You are on page 1of 24

WACANA

1.0 Pengenalan

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit
tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana
dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa.
Secara umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu
melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan
linguistik dan bukan tentu bahasa.

Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan,
maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi
ciri-ciri wacana yang telah dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi
kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan ialah
wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu melibatkan hubungan
pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang
disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan hubungan antara penulis
dengan pembicara.

Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana.
Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan
semula, untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi
untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana.

Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda
wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan
tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya
penanda wacana dalam bahasa melayu terdiri daripada penanda leksikal,
penanda rujukan, penanda penghubung, penanda penggantian dan penanda
elipsis atau pengguguran.

2.0 Definisi wacana

Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris.
Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran
dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan.
Hubungan secara umum, terutama sebagai suatu subjek kajian atau pokok
bahasan, risalah tulisan, disertasi formal, kuliah, ceramah serta khutbah.

Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 : 1484 bermaksud
ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu
kesatuan.

Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi
komponen yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan
cerita dengan bahasa yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan
maklumat. Dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan
beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki tatabahasa , wacana terletak pada

heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar dalam rajah berikut :

Perkataan -->Frasa --> Klausa--> Ayat --> Wacana

Keseluruhan terbitan atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti
perkataan wacana di atas dapat disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama
dengan perkataan ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan yang
utuh untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu sebelum ini.
Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap . Ia melebihi tingkat ayat. Oleh
kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut:
a. Pendahuluan
b. Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik
(tanda bacaan, cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. Penutup
d. graf, jadual, peta dan statistik.

Wacana boleh ditulis dalam pelbagai bentuk penulisan, iaitu sama ada naratif
(pemerian), deskriptif (pengambaran), eksposisi (pendedahan) atau
penghujahan. Untuk memperoleh gambaran yang lebih jelas, definisi wacana
telah dihurai serta diterangkan oleh beberapa tokoh bahasa di bawah ini,
antaranya ialah :

Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang
melebihi batas ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian,
perenggan, bab, buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku (cerita) dan
sebagainya. Menurut beliau lagi, wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat
yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran
ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem
secara teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat wacana.
Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks
wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang
betul-betul terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan.

Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian
Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit
bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di
dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang
berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang
lengkap.

Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat
menunjukkan secara nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata
penghubung (verbindingswoorden) dan pengguguran (ellips). Kesatuan makna
dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna logik
dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan
merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang
membentuk wacana.


Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang
lebih besar daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-
unit linguistik yang lebih besar daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-
pertukaran percakapan atau teks-teks tertulis. Secara ringkas, yang disebut teks
bagi wacana adalah ayat bagi ujaran.

Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan
bahasa terlengkap; dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa
tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang
utuh seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata
yang membawa amanat yang lengkap.

Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat
yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.

Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang
terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan
koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan
akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau tertulis.

Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana
yang diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya
persamaan dan juga perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang
diperolehi dari ahli-ahli linguistik ataupun penulis.

Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala
tatatingkat tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan
juga tautan (cohesion) dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh
kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di sini adalah diertikan
sebagai kesatuan makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana
iaitu satuan bahasa, terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau
tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau tulisan awal dan juga akhir
yang nyata.

3.0 Konsep wacana

Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa
wocono. Wocono pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa
Inggeris, discourse berasal daripada bahasa Latin discursus yang bermakna
larian ke dan dari. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai maksud
oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu
yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks
digunakan saling bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa
yang lebih besar daripada ayat. Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada
kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik yang setara dengan cabang yang
lain seperti morfologi atau sintaksis.

Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh

seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik


merujuk kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat.
Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai
status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang terdiri daripada
peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook
mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk
perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep
wacana kabur kerana tentang fenomena yang rencam. Namun, wacana menurut
beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan komunikasi dan
interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu peristiwa bahasa
yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.

Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh
sebenar komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk
kepada pola kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana
demikian merujuk kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi
dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et. al (2003:1), wacana mempunyai makna
yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang. Kepada ahli bahasa, wacana
biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat. Malah, definisi
wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang
melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan
linguistik dan bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana
sebagai sama.

Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang
melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang
tertinggi, wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi
peristiwa bahasa. Sebagai kajian, wacana memfokuskan pada unit tertinggi
bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial.

Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses
memecahkan wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria
tertentu dan melihat ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur
bahagian itu, analisis wacana juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut beliau,
analisis wacana sekadar metodologi.

Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis
se-bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan
kuasa sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan
dipertahankan melalui wacana dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis
wacana kritis mengambil pendirian yang jelas untuk memahami ketidaksetaraan
sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.

Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana.
Analisis wacana pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132).
Ada tiga pandangan bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris
yang melihat bahasa sebagai jambatan antara manusia dengan objek di luar
dirinya. Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak melihat makna
subjektif atau nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan

dilihat sebagai kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan
tatabahasa, seperti tautan dan runtutan.

Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang
memisahkan subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam
kegiatan wacana serta hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk
men guasai maksud tertentu dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana
dimaksudkan sebagai suatu analisis untuk membongkar maksud dan makna
tertentu daripada penyataan subjek.

Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif
kepada proses produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan
institusional. Bahasa dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang
berpe-ranan dalam membentuk subjek tertentu, topik wacana tertentu,
mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk
membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa.

Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama
ada makna penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana,
membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek, atau
membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial yang ada dalam setiap proses
bahasa.

Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang
mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas
penggunaan bahasa yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas
sehingga memungkinkan pengguna peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial
dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai
tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).

Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan
pada wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi.
Metodologi analisis wacana sekadar menganalisis yang menurut Johns-tone, B.
(2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara eksplisit, sama ada mental
atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.

4.0 Latar belakang wacana

Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8 dan12-18), wacana sebagai bidang kajian
mempunyai sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban
keagamaan yang mengkaji kitab agama, seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M.
Malah, jika disorot lagi, zaman suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih
awal, seawal Nabi Adam.

Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik
klasik seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam
aliran linguistik awal oleh Aristotle (384-322 S.M.) melalui retorik dan
seterusnya, aliran Stoik oleh Zeno pada 300 S.M.

Retorik klasik mula malap dengan munculnya linguistik sejarah dan


perbandingan pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20 lahir aliran
struktural yang mempengaruhi formalis Rusia dan strukturalis aliran Praha
seperti pada Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan tentang
perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah lahir konsep
struktur tema dan struktur maklumat yang menjadi asas runtutan teks.

Di Great Britain, telah berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan
bahasa dengan sekitarannya melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di
Amerika Syarikat pula terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis
wacana oleh Harris (1952). Beliau menggunakan prosedur formal tentang
penyebaran struktur kelas keserupaan yang melebihi ayat.

Analisis wacana moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya
analisis struktural wacana di Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran
tagmemik yang dipelopori oleh Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran
tatabahasa stratifikasi oleh Lamb. Di Jerman pula, muncul aliran linguistik teks
oleh Hartmann. Dan di Great Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional oleh
Halliday yang seterusnya dikenali dengan linguistik sistemik. Halliday (1962)
dalam artikelnya, Descriptive Linguistics in Literary Studies, dikatakan telah
membuat penyataan awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman
struktur wacana. Ruqaiya Hassan (1964) dalam tesis Ph.Dnya memperkukuh
konsep tautan Halliday tersebut. Pemuka aliran stratifikasi.
Gleason (1968), berpendapat dalam struktur wacana terdapat dua konstituen
semologi, iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada
dalam jalur peserta. Dekad 1960-an ini menandakan perkembangan awal
analisis wacana moden yang lebih bersifat deskriptif dan struktural terhadap
genre wacana popular atau peribumi. Aliran ini bergerak bebas dan
bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa transformasi
generatif.

Analisis wacana pada dekad 1970-an merupakan analisis secara sistematis
dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan
tentangan terhadap tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif.
Antara terbitan yang besar dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976).
Mereka menghasilkan Cohesion in English yang oleh Brown dan Yule (1983:190)
dikatakan paling komprehensif dan piawai dalam bidang tautan. Malah, dalam
Sanat (2002:18) terdapat kesimpulan bahawa daripada 17 buah disertasi Ph.D di
luar negara tentang tautan sehingga 1993, 15 buah daripadanya menggunakan
kerangka sistemik Cohesion in English.

