You are on page 1of 3

USAHA-USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI KRAF TANGAN

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, pepatah Melayu ini merupakan
gambaran tepat yang dapat merumuskan mengenai stigma masyarakat Malaysia seolah-olah
memandang sepi produk kraf tangan buatan tempatan. mentaliti masyarakat Malaysia yang lebih
mendewa-dewakan produk kraf tangan moden dan berjenama antarabangsa, dilihat ancaman
terbesar bagi industri kraftangan tempatan. Rentetan kelesuan permintaan dalam pasaran
tempatan ini, telah menyumbang kepada kesuraman industri kraf tangan negara yang boleh
diibaratkan seperti hidup segan mati tak mahu. Sorotan daripada kesuraman iklim ekonomi
dunia yang kian meruncing dewasa ini, industri kraf tangan negara bergelut untuk terus bernafas.
memburukkan lagi keadaan dikala industri kraftangan negara dilihat terumbang-ambing untuk
kekal bertahan. Kerajaan seakan-akan terlepas pandang akan potensi industri ni. Apa yang lebih
membimbangkan ialah pengusaha kraf tangan tempatan bukan sahaja terdesak untuk mencari
peluang perniagaan malah terpaksa berdepan masalah permintaan domestik yang kurang
memberangsangkan. Senario ini jelas sekali mengecewakan banyak pihak. Oleh yang demikian,
pelbagai pihak perlulah mencari formula atau mekanisme berkesan untuk memajukan industri
kraf tangan di Malaysia.

Dalam usaha memajukan industri kraftangan di Malaysia, kerajaan melalui agensinya telah
berusaha untuk mempromosikan industri kraf tangan di peringkat antarabangsa. Pihak kerajaan
perlu melakukan pelbagai inisiatif termasuk promosi yang diadakan melalui kempen-kempen,
pakej-pakej pelancongan dan percutian di Malaysia. Dengan majunya industri pelancongan,
secara tidak langsung perusahaan kraf tangan akan semakin menggalakkan kerana di mana ada
gula di situ ada semut. Selain itu, pihak kerajaan boleh memberi peluang kepada pengusaha
industri kraf tangan untuk mengkomersialkan hasil keluaran mereka. Pihak kerajaan juga boleh
memberi pinjaman kewangan kepada mereka yang mengusahakan industri kraf tangan. Industri
kraf tangan membuka banyak peluang pekerjaan apabila permintaan hasil kraf tangan meningkat
seperti batik memerlukan pengeluaran yang banyak. Dengan itu, pihak kerajaan dapat membantu
meningkatkan industri kraf tangan untuk terus berkembang maju.

Selain itu,peranan media massa amat penting dalam usaha kita mengekalkan industri kraf tangan
ini. Media massa bertanggungjawab mempromosikan industri kraf tangan kepada seluruh warga
Malaysia. Sejajar dengan kepesatan arus pemodenan, peranan media massa dalam usaha
mengekalkan indusrti kraf tangan amat penting sekali. Media massa seperti media elektronik
amat sesuai dengan pemikiran generasi muda sekarang, maka media ini memegang amanah
mempromosikan dan menyebarkan maklumat tentang keunikan barangan kraf tangan. Contohnya
rancangan yang dipaparkan di TV1 iaitu kesenian kraf tangan Malaysia menunjukkan
penghasilan kraf tangan dari segi pembuatan, penyediaan dan pelbagai lagi proses perusahaan
membuat barangan kraf tangan. Selain itu, wartawan rancangan Majalah 3 juga tidak ketinggalan
melaporkan kepelbagaian seni kraf tangan seperti seni anyaman, seni ukir kayu, seni sulaman,
hasil kraf tembikar dan perusahaan membuat barangan logam. Oleh itu, peranan media massa
menerusi promosi hasil kraf tangan sememangnya tepat kerana kewujudan media elektronik
sebagai medium untuk mempromosikan kraf tangan adalah selari dengan gaya hidup moden
generasi muda pada alaf baru ini. Lagipun, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai televisyen
di rumah masing-masing.
Di samping itu, sekolah juga merupakan salah satu organisasi bagi memajukan industri kraf
tangan. Pihak sekolah haruslah mendedahkan kepada para pelajar dengan lebih mendalam lagi
tentang kesenian kraf tangan supaya industri kraf tangan tidak ditelan zaman. Sebagai contoh
pihak sekolah menganjurkan pameran dan mengadakan pertandingan hasil kraf tangan, secara
tidak langsung pelajar akan terdedah dengan industri kraf tangan. Hal ini kerana pelajar masa ini
lebih cenderung memilih barangan moden dan berjenama. Pihak sekolah juga haruslah
menubuhkan kelab warisan yang lebih menerapkan kesenian kraf tangan. Dengan adanya kelab-
kelab sebegini industri kraf tangan tidak lenyap ditelan zaman. Secara tidak langsung, pelajar
dapat menonjolkan bakat yang terpendam dan kreativiti mereka untuk menghasilkan kraf tangan
mengikut imaginasi serta acuan mereka sendiri akan terlaksana.

