You are on page 1of 23

http://cuit-cuitbahasa.blogspot.

com/2017/11/kepentingan-mengekalkan-warisan-
budaya.html?m=1

RENCANA : KEPENTINGAN BUDAYA WARISAN DAN PERMAINAN


TRADISIONAL

Warisan negara seperti seni budaya dan permainan tradisional semakin dipinggirkan
oleh generasi muda. Tulis sebuah rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan
ini.

Kepentingan Mengekalkan Warisan Negara


Oleh : Nurul Syahirah binti Razman

Di sini lahirnya sebuah cinta


Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji


Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan
oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan
kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal
sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang
kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah
tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat.
Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan
tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang
telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan
mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan
mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar
secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

     Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai
satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu
bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu
kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat
masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada
pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya
ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian
kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan
perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang
tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali
serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa,
kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah
negara.

     Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas
pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi
daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa.
Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan
penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan
masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan
bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu,
Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain
di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar
yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A
Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya
Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan
industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah
dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat
ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak
zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini
menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh
saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling
nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi
masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana
sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada
itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun
begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan
tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak
lupa daratan.

     Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah
kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme
dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan
sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan
pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula,
nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan
semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana
mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam
mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di
negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat
mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya,
Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala
laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31
Ogos 1957 telah berlangsung di sini.  Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat
penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-
sejarah penting negara kita.
       Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang
telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai
dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima
kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana
memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi
berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah
bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George
Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang
dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar
sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Transformasi Nasional 2050 [TN50],
janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah
yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan
mekar meredah zaman.

Soalan Klon
Lambakan permainan komputer, kurang pendedahan dan anggapan sudah ketinggalan zaman
menjadi punca permainan tradisional seperti gasing dan congkak semakin dilupakan.

Huraikan peranan ahli keluarga bagi memastikan permainan tradisional terus subur dalam
kalangan anak-anak.
https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/amp/arena/
2020/07/600142/sukan-lasak-berpotensi-besar-di-malaysia

Sukan lasak berpotensi besar di Malaysia


BERNAMA

Khamis, 7 Julai 2022, 4:52pm

Sukan lasak berpotensi besar di Malaysia


BERNAMA

SUKAN ekstrem mempunyai potensi untuk berkembang pesat di Malaysia, sehingga boleh
dijadikan sebagai karier sepenuh masa, jika mendapat galakan daripada pelbagai pihak.

Atlet orienteering dan sukan lasak negara Azam Mohd Shidid berkata, banyak sukan lasak
makin berkembang pesat di luar negara, sehingga boleh menjana pendapatan, tetapi masih
agak ketinggalan di negara ini.

Namun, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 27 tahun itu tetap yakin, bahawa
sukan ekstrem mampu mencapai tahap lebih tinggi, melalui pembabitan di pelbagai
peringkat.

"Pertama, kita perlukan penglibatan secara sukarela, bukannya paksaan. Guru di sekolah dan
pihak universiti juga harus menggalakkan penyertaan pelajar dalam sukan ekstrem, sekurang-
kurangnya mereka tahu kewujudan sukan ini yang mempunyai panduan dan jurulatih yang
diiktiraf.

"Malaysia juga ada golongan atau komuniti yang dah capai tahap tinggi, tetapi wujud sedikit
kelompongan seperti dari segi dana dan penaja untuk kembangkan lagi," katanya pada sesi
webinar Bicara Sukan UiTM, 'Masa Depan Sukan Ekstrem Negara' semalam.

Orienteering atau kembara berpandu arah merupakan sejenis sukan lasak, yang memerlukan
seseorang mempunyai stamina dan kemahiran tinggi dalam membaca peta dan kompas, untuk
sampai ke destinasi yang diberikan.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Sukan dan Rekreasi, Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) Hasnata Hasan berkata, sukan lasak seperti papan selaju, BMX, larian berhalangan,
mendaki gunung, memanjat tembok tiruan dan larian denai (trail run), semakin menarik minat
masyarakat Malaysia, terutamanya golongan belia.

"Ada beberapa pembangunanan fasiliti dibuat melalui kerjasama dengan kementerian lain,
seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bina 'skate plaza' di kawasan
perumahan. Agensi kerajaan lain yang bukan di bawah KBS juga banyak sediakan fasiliti
sukan ekstrem.
"Ini menunjukkan kerajaan melihat sukan ini mendapat permintaan daripada masyarakat.
KBS juga menjalinkan kerjasama dengan penganjur acara sukan lasak untuk membantu
mereka, dengan bantuan bukan dari segi kewangan semata-matanya, tapi khidmat nasihat dan
sokongan lain, untuk mengurangkan kos penganjuran," katanya.

Pendaki Gunung Everest dan Pengarah Urusan sebuah syarikat pengurusan acara sukan,
rekreasi dan mendaki, Zainudin Lot mengakui bahawa 2020 merupakan tahun yang sangat
mencabar buat penggiat dan industri sukan ekstrem negara.

