You are on page 1of 5

Abstrak

Malaysia terkenal dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Aspek tersebut menjadi
penyumbang kepada perkembangan pemakanan yang mempengaruhi perpaduan kaum di Malaysia.
Objektif utama kajian ini ialah mengenali dengan lebih mendalam makanan yang terkenal antara tiga
bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada
setiap jenis makanan tersebut. Objektif lain yang turut dikaji adalah berkenaan pemahaman tahap dan
perpaduan kaum di Malaysia melalui makanan. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik dalam
kalangan masyarakat sekitar Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seramai 30 responden telah
dipilih untuk menyertai kajian ini dan berdasarkan maklumat yang diperolehi, hubungan antara tahap
perpaduan dan makanan bagi setiap kaum adalah memuaskan. Oleh itu, makanan memainkan peranan
yang penting dalam memupuk hubungan yang erat antara kaum utama di Malaysia. Pendedahan
mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan diperkemas lagi
supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan makanan-makanan
tradisi masyarakat yang ada di Malaysia.
Kata Kunci: perpaduan kaum, makanan tradisi
1.0 PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan damai dipenuhi oleh penduduk yang berbilang kaum.
Hari ini, kaum Melayu adalah kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 57 peratus
penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama
Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan berketurunan Melayu. Pada
asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh
Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal dengan sifat peramah dan
budaya seni mereka yang sangat kaya.
Penduduk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa
generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain,
menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum
Melayu, Cina dan India. Tiga kaum terbesar ini mempunyai pelbagai adat dan budaya tersendiri dalam
mengeratkan silaturrahim dan menguatkan perpaduan antara satu sama lain. Negeri Sabah dan Sarawak
juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang
unik dan tersendiri.
Dalam menyumbang kepada perpaduan kaum, terdapat banyak aspek yang mempengaruhinya seperti
cara pemakanan, sambutan perayaan, pemakaian tradisional dan pelbagai lagi. Dalam kajian ini, kami
telah memilih untuk mengkaji bagaimana tradisi makanan sesuatu kaum itu dalam menyumbang ke arah
perpaduan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kaum di Malaysia ini mempunyai sejarah
tentang makanan tradisional kaum masing-masing. Pada hari ini, makanan bukan penghalang untuk
mengeratkan perpaduan sesama kaum. Roti canai, nasi lemak, lontong bukan hanya di makan oleh kaum
Melayu, tosei, capati dan roti nan bukan sahaja untuk kaum India, yong tau fu bukan hanya dimakan oleh
kaum Cina tetapi tanpa mengira bangsa dan kaum, makanan ini dimakan oleh sesiapa sahaja, bukan
mengira Melayu, Cina ataupun India. Jadi sememangnya, pada hari ini, boleh dikatakan makanan tradisi
kaum dapat mempengaruhi perpaduan di negara ini.
1.1 Latar Belakang Kajian
Dalam menjalankan kajian ini, lokasi kajian ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sekitar
Melaka. Terdapat 30 orang responden yang telah diplih secara rawak yang terdiri daripada 20 orang
pelajar UTeM dan 10 orang awam sekitar Melaka.

1.2 Objektif Kajian


Dalam menjalankan kajian ini, tiga objektif telah ditetapkan untuk dicapai. Pertama, mengenal pasti
makanan yang terkenal di antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kedua,
mengetahui keunikan dan daya tarikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut dan ketiga ialah
membincangkan bagaimana keunikan makanan tradisi setiap kaum ini mampu untuk membentuk
perpaduan antara kaum.
1.3 Kepentingan Kajian
Kajian ini telah dijalankan atas dasar dapat mengenal pasti makanan tradisi tiga kaum terbesar di
Malaysia. Kajian ini juga dapat menunjukkan betapa makanan tradisi dapat membentuk perpaduan kaum
di Malaysia.

2.0 SOROTAN KAJIAN


Bagai aur dengan tebing merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat
Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama
masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling
menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting
Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh.
Kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati masyarakat pada hari ini
tidak lagi menampilkan cirri-ciri perkauman yang kental dalam beberapa aspek kehidupan mereka. Ini
tentulah sesuatu petanda yang positif bagi masa depan sebuah negara berbilang kaum di Malaysia.
Sikap masyarakat pada hari ini seperti yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia itu mencerminkan penerimaan mereka yang baik tanpa
prejudis terhadap semua kaum di Malaysia.
Masa depan ekonomi negara juga diyakini akan bertambah baik dan ini tentulah akan dapat
mengekalkan keharmonian di antara kaum. Hasil kajian ini membuktikan bahawa majoriti menyatakan
keadaan ekonomi semakin baik jika perpaduan terjalin antara masyarakat di Malaysia. Berdasarkan
sejarah dan pengalaman negara ini, masalah ekonomi dapat memberi kesan terutama kewujudan jurang
antara kaum dan ini jika tidak dibendung akan dapat mencetus rasa cemburu sehingga membawa
kepada permusuhan antara kaum.
Pada hari ini, kita melihat orang Cina menjual asam laksa dan nasi lemak, manakala orang Melayu
memakan mi, kueh tiaw, yong tau foo, roti nan, capati dan tosai. Demikian pula orang India makan apa
saja yang dimakan oleh rakan mereka dalam kalangan Melayu dan Cina.
Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yg dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dan
ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu
tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi
tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah
terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel. Nasi lemak turut diiringi dengan
beberapa lauk sampingan seperti kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau
ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.
Putu mayam ialah sejenis makanan manis yang selalunya dimakan ketika sarapan pagi ataupun sebagai

