You are on page 1of 4

Kelas pertama - Rahsia monopoli pelajar wanita

Oleh Rohana Man

SEMUA pelajar Muslim cemerlang yang menerima Anugerah Siswazah Muslim


Cemerlang 2002, baru-baru ini adalah perempuan. Para penerima yang terdiri daripada
lapan pelajar Muslim cemerlang itu ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, mereka
bersyukur kerana bukan sahaja mencipta sejarah peribadi tetapi turut memartabatkan
bangsa dan agama.

Mereka yang semuanya pelajar Melayu menerima ijazah kelas pertama dalam bidang
sains dan teknologi dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2001/2002.

Ikuti rahsia kejayaan pelajar-pelajar kelas pertama ini.

``Kecemerlangan ini adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t. kepada saya.

``Tetapi kita perlu ingat bahawa rezeki tidak datang bergolek. Kita kena berusaha dan
rajin belajar.

``Tidak ada istilah malas dalam diari hidup pelajar dan jangan belajar pada saat akhir.

``Selain itu, jika tak faham topik yang diajar pensyarah, jangan segan untuk bertanya dan
kita juga perlu memberi perhatian penuh kepada pengajaran di kuliah.'' - Haliza Katas,
24, graduan Sarjana Muda Farmasi dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM).

Beliau memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.7 dan akan melanjutkan
pelajaran di University of London, United Kingdom (UK) pada bulan September ini.

Kecemerlangannya itu melayakkannya terus mengikuti program di peringkat ijazah


doktor falsafah (Mphil/PhD).

``Saya berpegang kepada tiga prinsip iaitu usaha, doa dan tawakal.

``Usaha perlu konsisten dan saya lebih suka belajar sikit-sikit tetapi setiap hari.

``Saya juga selalu jumpa pensyarah dan cara belajar biarlah sistematik dan ideal iaitu
selain belajar, kita juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti kolej.

``Ini penting untuk membina personaliti yang sesuai dengan persekitaran masyarakat
apabila tamat pengajian kelak.'' - Zariyantey Abd. Hamid, 23, graduan Sarjana Muda
Sains Bioperubatan dengan Kepujian dari UKM.
Beliau memperoleh PNGK 3.72 dan akan melanjutkan pelajaran ke King's College,
London, UK di peringkat ijazah sarjana dalam bidang terapi gen.

``Saya telah menetapkan satu matlamat apabila berjaya menjejak kaki ke universiti.

``Matlamat itu ialah saya mahu memberi kegembiraan kepada ibu bapa saya dengan cara
menghadiahkan mereka ijazah paling cemerlang.

``Saya juga mahu membuktikan bahawa pelajar Melayu boleh cemerlang setanding
pelajar bukan Melayu.

``Apatah lagi di UM yang kecemerlangan akademik dalam bidang sains lebih menonjol
di kalangan pelajar bukan Melayu.

``Kesedaran itulah yang menyuntik semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-
sungguh dan konsisten mengekalkan kecemerlangan sejak semester pertama.'' - Fazliana
Mansor, 27, graduan Sarjana Muda Sains (Teknologi Bioperubatan) dengan Kepujian dari
Universiti Malaya (UM).

Beliau memperoleh PNGK 3.72 dan kini merupakan seorang pegawai penyelidik di
Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

``Sebagai pelajar, kita kena bijak mengurus masa kerana di kampus, tugas pelajar bukan
setakat mengejar kecemerlangan ilmu tetapi kita juga perlu kena aktif dalam kegiatan
persatuan.

``Yang penting, saya belajar secara konsisten dan tidak pernah belajar pada saat akhir
menjelang peperiksaan. Justeru setiap hari saya akan mengulang kaji topik yang diajar
pensyarah di kelas.

``Jika tidak faham, saya akan cepat-cepat berjumpa pensyarah berkenaan untuk
bertanya,'' katanya - Nor Afzalina Azmee, 22, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik
Industri) dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau memperoleh PNGK 3.78 dan akan menyambung pelajaran ke Universiti Warwick
di UK dalam bidang statistik pada bulan September ini.

``Pengajian di universiti berbeza di sekolah. Selain rajin, cekal dan tabah, kita kena ada
minat terhadap bidang pengajian yang diikuti.

``Saya tidak mempunyai masa yang spesifik iaitu menetapkan setiap hari mesti belajar
tiga atau empat jam. Apa yang saya pegang ialah mempunyai matlamat yang spesifik
terhadap setiap bab.

``Jika saya tetapkan bab ini mesti dihabiskan ulang kajinya dalam minggu ini maka itulah
yang akan saya lakukan.
``Memang sesekali mood untuk belajar tidak ada tetapi saya kuatkan semangat untuk
habiskan juga bab-bab yang telah saya tetapkan itu.

``Mungkin inilah rahsia kejayaan saya selain memahami bab-bab yang disampaikan
pensyarah di bilik kuliah.'' Fazlina Ahmad, 26, graduan Sarjana Muda Perubatan dari
Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau kini merupakan seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Alor Star, Kedah.

``Saya banyak buat latihan dan setiap kali selepas kelas, saya akan ke perpustakaan untuk
mencari dan membaca buku-buku yang ada kaitan dengan topik yang diajar oleh
pensyarah.

``Jika tidak faham, saya akan bertanya dan jika buku yang saya baca itu tidak cukup
maklumat yang saya mahu maka saya akan merujuk kepada beberapa buku lain.

``Saya juga menyediakan nota-nota ringkas untuk digunakan menjelang peperiksaan. Isi
nota ini lebih kepada fakta-fakta penting yang sukar untuk dihafal.'' - Noorlianni Rosli,
24, graduan Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau memperoleh PNGK 3.9 dan kini merupakan Eksekutif Kanan, Jabatan Perbankan
Islam dan Takaful, Bank Negara.

``Saya dapati belajar di universiti lebih mudah berbanding di sekolah.

``Ini kerana markah peperiksaan boleh dikumpul dari awal semester menerusi kerja
kursus.

``Untuk mendapat markah yang tinggi juga tidak sukar kerana kehadiran ke kelas tanpa
rekod ponteng kuliah turut membantu pelajar mengumpul markah yang boleh digunakan
untuk menampung kekurangan markah pada mata pelajaran tertentu.''- Zeratul Izzah
Mohd. Yusoh, 23, graduan Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi
Malaysia (UTM).

Beliau memperoleh PNGK 3.83 dan kini merupakan tutor di Fakulti Teknologi Maklumat
dan Komunikasi di Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).

``Saya kerap mengadakan sesi perbincangan ilmiah dengan rakan sekuliah kerana saya
yakin belajar secara berkumpulan lebih bermanfaat dan baik berbanding belajar
bersendirian.

``Selain dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan, pendapat dan idea daripada beberapa
orang lebih baik daripada pendapat sendiri. Saya juga suka membaca banyak buku dan
tidak hanya bergantung kepada satu buku untuk setiap kursus yang diikutinya di
kampus.''
``Ini lebih baik kerana jika membaca banyak buku maka ia akan membantunya menjawab
soalan dengan lebih yakin.'' - Ainol Azifa Mohd Faik, 27, adalah graduan Sarjana Muda
Sains Bioteknologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau kini sedang mengikuti program ijazah sarjana dalam bidang yang sama di UMS.

You might also like