Dekad 1980-an dan awal 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan
berkembang, dan pada waktu yang sama merencam dan mengkhusus. Antara
terbitan yang besar dalam tempoh tersebut ialah Beugrande dan Dressler
(1981), Introduction to Text Linguistics, Longacre (1983), The Grammar of
Discourse, Halliday (1985), An Introduction to Functional Grammar, Martin
(1992), English Text: System and Structure, dan Cook (1994), Discourse.

Jika dilihat perkembangan pada dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21,

didapati analisis wacana memasuki tahap kritis seperti dalam Fairclough


(1995,2001 dan 2003). Malah, beliau telah menghasilkan karya lebih awal
daripada itu seperti Discourse and Social Change pada 1992. Seperti yang
dinyatakan di atas, analisis wacana ini lebih menumpukan pada usaha
membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa kerana bahasa dilihat
sebagai representasi yang memproduksi dan mereproduksi makna

5.0 Latar belakang wacana bahasa Melayu

Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru.
Ada pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan
perintis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik
keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.

Setakat yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah
beliau NYA sebagai penanda anafora. Pada tahun 1978, beliau telah menulis
kertas kerja yang bertajuk Keutuhan Wacana dan diterbitkan sebagai artikel
dalam Jurnal Dewan Bahasa. Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai
salah satu aspek analisis wacana. Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan
aliran tagmemik dan linguistik teks. Demikianlah juga aliran tagmemik
digunakan dalam Ph.D. Aja-miseba (1978).

Kerancakan penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun
1980-an, iaitu sepuluh tahun selepas wacana sebagai satu disiplin rancak di
Eropah dan di Amerika Syarikat. Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel,
disertasi dan buku. Asmah (1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel
dalam Jurnal Dewan Bahasa, yang masing-masing bertajuk Analisis Wacana
dan Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana.
Dalam artikel yang pertama itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis
analisis wacana, iaitu kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan
Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo
(1985).

Selain yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara
serius di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi
latihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga
1994, didapati latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul
mulai tahun 1984. Terdapat 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak
tahun tersebut hinggalah tahun 1989. Penelitian di peringkat sarjana sepanjang
tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan Wong
(1988). Sucipto melihat unsur tautan manakala Wong, kesinambungan topik.

Di peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982),
Farrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus
pada aspek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan
bahasa Melayu dan Inggeris. Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa
Indonesia yang dituturkan oleh orang Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula
meneliti sintaksis wacana yang dalam bahasa Malaysia sedangkan Tallie, dengan
menggunakan pendekatan analisis wacana, cuba mengkaji keterpaduan,

keruntutan, dan keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di


peringkat sekolah dasar.

Penelitian wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian
daripada buku dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks
saintifik, Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa
Indonesia (1988: 334-360).

Dekad awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana
bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991)
menghasilkan tesis Ph.D. dengan tajuk Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu
Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah. Tumpuan beliau pada hubungan
antara susunan ayat yang logikal dengan susunan maklumat. Perhatian juga
diberikan terhadap analisis tetenunan dalam ayat yang berkaitan dengan
hubungan tersebut.

Soeseno (1992) dalam syarahan perdana sempena pengukuhan beliau sebagai
profesor telah memilih tajuk Analisis Wacana dan Penerapannya. Dalam
syarahan itu, beliau secara meluas menyentuh topik-topik seperti analisis
wacana sebagai cabang ilmu bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan
tulisan, konteks situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur,
presuposisi, inferensi, referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan
tentang dunia. Di hujung syarahan beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh
analisis wacana.

Manakala peneliti lain yang menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti
Samsuri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat
(1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail
(1993;1994) dan Zahrah (1995).

Jika ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh
1990 hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan
Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan
Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada
Hasnah (1994), Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu dan Tan (1994),
Tautan dalam Bahasa Melayu. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut menggunakan
kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).

Seperti yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam
penelitian bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab.
Antaranya, wacana sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di
Eropah dan di Amerika Syarikat. Biasanya, kesannya akan memakan waktu
antara 5 hingga 10 tahun untuk sampai ke sini. Pada waktu yang sama, aliran
transformasi generatif yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga
kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh
itu telah terpengaruh dengan aliran tersebut.

Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat sarjana muda di
universiti tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985)

telah membuat tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi


konsep dan aliran, dan didapati hanya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan
Malaysia yang ada menawarkan kursus tersebut.
Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik
tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan
wacana, seperti tranformasi generatif.