snek. Putu mayam diperbuat daripada adunan tepung beras yang dicampur dengan air dan santan
kelapa yang kemudiannya ditekan ke penyaring untuk menjadikannya seperti mi halus. Selepas itu, ia
akan dikukus dengan perahan air daun untuk dijadikan sebagai perasa. Setelah siap, mi itu akan
dihidangkan bersama-sama parutan kelapa dan gula Melaka. Putu mayam adalah contoh makanan
masyarakat India yang juga digemari oleh semua kaum di Malaysia.
Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya)
cendawan, bunga lily, biji-bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang
digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan
Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negera China seperti yong tau foo, char koay
teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu
makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate
celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja
dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama
ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang
bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah
teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.
Perayaan besar disambut bersama dengan menghidangkan makanan pelbagai kaum. Hakikatnya jelas,
dengan hanya makan, kita boleh menggerakkan sesuatu kaum atau bangsa semakin dekat dalam
perhubungan walaupun hanya sekadar beberapa inci. Semua ini terhasil daripada jalan awal yang
inginkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Semua ini akan terus menjadi ikon yang menjadi
identiti sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Ikon yang menjadi identiti sebuah bangsa
Malaysia yang aman dan harmoni.

3.0 METODOLOGI KAJIAN


Kajian ini dijalankan melalui pemerhatian, kajian soal selidik, dokumentasi dan temu bual.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Aspek-aspek yang diguna pakai dalam kajian ini antaranya ialah pendekatan kajian, kaedah
persampelan, cara pengumpulan data, teknik memproses dan menganalisis data dan penulisan laporan.
Reka bentuk kajian kuantitatif yang digunakan dalam kajian ini ialah tinjauan (survey). Dalam kajian ini,
tinjauan dibuat di sekitar kawasan Melaka untuk mendapatkan pandangan penduduk tentang hal-hal
berkaitan dengan perpaduan kaum melalui makanan tradisi.
Manakala reka bentuk kajian kualitatif yang digunakan ialah kajian etnografi dan kajian sejarah. Dalam
kajian kes, kajian etnografi digunakan bagi mengkaji ciri-ciri makanan tradisi dalam kalangan penduduk di
Melaka. Kajian sejarah pula digunakan bagi mengkaji rekod dan penulisan lampau antaranya dapatan
daripada jurnal untuk dikaitkan dalam kajian perpaduan melalui makanan tradisi.
3.2 Sampel Kajian
Ketika melakukan survey (tinjauan) borang kaji selidik telah diedarkan. Sampel terdiri daripada responden
di sekitar Melaka. Seramai 30 orang pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi menjalankan
tinjauan ini. Setiap kaum dari Melayu, Cina dan India dipilih seramai sembilan orang manakala tiga orang
dari lain-lain kaum.
3.3 Instrumen Kajian

Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik di mana kami telah mengedarkan borang kaji selidik kepada
penduduk sekitar Melaka. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur. Datadata yang diperolehi telah dianalisis menggunakan SPSS.

