You are on page 1of 5

Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan jolokan negara berbilang kaum.

Kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina, India dan etnik lain melengkapkan sifat rakyat Malaysia
itu sendiri. Setiap kaum mempunyai kebudayaan dan adat tersendiri termasuk juga masyarakat
Melayu yang merupakan kaum terbesar di Malaysia. Masyarakat Melayu sangat terkenal dengan
sikap lemah lembut dan berbudi bahasa yang mempengaruhi budaya seperti budaya pakaian,
makanan, alat muzik dan sukan permainan. Setiap budaya ini mempunyai nilai-nilai keindahan
yang tersendiri. Namun, seiring dengan perubahan zaman yang kian moden telah memberi
perubahan besar pada budaya ini antaranya percampuran budaya Melayu dengan budaya asing.
Percampuran budaya memberi kesan buruk iaitu mencemarkan nilai kemelayuan pada sesuatu
budaya. Melalui ini, sedikit sebanyak akan menyebabkan masyarakat hilang minat dalam
mendalami unsur-unsur pada setiap budaya kerana keunikan serta keindahan budaya itu telah
tercemar. Setiap budaya Melayu seperti pakaian, makanan, sukan permainan dan alat muzik tidak
terlepas dimamah zaman berganti zaman di mana kini dapat dilihat berlakunya banyak perubahan.

Antara budaya Melayu yang mengalami perubahan ialah budaya pemakanan. Masyarakat
Melayu sangat menjaga dan menitikberatkan hal pemakanan bermula daripada jenis makanan yang
dimakan sehingga cara makan seseorang yang akan menjadi titik fokus untuk melambangkan
identiti budaya Melayu. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu lebih suka makan berkonsepkan
talam atau dulang sambil duduk bersila dengan meriahnya. Konsep makan bertalam ini berkait
rapat dengan konsep kenduri klasik dengan memasukkan elemen unik iaitu segala menu dimasak
secara bergotong-royong. Tidak kira muda atau tua, lelaki atau perempuan, semua mempunyai
tugasan masing-masing dalam menjayakan sesebuah kenduri. Faedah yang boleh diperoleh
melalui kenduri atau makan bertalam ini adalah dapat merapatkan hubungan silaturahmi antara
satu sama lain. Namun, adat berkenaan dilihat semakin pudar ditelan zaman apabila masyarakat
kini lebih cenderung memilih kaedah hidangan ala bufet di majlis-majlis keramaian. Ini kerana
pengaruh budaya luar yang dibawa masuk sehinggakan budaya makan menggunakan talam ini
kurang dipraktikkan dan dianggap tidak relevan. Antara alasan mereka cenderung memilih
hidangan ala bufet kerana lebih menjimatkan masa dan tenaga selari dengan kesibukan terhadap
kerjaya. Masyarakat Melayu terutama generasi muda rugi kerana tidak dapat merasai suasana
keharmonian dan kemeriahan budaya Melayu lama ini terutama mereka yang berada di kota.
Tambahan pula, masyarakat Melayu kini kurang mengetahui pelbagai sajian tradisi. Sajian tradisi
merupakan kuih muih yang mempunyai pelbagai rasa dan bentuk seperti kuih bahulu, kuih bangkit,
biskut makmur dan sebagainya. Setiap hidangan akan disajikan dengan pemanis tradisi sebagai
pelengkap santapan masyarakat terdahulu. Masyarakat dahulu lebih mengagungkan dan
menghargai sajian tradisi ini sehingga diajarkan resepinya ke seluruh tanah air dan juga diturunkan
secara turun temurun mengikut tradisi sesebuah keluarga. Setiap jenis kuih atau pemanis tradisi
ini mempunyai rasa tersendiri yang diadun dengan bahan ramuan berbeza mengikut jenis kuih dan
melalui ini telah menjadi simbol budaya melalui makanan. Berbeza pula dengan masyarakat kini
yang disifatkan telah hilang minat dan tidak mengetahui mengenai sajian tradisional ini. Pencuci
mulut atau pemanis tradisi dilihat semakin lenyap dengan kemunculan trend makanan dari barat
seperti makanan segera serta pencuci mulut dari negara luar. Bahkan masyarakat kini lebih
memuliakan makanan luar sehinggakan tidak mengetahui nama atau jenis makanan yang ada,
sekali gus ia terus dilupakan. Perkara ini seharusnya dipelihara supaya generasi akan datang dapat
mengenali serta menikmati hidangan dari zaman nenek moyang yang kian hilang ditelan arus
kemodenan.