"Industri ini terjejas teruk susulan Covid-19. Banyak perancangan program dan pendakian ke
luar negara seperti India, Nepal dan Gunung Kilimanjaro (Tanzania), terpaksa dibatalkan.

"Kita berharap pandemik ini berakhir segera, supaya kita boleh mulakan semula aktiviti kita.
Buat masa ini, kita hanya menumpukan perancangan masa depan dan aktiviti dalam talian,
seperti larian maya dan kembara maya," katanya pada Webinar satu jam, 30 minit itu yang
dikendalikan Pegawai Sukan Kanan UiTM Mohd Fauzi Zainuddin.
https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/04/673996/kerajaan-
pastikan-pks-dapat-semua-manfaat

Kerajaan pastikan PKS dapat semua manfaat

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mengumumkan langkah tambahan Pakej Rangsangan


Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan bernilai RM10 bilion bagi meringankan
beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), selain memastikan mereka
mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan sebelum ini.

Memperincikan langkah tambahan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata
beliau menyedari PKS adalah tunjang utama ekonomi Malaysia yang menyumbang lebih dua
pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini, di samping hampir 40 peratus kepada
ekonomi.

Beliau menegaskan adalah penting kerajaan memastikan sektor PKS terus cekal dan mampan
dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini, terutama
masalah aliran tunai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran
penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil beberapa inisiatif dengan mengumumkan beberapa


langkah penambahbaikan.

“Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam
menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini,”
katanya dalam perutusan khas Pakej PRIHATIN Tambahan khusus untuk PKS itu yang
disiarkan secara langsung di stesen televisyen, semalam.

Ia adalah kesinambungan kepada pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion yang


diumumkannya sebelum ini.

Ia susulan negara kini melaksanakan PKP bagi memutuskan rangkaian penularan COVID-19.

PKP pertama diadakan pada 18 sehingga 31 Mac lalu, namun dilanjutkan untuk fasa kedua
sehingga 14 April ini ekoran penularan wabak berkenaan.

Menjelaskan rasional pakej tambahan khusus untuk PKS itu, Perdana Menteri berkata,
langkah diambil susulan banyak maklum balas diterima daripada persatuan PKS, perniagaan
kecil dan mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat diumumkan menerusi Pakej
Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebelum ini.

Beliau menerima surat, memorandum dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk
Persatuan PKS Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Tindakan
Ekonomi Melayu (MTEM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia
(ACCCIM), Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA) serta beberapa pihak
lagi.
“Rata-rata mereka memberi pandangan bahawa perniagaan mereka amat terjejas dan
memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah masalah aliran tunai perniagaan berikutan
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “Selain itu pengusaha PKS juga
berhadapan dengan isu birokrasi dan pentadbiran yang menghalang akses segera terhadap
bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam pakej PRIHATIN,” katanya.

Muhyiddin berkata, pakej tambahan RM10 bilion bagi membantu PKS disediakan bentuk
kenaikan subsidi upah RM7.9 bilion dan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion.

Bagi peruntukan program subsidi upah, kerajaan menaikkan jumlahnya daripada RM5.9
bilion yang diumumkan pada 27 Mac lalu kepada RM13.8 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan bergaji RM4,000
dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah berdasarkan bilangan pekerja masing-
masing.

Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih 200, subsidi upah RM600 bagi setiap pekerja
dikekalkan.

Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak menerima subsidi akan ditambah daripada
100 orang kepada 200 pekerja.

Sementara itu, syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang,
menerima subsidi upah RM800 bagi setiap pekerja.

Syarikat mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang pula akan menerima subsidi upah
RM1,200 bagi setiap pekerja.

Perdana Menteri menggariskan bantuan berkenaan untuk tempoh tiga bulan dan dikhususkan
kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak
berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 di samping mendaftar dengan PERKESO.

“Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya
sambil menambah majikan yang memilih untuk menerima bantuan disyaratkan untuk
mengekalkan pekerja untuk tempoh enam bulan, iaitu tiga bulan semasa menerima subsidi
upah dan tiga bulan selepas itu.

Di bawah Geran Khas PRIHATIN untuk PKS mikro berkelayakan pula, kerajaan
menyediakan geran RM3,000 akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh
negara.

Namun, kerajaan menetapkan PKS mikro perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam
Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan akan memperoleh senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa
Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Menambah bantuan, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menggesa organisasi pemberi
pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 supaya memberi memberi
moratorium ke atas bayaran ansuran PKS enam bulan bermula April 2020.

Kerajaan juga, katanya akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS
mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan diumumkan.

Ini antaranya memansuhkan kadar faedah dua peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah
RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang turut dipanjangkan kepada
TEKUN Nasional; mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga
runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan; dan mengurangkan
bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit
pekerjanya tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020.

Kerajaan turut bersetuju menggalakkan rundingan di antara majikan dan pekerja mengenai
terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu, kata Perdana Menteri boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, dengan
perundingan tertakluk kepada undang-undang pekerjaan yang berkuat kuasa di negara ini.

Kerajaan turut bersetuju memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada
tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan tiga bulan
daripada tarikh terakhir PKP.

