You are on page 1of 4

Misteri Penyakit Parkinson

by EDITOR on Nov 20, 2010 8:24 pm1 Comment

Oleh : Mazira Mohamad Ghazali


Penyakit Parkinson merupakan salah satu daripada gangguan saraf yang paling kompleks dan mengelirukan. Puncanya masih misteri, tetapi kajian masih diteruskan dengan pelbagai penemuan baru dilaporkan. Penyakit Parkinson pertama kali ditemui pada tahun 1817 oleh James Parkinson, seorang pakar perubatan British yang menerbitkan sebuah rencana yang dipanggil The Shaking Palsy. Dalam rencana ini, beliau menyatakan terdapat empat gejala utama penyakit ini yang kemudianya diberi nama Parkinson bersempena dengan nama beliau. Pada tahun 1960-an, para penyelidik mengenalpasti kerosakan otak merupakan penyebab utama penyakit ini. Ia disebabkan oleh kehilangan sel-sel otak yang berfungsi mengeluarkan sejenis bahan kimia yang dipanggil dopamin yang membantu secara terus aktiviti otot. Penyakit Parkinson adalah satu kumpulan keadaan yang dipanggil gangguan sistem motor. Empat gejala awal adalah seperti berikut: 1. Tremor iaitu menggigil pada tangan, lengan, kaki, rahang dan muka. 2. Rigiditi iaitu kaku ataupun kejang pada anggota dan belakang. 3. Bradikinesia iaitu pergerakan yang perlahan. 4. Postural instabiliti iaitu kemerosotan keseimbangan dan koordinasi badan. Dengan adanya gejala-gejala tersebut, pesakit mungkin susah berjalan, bercakap ataupun melakukan kerjakerja yang mudah. Penyakit ini merupakan penyakit yang kronik di mana ia berlaku bagi jangka masa yang lama, dan progresif iaitu gejalanya bertambah teruk sepanjang masa. Ianya tidak berjangkit kepada ahli keluarga ataupun generasi lain.

Gambar : Dr James Parkinson, pakar perubatan yang menemui Penyakit Parkinson sempena namanya

Penyakit Parkinson berlaku apabila setengah sel saraf ataupun neuron dalam satu kawasan otak yang dipanggil substantia nigra mati ataupun cedera. Pada kebiasaannya, neuron-neuron ini mengeluarkan sejenis bahan kimia otak yang dipanggil dopamin. Dopamin adalah sejenis kimia penghantar (neurotransmitter) yang bertanggungjawab menghantar isyarat antara substantia nigra dan korpus striatum bagi melembut dan memudahkan aktiviti otot. Kehilangan dopamin menyebabkan sel-sel saraf striatum hilang kawalan dan meninggalkan kesan di mana pesakit tidak dapat mengawal pergerakan dalam situasi normal. Kajian menunjukkan, pesakit Parkinson kehilangan 80 peratus ataupun lebih sel-sel pengeluar dopamin di dalamsubstantia nigra. Sebab-sebab sel ini mati ataupun merosot tidak diketahui puncanya. Sesetengah saintis berpendapat bahawa penyakit Parkinson disebabkan oleh racun luaran ataupun dalaman yang merosakkan neuron dopaminergik. Satu faktor persekitaran sama ada pendedahan kepada racun serangga ataupun racun dalam makanan boleh menyebabkan penyakit Parkinson seperti 1-methyl-4-phenyl1,2,3,6-tetrahydropyridine (MPTP). Ia diketahui dapat merangsang gejala-gejala Parkinson pada manusia. Setakat ini, tiada kajian yang dapat membuktikan racun-racun berkenaan boleh menyebabkan penyakit Parkinson. Satu teori baru mendedahkan peranan faktor genetik dalam perkembangan penyakit Parkinson. Di dapati 15 hingga 20 peratus pesakit Parkinson mempunyai saudara mara yang mengalami gejala Parkinson seperti mengeletar (tremor). Kajian yang dijalankan ke atas haiwan ujikaji menunjukkan bahawa MPTP dapat mengganggu fungsi mitokondria di antara sel-sel saraf. Para penyelidik lebih berminat dengan kemungkinan ini di mana kemerosotan di dalam mitokondriaDNA mungkin menjadi penyebab Parkinson. Mitokondria adalah organel penting yang terdapat dalam semua sel haiwan. Ia menukarkan tenaga dalam makanan kepada bahan bakar bagi sel. Teori lain pula mengatakan bahawa penyakit Parkinson dapat berlaku pada bila-bila masa.

Gambar : Muhammad Ali dan Miachael J. Fox antara selebriti terkenal yang mengidap Penyakit Parkinson

