You are on page 1of 25

USAHA- USAHA

MEMPOPULARKAN PUISI
TRADISIONAL DALAM KALANGAN
MASYARAKAT
Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas
hujan, kini Malaysia sedang bergerak seiring dengan arus globalisasi
yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan perubahan besar
dalam masyarakat. Rentetan dengan perkembangan tersebut,
masyarakat hari ini lebih terdedah kepada alam siber sehingga
memberikan kesan kepada komunikasi serta cara berinteraksi dalam
masyarakat. Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan
pelbagai puisi tradisional yang merupakan warisan pusaka
masyarakat silam. Sebagi contoh, amalan berpantun mula dianggap
remeh, dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus perdana
kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur,
semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik lagi efektif
bagi mempopularkan puisi tradisional bersesuaian dengan kata
peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan puisi tradisional patut
diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan genre
tersebut tidak terkubur begitu sahaja.
Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan
memperkenalkan dan mempopularkan puisi tradisional kepada
generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian
kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan puisi
tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka boleh
membelikan anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai
hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana
cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa
boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun melalui
program tertentu seperti Hari Keluarga bagi menghidupkan lagi
budaya berpantun dalam kehidupan harian. Inisiatif ini dapat
memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil
bahagian untuk cuba mencipta pantun atau melafazkan pantun.
Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan
mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi
hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa
sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran


Malaysia yang memasukkan puisi tradisional dalam Komsas Bahasa
Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu, pihak sekolah
hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi
penekanan kepada pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan
kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang
cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta
berseloka. Setelah mengetahui secara mendalam tentang pelbagai
puisi tradisional, pelajar akan lebih rasa berminat untuk
mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal
terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar
tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai
masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam
pelbagai puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre
tersebut di Malaysia daripada membiarkan seni budaya kita terus
pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata
peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah
amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu
dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping
mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi


tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk
mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu
dijalankan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak
media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk
memperkenalkan puisi tradisional di negara kita. Selain
memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi
tradisional, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang
ramai akan kepentingan memelihara puisi tradisional kepada
masyarakat. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen
tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair,
gurindam dan seloka. Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut
boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata
peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan
kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti
puisi tradisional semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui


ASEAN merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi
mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana terdapat
banyak persamaan budaya dalam kalangan penduduk negara ASEAN
seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh
dikongsi bersama. Apabila program tersebut dilaksanakan maka
pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang
datang ke Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang
puisi tradisional. Apabila mereka pulang ke negara mereka
kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli
keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama
Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia
boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih memiliki pelbagai
puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini
penting agar puisi tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata
peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang
sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan
menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis
puisi tradisional yang penuh keunikan. Diharapkan langkah ini akan
membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan
acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia.
Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi
platform dalam usaha kerajaan mempopularkan puisi tradisional
kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan


merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan puisi
tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan
tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar
pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini
demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir
masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu.
Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan
kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti
Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan
puisi tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah
ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik
ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian
Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka
yang menawarkan Piala Sirih Pulang ke Gagang dapat mencungkil
bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan
pantun.Terbukti di sini, penganjuran pertandingan sebegini berjaya
memperkenalkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat sekali
gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam
dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan


khazanah budaya mereka termasuk puisi tradisional lenyap ditelan
zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang begitu
tinggi nilainya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah ke
arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya
menjadi seperti kacang lupakan kulit yang mengabaikan peninggalan
warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap
teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana
generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang
mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu, setiap
anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan
mempunyai semangat habis kapak berganti beliung untuk
merealisasikan impian tersebut
USAHA- USAHA
MEMPOPULARKAN PERMAINAN
TRADISIONAL
Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan,
Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi
yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat
dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah
kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan
permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu
lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta
mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai
individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa
kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku?
Mahukah kita membiarkan anak watan berterusan meminggirkan
budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua
pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan
martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata
peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang
berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut
diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status
permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan


memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada
generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian
kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan
tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan
memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh
membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah
sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian
cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh
menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari
Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau
bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan
peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk
mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan
layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha
tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu
permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim
sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum
air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia


mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada
kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada itu, pihak
sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang
bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau
persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar
boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui
syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah
mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan
berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut.
Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana
mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka
bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan
pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat
mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan
lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal
maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-
puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif
mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan
sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan


tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk
mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini
perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak
dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media
massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk
memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau,
gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan
cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang
ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan
negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut,
seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukius poster dan
lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh
menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata
peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan
kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti
permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada
generasi baru.
Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang
boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila
program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang
datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan
tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak,
mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang
pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung
membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa
dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih
mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi
pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat
untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong
asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti
seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat
penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan
membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan
acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia.
Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara dan peranan agensi
pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan
mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan


merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan
permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui
pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian
akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara
mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir
masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu.
Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan
kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti
Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan
tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah
penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang ,
Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan
korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang
tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang
dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini,
penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan
permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri
pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah


budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka
bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia yang tidak ternilai
harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta
bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun
2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit
yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan warisan
nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh
memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi
terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin
menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini
bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan
menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk
merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi
Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