Bagi memastikan pelaksanaannya, Muhyiddin berkata unit LAKSANA ditubuhkan di


Kementerian Kewangan akan sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan pelaksanaan
semua inisiatif PRIHATIN dan PRIHATIN Tambahan.

“Saya berharap Pakej PRIHATIN Tambahan ini akan dapat melindungi pekerjaan anda
semua di samping menjamin daya tahan perniagaan,” katanya.

Mengulas pakej tambahan untuk PKS ini, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr
Anthony Dass, berkata ia berupaya menyediakan sokongan kepada perniagaan dari segi
mengurangkan jumlah perniagaan yang muflis dan hutang lapuk.

Katanya, dalam krisis semasa ini, langkah diumumkan Perdana Menteri mesti dilaksanakan
serta-merta, yang bermaksud kepantasan dan keringkasan adalah pertimbangan penting yang
perlu diambil perhatian.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata
pakej tambahan bagi PKS mampu memberi penumpuan terhadap aspek mengekalkan pekerja
sepanjang tempoh PKP.

“Ia amat bergantung kepada berapa lama PKP ini akan terus dilaksanakan. Persoalan ini amat
bergantung kepada pematuhan PKP serta kesan terhadap penularan wabak,” katanya.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin, pula berkata
antara perkara lain yang perlu diperhalusi oleh kerajaan adalah sektor pertanian, iaitu
membantu golongan petani dan penternak.

“Sektor pertanian adalah rantaian bekalan penting negara dan jika kerajaan tidak
menumpukan kepada sektor ini secepat mungkin ia akan menjejaskan rantaian bekalan
negara,” katanya.
https://www.hmetro.com.my/akademia/2021/11/772619/tvet-terus-diperkasa

TVET terus diperkasa


Bajet 2022 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan pekerja keperluan industri.

Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd
Azlan Mohammad Husain berkata, nilai peruntukan berjumlah RM6.6 bilion itu adalah nilai
peruntukan tahunan terbesar pernah diberikan kepada pembangunan TVET di Malaysia.

Menurutnya, TVET memperoleh peruntukan besar kerana peranan penting bidang ini sebagai
salah satu pemangkin untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi
keperluan ekonomi dan demi mencapai matlamat negara yang makmur, inklusif dan mampan.

Katanya, melalui pemerkasaan TVET, masyarakat Malaysia bakal mendapat akses luas
kepada peluang latihan kemahiran dan seterusnya peluang pekerjaan selain penjanaan
pendapatan.

"Ini akan menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dan
membolehkan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama dan inklusif kepada semua
kumpulan pendapatan, etnik serta wilayah.

"Dalam pembentangan bajet jumaat lalu, peruntukan RM6.6 bilion ini akan memberikan
fokus utama untuk memperkasakan TVET negara bagi menghasilkan sumber tenaga kerja
yang memenuhi keperluan industri.

"Melalui tujuan itu, peruntukan sebanyak RM200 juta bakal disalurkan untuk mengukuhkan
lagi usahasama antara institusi TVET dengan industri termasuklah melalui pelaksanan SKIM
Latihan Dual Nasional (SLDN) dan program persijilan Industri," katanya.

Jumlah peruntukan yang besar ini penting untuk membolehkan penstrukturan semula dan
penambahbaikan program TVET di institusi Latihan kemahiran selain ia dapat dilaksanakan
dengan mengutamakan program-program yang berpandukan industri atau dikenali juga
sebagai 'industry led' TVET.

BAJET 2020 memperuntukkan RM6.6 bilion bagi memperkasa bidang TVET untuk memenuhi
permintaan pekerja keperluan industri

Dr Mohd Azlan berkata, sebelum ini pembabitan industri dalam program TVET di Malaysia
adalah berfokuskan kepada perancangan kurikulum dan penyediaan tempat untuk latihan
industri.

"Pemain industri sudah mula dilibatkan dalam pembangunan bidang TVET negara melalui
pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Nasional (NOSS) bertujuan untuk merangka
kurikulum yang memenuhi keperluan industri.
"Selain itu, pembabitan industri juga sudah dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui
program Skil Latihan Dual Nasional (SLDN) yang membabitkan 70 hingga 80 peratus
aktiviti pembangunan kemahiran yang dilaksanakan di premis-premis industri untuk memberi
pengalaman kerja sebenar kepada pelatih TVET," katanya.

Keberkesanan program SLDN dalam usaha membabitkan penyertaan industri secara aktif
bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kemampuan program untuk membuka
peluang pekerjaan yang cerah kepada graduan TVET menyebabkan ia dijadikan model
kepada pelaksanaan 'industry led' adakah peruntukan besar yang diberikan kepada bidang
TVET sebelum ini masih belum mencukupi untuk membentuk program yang dapat
melahirkan graduan kemahiran yang memenuhi keperluan industri?

"Jawapannya, ia memang sentiasa tidak mencukupi kerana pelaburan yang besar sentiasa
diperlukan untuk membolehkan program-program TVET di Malaysia kekal relevan dengan
kemajuan industri dan ekonomi global.