Pada awal tahun 1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di
Universitas Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di
peringkat ijazah pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National
University of Singapore. Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian
Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus
Analisis Wacana di peringkat ijazah dasar bagi sesi 1989/90. Di Rancangan
Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kursus tersebut
hanya dapat dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk Tatabahasa Wacana
Bahasa Melayu. Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti
Pertanian Malaysia belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi
1995/

6.0 Ciri ciri wacana

Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan
yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan,
runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks.

Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang
bertajuk Analisis Wacana pula terdapat lapan unsur-unsur penting dalam
wacana iaitu :
I. satuan bahasa
II. terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.

Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat
dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan
koheren (atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain
termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca,
maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks
atau peranan wacanawacana lain yang membantu pendengar atau pembaca
memahaminapa yang didengar atau dibaca.

6.1 Tautan atau kohesi

Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik
dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan

wacana yang mantap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui


hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa
atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan penting kerana
tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang
lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau
esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.

Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah
ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud
kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama
ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan
pengetahuan kohesi yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang
baik.

Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk
menjadikan suatu teks itu berkesatuan
(Halliday dan Hasan:1976)

Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata
organization of language. Language can be explained as a multiple coding system
comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the
lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression).
Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn
(recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put
into wording and wording into sound or writing."

Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu
tautan nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu
kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam
bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan
makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan,
tautan, kepaduan dan sebagainya.

Contohnya:

1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.

2. Mereka ke sana untuk meminjam buku.

Dalam contoh di atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan
mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara
sana merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai
tautan ini dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini
bermakna dan difahami.


6.1.1 Jenis-jenis kohesi
6.1.1.1 Kohesi Leksikal
Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua

cara bagi mencapai aspek kohesi leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi.
i) Reiterasi (Pernyataan Semula)
Reiterasi atau pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan
kata, sinonim, superordinat dan kata-kata umum.

a) Pengulangan Kata
Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition. Kata yang sering kali
diulang ini adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah
kata yang amat penting bagi sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks
ataupun wacana. Kata isi ini boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang
pertama ialah kata itu atau 'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang
tidak boleh ditinggalkan ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di dalam
intipati teks. Manakala cara yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang
maka berkemungkinan teks itu akan terganggu sifat kesatuannya.
Dalam bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi
ataupun sudut morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini,
jika kelas kata yang diulang itu tidak berubah.

b) Sinonim
Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan 'kata
seerti'. Sinonim ini digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi
pengulangan kata yang sama di dalam teks dan juga sinonim ini memberikan
variasi kepada sesuatu teks. Sesetengah kata dikatakan sinonim adalah
disebabkan kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama.

c) Superordinat
Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada
kata yang lebih umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'.
Contoh :
Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam,
harus dibuatkan kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan
penduduk desa membuat kandang ternakan masing-masing.
(Tarigan, H.G. 1995: 146)
Superordinat bagi contoh di atas ialah kata umum yang merujuk 'kambing,
kerbau, biri-biri, ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah
kata khusus yang juga dikenali hiponim.

d) Kata-kata Umum
Kata-kata umum ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya.
Contoh :
Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang,
sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya
(Harun Aminurrashid. 2001:25)

ii) Kolokasi
Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis
b) dari sudut semantik.


a) Dari Sudut Sintaksis
Contoh :
Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni.
Pada zaman Sultan Muhyiddin iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah
Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
(Harun Aminurrashid. 2001:19)

b) Dari Sudut Semantik
Contoh :
Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah
air kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan
darat telah digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor.
Kenderaan ini meliputi kereta, motosikal dan lain-lain.
(Tarigan, H.G. 1995: 136)

6.2 Runtutan atau koheren

Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam
sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu,
runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu
dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

Contohnya:

Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu.
Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun
bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak
dapat diatasi.

Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids,
gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-
ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang
bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut.
Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.

Contohnya:

Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna
kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah
sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut
tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak
difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau
tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah
koheren atau runtutan.

6.3 Tujuan


Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu
mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana
tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu
mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini
akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah
untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya,
tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang
digunakan ialah ayat penyata.

6.4 Penerimaan

Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau
pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap
penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami
sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan.
Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan
tahap penerimaan.

6.5 Maklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu
maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang
telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru
sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui
maklumat itu sebelum ini.