Teruja kenari di tepi pulasan,
Pegun nak dara gemersik suara:
Remaja kini tinggi wawasan,
Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan


tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis
yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang.
Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi
yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan
lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi
negara.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri


remaja berwawasan yang diperlukan di negara Malaysia. Remaja
berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi.
Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah
mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan
amalan bersopan santun ketika bertutur,berjalan, makan dan minum
serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang
lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah
dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka.
Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-
rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata peribahasa,
berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak
pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan
bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah
bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja
berwawasan.

Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang


berwawasan mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi. Cogan
kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui
pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa
menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa
remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan
adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan
duri yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja
berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya
dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari
peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging.
Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan,
remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat
melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi
negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja


berwawasan seterusnya ialah seseorang yang gigih berusaha dan
berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang
bergolek, yang pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di
dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha
untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap
pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya
mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu
kejayaan, bak kata Adelucia Longbotton, satu pintu akan tertutup,
pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat
dan menyesali pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa
untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga
tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana
hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian
jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.

Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada


kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima
tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam
semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah
berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya
semula. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah
tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja
berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk
penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan
sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan
budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita
amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi
merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh
negara.

Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh


setiap remaja kerana ia merupakan aspek-aspek yang sememangnya
sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira
kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan
ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara
maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi
seperti angan-angan Mat Jenin.

PERANAN KELUARGA DALAM


MENGATASI MASALAH
PERLUMBAAN HARAM DALAM
KALANGAN REMAJA/MAT REMPIT
Mat Rempit merupakan mereka yang terlibat dalam perlumbaan
haram di jalan-jalan raya dengan menunggang motosikal. Kebanyakan
mereka berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sesetengah daripada
mereka masih berada di alam persekolahan. Mereka gemar
menunggang motosikal secara sendirian dan ada juga
yang melakukannya secara berkumpulan. Terdapat sesetengah
daripada mereka yang tidak memiliki lesen memandu. Mereka
menjadikan jalan raya sebagai gelanggang tempat berlumba
motosikal. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini sangat
membahayakan pengguna-pengguna jalan raya. Oleh itu, keluarga
memainkan peranan yang sangat penting dalam mengatasi masalah
perlumbaan haram ini.
Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan memberikan
didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana semua agama
seperti Islam, Buddha, Keristian dan Hindu meminta penganutnya
sentiasa melakukan kebaikan. Menurut ajaran Islam, setiap perbuatan
yang baik itu akan dibalas dengan kebaikan, iaitu diberikan pahala,
manakala perbuatan yang jahat pula akan dibalas dengan kejahatan
juga, iaitu dosa. Dengan ajaran yang demikian, anak-anak remaja
tidak akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajak
mereka melibatkan diri dengan perlumbaan haram. Natijahnya, ajaran
agama merupakan senjata yang paling ampuh untuk mengatasi
masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-


anak mereka. Antara lain, ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil
tahu tentang rakan anak-anak dan tempat mereka berada. Anak-anak
tidak seharusnya diberikan keizinan untuk keluar rumah tanpa
sebarang tujuan. Hal ini demikian kerana mereka selalu berlumba
haram pada malam minggu atau cuti umum. Jika ibu bapa
membiarkan anak-anak keluar rumah sesuka hati, mereka boleh
terlibat dengan perlumbaan haram. Oleh itu, ibu bapa hendaklah
sentiasa mengetahui tempat anak-anak mereka pergi dan kawan-
kawan mereka. Lebih jauh lagi, ibu bapa juga hendaklah mengenali
rakan anak-anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga tidak sewajarnya membenarkan anak-


anak di bawah umur menunggung motosikal. Demikian juga halnya
dengan anak-anak yang tidak memiliki lesen memandu, mereka
hendaklah dilarang sama sekali untuk menunggang motosikal.
Perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya
ditahan atau ditangkap oleh pihak polis atau pegawai Jabatan
Pengangkutan Jalan, mereka boleh didenda. Sekiranya mereka terlibat
dalam kemalangan jalan raya, kejadian tersebut akan mendatangkan
kesusahan kepada mereka, termasuk juga pihak ibu bapa. Masalah
yang dialami oleh ibu bapa akan bertimpa-timpa, bagai sudah jatuh
ditimpa tangga.

Setiap ahli keluarga hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama


lain. Perasaan dan nilai kasih sayang boleh mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Perasaan tersebut boleh menyebabkan setiap ahli
keluarga merasakan diri masing-masing amat dihargai. Perkara yang
lebih penting lagi ialah kasih sayang tersebut dapat mengelakkan
anak-anak remaja daripada terlibat dengan perlumbaan haram.
Dengan hal yang demikian, anak-anak akan berasa disayangi dan
tidak dibenci oleh ahli keluarga masing-masing. Mereka akan berasa
bahagia kerana keluarga memberikan kasih sayang yang tidak
berbelah bahagi, bertepatan dengan kata peribahasa bagai menatang
minyak yang penuh.

