You are on page 1of 2

Kelebihan Malaysia Sebagai Destinasi Pelancongan

Marcapada, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada


pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila Kementerian Pelancongan
melaporkan bahawa sebanyak 30 juta pelancong asing telah berkunjung ke Malaysia pada
tahun 2011 dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion. Bagi tujuan promosi
pula, sebanyak RM150 juta telah diperuntukan untuk mempromosikan Malaysia di luar
negara. Statistik yang ditunjukkan menunjukkan bahawa negara kita semakin mendapat
tempat dalam kalangan warga asing untuk dilawati. Persoalannya, apakah keistimewaan
Malaysia yang menyebabkan pelancong asing memilih Malaysia sebagai destinasi
pelancongan mereka?

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memiliki pelbagai tempat yang menarik yang
mampu menggamit kedatangan pelancong asing. Kita berasa bertuah kerana bumi tercinta
ini memiliki pantai yang memutih dan indah dengan udaranya yang nyaman seperti Pantai
Chenang di Langkawi, Pantai Teluk Chempedak di Pahang dan Pantai Karambunai di
Sabah. Bagi pencinta hidupan marin, maka sudah pasti mereka boleh memilih destinasi
selaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara yang tercantik di dunia
seperti Pulau Sipadan di Sabah dan Pulau Perhentian di Terengganu. Selanjutnya, untuk
para pencinta alam semula jadi, Malaysia mempunyai hutan rimba yang berusia jutaan
tahun, tamsilannya Hutan Belum di Perak, Mensilau-Basin di Sabah dan Hutan Endau-
Rompin di Pahang. Sementelahan, Bandar raya Bersejarah Melaka dan Georgetown yang
diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjanjikan keterujaan kepada para
pelancong yang menyukai tempat-tempat bersejarah dan kehalusan estetika dalam seni
bina silam. Pendek kata, macam-macam ada di Malaysia!

Keistimewaan Malaysia yang seterusnya ialah masyarakat Malaysia yang terdiri


daripada pelbagai kamu dan latar belakang mewujudkan pelbagai budaya yang mewakili
setiap kaum dari seluruh Asia. Fenomena inilah yang menyebabkan Kementerian
Pelancongan telah memilih slogan Malaysia Truly Asia atau Malaysia ialah Asia sebagai
slogan untuk Kempen Pelancongan. Suatu perkara yang tidak dapat disangkal ialah warna-
warni kebudayaan rakyat Malaysia dari segi sambutan hari-hari perayaan, pakaian,
makanan, kesenian dan pertuturan sudah pasti memberikan pengalaman yang berbeza
kepada para pelancong, contohnya sambutan Citrawarna Malaysia dan Malaysian Kitchen
memberi ruang untuk para pelancong memahami kebudayaan rakyat Malaysia. Tegasnya,
para pelancong asing hanya perlu ke Malaysia jika mahu mengenali kebudayaan
masyarakat di Asia.
Selain itu, salah satu daya tarikan yang ada di Malaysia ialah kemudahan infrastruktur
yang kondusif untuk para pelancong seperti sistem pengangkutan dan tempat penginapan.
Bagi memudahkan para pelancong dari luar, syarikat penerbangan nasional, iaitu
Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia bersedia untuk membawa pelancong dari serata
dunia ke destinasi pelancongan di Malaysia. Di samping itu, jaringan lebuh raya dan rel
seperti sistem transit aliran ringan (LRT), komuter, dan monorel menyenangkan mobiliti para
pelancong. Manakala, dari segi tempat penginapan terdapat pelbagai kategori berdasarkan
bajet masing-masing tersedia, daripada hotel bertaraf lima bintang, motel, inap desa
hinggalah asrama yang berkos rendah. Intihanya, kemudahan prasarana yang berkualiti
telah memastikan para pelancong selesa berada di negara kita.

Satu lagi elemen yang tidak kurang penting ialah sikap rakyat Malaysia yang ramah
dan berbudi bahasa. Keramahan warga tempatan menyebabkan warga asing berasa
bahawa kehadiran mereka sangat dialu-alukan di negara ini. Malah, para pelancong juga
berasa selamat ketika melancong di sini disebabkan mereka mudah untuk mendapatkan
bantuan jika menghadapi sebarang masalah. Sikap rakyat Malaysia itu menyebabkan
pelancong asing terdorong untuk berkunjung berkali-kali ke Malaysia. Izharlah bahawa,
mahajana ibarat duta kecil yang berperanan untuk menjaga imej negara di mata para
pelancong.

Kesimpulannya, Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi wajib kepada warga


asing yang mahu berdarmawisata. Oleh yang demikian, kerjasama antara semua pihak
sama ada pihak kerajaan, swasta dan orang ramai harus diperkukuh demi kelangsungan
industri pelancongan di negara ini kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Tuntasnya, kita berharap kedatangan pelancong asing ke negara kita akan
bertambah tahun demi tahun sejajar dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi menarik
mereka untuk berkunjung ke sini.

You might also like