"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, perkembangan industri lebih terarah kepada
teknologi pintar, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) Internet of think dan teknologi hijau.

"Oleh itu, perbelanjaan besar diperlukan institusi TVET untuk menambah baik kurikulum
latihan, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan paling utama adalah untuk
menyediakan fasiliti serta peralatan yang dapat memenuhi keperluan kurikulum latihan yang
semakin berkembang," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan sudah mengambil inisiatif melalui pemantapan usaha sama dengan
industri yang bakal dikukuhkan melalui Bajet 2022 ini.

Sebagai contoh kata Dr Mohd Azlan, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Makmal
dan bengkel sedia ada di institusi TVET akan dinaik taraf kepada Institution-Industry Lab
(IIL) melalui kaedah pemilikan bersama antara beberapa institusi TVET dan industri terpilih.

"Penubuhan IIL bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan dan
perkongsian pengetahuan, kemahiran serta teknologi.

PERUNTUKAN ini bakal digunakan untuk menyediakan fasiliti dan peralatan yang dapat
memenuhi keperluan kurikulum latihan

"Perkongsian ini juga bakal menjimatkan kos institusi TVET dan dalam masa sama
memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan industri," katanya

Peruntukan besar kepada bidang TVET ini juga penting kerana dalam RMK-12 yang baru
diumumkan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan bidang-bidang baru TVET bagi
melahirkan bakat-bakat diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

Antaranya ialah sektor aeroangkasa, animasi, pembikinan filem dan permainan elektronik.

"Program TVET berkaitan sektor air juga akan diperkenal bagi memenuhi permintaan tenaga
mahir untuk industri pada masa hadapan.
"Ini dalam usaha untuk membuka luas peluang pekerjaan kepada generasi muda yang
berbakat dalam bidang-bidang berkenaan.

"Pengenalan sektor baru bidang TVET ini memerlukan belanja yang besar untuk urusan
pembangunan kurikulum, promosi dan pelaksanaan," katanya.

Dr Mohd Azlan berkata, peruntukan yang besar juga diperlukan untuk membentuk ekosistem
TVET yang kukuh iaitu teras utama kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

"Melalui ekosistem TVET yang kukuh, negara akan dapat menyelesaikan isu kebergantungan
kepada tenaga kerja asing, membasmi isu keciciran akademik pada generasi remaja,
mengurangkan jurang antara kualiti graduan dan keperluan industri, meningkatkan kemahiran
komuniti di kawasan luar bandar serta menjadikan TVET pilihan utama pelajar.

"Ekosistem TVET yang kukuh ini juga memerlukan perbelanjaan yang besar untuk tujuan
pembangunan, promosi dan juga pelaksanaan," katanya.

Secara keseluruhannya pelaburan yang besar kepada bidang TVET negara ini pastinya adalah
perbelanjaan yang bakal mendatangkan hasil jangka masa panjang kepada negara.

"Ini kerana TVET adalah suatu bidang yang holistik, sesuai untuk semua lapisan masyarakat
termasuk B40, orang kurang upaya (OKU) Orang asli, tidak mengira peringkat umur dan
bangsa," tambahnya.

Bagi Pengarah Kolej Komuniti Kluang, Johor Faridatuljana Mohd Noor, dia menyokong
penuh inisiatif kerajaan dan peruntukkan yang umumkan dalam Bajet 2022 jumaat lalu.

Menurutnya, selaras dengan Majlis TVET Negara yang ditubuhkan pada Februari lalu,
terdapat enam inisiatif utama yang dikemukakan sebagai hala tuju agenda pemerkasaan
TVET iaitu merangka model pembiayaan mampan, membangun polisi untuk menggalakkan
penyertaan industri, mewujudkan Pelan Penjenamaan TVET Nasional, menubuhkan TVET
Collaboration Hub, mewujudkan polisi penyelarasan penawaran program TVET dan
membangunkan Data Raya TVET.

"Kita sedia maklum bahawa kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi latihan
kemahiran sekarang memang menawarkan kursus yang memfokuskan kepada TVET selaras
dengan kehendak semasa.

"Terdapat 104 Kolej Komuniti di seluruh Malaysia menawarkan program sijil yang
memfokuskan kepada bidang TVET dan ada juga yang terus menawarkan diploma. Selain
itu, sebanyak 36 politeknik menawarkan diploma dalam bidang TVET.

"Justeru, dengan baj et yang diperuntukkan dan kolaborasi strategik antara institusi dapat
melatih lebih ramai pelajar dan peserta program TVET dengan ilmu serta kemahiran yang
memenuhi keperluan industri," katanya.

Dengan tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa pula
Faridahuljana berpendapat, ia bagi membabitkan peralatan dan kepakaran di kawasan-
kawasan tumpuan.
"Dengan peralihan teknologi semasa ke arah IR 4.0 dan budaya digitalisasi ia akan dapat
membantu lebih ramai pelajar atau peserta program TVET.

"Ia sekali gus dapat membantu menstruktur dan merapatkan jurang kemahiran serta ekonomi
di kawasan tumpuan," katanya.