Dari sudut yang lain pula, abang dan kakak mestilah membantu
mengawasi tingkah laku adik-adik mereka. Abang dan kakak perlu
menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa. Jika ada perkara yang
negatif berlaku pada adik-beradik, abang dan kakak hendaklah
mengambil tahu dan menasihati mereka. Abang dan kakak juga tidak
sewajarnya merahsiakan perkara yang negatif tersebut daripada
pengetahuan ibu bapa. Dalam hal ini, mereka hendaklah berkongsi
masalah dengan ibu bapa, termasuklah penglibatan adik-adik mereka
dengan masalah perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian,
masalah perlumbaan motosikal haram dalam kalangan remaja dapat
diatasi.

Kesimpulannya, peranan keluarga sangat penting dalam mengatasi


masalah perlumbaan haram dalam kalangan anak-anak muda. Anak-
anak hendaklah mendengar nasihat ibu bapa supaya mereka tidak
terlibat dengan perlumbaan haram. Orang yang berlumba haram,
banyak yang cedera parah dan meninggal dunia. Oleh itu, kita
hendaklah bertindak mengatasi masalah ini, seperti yang terungkap
dalam peribahasa cegah sebelum parah.

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK


BUDAYA ILMU DALAM DIRI ANAK-
ANAK
Budaya ilmu sangat penting kepada masyarakat di negara kita. Hal ini
kerana budaya ilmu dapat memberi sumbangan kepada semua pihak.
Sebagai contoh, budaya ilmu dapat menjadikan seseorang yang bijak
dan dapat memajukan negara. Sekiranya budaya ilmu itu tidak
diamalkan,masyarakat tidak dapat melahirkan seorang pemimpin.
Oleh itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak agar mengamalkan
budaya ilmu.

Peranan yang pertama ialah ibu bapa hendaklah menjadi contoh


kepada anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak akan menjadikan ibu
bapa sebagai idola. Sekiranya ibu bapa membaca buku bersama-sama
anak-anak, mereka dapat meminati budaya ilmu.Oleh itu, ibu bapa
haruslah menjadi idola kepada anak-anak.

Peranan yang kedua ialah ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak


untuk menyertai lawatan sambil belajar.Hal ini kerana, ilmu yang
diperoleh melalui pemerhatian dan pengalaman akan diingati sampai
bila-bila. Selain itu, mereka akan mendapat pengalaman. Contohnya,
dengan mengikuti lawatan ke universiti, mereka akan dapat
pengetahuan dan menghilangkan tekanan sewaktu belajar.sekiranya
mereka tidak mengikuti lawatan ini, mereka dapat ilmu dan
pengalaman. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk
mengikuti lawatan sambil belajar.

Peranan yang ketiga ialah ibu bapa haruslah mengajar dan membantu
anak-anak untuk menjawab latihan kerja sekolah dan untuk selesaikan
masalah. Hal ini kerana, ibu bapa lebih mengetahui dan mempunyai
banyak ilmu.selain itu, keputusan peperiksaan anak-anak dapat
dibaiki. Contohnya, ibu bapa hendaklah membantu anak-anak ketika
mereka membuat kerja rumah. Sekiranya ibu bapa tidak menolong,
anak-anak akan terbiar dan tidak dapat menyiapkan kerja rumah
yang diberikan. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengajar dan membantu
anak-anak dalam menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik


anak-anak agar mereka suka akan budaya ilmu. Bak kata peribahasa
kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.Oleh itu, ibu
bapa haruslah mendidik anak-anak dengan budaya ilmu supaya
mereka cemerlang, gemilang dan terbilang.
KEPENTINGAN SEMANGAT
KEJIRANAN KEPADA
MASYARAKAT
Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak
watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat
peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan
dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di
kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling
berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun
terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada
pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin
terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan
usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali
hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu
penting dalam kehidupan bermasyarakat.

41

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam


kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini
boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam
pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal.
Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan
perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan
semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka
akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa
membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini
menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat
membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat
seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk


semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu
padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan
bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah,
negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan
selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua
anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat
yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan
sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka
agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati.
Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan
negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara


kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program
pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat.
SloganNegara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat
hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan
pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar
tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam
suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang
disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat
dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya,
kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan
infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang
ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat
komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang
ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat
tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota
masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai
kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah


tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat
berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni
maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan
merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu
melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati
diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan,
pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang,
mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara
ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin
Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat
Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo
mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh
kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat
Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara
yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

43

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia


yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan.
Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak
disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai
pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam
komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak
membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim
perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari
Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta
tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di
negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut .
Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program
Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat
menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya
. Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang
begitu memberangsangkan kepada negara.
Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan
dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara
kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di
seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting
dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara
kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan
Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan
datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan
modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara
tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

You might also like