarakatnya dan bertindak secara berkesan
tanpa akur atau taat terhadap sesuatu peraturan secara membuta tuli.
Sesungguhnya dengan hanya menyediakan konsep peraturan masyarakat dan ciri
keperibadian mulia sahaja belum cukup untuk membolehkan seseorang individu berdepan
dengan dilemma moral atau konflik nilai yang kompleks. Seseorang insan bermoral perlu
mempunyai prinsip dan bersifat autonomi dalam membuat pertimbangan dan keputusan
yang bebas, rasional dan betul tanpa paksaan atau kepatuhan yang membuta tuli terhadap
sesuatu autoriti. Untuk itu, 3 bentuk etika yang berasaskan prinsip keadilan dan kepedulian
diperlukan. Prinsip keadilan perlu untuk bertindak secara autonomi dan rasional dalam apa
jua keadaan kerana ia dapat mengelak dari bersifat mementingkan diri sendiri, tamak serta
dapat mengawal sifat-sifat melampau seperti dalam keadaan terlampau marah.
Seterusnya, manusia tidak boleh berurusan dengan manusia lain tanpa
berkomunikasi juga tidak boleh berkomunikasi sekiranya mereka tidak memahami antara
satu sama lain. Manusia juga tidak akan belajar bertoleransi dengan manusia yang realitinya
berbeza pendapat dan pandangan kecuali dengan adanya sikap persefahaman, kesesuaian
dan method yang membolehkan urusan bersama dibuat.

Menyedari hakikat bahawa manusia sebenarnya tidak boleh hidup bersendirian


tanpa melibatkan orang lain ini, kepedulian menjadi prinsip moral yang penting untuk
mengelakkan sifat mementingkan diri sendiri. Ia dianggap ibu nilai (Abdul Rahman Aroff ,
1999) yang akan menerbitkan nilai-nilai moral yang lain terutamanya yang bersifat altruistik.
Oleh itu bentuk etika yang berasaskan prinsip keadilan dan kepedulian perlu ada dalam diri
insan bermoral disamping perlu mengambilkira situasi yang dihadapi.
Untuk melengkapkan konsep etika dalam diri insan bermoral, penting juga disentuh
mengenai dimensi atau aspek yang menjurus ke arah kecenderungan seseorang untuk
bertingkah laku secara bermoral. Terdapat sekurang-kurangnya tiga dimensi etika iaitu
pentaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral (Abdul Rahman Aroff,1999).
Insan bermoral mesti melakukan sesuatu berasaskan kepada alasan yang
munasabah. Individu yang melakukan sesuatu kerana kebiasaan, takut atau mengikut
keadaan tanpa berfikir tidak dikira sebagai insan yang mempunyai kematangan moral atau
dikatakan tidak melakukan sesuatu secara bermoral. Misalnya sekiranya kita melatih atau
mendidik anak-anak supaya menjauhi prasangka perkauman tanpa mengetahui sebabnya,
kita juga sebenarnya tidak mendidik mereka dengan bermoral. Hanya individu yang
melakukan tindakan yang betul dengan alasan atau sebab yang betul serta boleh
meyakinkan yang ianya betul saja dikira sebagai insan bermoral.
Konsep pentaakulan moral perlu terutamanya dalam masyarakat majmuk di negara
ini di mana masyarakat berbeza tentang kesignifikanan sesuatu nilai atau kesepakatan
masyarakat yang berbeza tentang nilai-nilai utama mereka. Pentaakulan juga perlu untuk
mewujudkan keadilan dalam tindakan. Ringkasnya pentaakulan moral melibatkan pemikiran
dan pertimbangan yang rasional dan bebas. Ia adalah kebolehan untuk membuat
pertimbangan dan keputusan moral yang matang dan bebas dalam situasi moral tanpa
dipengaruhi oleh paksaan atau ketaatan membuta tuli.
Perlakuan moral pula berkaitan dengan tindakan dan tingkah laku seseorang hasil
daripada sesuatu keputusan yang telah dibuat dengan penuh tanggungjawab oleh
pentaakulan yang bebas dan rasional. Individu yang tidak melakukan sesuatu yang telah
difikirkan sebagai patut,wajar dan bermoral dianggap individu yang lemah moralnya atau
berilmu tetapi tidak diamalkan. Fenomena inilah yang berlaku kepada individu yang
berpendidikan dan tahu berfikir tetapi tetap melakukan sesuatu yang salah atau tidak
bermoral.