Sementara SLDN pula adalah satu kaedah latihan yang berlandaskan 'industry driven' di
mana dikendalikan melalui usahasama syarikat-syarikat dan institusi latihan.

Pelaksanaan SLDN dibuat dengan kaedah Usahasama Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dan
Syarikat serta Syarikat Latihan Dalaman (In-house).

"Dengan peruntukan tahunan yang diberikan, sokongan alatan dan teknologi semasa serta
kepelbagaian program yang ditawarkan buat masa ini, saya percaya pada masa akan datang
lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir akan dapat dihasilkan.

"Menerusi kemahiran yang diperoleh daripada tenaga pengajar pakar, saya juga percaya lebih
ramai usahawan TVET dapat dihasilkan," katanya.

"Saya juga berharap semoga bajet ini dapat diagih dan digunakan sebaik-baiknya oleh semua
institusi supaya dapat melahirkan lebih ramai graduan atau usahawan TVET yang
kemudiannya akan menyumbang semula kepada kemajuan dan ekonomi negara," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Profesor Ir Dr Hafizal
Mohamad berkata, peruntukan Bajet 2022 itu adalah bukti kerajaan mengiktiraf kepentingan
TVET sebagai satu agenda penting untuk pembangunan industri dan negara.

Katanya, peruntukan bajet untuk TVET ini juga amat penting untuk memastikan
kelangsungan pembangunan tenaga kerja berkaitan vokasional dan teknikal di era IR4.0.

PELBAGAI bidang TEVT baru bakal diperkenalkan bagi melahirkan bakat-bakat diperlukan
untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

"Negara perlu pertingkatkan tenaga teknikal yang lebih mahir dan kompetent untuk mampu
bersaing di rantau Asia serta tidak ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam dan
Indonesia yang kian meningkat dalam kadar yang tinggi (growth rate).

"Kadar indek kompetitive negara juga perlu dipertingkatkan untuk menarik lebih banyak
pelaburan dan pembangunan domestik berkaitan teknologi maju," katanya.

Program kerjasama TVET bersama industri dan institusi pengajian harus dipertingkatkan
untuk memastikan kehendak semasa industri dipenuhi.

Dr Hafizal berkata, terdapat keperluan industri yang berubah seiring dengan transformasi
digital untuk kekal relevan dan menghasilkan pengeluaran serta perkhidmatan yang lebih
cekap.

"Antaranya ialah program pensijilan bersama industri penting untuk mengiktiraf pelajar
TVET yang berkebolehan di samping meningkatkan peluang pekerjaan pelajar.
"Pendedahan berkaitan kemahiran baru melalui program kerjasama bersama industri juga
perlu dipertingkatkan selain 'reskilling' program dan 'upgrading capabiliti' harus
dilaksanakan.

"Usaha berintegrasi dan sistematik perlu diutamakan dalam pelaksanaan agenda TVET
negara," katanya.

Dengan adanya program berterusan dan sasaran jangka panjang, ia akan memastikan lebih
banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal serta vokasional.
www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/06/968686/rahman-shaari-
dipilih-sasterawan-negara-ke-15

Rahman Shaari dipilih Sasterawan Negara ke-15


PUTRAJAYA: Penyair terkemuka tanah air, Datuk Rahman Shaari, 73, hari ini diumumkan
sebagai Sasterawan Negara ke-15.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemilihan anak kelahiran
Kampung Gial, Perlis pada 1949 itu dibuat selepas panel sembilan pakar menilai 12 calon
sasterawan tempatan yang menyumbang kepada dunia sastera dan akademik.

Katanya, pemilihan tokoh itu berdasarkan kepada sumbangan tokoh melalui karya dan
pemikiran, sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu,
kepemimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa
serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterimanya.

"Panel sudah mengadakan mesyuarat penilaian untuk meneliti sumbangan serta kekuatan
calon.

"Panel memilih Datuk Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15
yang membawa gelaran Sasterawan Negara," katanya pada sidang media di Kementerian
Pendidikan (KPM) hari ini.

Dengan penganugerahan itu, Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara; wang
tunai RM60,000 serta penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah
maksimum RM500 000 untuk dibeli kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan,
jabatan serta agensi kerajaan.

Selain itu, kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas 1 di mana-mana hospital
kerajaan; kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera; kemudahan
untuk menerbitkan karya penterjemahan yang sesuai ke dalam bahasa asing serta elaun sara
hidup RM5,000 sebulan.

"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada
beliau atas pemilihan sebagai Sasterawan Negara Ke-15. Majlis pengumuman Anugerah
Sasterawan Negara ke-15 akan disempurnakan yang di-Pertuan Agong pada tarikh yang akan
dimaklumkan," katanya.

Radzi berkata, Rahman yang pernah berkhidmat dengan KPM sebagai guru serta kemudian
pegawai kurikulum, juga pernah menjadi profesor di Universiti Malaya (UM) sehingga 2003
dan kini Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).

