You are on page 1of 2

KARANGAN PIDATO DESTINASI PELANCONGAN DI MALAYSIA

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang berpegang teguh pada paksi keadilan,
penjaga detik yang patuh pada waktu, para dif jemputan, guru-guru, hadirin dan hadirat seterusnya
rakan-rakan yang dihormati sekalian. Salam sejahtera. Berdirinya saya di pentas yang indah ini adalah
untuk menyampaikan pidato saya yang berbunyi “Destinasi Pelancongan di Malaysia".

Sebelum saya meneruskannya , izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato ini terlebih dahulu.
Destinasi bererti tempat yang dituju. Pelancongan merupakan aktiviti melawat ke sesuatu tempat
bertujuan mengisi masa lapang. Secara umumnya, tajuk pidato ini adalah tentang faktor Malaysia
menjadi tempat pelancongan.

Hadirin yang dihormati,

Pada pendapat saya, faktor Malaysia menjadi tempat pelancongan ialah Malaysia mempunyai
banyak tempat yang menarik. Pelancong tertarik dengan keindahan yang terdapat di Malaysia.
Mereka boleh berkelah dan mandi manda di tepi pantai atau menikmati udara segar di sini. Sebagai
contoh, Pantai Desaru di Johor sangat indah dan ramai pelancong datang di sana. Oleh itu, jelaslah
bahawa tempat yang menarik di Malaysia adalah faktor utama kedatangan pelancong.

Di samping itu, Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah untuk dilawati. Negara kita
mempunyai banyak warisan sejarah bertaraf dunia. Pelancong boleh mengenali sejarah negara
kita.Pelancong boleh mengunjungi pameran sejarah dan muzium di Malaysia. Sebagai contoh,
pelancong boleh melawat negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Oleh itu, jelaslah bahawa tempat
yang bersejarahadalah faktor kedua yang menarik kedatangan pelancong.

Selain itu, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan bangsa. Malaysia terdiri daripada
pelbagai bangsa dan berlainan bahasa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan banyak
lagi, menjadi tarikan utama pengunjung dari luar datang ke Malaysia. Hal ini kerana pengunjung
boleh melihat budaya daripada pelbagai bangsa yang berbeza. Misalnya, mereka berpeluang untuk
melihat tarian Melayu, Cina dan India yang masing-masing mempunyai cara dan jenis yang berbeza
ketika melakukan persembahan.

Seterusnya, negara Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan selamat . Jika hendak
dibandingkan dengan tempat lain, Malaysia jauh lebih baik kerana kawasan yang terkecuali daripada
garisan gempa bumi mahupun gunung berapi. Malah masyarakatnya hidup secara harmoni. Kita
jarang lihat rusuhan mahu pun pergaduhan besar-besaran yang berlaku di Malaysia. Tentera belum
pernah mengambil alih kuasa pemimpin kita. Walaupun terdapat perselisihan kecil, tetapi mereka
masih hidup saling hormat-menghormati. Siapa sangka kan, bangsa Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan dan lain-lain masih boleh tinggal 'sebumbung'??

Dalam pada itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan dalam sektor
pelancongan negara. Kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan pelancongan
agar dapat dikunjungi dengan mudah. Kerajaan juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-
negara lain untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia. Hal ini terbukti berkesan
apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.

Hadirin yang dihormati,

Sebagai konklusinya, izharlah bahawa terdapat banyak sebab yang menarik kedatangan
pelancong asing ke bumi bertuah ini, Malaysia. Sememangnya pelancongan menjadi suatu bidang
pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang
kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju
dalam abad ini. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan
tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan industri pelancongan negara.
Diharapkan peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat
memakmurkan Malaysia di mata dunia luar dan dapat menaikkan nama negara di mata dunia
walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta.

Sekian sahaja pidato saya.Sekiranya terkasar bahasa , saya memohon maaf. Terima kasih.

You might also like