Umum biasanya membuat tanggapan bahawa kemoralan boleh diterapkan dengan


hanya menjelaskan tentang kebaikan dan keburukan serta tingkah laku yang wajar tanpa
menyedari bahawa emosi sebenarnya adalah ibarat pembekal tenaga (power supply)
kepada setiap perlakuan. Samay (1986) ketika membincangkan tentang peranan emosi
dalam perkembangan moral menyatakan ....
besides enumerating the reasons for which people act or should act, ethics must also call
attention to the energies through which people are enabled to act for those reasons.
Moral emotion is considered to be the general power supply of all behaviour ....
4 Ewing (1990) melaporkan bahawa kelemahan moral dikalangan kanak-kanak yang
melakukan jenayah bukan disebabkan mereka tidak mengetahui bahawa perkara itu adalah
salah tetapi berpunca dari tiadanya perasaan terhadap kebajikan orang lain.
Individu yang mempunyai perasaan moral akan bersifat altruistik, bertimbang rasa, belas
kasihan, murah hati dan juga sifat-sifat yang berkaitan dengan sifat kepedulian.
Disamping itu dia juga harus mempunyai rasa malu atau bersalah bila melakukan
sesuatu yang tidak wajar dari segi moral. Namun begitu insan bermoral tidak harus terlalu
mengikut emosi kerana ia akan menjurus kepada perlakuan yang tidak rasional. Manakala
individu yang terlalu kurang perasaan moralnya pula dilihat kurang insani atau bersifat
impersonal. Oleh itu insan bermoral ialah juga individu yang boleh menyeimbangkan antara
pentaakulan dan perasaan disamping perlakuan moralnya.
Dari perbincangan di atas, disimpulkan bahawa disamping mempunyai sifat-sifat
murni dan ciri-ciri keperibadian mulia yang diakui secara sejagat, seorang insan bermoral
perlu peka dan memahami peraturan dalam komuniti tetapi tidak mentaatinya tanpa berfikir.
Apabila berdepan dengan konflik atau dilema moral, individu tersebut boleh membuat
pertimbangan dan keputusan berdasarkan prinsip-prinsip moral yang berkaitan dengan
keadilan dan kepedulian tanpa mengetepikan situasi yang menimbulkan konflik tersebut.
Individu ini akan bertindak berdasarkan keputusan yang dibuat secara autonomi mengikut
kemampuan iaitu dengan menyatukan pentaakulan, perasaan serta perlakuan moral dalam
setiap tindakannya.
Kesemua aspek diatas sebenarnya menjadi keperluan asas untuk dijadikan
latarbelakang dalam proses pendidikan moral samada secara formal atau tidak formal dan
perlu menjadi rujukan utama dalam merancang pendekatan yang sesuai digunakan dalam
program pendidikan untuk membangun insan yang matang dari segi moral. Para pendidik
seharusnya perlu jelas tentang konsep ini supaya apa yang disampaikan kepada anak didik
bukanlah sekadar pengetahuan berkenaan moral tetapi lebih utama untuk disebatikan
dalam diri mereka supaya boleh dimanfaatkan dalam membuat pertimbangan dan bertindak
dengan bermoral dalam menghadapi dan menangani apa jua bentuk cabaran yang semakin
kompleks dalam era globalisasi ini.

CABARAN DALAM PENDIDIKAN MORAL


Pendidikan moral ialah satu perkara yang kompleks dan telah mengundang banyak
kekeliruan.Ia bukan saja menjadi tugas pendidik yang mengajar Pendidikan Moral di sekolah
malah perlu kerjasama dari semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat sekolah
khususnya untuk mempromosikan suasana moral. Menurut Puka (1976), jika pendidik tidak
tahu apa itu moral maka dia tidak boleh mengajarnya (Abdul Rahman Aroff,1986). Pendidik
yang diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Moral perlu mempunyai asas ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang luas terutamanya berkaitan keperluan dalam diri dan
pendekatan atau kaedah yang digunakan. Oleh itu soal penyediaan guru Pendidikan Moral
perlu dipandang serius kerana realitinya pendidikan moral tidak semudah seperti yang
ditanggapi dan dilafazkan.
Sebenarnya konsep moral yang dipegang oleh pendidik akan mempengaruhi
matlamat, kandungan dan terutamanya kaedah mengajar Pendidikan Moral. Contohnya
seorang pendidik yang memahami Pendidikan Moral sebagai kepatuhan terhadap peraturan
yang mutlak akan bertindak secara autoritarian dan program Pendidikan Moralnya akan
menjadi bersifat indoktrinasi yang implikasinya akan membantutkan proses perkembangan
moral yang matang.
Oleh itu janganlah terlalu mudah kita berpuas hati dengan mengeneralisasikan
semua guru adalah guru moral. Kita juga perlu sedar bahawa suasana di luar bahkan di
dalam sekolah sendiri samada dari segi praktik dan polisi banyak memberi implikasi
terhadap kemoralan seseorang individu.
Sebagaimana pentingnya Pendidikan Moral secara formal, proses pendidikan secara
tidak formal melalui aktiviti-aktiviti dan suasana alam persekolahan meliputi masyarakat dan
polisinya perlu mempunyai kualiti yang boleh mempromosikan suasana moral.
Sememangnya ia bukanlah satu usaha yang mudah dan memerlukan tekad yang jitu tetapi
tanggungjawab ini perlu kita galas untuk menyiapkan anak didik kita supaya boleh berfungsi
dengan baik dan berkesan dalam pelbagai segi.
Tidak dinafikan kita kekurangan rujukan dan model yang jelas dan valid berkaitan
Pendidikan Moral. Namun kita mesti berhadapan dengan realiti bahawa kita adalah pendidik
moral, institusi pendidikan kita adalah ibarat moral enterprise dan kita adalah ahli yang
perlu aktif dalam enterprise tersebut. Oleh itu janganlah kekurangan itu dijadikan alasan
untuk melemahkan atau melumpuhkan komitmen kita sebagai pendidik .