Tidak diketahui punca dan tahap umur berlakunya kemerosotan pengeluaran dopamin oleh neuron-neuron. Keadaan ini mempercepatkan lagi berlakunya Parkinson bagi sesetengah individu. Teori ini disokong oleh maklumat di mana kehilangan mekanisme pertahanan antioksidatif berkait dengan peningkatan umur. Kebanyakan para penyelidik mempercayai kombinasi empat mekanisme iaitu kerosakan oksidatif, persekitaran beracun, faktor genetik yang mudah terkena penyakit dan perkara-perkara yang bertentangan dapat mempercepatkan lagi kewujudan penyakit ini. Penyakit Parkinson melibatkan lelaki dan perempuan dalam nisbah yang sama, dari tidak mengenal sempadan sosial, ekonomi ataupun geografi. Sesetengah kajian mendapati orang-orang Afrika-Amerika dan Asia lebih rendah risiko menghidap Parkinson. Parkinson adalah penyakit yang berlaku pada peringkat pertengahan umur, biasanya melebihi 50 tahun dan secara keseluruhannya pada peringkat umur melebihi 60 tahun. Walaubagaimanapun, sesetengah pakar perubatan mengatakan, bahawa ramai kes Parkinson berlaku lebih awal dan 5 hingga 10 peratus daripada pesakit adalah di bawah umur 40 tahun. Gejala awal penyakit Parkinson berlaku secara perlahan-lahan dan tidak ketara. Pesakit berkemungkinan merasa letih dan lesu. Sesetengahnya terasa sedikit getaran ataupun sukar untuk mencapai objek. Mereka juga mendapati bahawa percakapan mereka menjadi terlalu perlahan dan tulisan tangan mereka kelihatan keras seperti cakar ayam. Mereka mungkin lupa perkataan tertentu ataupun tidak dapat menyebutnya, teragak-agak apabila hendak bercakap, merasa tidak selesa ataupun tertekan tanpa alasan. Pada peringkat awal, gejalagejala seperti yang disebutkan tadi berlaku dengan perlahan. Gejala-gejala klasik mungkin muncul selepas jangkamasa yang lama selepas gejala kecil berlaku. Apabila pesakit berkenaan diletakkan dalam suatu posisi bagi jangka masa panjang serta tidak menggerakkan tangan dan kaki secara normal, kelihatan pesakit itu mengalami kekejangan, tidak seimbang serta perlahan pergerakannya. Apabila penyakit menjadi bertambah teruk, getaran serta keadaan menggigil semakin memberi kesan kepada pesakit dalam aktiviti hariannya. Pesakit mungkin tidak dapat memegang peralatan dengan baik ataupun susah membaca. Keadaan menggigil pada pesakit Parkinson menjadi semakin teruk apabila berada dalam keadaan rehat. Sebagai contoh, beberapa saat

selepas tangan direhatkan di atas meja, keadaan menggigil menjadi semakin ketara. Bagi kebanyakan pesakit, keadaan menggigil adalah gejala biasa yang menyebabkan mereka berjumpa doktor. Walaupun bagi seseorang pakar kaji saraf yang berpengalaman, membuat diagnosis yang tepat pada peringkat awal penyakit Parkinson adalah agak sukar. Tiada ujian darah ataupun makmal yang dapat membantu mendiagnosis penyakit ini. Pakar perlu memerhati pesakit itu bagi beberapa lama sehingga tanda kegigilan berlaku dengan jelas dan berterusan. Ia disertai dengan satu ataupun lebih gejala klasik yang lain. Buat masa ini, tiada rawatan khusus bagi penyakit Parkinson, tetapi terdapat pelbagai jenis ubat yang dapat mengurangkan gejala penyakit ini. Kini para penyelidik melihat pula kepada biopenanda (biomarker) ketidaknormalan biologi kimia yang terdapat pada semua pesakit Parkinson . Ia dapat dikenal pasti dengan kaedah penapisan ataupun ujian mudah kimia yang dilakukan kepada individu yang tidak mempunyai sebarang gejala Parkinson. Imbasanpositron emission tomography (PET) dapat memberi maklumat penting terkini berkaitan penyakit Parkinson. Imbasan PET pada otak menghasilkan gambar-gambar perubahan kimia yang berlaku pada otak yang aktif. Melalui penggunaan PET, para saintis dapat mengkaji penerima-penerima dopamin otak (bahagian sel-sel saraf yang bergabung dengan dopamin) bagi mengenalpasti kehilangan aktiviti dopamin yang diikuti ataupun didahului oleh kemerosotan neuron-neuron yang membentuk bahan kimia ini. Maklumat ini dapat membantu saintis memahami dengan lebih baik proses berlakunya penyakit ini dan mungkin berpotensi dalam kemajuan rawatannya. Dalam dekad sebelum ini, kajian menunjukkan harapan baru dalam ujian-ujian klinikal, teknologi dan rawatan ubat-ubatan. Saintis, pakar-pakar dan pesakit menaruh sepenuh harapan ke atas kemajuan pada hari ini yang dapat mempengaruhi rawatan dan pencegahan pada masa hadapan. Kajian penyakit Parkinson tertumpu kepada banyak tempat dalam otak. Sesetengah penyelidik mengkaji fungsi anatomi sistem motor dan bagaimana ia menyelaraskan pergerakan dan kaitannya dengan pusat arahan di dalam otak. Para saintis mengkaji sebab-sebab penyakit Parkinson, di mana mereka terus mengkaji kemungkinan faktorfaktor persekitaran, seperti racun dapat mencetuskan gangguan itu. Kajian-kajian faktor genetik pula mengenalpasti sama ada satu ataupun lebih gen yang cacat mempengaruhi penyakit Parkinson. Walaupun penyakit Parkinson tidak berkaitan secara langsung dengan keturunan, namun bagi sesetengah orang, dari segi genetiknya, mempunyai lebih ataupun kurang peluang menghidap penyakit Parkinson. Para saintis lain pula memperkenalkan sejenis ubat bagi melawan penyakit Parkinson yang mana ia dapat melambat, mencegah ataupun mengembalikan keadaan pesakit kepada keadaan normal.

Catatan : // Rencana ini disumbangkan oleh Pegawai Sains di Jabatan Neurologi USM merangkap Penulis Sains Malaysia

You might also like