Seterusnya, perihal masyarakat dewasa ini, suka akan barang yang mempunyai reka bentuk
moden. Hal ini menyebabkan barangan tradisional khususnya barangan daripada hasil kraf
tangan di Malaysia semakin dipandang lesu oleh segenap lapisan masyarakat. masyarakat
seharusnya mengetepikan persepsi negatif terhadap hasil kraftangan yang dihasilkan oleh
pengusaha tempatan. Masyarakat itu sendiri perlulah memberikan sambutan yang menggalakkan
terhadap industri kraf tangan dengan cara membeli barangan tradisional seperti bakul anyaman,
wau, hasil ukiran tangan dan hasil sulaman. Dengan cara ini akan menaikkan lagi taraf industri
kraftangan di negara kira. Masyarakat haruslah melibatkan diri dalam industri kraf tangan itu
sendiri dengan cara mengadakan atau menubuhkan kelas serta kelab yang melibatkan industri
kraf tangan di Malaysia. Justeru, jelaslah bahawa komitmen di kalangan pelbagai lapisan
masyarakat diperlukan dalam usaha memartabatkan lagi industri kraf tangan di negara kita.

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Jelas menunjukkan bahawa untuk
mendapatkan sesuatu yang membuahkan hasil , seseorang itu haruslah mencari inisiatif bagi
memberi nafas baru terhadap usaha mereka. Dalam nada pendekatan lain ini juga, sebenarnya
seseorang individu dapat mendimensikan industri kraf tangan mengikut acuan dan dinamik
mereka sendiri. Hal ini , secara tidak langsung dapat mengangkat martabat industri kraf tangan
negara ke satu tahap yang lebih membanggakan. Dalam hal ini, pengusaha kraf tangan perlulah
memvariasikan corak, nilai estetika dan keaslian produk kraf tangan yang dihasilkan bagi
menjana pertumbuhan industri kraf tangan negara. Selaras itu, usaha bersepadu ini dilihat
sebagai formula yang dinamik ke arah meningkatkan daya saing produk tempatan yang dinamik
ke arah meningkatkan daya saing produk tempatan khasnya di peringkat antarabangsa. Selain itu,
pengusaha kraf tangan haruslah bijak mencari peluang dan platform dalam usaha
mempromosikan atau mengkomersialkan produk mereka di peringkat domestik mahupun global.
Sekiranya pengusaha kraftangan mengaplikasikan pendekatan global dalam mencari peluang
perniagaan, maka tidak hairanlah saru hari nanti produk kraf tangan negara mampu duduk
sebaris dengan produk kraftangan antarabangsa, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi. Tuntasnya pengusaha karaf tangan haruslah lebih berinisiatif dan kreatif dalam
memanipulasikan teknologi ICT agar industri kraftangan dapat bersaing secara kompetitif di
peringkat global.

Konklusinya, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi memartabatkan lagi industri
kraf tangan di Malaysia. Semua pihak tidak harus memandang sebelah mata terhadap industri
kraf tangan ini dan lebih malang lagi terdapat segelintir masyarakat yang menganggap industri
kraf tangan seperti hidup segan mati tak mahu. Oleh itu , marilah sama-sama kita berganding
bahu menyedarkan masyarakat yang dibuai mimpi dalam arus pemodenan dunia pada hari ini.
Jelaslah bahawa kraf tangan merupakan inisiatif bagi menyelamatkan ekonomi negara dan sekali
gus akan tercapai hasrat Malaysia yang ingin menjadikan negara maju menjelang wawasan 2020.
Sekiranya terdapat kerjasama daripada semua pihak, kesenian kraf tangan yang diwarisi daripada
nenek moyang kita ini pasti tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa biar mati
anak jangan mati adat seharusnya dijadikan prinsip hidup masyarakat agar dapat menjayakan
usaha yang suci murni ini bagi mengekalkan industri kraf tangan yang kita warisi turun temurun.

You might also like