PENUTUP
Pendidik dan masyarakat umumnya mesti menyedari bahawa pendidikan moral ialah suatu
tanggungjawab yang tidak boleh dielak. Dalam menilai keperluan dan peranan pendidikan
moral demi menangani cabaran kemelut keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan,
kita perlu sentiasa bersedia dan membina satu domain pendidikan moral yang serasi dengan
sistem nilai masyarakat pelbagai. Ianya perlu difahami dengan jelas oleh setiap pendidik
moral terutamanya untuk diaplikasikan sebagai keperluan asas dalam pendidikan moral bagi
menumpu ke arah pembinaan insan yang menyeluruh, harmonis dan bersepadu dari segi
intelek, emosi, jasmani dan rohani. Dalam membuat persiapan menghadapi cabaran dan
untuk masa depan yang tidak diketahui sifatnya, kita wajar mempunyai satu konsep domain
moral yang boleh digunakan untuk mengukur sesuatu pertimbangan nilai moral.

Soalan 2
Senaraikan lima etika profesion perguruan dan ulaskan.
Pengenalan
Etika Profesion Keguruan dan Akauntablilti
Maksud Etika adalah Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan
(Dewan Bahasa & Pustaka, 1995). Menurut kamus oxford 1994 membawa maksud prinsip
moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994). Selain itu etika profesion keguruan juga
merujuk kepada tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap
masyarakat. Menurut persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan
Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.
Maksud Etika Profesional
Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin
dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan
dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam
masyarakat.
Skop Etika Profesional mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali halhal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll. Dalam Islam,
etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan
hidupnya. Selain itu Etika Perguruan membawa maksud satu set tingkah laku atau
tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa
pelajar.
Kepentingan Etika Guru
Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod
etika dianggap penting kerana:
1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion
perguruan. Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap
pemegang amanah dalam bidang pendidikan. Guru lebih faham dan jelas tentang
tanggungjawab mereka.

3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan
perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. Guru dapat melihat keunikan etika
yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat
dilakukan. Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod
etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam
putih dan rasmi. Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang
luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. Pengamalan
etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas,
serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli dalam
organisasi
Tanggungjawab guru
1. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan
sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap
profesion perguruan.
2. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya
maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama guru ialah terhadap muridnya. Kepentingan murid mengatasi
semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Guru haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.
6. Guru haruslah memberi perhatian dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa
dan agama atau kepercayaan.
7. Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah
laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat.
8. Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak
kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal,
keturunan, daya intelek dan lain-lain.
9. Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan
membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya
cipta dan lain-lain.
10. Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid
tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.

11. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh
membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid,
masyarakat atau negara.
13. Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka
dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.
14. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan
keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya.
15. Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model'
kepada muridnya.
16. Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau
pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan
bayaran yang disahkan.
17. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran
persendirian.
18. Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian
terhadap muridnya.
19. Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli
masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya.
20. Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.
21. Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk
tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.
22. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya
untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan
prinsip-prinsip berikut:Niat yang betul
Perlakuan yang baik
Pengerak ke arah kebaikan
Memperkotakan apa yang dikatakan
Berdisiplin dan beradab
Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi

NILAI-NILAI UTAMA ETIKA KERJA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


Walaupun banyak terdapat nilai-nilai mulia, tetapi tujuh nilai utama menjadi fokus Etika Kerja
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Nilai-nilai itu adalah:
Amanah
Benar
Bijaksana
Bersyukur
Dedikasi
Ihklas
Penyayang
Akauntabiliti keguruan
1. Konsep keguruan
Menurut Kamus Dewan (1970), guru bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika
dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan
melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala
pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala
keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau
tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan
sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.
2. Konsep Akauntabiliti
Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan akauntabiliti di huraikan sebagai bertangungjawab
kepada seseorang atau bertangugjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji ,
konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan
mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat
jawapan dan penjelasan tersebut . Akauntabiliti juga adalah mengenai displin dan keperluan
untuk memberikan justifikasi dan menerima keberrtangungjawaban terhadap sesuatu
keputusan yang telah diambil.
3. Akauntabiliti keguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh
seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan

tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab


seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akautabiliti guru terhadap pelajar , diri
guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya.
Akauntabiliti guru terhadap
1.