Antara anugerah dan hadiah pernah diterimanya, tempat pertama sayembara menulis esei dan
kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1977 serta Hadiah Sastera Malaysia
kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986.
Selain itu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2003; Anugerah Penyair GAPENA 2013
dan Hadiah Penulisan Esei Utusan Melayu dalam bidang pantun pada 2014, manakala di
peringkat antarabangsa pula, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award).

"Kekuatan Rahman Shaari adalah dalam genre puisi. Puisi-puisinya sarat dengan pemikiran
serta memerlukan pentafsiran yang mendalam. Rahman menekuni semua genre sastera,
termasuklah puisi, drama, cerpen, novel dan kritikan sastera.

"Beliau juga mempelopori Teori Anjakan Makna. Dalam mendeklamasikan puisi, Rahman
Shaari turut memperkenalkan teknik persembahan puisi artistik," kata Radzi.

Dalam perkembangan berkaitan, menteri berkenaan menegaskan, beliau tidak campur tangan
dalam proses pemilihan Sasterawan Negara, sebaliknya beliau menghormati kepakaran
semua ahli panel yang memilih tokoh berkenaan.

"Menteri kali ini tidak ada sebarang campur tangan, saya hormati kepakaran semua ahli-ahli
panel dalam memilih, melihat serta mengkaji pelbagai bentuk karya yang dikeluarkan oleh
calon-calon yang disenarai pendek.

"Tidak timbul sebarang campur tangan, tengok semua panel berada di sini (majlis sidang
media), semua gembira dengan keputusan dibuat. Saya secara peribadi setuju dengan
keputusan yang dibuat panel," katanya.

Pada 2019, BH melaporkan penangguhan pengumuman Sasterawan Negara Ke-14 pada April
tahun berkenaan dikaitkan dengan campur tangan politik apabila dua panel baharu dibawa
masuk ke mesyuarat akhir pemilihan Anugerah Sastera Negara.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, dua panel baharu itu tidak terbabit dengan proses
awal pemilihan Sasterawan Negara.

Penyertaan mengejut dalam mesyuarat akhir itu sekali gus menunjukkan wujudnya
kecenderungan memilih calon Sasterawan Negara yang tiada dalam senarai pencalonan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara.

Turut dipertikaikan adalah ada nama lain diselitkan pada peringkat akhir yang dikatakan tidak
memenuhi kriteria digariskan untuk dipilih sebagai Sasterawan Negara, sebaliknya diberikan
atas kepentingan politik.
www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2021/08/849124/kadar-
pengangguran-negara-kembali-meningkat

Kadar pengangguran negara kembali meningkat


PUTRAJAYA: Pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau
pada kadar 4.8 peratus Jun lalu, demikian menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh
oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar yang
direkodkan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada
bulan itu bagi melandaikan melandaikan peningkatan kes harian baharu COVID-19.

Beliau berkata, langkah yang terpaksa diambil oleh kerajaan itu juga menyebabkan
kedudukan tenaga buruh pada Jun berdepan dengan cabaran.

Justeru, katanya, bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.3 juta
orang berbanding 15.37 juta orang pada Mei 2021.

Ia juga, katanya menurunkan nisbah guna tenaga kepada penduduk sebanyak 0.4 peratus
kepada 65 peratus.

"Kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mei 2021.
Ia peningkatan semula setelah merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-
turut.

"Bilangan penganggur naik seramai 40,600 orang atau 5.6 peratus kepada 768,700 orang
berbanding 728,100 pada Mei 2021.

"Bagaimanapun, berdasarkan tahun ke tahun, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1


mata peratus berbanding 4.9 peratus pada Jun 2020, manakala bilangan penduduk bekerja
berkurang seramai 4,600 orang berbanding Jun 2020 pada 773,200 orang," katanya dalam
laporan Statistik Tenaga Buruh Jun 2021.

Mohd Uzir berkata, semua sektor turut merekodkan penurunan guna tenaga pada tempoh
dikaji.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama
kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama 12 bulan.

Katanya, penurunan dalam sektor itu disumbangkan oleh aktiviti penginapan, perkhidmatan
makanan dan minuman, hartanah serta perdagangan borong dan runcit.

Pelaksanaan PKP penuh sepanjang Jun juga, katanya menyebabkan bilangan penduduk
bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat dengan ketara sebanyak 661,400
orang kepada 801,100 orang berbanding Mei 2021 pada 139,600 orang.
Katanya, situasi yang sama juga pernah dialami ketika pelaksanaan pertama PKP tahun lalu
di mana berlaku peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat
sementara waktu.

"Sekiranya krisis kesihatan ini berterusan, ekonomi dan pasaran buruh akan terus mengalami
momentum pemulihan yang tidak menentu.

"Bagaimanapun pasaran buruh akan pulih seiring dengan aktiviti ekonomi berdasarkan
langkah pemulihan serta vaksinasi yang pantas ketika ini," katanya.
www.bharian.com.my/amp/rencana/lain-lain/2022/01/913553/agenda-
membudayakan-integriti-lahir-generasi-bebas-korupsi

Agenda membudayakan integriti lahir generasi bebas korupsi


DALAM mengharungi abad ke-21 lebih kompleks dan mencabar, aspek integriti dilihat
menjadi agenda penting harus dibangun, dibudaya dan dijadikan amalan khususnya dalam
masyarakat di negara ini.