Selain itu, budaya kesenian dahulu juga mempunyai perubahan dalam kalangan
masyarakat Melayu di Malaysia pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa
dahulu, budaya kesenian seperti tarian, nyanyian dan alat muzik bukan sahaja dijadikan sebagai
hiburan, malah menjadi alat untuk penyebaran maklumat dan pembentukan nilai murni bangsa
Melayu. Mengambil contoh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sehingga kini
disanjung sebagai ikon perpaduan dek kerana karya filem dan nyanyian yang mengetengahkan
nilai-nilai perpaduan dan toleransi. Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, masyarakat
khususnya golongan muda kurang berminat dengan budaya muzik terdahulu kerana wujudnya
fenomena budaya popular yang telah mempengaruhi masyarakat Melayu kini. Seni hiburan barat
telah menjadi ikutan masyarakat menyebabkan seni tradisional semakin dipinggirkan sehingga ke
hari ini. Sebagai contohnya, anak-anak muda pada hari ini lebih gemar menonton muzik Kpop
berbanding muzik tradisional. Tambahan pula, Malaysia juga telah memperkenalkan aliran-aliran
muzik barat yang pelbagai seperti rock, balada, pop, jaz dan lain-lain. Kepelbagaian muzik ini
akan menyebabkan wujudnya identiti dan imej yang berbeza dengan tradisi dahulu. Sebagai
contohnya, penyanyi ‘rock’ biasanya akan menunjukkan imej ‘rockers’ dengan memakai seluar
‘jeans’ yang koyak, berambut panjang, selekeh dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan budaya
Melayu, situasi ini sangat berbeza kerana masyarakat dahulu lebih mementingkan personaliti yang
sopan dan beradab. Selain itu, dapat dilihat pada zaman sekarang, muzik dan tarian tradisional
hanya digunakan untuk upacara rasmi atau aktiviti-aktiviti tertentu dan juga dalam media
pelancongan sahaja. Dengan ini, jelaslah bahawa budaya kesenian dahulu dan kini mempunyai
perbezaan yang sangat ketara sehingga memberi kesan kepada kedudukan budaya Melayu
tradisional.

