You are on page 1of 2

BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA 2 - KEPENTINGAN

KEPENTINGAN MEMBELI BARANGAN TEMPATAN Zaman beralih musim bertukar, kini Malaysia berdiri gah sebaris dengan negara-negara maju selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun. Dasawarsa ini, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali dan telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan mula membuka kawasan perindustrian dalam pelbagai lapangan bagi merancakkan ekonomi negara yang pesat membangun. Situasi ini juga memungkinkan pengeluaran barang buatan Malaysia lebih berkualiti dan setaraf dengan barangan import. Bagi menggapai visi kudsi Wawasan 2020 seperti yang diwara-warakan oleh bekas perdana menteri yang keempat, wajarlah sektor perindustrrian disokong sepenuhnya untuk dinaik taraf bagi memenuhi kehendak pasaran. Oleh itu, kepentingan dalam membeli barangan buatan Malaysia perlu diuar-uarkan dan dipergiat bagi membuka mata rakyat tempatan agar mereka tidak menganaktirikan produk sendiri. Kepentingan dalam membeli barangan buatan Malaysia yang paling dominan ialah dapat mengelakkan pengaliran mata wang negara kita ke luar negara. Mata wang Malaysia tidak akan mengalir keluar jika rakyat Malaysia sendiri mengutamakan dan membeli barangan tempatan dalam memenuhi keperluan harian mereka. Dana utama negara juga akan meningkat sekali gus akan dapat membendung masalah inflasi. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengubah tanggapan negatif yang beranggapan bahawa barangan import lebih baik daripada barangan tempatan. Jelaslah bahawa apabila semua rakyat tempatan memilih dan membeli produk tempatan, kita sebenarnya telah berjaya mengawal mata wang kita daripada mengalir ke luar negara. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan pembelian seseorang. Umum mengetahui bahawa membeli barangan import jauh lebih mahal berbanding membeli barangan tempatan. Ramai yang memberikan persepsi biar papa asal bergaya dan alah membeli menang memakai. Pengguna yang mementingkan jenama sanggup berhabis wang untuk membeli barangan import berjenama dengan memandang sebelah mata sahaja bagi barangan tempatan yang sama. Bagi mereka, harga yang mahal itu setanding dengan kualiti sesuatu produk. Sesungguhnya, barangan tempatan lebih murah malah kualitinya juga setanding dengan barangan import. Sebagai contoh, kereta-kereta nasional yang berkualiti seperti Myvi, Viva kini Inspira. Tuntasnya, pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat Malaysia.

Pembelian barangan buatan Malaysia juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu berdiri di atas kaki sendiri. Hal ini adalah kerana Malaysia telah berjaya menghasilkan enjin kenderaan berkuasa tinggi untuk perlumbaan Formula Satu (F1). Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa Malaysia mampu mengeluarkan produk bertaraf dunia sejajar dengan wawasan negara. Kalau bukan rakyat Malaysia yang menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Tepuk dada, tanya selera. Dalam hal ini, bagi menunjukkan semangat patriotik rakyat Malaysia haruslah menjayakan kempen Belilah Barangan Malaysia dalam merealisasikan aspirasi negara menjelang 2020 nanti. Berbangga dengan barangan Malaysia sebenarnya dapat membantu anak bangsa kita sendiri. Cuba kita bayangkan jika rakyat Malaysia mengagung-agungkan produk asing? Apakah yang akan terjadi kepada pengusaha tempatan? Sudahlah kita tidak membantu anak bangsa sendiri malah kita mencurahkan pasir ke periuk nasi mereka. Oleh itu, insaflah anak watan yang begitu memandang tinggi terhadap barangan import sehingga memperlekehkan barangan tempatan. Sedarlah bahawa barangan tempatan pun sama hebatnya dengan barangan import. Jadi, belilah barangan tempatan kerana secara implisitnya dapat membantu anak bangsa sendiri. Sebagai intihanya, mengutamakan barangan tempatan banyak mendatangkan kepentingan kepada rakyat tempatan. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan bermaruah, mereka hendaklah mengikis sikap ego agar negara kita tidak runtuh. Rakyat Malaysia perlulah menyokong kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia demi kebaikan rakyat dan negara. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, menggemblengkan usaha dalam menjayakan kempen ini kerana Bersatu teguh, Bercerai Roboh. Tanpa komitmen dan sokongan daripada rakyat Malaysia, sudah tentu sukar untuk mengangkat martabat produk tempatan apatah lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

You might also like