Contohnya:

(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.

(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.

Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan
dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu
kerana baru disebutkan dalam ayat itu.


6.6 Keadaan

Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan,
dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan
Sila masuk, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar
seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam
kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga,
latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat,
dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.

Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat

secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau
tidak formal. Gaya formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih
berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru.
Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan.
Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.

Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika
tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang
terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk
mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya.

Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar
dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap
wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan
maklumat yang terdapat dalam ayat sebelumnya.

Contohnya:

Kelmarin dia tidur sehari suntuk. Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.

Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat,
waktu, keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai
urutan yang berkait rapat. Misalnya:

Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi. ia mendapat pujian daripada
guru besar.

Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama
dalam wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi.
Dalam tatabahasa tradisional, andaian digelar judul dan inferensi disebut ulasan.
Inferensi manambah maklumat kepada andaian dan lazimnya bahagian ini diberi
tekanan suara yang tinggi. Misalnya:

6.7 Interteks

Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain.
Hal ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk
membantu seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau
didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap
sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang
dibaca atau didengarnya itu.


7.0 Jenis-jenis wacana

Umumnya wacana dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan.

Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan, iaitu melibatkan

pembicara dan pendengar. Komunikasi yang terlibat dalam wacana lisan ini ialah
komunikasi interaktif, iaitu komunikasi yang melibatkan hubungan pembicara
dan pendengar secara langsung. Dalam wacana lisan, pembicara biasanya akan
menggunakan ekspresi wajah, intonasi suara, gerak badan dan sebagainya untuk
menyampaikan sesuatu maklumat kepada pendengar. Biasanya dalam wacana
lisan, pembicara akan mendapat respon daripada pendengar pada ketika itu
juga. Antara contoh wacana lisan adalah menerusi perbualan, temu ramah,
ceramah, khutbah, pidato dan siaran televisyen atau radio.

Wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis. Wacana
tulisan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.komunikasi yang
terlibat ialah komunikasi tidak langsung, iaitu komunikasi satu arah. Penulis
tidak berhadapan dengan pembaca sewaktu wacana tersebut dihasilkan. Oleh
itu, penulis tidak mendapat respon secara langsung daripada pembaca. Wacana
tulisan seringkali disunting terlebih dahulu bagi menghasilkan tulisan yang
berkualiti dan tepat. Dalam wacana tulisan, pembaca perlu membaca teks yang
ditulis untuk memahami maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang
pengarang atau penulis.

Antara contoh wacana tulisan ialah tulisan-tulisan yang terdapat di dalam
akhbar, majalah dan buku. Rencana di bawah adalah merupakan salah satu
contoh wacana tulisan.

Contoh wacana tulisan : Rencana

Tajuk : Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing.

Oleh : Siti Aminah bt Kasim

Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan
peluang pekerjaan yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga
buruh yang mencukupi. Fenomena ini menyebabkan negara mengimport tenaga
dari negara jiran. Sebaliknya, kemasukan tenaga buruh asing menimbulkan
pelbagai masalah sosial.

Kedatangan buruh asing secara beramai-ramai yang tidak disaring latar
belakang mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang datang untuk
mencari kesempatan. Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini
datang untuk mencari rezeki terdapat pula mereka yang berniat jahat. Justeru
itu, berlakulah jenayah seperti pencurian, rompakan, dan penipuan. Golongan
jahat ini datang untuk mencari kesenangan dengan cepat. Oleh itu, kejadian
rompakan dan kecurian kerapkali berlaku di mana buruh asing ramai didapati.

Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah pihak untuk lari
dari kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka
melakukan jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu
dengan seteru lama mereka. Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh
pergaduhan dan pembunuhan di kalangan buruh asing terutama sekali yang
datang dari Indonesia dan Filipina.


Selain itu, di kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan
untuk makan gaji tetapi untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka
bekerja tetapi setelah beberapa lama mereka berniaga dengan membuka gerai.
Mereka berniaga tanpa lesen dan kadang-kadang bersaing dengan peniaga
tempatqan. Oleh sebab overhed mereka rendah, mereka berupaya menjual
barang-barang mereka dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan pelbagai
masalah kepada peniaga tempatan. Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak
boleh bersaing meninggalkan tempat perniagaan mereka. Tindakan ini
menambah pula peniaga saing seperti di Chow Kit pada suatu ketika dahulu.

Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba menganut budaya
tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan. Kebanyakan
daripada mereka berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah
mengumpulkan wang dengan banyak mereka balik ke negara asal mereka dan
meninggalkan anak-anak dan isteri mereka. Fenomena ini jika tidak dikawal
sudah pasti menimbulkan masalah sosial dan membebankan negara.

Rancangan jangka pendek untuk mengisi kekosongan di kilang, tapak
pembinaan, ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya membawa masalah
yang berat. Andainya, pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan yang
ketat dan saringan yang teliti perlulah diambil oleh pihak yang berwajib.

(+348 patah perkataan)


8.0 PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi
mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis
ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana
penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara
sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.

Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi
dan koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk
kesatuan. Terdapat banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu. Dalam
bahasa Melayu terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu

8.1 Penanda Leksikal

Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan
atau frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal
melibatkan unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang
terlibat ialah pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan
kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang secara
penuh tanpa melakukan sebarang perubahan. Contohnya seperti:

Ibu amat menyayangi Ahmad.

Kami juga amat menyayanginya.



Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan secara penuh bagi perkataan
menyayangi.

Pengulangan sinonim pula merujuk kepada pengulangan kata yang mempunyai
makna yang hampir sama seperti:

Suatu ketika dahulu wanita itu amat dikaguminya.
Tetapi kini, wanita itu dianggapnya sebagai perempuan murahan.

Perkataan wanita dan perempuan merupakan pengulangan kata yang sinonim
iaitu sama makna.

Pengulangan hiponim pula ialah pengulangan yang melibatkan hubungan antara
makna khusus dan makna yang umum yang mana merangkumi makna yang
khusus. Makna yang umum disebut sebagai superordinat manakala makna
khusus disebut sebagai hiponim. Contohnya ikan merangkumi makna yang
khusus seperti tenggiri, bawal, cencaru, selar dan kembung.

Contohnya:

Malaysia telah mengimport pelbagai jenis kereta dari luar negara. Antaranya
Honda, Nissan, Toyota dan Volvo.

Pengulangan kolokasi melibatkan kehadiran sekumpulan kata yang saling
berkait dengan sesuatu idea, topik, situasi atau konteks. Lazimnya pengulangan
kolokasi melibatkan hubungan leksikal selingkungan seperti perkataan almari,
meja dan kerusi dikatakan sebagai perkataan yang berkolokasi kerana
perkataan-perkataan ini mempunyai lingkungan yang sama iaitu perabot. Selain
itu pula, apabila kita mendengar ungkapan tendangan percuma, kita akan
menggambarkan situasi permainan bola sepak, dengan kata lain tendangan
percuma berkolokasi dengan permainan bola sepak.

Contohnya:

Pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran
air. Oleh itu, banyak ikan dan udang yang mati.

Dalam ayat di atas, ikan dan udang merupakan perkataan yang berkolokasi
kerana mempunyai lingkungan yang sama iaitu hidupan air.

8.2 Penanda rujukan

Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dan ganti nama
tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama,
kedua dan ketiga. Contoh rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut:

Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala Lumpur.

Kami bertolak pada pukul empat petang.



Perkataan kami merupakan kata ganti nama diri bagi aku, Sani dan Udin.

Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang membawa maksud menunjukkan
benda atau perkara. Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada
perkataan ini, itu, sini dan situ. Contohnya:

Di manakah awak tinggal?
Saya tinggal di sana.

8.3 Penanda penghubung

Penanda penghubung berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik seperti
perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda
penghubung terdiri daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan
tempoh.

Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat
tambahan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara
penghubung tambahan dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula,
lebih-lebih lagi, di samping itu dan selanjutnya. Contohnya :

Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran benar-benar
member pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar
Bandar. Malahan dia juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti
Thailand dan juga India untuk menjayakan rancangan dokumentari itu.

Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan
maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya
dalam sesebuah wacana. Antara contoh penanda penghubung tentangan ialah
tetapi, sebaliknya, namun dan walau bagaimanapun.

Contohnya :

Penghuni benua Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan
berambut perang. Sebaliknya, mereka merupakan kaum yang berambut panjang
dan hitam.

Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab
berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab dan oleh
itu.