Hampir 64 tahun Malaysia merdeka, soal integriti kekal tidak lapuk walaupun kita sudah
berdepan dengan transformasi sosial yang sepatutnya mampu mematangkan kita.

Integriti memiliki pertalian rapat dengan rasuah. Aktifnya gejala rasuah adalah cerminan
lemahnya pengalaman integriti. Menyedari kepentingan integriti, negara berusaha
membangun dan membudayakan integriti aktor sosial dalam masyarakat.

Integriti dijadikan agenda nasional sebagai teras kepada kejayaan agenda pembangunan dan
kemajuan negara. Bagi menjayakannya, Pelan Integriti Nasional (PIN) (2004-2019)
diwujudkan yang kemudian diganti dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) (2019-2023)
sebagai lambang keagresifan negara membanteras rasuah.

Malah, integriti dan usaha pembanterasan rasuah diintegrasikan dalam masyarakat melalui
advokasi dan penginstitusian. Hasilnya, dua institusi penting dibangunkan manifestasi
daripada dua pelan berkenaan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
Institut Integriti Malaysia (IIM).

SPRM berperanan sebagai badan pelaksana berkuasa melakukan pendakwaan berkaitan


rasuah, manakala IIM sebagai institut berperanan membangun dan menjayakan agenda
pembudayaan integriti dalam masyarakat meliputi agensi kerajaan, sekolah, tadika, agensi
korporat serta komuniti setempat.

Namun, soal integriti kekal menjadi tema penting dalam pengurusan governans di negara ini.
Dengan kebangkitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan dengan
kepemimpinan tinggi negara menjadi petanda lemahnya pengamalan integriti memicu kepada
aktifnya gejala rasuah baik dalam kerajaan mahupun masyarakat.

Tidak dinafikan terdapat pihak mempersoalkan peranan institusi ini dalam mengurus dan
mengendalikan kes berkaitan rasuah.

Terkini, isu membabitkan SPRM mula dilontarkan dengan kes yang mengaitkan pimpinan
paling atas institusi ini. Keadaan ini sebenarnya memperlihatkan kredibiliti SPRM sebagai
institusi utama dalam pembanterasan rasuah semakin dipersoalkan.

Jika tidak diselesaikan, gejala rasuah dan lemah amalan integriti khususnya dalam kalangan
penjawat awam menjadikan gejala ini semakin giat berlaku.
Sebagai institusi dilihat suci di mata komuniti, SPRM seharusnya menyelesaikan segera
perkara ini dan perlu memastikan wujud usaha mengembalikan kembali keyakinan serta
imejnya di mata komuniti dalam menjayakan agenda nasional negara iaitu melahirkan
masyarakat berintegriti.

Tidak dinafikan usaha pembudayaan integriti dan pembanterasan rasuah dalam komuniti
berdepan cabaran serta halangan.

Terdapat beberapa cabaran membabitkan usaha pembudayaan dan pengamalan integriti


antaranya kesan transisi demokrasi membawa kepada perubahan norma politik kepartian dan
hala tuju dasar awam di negara ini.

Transisi ini memberi kesan besar kepada pembangunan integriti yang dikatakan berkait rapat
dengan dakwaan wujud aktiviti tawaran dan gertakan politik.

Kedua, kesan COVID-19 menyebabkan organisasi awam dan swasta terpaksa dengan pantas
beradaptasi bagi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi serta sosial yang
membangunkan cabaran besar, khususnya berkaitan integriti terhadap kebertanggungjawaban
majikan dan kebajikan pekerja.

Ketiga, peningkatan skandal rasuah dan penggubalan wang haram berprofil tinggi di negara
ini membabitkan aktor antarabangsa menyumbang kepada reputasi integriti negara tercemar
dan menyebabkan usaha menangani isu ini lebih kompleks.

Keempat, lemahnya kesedaran kepentingan pembudayaan integriti dalam kalangan komuniti


menyebabkan gejala rasuah semakin berleluasa. Sikap tidak endah dengan perkara kecil
berkaitan rasuah dan integriti turut menyumbang kepada lemahnya pengamalan dan
pembudayaan integriti dalam masyarakat kita.

Justeru, bagi memastikan usaha pembudayaan integriti dan pembanteras rasuah mampu
dijayakan, beberapa saranan sesuai untuk dilaksanakan selaras dengan Perkara 16 Matlamat
Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu
memfokuskan aspek 'Peace, Justice, Strong Institution'.

Pertama, keperluan untuk membangunkan dan menyemak kembali NACP 2019-2023 dengan
lebih komprehensif bagi memastikan usaha membudayakan integriti dalam masyarakat
diteruskan dengan penyelarasan lebih baik.

Aspek pembudayaan integriti harus diketengahkan dan mengembalikan peranan IIM sebagai
antara institusi utama dalam menjayakan agenda integriti pada peringkat nasional.