Pelajar

Seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah
termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan. Guru juga haruslah
mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain.
Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya
tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkaraperkara lain. Guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa
meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala
perlu memberi hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat
terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian
kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan
supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan
orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga
profesionalisme guru supaya mereka tidak di benci,di pandang serong dan tidak di hormati
lagi oleh anak muridnya.
2. Diri
Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat menjalankan
tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan
juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu
tugasnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan
bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru
gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masaalah luaran yang boleh
menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah. Guru juga di galakkan
melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di
sekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput yang
berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan
aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan
fizikal.

3. Sekolah
Sekolah ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru juga bertangungjawab
terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam
sebuah sekolah ,guru mempunyai akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan
sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugastugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor, setiusaha peperiksaan,setiusaha
PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak pentadbiran
sekolah.
4.

Masyarakat dan Negara

Sebagai seorang guru , beliau hendaklah menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan
matlamat pendidikan negara berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru
hendaklah Memupuk nilai dan sikap murni pelajar dan sesuai dengan masyarakat berbilang
bangsa dalam diri pelajar. Guru hendaklah memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat
Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat.
Selain itu guru hendaklah mengeratkan persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dan
ibu bapa pelajar. Guru haruslah bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala
aktiviti sosial bagi mewujudkan suasana harmoni. Guru perlu sentiasa berusaha untuk
memenuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan
ajaran yang boleh merosakkkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang
bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering memupuk sikap dan nilai
dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka menjadi warganegara yang setia,
bertanggungjawab, menghormati orang lebih tua dan perbezaan kebudayaan, keturunan dan
agama. Di samping itu guru hendaklah menghormati masyarakat di tempat guru tersebut
berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Guru juga perlu
menggalakkan kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta
mengamlkan tingkah laku soppan yang diterima oleh masyarakat .
5.

Profesion Keguruan

Guru haruslah meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan berkaitan mata
pelajaran yang diajar. Ini termasuklah memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata
pelajaran yang diajar dan menyertai seminar pendidikan seperti kursus-kursus yang
dianjurkan oleh jabatan pendidikan atau pihak pentadbiran sekolah. Ini di lakukan dengan
merancang dan melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi mencapai objektif
pelajaran secara maksimum. Guru juga hendaklah mengajar dengan fakta yang betul agar
murid menerima ilmu yang betul dan tepat.

Penutup
Dengan dapat memahami prinsip akauntabiliti , guru dapat memahami tanggungjawabnya
yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan dapat
meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan tersebut
membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan
penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi
akuntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan akan
dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang
tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf
profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan
bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap
kerjayanya. Kesedaran kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih
bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang di laksanakannya. Oleh yang demikian,
akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan
akauntabiliti terhadap tugas dan tanggungjawabnya , maka tanggungjawabnya tidak dapat di
jalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang di cita-citakan
negara. Ini akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang
tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang di berikan

RUJUKAN.
Abdul Rahman Md Aroff. (1986). Makna Moral. Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia
(68)
Abdul Rahman Md Aroff. (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika Dan Amalan Moral.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Ewing, C.p. (1990). When Children Kill. The Dynamics of Juvenile Homicide. Lexington,MA
Walker, L.J., Pitts, R.c., Hennig, K.H., & Matsuba, M.K. : Lexington Books.
Lickona, T. (1991a). An Integrated Approach To Character Development. Dalam J.S
Benninga(ed). Moral Character And Civic Education In The Elementary School. New
York : Teachers College Press.
Lickona,T. (1991). Educating For Character : How Our Schools Can Teach Respect And
Responsibility. New York: Bantam.
Samay, S.A. (1986). Affectivity : The Power Base of Moral Behaviour. Dalam G.F. Mc Lean,
F.E. Ellrod, D.L. Shindler & J.A. Mann(eds.). Act and Agent: Philosophical
Foundations For Moral Education And Character Development. New York :
University Press of America.
Wilson, John. (1973). A Teachers Guide To Moral Education. London: Geoffrey Chapman.
Wright, Derek. (1971). The Psychology of Moral Behaviour. Hazell Watson & Viney Ltd.

You might also like