Contohnya:

Dia kesuntukan masa. Oleh sebab itu, dia perlu menyiapkan tugasannya secepat
mungkin.

Penanda penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan

urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda penghubung tempoh
ialah pertama, kedua, ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.

Contohnya:

Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan.
Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas
itu, kami teruskan pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi
kami berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi.

1. Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di
samping.
2. Urutan
Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu,
akhirnya.
3. Penyataan semula
iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan.
4. Contoh
contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai.
5. Rumusan
rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul
kata
6. Tempat
berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan.
7. Waktu
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan,
lambat-laun, akhirnya.
8. Sebab dan kesan
oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu.
9. Bandingan
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan.
10. Pertentangan
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu,
bertentangan dengan.
11. Pengesahan
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya.

8.4 Penanda penggantian.
Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan
alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata
ganti yang lainnya.
Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan
klausal. Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata
nama tau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian
terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan
penggantian sebahagian daripada ayat. Contohnya :

Saya sengaja tidak mahu menebang pokok durian itu.

Nanti baru saya lakukan.



Dalam contoh di atas, perkataan lakukan menggantikan sebahagian ayat
sebelumnya, iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian seperti ini
merupakan penggantian klausa.

8.5 Elipsis

Elipsis melibatkan pengguguran kata atau frasa yang telah dinyatakan dalam
ayat sebelumnya. Ini beerti pengguguran kata atau frasa melibatkan maklumat
yang telah diketahui oleh pembaca atau pendengar berdasarkan konteksnya.

Contoh 1 :

Pemuda itu kelihatan resah.
Tidak tahu arah mana yang harus ditujunya.

Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua.
Walaupun ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama,
tetapi ayat kedua ini masih difahami.

Contoh 2 :

Ah Meng suka baju berwarna merah.
Adiknya suka baju putih.

Dalam ayat (1) di atas perkataan tidak diulang dalam ayat (2). Walaupun dalam
ayat pertama dan kedua menyatakan unsur yang sama iaitu unsur warna tetapi
kedua-dua ayat tersebut masih boleh difahami.

8.5.1 Jenis elipsis.

Terdapat tiga jenis elipsis , iaitu

a) Pengguguran nomina
Contoh :
A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup "
B: "Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?"
(Leman Ahmad. 1984: 24)

b) Pengguguran verbal
Contoh :
A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?"
B: "ya, pernah ^ "
(Tarigan, H.G. 1995:166)

c) Pengguguran klausa
Contoh :
Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari kerajaan?"

Pelajar: "Ya tentu"


(Tarigan, H.G. 1995:147)

11.0 KESIMPULAN
Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana mempunyai ciri-ciri
yang terdiri daripada tujuh tahap ketekstualan, iaitu tautan, runtutan, tujuan,
penerimaan, maklumat, keadaan dan juga interteks. Selain itu, penanda wacana
pula terdiri daripada lima jenis yang disebut sebagai penanda leksikal, rujukan,
penghubung, penggantian dan juga ellips.

Wacana juga terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana jenis lisan dan wacana
jenis tulisan. Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara
penutur dan juga pendengar. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang
bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke kelas. Manakala wacana tulisan
pula ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan. Sebagai contohnya ialah
surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.

Wacana bukan sekadar diperingkat ayat, malahan meliputi perenggang, bab,
buku dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan
wacana yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan.
Sesebuah wacana yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan
kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar
antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggang dengan satu perenggang,
bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk
memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan wacana yang utuh.

Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada
boleh menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan
menggunakan wacana yang betul melalui percakapan seseorang itu akan
menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh orang lain. Hal ini kerana
seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa
dengan betul ketika bercakap.
POSTED BY MYA AFIFI AT FRIDAY, JULY 03, 2009 0 COMMENTS
KEUTUHAN WACANA
Keutuhan wacana adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia menentukan
apakah sesuatu itu boleh dianggap sebagai wacana atau hanya merupakan
kumpulan ayat yang tidak teratur. Melaluinya juga kita dapat memahami
hubungan bahasa dengan alam di luar bahasa secara lebih mendalam.

Satu aspek penting dalam analisis wacana ialah keutuhan wacana. Dengan
menganalisis keutuhan wacana kita dapat menentukan sama ada sesuatu teks itu
sebuah wacana atau hanya sekumpulan ayat yang tidak teratur. Melalui analisis
keutuhan wacana juga kita dapat pula memahami hubungan bahasa dengan alam
di luar bahasa secara lebih mendalam.

Merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan esei. Dicirikan oleh sifat kohesi dan
koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi esei yang dijalin rapi hingga
menjadi bersepadu. Koheren merujuk kesinambungan ayat-ayat dan merujuk
perenggan-perenggan yang membawa idea-idea tertentu. Keutuhan wacana

bertujuan bagi menentukan sesebuh wacana itu berkualiti atau tidak. Ia dapat
dilihat daripada hubungan bahagian-bahagian dalam wacana daripada segi
semantik, leksikal, gramatik dan fonologi.


9.1 Hubungan Dari Segi Aspek Semantik

Jalinan makna di antara satu ayat dengan ayat lain atau perenggan-perenggan
lain.

a) Hubungan sebab dan akibat:
Dia sangat malas. Dia bodoh.

b) Hubungan sebab dan hasil:
Ali rajin bekerja. Dia kaya.

c) Hubungan sebab dan tujuan:
Hassan berpakaian kemas. Dia mahu memikat Aminah.

d) Hubungan syarat dan hasil:
Kita mesti rajin berusaha. Kerajinan menjamin kejayaan.

e) Hubungan latar dan kesimpulan:
Lagu itu sungguh enak didengar. Sebenarnya M.Nasir yang menciptanya.

f) Hubungan perbandingan:
Hasnah cantik. Kakaknya lebih cantik lagi.

g) Hubungan sampingan:
Saya sudah membuat kerja rumah. Saya letih jadi saya hendak tidur.

h) Hubungan memperkuat isi:
Sungguh cantik gadis itu. Rambut ikal mayang, berlesung pipit dan berhidung
mancung.


9.2 Hubungan Dari Segi Aspek Fonologi

Dilihat daripada segi hentian suara, nada suara dan intonasi suara. Ini dapat
menimbulkan hubungan semantik di antara bahagian wacana. Intonasi suara
berperanan penting sebagai penanda dan pemisah frasa dan pembeza struktur
ayat, contohnya seperti ayat di bawah:

a. Malaysia negara yang aman.
b. Negara yang aman, Malaysia. (ayat penyata)
c. Aman negara Malaysia?. (ayat tanya)


9.3 Hubungan Dari Segi Leksikal


Hubungan wacana berdasarkan pemilihan dan penggunaan perkataan yang
sesuai dengan makna yang ingin disampaikan.

i. Antonim:
Pemuda harapan bangsa. Pemudi tiang negara.

ii. Sinonim
Ali seorang yang rajin. Kegigihannya belajar membolehkan dia melanjutkan
pelajaran ke universiti.

iii. Hiponim:
Dia menanam pokok melur, cempaka, bunga raya dan bunga kertas di halaman
rumahnya. Jadi halaman rumahnya nampak indah dengan pokok-pokok bunga
tersebut.

iv. Himonim:
Bukit yang aku daki sebentar tadi sangat tinggi. Aku bersa sangat letih kerana
mengeluarkan banyak peluh sehingga badanku dipeluhi dengan daki.


9.4 Hubungan Dari Segi Tatabahasa

Wacana berkualiti mesti memperlihat hubungan berdasarkan binaan tatabahasa.
Ini dapat dilihat daripada penggunaan penanda gramatik seperti:

a. Kata hubung: menghubungkan di antara ayat dengan ayat atau perenggan
dengan perenggan yang lain.

i. Berfungsi sebagai penghuraian:
Seterusnya, selain itu, pada sudut yang lain dan sebaliknya.

ii. Berfungsi sebagai pengembangan idea:
Seperti, dan, tetapi, oleh itu, kerana dan dengan.

iii. Berfungsi sebagai penambahan:
Sebelum, selepas, kemudian, berikutnya, pada masa dan ketika itu.

b. Kata rujukan: kata yang boleh menggantikan sesuatu sama ada benda atau
manusia.
i Kata ganti nama:
Saya, dia, mereka, kami, kita, itu, ini dan siapa.

c. Peleburan dan penggantian: untuk mengelakkan pengulangan terhadap
sesuatu maklumat daripada penyataan yang diberikan.
Contoh:

Ali menendang bola dengan laju manakala Hassan menendang dengan perlahan.

You might also like