Seterusnya, budaya Melayu terdahulu yang dilihat mengalami perubahan dalam kalangan
masyarakat kini adalah dari segi permainan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dahulu
banyak meluangkan masa senggang mereka dengan bermain permainan seperti congkak, gasing,
ketinting dan banyak lagi. Permainan tradisional tersebut mempunyai ciri-ciri kesenian yang
melambangkan keharmonian rakyat dan kebiasaannya banyak mengeluarkan peluh. Bukan itu
sahaja, sewaktu pertandingan yang dianjurkan di sesebuah komuniti, masyarakat dahulu akan
turun beramai-ramai sama ada untuk bertanding atau menyokong pihak yang bertanding. Perkara
ini membuktikan bahawa semangat perpaduan dan hubungan antara masyarakat dahulu sangat erat
bagai aur dengan tebing. Selain itu, permainan ini juga memberi faedah kepada mental dan fizikal
individu tersebut. Sebagai contohnya, permainan congkak dan dam aji yang memerlukan
pemikiran secara kritis untuk menyusun strategi akan membantu mempertingkatkan kemahiran
seseorang dan merangsang minda mereka untuk berfikir. Namun, pada era globalisasi yang
semakin canggih ini, permainan tradisional semakin kurang mendapat perhatian dalam kalangan
masyarakat terutamanya anak muda generasi kini. Generasi baru hari ini lebih gemar berada di
bilik dan bermain permainan video yang terdapat di telefon pintar atau komputer mereka, misalnya
PUBG, Mobile Legend, Counter Strikes dan FIFA. Permainan video akan menyebabkan ketagihan
sehingga terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan kesihatan mereka dek kerana
terlalu taksub untuk mengejar ‘rank’. Mereka sanggup tidak makan atau tidur semata-mata untuk
bermain permainan tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa permainan dahulu lebih bersifat harmoni
dan bermanfaat berbanding permainan sekarang yang lebih berunsur ganas sehingga mencemarkan
minda golongan orang muda zaman sekarang.
Di samping itu, budaya Melayu yang dapat dilihat mengalami perubahan ialah budaya pada
pakaian baik dari segi jenis pakaian mahupun cara pemakaian bagi individu kini dan dahulu. Orang
Melayu mempunyai pelbagai pakaian tradisional mengikut bentuk rekaan yang tersendiri.
Antaranya ialah bagi kaum wanita terdapat baju kurung, kebaya dan kain sarung manakala bagi
kaum lelaki pula terdapat baju Melayu dan kain samping. Pakaian tradisional budaya Melayu ini
mempunyai keunikan dan rekaan yang tersendiri mengikut setiap negeri seperti rekaan cekak
musang dan teluk belanga pada bahagian leher. Ciri-ciri pakaian tradisional ini telah
memperlihatkan budaya Melayu yang penuh sopan dan bertutup litup. Namun, dalam menerajui
kemajuan era sains dan globalisasi ini pakaian sebegitu seakan ditelan zaman. Hal ini dikatakan
demikian kerana, pakaian-pakaian sebegitu sudahpun diolah rekaanya dan tidak mengikut ciri
pakaian yang asal. Sebagai contoh, rekaan baju kurung yang digayakan dengan potongan serta
belahan kain yang tidak sewajarnya. Evolusi yang terhasil tidak menjadi masalah selagi mana
pakaian tersebut tidak merosakkan imej pakaian tradisional yang diturunkan oleh nenek moyang
kita dari zaman ke zaman. Melalui perubahan budaya Melayu pada pakaian ini juga, telah
menyebabkan kebanyakan remaja Melayu di zaman kemajuan teknologi maklumat tidak lagi
mempratik serta memakai pakaian tradisional. Dunia tanpa sempadan sekarang telah mendedahkan
remaja kini mengenai fesyen pakaian dari pelbagai negara terutamanya negara barat. Cara
pemakaian yang popular di negara barat seperti mengenakan seluar ‘jeans’, baju kemeja serta baju
yang pendek telah menjadi ikutan yang akan menghapuskan pemakaian baju tradisional dalam
kalangan remaja. Jika dibandingkan dengan remaja zaman dahulu, pakaian yang dikenakan mereka
lebih bersopan-santun serta menutup aurat. Oleh itu, perkara ini perlu dipertahankan agar pakaian
tradisional budaya Melayu tidak terhakis ekoran kemodenan negara.

Kesimpulannya, budaya Melayu mengalami perubahan seiring dengan peredaran zaman


yang kian maju. Kehidupan masyarakat dulu dan kini menunjukan perbezaan yang sangat ketara
dari segi cara hidup, kesenian dan sebagainya. Sebagai bangsa Melayu, kita perlulah mengenali
budaya Melayu yang telah diturunkan daripada nenek moyang kita dari generasi ke generasi.
Namun, masyarakat kini bukan sahaja perlu mengenali budaya Melayu malah mempraktikkannya
agar perkara ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Semaju mana pun peralihan zaman
berganti zaman, kita perlulah mengekalkan identiti budaya Melayu dan tidak melupakannya. Hal
ini dikatakan demikian kerana, kekayaan budaya serta tradisi Melayu yang pelbagai ini perlu
dipelihara dengan baik agar keindahannya dapat dirasai buat generasi yang akan datang. Siapa lagi
yang akan mempertahankan serta mengekalkan budaya Melayu ini kalau bukan orang Melayu itu
sendiri.

You might also like