You are on page 1of 2

Era pasca perindustrian dan pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah

menyebabkan permainan tradisional semakin dilupakan dek ditelan zaman. Masyarakat


Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa telah mewujudkan pelbagai
budaya yang wajar untuk dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang. Permainan
tradisional merupakan salah satu budaya yang membentuk sebahagian daripada kehidupan yang
dilalui oleh nenek moyang kita. Mereka mengisi waktu lapang dengan bermain permainan
tradisional seperti guli, congkak, wau, selambut, sepak raga dan gasing bersama-sama dengan
jiran tetangga mereka. Aktiviti hiburan yang dimainkan bersama-sama telah mewujudkan
perpaduan dan suasana yang harmoni dalam kehidupan masyarakat pada waktu dahulu. Apakah
langkah-langlah yang boleh dilaksanakan untuk mempopularkan kembali permainan tradisional
pada hari ini?

Langkah pertama dan yang paling utama adalah memperkenalkan permainan tradisional kepada
kanak-kanak atau golongan muda. Usaha ini merupakan peranan ibu, bapa dan ahli keluarga
dalam memberikan tauladan kepada generasi yang baru setahun jagung bahawa bermain
permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau bapa boleh menghadiahkan anak-anak
permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir. Selain itu, golongan muda hari ini perlu dibawa
ke muzium atau pameran permainan tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan
yang dimiliki oleh masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Oleh itu, setiap di antara kita perlu sedar bahawa kita adalah ejen penyampai
sesuatu perkara kepada orang sekeliling kita khusunya ahli keluarga dalam usaha untuk
mempopularkan semula permainan tradisional masyarakat Malaysia. Isi 2

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional adalah dengan


memperkasa pertandingan permainan tradisional di setiap peringkat. Selain di rumah, sekolah
juga boleh memainkan peranan dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar.
Tamsilnya, sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum di mana permainan tradisional perlu
diberikan perhatian oleh guru-guru. Sebuah kelab permainan tradisional boleh diwujudkan bagi
mengesan pelajar yang mempunyai bakat terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai
contoh, permainan sepak raga yang memerlukan teknik yang baik oleh pemain bagi memenangi
satu pertandingan. Justeru, pihak sekolah seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk
memupuk pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang wujud dan boleh dimainkan
oleh mereka di waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen seperti Minggu Permainan
Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri mampu menjadi permulaan kepada
usaha menaikkan semula kemasyhuran permainan tradisional seperti waktu dahulu.

Di samping itu, inisiatif yang wajar untuk dilaksanakan adalah dengan memberikan dana secara
konsisten kepada penggiat permainan tradisonal di seluruh negara. Perkara ini sedikit sebanyak
bersangkut paut dengan autonomi yang dikawal oleh pihak berkuasa dimana kematangan dan
kestabilan politik adalah penting dalam mengekalkan warisan dan tradisi sesuatu bangsa.
Permainan tradisional masih lagi dimainkan oleh sekumpulan kecil masyarakat yang duduk di
kampung atau desa. Maka, pihak berkuasa sewajarnya membantu penggiat yang meneruskan
tradisi nenek moyang kita ini untuk kekal relevan dan diperhatikan oleh seluruh masyarakat
dalam negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan membawa penggiat
permainan tradisonal ini ke sekolah-sekolah atau institusi yang melibatkan masyarakat secara
amnya. Dengan cara ini, mereka dapat memperkenalkan permainan tradisional mereka dengan
lebih berkesan. Contohnya, pemain gasing boleh menunjukkan jenis-jenis gasing yang ada dan
menunjukkan demo atau cara untuk melawan gasing dengan rakan-rakan. Tambahan pula,
peggiat permainan tradisional ini boleh menjual secara terus kepada mereka yang berminat
untuk membeli dan bermain di halaman rumah masing-masing. Intihannya, pemberian
sokongan yang konsisten kepada penggiat permainan tradisional dapat membantu mereka untuk
kekal relevan dan menjadi popular.

Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula permainan tradisional
yang kian dilupakan. Stesen televisyen, media cetak dan media elektronik merupakan medium
penyampai yang utama kepada masyarakat hari ini. Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah
dengan memperbanyakkan dokumentasi tentang permainan tradisional. Mungkin generasi muda
dewasa ini menjumpai congkak atau batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi
tidak tahu bagaimana untuk bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang
mudah dan ringkas bagi mereka untuk mempelajari dan mengetahui tentang cara permainan
congkak ataupun batu seremban yang mereka jumpai. Selain itu, penggiat seni juga wajar
melazimi permainan tradisional dalam segala bentuk seni yang mereka ketengahkan. Misalnya,
produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kita boleh
menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka. Permainan sepeti gasing
boleh menjadi senjata dan rekabentuk wau sebagai kapal terbang. Kesannya, kanak-kanak akan
mempersoalkan dan berfikir akan apakah elemen menarik dalam animasi fiksyen kegemaran
mereka.

Secara tuntas, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula permainan
tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional adalah salah satu warisan
dan budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diraikan agar tidak tenggelam akibat kemodenan
serta kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang dihuraikan di atas, setiap pihak perlu
memainkan peranan masing-masing dalam usaha yang ingin dilaksanakan. Kita tidak
seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan
mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan
melakukan sesuatu bagi memastikan generasi akan datang mengetahui dan memelihara
keunikan budaya dan warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.

You might also like