Kedua, memperkenalkan Indeks Persepsi Integriti Malaysia yang dibentangkan kepada


Kabinet dan perolehan indeks didedahkan untuk membuka perbincangan awam.

Ini bertujuan memperbaiki kedudukan Malaysia di mata dunia dengan pencapaian Indeks
Rasuah (CI) lebih baik.

Ketiga, mengukuhkan agenda integriti rentas politik kepartian. Memandangkan


Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dilaksanakan,
kesungguhan ahli politik dalam membanteras rasuah dan membudayakan integriti harus
diberikan tumpuan.

Kejayaan kedua-dua perkara ini sangat berkait rapat dengan aspek kemahuan politik baik
pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Keempat, membangunkan pendekatan pembudayaan integriti bersifat top down dan bottom
up. Pendekatan ini memberikan tumpuan kepada pembudayaan integriti meliputi aspek
pentadbiran, politik, ekonomi, agama dan sosiobudaya merangkumkan semuanya dalam
bentuk lebih mesra dengan komuniti.

Melalui pengamalan integriti komprehensif merangkumi aspek konsep, model, dasar, peranan
individu dan komuniti, pembangunan berteraskan sifar rasuah memfokuskan pengukuhan
etika berpotensi untuk dicapai.

Ini dapat menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara dan melahirkan masyarakat kuat
pegangan moral. Namun, bagi menjayakannya, semua pihak harus mengerahkan peranan
masing-masing kerana untuk melawan korupsi dan rasuah, pembudayana integriti dalam
komuniti adalah penyelesaiannya.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
(FSSPP), UiTM Pahang
www.bharian.com.my/amp/taxonomy/term/61/2016/11/217290/3-ciri-utama-
perlu-ada-pada-pemimpin

3 ciri utama perlu ada pada pemimpin

Kepemimpinan merujuk kepada kemampuan mengambil peranan mempengaruhi orang lain


ke arah kebaikan. Seorang pemimpin perlu mempunyai personaliti yang mampu
mempengaruhi orang lain serta bersedia ditegur atau dikritik oleh orang lain.

Dalam konteks Islam, kekuatan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT adalah aspek
penting, sekali gus menjadi satu kekuatan apabila diuji dengan pelbagai cabaran. Pemimpin
yang baik tidak mudah berputus asas atau cepat mengalah kerana yakin Allah SWT sentiasa
bersamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau
tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan
serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa yang dilakukannya." (Surah al-
Israk, ayat 36)

Selain itu, pemimpin yang baik mempunyai daya fikiran jauh ke hadapan atau berwawasan.
Mereka akan sentiasa dipandang oleh masyarakat sekeliling sebagai seorang yang
mempunyai nilai dan diyakini.

Kesemua ciri atau nilai itu sekali gus melambangkan keperibadian dimiliki Rasulullah SAW
yang mempunyai prinsip wawasan masa hadapan, musyawarah dan mempunyai
kepemimpinan dengan teladan atau uswatun hasanah.

Tiga ciri utama

Terdapat tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW iaitu wawasan yang jelas,
nilai baik dan daya kekuatan.

Pemimpin yang mempunyai wawasan jelas memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai
pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu
yang abstrak kepada yang nyata.

Memimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti
dalam diri.

Memiliki daya kekuatan hingga mampu menggerakkan orang lain serta mempunyai daya
tahan fizikal dan mental.

Sehubungan itu, wajar kita melatih generasi muda supaya mempunyai nilai dan ciri
kepemimpinan yang mampu mengurus diri serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya.
Untuk itu kita perlu melatih generasi muda supaya belajar daripada keadaan yang berlaku di
sekeliling mereka.
Selain itu, mereka juga hendaklah didedahkan kepada sirah Rasulullah SAW supaya
menerapkan dalam diri sifat bertanggungjawab, amanah, seperti ditunjukkan Baginda SAW
untuk menjadi pemimpin hebat di masa depan.

Kerja berpasukan

Membabitkan diri dalam organisasi dapat memupuk nilai kepemimpinan generasi muda
dalam masyarakat. Ini dilakukan oleh Rasulullah SAW, ketika berumur 20 tahun Baginda
aktif sebagai anggota Hilful Fudhul iaitu organisasi masyarakat Makkah yang menjaga
daripada gangguan musuh dan penganiayaan pihak asing.

Melalui pembabitan dalam bidang sukan akan melatih anak muda erti perjuangan,
kemenangan, kekalahan serta tidak mudah mengaku kalah. Persaingan hidup dalam semua
perkara dan bidang hari ini semakin sengit, justeru mereka perlu bersedia.

Dalam sukan atau pertandingan juga ditanamkan semangat bekerjasama secara berpasukan
atau hidup berjemaah kerana kekuatan dan saling bekerjasama berpasukan penting untuk
memperoleh kemenangan.

Hakikatnya, banyak nilai positif dalam kepemimpinan perlu didedahkan kepada generasi
muda kerana kita tidak mahu meninggalkan generasi yang lemah untuk menghadapi cabaran
lebih hebat terhadap Islam serta umatnya pada masa hadapan.

You might also like