4.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN


Bahagian ini membincangkan keseluruhan hasil kajian yang dijalankan. Selain itu, rumusan akan dibuat
mengenai pengaruh makanan tradisi sesuatu kaum dalam perpaduan rakyat Malaysia.
Taburan Jadual 1 di atas, menunjukan kekerapan pengambilan makanan tradisi lain dalam semingu.
Taburan ini menunjukan bahawa jumlah responden tertinggi ialah tiga hingga lima kali seminggu dalam
pengambilan makanan kaum lain. Untuk kekerapan sekali hingga dua pula menunjukan hanya tiga
responden sahaja. Responden yang mengakui amat kerap menjadikan makanan tradisi kaum lain
sebagai menu pilahan mereka pula ialah enam responden.
Berdasarkan Rajah 1 di atas, dapat dilihat nasi lemak menjadi pilihan tertinggi dalam kaji selidik ini. Nasi
lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow pula mencatatkan enam
pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi India tersebut. Hanya tiga
responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang menjadi pilihan dua responden
setiap satu.
Berdasarkan Rajah 2 di bawah, sebanyak 80% responden sangat setuju dengan pendapat kajian yang
menyatakan makanan tradisi kaum mempengaruhi hidup mereka. 15% pula hanya menyatakan yang
mereka bersetuju dengan pendapat sedemikian. Selain itu, hanya 5% sahaja yang tidak bersetuju.
Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada borang kaji selidik yang telah diproses, iaitu
bahagian A dan B. Bahagian A merupakan latar belakang responden seperti jantina, bangsa, tempat
tinggal, umur dan pekerjaan. Bahagian B pula merupakan soalan yang berkaitan dengan kaji selidik.
Soalan ini ditanya untuk mengukuhkan objektif kajian dimana makanan tradisi kaum boleh membentuk
perpaduan bangsa. Selain itu, tujuan lain kajian ini adalah untuk memperkenalkan makanan tradisi kaum
lain kepada masyarakat lain.
Hasil kajian menunjukkan tidak kira latar belakang mereka siapa dan dari mana asal mereka, responden
memberi respon yang baik untuk setiap makanan tradisi kaum lain. Ini menunjukkan bahawa masyarakat
di Melaka ini mempunyai pengetahuan tentang makanan tradisi kaum lain. Selain itu, dalam kehidupan
harian, kita dapat melihat makanan tradisi sesuatu kaum ini bukan hanya boleh dimasak oleh kaum
sendiri sahaja tetapi oleh bangsa lain juga. Sebagai contoh, nasi lemak juga dimasak dan disediakan oleh
orang India dan roti canai juga dibuat oleh orang Melayu dalam perniagaan warung mereka.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, pola pengambilan responden terhadap makanan tradisi kaum
lain amat kerap iaitu di antara tiga hingga lima kali seminggu. Ini memberi respon positif bahawa
masyarakat di Melaka ini boleh menerima makanan tradisi kaum lain. Di samping itu, ramai yang
mengakui yang pengambilan makanan tradisi kaum juga mempengaruhi hidup mereka. Ini bermakna,
apabila mereka menyukai sesuatu makanan tradisi kaum lain, mereka akan berusaha untuk mempejari
atau mengetahui cara penyediaannya.
Hasil daripada kaji selidik yang dijalankan juga, boleh dilihat yang pengambilan makanan tradisi kaum
lain amat mempengaruhi perpaduan antara masyarakat di sini. Hampir semua responden (80%)
bersetuju bahawa perpaduan boleh terbentuk melalui pengambilan makana tradisi kaum lain. Mereka
memberi pandangan bahawa makanan tradisi kaum amatlah penting didalam kehidupan sesuatu kaum.
Selain itu, amalan penyediaan dan memasarkan makanan tradisi ini perlu dikekalak agar ia tidak

dilupakan oleh generasi sekarang dan yang akan datang. Antara pandangan lain pula, makanan tradisi
sememangnya dapat diterima oleh semua golongan masyarakat. Hal ini disebabkan penyediaan
makanan tradisi kaum agak mudah dan ringkas sahaja.
Berdasarkan kajian, nasi lemak menjadi pilihan 13 orang daripada 30 orang responden. Char kuey teow
pula mencatatkan enam pilihan berbanding kari hanya empat responden yang memilih makanan tradisi
India tersebut. Hanya tiga responden memilih yong tau fu diikuti putu mayam dan kuih bahulu yang
menjadi pilihan dua responden setiap satu. Ini menunjukkan bahawa responden tidak memilih makanan
untuk dimakan dan mereka mengenali makanan yang dipilih dengan baik.

5.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhan, dapat dirumuskan bahawa makanan tradisi sesuatu kaum dapat membentuk
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Melaka ini. Masyarakat dapat mengenali dengan lebih
mendalam makanan yang terkenal antara tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India
selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis makanan tersebut di mana makanan tradisi ini
pula mempunyai keunikan yang tersendiri yang mampu menarik kaum lain untuk merasa. Selain itu,
berdasarkan kajian mengenai makanan pelbagai bangsa ini turut menyumbang kepada tahap
pemahaman dan perpaduan kaum di Melaka melalui makanan. Mereka lebih memahami dan mengetahui
pelbagai variasi makanan kaum di Melaka dengan melihat kajian kaji selidik. Kesimpulan yang didapati
dalam kajian ini mencerminkan bahawa tahap perpaduan mengikut makanan setiap kaum masih di tahap
yang memuaskan. Oleh itu, makanan juga dapat memainkan peranan dan semangat perpaduan di
kalangan kaum.
Berdasarkan kajian, menunjukkan bahawa kajian terhadap perpaduan kaum terhadap makanan
membawa kepada perkara positif. Dimana dapat dibuktikan melalui analisis data dan borang kaji selidik.
Oleh itu, pendedahan mengenai makanan-makanan dari pelbagai jenis kaum di Malaysia perlu dikaji dan
diperkemas supaya masyarakat di Malaysia mengetahui tentang makanan dan tidak melupakan
makanan-makanana tradisi masyarakat yang ada di Malaysia. Kerajaan juga perlu memainkan peranan
dengan membuat kempen dan pesta makanan malaysia yang dapat membantu masyarakat lebih
mengenali makanan pelbagai kaum ini. Makanan masyarakat di Malaysia juga bukan sahaja boleh
diperkenal di peringkattempatan malah perlu di luar negara supaya masyarakat membuka mata dan
merasa bangga dengan kepelbagaian makanan yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum.

You might also like